SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
AIR merupakan sumber yang penting bagi kehidupan manusia. Air merupakan sumber semulajadi kedua terpenting selepas oksigen. Tanpa air dunia akan menjadi sebuah planet yang tidak bernyawa. 3/4 bahagian bumi diliputi oleh air dan lebih 2/3 daripada berat badan manusia adalah air. Pada amnya, seorang manusia menggunakan 1,000 liter air setahun sebagai minuman.
Air memang mutlak diperlukan dalam kehidupan manusia dan mahluk hidup
lainnya. Tanpa air kehidupan tidak dapat berlangsung. Demikian juga dalam
kehidupan kita sehari-hari, air sangat diperlukan untuk berbagai kegiatan di
dalam rumah tangga, juga untuk pertanian, pengangkutan serta rekreasi.
Di dalam industri, air digunakan antara lain sebagai bahan pengolah,
pendingin dan janakuasa tenaga. Air merupakan pelarut yang baik tetapi selalu
dicemar dengan kandungan berbagai zat terlarut mahupun zat tidak terlarut serta
mengandungi mikroorganisme. Apabila kandungan berbagai zat mahupun
mikroorganisme yang terdapat di dalam air melebihi tahap yang diperbolehkan,
maka kualiti air akan terganggu sehingga tidak lagi boleh digunakan untuk
kegunaan pelbagai keperluan samada untuk air minum, mandi, mencuci atau
keperluan lainya. Air yang terganggu kualiti ini dikatakan sebagai air yang
tercemar.
Sebenarnya, warna dan bau air dapat memberitahu kita apa yang sedang
berlaku terhadapnya. Misalnya seperti air berwarna hijau mengambarkan
terdapatnya tumbuhan kecil yang dinamakan rumpair yang tumbuh di dalamnya.
Manakala air berlumpur menunjukkan terdapat kandungan kelodakan atau mendapan
yang tinggi menyebabkan ikan sukar bernafas. Air yang mempunyai lapisan
berkilau pula memberi gambaran bahawa berlaku tumpahan minyak di permukaan air
tersebut.
Selain itu, kita juga dapat melihat kadangkala air itu berbuih dan ini
menunjukkan kemungkinan sabun dari rumah atau kilang yang mengalir ke dalamnya.
Kita juga sering kali melihat air yang mengalir mempunyai lapisan kuning jingga
atau kemerahan dan ini berkemungkinan disebabkan oleh pembuangan bahan pencemar
oleh kilang ke dalam sungai.
Pencemaran
air ialah pencemaran yang berlaku di sungai,
tasik dan laut.
Lokasi berair sering disalah anggap sebagai tempat pembuangan sampah terutama
daripada aktiviti manusia.
Punca
utama pencemaran air antaranya ialah pembuangan sampah dari kawasan perumahan
di sepanjang sungai, tepi tasik dan laut. Penduduk membuang najis manusia dan
najis binatang ternakan seperti ayam, babi, lembu dan lain-lain ke dalam
sungai. Sungai Semenyih, sebagai contoh pernah dicemari dengan puluhan ladang
babi pada tahun 1980-an.
Kilang
memproses getah dan minyak kelapa sawit juga menjadi punca kepada pencemaran
air di sungai-sungai di Malaysia. Sisa toksik dibuang dan dialirkan ke dalam
longkang, parit, terusan dan seterusnya ke dalam sungai. Pemandangan dari udara
ke atas Sungai Juru yang terletak di Seberang Perai, Pulau Pinang menunjukkan
warna air di Sungai Juru berwarna hitam pekat apabila sampai di laut.
Petani di
Cameron Highland menggunakan baja kimia dan racun serangga sehingga menjejaskan
kualiti air minuman di Sungai Terla. Hotel dan rumah kongsi para pekerja tidak
mempunyai sistem perparitan yang sempurna menyebabkan najis manusia tidak
dirawat dengan betul. Kes ini didedahkan kepada wartawan dan ditontonkan di
televisyen. Selepas itu barulah Majlis Daerah Cameron Highland turun padang
untuk mengambil tindakan bagi membetulkan keadaan.
Pengilang
dari Taiwan dilaporkan mengeksport sisa kimia ke Malaysia dan ditanam di
kawasan terpencil di Johor, Malaysia. Beberapa negara maju membuang sisa
radioaktif dengan memasukkan sisa ini ke dalam tong-tong dram sebelum
membuangkannya ke dalam laut. Tindakan ini boleh merosakkan hidupan marin.
Tayar-tayar buruk kononnya akan dijadikan tukun-tukun tiruan di dasar laut
terutama di Laut China Selatan. Sesetengah pulau tidak mempunyai sistem
pelupusan sampah. Oleh itu wujud ‘pulau sampah’ secara terancang atau tidak
dirancang. oleh itu, kita mesti menjaga dan memulihara aair kita.
Sungai
Sungai merupakan sejenis saluran air tabii yang besar. Sumber sungai boleh jadi dari tasik, mata air ataupun anak-anak sungai. Dari sumbernya semua sungai menuruni bukit, dan merupakan cara biasa air hujan yang turun di daratan untuk mengalir ke laut atau takungan air yang besar seperti tasik. Mulut, ataupun hujung sungai di laut dipanggil muara, manakala puncanya dipanggil ulu.
Air
sungai biasanya terbatas di dalam satu saluran, yang terdiri daripada dasar
sungai yang di antara dua tebing di kiri dan kanan. Kebanyakan curahan
hujan di darat akan melalui sungai dalam perjalanannya ke laut.
Sesebuah sungai (river) biasanya terdiri dari beberapa anak sungai (stream)
yang bergabung.
Antara sungai-sungai yang terkenal di
dunia ialah Sungai Nil (6,690 km), Sungai
Amazon (6,452 km), Sungai
Yangtze (Chang Jiang)
(6,380 km), Sungai Mississippi-Missouri (6,270 km), Sungai
Yenisei-Angara (5,550 km), Sungai Ob-Irtysh (5,410 km), Sungai Huang
He (Kuning) (5,464 km), Sungai Amur (4,410 km), Sungai Congo (4,670 km), Sungai
Lena (4,260 km) dan lain-lain lagi. Manakala antara
sungai-sungai yang terdapat di
Malaysia ialah Sungai Kinabatangan, Sungai
Batu Lima, Sungai Meliau, Sungai
Musi, Sungai Kebun Cina, Sungai
Sibuga, Sungai Tahan, Sungai
Melantai, Sungai Puteh,
Sungai Pelenting, Sungai Teku,
Sungai
Baram, Sungai Rajang, Sungai
Muar, Sungai Pahang, Sungai
Melaka, Sungai Linggi, Sungai
Langat, Sungai Kelang, Sungai
Selangor, Sungai Perak, Sungai
Pahang dan lain-lain lagi.
Tasik
Tasik ialah sejenis sifat rupa bumi (atau sifat fizikal) yang berbentuk takungan air pedalaman yang bukan sebahagian lautan, yang lebih besar dan dalam berbanding kolam, airnya mengalir perlahan tetapi tidak semestinya, ditempatkan di bawah lembangan (satu lagi ciri-ciri rupa bumi) dan disalurkan oleh sungai.
Tasik-tasik
semula jadi biasanya terdapat di kawasan pergunungan, zon
rengkahan, dan kawasan yang baru atau sering mengalami pengglasieran. Tasik-tasik lain pula
dijumpai di lembangan
endoreik atau
sepanjang aliran sungai matang. Di sesetengah tempat di dunia terdapat banyak
sekali tasik kesan corak-corak penyaliran camuk yang ditinggalkan dari Zaman Ais yang
lalu. Semua tasik hanya wujud sementara sepanjang skala masa geologi, kerana
lambat-laun tasik akan ditimbus mendapan atau tumpah keluar dari lembangan yang
menakungnya.
Taburan
Tasik
Kebanyakan
tasik di Bumi berisi air
tawar, dan terletak di kawasan latitud tinggi di Hemisfera
Utara. Lebih 60% tasik di dunia ini terletak di Kanada kerana sistem
saliran berserabut
yang mendominasi kawasan negara ini. Finland dikenali sebagai Tanah Seribu Tasik, (sebenarnya
terdapat 187,888 buah tasik Finland, 60,000 daripadanya adalah besar),
sementara negeri Minnesota di Amerika
Syarikat pula bergelar Tanah Sepuluh Ribu Tasik.
Kebanyakan
tasik ini ada saliran keluar semula jadi yang berbentuk sungai atau anak sungai, tetapi ada juga
tasik tanpa saliran keluar, sebaliknya hanya kehilangan air melalui penyejatan
atau tirisan bawah tanah atau kedua-duanya sekali. Tasik-tasik sebegini
merupakan tasik endoreik.
Banyak juga tasik buatan manusia yang dibina untuk tujuan janaan kuasa hidroelektrik,
tujuan rekreasi,
kegunaan industri atau pertanian, ataupun bekalan air setempat.
Di luar
bumi juga terbukti wujudnya tasik; bukti definitif wujudnya tasik-tasik berisi metana
diumumkan oleh NASA menurut pantauan Prob Cassini di bulan Titan yang mengorbit planet Zuhal.
Di seluruh dunia, bilangan tasik jauh diatasi bilangan kolam: dari kira-kira
304 juta kumpulan air pegun di seluruh dunia, 91% darinya berkeluasan
1 hektar (2.5 ekar) ke bawah. Tasik kecil juga melebihi tasik besar dari
segi jumlah: dari segi keluasan, satu pertiga kumpulan air pegun di dunia
merupakan tasik dan kolam bersaiz 10 hektars (25 ekar) ke bawah.
Namun
begitu, tasik besar banyak sangat sumbangannya kepada keluasan air pegun, iaitu
122 buah tasik besar seluas 1,000 kilometer persegi (390 batu persegi, 100,000 ha, 247,000 ekar)
atau lebih yang menjadi 29% daripada jumlah air pegun daratan di Bumi.
Kejadian
Tasik Semulajadi
Terdapat
sebilangan proses semula jadi yang boleh membentuk tasik. Julangan tektonik terbaru di banjaran gunung boleh
menghasilkan lembangan yang boleh menngumpul air lalu membentuk tasik. Fenomena
kemaraan dan pengunduran glasier boleh mengikis lekukan di permukaan di mana
berkumpulnya air; tasik-tasik sedemikian sering didapati di Scandinavia, Patagonia,
Siberia,
dan Kanada.
Contoh-contoh terbaik tasik sebegini adalah Tasik-tasik Besar di Amerika
Utara.
Tasik
juga boleh terbentuk akibat tanah runtuh atau sumbatan glasier. Satu contoh
tasik yang terbentuk akibat sumbatan glasier terjadi ketika Zaman Ais lalu
di kawasan yang kini ditakluki negeri Washington,
Amerika Syarikat, di mana sebuah tasik gergasi terbentuk
di sebalik aliran glasier; apabila ais berundur, hasilnya banjir besar yang
membentuk Air Terjun
Dry di Sun
Lakes, Washington.
Tasik garam (atau tasik masin) boleh terjadi
apabila tiadanya alur keluar semula jadi atau di mana air cepat menyejat dan
permukaan saliran muka air
tanah mengandungi lebih garam dari biasa. Contoh tasik garam
termasuk Tasik
Garam Besar, Laut Kaspia, Laut Aral,
dan Laut
Mati (tasik-tasik
sebegini bergelar laut bersempena air masin di laut).
Jenis
1. Tasik
periglasier: Sebahagian pinggir tasik terbentuk dari lembar ais,
litupan ais,
atau glasier,
dan ais itu menghalang saliran tanah semula jadi.
2. Tasik
subglasier: Tasik yang dilitupi ais secara berkekalan. Tasik-tasik ini
terjadi di bawah glasier, litupan ais, atau lembar ais. Tidak kurang tasik
sebegini di dunia, dan yang terbesar adalah Tasik Vostok di Antartika.
Tasik-tasik ini kekal cecair kerana litupan ais bertindak sebagai penebat haba yang menyimpan tenaga yang dimasukkan
di sebelah bawah melalui geseran,
oleh serapan air melalui kervas, oleh tekanan dari jisim lembar ais di atas, atau oleh pemanasan
geoterma di bawah.
3. Tasik
glasier: Tasik yang berasal dari glasier yang cair.
4. Tasik buatan: Tasik yang terhasil
daripada proses pembanjiran tanah
di sebalik empangan yang dipanggil pembendungan atau takungan;
melalui kerja penggalian oleh manusia; atau pembanjiran kejadian penggalian ke
operasi mengekstrak bahan galian seperti lombong
terbuka atau kuari.
Sesetengah tasik terbesar di dunia merupakan takungan.
5. Tasik endoreik:
Tasik tanpa aliran keluar yang besar, baik melalui sungai mahupun pembauran
bawah tanah. Mana-mana air dalam lembangan endoreik hanya dapat keluar dari
tasik sebegini melalui penyejatan atau peresapan.
Tasik-tasik sebegini, misalnya Tasik Eyre di tengah Australia atau Laut Aral di Asia Tengah, paling kerap dijumpai
di kawasan gurun.
6. Tasik
meromiktik: Tasik yang terdiri daripada lapisan-lapisan air yang
tidak saling bercampur. Lapisan air terdalam dalam tasik sebegini tidak
mengandungi apa-apa oksigen yang terlarut. Lapisan endapan di
dasar tasik meromiktik tenang airnya kerana tiadanya hidupan dalamnya yang
boleh mengacaunya.
7. Tasik fjord:
Tasik di lembah yang dihakis glasier yang sudah terhakis ke bawah aras laut.
8. Tasik ladam:
Tasik yang terbentuk apabila liku sungai yang luas terpisah dari sungai. Nama
‘tasik ladam’ bersempena bentuk lengkung unik yang terhasil dari proses ini.
9. Tasik
rengkahan: Tasik yang terbentuk kesan penenggelaman bumi sepanjang
sesar geologi dalam plat
tektonik Bumi. Contoh: Tasik-tasik
Rift Valley di Afrika Timur dan Tasik Baikal di Siberia.
10. Tasik
bawah tanah: Tasik yang terbentuk di bawah permukaan kerak Bumi.
Tasik sebegini boleh dikaitkan dengan gua,
akuifer,
atau mata air.
11. Tasik
kawah: Tasik yang terbentuk dalam kaldera atau kawah gunung
berapi yang lama
pendam. Air dalam tasik sebegini mungkin tawar atau
kuat berasid dan mungkin mengandungi pelbagai
larutan mineral. Ada tasik kawah yang mengalami
aktiviti geoterma,
khususnya jika gunung berapi itu cuma pendam dan bukannya mati.
12. Tasik lahar:
Lubuk lahar lebur yang ditakung dalam kawah gunung
berapi atau mana-mana kejadian lekukan yang lain. Tasik lahar yang sudah pejal
juga dipanggil tasik lahar.
13. Bekas
tasik: Tasik yang sudah tidak wujud lagi. Jenis tasik ini termasuk
tasik prasejarah dan tasik yang kering sepenuhnya
akibat penyejatan atau campur tangan manusia. Tasik Owens di California,
Amerika Syarikat, ialah satu contoh bekas tasik.
14. Tasik bermusim: Tasik yang hanya wujud
sebagai takungan air pada satu jangka masa dalam setahun.
15. Tasik
susut: Berhubung rapat dengan bekas tasik, tasik jenis ini adalah
tasik yang airnya berkurangan secara mendadak sepanjang masa geologi. Tasik
Agassiz yang pernah
meliputi banyak kawasan tengah Amerika Utara, merupakan contoh tasik susut.
16. Tasik eolik: Tasik yang terbentuk dalam lekukan yang terhasil daripada kegiatan angin.
Laut
Laut merupakan satu kawasan takungan besar air masin. Laut dan lautan
menutup hampir 70% permukaan bumi. Kadang-kadang, orang mencampur adukkan laut
dengan lautan. Kebanyakan laut adalah bersambung dengan lautan, kecuali
beberapa laut seperti Laut
Mati yang dikelilingi daratan.
Air di laut merupakan campuran 96.5% air suling dan 3.5% bahan lain seperti garam,
gas dan bahan-bahan terlarut lain.
Kedalaman
Laut
Kedalaman
sesebuah laut dapat diukur dengan menggunakan ‘bunyi‘
(sonar). Pemancar sonar di dalam kapal akan memancarkan gelombang bunyi
berfrekuensi tinggi yang akan bergerak ke dasar laut dengan kelajuan 1.5 km
sesaat. Gema yang terpantul daripada dasar laut
kemudiaannya ditangkap dengan sebuah alat khas. Jadi, kedalaman laut itu dapat
ditentukan dengan mengira selang masa antara pancaran bunyi dan gema diterima.
Sebelum
penciptaan alat sonar, kedalaman air dikira dengan mengikat pemberat pada
hujung suatu tali. Kemudian pada setiap depa di tali itu dibuat satu simpul
atau tanda. Dengan cara mengira berapa simpul yang tenggelam apabila pemberat
tersebut menyentuh dasar, kedalaman air itu dapat diketahui. Namun, cara ini
agak terhad dan tidak dapat mengukur laut yang dalam.
Definisi Pencemaran Air
Pencemaran air berlaku apabila perubahan berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan memberi kesan apabila digunakan. Pencemaran berlaku sama ada dari segi biologi, kimia dan fizik. Pencemaran air bukan hannya berlaku di sungai tetapi juga di laut dan ianya boleh berlaku secara sengaja atau tidak. Pencemaran ini lebih kepada bahan pencemar dari kilang.
Menurut kajian, pencemaran air adalah seperti kebocoran dan luahan bahan
kimia ke dalam sumber air atau fenomenon eutrofikasi. Pencemaran air menurut
Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 didefinisikan sebagai apa-apa perubahan
langsung atau tidak langsung kepada sifat sifat fizikal, haba, biologi atau
radioaktif iaitu mana-mana bahagian alam sekeliling yang melepaskan,
mengeluarkan atau meletakkan buangan ini sehingga menjejaskan kegunaannya dan
menyebabkan suatu keadaan merbahaya atau memudaratkan kesihatan, keselamatan
dan kebajikan pihak awam atau kehidupan lain seperti
burung, hidupan liar, ikan dan hidupan akuatik serta tumbuh-tumbuhan air.
Sikap tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan semata-mata telah
membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar. Pelbagai faktor
atau punca berlakunya pencemaran air. Pengusaha kilang umpamanya, berusaha
menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah, membuang sisa kilang ke dalam
sungai walaupun menyedari kesannya terhadap persekitaran.
Selain itu, kekurangan pengetahuan juga menyebabkan pemilik industri tidak
mengambil berat serta cuba mengelak piawaian keselamatan yang telah ditetapkan
sama ada berhubung dengan keselamatan manusia atau kestabilan alam sekitar.
Masalah ini harus dipandang serius kerana sungai merupakan sumber air yang
paling utama.
Kepesatan pembangunan industri, perumahan dan pembukaan tanah baru
menyebabkan banyak sungai yang hilang keupayaan untuk memainkan peranan semula
jadinya. Sekiranya fenomena ini berterusan, tidak mustahil rangkaian sungai di
seluruh negara turut tercemar.
Sisa bahan buangan kilang seperti sisa toksid yang dibuang ke dalam sungai
oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pembuangan ini dianggap mudah kerana
tidak memerlukan kos pelupusan. Kumuhan kilang - kebanyakan kumuhan kilang
seperti sisa toksid dibuang ke sungai atau laut. Sesetengah bandar dan kampung
mengepam pelbagai bahan buangan yang tidak dirawat dan kadang kala kilang juga
membuang bahan beracun ke dalam sungai. Baja dan racun perosak kimia yang
digunakan oleh petani juga akan dibawa oleh air hujan ke dalam sungai dan anak
sungai. Bahan-bahan ini boleh membunuh berbagai-bagai jenis hidupan air.
Sikap individu itu sendiri menjadi salah satu punca berlakunya pencemaran
air di negara kita. Pembuangan bahan-bahan buangan seperti sampah, minyak dan
najis sering kali dilakukan oleh sesetengah individu sehingga lupa
tanggungjawab dan kepentingan menjaga alam sekitar.
Penerokaan tanah untuk dijadikan kawasan pertanian juga menyebabkan hakisan
tanah berlaku dan ini seterusnya akan mengakibatkan mendakan berlaku. Mendakan
ini akan mencetekkan sungai dan air sungai menjadi keruh. Penerokaan juga
membantu menyumbang ke arah pencemaran air. Ini adalah kerana penerokaan yang
dijalankan sudah pasti menyebabkan hakisan tanah berlaku dan seterusnya tanah
runtuh akan masuk ke dalam sungai lalu mendakan berlaku.
Mendakan ini bukan sahaja akan mencetekkan lagi paras air sungai tetapi
akan mengakibatkan berlakunya banjir. Hakikatnya pelbagai punca berlakunya
pencemaran adalah disebabkan oleh faktor masyarakat kita sendiri mahupun dari
pihak-pihak tertentu yang tidak peka pada keadaan sekeliling dan hanya
mementingkan diri sendiri tanpa mengambil kira sebab dan akibat yang akan
berlaku akibat tindakan mereka itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan