SYED
MAHADZIR SYED IBRAHIM
SECARA umumnya suhu
purata bumi tidak begitu stabil, malah berubah mengikut masa, seperti yang
telah dibuktikan melalui analisis lapisan geologi. Planet kita adalah beberapa
puluh darjah lebih sejuk pada 20,000 tahun lepas, iaitu pada puncak zaman salji
glasier. Perubahan suhu ini sebenarnya amat perlahan, suhu berubah sebanyak 0.2
darjah dari tahun 1000 sehingga hujung kurun ke-19.
Fakta yang merisaukan komuniti antarabangsa ialah betapa
cepatnya suhu berubah sekarang ini, kecepatan perubahan yang tidak pernah
berlaku pada zaman dahulu. Sejak hujung kurun ke-19, lebih kurang dalam seratus
tahun saja, suhu purata telah naik 0.6 darjah. Simulasi komputer pula
menunjukkan bahawa pemanasan akan menjadi lebih cepat dan suhu purata boleh
meningkat sebanyak 1.4 hingga 5.8 darjah pada hujung kurun ke-21. Fenomena ini
kita panggil pemanasan global.
Perubahan iklim boleh berlaku pada rantau tertentu, atau
seluruh bumi. Perubahan iklim membawa kesan yang serius kepada dunia.
Contohnya, saintis dari Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC)
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan pemanasan laut dan pencairan
glasier kerana pemanasan global dan perubahan iklim boleh meningkatkan aras
laut kepada 7-23 inci menjelang 2100.
Akan tetapi, tidak dinafikan kesedaran masyarakat
terhadap isu perubahan iklim dan impaknya kepada kehidupan manusia hari ini
serta masa hadapan boleh dikatakan masih rendah atas pelbagai faktor, antaranya
tidak ambil kisah terhadap hal ehwal mengenai alam sekitar di samping mempunyai
persepsi bencana alam berskala mega tidak mungkin berlaku di Malaysia seperti
dialami banyak negara lain di dunia. Sama ada disedari atau tidak, iklim yang
melitupi Malaysia sebenarnya sudah mengalami perubahan yang mana ia sebenarnya
memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada cuaca serta alam
sekitar di negara ini.
Perubahan iklim lazimnya mendatangkan kesan kepada
sesuatu kawasan atau wilayah. Dalam konteks di Malaysia, perubahan iklim yang
bersifat drastik atau mendadak kebelakangan ini menimbulkan kesan jangka pendek
dan jangka panjang. Kesan perubahan iklim ini yang dapat dirasai secara ketara
ialah peningkatan cuaca panas, mewujudkan fenomena cuaca ekstrem yang menjadi
faktor berlakunya musim kemarau atau banjir secara melampau atau luar biasa
yang mana ia tidak pernah direkodkan berlaku dalam tempoh lebih 10 tahun.
Kecelaruan dan perubahan cuaca dunia yang tidak menentu
kebelakangan ini juga memberi petanda bahawa fenomena El-Nino (yang juga dikenali
sebagai ‘si anak kecil’ dalam bahasa Sepanyol) akan berulang kembali. Namun
kehadirannya pada kali ini tidaklah seteruk yang berlaku pada 1997-1998 (yang
menyebabkan jerebu, kemarau dan kepanasan melampau dengan suhu meningkat
melebihi 40 darjah Celsius) dan dikatakan yang paling buruk pernah berlaku sejak
150 tahun lampau.
Variasi suhu atmosfera secara umumnya berkaitan dengan
beberapa faktor seperti perubahan aktiviti matahari, atau kelajuan putaran bumi.
Tetapi, kebanyakan pakar sains percaya bahawa pemanasan global adalah
disebabkan, terutamanya, oleh kesan rumah hijau. Kesan ini terjadi apabila
sebahagian besar tenaga dari matahari yang sampai ke permukaan bumi tidak
dipantulkan semula keluar ke angkasa lepas, malah diserap oleh atmosfera bumi.
Seperti yang kita tahu, menurut hukum Wien, sifat sinaran
dari satu objek bergantung kepada suhunya. Matahari yang mempunyai suhu
permukaan 6,000 darjah, bersinar terutamamya dalam gelombang tampak di mana
tenaganya masuk secara mudah ke atmosfera kita. Tetapi, disebabkan suhu bumi
jauh lebih rendah dari suhu matahari, planet kita mengeluarkan kembali tenaga
ini dalam bentuk sinaran inframerah. Gas-gas tertentu seperti karbon-dioksida,
methane dan nitrogen oksida, yang juga lutsinar dalam gelombang tampak, adalah
legap dalam sinaran inframerah. Ciri-ciri ini menghalang tenaga dari keluar
semula ke angkasa lepas. Gas-gas ini menyerap tenaga tersebut menjadikan
atmosfera kita panas. Sebahagian besar tenaga solar ini diserap oleh atmosfera
bawahan, seperti yang terjadi ke atas planet Zuhrah.
Perubahan iklim telah menggugat kestabilan bekalan air.
Kini, bukan rahsia lagi sumber air semakin menyusut setiap tahun. Statistik FAO
menunjukkan, menjelang 2025, 1.8 bilion orang akan tinggal di negara-negara
atau kawasan dengan kekurangan air yang mutlak. Mengikut kajian WWAP, setiap
orang memerlukan antara 20 hingga 50 liter air bersih yang selamat sehari untuk
menjamin keperluan asas minuman, memasak dan pencucian. Namun demikian, menurut
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), lebih daripada seorang bagi setiap 6 orang
di seluruh dunia tidak mempunyai akses kepada jumlah air bersih itu.
Pakar-pakar sains di Institut Potsdamer Untuk Kajian Kesan
Perubahan Iklim mengungkapkan bahawa sejumlah air telah menghilang akibat kesan
perubahan iklim. Para pengkaji menggunakan data dari lima simulasi iklim dan
sebelas simulasi hidrologi global untuk mengukur kesan pemanasan global dengan
lebih tepat. Sasaran kajian adalah mencari kaedah baru untuk mencegah krisis
air.
Menurut Climate Institute (CI), berpejabat di Washington,
penduduk dunia pada abad lepas meningkat tiga kali ganda dan dijangkakan
meningkat daripada jumlah 6.5 bilion sekarang kepada 8.9 bilion pada 2050. Dalam
tempoh 20 tahun akan datang, jumlah penduduk di bandar-bandar di Asia juga
dijangkakan akan bertambah seramai satu bilion orang. Penggunaan air juga
dijangka meningkat selaras dengan kepesatan kemajuan serta pembangunan seluruh
dunia.
Sumber air tawar juga dijangka merosot akibat perubahan
iklim yang tenat dengan impak bukan sahaja ke atas kualiti air tetapi juga
sistem ekologi akuatik dan air bawah tanah. Sesetengah penganalisis meramalkan,
air juga akan menjadi faktor penting mencetuskan konflik dan pertikaian pada
masa depan akibat kekurangan air yang melampau. Sebagai komponen utama
organisma hidupan, air yang berkualiti baik ialah perkara asasi untuk kegunaan
manusia. Ia juga amat diperlukan untuk menampung kegunaan pelbagai aktiviti
ekonomi serta sistem ekologi yang kita diami.
Para saintis yakin, manusia masih boleh menghentikan kelajuan
pemanasan global. Dari sudut ilmu pengetahuan alam, perubahan iklim masih boleh
dihentikan. Jika kita menjalankan program perlindungan iklim besar-besaran
dalam beberapa dekad ke hadapan, kelajuan pemanasan boleh dibatasi pada kisaran
1.5 darjah Celcius dan kita mampu mencegah terjadinya krisis air.
Kajian terbaru menunjukkan kenaikan suhu bumi sebesar 2.7
darjah Celcius dibandingkan masa menjelang era industrialisasi. Buat penduduk
bumi, angka tersebut bermakna sepersepuluh orang bakal menderita kekurangan air
minum di akhir abad ini.
Saintis mendefinisikan krisis air sebagai tingkat pengambilan
sebesar 500 meter padu air per tahun untuk setiap orang. Ketika ini keperluan
air sekitar 1,200 meter padu per tahun. Tahap pengambilan air per orang di
negara-negara maju jelas jauh lebih tinggi berbanding penduduk di negara membangun.
Air merupakan unsur vital dalam kehidupan manusia.
Ketersediaan air di dunia ini begitu melimpah-ruah, namun yang dapat diambil
oleh manusia untuk keperluan air minum sangatlah sedikit. Dari keseluruhan
jumlah air yang ada, hanya lima peratus saja yang tersedia sebagai air minum,
sedangkan bakinya adalah air laut. Selain itu, kecenderungan yang terjadi
sekarang ini adalah berkurangnya ketersediaan air bersih itu dari hari ke hari.
Semakin meningkatnya populasi, semakin besar pula keperluan akan air minum. Sehingga
ketersediaan air bersih juga semakin berkurangan.
Menurut akhbar New
Straits Times tanggal 17 Mei 2009, di Malaysia, kesan-kesan perubahan iklim
akibat pemanasan global dapat dilihat menerusi beberapa kejadian bencana dan
juga simptom-simptom yang melanda beberapa kawasan di seluruh negara seperti suhu
semakin naik di kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands, cuaca luar
biasa yang menyebabkan banjir, kemarau, jerebu, kenaikan paras air laut, kekurangan
sumber air, dan ancaman terhadap kesihatan awam.
Kesan perubahan iklim ini yang dapat dirasai secara
ketara ialah peningkatan cuaca panas, mewujudkan fenomena cuaca ekstrem yang
menjadi faktor berlakunya musim kemarau atau banjir secara melampau atau luar
biasa yang mana ia tidak pernah direkodkan berlaku dalam tempoh lebih 10 tahun.
Perkara ini telah ditegaskan oleh Pengurus Besar Syarikat Bekalan Air Pulau
Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Jaseni Maidinsa dalam Seminar Mengenai Perubahan Iklim
anjuran Institut Untuk Pembangunan Komunikasi Asia (AIDCOM), Fakulti Komunikasi
dan Media (FKM), Universiti Selangor (UNISEL). Beliau menjelaskan, antara
petanda perubahan iklim yang dirasai di negara ini ialah peningkatan suhu,
jerebu dan kemarau. Peningkatan suhu dan kemarau menyebabkan empangan mengering
seperti berlaku di Selangor dan Negeri Sembilan, baru-baru ini.
Pernahkah kita terfikir apa akan jadi terhadap bekalan
air kepada pengguna apabila empangan mengering? Ia boleh menyebabkan krisis
bekalan air seperti yang terjadi di beberapa tempat di negara ini seperti di
Selangor dan Negeri Sembilan. Apabila paras air empangan merosot akibat berlaku
perubahan iklim, secara automatik, bekalan air dirawat untuk dibekalkan kepada
pengguna akan merosot. Itulah sebabnya Selangor dan Negeri Sembilan terpaksa
mencatu bekalan air.
Fenomena air empangan merosot adalah ibarat mimpi ngeri
bagi sesebuah syarikat operator air kerana jika ia berlaku, bermakna pelan
tindakan kecemasan perlu diaktifkan seperti mencatu bekalan air. Masalah
dihadapi syarikat operator ialah permintaan bekalan air semakin hari, semakin
bertambah dan ada waktunya meningkat disebabkan pertambahan penduduk dan
kawasan penempatan. Dalam menangani permasalahan ini, semua pihak harus
bersama-sama menjaga, melindungi dan mengurus sumber air negara terutama di
kawasan dikenal pasti sebagai lokasi tadahan air semula jadi. Perkara ini,
tidak mendapat perhatian sewajarnya oleh masyarakat dan pihak atasan sedangkan
pada hakikatnya, sumber air mentah semakin berkurangan akibat pemusnahan
kawasan tadahan air, pencemaran sungai, kemarau dan pembalakan haram.
Mungkin ramai yang tidak sedar masalah ini. Sumber air
negara menjadi semakin merosot disebabkan banyak hutan dan bukit yang menjadi
kawasan tadahan air diteroka serta digondolkan bagi tujuan pembangunan. Di
Malaysia, selain kesan daripada perubahan iklim, kemerosotan sumber air juga
terjadi akibat aktiviti penebangan pokok dan menggondolkan bukit secara massa
bagi tujuan pembangunan sesebuah kawasan, khasnya bagi mengejar keuntungan
dalam sektor hartanah. Aktiviti berkenaan sebenarnya amat menyumbang kepada
berlakunya perubahan iklim di negara ini. Kegiatan ini memberi kesan buruk
terhadap alam sekitar serta dapat mempengaruhi cuaca dan iklim tanpa disedari.
Masalah kemarau juga berkait rapat dengan pengurangan
sumber air. Apabila berlaku pembangunan tidak terkawal dan berterusan, seperti
hutan atau kawasan bukit yang menjadi kawasan tadahan air semula jadi
digondolkan, ia akan menjejaskan bekalan sumber air semula jadi bawah tanah
yang akan menjadi mata air dan mengalir ke sungai. Kawasan hutan, bukit
ditarah, inilah sebabnya pada musim kemarau, masalah kekurangan sumber air di
negara ini menjadi bertambah kronik.
Untuk mengatasi krisis air bersih perlu dilakukan
penyelamatan lingkungan, termasuk di antaranya penyelamatan sumber-sumber air,
harus dilakukan secara terintegrasi dan berterusan. Usaha penyelamatan
lingkungan demi mengatasi krisis air bersih dapat dilakukan melalui
menggalakkan gerakan penjimatan air, menggalakkan gerakan menanam pokok seperti
one man one tree.
Kualiti air juga berkaitan dengan kelayakan pemanfaat air
untuk berbagai keperluan, dan juga berhubungan dengan volume dan daya pulih air untuk menerima beban pencemaran dalam
jumlah tertentu dan kelayakan air, terutama untuk minum. Konservasi lahan,
pelestarian hutan dan kawasan aliran sungai, pembangunan tempat penampungan air
hujan seperti kolam dan tasik sehingga airnya boleh dimanfaatkan sewaktu musim
kemarau. Mencegah seminimum mungkin air hujan terbuang ke laut dengan membuat telaga
resapan air atau lubang resapan biopori, dapat mengurangi pencemaran air baik
oleh limbahan rumah tangga, industri, pertanian mahupun perlombongan.
Kesedaran manusia yang paling diharapkan, ikut menjaga
kelestarian alam sekitar dan peduli lingkungan hidup. Itu sangatlah penting
untuk menghasilkan kualiti sumber daya air yang layak minum, baik pada musim
kemarau ataupun musim hujan.
Kita harus sedar bahawa dunia kita mempunyai air bersih
terhad yang tersimpan di dalam tanah, permukaan bumi dan atmosfera. Masyarakat
umum kadangkala tersalah anggap bahawa lautan adalah sumber air sedia ada
tetapi mereka tidak memahami jumlah tenaga yang diperlukan untuk menukar air
masin kepada air bersih masih lagi sesuatu yang tidak begitu mudah dilakukan.
Kerana inilah hanya sedikit sahaja bekalan air bersih yang diambil dari proses
penyahmasinan.
Di Malaysia, sumber air permukaan (terutama sungai)
dilaporkan lebih banyak berbanding air bawah tanah, dengan memetik perangkaan
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO). Jumlah sumber air
permukaan di Malaysia ialah 566 km persegi berbanding 64 km persegi sumber air
bawah tanah. Ini jelas menunjukkan Malaysia perlu memberi perhatian kepada
pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air permukaan.
Antara langkah yang boleh diambil ialah memelihara sumber
air. Ia adalah komitmen semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan
tanggungjawab bersama menggunakan air secara lestari dan memulihara sumber air
permukaan. Pemeliharaan sumber air termasuk melindungi sumber air mentah,
pengurusan sungai yang lebih cekap, memastikan keperluan air flora dan fauna
terjamin di samping mewartakan kawasan tadahan air sebagai kawasan simpanan
tetap.
Pemeliharaan sumber air ialah satu langkah bijak berbanding
melabur berjuta-juta ringgit untuk membina prasarana baru seperti empangan,
tadahan, loji perawatan serta sistem rangkaian pengagihan. Langkah-langkah
berkenaan, lebih menjimatkan kos dari segi ketersediaan air mentah. Dalam
jangka masa panjang, cara ini lebih ekonomik. Kita juga perlu ingat bahawa air
permukaan akan memberi impak langsung kepada air bawah tanah. Kesudahannya,
jika air bawah tanah menjadi tidak sesuai untuk digunakan, apa pilihan kita
selepas itu?
Malaysia perlu menumpukan lebih banyak usaha dan sumber
untuk menangani ancaman perubahan iklim. Antara usaha yang perlu dilakukan
ialah dengan meningkatkan kempen kesedaran kepada masyarakat untuk memelihara
alam sekitar seperti mengurangkan penggunaan bahan api fosil dan menggalakkan
pemindahan teknologi dari negara maju ke negara ini untuk mengatasi isu
perubahan iklim.