Isnin, 15 Mac 2010

Dahi Hitam

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Cahaya terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah diantologikan dalam Insyiqaq)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

KAMU tentu pernah bertemu dengan lelaki berdahi hitam. Hitam tidak secara keseluruhan, melainkan hanya pada bahagian dahi tengah atas di antara dua alis, persis di bawah hujung rambut bahagian hadapan. Tepatnya, bahagian dahi yang digunakan untuk bersujud setiap kali sembahyang.
Apa yang kamu fikirkan ketika melihat lelaki berdahi hitam seperti itu? Tentu kamu akan berkesimpulan bahawa lelaki tersebut adalah orang alim, lelaki yang rajin mencium sejadah, lelaki yang tidak pernah meninggalkan sembahyang lima waktu, yang rajin bangun waktu malam untuk sembahyang tahajud tatkala orang lain sedang nyenyak di atas tilam.
Lelaki berdahi hitam tidak hanya ditemui di masjid-masjid. Kamu boleh menemuinya di kampus, tempat-tempat kerja, pasar tradisional, pejabat pos, bahkan mungkin di kompleks-kompleks membeli-belah. Boleh jadi dia seorang pensyarah syariah, kiai, kalangan terpelajar, peniaga, atau pemandu pengangkutan awam.
Dan tahukah kamu, malam ini, Tawil, seorang pemuda sederhana, belajar di sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur, sedang memikirkan tentang dahinya yang tidak hitam. Tawil kebingungan. Bukan apa, kebelakangan ini dia tidak pernah meninggalkan sembahyang lima waktu. Dia selalu melakukan sembahyang sunat, baik sunat baqdiah mahupun sunat qobliah.
Bahkan, setiap kali sembahyang, Tawil sengaja menekan-nekan bahagian hujung dahinya supaya jadi hitam. Namun, tetap saja tidak pernah menjadi hitam. Kamu tentu faham maksudnya. Tawil ingin sekali punya dahi hitam, seperti lelaki berdahi hitam yang dia temui di berbagai tempat. Keinginan punya dahi hitam ini bermula ketika dia bertemu dengan seorang gadis bernama Hamidah. Hamidah bersekolah di Ibtidaiyah adalah gadis cantik berkerudung, puteri tunggal seorang guru agama di kolejnya.
Pertemuan Tawil dengan Hamidah terjadi secara tidak sengaja. Waktu itu Tawil menghantar Ustaz Pahrol, bekas guru agama sekolah menengahnya, lulusan Mesir, pulang dari mengajar. Ustaz Pahrol menyuruh Tawil singgah sebentar untuk minum.
Tawil, dengan senang hati, menerima pelawaan Ustaz Pahrol yang baik hati itu. Ketika itulah Tawil melihat Hamidah, yang membawa minuman untuknya. Ustaz Pahrol pun memperkenalkan Tawil kepada isteri, putera dan puterinya itu. Isteri Ustaz Pahrol, adalah perempuan Mesir, berwajah Arab dengan hidungnya yang mancung dan pipi yang gebu putih.
Wajah Hamidah mirip sekali wajah ibunya. Ketika bertemu itulah Tawil merasa terpesona ingin menjadikan Hamidah seorang rakan hidup. Tetapi tentu tidak mudah merealisasikan hajatnya itu. Tawil terpaksa melakukan berbagai usaha. Di antaranya adalah menjadi lelaki yang alim. Lelaki yang tekun beribadah.
Kamu tentu sukar membezakan, siapakah lelaki yang rajin beribadah atau tidak? Dan Tawil berkesimpulan bahawa lelaki yang boleh disebut alim adalah lelaki yang rajin sembahyang. Lalu, bolehkah orang lain menentukan apakah seorang lelaki seperti dirinya rajin sembahyang atau tidak. Hmmm... lihat saja dahinya! Tawil selalu membayangkan, andai dahinya hitam seperti seorang lelaki yang rajin sembahyang, tentulah dia akan dianggap alim atau warak.
Ustaz Pahrol, guru agama yang sangat baik hati itu, dahinya hitam. Begitu juga dengan anak lelaki Ustaz Pahrol, dahinya juga agak hitam. Tetapi kenapa dahi Tawil tidak hitam seperti mereka?
Selain berdahi hitam, menurut Tawil, lelaki yang boleh dicirikan sebagai orang alim atau warak, adalah lelaki yang berjanggut. Tetapi, dagu Tawil tidak ditumbuhi janggut. Licin. Seperti kepala profesor botak. Andai janggutnya lebat, ditambah lagi dahinya menghitam, oh... Tawil pasti akan senang sekali. Sayang seribu kali sayang, semua itu hanya mimpi.
Untuk mewujudkan keinginannya, Tawil merancang melakukan berbagai cara. Salah satunya, setiap malam, Tawil akan menempelkan dahinya ke lantai, dengan kedua kaki berada di atas, melekat ke tembok. Namun, untuk melakukannya, ternyata sungguh sukar. Masalahnya, penghuni rumah yang lain selalu bertanya padanya, mengapa dia melakukan itu.
“Kenapa ni bang Tawil?” tanya Wahab, salah seorang adiknya, ketika Tawil mulai menempelkan dahinya ke lantai, dengan kedudukan kedua kaki melekat pada dinding. Tawil menjawab, bahawa dia sedang bersenam.
“Senaman apa macam ni”
Senaman apa? Tawil jadi terkedu. Tetapi Tawil tidak hilang akal, “Ini namanya senaman untuk keseimbangan badan!”
Wahab mengangguk-angguk. Kemudian, setiap kali Tawil melakukan ‘senaman keseimbangan badan’ itu, Wahab ikut bersenam juga. Setelah lebih kurang dua minggu melakukan senaman seperti itu, tidak disangka-sangka, dahi Wahab menjadi hitam! Boleh jadi, dahi itu sering menempel pada lantai, menjadi tumpuan beban tubuhnya yang berada di atas ketika melakukan gerakan senaman tersebut.
Meskipun begitu, tidak bagi Tawil. Dahi Tawil tetap biasa saja. Tidak hitam seperti dahi adiknya. Mengetahui dahinya menjadi hitam, Wahab menjadi marah pada Tawil.
“Abang, tu dahi abang tak pula jadi hitam?” protes Wahab.
“Salah kamu sendiri! Kenapa ikut abang bersenam?”
“Saya nak jadi sihat tapi dahi pula yang hitam…”
“Biarkan saja. Nanti hilang sendiri!”
Benar, selepas tidak lagi melakukan senaman itu, dahi Wahab tidak lagi hitam. Tetapi aneh bagi Tawil, meskipun masih meneruskan senaman tersebut dahinya masih juga belum hitam.
Pada suatu malam, ketika sedang bersendirian di biliknya, Tawil menatap dahinya di cermin, sambil tangannya memegang pisau dapur.
“Kenapa dahiku masih tetap tidak mahu hitam?” tanya Tawil dalam hati.
Tawil meraba-raba hujung dahinya itu sambil menatap pisau di tangan kanan, dan setagal kemudian menempelkannya ke dahi. Rupanya, Tawil berniat mahu melukai dahinya dengan pisau tersebut. Dengan cara begitu, kemungkinan dari luka itu akan menyebabkan dahinya menjadi hitam. Demikian fikir Tawil.
Belum sempat melukai dahinya, tiba-tiba ibunya Mak Piah membuka pintu biliknya yang tidak terkunci, membuatkan Tawil terkejut.
“Tawil! Apa hal dengan kamu ni?” tanya Mak Piah.
“Eee... eee... “ Tawil gugup.
Mak Piah menatap pisau dapur di tangan Tawil dengan tatapan menyelidik.
“Mak, saya… saya nak.. mencukur janggut…” ujar Tawil sejurus kemudian, sambil mengarahkan bahagian pisau yang tajam ke arah dagunya.
Mak Piah bertambah bingung. “Cukur janggut? Kamu ada janggut ke?!”
“Baru nak tumbuh, mak!”
“Kalau kamu nak cukur janggut, kenapa tak pakai pisau cukur ayah kamu?”
Tawil terdiam, lalu segera menurunkan pisaunya.
“Tunggu sebentar, mak ambilkan!” ujar Mak Piah lalu keluar. Tidak lama kemudian dia kembali semula sambil menghulurkan pisau cukur tersebut pada Tawil. Selepas itu Mak Piah keluar semula. Tawil memegang pencukur cukur janggut itu, lalu menatap wajahnya di cermin sambil menempelkan alat tersebut ke dagunya. Tetapi, apa yang akan dia cukur, dagunya tidak ditumbuhi janggut?
Minggu berikutnya, ketika dahinya masih belum jadi hitam, Tawil mendapat undangan dari Ustaz Pahrol. Ustaz Pahrol mengundang Tawil meraikan majlis kesyukurannya yang sudah dinaikkan pangkat. Ustaz Pahrol akan bertugas sebagai pegawai agama di jabatan pelajaran negeri.
Ini merupakan kesempatan terbaik buat Tawil. Tawil berasa dihormati. Dia tidak akan menyia-nyiakan kesempatan emas itu. Sebelum berangkat ke rumah Ustaz Pahrol, Tawil mempersiapkan dirinya sebaik mungkin. Fikirnya, di rumah Ustaz Pahrol nanti, dia tidak hanya akan bertemu dengan Ustaz Pahrol saja. Ada isterinya, anak lelakinya, dan tentu saja puterinya yang cantik jelita itu, Hamidah!
Tawil berfikir bagaimana dia akan mempersiapkan dirinya sebaik mungkin. Aha! Tawil yakin usahanya kali ini tidak akan gagal, yakni bagaimana hendak membuatkan dahinya menjadi hitam. Dahi seorang lelaki alim, lelaki warak. Dengan segera Tawil meraih celak di meja belajarnya. Dengan gerakan yang sangat berhati-hati, Tawil memoles dahinya dengan celak itu. Hitam!
Kini dahi Tawil benar-benar hitam, layaknya dahi lelaki yang rajin sembahyang! Dengan bangga, Tawil pun segera berangkat ke rumah Ustaz Pahrol. Tidak peduli pada kehairanan penghuni di rumah, Tawil dengan penuh yakin sedia menghadiri undangan Ustaz Pahrol dan keluarganya.
Di rumah Ustaz Pahrol, Tawil disambut dengan ramah. Menurut Tawil, keluarga Ustaz Pahrol tidak bersikap aneh soal dahinya yang hitam itu seperti ahli keluarganya di rumah. Tawil duduk di sisi anak lelaki, isteri Ustaz Pahrol, dan Hamidah. Mereka bercakap-cakap seputar kehidupan dan kegiatan masing-masing.
“Keluarga Ustaz Pahrol sekarang sudah tahu, dahiku ini hitam,” ujar Tawil dalam hati. Betapa bangganya Tawil, memperlihatkan dahinya yang hitam di hadapan Ustaz Pahrol sekeluarga. Pasti mereka sekarang sedar bahawa dirinya lelaki yang alim dan warak, kerana berdahi hitam.
Menjelang Maghrib, sebelum makan malam, Ustaz Pahrol mengajak semua tetamu untuk sembahyang jemaah. Dengan penuh semangat, Tawil bangkit dan segera mengambil wuduk. Ini pertama kali bagi Tawil, sembahyang berjemaah dengan keluarga Ustaz Pahrol.
Ketika selesai mengambil wuduk, Tawil merasakan sesuatu yang aneh. Air di lantai bilik mandi menjadi hitam. Tawil mendapati telapak tangannya juga hitam. Tawil menatap wajahnya di cermin dalam bilik mandi, dan dahinya yang tadi hitam perlahan-lahan luntur. Tawil mengusap dahinya. Tidak lagi hitam! Tawil mulai pening, kerana di bilik mandi itu tidak ada celak yang mampu mengembalikan dahinya menjadi hitam kembali. Tawil kebingungan.
Andai kamu menjadi Tawil, tentu kamu juga akan bingung. Tetapi aku yakin, kamu tentu tidak akan bertindak sebodoh Tawil. Dan, tahukah kamu, siapakah Tawil itu sebenarnya. Dia tidak lain adalah aku!
Mengenangkan kejadian itu, aku tersenyum sendiri. Aku tidak mahu menceritakan bagaimana sikap Ustaz Pahrol dan keluarganya waktu itu, setelah melihat aku tidak lagi berdahi hitam. Aku malu menceritakannya. Kamu tidak perlu risau, sekarang aku sudah sedar. Aku tidak harus berdahi hitam. Tetapi aku semakin rajin sembahyang. Hanya Tuhan yang tahu. Tanpa ada tanda-tanda pada diriku, atau kelihatan oleh manusia lainnya, bahawa aku lelaki yang sering mencium sejadah, baik siang mahupun tengah malam.

2 ulasan: