SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
KESAN rumah hijau merupakan fenomena yang sangat berkait rapat dengan pemanasan global. Pemanasan global sendiri sebenarnya merupakan fenomena pemanasan bumi secara makro akibat pelbagai faktor terutamanya akibat pencemaran udara yang begitu hebat. Dengan kata lain suhu dunia semakin meningkat dan memberi kesan terhadap benua di seluruh dunia termasuklah benua Artik yang mengalami kesusutan ketebalan ais yang semakin ketara. Pencemaran dengan terbebasnya gas karbon dioksida dikatakan sebagai punca utama berlakunya kesan rumah hijau. Cahaya matahari membawa sinaran ultraunggu ke bumi tetapi haba yang sampai ke permukaan bumi tidak dapat dibebaskan akibat disekat oleh gas karbon dioksida yang melitupi atmosfera. Akibatnya suhu bumi semakin panas.
Kesan rumah hijau berpunca sama ada
secara semulajadi atau buatan manusia. Secara semulajadi, kesan rumah hijau
berpunca daripada letusan gunung berapi yang membebaskan gas-gas sulfur dan
karbon. Selain itu pembakaran hutan akibat petir juga memberi kesan. Secara
buatan manusia, kesan rumah hijau kebanyakannya berpunca daripada pembebasan
bahan pencemaran udara seperti asap daripada kenderaan dan kilang. Penggunaan
penyembur aerosol, sesetengah peti sejuk dan penghawa dingin yang membebaskan cloroflorokarbon
(CFC) juga menyumbang kepada kesan pemanasan global ini.
Lantaran
itu, beberapa tahun kebelakangan ini satu kejadian yang pelik telah berlaku di
seluruh belahan dunia. Pelik dengan bahang panas melampau di Amerika Syarikat
dan Eropah tetapi keadaan sebaliknya di negara panas, Afrika Selatan yang disimbahi
salji. Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas,
termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China manakala banjir terus
menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India.
Keadaan cuaca tidak
menentu itu menyaksikan beratus-ratus kematian dalam sekelip mata manakala
lebih sejuta lain hilang tempat tinggal. Nilai kerugian akibat kehilangan jiwa
dan kemusnahan harta benda mencecah berbilion dolar. Inilah senario terkini
keadaan cuaca dunia yang lebih banyak pelik daripada kebiasaannya. Catatan
rekod daripada panas dan sejuk melampau selain rentetan satu demi satu taufan
ganas yang seakan-akan tidak memberi ruang bagi negara mangsa untuk bernafas.
Keadaan diburukkan
lagi dengan ancaman gempa bumi kian kerap dengan catatan skala Richter lebih
daripada sederhana sehingga menyebabkan amaran ombak besar atau tsunami yang
amat asing bagi rantau Asia Pasifik, kini berlaku hampir setiap bulan. Pendek
kata, bukan saja perkembangan politik dunia diselubungi pelbagai kekacauan,
tetapi rekod alam sekitar juga tidak terkecuali kelam-kabutnya sebagaimana yang
ketara di beberapa buah negara.
Namun, antara contoh
ketara adalah membabitkan kejutan perbezaan cuaca ketara benua Eropah dan
Amerika dengan Afrika. Apa tidaknya, Eropah dan Amerika yang lebih diketahui
menikmati cuaca sejuk sebaliknya diselubungi panas melampau dengan paparan
rakyatnya kepanasan terpampang di kebanyakan media utama dunia baru-baru ini.
Keadaan sebaliknya berlaku di bahagian selatan dua benua itu apabila Afrika
Selatan yang sudah sinonim dengan cuaca panas, menyaksikan kehadiran salji buat
kali pertama sejak tahun 1981.
Ramai kalangan saintis
mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global - satu keadaan yang
dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan
fosil yang terperangkap dalam atmosfera. Biarpun sukar membuktikannya, seperti
diakui Asher Timms, pegawai Pusat Penyelidikan Perubahan Cuaca Tyndall di
Britain, corak cuaca bumi kini berubah. Akibatnya paras air laut semakin
meningkat yang berkait rapat dengan salji yang semakin berkurangan atau cair di
kebanyakan kawasan pergunungan serta bungkah ais Greenland yang mencair. Ini menyebabkan air laut semakin panas dan menyebabkan taufan makin ganas
berlaku dengan kerap.
Malah
antara bukti taufan yang mengganas adalah di China yang menyaksikan kemusnahan
akibat serangan tiga taufan dalam tempoh sebulan. Dimulai taufan Bilis,
Prapiroon dan terbaru taufan raksasa Saomai dengan angin selaju 216 kilometer
sejam. Serangan taufan itu menyaksikan banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan
hampir 1,000 orang terbunuh termasuk 600 akibat taufan Bilis saja. Keadaan
banjir itu turut meragut nyawa di pojok lain dunia seperti di Korea Utara,
India dan di Habsyah. Malah di Habsyah selain 254 kematian, seramai 250 orang
masih hilang sehingga hari ini.
Sebagaimana
yang kita semua sedia maklum, istilah pemanasan global atau global warming dikaitkan dengan kenaikan
suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di
seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu
keseimbangan sistem-sistem bumi khususnya sistem atmosfera. Daripada sudut imbangan
haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam
bajet haba. Input haba yang diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding
dengan outputnya.
Oleh
sebab itulah berlakunya kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau
makro. Menurut Professor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar
Amerika Syarikat: ‘Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah
celcius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara
tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah
celcius.’
Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai ialah cuaca panas yang melampau. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan, kenaikan paras dan suhu air laut, kepupusan spesies flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.
Langkah Yang Perlu Dilakukan
Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui Kesan Rumah Hijau dan juga Penipisan Lapisan Ozon. Walaupun terdapat punca-punca semulajadi tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Antaranya ialah aktiviti perindustrian, penyahutanan untuk pelbagai tujuan, pembebasan cloroflorokarbon, punca kenderaan, pembakaran terbuka dan yang paling dashyat adalah melalui ujian nuklear. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.
Lantaran
itu penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam
menangani masalah kesan rumah hijau tersebut. Ia juga selaras dengan agenda
utama kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada
isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai
penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan
dalam menjadikan dunia ini a better place
to live in.
Sebagaimana
yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk
memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif akitiviti
manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang,
penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semulajadi,
pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau
adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia
ada.
Teknologi hijau merujuk kepada
produk, peralatan, atau sistem yang mampu meminimumkan degrasi kualiti
persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau
sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih
baik untuk semua hidupan; menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan menggalakkan
sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Terdapat empat tonggak Dasar Teknologi
Hijau Negara iaitu:
1. Tenaga - mencari
ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
2. Alam sekitar - memulihara
dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
3.
Ekonomi - meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui
penggunaan teknologi; dan
4.
Sosial - meningkatkan kualiti hidup untuk semua.
Aplikasi Teknologi Hijau adalah
selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable
development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan
semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Apabila kita
menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga,
air, dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Produk
itu selamat digunakan dan menyediakan persekitaran yang sihat dan lebih baik
untuk semua hidupan. Ia juga menjimatkan tenaga dan sumber asli serta
menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Antara kebaikannya yang
lain termasuklah mengurangkan kadar penggunaan tenaga dalam masa yang sama
meningkatkan pembangunan ekonomi.
Selain itu, teknologi hijau juga
memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan
datang serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi
hijau dan meluaskan teknologi hijau tersebut. Teknologi hijau juga mampu
mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan fenomena perubahan
cuaca dunia.
Sebagaimana yang kita sedia maklum,
Dasar Teknologi Hijau Negara yang telah dilancarkan berasaskan kepada empat
tonggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga,
teknologi hijau akan mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan
pada masa yang sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam
sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara. Dari
aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara.
Manakala dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.
Sesungguhnya, proses perubahan cuaca
global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh
dilakukan untuk melambatkan proses tersebut. Lantaran itu, aplikasi teknologi
hijau merupakan salah satu alternatif bagi melambatkan proses perubahan cuaca
dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar
dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian. Antara contoh aktiviti
harian kita yang banyak menyumbang ke arah perubahan cuaca global ialah penggunaan
kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga
dan sebagainya.
Hakikatnya, bumi ini sudah tidak lagi
mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran yang dilakukan
oleh manusia. Tenaga berperanan penting dalam semua aktiviti. Sumber tenaga di
negara kita dibahagikan kepada 2 jenis iaitu sumber tenaga konvensional (tidak
boleh diperbaharui) dan tidak konvensional (boleh diperbaharui). Sumber tenaga
konvensional yang terbesar di Malaysia adalah petroleum dan jenis sumber ini
akan semakin berkurangan serta habis jika digunakan secara berterusan. Contoh
sumber tenaga bukan konvensional yang tidak terhad digunakan ialah biojisim dan
solar.
Ketika Revolusi Perindustrian yang
bermula di Britain sejak abad ke-18 hinggalah hari ini, tenaga yang
menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan dunia ialah bahan api fosil yang
terdiri daripada minyak, gas dan arang yang merupakan sumber tenaga konvensional.
Bahan api fosil banyak membantu dalam pembangunan tetapi ramai orang tidak
sedar akan kesan penggunaan bahan fosil terhadap bumi ini. Penggunaan bahan
bakar fosil yang semakin meningkat telah berperanan besar dalam fenomena
pemanasan global dengan melepaskan karbon dioksida (CO2) ke udara bebas dan
seterusnya mempengaruhi perubahan iklim dunia. Untuk mengurangkan bilangan
manusia yang hanya memikirkan keuntungannya tanpa melindungi bumi, pemimpin
dunia telah memperkenalkan pemakaian tenaga alternatif yang menggantikan bahan
bakar fosil yang membahayakan.
Terdapat pelbagai bahan boleh
dijadikan alternatif bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil seperti
tenaga solar (matahari), tenaga air, tenaga angin, hidrogen, dan biojisim
kelapa sawit. Malaysia merupakan negara yang beriklim panas dan lembap sepanjang
tahun. Kita boleh memanfaatkan cahaya matahari pada waktu siang sebagai sumber
tenaga untuk menggantikan tenaga elektrik. Walaupun kos untuk sistem solar
tinggi dan sesetengah kawasan tidak mendapat cahaya matahari untuk jangka masa
yang panjang kerana keadaan cuaca tidak menentu, tetapi kebaikannya tidak boleh
diabaikan juga. Tenaga matahari dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan
rumah kaca serta tenaganya boleh disimpan untuk penggunaan elektrik pada waktu
malam. Tenaga ini boleh dimanfaatkan untuk tiang lampu yang banyak di negara
kita.
Tenaga hidro berasal daripada air
yang mengalir mengandungi tenaga yang boleh diubah menjadi tenaga elektrik.
Tenaga hidro menampung keperluan pertanian. Tanah bumi Malaysia yang kaya
dengan flora dan fauna telah menjadikan negara kita sebagai kawasan yang
mempunyai bekalan air yang berterusan. Hampir 90% daripada sumber tenaga yang
diperbaharui datang daripada kuasa hidro. Empangan telah digunakan sebagai
sebuah stesen janakuasa hidro untuk menakung air sungai. Tenaga ini adalah
percuma. Air juga boleh disimpan di dalam empangan dan sedia digunakan pada
masa yang diperlukan serta tidak ada sisa buangan yang menyumbang kepada
pencemaran. Tenaga ini juga lebih diyakini berbanding dengan tenaga angin,
matahari dan gelombang.
Hidrogen juga merupakan bahan gantian
untuk bahan bakar fosil. Hidrogen boleh digunakan sebagai sejenis bahan api yang
menggerakkan kenderaan. Hidrogen dibakar dalam enjin melalui kaedah yang serupa
dengan kereta petrol tradisional. Dalam penukaran sel bahan api, hidrogen
bertindak balas dengan oksigen untuk menghasilkan air dan elektrik untuk
menjana motor tarikan elektrik. Kenderaan yang menggunakan hidrogen sebagai
bahan bakar dapat mengurangkan penggunaan gas rumah tanaman dan perosak lapisan
ozon. Tetapi untuk mendapatkan bahan ini adalah sukar kerana hidrogen diperoleh
melalui kaedah termokimia yang menggunakan gas asli, arang, gas petroleum
cecair, biojisim, melalui proses termolisis atau dihasilkan dari air melalui
elektrolisis. Oleh itu, hidrogen dikenali sebagai kaedah yang paling kurang
cekap dan paling mahal untuk mengurangkan gas rumah hijau.
Biofuel juga merupakan bahan bakar
alternatif untuk bahan bakar fosil yang dihasilkan dari bahan-bahan organik. Biofuel
boleh dihasilkan secara langsung dari tanaman atau limbah industri, komersial,
domestik, atau pertanian. Ada tiga cara untuk menghasilkan boifuel iaitu limbah
organik kering (buangan rumah tangga), fermentasi limbah basah (kotoran haiwan)
atau fermentasi tebu atau jagung dan tenaga dari hutan. Biofuel menghasilkan
karbon dioksida yang jauh lebih sedikit daripada bahan bakar fosil yang mencemarkan
udara. Biofuel boleh terurai dan sumber bahan buatan biofuel adalah terjamin
serta mampu mengelakkan daripada rumah kaca.
Dalam mengaplikasi teknologi hijau,
faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan jaminan
kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan
sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut
dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif
terhadap alam sekitar adalah minima.
Kita harus mengamalkan amalan hijau
sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita
laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan
membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke
rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan
bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika
membeli-belah.
Kita sebagai pengguna juga harus
mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan
penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan
tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding
peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan
alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan
langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup
kita. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya
mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.
Sebenarnya perubahan gaya hidup dan
perubahan minda akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan
teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi
kesan yang besar pada masa hadapan. Yang penting, kita sebagai penduduk dunia
perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan
dunia ini a better place to live in.
Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan
kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan.
Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup
rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita
menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah
minima.Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan
negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi
hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan.
Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ‘hijau’ yang telah kita
hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam
sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable
energy. Contohnya, industri solar photovoltaic
telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita.
Sebagai kesimpulannya, penekanan
terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam menangani masalah
kesan rumah hijau menjelang tahun 2050. Satu sistem pengurusan sumber yang
berkesan perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan dan penggunaan yang
berterusan bagi kegunaan manusia pada masa hadapan. Untuk
mencapai matlamat pengurangan gas rumah hijau menjelang tahun 2050,
pemakaian tenaga alternatif adalah amat digalakkan. Sesungguhnya, teknologi
hijau akan dapat membantu dalam memuliharakan alam sekitar dan meningkatkan
kualiti hidup makhluk sejagat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan