KISAH ini berlaku kepadaku beberapa tahun yang lalu. Kala itu aku sedang bercuti di sebuah kampung di utara Malaysia. Kampung tersebut jauh dari proses modenisasi kota di mana keadaannya amat daif. Tiada bekalan eletrik dan air yang disediakan oleh pihak kerajaan menyebabkan penduduknya menggunakan pelita minyak tanah sebagai sumber cahaya sedang air pula diambil dari telaga dan sungai yang mengalir jernih di pinggir kampung.
Aku bercuti di rumah seorang rakan lamaku di kampung tersebut. Sebenarnya, sebagai seorang penulis novel dan cerpen, aku sengaja bercuti di kampung sahabatku itu kerana ingin meladeni suasana kampung sebagai sumber ilham di dalam hasil-hasil karyaku. Rata-rata penduduk kampung berminda agak terkebelakang namun bijak menyesuaikan diri dengan arus kemodenan.
Walaupun mereka tidak dapat menonton televisyen, video atau media-media hiburan yang lain, tetapi radio tetap menjadi kegemaran. Dari radiolah mereka mendapat maklumat kemodenan yang garang melanda tempat-tempat lain. Pun begitu, sebahagiaan dari penduduk terutamanya golongan muda dan remaja sudah berpelajaran.
Mereka bersekolah di bandar yang berhampiran yang letaknya lebih kurang 10 kilometer dari kampung. Dari golongan inilah, maklumat-maklumat yang lebih moden diterima dan akhirnya dipraktikkan di dalam kehidupan seharian.
Kalau dulu penduduk kampung tidak tahu tentang komputer atau multimedia, tetapi kini mereka sudah tahu. Walaupun tidak pernah melihat komputer tetapi mereka sudah tahu menyebutnya. Gambar-gambar tentang komputer yang sering terpampang di dada akhbar menyebabkan mereka kenal apa itu komputer.
Kalau dulu penduduk kampung tidak tahu tentang komputer atau multimedia, tetapi kini mereka sudah tahu. Walaupun tidak pernah melihat komputer tetapi mereka sudah tahu menyebutnya. Gambar-gambar tentang komputer yang sering terpampang di dada akhbar menyebabkan mereka kenal apa itu komputer.
Namun begitu, satu perkara yang masih belum dapat dikikis dari pemikiran kebanyakan penduduk kampung ialah mereka amat mempercayai kisah-kisah tahyul dan mahyul. Busut-busut jantan sering menjadi larangan kepada anak-anak kecil bermain berhampirannya dengan alasan mempunyai penunggu yang mampu mendatangkan musibah yang tidak terduga. Bersiul di dalam rumah menjadi pantang larang yang mesti diikuti kerana bimbangkan ular berbisa.
Begitu juga dengan meniup alat-alat bunyi-bunyian seperti seruling, bangsi atau serunai terutamanya pada waktu senja. Pelbagai ancaman dari kuasa ghaib akan cagun seterusnya merosakkan kedamaian hidup. Begitulah antara yang masih aku ingat tentang kepercayaan kebanyakan penduduk kampung tersebut terutama golongan tua.
Kendatipun begitu, soal sembahyang dan ibadat-ibadat yang lain amat ditaati dan diakuri sepenuh hati. Madrasah berhampiran sebuah sungai di pinggir kampung selalunya sendat dengan penduduk setiap waktu solat. Anak-anak kecil dipaksa mengaji Al-Quran dan Muqaddam setiap petang di madrasah.
Gurunya seorang tua yang dikenali sebagai Lebai Seman. Dia seorang yang warak dan amat dihormati di kampung ini. Selain dari menjadi guru Al-Quran kepada nanak-anak kampung, Lebai Seman juga menjadi imam dan juga ketua kampung. Pendek kata, sebarang masalah yang berlaku dalam kampung, beliaulah yang akan menjadi tempat rujukan.
Yusof, sahabatku pula bukanlah seorang insan yang tergolong dalam golongan yang bodoh atau berminda ortodoks seperti kebanyakan penduduk kampungnya. Beliau merupakan seorang guru lepasan Universiti Utara Malaysia. Aku dan Yusof pernah belajar di universiti yang sama tetapi berbeza fakulti. Selepas kami menamatkan pengajian masing-masing, aku bertugas di sebuah syarikat penerbitan di Kuala Lumpur sedang Yusof pula menjadi guru di sebuah sekolah di Sungkai, Perak.
Sewaktu musim cuti penggal ketiga, kebetulan aku juga mempunyai cuti tahunan yang masih berbaki, Yusof telah mengajakku menghabiskan cuti di kampungnya. Kebetulan waktu itu aku sedang mencari-cari isi dan fakta untuk sebuah novel tentang masalah kemiskinan penduduk kampung, jadi kesempatan tersebut aku terima dengan hati yang sungguh gembira.
Pada hari ke sembilan aku di kampung tersebut, seluruh juzuk kampung sudah aku telusuri. Setiap kegiatan penduduknya telahku catatkan di dalam sebuah buku kecil. Begitu juga dengan tabiat, adat resam, ragam gelagat, tutur kata, kepercayaan, pergaulan, permasalahan dan sebagainya tentang penduduk kampung tersebut sudahku hafal dan bakal dipindahkan ke muka kertas sebagai jalinan cerita yang pastinya berkesan kerana ianya didapati secara berdepan.
Aku bercadang untuk meninggalkan kampung tersebut pada hari yang ke lima belas kerana aku berhasrat menyiapkan novel secepat yang boleh. Isi-isi penting yang telah tercatat dalam buku kecilku seolah-olah meronta-ronta untuk disingkapkan ke muka kertas. Perihal ini telahku khabarkan kepada Yusof dan dia tidak keberatan mengizinkan aku pulang sendirian.
Pada hari yang keempat belas, ketika itu waktu senja. Aku di tepian telaga kerana sedang mengambil wuduk untuk bersembahyang Maghrib. Tiba-tiba aku telah mendengar suara riuh rendah sekawan jeladan terbang rendah melintasi kawasan rumah Yusof. Aku tergamam jola kerana ianya gesit mengingatkan aku kepada pesanan gemulah nenekku sewaktu aku kecil dahulu.
“Ingat, Man! Jika pada suatu hari nanti, tiba-tiba kamu terdengar bunyi gelicau atau riuh rendah sekawan jeladan terbang senja melintasi rumah, hubaya-hubayalah!”
“Kenapa, nek?” soalku tercolek ingin tahu.
“Itulah alamat hantu perewang sedang meminta darah atau meminta nyawa!” ujar nenek.
“Apa maksudnya, nek?” aku bertanya lagi.
“Kalau permintaan tersebut tidak ditunaikan, hantu perewang akan marah. Dia akan menyembur kuman penyakit atau anak-anak syaitan untuk mengganggu kedamaian dan kesejahteraan penduduk kampung.”
Mendadak aku dijerba seram yang amat sangat.
“Bukan itu saja!” tokok nenek lagi. “Musibah atau mala petaka yang dibawa oleh hantu perewang itu akan menimpa salah seorang dari ahli keluarga di mana rumahnya dilintasi jeladan tadi. Maknanya, kalau jeladan itu melintasi rumah kamu, kamu atau ahli keluarga kamulah yang akan kena hubaya!”
Cerita nenek itu mendadak melenyap dari copeng telinga kerana suara azan sudah berkemundang dari corong radio, membuatkan aku tergesa-gesa naik ke atas rumah untuk bersembahyang Maghrib bersama Yusof dan ayahnya.
Setelah selesai solat berjemaah berimamkan ayah Yusof yang aku panggil pak cik Ya, kami menjamah makanan malam. Selepas makan, kami berehat di anjung rumah serya bersembang pelbagai kisah. Kesempatan itu telah kuambil untuk menceritakan tentang bunyi riuh suara jeladan yang aku dengan senja tadi.
Walaupun aku begitu serius membentangkan kisah yang pernah aku dengar dari mulut gemulah nenekku, namun tidak sedikit pun berupaya menimbulkan sebarang rasa bimbang di hati keluarga Yusof. Sebaliknya Pak cik Ya menasihatkan aku supaya tidak berfikiran kolot seperti arwah nenek.
Walaupun aku begitu serius membentangkan kisah yang pernah aku dengar dari mulut gemulah nenekku, namun tidak sedikit pun berupaya menimbulkan sebarang rasa bimbang di hati keluarga Yusof. Sebaliknya Pak cik Ya menasihatkan aku supaya tidak berfikiran kolot seperti arwah nenek.
“Itu semua cerita karut!” katanya seolah-olah menafikan ceritaku.
“Saya pun tak percaya sangat, pak cik!” ujarku. “Tetapi, saya pernah mendengar suara jeladan begitu sewaktu saya masih kecil dulu.”
“Habis, apa yang terjadi?” tanya pula Yusof.
“Selang dua hari selepas itu, abang saya meninggal dunia kerana terjatuh dari pokok petai!” jelasku.
“Maksud kamu, kematian abang kamu tu ada kena mengena dengan bunyi jeladan?” soal pak cik Ya.
“Mungkin satu kebetulan saja!” ujarku seraya mengeluh berat.
Pak cik Ya tersenyum. “Sebagai orang Islam, kita harus percaya dan meyakini bahawa segala yang berlaku sama ada baik atau buruk adalah ketentuan dari Allah SWT. Pak cik tak mudah mempercayai bahawa sebarang kematian dan mala petaka dibawa oleh burung atau hantu jembalang.”
“Memang betul pak cik!” aku menyokong lunak. “Setiap kejadian yang berlaku di atas muka bumi ini, semuanya dengan kehendak Allah! Namun begitu, kita harus juga akur bahawa kadang-kadang ada juga kebenarannya cerita orang-orang tua tentang syaitan dan iblis yang kerjanya merosakkan itu!”
“Orang-orang tua dulu kebanyakannya tak beriman, Man!” tukas pak cik Ya beriak jengkel. “Mereka juga tak berilmu. Sebab itulah mereka terlalu percayakan tahyul dan mahyul begitu. Orang-orang kampung ni pun ramai yang begitu. Tapi, pak cik tidak seperti mereka. Walaupun pak cik tak bersekolah tinggi, sekadar berguru dengan beberapa orang guru agama saja, tapi pak cik tetap meyakini kuasa Allah. Iblis dan syaitan tidak mempunyai apa-apa kuasa lebih-lebih lagi nak mencabut nyawa seseorang hamba Allah atau anak Adam. Dia cuma boleh mengganggu, menghasut supaya berbuat mungkar tapi tak berupaya membunuh orang.”
Ungkapan panjang lebar dari pak cik Ya itu membuatkan aku terus bungkam. Aku tidak langsung berkesempatan menerangkan kefahamanku tentang cerita gemulah nenek. Memang aku tidak mempercayai bahawa syaitan dan iblis berkuasa mencabut nyawa seseorang hamba Allah, tetapi sebagai manusia yang lemah kita mesti berwaspada selalu.
Apa yang perlu dilakukan untuk mencegah sebarang kerosakan yang dibawa oleh makhluk Allah yang jahat itu ialah dengan cara bertindak mengikut petua yang sudah ditetapkan. Aku berkeyakinan bahawa petua adalah antara usaha terakhir kita untuk mencegah sesuatu musibah selain berdoa ke hadrat Al-Khalik. Contohnya, untuk menghindarkan sesuatu penyakit, petuanya ialah dengan mengurangkan memakan secara berlebihan.
Untuk menghindarkan dari mudah terlupa, jangan makan kepala ikan. Untuk mengatasi masalah benak menerima ilmu, pastikan tidak menjamah makanan yang terdiri dari organ-organ dalam badan seperti hati, limpa, perut dan sebagainya.
Walaupun petua-petua ini tidak terdapat di dalam Kitab-kitab Fekah tetapi tercatat dalam Kitab-kitab Tasauf. Inilah yang aku cuba terangkan kepada pak cik Ya tetapi gagal kerana orang tua itu menolak total sebarang pendapat. Akibatnya, aku tidak nyedar tidur pada malamnya mengenangkan peristiwa tersebut.
Walaupun petua-petua ini tidak terdapat di dalam Kitab-kitab Fekah tetapi tercatat dalam Kitab-kitab Tasauf. Inilah yang aku cuba terangkan kepada pak cik Ya tetapi gagal kerana orang tua itu menolak total sebarang pendapat. Akibatnya, aku tidak nyedar tidur pada malamnya mengenangkan peristiwa tersebut.
Keesokkan hari, sebaik selepas bersolat Zohor, aku meninggalkan sahabatku Yusof dan kampung kelahirannya dengan rasa yang penuh resah dan bimbang. Gelisar perasaanku terbawa-bawa hingga ke dalam kereta api malam. Pelbagai bayangan bergentayangan, pelbagai gambaran membuncah di cepu kepala dan pelbagai persoalan menghenyak benak.
“Bila kita boleh jumpa lagi?” Aku masih ingat, itulah pertanyaanku kepada Yusof sewaktu di stesen kereta api. Dia menghantarku dengan sedikit bekalan dari kampungnya berupa beberapa papan petai, tempoyak, nasi goreng dan rendang kambing gurun. Semuanya diisi di dalam plastik dan diikat rapi.
Kalau kedatanganku dulu hanya menjinjit sebuah beg pakaian berserta alat-alat tulis, tapi kepulanganku ini bersama dua beg yang agak berat juga untuk digalas. Namun aku bersyukur, rezeki pemberian Allah ini tidak boleh ditolak. Nanti dimurkai-Nya sebagai insan yang kufur nikmat. Nau’ zubillah!
“Insya-Allah! Jika diizinkan Tuhan, kita akan berjumpa lagi,” balas Yusof. “Aku bercadang hendak ke kampung kau pula pada cuti yang akan datang.”
“You’ re welcome!” ujarku tak dapat ditahan-tahan. “Kecil tapak tangan padang bola aku tadahkan. Tapi, kampungku tak sedamai kampung kau, Sof! Ala… takkan kau tak tahu, di Batu Berdinding tak ada apa yang menarik. Sekadar tercatat dalam sejarah sebagai tempat Datok Sagor melancarkan penentangan terhadap penjajah saja!”
“Yang penting, aku akan datang ke kampung kau sebagai seorang sahabat baik. Soal seronok atau tidak, damai atau tidak, cantik atau tidak, tak jadi soal!” balas Yusof sambil tersenyum.
Aku turut tersenyum dan di dalam kami saling berbalas senyuman dan lambaian itulah kereta api bergerak lancar meninggalkan Yusof. Sedih juga meninggalkan seorang sahabat baik. Entah bila akan berjumpa lagi. Tugas dan tanggungjawab kami terlalu sibuk untuk berjumpa selalu.
Lagipun, Yusof di Perak sedangkan aku di Kuala Lumpur. Untuk bertemu bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Tambahan tugasku sebagai editor, amat sarat dengan kesibukan yang sesekali begitu mencengkam seluruh perasaan dan kehidupan. Di samping itu, aku terpaksa berkejar dengan masa untuk menyiapkan cerpen dan novelku sendiri. Inilah antara sebab mengapa aku tidak mempunyai banyak masa terluang.
Gegar kereta api bagai berjalan atas batu kerikil. Menggerutup dan menggetarkan seluruh juzuk tubuh. Train channel sedang menayangkan Anna and The King tetapi tidak berupaya menarik minat. Wajah ceria Yusof, wajah kedut tua pak cik Ya, wajah-wajah warga kampung dan sebagainya acap benar mengirap ke sepasang mata. Perasaanku jadi libang libu. Tatkala suara riuh jeladan menjerba gegendang telinga, mendadak ingatanku kepada gemulah nenek gesit bertandang ke ruang benak.
“Jika pada suatu hari nanti tiba-tiba kamu terdengar bunyi riuh rendah sekawan jeladan terbang senja melintasi kawasan rumah kamu, hubaya-hubayalah! Itu tandanya malapetaka akan menimpa diri salah seorang dari keluarga atau penduduk kampung!”
Begitulah mukadimah cerita gemulah nenekku.
Aku masih ingat, sebaik nenek berkata begitu, aku gesit mengensot rapat ke arah nenek. Aku sudah agak, tentunya cerita seram yang akan nenek paparkan. Selalunya kisah hantu dan seramlah yang akan membuatkan aku tidur cepat, berkerekot di celah ketiak nenek.
“Tapi, ada penyakit ada ubatnya. Ada hantu yang datang mengganggu ada caranya boleh di-halang. Begitu juga kalau ada racun, adalah penawarnya. Sebab itulah, orang-orang tua dulu, kalau terdengar saja bunyi riuh jeladan terbang waktu senja melintasi rumah, mereka akan segera keluar dari rumah sambil di tangan masing-masing membawa sengkalan. Mereka akan memukul sengkalan itu dengan senduk atau sudip!” ujar nenek.
Aku diam. Rongga dada mulai berdebar kecil.
“Sambil mengetuk sengkalan dengan senduk atau sudip, mereka juga akan melaung ke langit senja!” jelas nenek lagi.
“Melaung macam mana nek?” aku gesit bertanya, tak sabar sungguh ingin tahu.
“Nenek! Nenek! Bawalah jantungnya!” ujar nenek tentang laungan yang perlu disuarakan oleh orang-orang tua dahulu.
“Kenapa perlu melaung begitu?” aku bertanya lagi.
“Sebab, kononnya bunyi jeladan itu adalah alamat, ‘hantu perewang’ atau ‘hantu pemburu’ sedang melintas dengan membawa sebatang panah, sebilah keris, sebilah sundang, sebilah kelewang dan didahului beberapa ekor serigala buruan!” jelas nenek.
Menurut nenek lagi, hantu perewang atau hantu pemburu tersebut selama-lamanya akan berburu di segenap hutan belantara dan kampung halaman terutama kampung yang terletak berhampiran dengan hutan rimba yang besar. Jika seseorang telah terkena kelintasannya, orang itu akan diserang penyakit berbahaya yang boleh membawa mati. Orang itu juga mungkin boleh ditimpa sebarang mala petaka berupa kematian yang ngeri.
Tapi, sebelum itu, akan didahului penyakit lalai atau seronok yang berlebihan sehingga menyebabkan dia tidak sedar yang maut sedang menantinya di hadapan. Jika orang itu sekadar terkena keteguran oleh hantu perewang atau hantu pemburu ini, dia hanya akan diserang demam panas saja.
“Errr… macam mana kalau kita nak selamat, nek?” aku tak jemu jelak bertanya.
“Menurut orang dulu-dulu, apabila hantu perewang atau hantu pemburu itu terdengar bunyi sengkalan diketuk dengan senduk atau sudip serta memanggilnya dengan panggilan ‘ nenek’ dan meminta supaya ‘dibawa jantungnya’, dia menyangka bahawa orang itu adalah salah seorang dari rakyatnya!” jawab nenek.
“Errr, apa pula maksudnya ‘dibawa jantungnya’?” soalku lagi, sambil bersenggeng di atas paha nenek. Ketika itu nenek telah pun menggobek sireh pinang kegemarannya.
“Maksudnya… sebahagian dari binatang yang diburu oleh hantu perewang atau hantu pemburu itu!” jawab nenek. “Hantu tu dah pasti tak dapat memberikannya tapi dia tahu yang melaung itu adalah salah seorang dari anak cucunya yang mesti dilindungi dan diselamatkan.” Nenek bersahaja namun tangan tetap usil menghancurkan campuran pinang, sireh, gambir dan kapur di dalam gobek buluh. Bunyi berkeletuk keletak bergerapak di copeng telinga membuatkan aku terpaksa mengangkat kepala dari atas paha nenek. Tersenyum lega orang tua itu kerana beban berat di paha melenyap sudah.
Sejurus selepas pinang gobek berpindah ke dalam mulut, nenek terus menyambung semula ceritanya. Pada anggapanku, tentu saja nenek mengharapkan supaya aku cepat tidur. Tetapi, mataku sengaja disengkangkan. Biar acap benar terkuap menahan kantuk. Aku begitu berminat untuk mendengar pengakhiran cerita.
“Pada zaman dulu, di sebuah negeri yang bernama Mambangan, tinggal seorang petani bernama Perewang. Pada suatu ketika, isterinya yang bernama Mak Pari sedang sarat mengandung dan mengidam pula daging kijang bunting anak jantan!” ujar nenek memulakan ceritanya.
Aku menggelisar sejenak mencari bantal busuk yang nyalar setia di sisi. Bantal itu segera kuletakkan atas lantai setelah kepala berlabuh selesa di atasnya. Aku kira dengan cara begitu, lebih seronok dan tenang mendengar cerita nenek.
“Mak Pari telah merayu pada suaminya Perewang itu supaya pergi ke hutan untuk memburu kijang yang dimaksudkan dengan kadar yang segera. Sesungguhnya, dia sudah tidak dapat tahan lagi untuk menjamah daging kijang bunting anak jantan itu!”
Aku diam seraya mencapang copeng telinga, kanan dan kiri.
“Dengan membawa empat jenis senjata bersama serigala buruannya yang bernama Kumbang, Nibung, Pintar dan Aru-Aru, Perewang pun pergilah ke dalam hutan untuk memburu kijang idaman isteri kesayangannya, Mak Pari!” jelas nenek.
Kelopak mata acap meluyut. Tentu sekali sudah jauh malam, fikirku. Namun, kukuatkan semangat supaya cerita nenek ini tidak terputus di tengah jalan.
Kelopak mata acap meluyut. Tentu sekali sudah jauh malam, fikirku. Namun, kukuatkan semangat supaya cerita nenek ini tidak terputus di tengah jalan.
“Malangnya, apa yang dicari oleh Perewang tidak berjaya ditemui…!”
“Eh, kenapa pula nek?” aku gesit mencelah. “Err… bukankah dalam hutan tebal banyak kijang berkeliaran?”
“Itu memang benar!” jawab nenek. “Dalam hutan tebal memang banyak kijang berkeliaran. Tapi, perewang telah tersalah faham. Dia menyangkakan, isterinya mengidam kijang jantan bunting. Jadi, apa yang dicarinya ialah kijang jantan bunting. Tentulah tak mudah dijumpai!”
“Bodoh juga Perewang tu, ye nek?” aku bersahaja seraya mencebek jengkel.
Nenek tersengih lebar. “Jangan tuduh orang lain bodoh, tak baik! Nanti Tuhan marah!” ujar nenek lunak. “Siang malam Perewang terus memburu kerana sebelum meninggalkan rumah dia telah bersumpah tak akan pulang selagi kijang jantan bunting yang menjadi buruannya tak berjaya ditemui. Dia tak sampai hati melihat isterinya kecewa. Seboleh-bolehnya, dia mahu juga mendapatkan kijang tersebut. Walaupun dah banyak kijang yang berjaya dibunuh dan dibelah perutnya, tapi Perewang masih belum berjumpa lagi dengan kijang jantan bunting.”
Nenek tersengih lebar. “Jangan tuduh orang lain bodoh, tak baik! Nanti Tuhan marah!” ujar nenek lunak. “Siang malam Perewang terus memburu kerana sebelum meninggalkan rumah dia telah bersumpah tak akan pulang selagi kijang jantan bunting yang menjadi buruannya tak berjaya ditemui. Dia tak sampai hati melihat isterinya kecewa. Seboleh-bolehnya, dia mahu juga mendapatkan kijang tersebut. Walaupun dah banyak kijang yang berjaya dibunuh dan dibelah perutnya, tapi Perewang masih belum berjumpa lagi dengan kijang jantan bunting.”
Aku semakin tertarik walau kuap acap benar cagun, rengsa merayap ke seluruh juzuk kelopak mata. Mengganggu konsentrasi.
“Akhirnya Perewang berkata kepada dirinya sendiri, ‘Sudah seluruh pelosok dan juzuk hutan belantara ini aku jelajahi tapi kijang jantan bunting idaman isteriku tidak juga ditemui. Sekarang, aku berazam untuk memburu di langit pula!”
“Memburu di langit?” aku terlunga dan terjeda. “Di langit ada hutan ke nek?”
“Janganlah menyampuk!!” marah nenek. “Dengar dulu cerita nenek!”
Aku gesit diam. Tergamam dengan kemarahan nenek.
“Perewang pun melaung-laung menyuruh semua serigalanya naik ke langit sementara dia sendiri berjalan di bumi sambil mendongak ke langit. Setelah beberapa lama mendongak ke langit, dia tetap juga tidak berhasil bertemu dengan kijang jantan bunting tersebut. Oleh kerana terlalu lama mendongak, akhirnya kepalanya sendiri terlekat ke belakang sehingga tak boleh tunduk dan memandang ke bumi lagi!”
Dalam terkuap-kuap itu aku terhimbau untuk ketawa gelihati. Namun kecil saja. Aku bimbangkan kemarahan nenek berulang kerana ketawakan orang.
“Pada suatu hari, selehai daun selimbak telah jatuh ke atas leher Perewang. Tumbuhlah tunas dari daun itu sehingga akhirnya jadi sepohon selimbak, berakar umbi di lehernya. Walaupun begitu, Perewang terus juga berburu untuk mendapatkan kijang idaman isteri kesayangannya.”
Kala ini aku bukan saja sudah acap terkuap malah terangguk-angguk pula. Kepala terasa amat memberat. Mata meluyut tidak keruan. Namun berjaya terbeliak setelah kopi pekat lebihan nenek ditogok rakus.
“Sementara itu, Mak Pari di kampung halaman telah melahirkan dia orang cahaya mata. Seorang lelaki bernama Adujaka dan seorang lagi perempuan bernama Kemboja Nuni!”
Pelik sungguh nama orang-orang dulu, bisik hatiku.
“Begitu lama menunggu kepulangan Perewang, akhirnya Adujaka dan Kemboja Nuni pun membesar dalam jagaan Mak Pari seorang. Pada suatu hari, Adujaka bermain-main dengan seorang rakan sebaya. Akibat merebut sebiji buah kedondong masak, dia telah bergaduh dengan rakannya itu. Dengan marah rakannya itu menyebut-nyebut nama bapa Adujaka yang lenyap entah di mana.”
“Apa yang budak tu kata, nek?” soalku.
“Dia kata, ‘Betullah kau ni macam bapa kau juga. Dah jadi hantu pemburu. Berburu di hutan siang malam. Makan minum, anak isteri dah tak diingat lagi. Oi anak hantu! Pergilah kau ikut bapa kau di hutan tu!!”
Menurut nenek seterusnya, Adujaka gesit berlari pulang dan mengadu kepada Mak Pari.
“Benar kata budak tu, Jaka!” ujar Mak Pari. “Bapa kau memang dah jandi hantu pemburu. Entah berapa lama berada di hutan belantara. Sampai sekarang tak balik-balik. Emak sendiri tak tahu sama ada dia dah berjaya bertemu dengan kijang idaman emak atau tidak!”
Mendengar penjelasan ibunya, Adujaka menangis tersedu-sedu. Dia sungguh sedih dan terharu dengan nasib yang menimpa ibunya. “Kalau begitu, izinkan saya mencari bapa di hutan, mak!” ujarnya sebaik tangisannya mereda.
“Buat apa kau nak cari bapa kau?” tanya Mak Pari.
“Saya mahu dia pulang ke pangkuan kita, mak!” jawab Adujaka.
“Tak mungkin dia akan pulang lagi!” ujar Mak Pari. “Bapa kau dah jadi hantu pemburu!”
“Saya tak peduli. Saya nak cari juga!” bentak Adujaka.
Kerana terlalu mendesak, akhirnya hasrat Adujaka itu terpaksa ditunaikan oleh Mak Pari
“Ingat, bapa kau bernama Perewang. Nama serigalanya, Kumbang, Nibung, Aru-Aru dan Pintar!” ujar Mak Pari. “Apabila kau berjumpa dengan seorang hantu pemburu yang sentiasa mendongak ke langit, membawa empat bilah senjata iaitu panah, keris, sundang dan kelewang, dia itulah bapa kau!”
Adujaka mengangguk-angguk.
“Apabila mendengar bunyi angkatannya mara ke arah kau, panggillah nama bapamu iaitu Perewang dan sebut juga nama serigala-serigalanya. Kemudian sebut nama kau dan namaku juga. Tentu dia akan mengenali kau iaitu anaknya sendiri,” tambah Mak Pari.
“Saya akan membunuh rakan saya itu setelah saya berjumpa dengan bapa nanti!” ujar Adujaka. “Baru dia tahu siapa anak hantu ini sebenarnya!”
Setelah berkata begitu, Adujaka pun masuk ke dalam hutan untuk mencari bapanya. Di pertengahan jalan, dia telah bertemu dengan seorang tua yang bertanyakan tentang tujuannya. Adujaka segera menjelaskan hasratnya.
“Jadi, kau ini anak Perewanglah?” orang tua tersebut tersenyum lebar. “Baguslah kalau begitu. Kalau kau dah bertemu dengan bapa kau itu, tolong tanyakan, di mana dia telah menyimpan sebilah pahat. Pahat itu milikku, telah dipinjam oleh bapamu sebelum dia menjadi hatu pemburu dulu!” ujarnya.
Setelah berjanji akan mencari dan memulangkan semula pahat tersebut kepada orang tua itu, Adujaka pun meneruskan perjalanannya. Beberapa lama kemudian, dia terdengar bunyi suara orang berburu sedang mara ke arahnya. Sebaik suara itu hampir, Adujaka pun segera melaung nama bapanya dan juga nama serigala-serigala yang telah dinyatakan oleh Mak Pari. Dengan serta merta dia dapati dirinya kini sudah berdepan muka dengan bapanya.
Selesai Adujaka menyampaikan pesanan emaknya dan permintaan orang tua yang dijumpai di pertengahan jalan, Perewang pun berkata, “Benarlah kau ini anak aku. Aku sungguh terharu kerana tidak berjaya memeliharamu sampai besar begini. Namun, emak kau telah berjaya menggantikan aku. Baguslah! Tentang pahat itu pula, memang ada aku pinjam dari orang tua tersebut waktu membuat sebatang tangga dulu. Aku telah menyimpannya dalam seruas buluh. Cari dan ambillah pahat tu dan segera pulangkan kepada tuan yang empunya. Sekarang baliklah. Jaga emak dan adik perempuan kau baik-baik!”
“Sebelum saya datang dulu, saya telah berazam akan membunuh seorang budak!” ujar Adujaka kepada bapanya.
“Kenapa mahu membunuhnya?” tanya Perewang.
“Dia telah mencerca, menghina dan memburuk-burukkan nama saya dan bapa!” jawab Adujaka.
“Kalau begitu, bunuhlah budak yang celupar itu!” tegas dan gerah suara Perewang. “Makanlah jantungnya dan minumlah darahnya. Bapa izinkan!”
“Terima kasih, bapa!” balas Adujaka dengan azam yang mulai menyala di dada.
“Sebelum kamu pulang, ini ada satu pesanan bapa,” ujar Perewang. “Jika kau tiba-tiba terdengar bunyi jeladan pada waktu senja, itulah tandanya bapa sedang melintas!” Setelah berkata begitu, tiba-tiba Perewang ghaib dari pandangan mata Adujaka.
Adujaka meneruskan perjalanan pulang dengan hati yang puas. Dia puas kerana berjaya bertemu dengan bapanya sendiri setelah sekian lama berpisah. Apabila sampai di rumah, Adujaka segera menceritakan segala-galanya kepada Mak Pari serta menyampaikan juga segala pesanan bapanya. Pahat orang tersebut juga dicari dan diserahkan semula.
Mak Pari amat terharu mendengar cerita Adujaka. Kerana kasih dan tidak mahu berpisah terus dengan suaminya, Mak Pari pun masuk ke dalam hutan untuk turut berburu bersama Perewang. Adujaka dan Kemboja Nuni juga turut serta. Mereka bersama-sama menjadi hantu pemburu.
“Dan sehingga sekarang, kononnya ada orang yang masih kena kelintasan atau keteguran hantu perewang atau hantu pemburu itu!” ujar nenek. “Sebab itulah, kalau kau mendapati orang yang terkena kelintasan atau keteguran macam tu, inilah petua yang mesti dilakukan!”
“Macam mana petuanya, nek?”
“Ambil saja daun bonglai, resam, gasing-gasing dan daun pisang hutan. Ricih halus-halus dan ramas dalam air di mangkuk jeluk. Masukkan sedikit pinang dan kemudian sapukan airnya pada badan orang itu dengan daun sireh!” ujar nenek.
“Bagaimana kalau jeladan sekadar melintas atas rumah?” tanyaku lagi.
“Lakukan perkara yang sama pada setiap ahli keluarga yang ada di rumah tu!” jawab nenek.
“Kalau gagal melakukannya?”
“Terimalah malapetaka yang bakal terjadi!”
Ngeluyur benakku gesit bubar tatkala kereta api tiba di Kuala Lumpur. Bagai kemamar dan kelinglungan aku bangun. Yongyat mencapai beg galas. Setelah dua hari di pejabat, entah kenapa tiba-tiba saja hatiku berdebar-debar tidak keruan. Wajah Yusof di kampung halamannya mengirap mesra ke sepasang mata. Seharian aku dijerba rusuh jiwa yang amat menghenyak.
Sewaktu aku mahu melangkah pulang dari pejabat, Amri, rakan sepejabatku tiba-tiba meluru mengatakan ada panggilan telefon untukku. Dan aku hampir pengsan kala mendapat berita bahawa Yusof telah meninggal dunia kerana terlibat dalam satu kemalangan yang dahsyat. Tak semena-mena aku meraung bagai dirasuk jembalang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan