Rabu, 3 Januari 2024

NAK RAJIN BACA BUKU

SYED MAHADZIR SYED IBAHIM

ADA di antara kita yang mendapati amat susah untuk memulakan sesuatu perkara terutama yang tidak disukai ataupun yang tidak pernah kita cuba. Akibatnya apa yang perlu dilakukan sering ditangguh untuk menanti bila ada mood, idea, masa, daya penggerak semangat atau motivator untuk tolak atau dorong kita. Tunggu punya tunggu, akhirnya semua hilang. Mood hilang, idea hilang, masa terbuang, motivator lari. Akhirnya kita tidak buat langsung.

Contoh yang paling ketara ialah membaca. Rakyat Malaysia masih dianggap tidak suka membaca. Kalau kita buat kajian secara spontan di stesen komuter, LRT, lapangan terbang, stesen bas dan tempat-tempat menunggu pengangkutan awam, kita boleh kira dengan jari tangan... bilangan orang yang membaca, jumlahnya tidak sampai sepuluh orang yang akan kita lihat sama ada membaca buku, membaca majalah, membaca akhbar atau membaca apa juga bahan bacaan. Kebanyakkannya yang lihat lihat ialah ramai yang tidur, ramai yang makan di pelbagai tempat, ramai yang bergayut di telefon, ramai yang hanya duduk-duduk saja sambil memerhatikan orang lalu-lalang di hadapannya, ramai yang  bersembang, berbual, mengumpat, dan ramai juga yang termenung.

Jadi, macam mana nak didik diri suka membaca?

Pertama

Cari minat. Cuba perhatikan di sekitar kita, dalam kehidupan seharian, mesti ada sesuatu yang menarik minat kita. Contoh, kita suka membeli kasut, baju, seluar, jam tangan atau beg tangan. Dari situ kita latih diri kita untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang semua barangan yang hendak kita beli tersebut. Ciri-ciri kasut yang macam mana sesuai untuk jenis kaki, jenis baju atau seluar yang hendak kita beli, yang sesuai dengan bentuk tubuh kita, jenama jam tangan atau beg tangan yang bagaimana yang bakal kita beli dan sebagainya. Fesyen kasut, baju, seluar, jam dan beg tangan bagaimana yang sesuai mengikut usia, bahan buatan yang tahan lasak, harganya yang sesuai dengan kehendak kita dan sebagainya.

Selain itu mungkin kita juga ingin tahu panduan-panduan penjagaan kasut, baju, seluar, jam tangan atau beg tangan, yang pastinya berkaitan dengan cara dan jenis barangan tersebut yang kita pakai. Mungkin juga kita perlu tahu apa kesannya jika kita selalu pakai kasut tumit tinggi, pakai baju atau seluar yang ketat, pakai jam atau beg tangan yang muda luntur warnyanya. Sudah pastinya kita akan dapat maklumat sebegini sama ada dalam internet ataupun dalam buku. Secara tidak langsung, kita akan didik diri untuk membaca.

Kedua

Jangan tamak. Semua kita nak buat. Mulakan minat dengan memfokus kepada satu-satu bidang dahulu. Kalau kita suka makan, mengapa tidak kita cuba masak sendiri? Cari buku resipi dan cubalah pelbagai resepi. Atau cari resepi yang terdapat dalam internet. Kalau kita ni jenis suka makan di luar, kita fokus pada pengetahuan mengenai amalan pemakanan untuk kesihatan. Kalau kita suka pada pakaian cantik, carilah buku mengenai fesyen ataupun buku yang berkaitan dengan jahit menjahit. Kalau kita selalu tempah baju daripada tukang jahit, bayangkan diri kita menjahit baju sendiri. Carilah buku belajar menjahit. Dengan cara ini akan timbul minat membaca dalam diri kita.

Ketiga

Ketepikan atau peruntukkan sedikit duit untuk membeli buku. Pada setiap bulan, peruntukkan sedikit wang untuk beli apa juga bahan bacaan seperti novel, buku-buku berkaitan agama, buku berkaitan hobi dan sebagainya. Tidak perlu mulakan dengan yang mahal. Beli satu buku yang ada maklumat tentang apa yang kita mahu tahu. Yang harganya kurang dari RM10 pun tidak apa kerana ia adalah buku juga namanya. Saya percaya bahawa kualiti sesebuah buku tidak terletak pada harganya, tetapi ia terletak pada apa yang kita mahukan dari buku tersebut.

Keempat

Beli buku sendiri. Elak dari meminjam buku orang lain untuk kita baca. Nanti kita membaca tanpa kualiti kerana desakan masa untuk memulangkan buku. Sudah pasti kita akan membaca secara cepat kerana nak pulangkan kembali kepada tuan punya buku tersebut dengan kadar yang segera. Kalau beli buku sendiri, kita akan membacanya kerana kita dah kumpul duit sendiri, kita membeli buku tersebut dengan duit sendiri. Rugilah kalau kita tidak membaca buku yang sudah kita beli itu.

Kelima

Masa. Buku sudah dibeli. Jadi, kenalah baca. Bila nak baca?. Bila-bila masa yang boleh kita tentukan sendiri. Jangan ada orang lain tetapkan masa untuk kita membaca. Dalam masa 24 jam, pasti ada 20 minit yang kita terluang untuk membaca buku. Bohong kalau ada yang kata tiada masa langsung hendak membaca buku. Jangan pilih masa hendak tidur baru kita hendak membaca kerana ini akan membuatkan kita tertidur tanpa sempat membaca sampai habis. Kalau membaca waktu hendak tidur, ketika itu otak kita sudah kepenatan. Masa paling baik ialah ketika kita sedang menunggu. Dengan cara membaca, kita boleh atasi masalah jemu menanti atau menunggu, dalam masa yang sama kita dapat ilmu. Peribahasa Inggeris ada mengatakan ‘killing two birds with one stone’ atau dalam bahasa Melayunya, ‘sambil menyelam minum air’.

Keenam

Buku depan mata. Maksudnya, kita mesti letakkan buku di tempat yang kita selalu nampak, tempat yang mudah kita pegang atau capai, dan tempat yang sesuai untuk diletakkan buku. Jangan letak buku di tempat yang tinggi, yang sukar untuk kita ambil. Jangan letak buku di tempat yang tersorok seperti di belakang almari dan sebagainya. Jangan letak buku di dalam stor yang sukar dilihat oleh mata kita. Kalau setiap minit kita nampak buku, tak kan tidak mahu jenguk isinya langsung. Sudah pasti, ada ketikanya kita akan selak halaman buku tersebut lalu membacanya.

Ketujuh

Berdikit-dikit. Lama-lama jadi bukit. Membaca buku tidak semesti kita mengadapnya dari mula sampai habis dalam satu waktu, macam kita baca novel Enid Blyton masa sekolah dulu. Saya pernah membaca buku karangan Enid Blyton selama sebulan baru habis menelaah isi kandungan cerita yang dipaparkan. Jadi, ambil masa untuk selami kandungan sesebuah buku itu dengan penuh minat. Catat fakta-fakta yang penting, atau fakta-fakta  yang menarik di dalam buku yang kita baca tersebut.

Kelapan

Catatan tarikh baca. Catat dengan pensil, tarikh pada setiap muka surat yang kita telah baca. Tujuannya untuk mengingatkan kita, bila kali terakhir kita baca buku tersebut. Anggapkan ini satu catatan yang sentimental dan personal bagi kita. Anggapkan ini tarikh jumpa buah hati. Apa rasa kalau lama tidak berjumpa? Tentunya kita akan rindu, bukan?

Kesembilan

Anggap membaca seperti vitamin. Kalau tidak makan vitamin macam mana badan kita nak sihat? Tenaga tidak ada untuk melakukan kerja jika badan tidak ada vitamin. Lama kelamaan badan kita akan rasa lemah sangat. Begitulah otak yang tidak disemai dan dibaca dengan ilmu yang ada dalam buku. Otak tersebut akan jadi lemah, tidak bermaya dan akhirnya kosong.

Kesepuluh

Daftarkan diri untuk melanjutkan pelajaran. Pastinya kita mesti membaca walaupun terpaksa. Dengan cara ini lama kelamaan kita akan jadi terbiasa.

Banyak lagi yang boleh dikongsi tetapi nanti terlalu panjang pula nak dibaca. Apa-apa pun, mulakan dengan langkah pertama dahulu. Tanpa langkah pertama tidak akan ada langkah kedua, ketiga dan seterusnya. Jangan tunggu lagi, lakukan terus apa yang perlu dilakukan.

Selamat maju jaya. Semoga kita sama-sama berada dalam golongan orang yang minat membaca dan orang-orang yang mahukan otak sentiasa berkembang. Kurang membaca boleh menjadikan otak kita jadi tepu dan beku. Bila otak sudah tepu dan beku, mulalah kita akan memandang persekitaran kita dengan persepsi yang negatif sahaja akibat cetek fikiran. Jadi, berjinak-jinaklah dengan amalan suka membaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan