Sabtu, 7 Mei 2011

Nasib Akhbar Melayu

BOLEHKAH akhbar mengubah minda pembacanya. Adakah orang Melayu kini percaya kepada media arus perdana? Berapa lama lagi akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian boleh bertahan, sebaliknya akhbar tabloid popular, kurang serius seperti Harian Metro dan Kosmo terus meningkat. Akhbar berkualiti arus perdana (quality mainstream) dan serius seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, malah NST terus menjunam. Angkanya di bawah 200,000 naskhah sehari. Ramai yang mengaitkan kemeruduman itu kononnya disebabkan kerana akhbar-akhbar itu ada kaitan dengan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO.


Orang Cina, sebaliknya meletakkan kepercayaan (trust) kepada media mereka. Jualan akhbar serius Sin Chew Jit Poh meningkat tinggi, melepasi 374,000 naskhah sehari. Orang Cina sukakan Sin Chew kerana ia banyak bermain dengan sentimen. Akhbar itu digemari kerana ia berani mempertahankan hak mereka dan menyoal hak orang lain. Contohnya, mereka mempersoalkan mengapa UiTM, hanya untuk bumiputera dan masih menganggap diri mereka sebagai warganegara kelas kedua. Ironisnya, akhbar itu turut menggambarkan orang Cina sebagai ‘Red Indian’ di Malaysia - hanya beberapa hari selepas media menyiarkan senarai orang terkaya di Malaysia!

Utusan Melayu suatu ketika dulu telah bertindak sebagai katalis penyatuan bangsa ke arah perjuangan menghalau penjajah dan menuntut kemerdekaan negara tapi kini menunggu detik kelenyapan, dilupakan, tersisih, dibenci, dihina, dikeji malah diboikot oleh orang-orang Melayu sendiri


Begitu juga dengan Nanyang, ia terus bertahan. China Press menjadi akhbar popular Cina kerana liputan sensasinya. The Star milik orang Cina pula terus popular kerana ia bukan saja - kini - disokong sepenuhnya oleh orang Cina, tapi juga orang Melayu, India dan lain-lain. Jarang kelihatan sekarang orang Cina membaca NST, sebagai pilihan akhbar Inggeris tetapi mereka membaca akhbar The Star.


Akhbar The Star menjadi akhbar yang paling untung jualannya di Malaysia. Ia turut disokong 101 peratus oleh para pengiklanan, agensi-agensi iklan, saudagar-saudagar Cina serta peniaga-peniaga kecil dan sederhana Cina yang banyak di negara ini. Mengikut angka yang diperoleh, perolehan iklannya ialah kira-kira RM680 juta. Akhbar itu juga mempunyai tunai dalam tangan yang dianggarkan berjumlah RM750 juta. Di kalangan industri ada yang mengatakan seseorang yang mahu mengiklan dalam akhbar itu perlu beratur panjang! Iklannya surplus, berlebih yang tidak pernah dinikmati oleh mana-mana satu akhbar Melayu lain.


Itulah hakikatnya untung nasib akhbar di Malaysia. The Star dikatakan cukup popular kerana liputannya dikatakan menarik. Namun, sebagai orang media, kita tahu liputannya banyak menjurus kepada pihak yang menyokongnya. Tetapi itulah hakikat apabila orang Melayu sendiri mengatakan akhbar itu cukup menarik. Oleh kerana perancangan perniagaannya hebat, maka baru-baru ini ia menerbitkan sisipan versi Melayu, mStar dalam akhbar Ahad-nya, The Sunday Star.


Arah tuju yang dilakukan oleh akhbar Cina dan The Star itu memang betul. Mereka juga mempunyai dasar perjuangan masing-masing. Mereka akan mempertahankan hak kaum masing-masing. Pendek kata, apa yang dilakukan oleh akhbar-akhbar itu turut dilakukan oleh semua akhbar di dunia. Itu pasal dalam media ada kajian mengenai pemilikan (media-ownership study). Pemilik itulah yang akan menentukan arah tuju sesuatu akhbar tersebut.


Kenapa masih ada orang Melayu mahu bertindak menghapuskan sebuah wadah perjuangan bangsa Melayu sendiri? Sedangkan bangsa lain tidak pernah melakukan perkara yang sama terhadap wadah penyaluran suara bangsa mereka iaitu akhbar walaupun akhbar tersebut tidak menyokong perjuangan mereka


Berbalik kepada akhbar Melayu. Banyak persoalan yang bermain di fikiran penerbitnya. Pelbagai cara telah dilakukan untuk meningkatkan jualan, iklan dan sebagainya, namun usaha itu nampaknya malap. Pihak pembangkang, yang melihat akhbar Utusan Malaysia sebagai akhbar yang amat berpengaruh menuang minyak kebencian pula dengan menuduh akhbar itu sebagai rasis dan sebagainya. Sama ada umpan pembangkang, itu berjaya atau tidak, masih tidak pasti - tapi persepsi orang ramai ke arah kempen kebencian parti pembangkang itu nampaknya melekat. Pengiklanan yang rata-rata dikuasai oleh orang bukan Melayu mulai termakan dengan kempen itu. Fikiran mereka telah diracuni oleh kempen parti pembangkang termasuk pembangkang Melayu.


Dalam sejarah persuratkhabaran Melayu di negara ini, inilah masa yang paling malang apabila orang Melayu menolak akhbarnya sendiri. Sejarah Utusan Melayu bermula pada tahun 1937 di Singapura apabila orang Melayu ketika itu ramai-ramai menyerahkan apa yang ada pada mereka untuk menubuhkan wadah lidah rasmi mereka itu bagi menentang penjajah. Utusan Melayu berhasil dengan perjuangannya sehinggalah negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957. Sejak itu perjuangannya tidak berhenti dalam menegakkan Perlembagaan Persekutuan - terutamanya Perkara 153. Ia tidak pernah malu untuk mencabar minda orang Melayu dan rakyat Malaysia bagi mempertahankan haknya.


Apa salahnya sekiranya akhbar Utusan Melayu mendesak orang Melayu supaya berubah ke arah yang lebih positif dan produktif? Apa salahnya jika akhbar Utusan Melayu pernah meniupkan semangat orang Melayu ke atas peristiwa Natrah di Singapura - bagi mempertahankan agama Islam yang dianutinya? Apa salah sekiranya Utusan Melayu mendesak orang Melayu menyokong penyatuan bangsanya ke arah perpaduan daripada berpecah-belah sehingga terbahagi kepada pelbagai puak. Kita harus sedar perpecahan itulah yang mahu dilihat oleh pihak-pihak tertentu berlaku ke atas orang Melayu. Mereka mahu melihat orang Melayu berpecah-belah dan ranap dalam negara ini. Orang lain amat cemburu kerana orang Melayu masih berupaya memegang kuasa politik di negara yang berdirinya Menara Berkembar Petronas ini.


Hanya kuasa politik yang masih bertahan di tangan mereka. Itulah satu-satunya kuasa yang ada. Kuasa ekonomi terlalu jauh dari mereka. Kuasa intelektual juga, dan kuasa daya saing masih tidak tercapai. Yang ada hanyalah kuasa politik yang boleh menampung sedikit sebanyak kuasa-kuasa yang tercicir itu. Peranan akhbar Melayulah yang akan memainkan tugas itu. Namun kita dituduh dengan pelbagai tuduhan. Kita dituduh rasis - sehingga mereka begitu ghairah berkempen supaya akhbar Utusan Malaysia dibakar.


Mereka dalam beberapa upacara politik, telah memulakan kempen membakar akhbar keramat orang Melayu itu. Apakah orang Melayu sanggup membiarkan ia berlaku? Saya tiada jawapannya. Ini kerana kempen membakar akhbar ini akan terus dilakukan. Perbuatan menuang minyak itu turut dilakukan oleh orang Melayu, yang nenek moyang mereka pernah menangis gembira dengan kelahiran akhbar itu dulu.


Akhbar Utusan Malaysia akan terus hidup. Selagi kerajaan yang ada pada hari ini berkuasa, Utusan Malaysia akan terus hidup. Malah seorang sahabat, yang juga seorang pemimpin dengan bersemangat ber-SMS pernah kepada saya berkata: ‘Apakah yang pembaca mahu daripada membaca surat khabar ini... saya sedang berfikir macam mana nak ubah orang Melayu dan pemikiran mereka melalui maklumat.’


Saya amat bersetuju dengan SMS itu dan saya doakan beliau akan berjaya memikirkannya. Namun, dengan perbuatan yang dilakukan oleh pakatan pembangkang termasuk pembangkang berbangsa Melayu - saya penuh yakin sekiranya mereka berkuasa ke atas negara ini kelak, Utusan Malaysia, Utusan Melayu dan Utusan Zaman akan dikuburkan. Ia tidak mustahil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA