SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
MENINGKATNYA tahap kesibukan berbelanja melalui internet menimbulkan sejumlah permasalahan besar. Perilaku pelanggan ketika berbelanja boleh jadi sama sekali berbeza daripada perkiraan umumnya, dan mungkin juga berbeza di antara satu pelanggan dengan pelanggan yang lain. Fenomena ini menyebabkan lalu lintas internet menjadi tidak teratur dan akhirnya berhujung pada penumpukan tiba-tiba pada server internet yang menangani belanja ‘on-line’.
Para pakar dari Universiti
Oxford dan The Georgia Institute of Technology melakukan kerjasama dalam rangka
mengembangkan sejumlah teknologi yang mampu mengatasi penumpukan seperti itu.
Para pengkaji ini mengambil model atau contoh-acuan berupa suatu masyarakat
yang lalu lintasnya telah berjaya diatur dengan sangat baik. Contoh-acuan ini
adalah perilaku masyarakat lebah madu yang telah ditiru dalam sejumlah
teknologi yang bertujuan untuk meringankan beban pada ‘server-server’ pada ketika terjadi kepadatan lalu lintas yang luar
biasa.
Lonjakan jumlah pelanggan
belanja atau perdagangan saham secara tiba-tiba, naik turunnya kegiatan
perniagaan melalui internet, memunculkan kesukaran besar pada syarikat-syarikat
pengelola ‘server’. Untuk
meningkatkan keuntungan mereka sebesar-besarnya, syarikat-syarikat ini perlu
memeriksa komputer-komputer mereka setiap saat bagi menjaga agar komputer
tersebut tetap mampu menyesuaikan diri terhadap tingkat keperluan yang
berubah-ubah melalui campur tangan secara cepat.
Bagaimanapun, pada
kenyataannya, hanya satu aplikasi web saja yang mampu dimuatkan ke dalam
komputer pada satu waktu, dan fenomena ini merupakan sebuah kendala.
Perpindahan antara-aplikasi menyebabkan penghentian sementara selama lima
hingga tujuh minit, waktu ini diperlukan untuk konfigurasi ulang pada komputer,
dan ini bermakna kerugian.
Permasalahan serupa
dihadapi dalam tugas-tugas yang dijalankan oleh lebah madu. Sumber-sumber bunga
memiliki keragaman dalam hal mutu. Oleh sebab itu, seseorang mungkin berfikiran
bahawa keputusan tentang berapa banyak lebah yang harus dihantar ke setiap
tempat tersebut dan berapa lama mereka sebaiknya berada di sana merupakan satu
permasalahan dalam sebuah koloni yang ingin mencapai kelajuan pengumpulan madu
bunga (manisan) setinggi-tingginya. Bagaimanapun, berkat sistem kerja mereka
yang sangat baik, lebah mampu memecahkan permasalahan ini tanpa mengalami
sebarang kesukaran.
Sekitar seperlima daripada
lebah-lebah di dalam sebuah sarang bertugas sebagai pengumpul manisan. Tugas
mereka adalah ‘berkelana’ di antara bunga-bunga dan mengumpulkan manisan
sebanyak mungkin. Ketika kembali ke sarang, mereka menyerahkan muatan manisan
mereka kepada lebah-lebah penyimpan makanan yang menjaga sarang dan menyimpan
bahan makanan. Lebah-lebah ini kemudiannya menyimpan manisan di dalam
petak-petak madu. Seekor lebah pengumpul manisan juga dibantu oleh
rakan-rakannya dalam menentukan seberapa bagus mutu sumber bunganya.
Lebah pengumpul madu
tersebut menunggu dan mengamati berapa lama waktu yang diperlukan untuk bertemu
dengan seekor lebah penyimpan makanan yang sedia menerima muatan. Jika waktu
menunggu ini berlangsung lama, maka lebah pengumpul madu memahami hal ini sebagai
isyarat bahawa sumber bunganya bukan daripada mutu yang terbaik, dan bahawa
lebah-lebah yang lain kebanyakannya telah melakukan pencarian yang
berjaya.
Sebaliknya, jika ia
disambut oleh sejumlah besar lebah-lebah penyimpan makanan untuk mengambil
muatannya, maka semakin besarlah kemungkinan bahawa muatan manisan tersebut
bermutu baik.
Lebah yang mendapat
maklumat ini memutuskan apakah sumber bunganya senilai dengan kerja keras yang
akan dilakukan berikutnya. Jika ya, maka ia melakukan tarian-getarnya yang
terkenal agar difahami maksudnya oleh lebah-lebah lain. Lama tarian ini
memperlihatkan berapa besar keuntungan yang mungkin mampu diperoleh dari sumber
bunga ini.
Sunil Nakrani dari
Universiti Oxford dan Craig Tovey dari The Georgia Institute of Technology
menerapkan cara penyelesaian masalah oleh lebah madu tersebut pada permasalahan
‘internet host’.
Setiap server mengambil peranan sebagai lebah
pengumpul manisan, dan setiap permintaan pelanggan bertindak sebagai sumber
bunga. Dengan cara ini, Nakrani dan Tovey mengembangkan sebuah algoritma ‘lebah
madu’ untuk server internet ‘sarang.’
Sebuah ‘host’ menjalankan tugas, sebagaimana
yang dilakukan lebah dengan tarian getarnya, dengan membuat sebuah iklan dan
mengirimkannya ke sejumlah ‘server’
lainnya di dalam sarang. Lama masa penayangan iklan ini mencerminkan manfaat
dan tingkat keuntungan yang mampu diraup melalui para pelanggan ‘server-server’ tersebut.
Server lain membaca iklan ini dan berperilaku
seperti lebah-lebah pekerja yang mengikuti petunjuk yang disampaikan melalui
tarian getar tersebut. Setelah mempertimbang dan mengkaji iklan ini beserta
pengalaman mereka sendiri, mereka memutuskan perlu tidaknya untuk beralih dari
para pelanggan yang sedang mereka layani ke para pelanggan yang sedang dilayani
oleh ‘server’ yang mengirim iklan
tersebut.
Nakrani dan Tovey
melakukan uji banding antara algoritma lebah madu yang mereka kembangkan dengan
apa yang disebut sebagai algoritma ‘rakus’ yang ketika ini dipakai oleh
kebanyakan penyedia ‘internet host’.
Algoritma rakus kelihatan ketinggalan zaman. Algoritma rakus membahagi waktu
menjadi sejumlah penggal waktu yang tetap dan menempatkan ‘server-server’ untuk melayani para pelanggan untuk satu penggal
waktu berdasarkan pengaturan yang dianggap paling menguntungkan pada penggal
waktu sebelumnya.
Para pengkaji mengungkap
bahawa pada ketika lalu lintas berubah-ubah, algoritma lebah madu
memperlihatkan hasil 20 peratus lebih baik daripada algoritma rakus. Sedikit
masa lagi mungkin ‘server-server’
yang bekerja menggunakan algoritma lebah madu akan semakin banyak, di mana
internet akan lebih tepat disebut sebagai ‘interkoloni.’
Dengan kata lain, kajian
yang dilakukan oleh para ilmuwan ini menunjukkan betapa berbagai penyelesaian
masalah yang masuk akal terdapat di alam. Permasalahan yang dihadapi server-server internet sangatlah mirip
dengan permasalahan yang dipecahkan oleh koloni lebah madu. Sungguh, kejayaan
yang dicapai pengkaji tersebut, yang dilakukan dengan menerapkan contoh dan
rujukan koloni atau masyarakat lebah madu, menjadi isyarat akan hakikat ini.
Bagaimanapun, dari manakah
asal usul rumusan penyelesaian masalah yang diberikan lebah madu kepada para ‘programmer’ komputer tersebut?
Meskipun para ‘programmer’ komputer boleh mengambil
perilaku lebah madu sebagai contoh-rujukan mereka, lebah itu sendiri tidak
dapat melakukan hal seperti itu. Ini disebabkan, meskipun tiruan algoritma
lebah yang dibuat oleh ‘programmer’ komputer
merupakan hasil dari proses berfikir cerdas yang dilakukan secara sedar, lebah
madu tidak memiliki kemampuan berfikir seperti itu.
Penyelesaian terhadap
permasalahan tersebut memerlukan tindakan sedar, misalnya pertama sekali
pemahaman tentang adanya permasalahan tersebut, pengkajian terhadap sejumlah
penyebab timbulnya permasalahan itu, pengenalan atas pengaruh sejumlah penyebab
itu terhadap permasalahan tersebut secara umum dan pengaruhnya terhadap satu
sama lain, dan akhirnya pengambilan keputusan di antara beragam pilihan yang
ada.
Sudah pasti penyelesaian
masalah seperti itu tidak mungkin terjadi di dalam koloni lebah beranggotakan
20,000 hingga 50,000 ekor. Hanya ada satu penjelasan masuk akal terhadap
kenyataan ini, di mana sedemikian banyak makhluk hidup menjimatkan tenaga dengan
menerapkan cara pengumpulan manisan yang paling menguntungkan; meskipun kita
biasanya menyangka akan wujud suatu kekacauan dan kekalutan di dalamnya.
Pemahaman terhadap
permasalahan di dalam koloni lebah dan jalan keluar penyelesaiannya merupakan
hasil karya Pencipta Yang Maha Mengetahui. Tidak ada keraguan, Allah-lah,
pencipta langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, yang telah
menciptakan koloni lebah. Strategi yang diterapkan di dalam koloni lebah madu
merupakan ilham yang berasal dari Allah S.W.T.
Allah S.W.T menyatakan hal
ini dalam firman-Nya yang bermaksud: ‘Dan
Tuhanmu mewahyukan kepada lebah: ‘Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di
pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia. Kemudian makanlah
dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah
dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang
bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi
manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran
Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.’ (surah An-Nahl: 68-69)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan