Sabtu, 7 Mei 2011

Nasib Akhbar Melayu

BOLEHKAH akhbar mengubah minda pembacanya. Adakah orang Melayu kini percaya kepada media arus perdana? Berapa lama lagi akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian boleh bertahan, sebaliknya akhbar tabloid popular, kurang serius seperti Harian Metro dan Kosmo terus meningkat. Akhbar berkualiti arus perdana (quality mainstream) dan serius seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, malah NST terus menjunam. Angkanya di bawah 200,000 naskhah sehari. Ramai yang mengaitkan kemeruduman itu kononnya disebabkan kerana akhbar-akhbar itu ada kaitan dengan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO.


Orang Cina, sebaliknya meletakkan kepercayaan (trust) kepada media mereka. Jualan akhbar serius Sin Chew Jit Poh meningkat tinggi, melepasi 374,000 naskhah sehari. Orang Cina sukakan Sin Chew kerana ia banyak bermain dengan sentimen. Akhbar itu digemari kerana ia berani mempertahankan hak mereka dan menyoal hak orang lain. Contohnya, mereka mempersoalkan mengapa UiTM, hanya untuk bumiputera dan masih menganggap diri mereka sebagai warganegara kelas kedua. Ironisnya, akhbar itu turut menggambarkan orang Cina sebagai ‘Red Indian’ di Malaysia - hanya beberapa hari selepas media menyiarkan senarai orang terkaya di Malaysia!

Utusan Melayu suatu ketika dulu telah bertindak sebagai katalis penyatuan bangsa ke arah perjuangan menghalau penjajah dan menuntut kemerdekaan negara tapi kini menunggu detik kelenyapan, dilupakan, tersisih, dibenci, dihina, dikeji malah diboikot oleh orang-orang Melayu sendiri


Begitu juga dengan Nanyang, ia terus bertahan. China Press menjadi akhbar popular Cina kerana liputan sensasinya. The Star milik orang Cina pula terus popular kerana ia bukan saja - kini - disokong sepenuhnya oleh orang Cina, tapi juga orang Melayu, India dan lain-lain. Jarang kelihatan sekarang orang Cina membaca NST, sebagai pilihan akhbar Inggeris tetapi mereka membaca akhbar The Star.


Akhbar The Star menjadi akhbar yang paling untung jualannya di Malaysia. Ia turut disokong 101 peratus oleh para pengiklanan, agensi-agensi iklan, saudagar-saudagar Cina serta peniaga-peniaga kecil dan sederhana Cina yang banyak di negara ini. Mengikut angka yang diperoleh, perolehan iklannya ialah kira-kira RM680 juta. Akhbar itu juga mempunyai tunai dalam tangan yang dianggarkan berjumlah RM750 juta. Di kalangan industri ada yang mengatakan seseorang yang mahu mengiklan dalam akhbar itu perlu beratur panjang! Iklannya surplus, berlebih yang tidak pernah dinikmati oleh mana-mana satu akhbar Melayu lain.


Itulah hakikatnya untung nasib akhbar di Malaysia. The Star dikatakan cukup popular kerana liputannya dikatakan menarik. Namun, sebagai orang media, kita tahu liputannya banyak menjurus kepada pihak yang menyokongnya. Tetapi itulah hakikat apabila orang Melayu sendiri mengatakan akhbar itu cukup menarik. Oleh kerana perancangan perniagaannya hebat, maka baru-baru ini ia menerbitkan sisipan versi Melayu, mStar dalam akhbar Ahad-nya, The Sunday Star.


Arah tuju yang dilakukan oleh akhbar Cina dan The Star itu memang betul. Mereka juga mempunyai dasar perjuangan masing-masing. Mereka akan mempertahankan hak kaum masing-masing. Pendek kata, apa yang dilakukan oleh akhbar-akhbar itu turut dilakukan oleh semua akhbar di dunia. Itu pasal dalam media ada kajian mengenai pemilikan (media-ownership study). Pemilik itulah yang akan menentukan arah tuju sesuatu akhbar tersebut.


Kenapa masih ada orang Melayu mahu bertindak menghapuskan sebuah wadah perjuangan bangsa Melayu sendiri? Sedangkan bangsa lain tidak pernah melakukan perkara yang sama terhadap wadah penyaluran suara bangsa mereka iaitu akhbar walaupun akhbar tersebut tidak menyokong perjuangan mereka


Berbalik kepada akhbar Melayu. Banyak persoalan yang bermain di fikiran penerbitnya. Pelbagai cara telah dilakukan untuk meningkatkan jualan, iklan dan sebagainya, namun usaha itu nampaknya malap. Pihak pembangkang, yang melihat akhbar Utusan Malaysia sebagai akhbar yang amat berpengaruh menuang minyak kebencian pula dengan menuduh akhbar itu sebagai rasis dan sebagainya. Sama ada umpan pembangkang, itu berjaya atau tidak, masih tidak pasti - tapi persepsi orang ramai ke arah kempen kebencian parti pembangkang itu nampaknya melekat. Pengiklanan yang rata-rata dikuasai oleh orang bukan Melayu mulai termakan dengan kempen itu. Fikiran mereka telah diracuni oleh kempen parti pembangkang termasuk pembangkang Melayu.


Dalam sejarah persuratkhabaran Melayu di negara ini, inilah masa yang paling malang apabila orang Melayu menolak akhbarnya sendiri. Sejarah Utusan Melayu bermula pada tahun 1937 di Singapura apabila orang Melayu ketika itu ramai-ramai menyerahkan apa yang ada pada mereka untuk menubuhkan wadah lidah rasmi mereka itu bagi menentang penjajah. Utusan Melayu berhasil dengan perjuangannya sehinggalah negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Sejak itu perjuangannya tidak berhenti dalam menegakkan Perlembagaan Persekutuan - terutamanya Perkara 153. Ia tidak pernah malu untuk mencabar minda orang Melayu dan rakyat Malaysia bagi mempertahankan haknya.


Apa salahnya sekiranya akhbar Utusan Melayu mendesak orang Melayu supaya berubah ke arah yang lebih positif dan produktif? Apa salahnya jika akhbar Utusan Melayu pernah meniupkan semangat orang Melayu ke atas peristiwa Natrah di Singapura - bagi mempertahankan agama Islam yang dianutinya? Apa salah sekiranya Utusan Melayu mendesak orang Melayu menyokong penyatuan bangsanya ke arah perpaduan daripada berpecah-belah sehingga terbahagi kepada pelbagai puak. Kita harus sedar perpecahan itulah yang mahu dilihat oleh pihak-pihak tertentu berlaku ke atas orang Melayu. Mereka mahu melihat orang Melayu berpecah-belah dan ranap dalam negara ini. Orang lain amat cemburu kerana orang Melayu masih berupaya memegang kuasa politik di negara yang berdirinya Menara Berkembar Petronas ini.


Hanya kuasa politik yang masih bertahan di tangan mereka. Itulah satu-satunya kuasa yang ada. Kuasa ekonomi terlalu jauh dari mereka. Kuasa intelektual juga, dan kuasa daya saing masih tidak tercapai. Yang ada hanyalah kuasa politik yang boleh menampung sedikit sebanyak kuasa-kuasa yang tercicir itu. Peranan akhbar Melayulah yang akan memainkan tugas itu. Namun kita dituduh dengan pelbagai tuduhan. Kita dituduh rasis - sehingga mereka begitu ghairah berkempen supaya akhbar Utusan Malaysia dibakar.


Mereka dalam beberapa upacara politik, telah memulakan kempen membakar akhbar keramat orang Melayu itu. Apakah orang Melayu sanggup membiarkan ia berlaku? Saya tiada jawapannya. Ini kerana kempen membakar akhbar ini akan terus dilakukan. Perbuatan menuang minyak itu turut dilakukan oleh orang Melayu, yang nenek moyang mereka pernah menangis gembira dengan kelahiran akhbar itu dulu.


Akhbar Utusan Malaysia akan terus hidup. Selagi kerajaan yang ada pada hari ini berkuasa, Utusan Malaysia akan terus hidup. Malah seorang sahabat, yang juga seorang pemimpin dengan bersemangat ber-SMS pernah kepada saya berkata: ‘Apakah yang pembaca mahu daripada membaca surat khabar ini... saya sedang berfikir macam mana nak ubah orang Melayu dan pemikiran mereka melalui maklumat.’


Saya amat bersetuju dengan SMS itu dan saya doakan beliau akan berjaya memikirkannya. Namun, dengan perbuatan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang termasuk pembangkang berbangsa Melayu - saya penuh yakin sekiranya mereka berkuasa ke atas negara ini kelak, Utusan Malaysia, Utusan Melayu dan Utusan Zaman akan dikuburkan. Ia tidak mustahil.

Dah Tua Tetapi Masih Dikagumi

SUATU ketika dulu Tun Dr Mahathir dicemuh dan dikeji kerana sudah terlalu tua dan wajar meletakkan jawatan. Tetapi sekarang ada pemimpin yang sudah tua dan lama dalam kepimpinan tetapi tidak pula dicemuh dan dikeji supaya meletakkan jawatan. Saya hairan kenapa dalam hal ini ada double standard oleh masyarakat kita. Sepatutnya orang seperti Tun Dr Mahathir ini masih diberi peluang selagi mindanya berkemampuan untuk menelurkan gagasan yang bernas demi kemajuan negara. Bukannya dikeji dan dihina dengan pelbagai gelaran.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berusia lebih 80 (lebih 84 tahun sebetulnya) jika ikut tahun lahirnya 1925. Kalau tak silap beliau sering mengaku sedikit muda. Ia hanya dibezakan dengan bulan. Dilahirkan pada 10 Julai, tapi didaftar kelahiran pada 20 Disember. Jika dikaji secara biologi dan fisiologi, beliau memang nampak muda. Namun, beliau semestinya berbangga berada dalam usia itu. Satu kumpulan usia yang terlalu sedikit jumlahnya di negara ini.

Tun menurut imaginasi pelukis

Saya pula baru berusia 50 tahun, hampir separuh usia negarawan itu. Tidak pasti apakah saya akan sampai ke usia sebegitu? Pada satu kempen jantung sihat Walk-a-Mile atau Jalan Sebatu Tun Dr. Mahathir berjalan bersama-sama peserta lain sejauh lebih sebatu. Beliau kelihatan penat sikit selepas sampai ke garisan penamat. Maklumlah usia beliau bukannya muda lagi, wajarlah letih jika berjalan sejauh sebatu! Saya pun mungkin lebih letih lagi jika berjalan sejauh itu walaupun dua atau tiga hari sekali saya berjalan keliling Taman Dataran MDKL untuk mengeluarkan peluh.

Bagi saya, pemimpin negara yang amat saya kagumi, yang dikenali dalam blog yang paling popular di Malaysia sebagai blogger Che Det itu sungguh hebat. Selain masih dikurniakan kesihatan yang baik, minda yang bernas, beliau ternyata tahu menjaga dirinya. Mungkin juga pengaruh isteri yang menyihatkannya, lantas memanjangkan usianya. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali setahun lebih muda daripada Tun Dr. Mahathir, juga sihat dan sama-sama berjalan sebatu. Mereka adalah pasangan doktor yang ideal.

Beberapa hari selepas itu Tun Dr. Mahathir hadir di satu syarahan perdana dikenali sebagai Wacana Intelek Ulung anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia - pertubuhan yang disegarkan semula dengan ahli terkumpul sejumlah 350,000 orang. Saya merupakan salah seorang ahlinya. Syarahan itu diadakan di pejabat Tun di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya. Ketibaan Tun Dr. Mahathir dengan isteri ke dalam auditorium tepat jam 10.30 pagi diberi tepukan berdiri oleh para hadirin yang terdiri daripada kira-kira 200 alumni jemputan. Tidak perlu disebut mengapa beliau dihormati sebegitu rupa. Dulu orang membencinya, kini orang menghormatinya. Malah, di universiti sendiri yang dulu ramai warga akademik mengkritiknya, kini terpaksa memetik semula kata-katanya. Itulah aura Tun Dr. Mahathir. Seorang negarawan yang tidak perlu diperincikan lagi.

Tun dah tua tapi mindanya masih kreatif dan kritis

Tidak perlulah juga disebut mengapa beliau dipilih sebagai pensyarah sulung untuk wacana ini. Ia adalah kerana Tun Dr. Mahathir terlalu dekat dengan ITM, kata presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed. Tun Dr. Mahathirlah orangnya yang menaikkan taraf ITM kepada sebuah universiti. Maka, tidak hairanlah beliau adalah tokoh yang paling tepat dijemput untuk membuka tirai siri syarahan perdana tersebut.

Dalam Wacana Intelek Ulung anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia itu Tun Dr. Mahathir hadir dan berdiri selama dua jam di rostrum, tanpa berganjak. Hanya sekali kelihatan meneguk air, Tun bercakap mengenai satu topik yang paling digemarinya iaitu mengenai globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Bertajuk Strategi Memartabatkan Melayu di Dunia Tanpa Sempadan beliau memperincikan secara detail mengenai sejarah dunia, sejarah asal-usul Melayu - satu bangsa yang amat lemah yang sentiasa tunduk kepada kuasa-kuasa besar, yang walaupun lemah, katanya mereka (Melayu) masih hidup sehingga ke hari ini. Walaupun mereka (Melayu) terbahagi dan dibahagi sepanjang masa, mereka masih survive dan dapat membentuk negeri-negeri dan melantik raja-raja.

Tun Dr. Mahathir turut menyentuh mengenai negeri Kedah yang dikenali sebagai Kedah Tua (lebih tua dari Melaka), yang raja-rajanya bermurah hati memberi sebahagian negerinya kepada raja-raja lain sehingga terbentuknya Perlis. Malah katanya, bekas kawasan Parlimen pilihanrayanya, Kubang Pasu pun hampir-hampir menjadi sebuah negeri. Jika tidak, saya akan menjadi ahli Parlimen sebuah negeri, selorohnya.

Sejarah bagi Tun Dr. Mahathir amat istimewa sekali. Semasa menjadi Presiden UMNO dulu pun, Tun sering kali memulakan ucapan presidency-nya dengan kisah-kisah sejarah yang perlu diteladani. Benar tanpa sejarah, sesebuah tamadun tidak boleh dibentuk. Dan, perlu diingat, sejarah (terutama mengenai kisah-kisah malang) boleh berulang semula. Tun Dr. Mahathir kemudiannya bertanya kepada audien, apakah kita akan terus survive dengan globalisasi ini atau terus hilang di muka bumi ini?

Apa yang Tun Dr. Mahathir katakan itu penuh dengan makna yang tersirat dan tersurat. Apakah kita perlu terlalu bermurah hati? Orang Melayu ialah satu bangsa yang amat bermurah hati, suka memberi. Singapura hilang, kata Tun, diserahkan kepada pemerintah negara itu sekarang dengan hanya 60,000 ringgit pada masa itu. Atau sekarang hanya bernilai tiga kaki persegi di pulau itu! Hanya orang yang lemah akan hilang tanah airnya. Ia mungkin tidak akan berlaku lagi, tetapi ia boleh berlaku, tegas beliau.

Pada usia seperti itu (usia yang rata-rata lebih tua daripada bapa-bapa kita sendiri) ia adalah nasihat seorang bapa kepada anaknya. Tapi Tun Dr. Mahathir ialah seorang bapa yang amat degil. Selama lebih 20 tahun saya mengikuti perkembangan beliau, itulah nasihat yang sering saya dengar dan saya baca. Itulah celoteh yang sering disebut ke telinga kita sehingga ke hari ini. Anak-anak muda sekarang mungkin akan mencebek sinis bila disebut soal ini kepada mereka. Bagi mereka, sejarah mungkin tidak memberi apa-apa makna, sekadar catatan untuk tatapan mata dan telinga saja. Sejarah tidak perlu dijadikan ikhtibar dan asas gerak langkah menuju ke hadapan. Mungkin juga mereka tidak pernah ambil tahu kata-kata George Santanaya bahawa ‘orang yang lupa sejarah akan mengulangi sejarah’.

Kata Tun lagi, konsep baru penjajahan Barat ini perlu dikaji dan dipelajari. Barat kini bukan lagi menjajah secara berperang dengan senjata, tetapi mereka menggunakan budaya, ekonomi dan perdagangan bagi mendominasi sesebuah negara. Mereka turut menekan kita supaya menerima fahaman mereka. Mungkin kita boleh menerima konsep demokrasi mereka, tapi kata Tun Dr. Mahathir saya tidak boleh menerima sama sekali konsep demokrasi liberal mereka. Liberal dalam serba-serbi. Termasuklah apabila kita dipaksa menerima Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) - satu perjanjian yang melibatkan urus niaga dua hala yang berat sebelah.

Apakah kita mahu berkorban dengan perjanjian itu? Saya tidak akan bersetuju semuanya, mungkin separuh bolehlah, kata beliau ketika menjawab soalan seorang peserta semasa sesi dialog selepas syarahannya. Tun Dr. Mahathir turut menasihatkan orang Melayu supaya terus berubah. Ubahlah budaya malas yang orang lain pernah cap kepada kita. Gejala rasuah, pula di kalangan orang Melayu, katanya sudah terlalu teruk sekali - juga harus diubah.

Pendek kata, syarahannya penuh dengan kata-kata hikmah. Para hadirin nampak puas dengan syarahan itu. Itulah Tun Dr. Mahathir Mohamad, negarawan ulung yang tidak perlu diperincikan lagi. Seorang sahabat yang juga alumni, Prof Madya Mohd Shah yang turut mengikuti syarahan itu berbisik kepada saya: Tengoklah, susah nak cari lagi orang seperti itu. Seorang lagi sahabat yang juga alumni, Dr Kamaruddin berkata: Itulah Mahathir, sangat konsisten.

Benar, kata-kata mereka, Tun Dr. Mahathir sangat konsisten dengan prinsipnya. Selagi hayat dikandung badan, beliau akan terus berperang dengan kata-katanya. Malah beberapa minggu selepas itu, Tun sekali lagi telah berperang dengan kata-katanya. Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) telah mempengerusikan Persidangan Menjenayahkan Perang (Criminalise War) di PWTC. Satu perjuangan menentang kezaliman dan keganasan peperangan atas nama kemanusiaan. Syabas Tun!

Melaka Memang Cantik

SETELAH sekian lama tidak keluar bercuti dari Selangor - yang penuh sesak dengan jalan-jalan berlubang dan sudah kurang serinya lagi, saya mengambil keputusan bercuti ke Melaka beberapa minggu yang lalu. Ke Melaka dengan memandu secara santai hanya memakan masa kira-kira dua jam setengah saja. Tidaklah hebat sangat mengambil keputusan bercuti bersama keluarga ke negeri itu. Kali terakhir saya ke Melaka ialah kira-kira empat tahun yang lalu. Apa istimewanya Melaka? Sekali imbas tiada istimewa apa pun - asyik-asyik Kota A’Farmosa, panjat Bukit St. Paul dan berjalan ke bangunan rumah kedai bercat merah di Jonker Walk menghala ke The Stadthuys. Di tepinya ialah Sungai Melaka yang mengalir lesu dan berbau tengik. Di sepanjang sungai itu berderetan bontot kedai-kedai lama Cina yang hodoh, kotor dan tiada apa yang istimewa pun.

Pada petang Jumaat, saya bertolak dari rumah saya di Banting, saya mengambil lebuh raya PLUS, susur keluar di Nilai/Pajam dan memasuki susur masuk ke tol Alor Gajah. Sampai di bandar Alor Gajah pada kira-kira pukul 8 malam, saya teruja melihat bangunan rumah kedai di pekan tersebut dipasang dengan jaluran lampu yang mengikuti bentuk bangunan itu. Pokok-pokok di tepi-tepi jalanan diselaputi neon-neon. Terdetik di hati, cantiknya. Pertama kali saya sampai ke situ pada waktu malam.

Sungai Melaka menggamit kehadiran pelancong

Sampai di Tanjung Kling, saya daftar masuk ke sebuah pusat peranginan menghadap Selat Melaka di Pantai Klebang dan bermulalah percutian saya di negeri Hang Tuah yang dibuka oleh Parameswara pada sekitar 1400 Masehi dulu. Melaka bagi saya bukan seperti empat tahun lalu. Ia sudah berubah. Tergerak di hati saya untuk menulis di blog ini kerana Melaka telah berubah. Ia berubah 360 darjah daripada beberapa tahun lalu. Nampaknya semua orang buat kerja - kerja keras. Dari atas sampai ke bawah, dari orang atasan sampai ke orang bawahan semuanya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Melaka. Orang Melaka sangat berbangga dengan negeri mereka. Kampung-kampungnya tersusun rapi dan tiada semak-samun dan belukar yang menyakitkan mata seperti di negeri-negeri lain. Terus terang saya katakan Melaka lain dari negeri-negeri lain. Semuanya tersusun. Layak saya takrifkan, Melaka ialah negeri termaju dalam lingkungan negeri-negeri di Malaysia yang masih lagi ketinggalan. Tidak hairanlah Melaka berani meletakkan motonya sebagai Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia.

Pada tahun 2008 Melaka diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage). Negeri Melaka juga diisytiharkan sebagai ‘Melaka Maju’ pada 20 Oktober 2010 pada jam 20.0 di Stadium Hang Jebat yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia langsung dari Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur. Melaka juga dinyatakan sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau.

Bandaraya Bersejarah Melaka juga berkembar dengan lima buah bandar terkemuka yang lain iaitu Lisbon, Portugal (16 Januari 1984), Kuala Lumpur, Malaysia (15 April 1989), Hoorn, Belanda (8 November 1989), Valparaiso, Republik Chile (24 Jun 1991) dan Nanjing, China (2001).

Antara bangunan bersejarah di Melaka

Sejarah kesultanan Melaka bermula dengan kedatangan Parameswara, seorang raja Srivijaya dari Palembang, yang memerintah pada tahun 1400hingga 1424. Nama Melaka diambil sempena nama pohon tempat Parameswara berteduh. Pada ketika itu, satu perkara aneh berlaku di mana seekor kancil putih telah menendang anjing-anjing raja. Melihatkan kejadian itu Parameswara merasa kagum dan memerintahkan agar kawasan tersebut dibuka dan dinamakan sebagai Negeri Melaka. Kesultanan ini memerintah Melaka selama 110 tahun sehingga ditewas oleh pihakPortugis pada tahun 1511.

Empayar Melaka mencapai kemuncak kuasanya semasa pemerintahan Sultan Mansur Shah, dan terdiri daripada Tanah Melayu, (kini, Semenanjung Malaysia), Singapura, dan sebahagian besar Sumatera. Pesaing utama Melaka ialah Siam di utara dan Majapahit di selatan (pulau Jawa). Semasa zaman kegemilangan Kesultanan Melaka, lahirlah nama-nama besar seperti Tun Perak, Hang Tuah lima bersaudara yang merupakan pahlawan besar ketika itu.

Sultan Mahmud Shah, sultan terakhir Kesultanan Melaka, merupakan mangsa keadaan disebabkan Portugal pada awal abad ke-16 sedang meluaskan kuasanya ke luar negara bagi merealisasikan impiannya iaitu 3K (Keagamaan, Kekuasaan, Kekayaan). Melaka dikuasai oleh pihak Portugis di bawah pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 24 Ogos 1511. Ia menjadi suatu pangkalan strategik bagi pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur dan diperintah oleh mereka selama 130 tahun.

Istana sultan Melaka

Pada tahun 1641, pihak Belanda menguasai Melaka dengan menewasan pihak Portugis melalui bantuan Sultan Johor. Walaubagaimanapun, pihak Belanda tidak berminat menjadikan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan di antara Timur dan Barat tetapi lebih mementingkan pembangunan Batavia (Jakarta) di Indonesia sebagai pusat pentadbiran mereka. Mereka menyerahkan Melaka kepada pihak British mengikut Perikatan British-Belanda pada tahun 1824. Dari 1826 hingga 1867, Melaka diperintah oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (British East India Company), dan kemudiannya menjadi sebuah tanah jajahan British. Kemudian, pada tahun 1946, ia menjadi salah satu Negeri Selat (Straits Settlement), bersama-sama dengan Singapura dan Pulau Pinang. Selepas pembubaran tanah jajahan, Melaka dan Pulau Pinang telah menjadi sebahagian daripada Malayan Union yang kemudiannya menjadi Malaysia pada tahun 1963.

Sektor pelancongan dan pembuatan adalah sektor utama dalam menjana ekonomi negeri. Melaka telah mengamalkan slogan ’Melawat Melaka Bererti Melawat Malaysia’. Melaka kaya dengan tempat-tempat yang menarik dan bersejarah. Melaka juga terkenal untuk makanan, terutamanya gaya masakan Baba dan Nyonya yang terdirinya daripada gaya masakan Cina dan Melayu. Kebanyakan hidangannya adalah pedas dan berempah.

Sehingga hari kini, kebanyak adat-adat kuno yang berasal daripada penduduk Portugis masih diamalkan, termasuknya ‘Intrudu’ (sejenis perayaan air yang menandakan permulaan musim Lent, iaith musim puasa bagi orang Katolik), ‘branyu’ (sejenis tarian tradisional) dan ‘santa cruz’ (sejenis perayaan jalan tahunan)

Sungai Melaka pada waktu malam

Selain daripada pelancongan, Melaka juga menjadi pusat pengeluaran barangan tempatan daripada makanan dan barangan konsumer kepada barangan komponen-komponen senjata dan automotif berteknologi tinggi, elektronik serta komponen-komponen komputer. Terdapatnya sekurang-kurang 23 kawasan perindustrian yang merangkumi lebih kurang 500 kilang Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, Taiwan dan Singapura. Perkhidmatan perubatan swasta di Melaka semakin dicari oleh pesakit-pesakit sejauh Indonesia dan Singapura. Hospital Straits, Hospital Putra (dulu dikenali sabagai Hospital Southern), Hospital Melaka dan Pusat Perubatan Pakar Pantai merupakan pusat perubatan swasta yang amat popular. Mereka menyediakan perkhidmatan perubatan yang setaraf dengan kebanyakan negara maju yang lain. Kerajaan Negeri Melaka ialah pemegang saham utama Hospital Putra.

Sepanjang jalan di Melaka dari Alor Gajah hingga ke Banda Hilir dan ke Air Keroh saya kagum melihat tiada sampah sarap bersepah yang menyakitkan mata, atau jalan-jalan berlubang yang banyak di Selangor. Tiada tanda-tanda jalan yang mengelirukan. Semuanya sempurna. Pada malam Sabtu, buat pertama kalinya saya menyusuri Sungai Melaka dengan menaiki bot dari jeti di Dataran Quayside. Kawasan itu telah melalui transformasi yang amat menakjubkan. Gudang-gudang lama di situ telah diubah moden. Kesan-kesan kota lama yang diekskavasi dipelihara dengan baik.

Terpesona saya menyusuri sungai yang mengambil masa pergi balik selama 45 minit. Saya berasa seperti bukan berada di Malaysia, tapi di mana-mana di negara maju lain. Lampu-lampu berwarna-warni diperkayakan di sepanjang perjalanan itu. Sampai di satu tempat bot memperlahankan kelajuan bagi menyaksikan pertunjukan air pancut menari di tepi tebing sungai itu. Terlalu unik melihat rumah-rumah Melayu dihiasi cahaya lampu, yang bilnya ditanggung oleh kerajaan. Bagi saya apa yang dilakukan ini bukan membazir, tapi dibayar balik oleh pendapatan industri pelancongannya yang hebat.

Tinggalan penjajah Belanda

Pulau Sebang yang terletak 30 kilometer ke utara Bandaraya Melaka dan 10 kilometer dari Bandar Alor Gajah merupakan stesen keretapi yang terdekat bagi Bandaraya Melaka. Dahulu stesen keretapi ini dikenali Tampin oleh sebab kedudukan dari segi geografinya berada di wilayah Negeri Melaka dalam daerah Alor Gajah dan arahan Kerajaan Negeri Melaka serta saranan rakyat Melaka maka nama stesen ini dikenali sebagai Stesen KTM Pulau Sebang.Sebuah lagi stesen keretapi dalam daerah Alor Gajah stesen Tebong tetapi tren antara bandar tidak berhenti di stesen ini. Walau bagaimanapun stesen ini turut dinaiktaraf berikutan pembinaan landasan berkembar antara Seremban ke Gemas yang turut melalui stesen ini. Bagi penduduk di daerah Jasin terutamanya di kawasan Selandar,Asahan (dahulunya Bukit Asahan), Simpang Bekoh, Nyalas boleh menggunakan perkhidmatan keretapi di stesen keretapi Batang Melaka yang terletak 22 kilometer ke utara Bandar Jasin. Stesen ini bersempadankan Melaka dan Negeri Sembilan.

Projek landasan keretapi berkembar elektrik antara Seremban dan Gemas akan berlakunya perpindahan stesen Pulau Sebang dan Batang Melaka. Stesen KTMB Pulau Sebang yang baru akan dipindahkan kira-kira 300 meter ke arah selatan stesen sekarang dan dilengkapi dengan perhentian bas dan teksi. Apabila siapnya kelak kemungkinan akan dinamakan Pulau Sebang Sentral. Manakala stesen Batang Melaka akan dipindahkan beberapa meter sahaja ke arah utara dari stesen sekarang supaya stesen yang baru itu terletak dalam Negeri Melaka. Pernah adanya landasan keretapi dari Pulau Sebang ke Bandaraya Melaka sebelum Perang Dunia Kedua, tetapi ia telah dibuka oleh tentera Jepun untuk pembinaan Landasan Keretapi Maut di Burma dan tidak pernah dibina semula selepas peperangan walaupun bekasnya masih tertinggal. Pihak KTMB sedang menjalankan kajian yang serius atas permintaan Kerajaan Negeri Melaka untuk membuka semula laluan keretapi dari Tampin/Pulau Sebang ke Bandaraya Melaka melalui program landasan berkembar elektrik. Pada dasarnya pihak KTM bersetuju untuk membina landasan keretapi elektrik ke Melaka sehingga Batu Berendam sahaja. Laluannya dari Pulau Sebang melalui Kampung Arongan, Tanjung Rimau, Gadek, Seri Pengkalan, Alor Gajah, Melaka Pindah, Durian Tunggal, Kg. Gangsa dan berakhir di Batu Berendam berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

Bijak merobah sebatang sungai yang tengik menjadi nadi pelancongan air seperti Kota Venice di Itali

Kerajaan negeri Melaka lebih tertarik jika landasan ini dapat dipanjangkan sehingga Melaka Sentral. KTM tidak mempunyai masalah untuk memanjangkan landasan ke Melaka Sentral sejauh 5 kilometer lagi dari Batu Berendam asalkan pihak kerajaan negeri dapat menyelesai isu pengambilan tanah yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi antara Batu Berendam ke Melaka sentral, sistem jalan raya yang sedia ada perlu diubah suai. Laluan antara Tampin/Pulau Sebang ke Batu Berendam tidak menghadapi masalah kerana tanah-tanah itu merupakan tanah rizeb KTM dan penduduk sepanjang bekas laluan keretapi itu tahu status tanah yang didudukinya itu merupakan Tanah TOL. Projek ini jika diluluskan kerajaan pusat akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-10. Kerja-kerja mengukur tanah bekas jalan keretapi lama antara Pulau Sebang dan Bandaraya Melaka sudah dilakukan oleh Pejabat Tanah Daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah.

Bandaraya Melaka mempunyai sebuah Terminal Pengangkutan antara bandar yang moden yang dikenali Melaka Sentral dengan perkhidmatan pengangkutan yang tetap ke Kuala Lumpur, Johor Bahrudan lain-lain bandar-bandar utama di Semenanjug Malaysia.Melaka Sentral merupakan sistem pengangkutan bas dan teksi yang tercanggih di Malaysia hari ini. Tiada perhentian bas dan teksi di mana-mana bandar utama di Malaysia selain Melaka Sentral. Melaka juga mempunyai sebuah lapangan terbang di Batu Berendam yang melayankan penerbangan carter dari kawasan sekitar.Lapangan Terbang Batu Berendam dalam proses naik taraf dijangka siap pada tahun 2009. Apabila siap kelak peswat yang lebih besar seperti Boeing 737 boleh mendarat di lapangan terbang ini. Jalan keluar Ayer Keroh di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) merupakan jalan masuk utama ke Melaka. Terdapatnya juga dua jalan keluar tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan, iaitu di jalan keluarAlor Gajah dan Jasin.

Beca - antara objek pelancongan yang bernilai

Pak Hassan, pemandu bot kami bercerita mengenai kisah-kisah bangunan lama dan beliau mengimbau kami ke zaman silam Melaka yang terlalu kaya sejarahnya. Dari pokok Melaka di tepi sungai kepada projek membawa roda feri Eye of Malaysia dari Taman Tasik Titiwangsa, Menara Taming Sari yang menjadi tarikan terbaru hinggalah kepada pokok bakau yang dipelihara, yang pada siang harinya kita boleh melihat biawak makan - makanan yang turut dibiayai oleh kerajaan negeri.

Pak Hassan yang juga bertindak sebagai pemandu pelancong, sambil memandu bot pelancong ala di Sungai St. Antonio, Amerika Syarikat itu bercerita bagaimana kerajaan negeri akan mengubah bahagian belakang bangunan rumah kedai itu menjadi bahagian hadapan menghadap ke muka sungai. Di tepi sungai itu akan dijadikan pejalan kaki dan kafe-kafe seperti yang terdapat di Venice. Tiang-tiang untuk projek monorel telah pun dibina. Kampung Jawa, katanya yang kelihatan usang akan diambil alih dan dimajukan oleh saudagar dari Arab.

Membandingkan empat tahun lalu dengan apa yang ada hari ini, saya percaya semua kata-kata Pak Hassan itu. Apa yang beliau katakan itu akan menjadi kenyataan. Beliau juga tidak lokek apabila membawa kami hingga ke kunci air yang dibina, bagi menunjukkan bagaimana sungai itu sentiasa dipenuhi air walaupun pada waktu air surut. Sebahagian daripada sungai itu ialah buatan manusia. Pada satu-satu masa, paras air sungai ialah pada ketinggian 14 kaki, cukup tinggi untuk aktiviti pelancongan air yang aktif dijalankan di sungai tersebut. Di tebing sungai seberang dari jeti Quayside, projek pembinaan hotel lima bintang sedang rancak dijalankan.

Terlalu bernilai cerita-cerita yang disampaikan oleh Pak Hassan, pesara kakitangan Jabatan Perikanan Klang itu. Perjalanan menyusuri sungai itu terlalu berbaloi dengan harga tambang RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Letih tapi seronok, hari ini saja saya dah bawa lebih 15 trip, katanya puas.

Bas yang membawa pelancong mengitari kawasan bersejarah

Keesokan hari (Ahad) sebelum pulang ke Banting kami sekali lagi singgah di Banda Hilir dan melawat beberapa tempat lazim di situ. Ternyata semuanya amat memuaskan. Bersih sungguh. Tindakan kerajaan Melaka membangunkan Dataran Pahlawan, misalnya amat bijak sekali. Di atasnya ialah padang yang bersejarah itu, di bawah ialah bazar dan mall perniagaan. Perlu direkodkan di sini, hanya dua perkara yang sedikit menghampakan. Pertama, kesesakan trafik di tengah bandar raya. Dan kedua, harga makanan di restoran kampung Melayu yang terlalu ‘mencekik darah’ - walaupun asam pedasnya memang sedap.

Selain itu, ternyata pentadbiran Melaka telah berjaya mengubah negeri bersejarah itu menjadi pusat tarikan pelancongan yang berjaya. Pembangunan Melaka yang asalnya dimulakan oleh Tan Sri Rahim Tamby Chik, kini dirancakkan oleh ketua menteri yang kreatif dan inovatif, Datuk Ali Rustam.

Naik beca berkeliling kawasan bersejarah

Kita nak syorkan kepada para pentadbir negeri, perancang bandar yang terlalu kerap ke luar negara untuk melihat negara orang, melakukan lawatan sambil belajar ke Melaka. Contohilah pengurusan taman dan sampahnya yang dilihat terlalu tersusun. Perancangan infrastruktur pelancongannya yang begitu sistematik. Jika Melaka boleh mengapa Kuala Lumpur tidak boleh? Mengapa Sungai Klang dibiarkan lesu dan kotor sedangkan ia boleh dijadikan laluan river cruise dari KL ke bandar diraja Klang; sama seperti yang berlaku di Sungai Melaka? Mengapa Padang Kota Lama di Pulau Pinang terlalu membosankan - dengan gerai mee sotong di tepinya masih daif sama seperti puluhan tahun lalu? Mengapa Pasar Siti Khatijah di Kota Bharu yang diberi nama Bandar Raya Islam terlalu kotor dengan tikus-tikus mondok yang menjijikkan?

Melaka tidak cainnotophobia (disebut: kain no to fobia). Pemimpinnya tidak takut atau fobia kepada pembaharuan atau tidak takut mencipta sesuatu yang baru. Tidak perlu menamakan ia sebagai Islam atau tidak, ataupun ditadbir oleh seorang ulama atau tidak. Ia semuanya datang dari seorang pemimpin yang berfikiran kreatif dan mahu melihat kecantikan untuk membangunkan negerinya. Walaupun Melaka sebuah negeri kecil, tapi hati orangnya waja. Syabas Melaka!

Kita Tahu, Tapi Buat-Buat Tak Tahu

TAJUK di atas amat seronok untuk dibincangkan. Tetapi biarlah perbincangan kita dalam suasana yang rasional dan berpandukan kepada fakta. Jangan emosional. Apa yang dimaksudkan dengan ‘Kita Tahu, Tapi Buat-Buat Tak Tahu’ ialah soal realiti di depan mata kita. Lantaran tidak mahu hati sesiapa pun terhiris, kita sanggup buat-buat tak tahu walaupun sebenarnya kita tahu. Ada yang diam kerana kepentingan politik, ada yang diam kerana kepentingan persahabatan dan macam-macam lagi. Yang penting kita diam atau kita tahu tapi buat-buat tak tahu.

Pertanyaan yang lebih jelas berbunyi begini: Orang Cina Malaysia, apa lagi yang anda mahu? Pertanyaan ini penuh bermakna. Apa lagi yang orang Cina Malaysia mahukan? Kita tolak dulu sebab-musabab mereka tidak menyokong kerajaan yang ada sekarang. Mari kita kaji dulu apa lagi yang mereka mahu?

Yap Ah Loy - datang ke Tanah Melayu untuk mengubah nasib

Ikut sejarahnya orang Cina berhijrah ke Tanah Melayu ini untuk mencari peluang. Mereka hidup susah di Tanah Besar China ratusan tahun dulu. Seperti mana orang putih berhijrah ke benua Amerika untuk mencari peluang, begitu jugalah orang Cina yang kini menghuni di negara bertuah Malaysia ini. Ternyata, percaturan datuk moyang mereka dulu berbaloi. Mereka dapat apa yang mereka mahukan. Mereka hidup mewah di bumi bertuah Malaysia ini. Malah, bukan Malaysia sahaja, Singapura pun mereka kuasai sepenuhnya. Singapura bukanlah negara asal mereka. Orang Cina Singapura pun asalnya adalah dari tongkang yang sama bersama-sama orang Cina Malaysia. Cuba bezanya, Singapura berjaya dikuasai sepenuhnya, dan Malaysia tidak.

Di Malaysia, orang Cina hidup aman damai bersama-sama orang Melayu, kaum peribumi dan India. Berbeza dengan di Singapura, di sana orang Cina yang menguasai politik dan sekaligus pemerintahan negara itu. Di Malaysia, politik dan kerajaannya masih lagi dikuasai oleh orang Melayu. Sistem kedua-dua negara itu sama, cuma ia terbalik sahaja. Orang Melayu di sini, orang Cina di sebelah Tambak Johor itu.

Kok Kang Kweon - isteri Yap Ah Loy

Bezanya orang Melayu di Singapura dan orang Cina di Malaysia amat berlainan sekali. Orang Melayu di Singapura hidup biasa-biasa sahaja. Orang Cina di Malaysia hidup lebih daripada biasa-biasa. Malah Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah memberi gambaran sekiranya semua bangunan orang Cina di Kuala Lumpur diangkat dari peta, yang tinggal hanyalah Kampung Baru itu sahaja. Semua yang lain ialah kepunyaan orang Cina Malaysia.

Orang Cina Malaysia amat hebat. Kesemua pekan-pekan besar dan bandar-bandar di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak dikuasai mereka. Mereka juga berjaya melahirkan para profesional yang paling ramai dan berjaya. Sistem sekolah Cina mereka adalah antara yang terbaik di mana-mana sahaja di dunia ini (jika ada). Kebanyakan pelajar-pelajar di kolej-kolej swasta yang terbaik di Malaysia dipenuhi oleh pelajar-pelajar Cina. Orang Melayu hanya mampu ke kolej milik kerajaan dan yang tidak ternama.

Yap Ah Loy dalam pakaian resmi seorang pembesar

Pusat-pusat membeli belah di kompleks-kompleks ternama di Malaysia dipunyai oleh orang Cina. Di organisasi korporat dan swasta, orang Cinalah yang menguasainya. Orang Melayu boleh dibilang dengan jari dan pekerja bawahan. Malah, kini mahu mohon kerja di situ pun perlu faham cakap Mandarin, sebagai prasyaratnya. Akhir sekali, orang paling terkaya di Malaysia yang banciannya dijalankan saban tahun oleh majalah Malaysian Business di Malaysia mendapati lapan orang Cina yang berada di tangga 10 ke atas. Berikut adalah senarai 10 orang terkaya di Malaysia:

  1. Robert Kuok Hock Nien
  2. Tatparanandam Ananda Krishnan
  3. Tan Sri Lee Shin Cheng
  4. Tan Sri Teh Hong Piow
  5. Tan Sri Lim Kok Thay
  6. Tan Sri Quek Leng Chan
  7. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhry
  8. Puan Seri Lee Kim Hua
  9. Tan Sri Tiong Hiew King
  10. Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun

Itulah hakikatnya Malaysia tanah air kita yang tercinta ini. Apakah kerajaan sekarang yang sudah memerintah lebih 50 tahun ini terlalu zalim, kejam dan kuku besi? Apa lagi yang orang Cina Malaysia mahukan? Tapi saya tahu, anda pun tahu jawapannya. Kita tahu, tapi buat-buat tak tahu.

Khamis, 5 Mei 2011

Di Mana Bumi Dipijak, Di Situ Langit Dijunjung

Malaysia akan menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 pada tanggal 31 Ogos 2011. Jika kita dilahirkan pada 31 Ogos 1957, kita akan berusia 54 tahun pada 31 Ogos 2011. Tapi bagi rakyat Malaysia, 54 tahun masih muda. Jika dia seorang yang bekerja, maka dia akan terus bekerja sehingga tiga tahun lagi atau enam tahun lagi. Ada yang masih bekerja sehingga 66 tahun. Tun Dr. Mahathir Mohamad terus bekerja - walaupun usianya sudah mencecah 86.


Pendek kata, selagi otak kita berkata kita harus perlu bekerja, maka badan kita akan bekerja. Jika badan gagal berkomunikasi dengan otak, maka itulah hari akhir bagi kita. Begitu juga negara kita Malaysia. Ia adalah sebuah negara yang perlu terus hidup. Ia harus terus maju, makmur dan aman damai. Semangatnya harus dipelihara dan jiwanya harus dijaga oleh manusia yang menaunginya. Jika semangat dan jiwa itu tidak selari dengan manusia yang mendiaminya, maka Malaysia akan mati.


Petani gelisah dengan ancaman di bendang yang boleh mengurangkan pendapatan mereka


Jika Malaysia mati, kita bukan lagi akan menjadi rakyat yang boleh berbangga menjadi rakyatnya. Kita akan menjadi bangsa yang dihina dan merempat. Jika orang asing kini datang bekerja di rumah-rumah kita sebagai ‘orang gaji’ - mungkin generasi kita pula akan berbuat demikian kelak.


Apakah itu akan terjadi? Di mana Malaysia 54 tahun akan datang? Di mana Malaysia 15 tahun akan datang? Di mana Malaysia satu generasi dari sekarang? Tanya diri kita sebagai rakyat Malaysia - bagaimana agaknya rupa negara kita, bangsa kita, kita sendiri, pemimpin kita pada masa itu? Namun sebelum kita melihat jauh. Kita lihat dulu senario perkembangan Malaysia secara umum dan kritis.


Malaysia pada tahun 1957. Adalah satu bangsa yang cukup padu untuk mendapatkan kemerdekaan. Kita bersetuju dengan perancangan yang diatur. Kita menerima padu konsep Malaysia mengikut perlembagaan yang telah dirangka. Kita cukup bersatu untuk membina negara bangsa.


Ladang getah bukan milik masyarakat kampung tetapi milik syarikat-syarikat Cina


Malaysia pada 1969. 13 Mei, tiba-tiba Malaysia menjadi panas. Api kemarahan dan kebencian kaum meluap-luap sehingga membara. Permusuhan kaum, Melayu-Cina memuncak secara tiba-tiba. Malaysia di ambang krisis perkauman yang paling hitam dalam sejarahnya. Bacalah sejarahnya supaya anak-anak kita tahu apa yang berlaku dan pernah berlaku ketika itu. Rakyat kita pernah berbunuh-bunuhan sesama kita ketika itu. Apakah kita mahu sejarah itu berulang?


Malaysia pada 1970-an. Kita bertaut kembali. Kita bersetuju dengan slogan Bahasa Jiwa Bangsa dan pelbagai slogan lagi. Kita mahu hidup dalam aman damai melalui toleransi atau bertolak ansur. Mana-mana kumpulan yang lemah dibantu oleh kumpulan yang mewah melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Itulah rakyat Malaysia pada masa itu. Dasarnya tidak retorik, tapi praktikal.


Malaysia pada awal 1980-an. Kita berjaya melalui sistem pemerintahan yang dinamik. Rakyat diminta mengikut arah tuju yang ditetapkan. Pemikiran rakyat telah dibentuk dalam era ini. Anak-anak bangsa yang cerdik dihantar ke seantero dunia untuk menimba ilmu dan dibawa pulang ke tanah air untuk berkhidmat. Kita sama-sama bangunkan negara ini.


Malaysia pada akhir 1980-an. Jurang kemakmuran fizikal mengatasi rohaniah. Pembangunan kelas pertama, mentaliti masih kelas ketiga. Orang kita kagum melihat bangunan-bangunan pencakar langit. Ramai juga yang menjadi kontraktor dan kaya-raya sekelip mata. Ali Baba pun menjadi-jadi. Bangsa yang lemah, ketinggalan. Politik wang menjadi amalan. Pemimpin yang celik sudah nampak ia akan menjadi barah.


Bendang milik orang kampung


Malaysia pada akhir 1990-an. Pergeseran antara pemimpin politik. Pemikiran rakyat yang dibentuk oleh dasar era awal 1980-an memakan tuan. Rakyat sudah berani bersuara. Revolusi Internet dan media baru telah memberi tekanan kepada pemerintahan dan sistem politik dan kerajaan. Golongan anarkis dan fahaman anarkisme mengambil tempat. Mereka sudah berani merusuh di atas jalan raya. Politik serantau tidak menentu. Campur tangan dan elemen luaran juga menyusup masuk untuk mengapi-apikan suasana.


Malaysia pada era 2000. Usaha mengekang tidak nampak. Kita mengamalkan sikap terbuka. Ada yang berkata dasar itu membawa rebah. Orang sudah mula bercakap mengenai hak perkauman masing-masing secara terbuka dan tertutup menerusi media baru. Rakyat yang sudah bijak pandai mengapi-apikan golongan bawahan. Parti-parti politik alternatif menjadi pilihan. Parti-parti konservatif semakin kurang menyerlah, walaupun masih bertahan.


Rumah kayu masyarakat Melayu


Malaysia pada pertengahan 2000. Keadaan tidak berubah. Ideologi anarkisme ini menganggap bahawa adalah ideal hidup bebas tanpa dikongkong undang-undang. Mereka menentang segala bentuk organisasi yang tidak sehaluan dengan fahaman dan kehendak mereka. Mereka berani bergerak di atas jalan dan di atas maya Internet.


(Mengikut Diskusi Sejarah, Yusoff Iskandar, Khalil Yusoff, 1983: Golongan anarkis ini mula muncul di China pada tahun 1913 dan merebak ke Tanah Melayu pada 1918 dan amat berpengaruh di bandar-bandar seperti Singapura, Ipoh, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Seremban).


Malaysia pada 2009. Kita adalah satu masyarakat yang (masih) keliru. Masyarakat kita keliru untuk menentukan jati dirinya. Keliru untuk menentukan siapakah kita ini sebenarnya. Orang Melayu bercakap atas nama bangsanya, orang Cina atas nama kaumnya dan begitulah seterusnya. Orang Asli yang berada di status teratas bangsa Malaysia mengikut Perlembagaan Persekutuan pula tidak bercakap apa-apa?


Kebun getah yang luasnya sekangkang kera milik orang Melayu


Kesimpulannya, kita harus bersatu suara semula melalui meja perundingan. Kita bukan lagi hidup di zaman feudal, yang mana semuanya ditentukan dan difikirkan oleh ‘orang atas’. Orang atas harus mendengar juga suara orang bawah. Perbanyakkan sesi perbahasan baik di peringkat dalaman mahupun luaran. Rakyat Malaysia harus diasuh kembali untuk menjadi orang Malaysia.


Budaya dialog harus diperkenal dan dicambah dalam masyarakat kita. Budaya syok sendiri harus dinyahkan dalam diri individu dan kumpulan masing-masing. Biarlah bunyi tutur kata menyakitkan hati atau pedas, tapi hasilnya ada. Wujudkan kumpulan pendesak di peringkat dalaman supaya boleh menegur apa-apa yang tidak betul dan diperbetulkan. Namun, apa sekalipun, tindakan harus dilaksanakan. Marilah kita bersama-sama mengamalkan pepatah: Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Malaysia ialah negara jati kita.

Hyderabad Cerminan India Malaysia

BERADA di Hyderabad - bandar raya tua India, kerana mengikuti program budaya selama seminggu amat memberi kesedaran kepada diri saya. Setiap inci persegi tanah di bandar-bandarnya dihuni oleh ratusan manusia. Setiap kilometer persegi dihuni oleh ratusan ribu insan dan setiap bandar raya di negara keramat itu dihuni oleh jutaan manusia. Dan India ialah tanah bagi 1.2 bilion umat manusia. Angkanya bertambah setiap saat.


Bandar Hyderabad bagaikan sebuah bandar huru-hara, segalanya tidak teratur dan kelam kabut

Hyderabad letaknya di bahagian tengah India. Tepatnya di negara bahagian Andhra Pradesh. Bandar ini memiliki jumlah penduduk seramai 3,632,094 orang dengan memiliki keluasan wilayah 260 km². Bandar ini memiliki angka kepadatan penduduk sebesar 14,192 orang/km². Di daerah metropolitan penduduk berjumlah 6,100,000 orang. Bandar ini merupakan ibu kota negara bahagian Andhra Pradesh. Bandar ini merupakan bandar kelima terbesar di India, biasa dikatakan tempat di mana budaya India Utara dan India Selatan bertemu. Banyak dihuni oleh orang Muslim mahupun orang Hindu. Selain itu ada juga komuniti Kristian. Komuniti agama ini sudah ratusan tahun hidup berdampingan secara damai.

Hyderabad juga merupakan salah sebuah bandar yang paling berkembang di India. Ketika ini Hyderabad merupakan sebuah pusat teknologi informasi, ITES dan bioteknologi. Hyderabad dan Secunderabad merupakan bandar kembar, dipisahkan oleh Husain Sagar, sebuah tasik buatan manusia yang dibina pada tahun 1562 semasa kepemimpinan Ibrahim Qutb Shah.


Kasta Pariah yang tersisih dan dilupakan

Ada beberapa teori yang menjelaskan asal-usul nama bandar ini. Sebuah teori populer menyatakan bahawa ketika mendirikan bandar ini, Muhammad Quli jatuh cinta dengan seorang gadis Banjara setempat yang bernama Bhagamathi. Lalu beliau menamakan bandar ini Bhagyanagaram. Setelah gadis ini memeluk Islam, ia mengambil nama Hyder Mahal — dan lalu bandar ini diubah namanya menjadi ‘Hyderabad’ (harafiah ‘bandar Hyder’).

Berada di India bererti kita berada dalam satu realiti kemanusiaan yang sebenar. India ialah tanah bagi manusia ramai. Jurang hidupnya adalah antara langit dan bumi. Yang papa terlalu papa, yang kaya terlalu kaya. Yang kaya, tidak pandang ke bawah, yang bawah tetap di bawah. Kasta, darjat atau keturunan masih diamalkan secara tebal di seluruh India. Ia semacam satu agama. Kasta atas tidak boleh bersatu dengan kasta rendah. Pinggan makan milik kasta Brahmin tidak boleh disentuh oleh kasta Pariah. Kalau disentuh, pinggan itu akan dibuang ke dalam longkang. Kasta Pariah hanya layak makan nasi dalam daun pisang saja. Begitulah hinanya kasta Pariah di mata kasta Brahmin.


Sejenis makanan terkenal Hyderabad - Haleem

Sistem kasta telah menentukan bahawa masyarakat beragama Hindu boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan peringkat. Pada umumnya, kelas tertinggi ialah para Brahmin atau Brahmana, manakala kelas terendah ialah kaum Pariah atau dikenali sebagai ‘mereka yang tidak boleh disentuh’ atau dalam bahasa Inggeris untouchables. Rajah di bawah menunjukkan kelas-kelas yang terdapat di dalam sistem ini.

Kelas
Warna Kulit
Pekerjaan
Putih
Merah
Cokelat
Hitam
Hitam



Kemiskinan bermaharajalela di sekitar Hyderabad. Pemandangan yang biasa di mana-mana saja di bandar ini. Inilah masyarakat dari kasta Pariah yang tersisih

Sistem kasta adalah berpunca dari Bhagavad Gita yang menyatakan:

  1. Pekerjaan-pekerjaan kaum Brahmin, Ksatriya, Vaishya, dan Sudras adalah berbeza, harmoni dengan tiga kuasa yang berkaitan dengan kelahiran mereka.
  2. Peranan kaum Brahmin adalah keamanan; harmoni, austerity, dan kesucian; kecintaan-kemaafan dan peribadi yang murni; berwawasan, berhikmah dan berkepercayaan.
  3. Peranan kaum Ksatriya: minda seorang perwira, berdarah panas, constancy, resourcefulness, berani dalam perang, pemurah dan seorang pemimpin yang baik.
  4. Perdagangan, pertanian dan membela kerbau ialah pekerjaan kaum Vaishya. Dan kerja kaum Shudra pula ialah untuk memberi perkhidmatan.
Selain India, sistem ini wujud di negara-negara lain juga. Di Afrika Selatan misalnya sewaktu era aparteid penduduk berkulit putih dianggap lebih baik superior berbanding masyarakat bukan kulit putih. Di Jepun pula masyarakatnya yang menetap di Amerika Selatan dipandang rendah dan sukar mendapat kerakyatan di negara sendiri. Manakala, sewaktu pemerintahan Adolf Hitler, rakyat Jerman berbangsa Yahudi disisihkan dan dianggap sebagai kelas kedua. Kebanyakan sistem kasta pada abad ke-20 ini adalah rekaan manusia semata-mata untuk menunjukkan kebencian terhadap sesuatu bangsa, agama atau keturunan.

Sistem pengangkutan yang kelam kabut dan tidak teratur. Lengkingan hon menggegarkan sehingga memeritkan anak telinga

Selain dari sistem kasta, jalan raya di Hyderabad juga haru-biru. Sejuta kali lebih baik di Malaysia. Suasananya hiruk-pikuk. Bas, lori, kereta, basikal, teksi roda tiga, kereta lembu, kuda bersimpang siur tak ikut aturan. Bunyi hon semacam wajib. Memekakkan anak telinga. Pegang sahaja stereng, bunyi hon dulu. Di belakang bas dan lori tertulis ‘tolong hon’. Tiada siapa marah jika dia dihon. Hon ialah nyawa. Hon semacam pesta!

Semasa dalam perjalanan menghadiri makan malam perpisahan di Istana Chowmohalla (dibina pada tahun 1780 oleh Nawab Nizam Ali Khan, Asaf Jah II), pemandu bas yang membawa kami tiba-tiba turun lari meninggalkan bas yang dibawanya. Hilang dalam lautan manusia dan kenderaan. Kami terpinga-pinga. Dua lelaki preman masing-masing memegang submesingan jenis sterling yang mengawal keselamatan kami dalam bas berkata, ‘jangan bimbang’. Pemandu tadi sebenarnya turun untuk meleraikan kenderaan-kenderaan yang sudah bersesak-sesak di atas jalan raya. Dia bertindak menjadi polis trafik.


Suasana bandar dan bangunan yang kotor dan berserabut di mana-mana

Sambil dia menyelesaikan kekusutan itu, saya melihat di seberang sana seorang penumpang turun dari teksi roda tiga yang dinaikinya menolak kenderaan itu yang mati di atas jalan raya. Tiada rasa marah pun di muka penumpang itu yang menolong menolak teksinya yang rosak. Tiada siapa peduli apa yang berlaku di sekeliling mereka. Polis trafik pun menjalankan apa yang terdaya, tanpa memperlihatkan sedikit pun kekerutan di dahinya. Trafik lalu lintas tetap berjalan lancar, walaupun dalam suasana kekecohan.

Sebelah malam, di tepi-tepi jalan ramai orang gelandangan tidur merata-rata. Ada yang telah nyenyak membungkus tubuh dengan kain selimut daripada kedinginan bandar itu. Yang belum tidur, duduk mencangkung sambil memandang ke satu tujuan yang tidak diketahui. Hampir dua jam bergelut kami tiba di istana berekabentuk masjid itu. Di sepanjang dinding tembok istana tertulis tulisan dalam bahasa Inggeris, ‘Ini tempat suci jangan kencing’.


Pemandangan yang dirakamkan dari hotel penginapan

Di sini, kencing berdiri sambil si anunya memancut ke dinding adalah pemandangan umum yang biasa. Mungkin kerana terlalu ramai manusia, tandas bukan lagi pilihan. Awas, setiap pagi berhati-hati berjalan di kaki-kaki lima kerana terlalu banyak jerangkap samar dari isi perut manusia berlonggok di sana-sini. Suasana serupa juga khabarnya boleh dilihat di bandar raya lain termasuk di Mumbai.

Sampainya di istana itu, kami dibawa masuk ke dalamnya. Satu suasana antara langit dengan bumi. Kawasan istana lama itu diwarnai dengan lampu-lampu berwarni yang menyenangkan perasaan. Bagaikan berada dalam kisah Hikayat 1001 Malam. Tarian-tarian Bollywood dari era 50-an hingga kini dipersembahkan kepada kami. Selesai persembahan kami dijamu dengan juadah Hyderabad tersohor di dunia, nasi beriyani. Kami makan beriyani kambing dan ayam, tanpa mempedulikan apa-apa lagi. Ia terlalu sedap tanpa boleh ditandingi oleh mana-mana restoran Malaysia, waima Hameediah di Campbell Street, Pulau Pinang mahupun Mahbob di Bangsar.


Pojok perumahan kumuh dan kotor masyarakat dari kasta Pariah

Di luar tembok sana, suasananya adalah terlalu kontras. India yang penuh warna-warni. India yang penuh dengan drama. Di dada-dada akhbarnya konflik di mana-mana. Di Parlimennya pun haru-biru seperti di atas jalan rayanya juga. Televisyen memaparkan bagaimana seorang speaker dewannya tidak diendahkan oleh ahli-ahli Parlimen yang memboikot sesi soal-jawab. Akhbar Deccan Chronicle dalam karikatur muka satunya (macam Senyum Kambing) keesokan harinya mencuit: Mengapa mereka tidak mahu buat sesi soal-jawab dalam kantin saja, kan di situ tempatnya ahli Parlimen selalu melepak?


Golconda Font di Hyderabad

India tetap India. Orang India ialah masyarakat yang begitu unik. Jika kita sering tengok wayang Tamil atau Hindi, itulah budaya mereka. Kecoh, kecoh dan kecoh. Namun, kita di Malaysia pun ada orang India. Kecohnya pun lebih kurang sama juga. Mereka ini rata-ratanya terdiri daripada ahli-ahli profesional, peguam dan kini menjadi ahli politik. Di Malaysia hanya orang India yang pandai-pandai sahaja yang sering buat bising. Mereka menguasai NGO tersohor dan kini mereka sudah ramai di Parlimen. Kerana mereka lantang dan suka buat haru-biru, suara mereka sering kedengaran mempersoalkan hak-hak orang Melayu. Kononnya mereka tidak faham mengapa setelah bertahun lamanya masih ada kelompok manusia percaya kepada warna kulit atau penampilan yang lebih tinggi daripada satu kaum lain.

Kita tidak pasti apakah mereka ikhlas dengan kenyataan tersebut atau tidak. Kenapa mereka tak bandingkan apa yang berlaku di India, negeri asal mereka. Di sana sistem kasta masih kuat diamalkan. Mereka sedarkah apa yang mereka cakap? Tapi yang pasti kenyataannya itu cukup sensitif dan akan membuatkan kumpulan lain marah. Tapi seperti biasa orang Melayu marahnya tidak lama. Tak apalah. Orang Melayu tidak seperti orang India, walaupun ada juga Melayu yang darah keturunan Keling (DKK), tapi darah Melayu yang lembut banyak menguasai mereka.


Terdapat banyak bangunan yang bersejarah di Hyderabad

Jika di India, mungkin kita akan sentiasa dikawal oleh pengawal bersenjata mesingan. Pemimpin India di Malaysia yang suka buat kecoh perlu melawat ke India, dan hayatilah erti kehidupan di sana, hayatilah erti kasta dan darjat, miskin dan kaya, seperti yang saya alami di sana. Insaflah, walau apa pun bangsa kita, sebagai rakyat Malaysia, seburuk-buruk Malaysia, inilah tanah tumpah darah kita.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA