SMAHADZIR
Malam hening dan khali. Di
dada langit, awan bergomol-gomol membentuk gumpalan-gumpalan gelintin. Aku
masih terkedang di atas tikar mengkuang di anjung rumah. Mataku terkesip-kesip
merenung mengkawan, kayu kasau dan atap nipah yang samar-samar saja pada
penglihatan. Kemiskinan bukan sesuatu yang asing bagiku. Dengan hasil penulisan
yang terlalu sedikit, aku tidak berjaya untuk menjadi kaya-raya. Namun begitu,
dengan gajiku sebagai guru tuisyen Bahasa Melayu di kelas tuisyen milik rakanku,
dapatlah juga membantu kehidupan bersama seorang isteri dan dua orang zuriat
kami.
Ngiau
kucing jantan di halaman rumah mengejutkan aku dari lamunan. Aku cuba
membayangkan kembali sejarah perjuanganku di bidang penulisan. Dengan nama samaran
Jauhar HS, aku menulis cerpen-cerpen yang berkisar soal bahasa slanga dalam
kalangan remaja, bahasa rojak, gejala sosial, keruntuhan akhlak masyarakat,
masyarakat yang malas membaca, perjuangan memartabatkan bahasa Melayu dan
sebagainya. Namaku tidak gah di mata masyarakat malah tersembunyi dari
pengetahuan sebahagian besar warga kampung. Apa yang mereka tahu, aku hanyalah
seorang guru tuisyen yang lebih kurang setaraf dengan mereka saja. Mereka tidak
pernah memberi apa-apa penghargaan kepada seorang yang bergelar penulis.
Hasil
karyaku pula bukanlah dibaca serta dihayati oleh semua orang. Barangkali juga
kerana mereka tidak suka membaca. Aku tidak mahu menyalahkan mereka dalam soal
ini. Kesedaran terhadap pentingnya membaca masih belum berjaya terserap dalam
jiwa masyarakat secara total.
Ini
semua sering aku jadikan bahan dan plot cerita di dalam cerpen-cerpen yang aku
hasilkan namun tidak pernah dijadikan pedoman apalagi pencetus semangat untuk mengubah
sikap. Rata-rata masyarakat kampungku lebih gemar berhibur sebaik selepas
bekerja. Ada yang suka meniup seruling di bawah pohon bambu atau
bersembang-sembang kosong di dangau bawah pokok kelapa. Tidak kurang juga ada
yang suka melahu tanpa arah tujuan.
Pendek
kata, kehidupan masyarakatku sekadar untuk hari ini sahaja. Rezeki yang dicari
mereka, akan dicari lagi esok hari sekiranya rezeki yang dicari hari ini sudah
habis dimakan. Inisiatif untuk melipatgandakan usaha dan hasil pendapatan,
jarang dijadikan amalan hidup. Tanah-tanah kosong sama ada di depan atau
belakang rumah banyak yang terbiar ditumbuhi lalang. Ungkapan bahawa rezeki
secupak tak akan jadi segantang begitu sinonim dengan hidup dan terlalu sukar
untuk dienyahkan dari diri.
Ini
semua membuatkan aku rasa sungguh kecewa. Cita-citaku untuk mengubah nasib masyarakatku
bagaikan terkucel lunyai. Aku gagal sebagai seorang pencetus semangat perubahan
melalui penulisan.
Malam
terus merangkak dalam kepayahan. Isteri dan dua orang anak kecilku tentunya
sudah lama nyenyak dibuai bidadari mimpi. Lampu pelita ayan di satu sudut segera
kupadamkan. Aku mulai memejamkan mata rapat-rapat untuk mengusir segala
persoalan dan bayangan yang bergentayangan di ruang mata.
Sejurus
kemudian, tiba-tiba saja aku dijerba kejut. Dia berpakaian seperti seorang serikandi
zaman silam. Aku melihat kedatangannya dengan seekor kuda putih, bersayap turun
dari kayangan di halaman rumah. Pelana kuda itu berkilauan dengan kencana
kuning lebih-lebih lagi kala disuluh cahaya bulan biarpun amat temaram ditutupi
gumpalan awan. Sinarnya berupaya mencerahkan seluruh juzuk rumahku. Aku juga
sempat melihat ladam kuda itu yang dibuat dari besi khursana aswad, berdetup-detap
sewaktu memijak pasir-pasir halus di halaman rumah.
Ingin
bertemu dengan dia memang sudah lama terkulum kemas di dasar dadaku. Sejak
kecil lagi. Dialah SN Rahman Shaari yang datang dari Singgahsana Sastera. Aku
sungguh gembira kerana aku antara manusia pilihannya. Hasrat dan cita-cita mahu
bertemu dengan SN Rahman Shaari ini tidak pernah menjadi realiti sejak aku
kecil lagi maklumlah, dia di singgahsana persada sedang aku ini persis
kura-kura di baruh. Kerdil dan naif. Lantaran itulah jantung bagai mahu
terlesit. Lutut kecoh menggelepar. Dada menggerutup. Pelbagai rasa beraduk,
bergerawan - gembira, malu, segan dan yang selebihnya tidak percaya.
Aku
melihat jarum jam buruk yang tergantung di dinding sudah bersatu di angka dua.
Sebaik pintu rumah dikuakkan, dia segera masuk lalu duduk tercongok bersimpuh
di atas tikar mengkuang seraya menyandarkan badannya pada tiang seri di anjung.
Aku tergamam jola dengan kesudiannya tidak memandang hina dengan keadaan
rumahku lantas membuatkan aku terkejur sejenak dengan biji mata terkesip-kesip.
Kehairanan dan bagai rasa tidak percaya. lakah yang tercongok bersimpuh itu SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera? Berkali-kali aku menggenyeh-genyeh kelopak
mata. Pipi ditampar-tampar. Nyata, ini bukan ilusi.
“Maaf kalau kedatangan tanpa izin ini mengganggu
keharmonian hidup kamu,” ujarnya sewaktu aku melabuhkan punggung di hadapannya.
“Sebenarnya saya datang kerana ada hal mustahak,” tokoknya membuatkan aku jadi
lebih terkesima.
“Hal
mustahak?” aku tertanya-tanya namun sempat mencapai tepak sireh lalu kuhulurkan
kepadanya. Tepak sireh itu adalah kepunyaan ibuku yang sudah tua.
“Kamu menulis lagi?” suaranya mencerlus lunak gesit
mematikan lamunan singkatku. Kemamar juga setagal.
“Sikit-sikit, Datuk!” ujarku terus terang. “Tapi, sejak
dua tiga hari ini saya rasa macam patah semangat untuk meneruskan perjuangan di
bidang penulisan. Banyak sangat kekecewaan yang menghenyak perasaan saya.”
“Sebagai
penulis, mesti terus menulis. Jangan majal idea. Tulis apa saja. Ingat, kita
ini jurubicara sosial. Jangan takut tegakkan kebenaran!” ujarnya polos dan
bersahaja. Panjang lebar pula hujahnya. Sambil itu tangannya sempat mencapai
sehelai daun sireh, secalit kapur, dua piak pinang dan secubit gambir. Semua
ramuan itu dilipat-lipat lalu dimasukkan ke dalam mulutnya.
Melihat raut wajahnya yang mesra dan ikhlas itu, aku jadi
bertambah berani untuk bersembang lebih panjang. Rasa gementar di dada yang
tadinya begitu menggemirap kian melenyap entah ke mana. “Sebenarnya, dah agak
lama juga saya tak menulis, Datuk!” ujarku setagal kemudian. “Entahlah,
kadang-kadang rasa jelu jadi penulis. Dunia penulisan di tanah air kita ni serasa
hanya berlegar sesama penulis saja. Masyarakat luar kurang peduli. Cerpen dan
sajak penulis hanya dibaca oleh rakan-rakan penulis saja. Begitu juga buku...”
“Jangan
cepat putus asa. Terus tulis, jangan mandom. Cari saluran yang memperjuangkan
kebenaran, yang penting idea kebenaran dapat dicegatkan!” cantasnya sembari tersenyum.
“Errr, saya kurang faham maksud Datuk?” aku
terkesip-kesip.
“Zaman sekarang ni, masyarakat kita perlu disedarkan,”
ujarnya.
“Itu saya tahu, Datuk!” balasku. “Memang itulah yang
selalu saya tulis. Saya tidak pernah lupa menyerapkan itu semua dalam setiap
tulisan saya tapi yang menjadi masalahnya, sukar untuk mendapat tempat. Saya ni
penulis kerdil, Datuk! Tak pandai nak tulis isu yang berat-berat. Sekadar isu
biasa...”
“Jangan pedulikan hakikat itu. Kamu mesti teruskan perjuangan
di bidang penulisan. Tulis apa saja yang kamu suka dan kamu kuasai. Kalau karya
kamu tak tersiar di media masa, kamu boleh tulis dan tampalkan di batang-batang
pokok kepala sekitar kampung. Yang penting, usaha kamu sudah dilaksanakan. Sama
ada masyarakat nak baca atau tidak, itu hak mereka,” jawabnya seraya tersenyum.
Aku sekadar mengangguk nipis. Rasa bersemangat juga tapi
rasa kerdil diri menyergap. Siapalah aku, aku bukannya seorang Sasterawan
Negara.
Untuk merealisasikan cadangan SN Rahman Shaari dari Singgahsana
Sastera ini bukanlah sesuatu yang mudah, fikirku. Untuk menulis itu senang
tetapi untuk menampal di setiap batang pokok kelapa itu yang terlalu sukar
untuk dilaksanakan. Berapa banyakkah yang dapat aku tulis. Berapa banyakkah
yang mampu aku salin? Kalau ada mesin pencetak sendiri, serasa tidak sukar
untuk merealisasikan kerja-kerja ini. Argh… buang masa!
“Cuba dulu!” ujarnya seolah-olah dapat menangkap apa yang
berselirat di kepalaku. “Kita dianugerahkan Tuhan akal dan kudrat. Di mana ada
usaha, di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Yang
penting, kalau kita hendak, dengan daya dan usaha serta akal yang pintar, kita
akan berjaya sebagai pengungkap realiti.”
Aku terkedu. Dalam masa yang sama telinga gesit pula
menangkap suara isteri di bilik sebelah. Zuriat nombor duaku memang sukar
tidur. Kadang-kadang mengundang tidak sabar. Lebih-lebih lagi pada malam
Jumaat.
“Ingat, banyak kebenaran boleh ditegakkan melalui
penulisan,”
“Saya tahu itu, Datuk!”
“Biar
masyarakat sedar dan insaf. Selama ini mereka telah dijajah jiwa dan hati!”
suara SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera terus mencerlus, menyisih
bingar dengung nyamuk yang galak di telinga. “Jadi penulis juga mesti berani,
kita ada freedom of expression. Seperti
yang telah saya katakan tadi, sama ada khalayak nak baca atau tidak, itu hak
mereka. Apa feedback mereka, itu juga
hak mereka. Yang penting kita hebahkan kebenaran, hebahkan semangat perjuangan
dalam dada mereka supaya mereka dapat bangun dari alpa. Kita mahukan sikap
masyarakat diubah dari negatif kepada positif.”
“Tidakkah nanti dituduh orang gila kalau saya menampalkan
hasil karya pada batang pokok kelapa?” aku sekadar ingin tahu.
Dia tersenyum, menyemarak sinis. “Siapa lebih dulu yang
gila? Kamu atau mereka? Kamu yang menampalkan hasil karya yang penuh dengan ajakan
ke arah positif atau mereka yang terus alpa dengan sikap negatif?”
“Maksud Datuk, mereka yang lebih gila itu yang mengajar
saya jadi gila seperti mereka juga?”
“Kamu tidak segila mereka. Mereka yang lebih gila
sebenarnya kerana tidak mahu mengubah corak hidup,” nada lebih gerah. Figura
tenang SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera itu berubah pudar. Aku jadi
serba salah pula.
Lengking nyamuk gerapak di telinga, sungguh merimaskan.
Bimbangkan nyamuk malaria atau kusta, tangan
spontan mencapai kain selimut, gesit melibas kiri kanan.
“Memang perlu dibunuh!” ujar SN Rahman Shaari dari Singgahsana
Sastera sambil tersenyum sinis.
“Nyamuk memang wajar dibunuh, Datuk! Penghisap darah dan
pembawa penyakit,” balasku seraya tersenyum juga.
“Bukan itu maksud saya,” tingkahnya.
“Habis, apa maksud Datuk?”
“Maksud
saya, perasaan takut terutama dalam usaha menegakkan kebenaran perlu dibunuh. Jangan
jadi nyamuk, berdengung cukup hebat, dekat telinga menggerapak. Sekali tampar
terus lenyap.”
“Saya tak faham apa yang Datuk maksudkan?” aku
terkesip-kesip. Tangan gesit menggaru perut betis, gatal merenyam.
“Jangan ada sifat nyamuk dalam diri penulis,” ujarnya.
“Itu merosakkan survival penulis.
Takut untuk menegakkan kebenaran tentang hak dan maruah masyarakat, tentang
wibawa alat-alat Yahudi, tentang kejujuran dalam kehidupan masyarakat, tentang
soal moral sosial dan kepincangan depan mata. Ini perjuangan penulis,”
“Jadi, Datuk mahu saya jadi penulis yang berani begitu?”
aku ingin tahu.
Dia tersenyum dan mengangguk tegas. “Ya, ungkapkan
realiti, jana taw’iyya terhadap
pentingnya al’adl wah ihsan. Biar
kita dituduh penulis kurang ajar, tidak diberi gelaran agung di bidang
penulisan asal kebahagiaan, keadilan dan kebenaran sebenar dapat ditegakkan.”
Semangatku tiba-tiba murup menyala kembali. Ini salam
perjuangan baru SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera untukku. Biar nyamuk
semakin galak dan miang mengiang di copeng tetapi aku sempat meneguh azam di
hati. Aku akan cegatkan kebenaran, kebahagiaan dan keadilan melalui penulisan.
Aku akan kembali aktif memegang pen dan kertas. Aku akan terus menghasilkan
karya. Sekiranya tidak mendapat tempat di dada media massa, aku akan
tampalkannya di batang-batang pokok kelapa sekitar kampung. Kalau seisi warga kampung
tidak mahu membaca hasil karyaku, cukuplah seorang dua orang kampung yang
membacanya. Aku tidak akan peduli lagi apa kata orang. Mereka berhak bersuara
dan mengecam. Namun aku tetap berpegang kepada kata-kata SN Rahman Shaari.
“Percayalah, saya akan ikut saranan Datuk tadi,” janjiku
sebelum SN Rahman Shaari dari Singgahsana Sastera itu pamit.
Dia
tersenyum dan melangkah gesit ke pintu. Aku turut tersenyum. Sejurus kemudian
aku mendengar bunyi kepak kuda putih miliknya meredah melayah angkasaraya
menuju ke Singgahsana Sastera.
“Hei, apa yang abang tersenyum-senyum ni?” sayup-sayup
satu suara tiba-tiba menyergap gegendang serentak pipiku ditampar lunak.
Aku gesit terkejut dari tidur. Kemamar sejenak.
Berpinau-pinau.
“Perempuan mana pula datang dalam mimpi abang?” isteriku
bertanya lagi, beriak cemburu. “Sampai tersenyum macam kambing!”
Aku memandang ke kiri kanan. Bukan bilik tidur tetapi
ruang anjung rumah. Terpinga-pinga aku. “Tadi SN Datuk Rahman Shaari dari Singgahsana
Sastera datang jumpa abang,” ujarku, agak lirih.
“Ah, merepeklah abang ni! Baru belajar nak jadi penulis,
dah berangan macam-macam. Agaknya, abang ni bercita-cita nak jadi penulis
terkenal macam Datuk Rahman Shaari tu! Cepatlah… tak usah melalut lagi. Hari
dah pagi ni, abang tu nak ke kelas tuisyen pula,” isteriku mendengus lalu
melangkah ke ruang dapur.
Aku
cepat bingkas dari pembaringan. Melalui pintu tingkap yang terkuak lebar, aku
melihat hari sudah pagi. Beberapa ekor ayam sudah berkeliaran di halaman.
Beberapa ekor lagi sedang bertenggek di atas bumbung Wira 1.5GLi-ku. Aku
mendadak geram kala melihat dua tiga ketul najisnya bersepah-sepah atas bumbung
kereta tersebut. Sejurus kemudian, dengan hati yang betul-betul menyinga, aku
mencapai tuala lalu terus ke bilik mandi. Ayam-ayam itu akan menjadi mangsa
sebaik aku pulang dari kelas tuisyen nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan