Isnin, 15 Mac 2010

Nur Safari

SMAHADZIR 

ELVION!” suaraku mencerlus melalui gemertak gigi, “Aku harus beralih dari tempat duduk ini!” Sesungguhnya, aku sangat kedinginan. Suhu udara saat itu 20 darjah di bawah nol. Kami dalam perjalanan di atas sebuah bas tua lagi uzur, kemungkinan peninggalan dari perang dunia kedua. Dan Elvion adalah rakan baru asal Israel yang aku temui di dalam kereta api itu. Selepas ini kami akan berpisah membawa haluan masing-masing.

Elvion mengerutkan diri dalam jaketnya seraya menundukkan kepala dengan dagu, mulutnya dimasukkan ke dalam leher jaket. “Baiklah!” balasnya sepatah.
Kami tidak banyak berbicara selama lebih kurang lima jam perjalanan melewati pergunungan ini. Suasana sekitar memang dingin mencokot sehingga mampu mengkejurkan aliran darah. Aku nyalar bersedakap dengan bibir seolah-olah mahu bungkam.

Setelah Elvion menggantikan tempat dudukku, aku mendapatkan tempat duduk yang kosong di bahagian belakang bas bersebelahan dengan seorang wanita Romania. Hatiku mudah sangat bersimpati terutama kepada orang-orang yang miskin dan tertekan seperti ini. Sebelum ini aku telah melakukan perjalanan di 24 buah negara dan belum pernah melihat orang yang semiskin dan tertindas seperti di Romania. Aku bertanya dalam hati apa yang sedang kulakukan di sini, tetapi betapa hatiku terbakar oleh kasih. Oh, betapa terima kasihku pada Tuhan bila aku menyelusur kembali asal usulku.

Aku dilahirkan di kota Teheran, ibu kota Iran, yang bermaksud ‘tanah dari bangsa Aria’, dalam sejarah terkenal sebagai Persia. Teheran adalah sebuah kota yang besar dengan kira-kira tujuh juta orang penduduk.

Aku berasal dari keluarga yang cukup besar. Ayahku mempunyai isteri yang lain sebelum berkahwin dengan ibuku. Dengan isterinya yang pertama itu dia dikurniakan empat orang anak. Sewaktu berkahwin dengan ayah, umur ibuku sekitar lima belas tahun. Begitu yang diceritakan oleh ibu kepadaku suatu ketika dulu.

Umur lima belas tahun merupakan umur yang masih sangat muda sedangkan umur ayah ketika itu lebih tua dua kali ganda. Hakikat ini bukanlah sesuatu yang mudah bagi ibuku, tetapi tradisi seperti itu merupakan sesuatu yang lumrah. Ibuku berasal dari keluarga yang besar, namun agak sederhana jika dibandingkan dengan ayahku.
Ayahku adalah pusat keluarga, seorang lelaki yang diberi kuasa, bekerja keras, dan mudah marah. Kadang-kadang ibuku menyebutnya sebagai diktator. Profesyennya ialah pedagang kain yang berpengalaman luas biar selalu gagal dan juga selalu berjaya. Ayahku juga sangat berbakat sebagai penyair dan banyak mengetahui tentang puisi-puisi Persia kuno.

Sesungguhnya, ayahku amat meminati ahli sastera Persia. Dari lingkungan sarjana, dia adalah salah seorang yang berkemampuan terbaik dalam bidang puisi tradisional. Dia sangat suka menulis dan minum chai (teh yang dibuat dari Samavar). Ada pertentangan antara kami dengan minat ayah ini. Ibuku tidak terlalu mengagumi ataupun memberi restu total kepada minat ayahku ini dan inilah yang menjadi salah satu sebab pertengkaran yang sering terjadi di rumah.

Selain dari itu, tabiat ayahku juga amat pelek. Ada waktu dia merupakan seorang yang suka kepada pesta, minum alkohol, dan berpuisi ria dengan teman-temannya, dan ada waktu dia menjadi seorang Muslim yang fanatik. Sewaktu umurku belasan tahun, aku pernah melihat ramai teman ayahku datang ke rumah kami.

Mereka akan bersama-sama berpesta, minum alkohol, membaca puisi, dan makan terus-menerus sampai larut malam. Kami semua akan bekerja keras mempersiapkan makanan untuk tetamu-tetamu ini. Ibuku akan berpeluh seharian di dapur, menyediakan beberapa jenis makanan yang lazat untuk mereka.

Ayahku sangat kasar dan mudah marah. Pada masa kecilku, aku paling menyukainya terutama ketika dia mabuk kerana dia akan menjadi seorang manusia yang sangat lembut dan tenang denganku. Sejauh ingatanku, aku akan mendapat pelukan darinya hanya ketika dia sedang mabuk itu. Tetapi pada waktu normal, sifat-sifat lembtnya akan bertukar total. Ayah nyalar memukul ibuku dan kami semua akan menangis sedih.

Kenangan terburukku ialah waktu aku masih belasan tahun. Ketika itu keadaan kewangan kami sangat kritikal. Ayahku mempunyai banyak hutang sehingga meringkuk di dalam penjara selama beberapa waktu. Kakakku yang tua jatuh sakit kerana tidak dapat menerima kenyataan tersebut. Akibat sikap ayahku yang mudah berang, kaki minum dan bengis itu menyebabkan kami tidak betah di rumah.

Melihatnya memukul ibuku dan melihat ibuku menangis tanpa penghujung membuat aku membencinya. Tidak ada hubungan bapak dan anak di antara kami. Dia tidak pernah memanggilku ‘anak’ , hanya namaku, Mughafir saja yang kerap menjalar di bibirnya. Aku pula memanggilnya dengan panggilan agha (tuan) dan lantaran itulah semakin lama semakin ada jarak pemisah yang jauh di antara kami.
Aku kehilangan rasa hormat kepadanya. Hanya ada rasa bersaing dan penentangan di antara kami. Kadang-kala ketika kami sedang bertengkar dia menengking atau memukul aku. Aku ingin lari dari rumah tetapi kemudiannya terbantut lantaran memikirkan ibuku. Aku lebih seperti anak ibuku daripada ayahku.

Sebab itulah, sewaktu aku menghadapi tekanan perasaan yang rumit, aku akan menaiki bas ke rumah saudara ibuku di pinggir Kota Taheran. Mereka sangat memahami perasaanku dan aku juga amat menyenangi keluarga mereka yang amat taat kepada ajaran Islam itu.

Dalam budaya kami, anak-anak remaja sepertiku diajarkan menghormati orang yang lebih tua, terutama kedua ibu bapa. Jadi bilaayahku bertengkar denganku, aku hanya diam dan menunduk lalu keluar sambil menangis dan berbicara pada Tuhan, yang aku tidak pasti apakah Dia mendengar rintihanku kala itu.

Namun begitu, ketika usiaku menjangkau lapan belas tahun, perubahan yang sangat drastik pada tingkah laku ayahku. Dia tidak lagi suka berpesta dan minum, dan menjadi sangat religius yakni taat pada agama. Ada beberapa kejadian dalam hidupnya yang menginsafkannya antara dunia sementara dan akhirat.

Seperti kata peribahasa Persia, ‘kepalanya telah dituangi air pertaubatan,’ Ayahku telah menjadi seorang Muslim yang fanatik. Bagi orang-orang Muslim yang fanatik, Islam bukan hanya agama melainkan gaya hidup. Itu adalah suatu sistem yang merupakan kombinasi elemen politik, sosial, ekonomi, dan agama.

Ada dua aliran di antara orang Muslim iaitu Syiah dan Sunni. Sembilan puluh satu peratus penduduk Iran adalah Syiah. Di antara dua aliran ini, Syiah adalah yang paling fanatik dan militan dalam menjalankan syariat (hukum Islam). Ini adalah salah satu sebab kenapa terjadi perubahan yang drastik di negara ini setelah jatuhnya Shah Iran.

Ayahku sangat berpengetahuan tentang syariat. Dia mengetahui bahasa Arab dan memahami Al-Quran. Dia menjaga solatnya dan kadang-kala solat shab. Ayahku adalah penyokong dan pengagum Saidina Ali sebagai pahlawan terbesar Islam setelah Nabi Muhammad SAW dan mempunyai cinta yang tidak tergoyah dalam hatinya kepada imam-imam Islam Iran. Tidak ada suatu hubungan yang dekat atau persekutuan dengan Allah. Allah itu terlalu besar untuk berhubungan dengan manusia. Nabi dan para imamlah makhluk yang terdekat dengan Allah. Begitu kepercayaan ayahku.

Pernyataan cinta kepada mereka merupakan pernyataan cinta kepada Allah, dan itulah sebabnya mengapa ayahku banyak menulis tentang pemujaan terhadap Saidina Ali. Tetapi menjadi religius dan fanatik tidak mengubah karakter dan sikap sebenar ayahku. Meskipun di luar jasadnya kelihatan berubah, di dalam batinnya masih sama saja, masih ayahku yang dahulu.

Sejauh yang aku ingat, aku selalu percaya keberadaan Allah. Aku mulai berlatih menjadi Muslim yang setia sejak kecil. Aku selalu mengikuti hukum dan peraturan. Aku mengerjakan solat lima kali sehari dan berpuasa selama sebulan Ramadhan. Ada cinta dalam hatiku kepada Allah yang aku percaya telah kuterima dari ayahku, yang meskipun manusia yang keras, mempunyai cinta yang dalam dan kelembutan hati kepada Allah SWT.

Aku teringat, kadangkala aku terbangun pada waktu tengah malam. Ketika itu aku melihat ayahku membaca Al-Quran dan menangis. Aku tidak pernah melihat dia menangis kecuali ketika dia sedang berdoa sendirian pada Tuhan. Dia sangat gembira ketika aku berjaya menjalani ibadah puasa selama 30 hari, yang mana tidak ramai anak muda sepertiku yang mampu melaksanakannya pada waktu itu.

Menurut hukum, orang yang berpuasa tidak dibenarkan makan atau minum selama ada matahari. Adikku dan akulah yang banyak sekali berpuasa. Ayah dan ibuku tidak melakukannya kerana tubuh mereka tidak cukup kuat untuk menahan lapar dan dahaga. Kami makan dua kali sehari selama bulan puasa, iaitu sekali sebelum matahari terbit dan sekali setelah matahari terbenam.

Ibu akan bangun sebelum Subuh, kira-kira dua jam sebelumnya, untuk menyiapkan makanan dan minuman untuk kami. Aku akan makan, khususnya minum sebanyak mungkin sebelum datang pagi dan kemudian kembali tidur. Jika bulan Ramadhan bertepatan dengan musim panas, puasa menjadi sangat sulit kera-na panasnya udara dan panjangnya hari.

Kadang kala badanku menjadi dehid-rasi dan aku berasa sangat lemah dan mahu pengsan. Ada orang yang sengaja merosakkan tubuhnya dengan cara ini. Aku juga tahu ada orang yang tidak tahan berpuasa telah minum air secara sembunyi-sembunyi, tetapi aku menolak berbuat seperti itu. Aku ingin melaksanakan ibaat kepada Allah secara jujur dan ikhlas, dengan semua kekuatanku. Sekiranya akau tidak berdaya, aku akan mengambil sebaldi air lalu menyirami tubuhku yang kepanasan dan kehausan itu.

Menjelang waktu berbuka puasa, ibuku akan menyiapkan masakan Persia yang sangat lazat dengan sup dan salad. Setelah azan terdengar di kaca televisyen, aku akan menyantap hidangan tersebut seperti seekor singa yang lapar. Kenangan itu amat sukar untuk dilupakan.

Ada bulan suci yang lain untuk Muslim Syiah yang disebut Muharam. Muharam adalah bulan ratapan untuk mengingati kematian para imam sebagai martir. Selama bulan Muharam, orang-orang Syiah akan berpakaian gelap dan berpesta ratapan. Mereka akan mengadakan rhozeh (berkumpul untuk mendengar cerita tragedi tentang para martir) di rumah mereka.

Keluarga dan kerabat kami sangat aktif selama bulan Muharam ini. Ibu saudaraku selalu bernazar akan memberi makanan pada orang miskin dan biasanya ibu akulah yang memasaknya. Bersama dengan bapa saudaraku, mereka akan membuat dapur besar di halaman belakang rumah dan memasak berkilo-kilo beras di dalam ketel (kawah besar) dan membahagikannya kepada jiran tetangga.

Selama bulan Muharam umumnya orang-orang yang religius akan menyewa seorang mullah untuk beberapa jam. Kerabat dan tetangga akan datang dan mendengar cerita tentang para martir dari imam, yang diceritakan oleh mullah tersebut. Setelah itu para pendengar akan menangis dan memukul-mukul dada mereka.

Kadangkala aku juga turut bergabung dengan rhozeh tetapi aku tidak pernah sungguh-sungguh menyukai perbuatan menangis tersebut. Bagiku perbuatan itu kelihatan seperti munafik kerana aku tahu beberapa orang yang menangis atau meratap itu tidak pernah menjalankan solat.

Selama bulan Muharam aku akan bergabung dengan kelompok pemuda pada malam hari untuk tujuan sinehzani (barisan peratap). Kami akan berbaris sepanjang jalan-jalan di Kota Taheran sambil membawa bendera yang dicelup dengan darah domba korban. Dengan cambuk pendek, kami akan memukul kepala dan bahu kami sambil menyanyikan lagu-lagu duka untuk kematian para imam.

Kelompok pemuda lainnya yang berani juga berbaris melalui jalan-jalan ratapan tersebut. Tetapi ada perbezaannya antara mereka dengan kumpulam kami. Mereka tergolong sebagai fanatik dan buas. Kami memukul diri sendiri untuk memperlihatkan penyesalan kami dengan menggunakan cambuk kecil, tetapi mereka menggunakan pedang pendek.

Dengan baju putih dan kepala gondol, mereka berbaris sepanjang jalan sambil menyanyikan himne ratapan dan memukul kepala mereka dengan pedang tersebut. Pertumpahan darah ini mengaburkan penglihatan. Beberapa orang dari mereka terinfeksi di otak dan meninggal dunia beberapa hari selepas itu.

Kadang-kala aku menunaikan ibadah haji bersama-sama ahli keluargaku ke Kota Mashad di mana kelapan-lapan imam Islam Iran tinggal. Di sana aku akan mengajukan doaku yang terpenting, membuat nazar, dan berdoa terus-menerus menghadap Kota Mekah. Bagaimanapun, menjalankan semua syariat bukanlah pekerjaan mudah. Solat dan puasa, ratapan, dan begitu banyak peraturan untuk mencuci dan membersihkan diri, pembatasan makanan, dan lain-lain, merupakan satu beban yang amat berat. Aku berkeinginan melaksanakan semuanya. Betapa aku ingin mendapat balasan yang baik dari Allah sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Tetapi menjalankan semua hukum dan peraturan Islam dan mencuba melakukan yang baik tidaklah cukup. Aku masih berasa kekurangan rasa damai dan ketenteraman di dalam hati. Ada sesuatu yang hilang dalam hidupku! Meskipun kerabat dan teman selalu memujiku sebagai seorang yang sempurna dalam beragama, hidup benar di hadapan Allah, tetapi dalam batinku aku mengetahui aku tidak dekat pada-Nya.

Bukan yang berasal dari keluarga kaya telah membuatkan aku berfikir bahawa jawapan dari kekosongan hatiku terletak pada wang dan posisi sosial yang terhormat. Iran berada di ambang pengembangan ke arah masyarakat moden. Pendidikan tinggi merupakan tujuan ramai anak-anak muda.

Ibu bercita-cita supaya aku menjadi seorang doktor. Tentu saja itu merupakan impian setiap ibu. Ayah pula bercita-cita supaya aku mengambil alih pekerjaannya dan menjadi kaya. Aku sendiri menginginkan keduanya. Aku selalu berimpian untuk membuat mereka bangga dengan kejayaanku, dan memiliki banyak wang untuk menyara penghidupan mereka semasa tua. Sektor swasta di Iran tidak menye-diakan jaminan sosial atau pencen. Anaklah yang akan bertanggungjawab ke atas kedua ibu bapa mereka bila mereka telah tua.

Pada tahun 1978 terjadi ketidakstabilan politik di negara kami. Tidak lama kemudian kami mendengar teriakan demonstrasi di jalan-jalan di Taheran dan di sekitar lingkungan kami:

“Turunkan Shah!”

“Khomeini adalah imam kami!”

Itulah pertama kali aku mendengar nama Ayatollah Khomeini dalam hidupku. Jeritan dan teriakan serta pertumpahan darah telah menggoncangkan dasar-dasar pemerintahan Shah Iran. Khomeini menjadi semakin terkenal setelah dia mengirimkan kaset khutbahnya melawan Shah Iran dari rumah sementaranya di Paris di mana dia disingkirkan.

Ramai warga Iran menganggap Ayatollah Khomeini sebagai pemimpin masa depan dan hanya dia seorang yang mampu menjatuhkan kekuatan pemerintah dan tentera Shah Iran. Mereka akan berasa bebas dari tekanan pemerintah Shah Iran sekiranya Ayatollah Khomeini berjaya dalam tindakannya.

Bagi diriku sendiri dan ramai Muslim fanatik yang lain, Ayatollah Khomeini adalah imam yang bukan dalam ranking ‘Yang Kedua Belas’, tetapi meskipun demikian, kami tetap menganggapnya sebagai orang yang terdekat dengan Allah di muka bumi dan kami menyatakan dia sebagai pemimpin kami dan pahlawan.

Pada musim panas 1978 aku telah lulus peperiksaan dan terpaksa membantu ayahku dalam perniagaannya. Perselisihan di antara kami berdua semakin kritikal. Ini menyebabkan aku gagal di dalam ujian untuk masuk ke universiti. Cita-citaku mahu membuat studi lanjutan di Taheran menjadi terbantut.

Meskipun demikian timbul pula niat dalam hatiku untuk meninggalkan negara ini demi melanjutkan pelajaranku di luar negeri. Aku tahu bahawa keluargaku tidak akan mampu membiayai pengajianku itu. Lantaran itu, aku harus mencari tempat di mana aku dapat belajar dan bekerja pada waktu yang sama.

Setelah mengumpulkan segala informasi yang aku perlukan, aku membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di sebuah kolej perguruan tinggi di Texas, USA. Keluargaku tidak menganggap perkara ini sebagai sesuatu yang serius ketika kukatakan pada mereka kesempatan untuk pergi ke USA. Tetapi ketika aku menerima sepucuk surat tawaran dari kolej perguruan tinggi tersebut, mereka semua terkejut besar.

* * *

Waktunya telah tiba untuk meninggalkan tanah air dan keluargaku. Semua sanak saudara datang ke bandar untuk mengiringi keberangkatanku. Masing-masing berwajah sedih. Ibukulah yang kelihatan paling sedih. Dia menangis dan menyatakan kasih sayangnya yang tidak pernah berbelah bahagi kepadaku. Aku adalah anak kesayangannya. Lagi pula aku adalah satu-satunya anak lelakinya.

Sesungguhnya ikatan keluarga sangat kuat dan akrab di Iran. Kami selalu saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Kunjungan sangat terbatas pada hari-hari kerja, namun pada hari Jumaat kami akan mengunjungi seseorang atau menanti di rumah untuk menerima tetamu. Kami akan bermain, bergurau senda, tertawa, minum chai banyak-banyak, dan makan pelbagai masakan Persia. Pembicaraan umumnya berpusat pada orang-orang yang tidak hadir, suatu kebiasaan yang ghalib di Iran. Kami tidak pernah berbicara tentang politik, cuaca, ekonomi, negara luar dan sebagainya.

Lantaran budaya itu, kami mempunyai ramai saudara atau keluarga sehingga mampu mendirikan sebuah kota kecil atau suku tersendiri. Adalah tidak sukar menjadi keluarga yang erat seperti kami. Sebagai saudara termuda, aku menerima perhatian dan cinta yang lebih dari saudara-saudaraku yang lain. Aku selalu di ingatan mereka dan tidaklah mudah untuk meninggalkan mereka semua terutama untuk pergi ke negara asing, menjadi orang asing, dan sendirian.

Meskipun dengan hati yang amat berat untuk meninggalkan keluargaku, terselit juga rasa gembira di dalam hatiku. Merantau ke negara yang lain dan mempelajari sesuatu yang baru itu sangat menggembirakan hati dan aku berasa pasti akan bebas dari tekanan perasaan yang sering dicagunkan oleh ayahku. Aku ingin berdiri di atas kakiku sendiri dan membuktikan bahwa aku dapat berbuat sesuatu untuk hidupku.

Ramai warga Amerika di dalam pesawat yang meninggalkan bumi Iran. Kebetulan ketika itu ada ratusan ribu orang Amerika yang tinggal di Taheran. Lokasi geografi Iran yang strategik merupakan kartuas bagi Amerika yang ingin berjinak-jinak dengan Rusia. Tetapi ada kebimbangan bahawa pemerintahan Shah Iran akan jatuh dan ini menyebabkan ramai warga Amerika meninggalkan Iran. Ketika itu pula ada banyak demonstrasi dan rusuhan anti Amerika di sana sini di sekitar kota Taheran.

Tempat duduk di sebelahku diduduki oleh seorang rakyat Amerika. Situsai ini merupakan pertama kali aku berhubungan dengan orang dari negara lain! Aku mulai melatih kemampuan bahasa Inggerisku. Mengembara ke Amerika merupakan satu peluang yang wajar aku penuhi terutama dalam menyarati dadaku dengan bahasa Inggeris. Begitu azam yang aku cegatkan dalam dada. Sebelum ini apa yang aku ketahui tentang Amerika hanyalah melalui filem-filem Hollywood.

Impianku menjadi kenyataan. Aku senang dengan budaya dan bahasa asing di Amerika. Di sekolah, bahasa Inggeris merupakan pelajaran terbaikku. Betapa aku yakin bahawa suatu hari nanti aku akan mengembara ke negara asing dan kini segala anga-nanku itu sudah menjadi kenyataan.

Pesawat mendarat di Kota London untuk mengisi bahan bakar. Di tempat transit kami diberi tiket untuk makan dan minum. Dengan tiket di tangan, aku masuk ke bar untuk mendapatkan minuman. Tiba-tiba seorang wanita yang duduk di belakang meja kaunter bayaran bertanya sesuatu yang tidak kufahami.

Kerana malu untuk memintanya mengulangi pertanyaan, aku menjawab, “Ya!” Wanita itu mendadak ketawa, berbisik kepada pelayan yang lain, dan memberiku sepuluh gelas minuman! Barulah aku sedar bahawa aku harus belajar berbicara dengan bahasa yang tepat.

Perhentian berikut ialah New York dan merupakan pengalaman pertamaku dalam kejutan budaya. Pesawat mendarat di bandar raya Kennedy. Aku harus mendapat penerba-ngan lanjut dari terminal yang lain ke Houston, Texas. Aku dapati terlalu ramai orang dengan pelbagai perbezaan latar belakang dan warna kulit. Semua kelihatan berukuran besar jika dibandingkan dengan apa yang ada di Iran; orang, mobil, dan juga bangunan.

Setelah melewati kaunter imigrasi, aku menaiki sebuah teksi bersama satu keluarga Iran yang juga ingin ke Houston. Pemandu teksi meminta bayaran enam kali ganda dari yang tercatat pada meter. Aku menolak untuk membayar dan akan memanggil polis, tetapi keluarga Iran tersebut gugup. Mereka tidak mahu bertengkar dan sanggup membayar tambang teksi tersebut. Kami tiba di Houston pukul tiga pagi. Keluarga Iran yang seteksi denganku tadi menghantarku ke hotel penginapan untuk menghabiskan malam pertamaku di Amerika.

Keesokan harinya aku mendaftar di sebuah sekolah bahasa dan terpaksa mencari kamar sewaan. Sewaktu mencari-cari bilik sewa tersebut, aku telah bertemu seorang Muslim dari Iran yang menawariku bantuan dan mengatakan bahawa aku boleh tinggal dengan rakan-rakannya. Aku amat bersyukur dan sangat berterima kasih kepada Allah yang telah mempertemukan aku dengan orang sebaik itu.

Kami berlima tinggal di rumah yang disebut ‘rumah Islam’. Disebut demikian kerana rumah itu juga terbuka untuk orang Muslim yang datang dari negara yang lain. Kami sering mendapat tamu dari serata tempat. Betapa aku berasa seperti di rumah sendiri. Di sini aku berada di sekitar orang-orang Islam dari negara yang sama. Tetapi yang agak menyedihkan, mereka terlalu banyak terlibat dalam politik.

Sejak hari aku tiba mereka sering menyalahkan aku kerana aku telah meninggalkan Iran dan tidak tinggal untuk melawan Shah Iran. Aku bertanya pada diriku sendiri, “Kalau mereka begitu ingin berperang? Mengapa mereka sendiri tidak pulang untuk berperang dengan Shah Iran itu?” Namun aku tetap juga berterima kasih kepada mereka. Merekalah memberi tempat tinggal, menunjukkan tempat-tempat di sekitar, dan juga mendapatkan pekerjaan untukku.

Aku tidak aktif dalam bidang politik. Bagiku, politik adalah permainan yang aneh dan aku tidak berkeinginan bermain dengannya. Yang aku lakukan hanya mengikuti khabar tentang Ayatollah Khomeini.

Situasi di Iran semakin buruk dari hari ke hari. Ramai yang terbunuh dalam demonstrasi melawan pemerintah. Penyebabnya banyak dan setiap korban membuat jatuhnya Shah Iran semakin pasti. Hari-hariku sangat sibuk. Sewaktu siang aku belajar. Pada malam hari pula aku bekerja sebagai pelayan di sebuah restoren makanan segera. Aku sangat gembira dapat membiayai hidupku sendiri tanpa pertolongan keluargaku i Iran.

Setelah tujuh bulan belajar bahasa di Houston, aku berpindah ke New Orlean dan mendaftar di sebuah kolej perguruan tinggi di sana. Sekali lagi masaku terlalu terbatas. Pada siang hari aku belajar dan pada malam hari pula aku terpaksa bekerja untuk mencari wang saku. Setelah setahun berlalu, aku mulai rindu kepada rumahku, keluargaku, dan teman-temanku di Iran.

Meskipun aku mempunyai teman-teman baru namun aku sering juga berasa kesepian. Salah satu penyebabnya ialah kerana aku mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap Islam dan setia melaksanakan segala suruhan dan meningalkan segala larangan-Nya. Aku tidak minum minuman keras dan tidak merokok. Hal itu membuatkan aku seolah-olah terpisah dari teman-temanku baik teman-teman dari Iran mahu-pun teman-teman Amerikaku yang baru.

Terhitung sebagai seorang yang religius, berfikiran picik, dan kadang-kadang dianggap kurang wajar, tidak membuatkan aku berhenti dari menjalankan hukum-hukum Islam. Aku terus melakukan sembahyang lima waktu dan berpuasa selama bulan Ramadhan. Sebahagian besar dari pemuda-pemuda Iran di sini telah dipengaruhi oleh gaya hidup pemuda Amerika. Dahulu mereka sering berdoa kepada Allah, tetapi sekarang mereka minum minuman keras dan menghisap marijuana. Aku tetap ingin menjadi seorang Muslim yang setia kepada Allah dan Rasul-Nya.

Aku mengakui bahawa ada ketika imanku hampir tercalar oleh godaan nafsu. Dalam melaksanakan ibadat puasa umpamanya, aku pernah berhasrat mahu membuka puasa tersebut sedang waktu itu baru saja mencecah tengah hari. Ini adalah kerana ketika itu aku bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran pizza. Amat getir untuk menolak minum dan makan terutama sewaktu berdiri dan membuat pizza di hadapan oven yang menyala selama musim panas yang panjang di New Orlean. Pun kala melihat para pelanggan begitu berselera sekali menjamah makanan tersebut di depan mataku.

Namun, aku gagahkan juga imanku meski hati rasa bagaikan tidak sabar lagi menunggu matahari terbenam. Tahun 1979 terjadi revolusi Islam di Iran. Shah Iran melarikan diri ke luar negeri, pemerintahannya jatuh, dan Ayatollah Khomeini kembali ke Iran setelah bertahun-tahun dalam buangan. Beliau sangat dihormati oleh rakyat sebagai pemimpin dan imam. Bagi orang Muslim Iran, beliau adalah manusia agung yang mampu menjatuhkan pemerintahan Shah Iran. Banyak darah telah tercurah ke bumi, tetapi rakyat mengimpikan Iran yang baru dan merdeka.

Pada tanggal empat November tahun yang sama sekelompok pelajar Muslim Iran telah menyerang kedutaan besar Amerika di Taheran dan menawan duta besar negara tersebut. Kejadian ini menyebabkan perubahan yang drastik dalam hubungan kedua negara. Ini juga mengakibatkan perubahan sikap orang-orang Amerika terhadap pelajar Iran yang tinggal di Amerika sepertiku.

“Kita harus mengebom Iran,”

Begitu kata-kata yang sering aku dengar dari sekelompok rakyat Amerika. Mereka juga mengejek Khomeini. Mereka membuat nyanyian lucu tentang beliau. Gambarnya menjadi sasaran pelbagai contengan lucah dan boleh dikatakan sebahagian besar rakyat Amerika membencinya.

Aku sering berdebat dan acapkali bertegang leher lantaran kejadian ini. Aku tidak mampu lagi bertahan dengan sikap orang-orang Amerika terhadap orang Iran seperti kami. Kadang-kadang mereka memperlakukan kami seolah-olah kami ini peminta sedekah di bumi mereka. Aku tidak mengerti kenapa kami turut disalahkan dalam kejadian yang kami tidak terlibat itu. Kadang kala aku berasa amat malu untuk mengatakan aku orang Iran. Aku bimbangkan ada warga Amerika yang akan membalas dendam.

Akhirnya aku berasa ingin pulang saja ke Iran. Aku rasa teralu benci untuk tinggal di Amerika. Aku masih ingat, pada suatu malam aku telah diundang untuk menghadiri sebuah pesta anjuran seorang rakan Amerikaku. Ramai tetamu yang hadir di pesta itu tahu bahawa aku berasal dari Iran dan mereka mengajak aku berdebat dan akhirnya aku menjadi sasaran ejekan mereka. Aku terpaksa meninggalkan majlis itu dengan hati yang sungguh sebal.

* * *

Alangkah bahagianya rasa hati kala pesawat mendarat di bandar raya Mehrabad. Meskipun lebih baik jika jauh dari keluarga, namun aku sangat merindukan mereka. Mengembara ke bumi asing selama hampir satu setengah tahun telah mengajarku tentang erti kehidupan yang sebenar. Aku ingin menceritakan erti kehidupan itu pada keluargaku, terutama pada ayahku.

Sesungguhnya, sejak revolusi Iran meletus, aku telah mendengar banyak hal yang baik tentang Iran terutama perihal bagaimana seluruh negara dan rakyat terpe-ngaruh dengan idea perubahan yang dicagunkan oleh Ayatollah Komeini. Aku telah mendengar bagaimana masyarakat menjadi akrab antara sesama dan mereka saling bekerjasama di dalam pelbagai perkara.

Aku ingin menjadi sebahagian mereka. Aku ingin hidup di suatu tanah di mana yang lemah tidak diinjak-injak, di mana terdapat kebebasan untuk semua orang, dan di mana tidak terdapat orang yang jahat. Betapa itu merupakan suatu impian yang unggul! Aku tidak sabar melihatnya dengan mata kepalaku sendiri di bumi Iran ini.

Namun, apa yang aku impikan itu tidak menjadi kenyataan. Aku menyangkakan ada perubahan besar yang terjadi. Memang ada perubahan tetapi perubahan tersebut amat dramatis. Sikap individu masyarakat dan kelakuan mereka amat menyimpang jauh dari apa yang aku inginkan. Mereka bukan rakyat Iran yang aku kenal sebelum ini. Hampir semua orang yang kukenal punya keperibadian dan identiti yang terlalu asing. Bahkan cara berbicara mereka juga telah berubah.

Politik telah menjadi isu utama di dalam kehidupan sehari-hari warga Iran. Pelbagai kelompok politik cagun bagai cendawan tumbuh dengan manifesto tersendiri. berdiri. Hampir setiap orang punya pendapat yang berbeza terutama tentang bagaimana mahu mentadbir bumi Iran ini. Keadaan di Universiti Taheran menjadi kecoh dan begitu kelam kabut. Mahasiswa bukan lagi menjadikan universiti sebagai tempat mengaut ilmu tetapi medan berpolitik.

Setiap hari ada saja majlis perdebatan yang diadakan. Golongan mahasiswa terdiri dari dua kelompok besar: sayap kanan dan kiri. Termasuk juga berfahaman Marxisme, Leninisme, Maoisme, Kapitalisme, Muslim Moderat, dan Muslim Ortodok. Setiap orang percaya pada garis politik yang berbeza.

Aku pernah mendengar perbicaraan tentang garis politik di mana-mana saja sama ada di dalam teksi, pasar, di jalan, di kedai makan, di bawah pokok hatta di dalam rumah Allah sekali pun. Akibat terlalu mangli cagun di bibir mulut, soal politik bagaikan satu humor pula di kalangan masyarakat yang normal.

Perbezaan fahaman politik juga telah menyebabkan perpecahan di antarawarga bumi Iran termasuk juga di kalangan teman-teman baikku. Dahulu kami rela mengorbankan diri demi orang lain. Sekarang persahabatan murni tersebut telah beralih ke debat politik serta saling mahu menang dan akhirnya timbullah perasaan benci membenci. Betapa berubahnya tanah airku! Sedih sungguh aku mengenangkannya.

Muslim ortodok menjadi semakin berani dan fanatik manakala ramai warga terpelajar telah menjadi komunis. Ada perselisihan tajam di antara kedua golongan ini. Suatu hari, aku telah diajak oleh seorang temanku ke Universiti Taheran.

Sewaktu kami tiba di pekarangan kampus universiti tersebut, kelihatan dua kelompok mahasiswa sedang berdebat. Perdebatan mereka tidak lagi secara lembut tetapi penuh dengan maki hamun, caci cela, hia menghina dan sebagainya.

Terdapat juga sekelompok mahasiswa universiti yang bergandingan tangan di dalam pagar kampus. Sementara di bahagian luar universiti pula, sejumlah Muslim fanatik memegang tongkat, rantai, dan pisau seolah-olah bersiaga untuk berperang dengan para mahasiswa. Aku bagaikan bermimpi melihat kejadian tersebut.

Apa yang telah terjadi kepada masyarakatku ini? Dari mana kebencian ini berasal? Mengapa mereka seolah-olah begitu hauskan darah? Di manakah sifat kemesraan dan keramah-tamahan yang mereka amalkan sebelum ini? Mereka adalah insan yang dahulunya saling sayang menyayangi antara satu sama lain! Tidakkah telah cukup darah tercurah lantaran perang dengan saudara Islam Iraq sebelum ini? Kebebasan macam inikah yang mereka perjuangkan? Apa yang akan terjadi kepada negara pada masa akan datang sekiranya ini yang diamalkan?

Lantaran terlalu jelu dengan peristiwa tersebut aku mengajak temanku menjauhi tempat itu. Hidungku bagaikan dapat mencium darah dari api permusuhan dan kebencian yang dimurupkan. Aku yakin, tentu saja keluargaku pun tidak terkecuali dari gejala buruk ini. Realitinya cagun apabila beberapa hari selepas itu, berlaku perpecahan di antara saudaraku. Salah seorang dari mereka telah bercerai lantaran perbezaan fahaman politidan tanda-tanda ketegangan berterusan semakin ketara kendatipun aku cuba menasihati mereka supaya berbaik kembali.

Sungguh aku bingung dan jelu. Tiada lagi kedamaian dan ketenteraman di tanah kelahiranku ini. Harapan murniku atas tanah impian ini telah berubah menjadi sebaliknya. Aku mulai berasa kekosongan yang dalam di dalam diriku. Betapa aku berasa bahawa aku telah berada di tempat yang terlalu kotor. Aku mulai berfikir untuk meninggalkan negara ini lagi. Tetapi ke mana? Adakah tempat di mana dapat kutemukan kedamaian dan kebahagiaan dalam hidup?

Ibuku mengerti kegelisahan yang aku tanggung. Sesngguhnya, dia adalah sahabat terbaik dan mampu memahami perasaan anaknya ini. Ibu ingin membantuku dengan caranya sendiri. Dia ingin supaya aku terus menetap di bumi Iran di sampingnya.

“Waktunya telah tiba untuk kamu membina sebuah keluarga sendiri,” ujarnya suatu hari. Ketika itu kami di sebuah kedai kerana berbelanja keperluan dapur. Sesung-guhnya ibuku sudah mempunyai pilihan hatinya sendiri yang bakal dijodohkan denganku yang sangat cantik.

Menikahi seorang gadisbaik dari dari keluarga jauh mahupun dekat merupakan hal yang biasa dalam budaya Persia. Ketika seseorang teruna mahu berkahwin, dia tidak hanya menikahi gadis tersebut, tetapi juga seluruh ahli keluarga gadis itu. Biasanya, bakal isteri akan dipilih gadis dari keluarga yang baik, suatu keluarga yang berakhlak dan mampu dalam pelbagai segi. Hal ini sangat penting bagi masyarakat Persia kerana akhlak seseorang gadis akan dipengaruhi oleh akhlak keluarganya. Kalau keluarganya baik, tentulah gadis itu juga baik. Begitulah budaya serta kepercayaan sejak turun temurun masyarakat Persia.

Bagiku, adat pernikahan dalam budaya Timur amat renyah dibandingkan dengan budaya Barat. Ini termasuklah di negaraku sendiri iaitu Iran ini. Tradisi dan proses pernikahan di Iran sangat unik dan begitu tersendiri. Di Barat, ramai pasangan saling cinta mencintai sebelum berkahwin. Tetapi di sini, segalanya datur oleh keluarga. Kesempatan untuk bercinta sebelum berkahwin amat mustahil untuk berlaku. Apalagi untuk melihat wajah bakal isteri sehinggalah pada malam perkahwinan.

Walaupun begitu, ada juga pasangan yang bercinta dahulu sebelum berkahwin. Ini terjadi lantaran pertemuan tidak disengajakan antara pasangan tersebut. Cinta yang terjalin adalah satu rahsia yang terkulum kemas. Jika cinta mereka suci, mereka akan mengakhirinya dengan ikatan perkahwinan. Lalu si teruna harus berterus terang pada orang tuanya bahawa dia telah bertemu dengan calon isterinya. Orang tuanya pula akan merisik maklumat tentang si gadis dan keluarganya. Jika maklumat tersebut didapati positif, maka kebenaran akan diberikan kepada si teruna supaya pergi mengunjungi si gadis dan keluarganya.

Ghalibnya, dalam hal ini orang tua si gadis lebih gembira daripada orang tua si teruna. Mereka ingin anak gadis mereka tetap perawan sewaktu menikah. Kehilangan keperawanan ibarat kehilangan nama baik keluarga. Seorang gadis yang kehilangan keperawanannya akan kehilangan kesempatan untuk mendapat suami.

Calon pengantin perempuan akan melakukan yang terbaik dalam hidupnya untuk mendapat restu dari orang tua si teruna pada hari keluarganya dikunjungi. Dia akan berusaha sedaya upaya menunjukkan yang terbaik dalam setiap aspek dirinya. Dia akan memasak masakan yang terbaik yang telah dipelajari dan melayani tetamu istimewa itu dengan penuh hormat. Seboleh-bolehnya dia mahu calon mertuanya berpuas hati dan gembira dengan layanan yang diberikannya.

Setelah kata sepakat diambil oleh keluarga kedua-dua belah pihak, hari khostegari (tawar-menawar tentang bantuan dalam pernikahan) akan dijalankan. Perkara utama yang didiskusikan ialah merieh. Merieh adalah sejumlah wang dari pihak mempelai lelaki yang bersetuju untuk dibayarkan kepada pihak mempelai perempuan apabila pernikahan diputuskan. Tentu saja, makin tinggi pembayaran makin kecil risiko untuk si suami menceraikan isterinya.

Setelah soal merieh dipersetujui oleh kedua belah pihak, bermakna saat untuk mendirikan rumah tangga sudah kian menghampiri. Sesudah hari khostegari ini, akan diatur hari pesta pertunangan. Mempelai lelaki membeli cincin dan perhiasan untuk diberikan kepada mempelai perempuan pada hari pertunangan tersebut. Itu merupakan hari yang besar dan penuh kemeriahan.

Jahazieh pula adalah satu tradisi yang sangat dihargai pihak mempelai lelaki, yakni perabot dan peralatan rumah tangga bagi pasangan baru. Itu mencakup barang-barang seperti karpet, kulkas, oven, dan peralatan masak-memasak. Pengantin lelaki yang miskin akan melewati pernikahan dengan menghabiskan semua tabungannya. Jahazieh yang sempurna memang menjadi satu impian yang hebat. Jahazieh tersebut kemudiannya akan dibawa ke rumah pengantin baru beberapa hari sebelum majlis pernikahan berlangsung.

Upacara pernikahan akan dilakukan oleh seorang mullah, biasanya di salah sebuah rumah sama ada di rumah pengantin lelaki atau pun di rumah pengantin perempuan. Sebuah majlis besar akan diselenggarakan di ruangan yang disewa khas. Malamnya akan dipenuhi muzik, tari, makan, dan hiburan.

Gadis yang disarankan ibuku sungguh jelita dan amat menggoda. Bagiku, pilihan ibu itu memang tidak wajar ditolak. Dia adalah cucu nenekku sendiri iaitu dari sebelah ayah. Gadis itu memang sangat halus pekerti, lembut, cekatan, dan berakhlak mulia.

Sebagai seorang teruna, terus terang aku katakan bahawa aku memang tertarik pada gadis itu. Aku masih ingat ketika dia dan keluarganya datang mengunjungi rumah kami. Aku gugup, terjeda dan terkesima melihat keyuan wajahnya. Aku tidak mampu berbicara panjang dengannya. Keegoanku tidak membiarkan aku menunjukkan rasa terpesona aku terhadapnya.

Tetapi, suatu hari aku telah memberanikan diri mengajaknya keluar. Aku terkejut kerana dia menerima ajakanku dan dari pertemuan itulah aku dapat merasakan yang dia juga tertarik kepadaku malah melebihi dari apa yang aku sangkakan selama ini. Kami pergi menonton dan makan roti serta ais krim di sebuah restoran di kota Taheran.

Aku terfikir juga yang pernikahan pastinya akan berjaya mengatasi rasa resah, gelisah, celaru, bingung dan kekosongan hati. Apabila sudah mempunyai keluarga sendiri tentu sekali akan menghentikan niatku untuk mengaur kembara ke negeri asing. Apabila sudah mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga akan memberiku sesuatu untuk dicapai dalam hidup, mengisi semua hariku tanpa waktu untuk duduk dan membina angan yang tak pasti.

Namun begitu, aku tidak sedikit pun mencintai gadis pilihan ibuku itu. Aku sedikit pun tidak mempunyai perasaan kasih atau sayang terhadapnya. Aku sekadar menyukai perwatakan dan gaya hidupnya saja. Dia memiliki sesuatu yang aku sebut sebagai ‘gadis tempawan’ yang lengkap serba serbi. Ibu dan semua ahli keluargaku amat senang dan menyukainya. Mereka semua berharap aku akan bersetuju menikahi gadis tersebut.

Aku bukanlah seorang anak yang suka membantah kata dan arahan ibu meskipun aku tidak bersetuju. Lantaran itu, ibu dan semua kaum keluargaku menyangka aku telah bersetuju untuk berkahwin dengan gadis itu. Sebab itulah, ibuku bersama ahli keluaga yang lain telah mengunjungi keluarga gadis tersebut di Mashad.

Hari itu tercatatlah sejarah dalam hidupku di mana aku telah menghadiri khostegari. Gadis itu dengan rasminya bertunang denganku dan aku juga bersetuju menyerahkan merieh sebanyak setengah juta toman (setoman kira-kira sama dengan 1/7 dollar). Semuanya bersetuju supaya majlis pernikahan akan berlangsung sebaik aku lulus di universiti. Ini bermakna mereka terpaksa menunggu beberapa tahun lagi.

Selepas itu, aku telah ditawarkan jawatan penterjemah di sebuah syarikat perusahaan dagang milik saudara ayahku di kota Taheran. Waktu-waktu luangku banyak dihabiskan dengan tunanganku dan aku juga sering berkunjung ke rumah keluarganya.

Semua ahli keluargaku sangat gembira dengan perkembangan itu, tetapi tidaklah demikian denganku. Perasaanku masih tetap sama. Bertunangan tidak berupaya mengisi kekosongan yang memuup lebar di dalam diri. Aku tetap ingin merealisasikan impian-impianku. Aku ingin mencapai sesuatu dalam hidup dan mengetahui tujuan hidupku yang sebenar. Aku seolah-olah jelak dengan kehidupan di bumi Iran ini.

Dorongan supaya meninggalkan negeri ini semakin kuat mengasak nubari. Tetapi ke mana aku harus pergi? Aku masih punya sisa visa tiga tahun ke Amerika tetapi kes silam masih lagi berparut. Hubungan kedua negara masih belum baik. Presiden Jimmy Carter telah mengarah pulang beberapa orang warga Iran dan aku mendapat khabar bahawa tidak lama lagi mereka akan menghalau pula yang lain. Aku pasti, aku juga tidak akan diterima di sana.

Dalam mencari beberapa kemungkinan, tiba-tiba aku teringat bahawa salah seorang temanku berada di Sweden. Lantaran itu aku bercadang untuk pergi ke Sweden dan tinggal di sana sehingga hubungan baik antara Iran dan Amerika kembali bertaup. Aku berhasrat untuk kembali ke Amerika bagi menamatkan pengajianku.

Berita tentang hasratku untuk mengatur semula kembara ke bumi Sweden telah disambut dengan air mata dari orang-orang yang kucintai termasuk juga tunanganku. Sebagai harapan supaya hubungan kami menjadi bertambah erat, dia telah mengadakan sebuah majlis perpisahan di rumahnya. Ramai teman dan ahli keluarga kedua belah pihak telah diundang.

Sesungguhnya, aku tidak jujur dan adil dalam menyatakan perasaanku terhadapnya. Dia telah menerima begitu sedikit cinta dan perhatianku setelah bertahun aku meninggalkan Iran. Lantaran itu, pada majlis perpisahan tersebut, dia telah memutuskan tali pertunangan kami. Keluargaku tergamam jola dengan keputusan gadis tersebut namun mereka tidak mapu berbuat apa-apa lagi keparana keputusanku juga sudah muktamad dan aku telah bersumpah tidak akan menjejakkan lagi kakiku di bumi Iran ini. Biarlah luka ini kubawa jauh-jauh di bumi asing.

* * *

Dalam perut kapal terbang menuju ke Sweden, kebetulan aku telah bertemu dengan seorang pelajar Malaysia yang bernama Azman. Dia sangat peramah, mudah mesra dan berpewatakan menarik. Tidak segan silu dan begitu faseh serta lancar menceritakan kepadaku tentang gaya hidup manusia di negara-negara Scandinavia.

Aku kebuntuan fikir tentang apa yang sedang aku lakukan. Hidupku seperti sebuah bahtera kecil yang sedang ditiup angin ke semua arah dan sekarang tertiup ke Laut Utara. Aku masih mengharap dan menunggu akan adanya sesuatu yang baik terjadi ke atasku. Aku bukanlah petualang melainkan mencari sesuatu yang murni. Biarlah cahaya dalam safari ini yang akan bergemerlapan di hadapanku.

Sesekali terfikir juga aku, kenapa aku tidak pernah berasa puas dan senang seperti keluargaku yang lain? Aku mampu berkahwin dan mendapat pekerjaan di Iran atau tinggal dengan keluargaku. Apa yang ada di dalam dadaku yang memaksaku pergi seperti makhluk kehausan air ini? Apa yang hilang sebenarnya dari hatiku ini? Apakah masa depanku akan bahagia?

Dengan fikiran-fikiran yang beragaman seperti itu, mengirap berkitar di ruang benak, tidak sedar pesawat telah mendarat di bandar raya Copenhagen, Denmark. Kemamar dan kelinglungan aku turun bersama para penumpang yang lain. Aku mengambil sebuah bas ke stesen pusat kereta api dan terus ke Sweden. Di Stokholm, ibu kota Sweden, aku mengambil pula kereta untuk ke Uppsala, sebuah kota sekitar 70 km ke utara.

Temanku sangat terkejut kala aku menjengoi di hadapan pintu kediamannya. Ini adalah kerana aku tidak memberitahunya lebih awal akan kedatangan ini. Namun begitu, dia membiarkan aku tinggal bersamanya sehingga aku mendapat tempat tinggal yang lain. Beberapa minggu kemudian aku telah berjaya menyewa sebuah bilik di kompleks apartment mahasiswa.

Budaya dan bahasa rakyat Sweden serasa baru bagiku dan kelihatan aneh, meskipun mereka sangat ramah dan mudah mesra. Aku jarang melihat mereka bertengkar, bermasam muka atau bersengketa sesama sendiri. Cuaca juga amat berbeza dengan tanah airku. Musim dingin begitu mencokot sekali kedinginannya. Malam pula gelintin dan panjang. Namun demikia, selama musim panas yang hanya beberapa bulan, aku percaya ini adalah tempat terindah di jagat raya ini.

Gaya hidup orang-orang Sweden memberiku kejutan budaya yang lain. Moral mereka, sikap, dan hubungan antara manusia banyak berbeza dengan tempat di mana aku dilahirkan. Masyarakatnya sering tinggal bersama tanpa nikah. Aku tidak dapat menerima kenyataan di hadapan mataku sendiri ketika melihat gadis-gadis separuh telanjang seraya bermandi sinar matahari, tidak hanya di pantai, tetapi juga di rumah jiran tetangga. Aku sering bertemu dengan manusia yang tidak mempercayai adanya Allah. Aku dapati, mereka ini tidak perlu bersusah payah berbicara tentang-Nya dan secara umumnya mereka mempunyai sifat yang sangat beragam terhadap agama.

Luas serta banyaknya perkhidmatan sosial dari pemerintah membuatkan rakyatnya sangat bebas dan tidak bersempadan. Itulah hal-hal yang kontras yang dapat aku lihat. Di Iran, jika seseorang menganggur dan kehidupannya digulat kemiskinan, kerabat dan keluarga dekatnya akan berkumpul dan meringankan penderitaannya. Tetapi di Sweden, pelayanan sosiallah yang memperhatikan keperluan mereka. Setiap individu masyarakat sangat bergantung kepada bantuan pemerintah daripada keluarganya sendiri dan tidak pula kepada Tuhan. Hal ini sangat baru bagiku.

Rakan-rakan dari bangsa Iran yang baru kutemui di sini tidak banyak berbicara tentang politik atau agama. Mereka hanya inginkan kesenangan. Ada pelajar-pelajar Iran di Sweden yang sangat aktif dalam politik dan selalu mengkritik Ayatollah Khomeini dan pemerintahannya. Seperti biasa, aku tidak ketinggalan akan berdebat dengan manusia berfahaman komunis dari Iran ini. Aku membenci sikap lupa daratan mereka.

Bagiku, mereka seperti robot yang disuapi teori Lenin, Mao, dan Marxis. Mereka tidak pernah bicara dalam bahasa yang normal. Bagiku mereka ini adalah najis dan aku tidak akan menyentuh mereka. Setelah beberapa waktu, aku jadi rengsa dan lelah berdebat dengan mereka. Mereka adalah golongan yang tidak mahu menerima pendapat orang lain biarpun pendapat tersebut wajar dianalisa secara mendalam untuk mencari kebenarannya. Sesungguhnya mereka ini amat fanatik dan ekstrem.

Suatu hari aku telah diundang ke sebuah majlis yang telah diadakan di atas bumbung kompleks pelajar. Ada beberapa pelajar pertukaran Amerika di sana. Lantaran aku mampu menguasai bahasa Inggeris lebih baik daripada Sweden, aku mulai berbicara dengan mereka. Di antara mereka terdapat seorang gadis yang tidak minum minuman keras seperti yang lain.

“Kenapa kamu tidak minum minuman yang memabukkan itu?” tanyaku penuh ingin tahu. Bagiku, minuman keras adalah haram di sisi agama.

“Aku seorang Muslim,” jawab gadis itu. “Namaku Elisyah!” tambahnya lagi penuh kejujuran.

Kalimat itu sungguh mengejutkan aku. Aku sangka semua orang Barat adalah Kristian. Di Iran sendiri terdapat orang-orang Kristian Armenia yang punya kedai minuman keras! Aku tidak tahu apa-apa tentang agama Kristian kecuali yang aku pelajari dari Al-Quran dan pengajaran Islam. Yang aku tahu hanyalah tentang kitab Injil dan Nabi Allah Isa a.s.

Elisyah menjelaskan tentang imannya kepada Allah dan Rasulullah SAW. Dia juga faseh bercerita tentang Al-Quran dan tentang Allah SWT. Berbicara dengannya menimbulkan banyak pertanyaan dalam diriku. Aku berdebat dan bertahan dengan pendapat tentang mazhab, tentang Syiah, Imam Maliki, Hambali dan juga Syafie. Dia mengatakan bahawa dia bermazhab Maliki.

Aku juga menceritakan padanya tentang pengetahuanku berhubung dengan Allah SWT menurut pandangan Syiah. Seterusnya aku mengatakan bahawa Syiah hanya percayakan Saidina Ali Abi Thalib saja sedangkan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang lain adalah perompak jawatan khalifah yang sepatutnya menjadi hak Ali. Elisya menyangkal dakwaan tersebut dengan memperincikan kisah sejarah silam. Aku amat terpegun dengan pengetahuannya.

Namun begitu aku membantah dengan keras pendapat gadis itu dan kami berdebat sepanjang malam. Dia bermati-matian mengatakan padaku tentang kebenaran sahabat-sahabat Rasulullah yang lain selain dari Saidina Ali. Banyak sekali cerita yang terluah dari bibirnya. Nyata sekali yang Elisya tidak sepertiku.

Sesungguhnya aku baru sedar yang pengetahuanku tentang para sahabat Rasulullah SAW yang lain amat terbatas. Semuanya lantaran ajaran yang telah disogokkan oleh para ulama kami yang seolah-olah sengaja mengagung-agungkan Saidina Ali secara berlebih-lebihan sedangkan sahabat-sahabat Rasulullah yang lain juga adalah insan-insan mulia yang wajar dipercayai dan disanjung tinggi. Sebuah hadis baginda juga telah dicerluskan oleh Elisyah, “Sesiapa yang tidak mempercayai sahabatku yang empat, dia bukan dari golonganku.”

Lantaran itu, aku menjadi amat tertarik untuk melanjutkan berargumentasi bersama gadis tersebut. Elisyah kelihatan sangat naif, tidak berpendidikan, dan sangat sederhana sifatnya. Dia amat berbeza dari rakan-rakannya yang lain. Pergaulannya terkawal apalagi untuk berkencan, tidak minum minuman keras, dan juga tidak berbicara dengan kata-kata kotor seperti kebanyakan remaja lain. Ada kemurnian di dalam dirinya yang membuatku sangat tertarik. Aku ingin tahu lebih banyak tentang gadis tersebut.

Di pinggir kota terdapat sebuah masjid tua yang sering ditandangi oleh Elisyah dan kaum kerabatnya. Suatu hari aku telah pergi ke masjid itu bertujuan untuk berbicara dengan imamnya. Aku bertemu seorang tua yang bertugas sebagai imam di sana. Namanya Haji Mohammad Qhushain. Dia seorang yang sangat lembut, mudah senyum dan peramah. Rupanya dia seorang Arab tetapi sudah lama menetap di Sweden. Dia juga berkahwin dengan rakyat Sweden dan mempunyai empat orang anak. Aku memanggilnya ‘bapa’ dan berbicara dalam bahasa Inggeris kerana aku belum menguasai bahasa Sweden dengan baik. Aku mengatakan padanya bahawa aku ingin mempelajari lebih mendalam agama Islam mazhab Maliki.

Haji Mohammad Qhushain menerima hajatku dengan syukur lalu memperkenalkan aku kepada seorang bilal dan penjaga masjid yang bernama Lars dan Borje. Kedua mereka ini merupakan rakyat Sweden jati tetapi telah lebih sepuluh tahun memeluk Islam.

Suatu hari Lars dan Borje mengundangku ke rumah mereka. Mereka bertetangga dan bekerja di sebuah pertubuhan sukarela membantu orang-orang miskin di Sweden. Aku menerima undangan mereka dan bersyukur kerana dapat mengunjungi mereka. Mereka kelihatannya orang-orang yang sederhana, tidak terperangkap dengan budaya materialisme.

Aku sangat terkesan pada kasih dan perhatian mereka. Mereka begitu lemah lembut dan keunikan yang khusus. Mata mereka bersinar cerah yang tidak pernah kulihat pada orang-orang yang lain. Suatu sinar yang murni dan ikhlas. Mereka sering berbicara terutama tentang Nabi Muhammad SAW dan Allah SWT. Mereka tidak suka berbicara dengan orang-orang yang suka menggunakan bahasa yang kotor. Dengan tulus mereka tertarik padaku dan ingin tahu lebih banyak tentang diriku.

Merekalah yang selalu mengajarku tentang mazhab Maliki. Haji Mohammad Qhushain pula mengajarku memahami pengertian Al-Quran secara lebih terperinci dan mendalam. Dia juga mengajarku bahasa Arab secara betul terutama untuk menyebut ayat-ayat Al-Quran.

Hari ke hari, aku mulai mengetahui bahawa umat Islam di Sweden ini kendatipun tidak ramai tetapi amat taat dalam mengerjakan amal ibadat mereka kepada Allah SWT. Mereka membaca Al-Quran lebih sering daripada aku (atau Muslim lain yang kuketahui membaca Al-Quran tertama di negaraku sendiri). Mereka sering mendoakan kebahagiaan sesama sendiri juga umat Islam yang lain. Mereka memberi dengan murah hati kepada yang memerlukan tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Aku tidak ada sebarang rasa melihat kebencian atau kepahitan dalam diri mereka. Aku tidak pernah mendengar mereka membicarakan secara negatif tentang orang lain. Mereka tidak berbohong, bahkan sekecil mana sekali pun. Mereka selalu ingin mengampuni jika diminta. Persahabatan mereka tidak berdasarkan balasan material dari seseorang, melainkan kemmurnian dan kejujujuran semata.

Suatu hari Lars dan Borje memberiku sebuah terjemahan Al-Quran dan juga sebuah sirah Rasulullah SAW berbahasa Inggeris. Sebelum ini aku tidak pernah membaca terjemahan Al-Quran sepanjang hidupku. Aku membacanya dengan penuh rasa ingin tahu. Aku terpesona pada kebesaran Allah SWT, pada pekerjaan-Nya, dan pada kata-kata-Nya. Cerita tentang Dia sangat berbeza dari cerita yang pernah aku dengar dari ulama-ulama Syiah. Begitu juga cerita tentang Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat baginda.

Sesungguhnya, sejak dari itu aku telah menukarkan fahaman Syiahku kepada mazhab Maliki. Aku sangat bersyukur menjadi seorang Muslim bermazhab Maliki dan tidak ingin menjadi naif dan lemah lagi. Islam adalah agama untuk melawan kejahatan dan kebatilan. Aku selalu membenci ketidakbenaran dan mencintai apa yang benar. Aku selalu menganggap diriku orang baik. Aku tidak ingin melukai seseorang. Aku berfikir bahawa aku telah hidup sesuai dengan kehendak dan hukum Allah. Aku mencintai Tuhan dan melakukan apa yang benar, yang terbaik menurut pengetahuanku.

Makin aku mencari untuk mendapatkan kebenaran, makin ketakutanku meningkat. Aku tidak dapat tidur pada malam hari terutama jika kamarku gelap. Aku membiarkan lampu menyala sampai ke pagi. Aku sering mengalami mimpi buruk dan bangun pada tengah malam dengan penuh ketakutan. Aku biasanya tidak mampu tidur dengan nyenyak namun sekarang tidurku nyedar sekali. Aku sungguh bersyukur kepada-Nya.

Dua minggu kemudian aku telah menerima panggilan telefon dari ibuku di Iran. Aku terus mengkhabarkan tentang mazhab pilihanku kepadanya. Ibuku tidak berkata apa-apa sekadar mendokan agar aku tetap kuatkan iman dalam menempuh pelbagai cabaran di bumi orang.

Dalam Islam, orang-orang mukmin itu adalah umpama satu tubuh. Lantaran itu, kehidupanku di bumi Sweden ini tidak banyak menghadapi masalah kerana seringkali dibantu oleh saudara-saudara Islamku yang lain.

Waktu terus berjalan dan imanku semakin teguh kepada Allah SWT. Aku telah belajar banyak perkara terutama tentang kehidupan di dalam Islam yang sebenar. Aku belajar bahawa aku dapat berdiri kukuh dalam lingkungan redha Allah sekiranya jalan yang aku lalui tidak terlandai. Biar melalui banyak masalah kehidupan namun aku yakin suatu hari nanti pasti akan menerima kemenangan juga. Bila aku tidak lari dari masalah, aku dapat berperang dan menang menentang masalah itu.

Meskipun kesempatan itu adalah waktu berlatih yang keras dalam banyak segi kehidupan, tetapi juga merupakan waktu penyembuhan. Sesungguhnya Allah SWT telah menyembuhkan hatiku. Itulah tempat utama semua konflik berasal. Allah SWT telah melepaskan penolakanku, kekosonganku, dan keraguanku; mengisi hatiku dengan damai, tenang dan kebahagiaan.

Sejak awal hidup baruku, aku telah aktif bersaksi pada segenap lapisan masyarakat Sweden tentang Allah SWT dan kepercayaanku kepada-Nya. Bersama-sama dengan saudara-saudara bangsa Sweden dan Iran yang menetap di sini, kami menubuhkan satu kelompok dakwah agama. Setiap kesempatan terluang kami mengunjungi orang-orang Muslim yang lain dan mengajarkan ilmu agama secara lebih syumul kepada mereka.

Aku suka belajar Al-Quran dari Haji Mohammad Qhushain. Aku akan duduk di hadapannya sampai jauh malam, membaca dan merenungkan pengertian firman Allah SWT. Aku sangat kagum dengan kebesaran-Nya. Di samping, bekerja aku juga terpaksa belajar, mengambil beberapa pelajaran prasyarat untuk memasuki sistem universiti di Sweden. Tetapi setelah belajar tiga semester aku menyedari bahawa hatiku tidak lagi tertarik pada buku dan sekolah. Aku putuskan untuk mengambil cuti kuliah selama setahun semata-mata untuk melayari bahtera dakwah di luar bumi Sweden.

Lars mengatakan bahawa dia juga akan berdakwah di Sepanyol. Kesempatan itu amat menggembirakan hatiku kerana setahu aku ada ramai warga Iran yang sedang berada di Sepanyol. Mereka adalah pelarian yang mengungsi sewaktu perang Iran-Iraq meletus. Lars bertanya apakah aku rela bergabung dengannya menjalankan misi dakwah tersebut.

Aku segera mengangguk seraya tersenyum lebar. Secara kebetulan pula, sekitar seminggu kemudian aku telah menerima sepucuk surat dari seorang rakan lamaku sewaktu menuntut di Amerika Syarikat dulu. Dia kini tinggal di Sepanyol dan bekerja untuk organisasi Muslim Youth With A Mission (MWAM).

Di dalam suratnya dia menanyakan apakah aku tertarik untuk datang ke Sepanyol membantu organisasi mereka. Hatiku amat bergetar menerima surat tersebut. Lars sekadar tersenyum kala aku menceritakan tentang surat tersebut. Rupanya dia juga telah bercadang menyertai organisasi tersebut mengembangkan misi dakwahnya.

Lalu kami pun ke Sepanyol. Ketika itu musim panas. Di sana aku telah bertemu sekelompok orang Iran yang tidak mahu lagi pulang ke negara asal mereka. Di antara mereka ada beberapa orang mantan misionaris. Sejak perang Iran-Iraq, ramai dari mereka mengalami penganiayaan dan kesan buruk dari peristiwa tersebut. Tidak kurang juga yang tergadai iman terhadap Islam yang dulunya sangat mereka hormati. Sejak perang dan ditambah pula dengan revolusi, lebih dari tiga juta rakyat Iran melarikan diri ke seluruh penjuru dunia.

Ini merupakan kesempatan yang sangat baik untuk mengembalikan harapan dan cinta kepada Allah SWT kepada orang-orang ini, yang tentunya kecewa terhadap apa yang telah berlaku terhadap diri, keluarga dan juga tanah air sendiri. Aku menghabiskan masa lebih enam bulan di sana dan membantu kumpulan itu.

Aku tidak tahu apa sebabnya, tetapi kesan pertamaku terhadap Sepanyol kurang menggembirakan. Aku tidak menyukainya dan sekembali ke Sweden lalu cuba melupakan impian untuk menetap terus di Sepanyol. Sebagai gantinya aku melanjutkan pengajianku. Aku diterima masuk di University of Guthenburg yang terletak di pantai barat Sweden, di satu kota sekitar 350 km dari bandar raya Stokholm. Aku berpindah ke Guthenburg dan mulai menghadiri kuliah. Aku menyewa sebuah apartment, membeli perabot, dan sebagainya dengan wang yang dihulurkan oleh rakan-rakan Islamku.

Masa-masa terluang aku terus menjalankan kerja-kerja dakwah bersama Borje, Elisyah dan juga Haji Mohammad Qhushain serta beberapa orang lagi Muslim yang sejiwa. Sebagai pembawa ajaran Islam, kami tidak membezakan ras, agama ataupun latar belakang. Kami tidak gentar berhadapan dengan orang Yahudi, Bahai, Kristian, Komunis, dan Armenian.

Dahulu sebagai seorang Muslim Iran, aku membenci dan memandang hina sebahagian besar dari orang-orang ini. Aku takkan menyentuh orang Kristian atau Yahudi atau juga Bahai. Waktu itu aku sangat membenci komunis dan atheis. Sebagai pemuda belasan tahun di Iran, aku selalu mencuci tangan setiap kali selepas bermain dengan rakan-rakanku yang beragama Kristian.

Ketika jiran Yahudi kami memberi kami beberapa ketul kuih dan roti kering, kami tidak pernah memakannya, kami menganggap itu najis. Tetapi sekarang, aku perlu mendekati mereka dan di dasar hatiku selalu berdoa pada Tuhan agar terubah hati mereka untuk memeluk agama Islam yang suci dan murni ini.

Aku tahu, hanya cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya saja yang mampu menghibur sebarang kesusahan dan mengubati hati yang luka. Andai mereka menerima Allah SWT dalam hidup mereka, mereka akan disegar dan ditemukan dengan kekuatan. Seperti firman-Nya, “Kerana itu sedarlah dan bertaubatlah, supaya dosamu dihapuskan agar Tuhan mendatangkan waktu kelegaan.”

Sesungguhnya, inilah cahaya safariku. Aku menjalani sebuah kembara yang penuh dengan cahaya safari dambaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan