Ahad, 14 Mac 2010

SAJAK-SAJAK 2003 UNTUK SIMPANAN

KAMI MASIH MENGUMPUL AKSARA UNTUK MENGEJA

Ini bukan persoalan biasa,
kami masih mengumpul aksara untuk mengeja,
dan menyebutnya sebelum tiba ke puncak makna,
manakala tiada siapa berani lagi bertanya.

Mari pandang cermin diri dan lihat,
kala menoleh ke belakang,
tidak ada falsafah mungkar,
sewaktu mentafsir kebenaran,
bukankah kebenaran jadi jambatan,
tingkah laku dan tingkah kata.

Meski cermin dalam diri,
tidak siapa tahu,
bila kita mengakidahkan kata-kata ini,
tetapi janganlah berkata,
dan melakukan tingkah durja,
lalu membunuh setiap persoalan.

Jangan ucapkan terima kasih,
kala terpegun melihat cermin,
tidak ada wajah dalam kaca itu,
tidak ada apa-apa melainkan sebuah pembohongan,
kecuali memandang jauh ke dalamnya,
kala menemui ketelusan suci hati.

Di sini katakanlah apa saja,
dan ucapkan syukur kepada-Nya.

Banting, Selangor
12-3-2003


TUMPAHAN KASIH ANAK YANG RINDU

‘Aku merindukanmu, ibu!’
Si Tanggang menyeru,
kau tahu, kasihmu tidak mungkin,
menyulapku menjadi batu,
‘nak, mana cintamu padaku?’
ibu menatap wajah Si Tanggang,
mata Si Tanggang jelu, menatap ragu: ‘sayang?’
Sangkuriang, Sangkuriang ke mana ibu?
Malin Kundang, Malin Kundang ke mana ibu?
Oeudipus, Oeudipus ke mana ibu?
mereka menyebutnya sebagai ibu,
telaga, tumpahan kisah anak yang rindu.

Banting, Selangor
23-4-2003

PATUNG KENCANA

Patung kayu itu,
mahu jadi manusia,
patung kencana, gadis jelita,
padahal jadi manusia susah sekali,
sudahlah,
jadi patung kayu saja,
biar ditimang,
biar dielus,
biar menangis,
asalkan kau bukan manusia,
yang punya banyak impian,
dan masalah,
‘dan berbunuhan,’
kata malaikat kepada Tuhan,
sebelum dicipta Adam.

Banting, Selangor
5-8-2003

BASUHKAN JEMARI KEARIFAN

Basuhkanlah jemari kearifan,
antara aku dengan batas,
membukakan mata,
batas silau kemilau,
rebahkan As-Syiir pada altar,
telanjang badan,
tidak pada lingkar suci,
rayu sukmaku menciummu,
ingkar pada batas,
kuatkan dakapanmu,
ajak aku mencumbuinya,
di tapal batas,
bukan engkau yang memaksaku,
aku yang lupa,
tidak membeza batas,
silauan atau kilauan,
sayup senandung membimbing,
basuhkan hati pada batas,
namun bukan batas akhir.            

Banting, Selangor
7-10-2003

SEPASANG SAYAP UNTUKMU

Jika aku seorang pelukis,
akan aku tambahkan sepasang sayap,
pada tubuhmu di atas kanvas,
agar engkau dapat terbang,
menjangkau batas-batas ruang,
melihat dunia dari sisi nan luas,
agar hatimu melihat seluas lautan,
kemudian terbang tinggi dengan nurani bersih,
bebas melihat kemanusiaan yang terus hidup,
dan menjadi inspirasi setiap gerak kehidupan,
agar sayap-sayap itu membebaskanmu,
dari belenggu ruang dan waktu yang terasa mapan,
dan selalu membodohimu,
semoga dengan sayap-sayap yang kulukis,
engkau dapat terbang dari dunia mimpi,
yang penuh rasa takut, kepalsuan,
dalam langit tinggi,
semoga engkau jelang hening alam,
bersatu dalam dirimu yang fana.

Banting, Selangor
9-6-2003


GELOMBANG BARA

Apa yang diimpi dari duri yang dijejaki,
ialah gelombang-gelombang bara:

Kemurnian pasti dibentangkan,
tiang setia pasti ditegakkan,
walau mungkin laut itu tidak bertepi,
ditelusuri jua,
jika tidak penghujung,
dicari pangkalnya,
jika tidak berjawab,
dicari tanda tanyanya,
gelombang ini bara,
biar membara semangat di dada!

Gelombang resah,
mengasuh tabah,
menceriakan makna,
penantian senja,
jika minda dihanyutkan,
sangkutkan semula,
di pangkalan hayat,
kembara ini bermula,
dari rimba ke rimba,
berbau syurga,
yang melingkari hari-hari hadapan,
tidak kira gelombang duri,
diharungi seampuh tabah diri.

Laut kasih membiru sebenarnya,
di dalam kalbu,
di dalam kalbu membara,
gelombang bara,
menghimbau citra senja.

Siapakah yang tahu?

Banting, Selangor
26-5-2003


IBU MENANGIS DI NEGERI DUKA

Duka juga kiranya,
yang dikembangkan bunga realiti,
sebagai berita,
dari sebuah negeri duka,
lidah ibu diragut kasar,
kanak-kanak tidak bijak lagi di sekolah,
kerana pedagogi bertukar bahasa,
“harga-harga semakin mahal,” kata ibu,
sambil membahagi nasi ke pinggan kami,
“mengapa petaka menimpa tanah kami?”
kata ayah sembari menyeka kedua matanya,
siapa yang tidak menangis,
jenayah bermaharajalela,
tanah dipokah huru-hara,
siapa yang tidak berduka,
perasuah kaya-raya sesuka hati saja,
jelu, ke mana akan dilampiaskan?
luka, ke mana akan dialirkan darah?

Banting, Selangor
4-10-2003


ZIKIR TELEVISYEN

Waktu petang mengapung,
apa yang dipanggil?
muzik berdentangan di televisyen,
selewat azan,
bersambung nyanyi,
pada kabel dizikirkan syahwat,
mencuat pada skrin,
didawamkan tipu daya,
pada Engkau?
begitu penat lidahku,
seminit saja,
inikah hamba,
yang mengharap syurga?
inikah manusia,
yang tidak mahu dijilat api neraka,
Allah, betapa mudah,
kutipu diri sendiri.

SMAHADZIR
12-5-2003



PELUKIS BAHASA

Wajah bahasa dilukis,
berona redup,
tetapi wajah kita sendiri,
menyeringai,
mungkin malu,
atau kesangsian,
sungguh, teramat sangsi,
untuk berkata jujur,
ketika keraguan mengepung,
di mana-mana,
ada seorang pelukis,
dengan jemarinya,
melukis wajah bahasa di situ.

Banting, Selangor
4-11-2003

JATUH DI PELUKAN HAWA

Di pasir putih; pantai yang lengang,
aku berdiri telanjang,
menatap longlai,
hamparan samudera tanpa ombak,
tidak lagi biru,
kerana langit telah merah,
semesta telah menyusut,
waktu telah berbalik arah,
bumi telah dikosongkan,
oleh gempa terakhir:
graviti telah berbalik,
sepi, tanpa suara kesunyian,
kosong, tanpa pantulan suara,
dari lautan nan bisu,
tiba-tiba melesat sepasukan kuda putih bersayap,
menyambar tubuhku,
terbang melingkar-lingkar,
melemparku dalam ruang vakum hitam,
jauh, jauh teramat dalam,
hingga ketakterhinggaan,
jatuh di pelukan Hawa,
‘Adam, ketikanya telah tiba masuklah dalam rahimku!’


Taman Damai, Banting,
Selangor
28=5=2003


SENANDUNG PENGEMBARA

Jarum dan benang di tangan bonda,
sedang menjahit baju anaknya yang akan pergi jauh,
ketika menjelang si anak berangkat,
jahitannya dirapat dan dikuatkan,
dalam hatinya,
dia was-was anaknya tidak cepat kembali.

Oh, siapa kata secubit warna hijau dari rumput kecil,
boleh membalas budi,
cahaya mentari sepanjang musim semi?

Taman Damai, Banting,
Selangor
7-12-2003

WAKTU YANG MENGAKRABKAN

Hari-hari putih ini mengurung insaf,
memapah dera alpa ke pesisir maaf,
menakluk rumah rapuh,
didakap seutuh tubuh,
memanjang lafaz seluruh malam berlabuh.

Ketika kubelah malam dengan ratib,
isak yang menghampiri,
menghulur keyakinan arus menyusur,
adalah ketika mengakrabkan,
aku didakap ketenangan,
aku didakap kebahagiaan,
tidak putus memaut hidup ketika ini!

Kalbu seharusnya padu,
menatang iman, menyirat waktu,
esok dan usia yang matang,
siapakah yang berdiri menentu liku usia,
yang dikedutkan oleh amal,
oleh kebebasan azab yang dinoktahkan,
kemudian oleh Tuhan.

Tibalah malam-malam putih lagi suci,
mubarak yang menyemarak warak,
rimbun pohon-pohon meneduhi pedoman,
walaupun ada goda menduga keyakinan,
ketika ini akrab-Nya jua,
terasa sasa menyambut imbauan makna,
menggamit makmur takbir,
tasbih dan tawakal,
mengharungi samudera sesal.

Taman Damai, Banting,
Selangor

8-7-2003

PEREMPUAN TENGGELAM

Perempuan yang tenggelam di perigi senja,
ia haus, ia bersenandung dengan lidah sakit,
dan bernanah hingga di hujung jantung hati,
yang parah hingga terobek sukma,
sehinggakan rokib dan atid tak tergamak mencatat,
setiap ketar suara,
setiap gigil kata,
yang bertingkah dari sepinya,
izrail pun terkaku terjelu,
lalu berdoa ditugasan terakhir,
jangan biarkan ia tenggelam.

Gebar-gebar bahagia mengintai,
lalu bersembunyi di sebalik dinding harap,
selimut-selimut cinta mengepung,
namun sirna di ambang masa,
menidurinya dengan kelembutan dan manis kata,
janji semalam; usah bimbang, usah curiga,
bergema suara menyambut,
kosong, lampung,
tidak pernah bersahut.

Taman Damai, Simpang Morib,
Banting, Selangor

19-9-2003



LANGKAH-LANGKAH YANG MELAKAR
(sajak ni perlu dicantikkan lagi...............)

berita baru diterima, rasa berbagai warna rasa - terpesona, benak bicara,
enam bulan lamanya, menjadi tetamu di lembah sana,
gagah gedung ilmu, semegah mahligai dalam kisah lipur lara.

Langkah mula melakar cerita, senyum mula terukir - bersua pertama,
membuah rasa naïf kita sebangsa seagama,
‘tak kenal maka tak cinta’, mesra tanpa diduga,
kini langkah telah bermula, dalam perjalanan, meredah lautan ilmu,
antara kisah pedoman, Malim Deman menawan Puteri Bungsu,
dalam dakapan Si Kembang Cina,  jadi lelaki bila diri diterjah malu,
sama Rama, benturan nilai antara Rama-Rawana,
Sita penentu, kasih cinta suci.

Rakus Rawana musnah, Ramayana jadi iktibar,
walau lain percaya, iktibar terus lebar,
Pandawa Korawa – manusia berlainan cita,
Kurukshetra jadi tanda, Krishna memacu kuda,
kualiti kuantiti, pemisah antara dua.
kuat akal budi, lilitan ampuh,
Pandawa berjaya merungkai penyakit jiwa,
bahagia jadi bunga iktibar,
cinta antara Inu Galuh - memagar cinta,
merentas halangan, cinta negara,
akal budi perkasa, Tuah wira, ‘takkan Melayu hilang di dunia!’,
sumpah taat setia, menjunjung maruah bangsa,
melakar indah, jalin percaya,
dalam warkah lama, Sastera Hikayat, Sastera Sejarah,
menyatu namun berbeza.

Langkah-langkah di penghujung, warkah lama - bersua lagi,
untuk mengenal diri, menghirup warisan,
menghidup rongga fikir bangsa.

SMAHADZIR
18-3-2003


LELAKI TUA TENGAH KOTA


Langkah longlai tanpa tujuan,
berpeluh cacat busuk tidak dihiraukan,
pedih dengan lapar kosong perutnya,
sekitar kemewahan,
lalu-lalang kesibukan,
tidak siapa nan melihat,
hanya tatapan kecil melirik orang tua tiada harga nan nanar,
lelaki tua merayu nasibnya,
tak siapa peduli hanya andal memujuk lewat lugu paras,
kota ini bukan untukmu,
kota ini tidak perlukan manusia miskin sepertimu,
terkulai hapak dengan warna buruk membalut tubuh,
tak berwarna seperti longkang itu,

Banting, Selangor
6-9-2003

WAKTU

Bagi pesakit, ia adalah musuh yang mereka tipu saban hari, dengan harapan, namun, di sana, sebalik jeruji dingin, waktu menjadi paduka raja, tidak pernah dikalahkan.

Bagi para politikus dan olahragawan, ia adalah kesempatan singkat, ganas, dan mahal.

Para seniman melihat ia seperti angin, hantu, bahan kimia, seorang anak perempuan, payung, seuntai tasbih, atau sebuah rejim.

Salvador Dali melihat ia boleh meleleh.

Bagi para ilmuwan, ia umpama garis, yang ingin dilipat dan diputar-putar, atau lorong, melemparkan manusia dari masa ke masa, maju atau mundur.

Bagi yang terbaring sakit, tergolek lemah tanpa harapan, ia dipanggil-panggil. tidak datang-datang.

Bagi para petani, ia menjadi raja, mereka tunduk patuh, Bila menanam, bila menyiram, bila menuai, ia adalah titah dari waktu yang sombong, tidak boleh diajak berunding, tidak mempan disogok.

Bagi yang sedang jatuh cinta, ia mengisi relung dada dengan gembira, sekali gus cemas, kerana teristimewa untuk cinta, waktu menjelma menjadi jerat, semakin cinta melekat, semakin kuat waktu menjerat, jika cinta yang lama menukik, jerat itu mencekik.

Bagiku, ia telah menjadi spekulasi mendebarkan, akankah esok semuanya berubah.

Banting, Selangor
19-10-2003


MAKNA

Cinta;
instabiliti temporal dari mental,
dimaksudkan untuk menautkan kembali hati,
pada pusat hakikat satu itu,
berbahaya bila ditujukan objek salah.

Kejayaan;
pencapaian semasa hidup mampu membuat seseorang,
ketika akan menutup mata selama-lamanya,
merasa lega dan bahagia.

Sakit;
rasa tidak nyaman bagi diri,
tumbuh dari bahagian-bahagian tubuh,
menegaskan batas serta perbezaan antara jasad dan roh.

Musuh;
orang paling dibenci,
kerana paling mirip denganku;
saingan terdekat,
dalam kejahatan dan keburukan serupa.

Seri Manjung, Perak
5-12-2003


GADIS YANG MENANGIS
(sajak ini perlu diedit lagi.......)

Malam itu seorang gadis memandikan tubuhnya,
di bawah air terjun setelah perkahwinannya terburu-buru,
sebalik pohon kayu tua, pada petang melelahkan,
takut dan nafsu berlalu dibawa angin ke daun-daun,
tapi tak mahu pergi dari tubuhnya,
berkali-kali digosok dan sabun.

Malam tak terasa dingin sebab sesal dari susunya,
masih membawa bibir laki-laki, menciumnya tiada henti,
membisik cinta dengan dengus nafas,
“Hidup ini hanya untukmu!”

Seorang gadis membiarkan tubuhnya, disiram air dari belahan bukit,
air matanya dalam gelap malam,
hanya bisik insaf menggema.
“Ibu, maafkan anakmu ini!”
ibu tua itu menciumnya,
sehabis sembahyang subuh tadi,
malaikat turut berduka,
pilu di hati mengalahkan pedih di kelangkangan,
“Jika kau menangis dunia turut menangis, amakku.”

Kg Kota Bukit, Sik, Kedah
21-6-2003


SEORANG PENULIS

Apa yang dapat diberikan seorang penulis,
ketika tak ada sesuatu nan dapat mengilhami,
ketika realiti tak cukup untuk menginspirasi,
matikah ia,
bersama tulisan-tulisan lama nan telah lapuk,
dan kehilangan pembaca?
apakah harus dilakukan seorang penulis?
ketika kosong memenuhi imaginasi,
ketika sendiri juga tak cukup berikan ruang,
untuk kehadiran sebuah tulisan,
tak wajar lagikah ia,
tetap disebut penulis,
walaupun tak lagi mampu,
untuk menulis?

Banting, Selangor
19-9-2003

KEPADA ZULAIKHA

Zulaikha; kemerduan suara senandung itu mengalun,
setiap malam menjelang dan ambang senja berlalu,
roh dan jiwa kami berbiak cemas-cinta dan tiupan doa di ubun-ubun,
kami ingin redakan kata-kata menjadi bisikan lembut pengantar tidur,
agar pupus isak tangis dalam lelap seiring pupuk subur,
 kami bacakan dalam lubuk dada,
kami tak hafal tembang purba ini,
hanya larik-larik kata kami kais dari ingatan usang,
namun kami tahu engkau mengerti,
betapa kami tak mampu menanggung tangis.

Zulaikha; bacalah, seperti kau sibuk mengeja nama-nama benda,
merabai tekstur dan ulir,
menganyam warna dan matra,
bacalah mantera dalam kata-katamu sendiri,
kau pinjam dari bahasa langit,
sebagaimana kami mengeja hujan mematuk-matuk jendela,
seperti morse isyarat rahsia,
sebab kami tak ingin berhenti inginkan doa darimu,
mengaji setiap helai detik,
 terjilid rapi dalam kalam indah-Nya.


Banting, Selangor
9-1-2003



SEORANG PENJUAL BURUNG

Dia seorang penjual burung selalu datang ke kampung kami,
sambil melantunkan kata-kata jualan: “burung aku pandai menyanyi.”
anak dara tersenyum mendengarnya,
mereka berdiri di depan cermin dan menyaksikan,
pohon masa sudah mulai berbuah,
banyak burung yang hinggap,
janda-janda muda gembira mendekat,
merasakan betapa pohon cinta hampir gugur,
burung-burung kekenyangan dan terbang,
hanya perempuan-perempuan tua tersenyum marah,
dan kadang-kadang ada yang menangis sambil menggeru:
“aku tak suka burung, habis buah manisku dimakannya.”

“Ayam ada tak, Bang?” demikian ibu separuh usia bertanya,
sambil tersenyum penjual burung itu menjawab:
“aku hanya penjual burung!”

“Burung aku pandai menyanyi,”
kata-kata itu diulang meski semua burung jualan, sudah dibeli orang.

Sudah seminggu daia menutup kedainya,
penjual burung sudah mendapat sangkar burung,
yang cantik lagi menarik,
burungnya belum tentu lagi boleh menyanyi,
mungkin suaranya sudah hilang,
“burungnya tak pandai nyanyi,” ujar seorang anak dara tua,
sambil membelai seekor burung tiung  emas yang merdu suaranya.

Banting, Selangor
30 Mac 2003

PENULIS CAHAYA

Dakwat tergurat,
warna hitam merebak,
menuju putih tergambar pada latar biru,
dan titik-titik hijau,
penulis cahaya hadirkan pagi,
dalam bentang kertas beberapa jengkal,
merangkum semesta yang terbangun dalam permainan aksara,
ketika engkau tergetar,
imaginasi berpacu dengan peluh penglihatan,
kemudian terbentuk diksi dan personafikasi kecerahan,
di manakah engkau sembunyikan malam,
dengan kelamnya jika dalam benakmu,
selalu terbayang cahaya,
yang menghadirkan segala sesuatu nampak indah.

Penulis cahaya,
engkau pernah berkata padaku,
‘gelap adalah bayang dan kecerahan yang tertunda,’
kerana aku menulis rona dan citra yang telah dicerahkan oleh cahaya,
aku ingin membawa mereka,
kepada kenyataan yang apa adanya,
tanpa selubung bayang,
menulis cahaya adalah kejujuranku,
pada yang tampak dan menampakkan watak,
kepada yang menggugah imaginasiku,
demikian aku menyambut dengan keindahan daya ciptaanku.

Banting, Selangor
28-6-2003

SANGAT HAMBAR

Kekadang tak senantiasa mudah,
kita rapuh rangka layangan,
dengan angin dipermainkan,
sudah terlalu panjang,
benang hitam ini kita hulur-hulurkan,
kusut serat cahaya kilat di langit,
tidak lagi boleh kita bezakan,
aku ingin menggulung apa yang tak terputuskan,
sebelum segalanya jadi rumit,
dan tak dapat dihuraikan.

Hujan itu airmata yang melebat tapi sangat hambar,
cinta sesaat memang tak selalu sampai,
“aku ingin menangis,” katamu,
aku mungkin akan jadi sabar,
boleh berkali-kali mendengar,
seperti menyemak sajak terakhir,
karya separuh hati,
seorang penyair yang hampir membuang penanya.

Banting, Selangor
19-10-2003


KHABARKAN PADAKU TENTANG NERAKA

Sudahkah kau khabarkan pada zamrud,
tentang juntai-juntai hujan,
perlahan merenda cerita,
membuatmu tak pernah lagi tertawa,
di tengah musim mulai melambatkan langkahnya.

Sudahkah kau sampaikan pada ranum cemara,
tentang langit dan seluruh hulubalangnya,
tak pernah reda menghadirkan sengketa,
setiap garis takdir kau sebut nazak,
dan kau masih saja meramal.

Sudahkah kau beritakan pada tali pedati,
pada rerumput hijau,
dan pada senja berbadai jingga,
tentang rona semakin mengejarmu,
untuk menutup usia, seperti pujangga ketakutan,
dikejar akhir kata-kata.

Aku sudah mendengar khabarmu dari zamrud,
cemara, dan tali pedati,
di hujung bukit tempat mereka berada,
kata mereka kebelakangan ini,
kau selalu bercerita hingga larut,
hingga lupa tentang sejarahmu,
tentang apa dan siapa,
berakhir seiring lerainya pendar cahaya.

Maaf sahabat; aku tak mampu membantumu menisbikan nestapa,
menciptakan anti teori tentang senyawa duka,
aku cuma mampu mengkhabarkan pada mereka,
tentang sahabat dengan tergesa-gesa,
pergi ke baka, nanti, sesampainya di sana,
khabarkan pula padaku tentang neraka.

Banting, Selangor
12-2-2003

WAJAHKU DI CERMIN RETAK

Tawaku pada cermin retak,
melihat rupaku yang berganda,
kecam diri, hati berbelah,
wajahku berputus dua,
masih kupijak dalam bayangan,
relung gelap dalam malam kelam,
kududuk dengan sepi,
terkhali,
bintang di atas penuh sindiran,
langkah kaki kumantapkan,
bingung menatap pantulan kaca,
mengapa?
ada apa?
pada cermin aku bertanya.

Banting, Selangor
6-3-2003


Tiada ulasan:

Catat Ulasan