Sabtu, 7 Mei 2011

Dah Tua Tetapi Masih Dikagumi

SUATU ketika dulu Tun Dr Mahathir dicemuh dan dikeji kerana sudah terlalu tua dan wajar meletakkan jawatan. Tetapi sekarang ada pemimpin yang sudah tua dan lama dalam kepimpinan tetapi tidak pula dicemuh dan dikeji supaya meletakkan jawatan. Saya hairan kenapa dalam hal ini ada double standard oleh masyarakat kita. Sepatutnya orang seperti Tun Dr Mahathir ini masih diberi peluang selagi mindanya berkemampuan untuk menelurkan gagasan yang bernas demi kemajuan negara. Bukannya dikeji dan dihina dengan pelbagai gelaran.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berusia lebih 80 (lebih 84 tahun sebetulnya) jika ikut tahun lahirnya 1925. Kalau tak silap beliau sering mengaku sedikit muda. Ia hanya dibezakan dengan bulan. Dilahirkan pada 10 Julai, tapi didaftar kelahiran pada 20 Disember. Jika dikaji secara biologi dan fisiologi, beliau memang nampak muda. Namun, beliau semestinya berbangga berada dalam usia itu. Satu kumpulan usia yang terlalu sedikit jumlahnya di negara ini.

Tun menurut imaginasi pelukis

Saya pula baru berusia 50 tahun, hampir separuh usia negarawan itu. Tidak pasti apakah saya akan sampai ke usia sebegitu? Pada satu kempen jantung sihat Walk-a-Mile atau Jalan Sebatu Tun Dr. Mahathir berjalan bersama-sama peserta lain sejauh lebih sebatu. Beliau kelihatan penat sikit selepas sampai ke garisan penamat. Maklumlah usia beliau bukannya muda lagi, wajarlah letih jika berjalan sejauh sebatu! Saya pun mungkin lebih letih lagi jika berjalan sejauh itu walaupun dua atau tiga hari sekali saya berjalan keliling Taman Dataran MDKL untuk mengeluarkan peluh.

Bagi saya, pemimpin negara yang amat saya kagumi, yang dikenali dalam blog yang paling popular di Malaysia sebagai blogger Che Det itu sungguh hebat. Selain masih dikurniakan kesihatan yang baik, minda yang bernas, beliau ternyata tahu menjaga dirinya. Mungkin juga pengaruh isteri yang menyihatkannya, lantas memanjangkan usianya. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali setahun lebih muda daripada Tun Dr. Mahathir, juga sihat dan sama-sama berjalan sebatu. Mereka adalah pasangan doktor yang ideal.

Beberapa hari selepas itu Tun Dr. Mahathir hadir di satu syarahan perdana dikenali sebagai Wacana Intelek Ulung anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia - pertubuhan yang disegarkan semula dengan ahli terkumpul sejumlah 350,000 orang. Saya merupakan salah seorang ahlinya. Syarahan itu diadakan di pejabat Tun di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya. Ketibaan Tun Dr. Mahathir dengan isteri ke dalam auditorium tepat jam 10.30 pagi diberi tepukan berdiri oleh para hadirin yang terdiri daripada kira-kira 200 alumni jemputan. Tidak perlu disebut mengapa beliau dihormati sebegitu rupa. Dulu orang membencinya, kini orang menghormatinya. Malah, di universiti sendiri yang dulu ramai warga akademik mengkritiknya, kini terpaksa memetik semula kata-katanya. Itulah aura Tun Dr. Mahathir. Seorang negarawan yang tidak perlu diperincikan lagi.

Tun dah tua tapi mindanya masih kreatif dan kritis

Tidak perlulah juga disebut mengapa beliau dipilih sebagai pensyarah sulung untuk wacana ini. Ia adalah kerana Tun Dr. Mahathir terlalu dekat dengan ITM, kata presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed. Tun Dr. Mahathirlah orangnya yang menaikkan taraf ITM kepada sebuah universiti. Maka, tidak hairanlah beliau adalah tokoh yang paling tepat dijemput untuk membuka tirai siri syarahan perdana tersebut.

Dalam Wacana Intelek Ulung anjuran Persatuan Alumni UiTM Malaysia itu Tun Dr. Mahathir hadir dan berdiri selama dua jam di rostrum, tanpa berganjak. Hanya sekali kelihatan meneguk air, Tun bercakap mengenai satu topik yang paling digemarinya iaitu mengenai globalisasi dan dunia tanpa sempadan. Bertajuk Strategi Memartabatkan Melayu di Dunia Tanpa Sempadan beliau memperincikan secara detail mengenai sejarah dunia, sejarah asal-usul Melayu - satu bangsa yang amat lemah yang sentiasa tunduk kepada kuasa-kuasa besar, yang walaupun lemah, katanya mereka (Melayu) masih hidup sehingga ke hari ini. Walaupun mereka (Melayu) terbahagi dan dibahagi sepanjang masa, mereka masih survive dan dapat membentuk negeri-negeri dan melantik raja-raja.

Tun Dr. Mahathir turut menyentuh mengenai negeri Kedah yang dikenali sebagai Kedah Tua (lebih tua dari Melaka), yang raja-rajanya bermurah hati memberi sebahagian negerinya kepada raja-raja lain sehingga terbentuknya Perlis. Malah katanya, bekas kawasan Parlimen pilihanrayanya, Kubang Pasu pun hampir-hampir menjadi sebuah negeri. Jika tidak, saya akan menjadi ahli Parlimen sebuah negeri, selorohnya.

Sejarah bagi Tun Dr. Mahathir amat istimewa sekali. Semasa menjadi Presiden UMNO dulu pun, Tun sering kali memulakan ucapan presidency-nya dengan kisah-kisah sejarah yang perlu diteladani. Benar tanpa sejarah, sesebuah tamadun tidak boleh dibentuk. Dan, perlu diingat, sejarah (terutama mengenai kisah-kisah malang) boleh berulang semula. Tun Dr. Mahathir kemudiannya bertanya kepada audien, apakah kita akan terus survive dengan globalisasi ini atau terus hilang di muka bumi ini?

Apa yang Tun Dr. Mahathir katakan itu penuh dengan makna yang tersirat dan tersurat. Apakah kita perlu terlalu bermurah hati? Orang Melayu ialah satu bangsa yang amat bermurah hati, suka memberi. Singapura hilang, kata Tun, diserahkan kepada pemerintah negara itu sekarang dengan hanya 60,000 ringgit pada masa itu. Atau sekarang hanya bernilai tiga kaki persegi di pulau itu! Hanya orang yang lemah akan hilang tanah airnya. Ia mungkin tidak akan berlaku lagi, tetapi ia boleh berlaku, tegas beliau.

Pada usia seperti itu (usia yang rata-rata lebih tua daripada bapa-bapa kita sendiri) ia adalah nasihat seorang bapa kepada anaknya. Tapi Tun Dr. Mahathir ialah seorang bapa yang amat degil. Selama lebih 20 tahun saya mengikuti perkembangan beliau, itulah nasihat yang sering saya dengar dan saya baca. Itulah celoteh yang sering disebut ke telinga kita sehingga ke hari ini. Anak-anak muda sekarang mungkin akan mencebek sinis bila disebut soal ini kepada mereka. Bagi mereka, sejarah mungkin tidak memberi apa-apa makna, sekadar catatan untuk tatapan mata dan telinga saja. Sejarah tidak perlu dijadikan ikhtibar dan asas gerak langkah menuju ke hadapan. Mungkin juga mereka tidak pernah ambil tahu kata-kata George Santanaya bahawa ‘orang yang lupa sejarah akan mengulangi sejarah’.

Kata Tun lagi, konsep baru penjajahan Barat ini perlu dikaji dan dipelajari. Barat kini bukan lagi menjajah secara berperang dengan senjata, tetapi mereka menggunakan budaya, ekonomi dan perdagangan bagi mendominasi sesebuah negara. Mereka turut menekan kita supaya menerima fahaman mereka. Mungkin kita boleh menerima konsep demokrasi mereka, tapi kata Tun Dr. Mahathir saya tidak boleh menerima sama sekali konsep demokrasi liberal mereka. Liberal dalam serba-serbi. Termasuklah apabila kita dipaksa menerima Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) - satu perjanjian yang melibatkan urus niaga dua hala yang berat sebelah.

Apakah kita mahu berkorban dengan perjanjian itu? Saya tidak akan bersetuju semuanya, mungkin separuh bolehlah, kata beliau ketika menjawab soalan seorang peserta semasa sesi dialog selepas syarahannya. Tun Dr. Mahathir turut menasihatkan orang Melayu supaya terus berubah. Ubahlah budaya malas yang orang lain pernah cap kepada kita. Gejala rasuah, pula di kalangan orang Melayu, katanya sudah terlalu teruk sekali - juga harus diubah.

Pendek kata, syarahannya penuh dengan kata-kata hikmah. Para hadirin nampak puas dengan syarahan itu. Itulah Tun Dr. Mahathir Mohamad, negarawan ulung yang tidak perlu diperincikan lagi. Seorang sahabat yang juga alumni, Prof Madya Mohd Shah yang turut mengikuti syarahan itu berbisik kepada saya: Tengoklah, susah nak cari lagi orang seperti itu. Seorang lagi sahabat yang juga alumni, Dr Kamaruddin berkata: Itulah Mahathir, sangat konsisten.

Benar, kata-kata mereka, Tun Dr. Mahathir sangat konsisten dengan prinsipnya. Selagi hayat dikandung badan, beliau akan terus berperang dengan kata-katanya. Malah beberapa minggu selepas itu, Tun sekali lagi telah berperang dengan kata-katanya. Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Keamanan Global Perdana (PGPO) telah mempengerusikan Persidangan Menjenayahkan Perang (Criminalise War) di PWTC. Satu perjuangan menentang kezaliman dan keganasan peperangan atas nama kemanusiaan. Syabas Tun!

1 ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA