Aku dan Alette
SMAHADZIR
(Cerpen ini siap
diedit kali pertama pada 23 April 2004 dan perlu diedit lagi sebelum dihantar
ke mana-mana penerbitan)
Kubancuh secawan teh Earl Grey, mencium aromanya dan menghirupnya perlahan.
Aromanya membuatku terbawa kenangan.
Ya, aku teringat lagi kenangan awal pertemuan kami. Aku
duduk di sebuah café di Paris, menikmati hari panas cerah. Berbekal buku dan
cermin mata hitam, aku menikmati hari dengan riang.
“Is it free?”
Tiba-tiba terdengar satu suara bertanya. Aku mengangkat
kepala dan kulihat seorang gadis berperawakan tidak terlalu tinggi dan genit.
Aku melihat sekeliling, kemudian mengangguk. Aku kembali membaca dan tidak
mempedulikannya lagi yang sudah duduk di hadapanku. Setagal kemudian dia
kembali bersuara, “Kamu dari Malaysia?”
“Mana kamu tahu?”
“Baju batik kamu!”
Aku tersengih.
“Di Langkawi, saya ada beli sehelai, hampir sama,” dia
ketawa.
Aku memang gemar memakai baju batik walau di mana saja, pelajar
Melayu yang ingin mencari ilmu di bumi Paris.
Dia menghulurkan tangan, “Alette... kamu?”
“Fahmi... panggil saja Fay,” jawabku. Perbualan bernoktah
di situ. Aku lirik jam di pergelangan tangan. Aku harus pergi, gesit kuangkat
barang-barang dan pergi.
“Hei, jumpa lagi!”
* * *
Hari itu aku menikmati akhir musim panas dengan bas. Setelah letih berjalan
dari Les Marais, sekilas aku melihat tempat duduk kosong. Aku mengambil tempat
duduk itu. “Hei, bertemu lagi... Fay, kan?” Aku mengerutkan dahi, hmm... tidak
kusangka gadis yang kutemui di café itu duduk di sebelahku.
Masing-masing diam. Aku berusaha tidak mempedulikannya
dengan sibuk melihat peta di dinding bas. Hmm, tiga perhentian lagi. Cukup
lama.
“Fay, boleh berbual? Saya bukan gadis jahat. Errr, kamu
mahu ke mana?”
Aku tersenyum nipis. Perhentianku sudah dekat. Aku
beranjak dari tempat duduk dan segera turun. “Hei… Fay, kotak kamu tertinggal,”
Aku menoleh, tidak menyangka Alette turun juga dari bas.
“Fay, kotak kamu…” dia menghulurkan kotakku.
“Terima kasih!” aku berjalan, dia mengiringi
langkahku.
“Kamu tinggal di sini?”
Aku mengangguk.
“Emm, Alette... maaf, saya bukannya sombong, saya ada
tugas sekarang. Kita boleh bertemu di café itu petang nanti,” aku menunggu
jawapannya.
“D’accord… à tout à
l’heure!”
* * *
Café ramai pengunjung, aku tercangak-cangak mencari Alette. Tidak kelihatan
batang hidungnya. Mungkin dia bosan menunggu, aku memang terlambat 30 minit.
Sudahlah. Aku menghampiri pintu. Ketika aku membukanya, wajah Alette cagun di
hadapanku. Aku terkejut. “Eh, kamu!”
“Maaf saya terlambat!”
Aku tersenyum dan kami melangkah menjauhi café. Tidak
terasa kami berbual ramah. Dia mendengar sembari sesekali menatap tunak.
“Sekarang cerita kamu…”
“Tidak ada istimewa. Hari ini saya harus bertemu seorang lelaki
dari Malaysia, sebuah negara cantik, makin maju. Bagaimana ceritanya kamu di
sini?”
“Entahlah…” terdengar aneh. Aku seolah-olah tidak
bersemangat. “Bagaimana kalau sekarang kita pulang saja. Saya terlalu letih.
Kamu tinggal di mana?”
Dia menyebut satu jalan yang memang kutahu di mana
letaknya. Aku tidak mengharap dia mengajakku ke sana, kerana aku terlampau
penat. Dia seperti faham. Alette, gadis itu mengucapkan kata perpisahan dan
kemudian menghilang di stesen metro.
* * *
Hiruk-pikuk orang lalu-lalang di pasar pinggir kediamanku membuatku merasa
hidup. Aku membeli cherry segar. Ketika
aku menunggu penjual cherry itu aku
merasa seperti ada orang yang memerhatiku. Aku menoleh dan kulihat wajah Alette,
aku tersenyum. “Belanja, Alette? Jauh kamu ke sini.”
Dia tersenyum, “Saya melihat kamu senang sekali dengan
kebisingan pasar ini. Banyak juga kamu beli,”
Aku tersengih. “Ah Alette, belanja biasa. Kamu sudah trés occupé-kan. Tangan penuh... macam-macam,”
Sepanjang perjalanan, kami bertukar cerita sampai di
hadapan pintu apartment.
“Singgah?” ujarku.
“Kalau tidak keberatan!”
“Pourquoi
cantik? Ayuh… kediaman saya tingkat tiga. Bertahan dengan lenguh kaki naik
tangga, ya!” selorohku.
Dia senyum. Gigi putih cantik. Pesona.
“Minum teh dulu... Earl Grey!”
“Teh kesukaan kamu ya?”
“Mana kamu tahu?”
“Pertama kali jumpa di café, kamu minum itu juga. Tahu
cerita tentang teh itu?”
Aku tersengih, sambil membuka pintu, masuk dan meletakkan
barangan atas meja. “Duduk dulu, Alette… maaf, ruangnya sempit.”
Aku segera membuka bungkusan teh Earl Grey kesukaanku. Setagal
kemudian kembali ke ruang tamu dengan dua cawan di tangan. “Silakan! Apa yang kamu
tahu tentang teh ini?”
Dia tersenyum. “Tidak banyak. Teh ini, diproses dengan
campuran bergamot. Aromanya seperti limau sitrun.”
Aku mengangguk-angguk, “Saya hanya tahu ini teh sedap… aromanya.
Teh ini membawa saya ke awang-awang, imaginasi tertinggi,”
Dia tertawa, kami berbual panjang lebar.
“Hmm, saya harus pergi, Fay! Sorry tidak boleh lama. Terima kasih tehnya. Oh, kalau boleh, dan kalau
ada waktu… saya ingin ajak kamu menonton selepas pukul empat nanti.
Bagaimana?”
Aku tersenyum, “Mungkin tidak hari ini, Alette… saya
masih banyak tugas yang harus diselesaikan. Lain kali saja ya!”
Dia mengangguk dan berlalu.
* * *
Persahabatanku dengan Alette semakin akrab. Kami berbual tentang banyak
perkara, tetapi tidak soal peribadi. Aku bersyukur, Alette tidak begitu banyak
mengusik peribadiku, demikian sebaliknya.
Keselesaan itu terasa sangat mententeramkan perasaanku.
Suatu hari, Alette tiba-tiba muncul di muka pintu kediamanku dengan wajah yang
sangat ceria. Aku menyambutnya dengan ceria juga.
“Fay, saya ingin tanya sesuatu, mungkin saja kamu berubah
sikap selepas ini, saya tidak tahu, tapi… saya inginkan jawapan.” Matanya
menatap mataku tunak sekali, aku jadi gelisah.
“Hei, ada apa ni, Alette? Kamu mahu tanya apa?”
“Saya… saya ingin mengajak kamu mendalami hubungan kita.
Saya rasa selesa bersama kamu, Fay. Saya tahu, kamu mungkin menjawab tidak,
atau sebaliknya. Saya… saya hanya ingin kamu menjadi kekasih saya!”
Aku terdiam. Berusaha mencerna apa yang kudengar. Aku
memandangnya, kepalanya tertunduk dan akupun terkedu. Lidahku jadi kelu. Aku
memang menyukainya, suka keceriaannya. “Alette, aku ingin sekali menjawab
pertanyaanmu dengan segera… namun…” hatiku berkecamuk. Bibirku hampir
mengatakan semua itu, namun suara yang kudengar… dan akupun terkejut, “Beri
saya masa untuk memikirkannya? Sekarang kita cari makan dulu, ayuh!”
Begitulah, tahun berganti tahun selepas peristiwa itu.
Hingga kini, aku merasa berhutang padanya. Aku tidak mendapat kesempatan untuk
menjawab pertanyaannya. Keadaan yang mendesakku.
Dua hari setelah pertemuan terakhir, Alette mengikut
keluarganya ke Itali. Maklum, bapanya seorang pegawai kedutaan Perancis. Aku
tidak sempat berbicara lama kecuali selamat jalan di telefon. Selepas itu, aku
terus kehilangan hubungan dan aku merasa itulah jalannya hidup. Kini, sudah
tiga tahun aku kembali ke tanah air. Aku masih memikirkannya.
Teh sudah sejuk, aku mengambil air panas, menuangkannya
dalam cawan. Loceng berdenting. Aku beranjak menuju pintu hadapan. Posmen.
Surat-surat bank, tidak ada yang menarik. Satu antaranya terjatuh dan aku
memungutnya. Surat tanpa setem, tidak bernama pengirim. Cuma ada tulis ‘Alette’.
Segera kubuka.
23 Januari 2018
Dear Fay,
Kamu pasti terkejut dengan surat ini, dari
mana saya mendapatkan alamat kamu. Dan kamu pasti tidak akan menyangka cerita
perhubungan kita berkelana tanpa arah seperti ini. Fay, cuba kamu keluar rumah
ketika ini. Kamu akan melihat rumah di seberang rumah kamu. Tanyakan apakah ada
orang bernama ‘Alette,’ Saya masih menunggu jawapan kamu.
Alette
Aku cuba mengingatkan kembali nama jiran di hadapan
rumahku. Bukan nama Alette. Aku hanya ingat ada seorang perempuan tua dan
kucingnya selalu duduk di beranda. Aku segera keluar rumah, berjalan menuju
rumah itu. Mengetuk pintunya. Tidak lama, seorang perempuan tua muncul dengan
senyum mesra.
“Fay, silakan!”
Aku terkejut, dia tahu namaku. Seingatku, kami belum
pernah berkenalan.
“Saya tahu, kamu pasti terkejut saya tahu nama kamu. Kamu
tidak perlu bertanya lagi. Sebentar ya...” dia masuk ke dalam. Kemudian, muncul
seorang gadis berperawakan tidak terlampau tinggi dan genit berdiri di
hadapanku. “Alette…” dengan senyum yang tidak pernah kulupakan.
Aku hanya terpana.
“Saya bekerja sebagai perunding, masih ada hubungannya
dengan Perancis.” Dan begitulah cerita mengalir dari mulut Alette.
Semuanya seakan-akan berputar lagi, bagai putaran filem
35mm. Aku tidak ingin menyiakan kesempatan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan