SMAHADZIR
Aku mengeluh panjang mengenangkan ketidakmampuan Amir menyediakan segala permintaan Nek Piah. Lagipun, adat itu bukannya wajib dalam Islam. Kalau tidak diikutpun, pernikahan sah juga. Tetapi Nek Piah bagaikan tidak mahu mendengar apa juga alasan. Dia lebih mementingkan adat tersebut supaya dilaksanakan.
“Kamu perlu bertegas dalam soal ini, Milah!” tegas Amir.
“Jelaskan pada Nek Piah, adat langkah bendul tu tak ikut pun tak apa, tak
bercanggah dengan kehendak agama!”
Aku kembali menghempaskan badanku ke atas katil. Wajah Amir
terbayang lagi. Dia terlalu kecewa dengan ketegasan nenekku itu. Ahhh, aku
harus bertindak tegas dalam soal ini, fikirku mulai memancang turus semangat
untuk berdepan dengan Nek Piah.
Pagi itu, sebaik
matahari menjenguk muka bumi, aku sudah berada di halaman rumah Mak Long Senah.
Aku sudah bertekad mengajak emak saudaraku itu bersamaku bersemuka dengan Nek
Piah. Mak Long Senah bukan sembarangan anak. Tempat Nek Piah mengadu segala
susah senang. Dalam ramai-ramai anak Nek Piah, Mak Long Senahlah anak paling
Nek Piah hormati. Kadang-kadang nasihat Mak Long Senah diakurnya juga.
“Ada apa hal, Milah?” tanya Mak Long Senah seraya mempelawa
aku naik.
Aku duduk di beranda saja lalu menceritakan apa yang sudah
bersarang dalam benak sejak semalam lagi. Aku juga mengajaknya sebagai
pembantuku untuk berdepan dengan Nek Piah.
“Mak long memang setuju sekali cadangan kamu tu, Milah!”
ujar Mak Long Senah menyokong tindakan yang bakal aku ambil. “Sejak dulu lagi mak
long tak berapa setuju adat langkah bendul yang dikenakan oleh nenek kamu tu
tapi mak long tak ada kuasa nak halang sebab dia yang pelihara kamu sejak
kecil! Kalau mak long bersuara, kecil hati pula dia!”
“Kalau begitu, bila kita nak berjumpa dengan Nek Piah?”
“Bila-bila saja, mak long tak kisah!”
Selepas mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih, akupun segera
pulang dengan hati yang lega dan lapang. Sepanjang perjalanan, aku tidak
putus-putus berdoa semoga usaha kami akan berjaya. Aku berharap Nek Piah akan
tunduk juga dengan desakan yang aku dan Amir sudah rancangkan.
* * *
Sejak pagi lagi aku
memerhatikan gerak-geri Nek Piah. Bagaimana mahu mengubah cara berfikir orang
tua yang sudah lama memeram adat budaya bangsa ke dalam hidup ini? Segalanya
bagaikan sudah sebati dalam diri. Namun, aku sudah bertekad untuk mencuba. Aku
tidak kisah biar apapun terjadi asalkan apa yang aku dan Amir hajatkan akan
tercapai.
Jemu di bawah rumah, aku naik ke anjung melihat Nek Piah
masih bersandar di dinding seraya tangan usil mengobek sireh pinangnya. Aku
melabuhkan punggungku tidak jauh dari Nek Piah. Lebih kurang lima belas minit
kemudian muncullah Mak Long Senah bersama Mak Lang Sodah. Dua adik-beradik itu
bagaikan bersemangat sekali mahu membantuku. Selepas memberi salam, kedua-duanya
naik ke anjung dan duduk di sampingku.
“Hai, ada apa hal ni?” Nek Piah bagaikan kehairanan dengan
kedatangan Mak Long Senah dan Mak Lang Sodah yang seperti dirancang itu. “Kamu
berdua ni macam dah berjanji nak datang sama…”
“Taklah mak!” cantas Mak Long Senah bersahaja. “Kami tak
berjanjipun. Saya jumpa Sodah ni di perjalanan tadi, terus saya ajak dia ke
mari!”
“Betul, mak!” sokong Mak Lang Sodah. “Saya baru balik dari
rumah Hajah Mariam, cari daun cekur. Waktu nak balik jumpa Kak Senah ni. Dia
ajak saya ke mari!”
“Ha, begitu!” Nek Piah mengangguk-angguk. “Kamu berduapun dah
lama tak menjenguk aku…”
“Ini yang kami ke mari ni!” ujar Mak Long Senah. “Bimbang
juga, takut kalau-kalau mak tak sihat!”
“Aku sihat errr… anak-anak cucu aku macam mana pula?” tanya
Nek Piah.
“Semuanya Alhamdulillah,
mak! Cuma Si Ipin tu selsema sikit. Degil sangat budak tu, suka sangat minum
air batu!” Mak Long Senah seperti kesal dengan telatah anak lelaki bongsunya
yang berumur sembilan tahun itu.
“Kamu Sodah?” Nek Piah mengalihkan soalannya kepada Mak
Lang Sodah.
“Macam Kak Senah juga, mak! Semuanya sihat!” ujar Mak Lang
Sodah.
“Baguslah! Itu yang kita semua mahu. Duit banyakpun tak
guna juga kalau anak-anak dan keluarga selalu sakit!” ujar Nek Piah sambil
meneruskan gobekan sireh pinangnya.
Hening berjenak-jenak.
Nek Piah masih usil tangannya menggobek pinang yang belum
lumat, sesekali memandang jauh ke halaman melihat beberapa ekor ayamnya
berkejaran sesama sendiri. Mak Long Senah dan Mak Lang Sodah bertimpuh sopan di
sisiku, cuma mendiamkan diri. Aku sendiri masih digumam kelu. Sekejap mataku
melirik wajah Mak Long Senah dengan hasrat dia memulakan segala yang sudah kami
rancangkan namun emak saudaraku itu seolah-olah membiarkan aku yang
memulakannya. Bunyi keletak-keletuk gobek Nek Piah meleret-leret.
“Kenapa kamu semua diam ni?” tiba-tiba Nek Piah bersuara
seraya memberhentikan gobekannya. Gesit dikerling wajahku. “Aku macam tak sedap
hati saja hari ni!”
“Memang kami ada hal dengan mak hari ni!” ujar Mak Long
Senah mengiyakan, melegakan hatiku.
“Ha, apa halnya?” tanya Nek Piah bagaikan ingin tahu benar.
“Ni ha… hal Milah ni!” Mak Lang Sodah menokok seraya menjuihkan
bibirnya ke arahku.
“Kenapa, apa halnya dengan Milah?” Nek Piah kian berminat.
“Dia ada buat hal dengan kamu ka?”
“Bukan begitu, mak!” balas Mak Long Senah. “Sebenarnya, hal
perkahwinan Milah yang membuatkan kami datang nak berbincang dengan mak!”
“Eh, ada tak kenakah dengan semua yang dah diatur tu?” Nek
Piah agak kehairanan.
“Banyak yang tak kena, mak!” balas Mak Lang Sodah.
“Betul kata mak lang tu, nek!” sampukku gesit. Aku
merasakan tak perlu lagi mendiamkan diri. Lagi cepat selesai, lagi mudah semua
kerja. “Sebenarnya, Milah yang ajak mereka ke mari. Kami dah sepakat nak ajak
nenek berbincang soal langkah bendul!”
“Hah, apa salahnya adat langkah bendul tu?” Nek Piah
seperti kurang senang. “Ada yang salah ka?”
“Salah memang tak salah, mak! Tapi menyusahkan…”
“Siapa yang susah?” suara Mak Long Senah tercantas oleh
pertanyaan Nek Piah. “Kalau pihak lelaki rasa susah, tak payahlah kahwin!”
Berderau darahku dengan kata-kata agak kasar dari nenek
itu. Namun, dalam hati tak putus-putus aku berdoa agar hati nenekku itu jadi
lembut dan dapat menerima pendapat yang bakal kami kemukakan kepadanya.
“Mak tak boleh cakap macam tu!” ujar Mak Long Senah separuh
memujuk. “Nak batalkan apa yang sudah kita putuskan memang perkara mudah tapi,
mak perlu fikirkan kesannya juga. Kita sekeluarga akan dipandang serong oleh
masyarakat semata-mata kerana tak mahu bertolak ansur dalam hal adat tu!”
“Siapa kata adat tak perlu?” suara Nek Piah mulai meninggi.
Tangannya tidak lagi menggobek. Gobek buluh segera diletakkan di sisi. “Kerana
adatlah sesuatu bangsa itu dikenali. Kalau tak ada adat, tak adalah bangsa.
Orang Melayu kaya adat budayanya dan setiap orang Melayu mesti mempertahankan
adat budaya bangsa mereka,”
“Tapi, kita kena fikir juga sama ada sesuatu adat yang kita
pegang itu menyusahkan atau tidak, mak!” balas pula Mak Lang Sodah. “Kalau
sampai menyusahkan masyarakat, buat apa diamalkan?”
“Sekarang ni aku nak tahu, siapa sebenarnya yang rasa susah
dengan adat tu?” Nek Piah gesit mencerlung tunak-tunak ke muka Mak Lang Sodah.
“Amir, nek!” jawabku. Cerlungan mata Nek Piah segera
beralih pula ke wajahku. “Adat langkah bendul menyusahkan Amir. Amir tak mampu,
nek! Kami dahpun berbincang, kalau nenek masih berkeras dengan adat tu,
kemungkinan besar perkahwinan Milah terpaksa dibatalkan!”
Nek Piah mengangguk-angguk dengan wajah jelas jengkel.
“Kalau dah tahu tak mampu, tak cukup duit, kenapa nak kahwin dengan anak dara
orang?”
“Mak tak boleh cakap macam tu!” tingkah Mak Long Senah
seolah-olah memberi semangat kepadaku. “Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Kita
tak berkuasa nak halang. Bukan mak tak tahu, Milah dengan Amir dah berkawan
lama. Semua orang kampung tahu. Amir tu budak baik. Mak sendiripun suka pada
dia. Sepatutnya mak menyenangkan anak cucu mak, bukannya menyusahkan. Mereka tu
bakal jadi anak cucu mak juga, bakal duduk di rumah ini, tengok mak bila sakit
pening. Kalau mak bertegas juga dengan adat langkah bentul tu, bermakna Amir
terpaksa berhutang. Sanggupkah mak tengok hidup Milah dan Amir susah, terpaksa
menanggung beban hutang selepas kahwin nanti? Cubalah mak fikirkan semua tu.
Mak jangan terlalu pentingkan sangat diri sendiri. Adat yang tak ada kena
mengena dengan kehendak agama tu mak nak pertahankan buat apa?”
Kata-kata panjang lebar dari Mak Long Senah membuatkan Nek
Piah terkedu. Aku sendiri terteguk air liur berkali-kali dengan ketegasan yang emak
saudaraku itu pamerkan. Mercup rasa bangga di hati kerana wajah Nek Piah
berubah seolah-olah dapat menerima kata-kata Mak Long Senah.
“Benar kata Kak Senah tu, mak!” Mak Lang Sodah pula
bersuara. “Mak mesti ingat, buat apalah Tipah dengan Tijah tu nak dimasuk kira
dalam soal ni. Walaupun mereka tu kakak Milah ni, tapi mereka bukannya
dipelihara oleh mak. Sudin yang pelihara mereka. Sudin sendiri dah bersetuju
supaya Tipah dan Tijah tak payah dilibatkan. Dia tak kisah malah bersimpati
dengan Amir dan Milah…”
“Aku tak berani nak langgar adat bangsa kita, nanti dilanda
musibah!” ujar Nek Piah lirih. Wajahnya redup. Pandangan dihala jauh ke tengah
halaman. Jelas ada genang di kelopak matanya.
“Itu semua khurafat, syirik, mak! Berdosa mak percaya
perkara karut-marut macam tu!” tegas Mak Long Senah. “Dalam agama kita, tak adapun
disebut benda-benda macam tu!”
Nek Piah tunduk. Baginya, kata-kata anak kandungnya itu
sungguh memilukan. Mentang-mentang sudah hidup senang, anak-anak sudah
berpelajaran tinggi dan berpangkat besar, adat bangsa sendiri sudah mahu dilenyapkan.
Huh, dasar tak sedar diri, gerutunya dalam hati.
“Nek…” aku tiba-tiba bersuara. “Maafkan Milah dalam soal
ini. Kalau tak kerana Milah, dah tentu mak long, mak lang dan nenek, tak
bertegang leher hari ni. Tapi, percayalah nek! Apa yang kami lakukan ini
semata-mata untuk kesenangan semua pihak…”
“Aku tak peduli!” pintas Nek Piah bersuara gerah. Mendadak
aku terkesima. Mak Long Senah dan Mak Lang Sodah berpandangan. “Apa yang aku
dah putuskan, tak boleh siapapun bantah!” Selepas itu, dia terus bangun menuju
ke dapur tanpa mempedulikan kami lagi.
Masing-masing mengeluh hampa. Memang hati Nek Piah terlalu
keras dan tegar dengan adat budaya bangsanya. Aku sekadar mampu menghantar
kedua-dua emak saudaraku pulang dengan hati terlalu sebak. Aku sendiri tidak
dapat membayangkan apakah yang akan terjadi kepada perhubungan aku dan Amir
selepas ini. Apakah jodoh kami masih ada?
* * *
Pagi masih dingin dengan
hembusan angin berbaur butir-butir halus air dari hujan yang turun pada sebelah
malamnya. Sewaktu aku turun ke halaman, aku melihat Nek Piah sedang termenung
atas pangkin di bawah rumah. Perlahan-lahan aku menghampirinya seraya
melabuhkan punggung lebarku di sisi. Berderap lantai papan pangkin itu menahan
berat badan kami berdua. Nek Piah masih membisu.
Aku merenung wajahnya lama. Kasihan juga. Aku tahu, hati
kecilnya amat terhiris dengan peristiwa beberapa hari lalu bersama Mak Long
Senah dan Mak Lang Sodah. Tetapi, apa boleh buat, segalanya sudah terjadi.
Semuanya kami lakukan semata-mata mahu menyedarkannya supaya tidak dituduh
bukan-bukan oleh masyarakat kampung.
“Maafkan Milah, nek!” suaraku mencerlus sewaktu pundak kami
bersentuhan. “Bukan niat Milah nak sakitkan hati nek tapi ini semua demi
kebahagiaan hidup Milah juga. Cuma itu saja yang Milah minta dari nenek.
Batalkan adat langkah bendul tu supaya kami dapat hidup bersama. Kasihanilah
Milah, nek!” tokokku lagi sebagai rayuan terakhir seraya mencerlung tunak-tunak
ke wajahnya.
Nek Piah diam namun begitu, sejurus kemudian dia memalingkan
muka ke arahku sambil tersenyum dan menyentuh pipiku dengan mesra sekali.
Walaupun giginya sebatangpun tak ada, namun aku dapat rasakan senyumannya itu
laksana senyuman seorang puteri dari kayangan. Aku sedar, Nek Piah terlalu
sayang padaku. Arwah ibuku dulu amat disayanginya. Bila ibuku meninggal dunia,
kepada akulah segala kasih sayang itu tercurah.
“Milah mohon ampun dan maaf atas apa yang telah berlaku.
Bukan niat Milah nak menyakitkan hati nenek!” ujarku lagi. Terasa sebak
menyengkang di dada menahan air mata yang mahu mengalir namun mengalir juga.
Suam menjujuh di pipi.
“Sudahlah, Milah! Nenek faham!” balas Nek Piah seraya
mengesat air mataku dengan jejari tangannya. “Nenek dah faham semuanya dan
nenekpun dah ambil keputusan untuk membatalkan adat langkah bendul tu. Nenekpun
dah dengar penerangan Imam Haji Senawi semalam. Memang adat begitu tak ada
dalam agama kita. Nenek dah sedar sekarang,”
Aku seperti tersentak oleh kejutan elektrik. Tidak menduga
hati Nek Piah sudah berubah dan dapat menerima segala kebenaran. Tanpa sedar
aku memeluk dan mencium pipinya berkali-kali.
“Terima kasih, nek!” ujarku kegembiraan.
“Nenek sayangkan kamu, Milah! Nenek tak sanggup melukakan
hati kamu. Nenek juga tak sanggup melihat hidup kamu kecewa dan terseksa!” ujar
Nek Piah lagi seraya membalas pelukanku.
Kulihat titik-titik air mata
jernih Nek Piah mengalir ke pipi. Aku segera menyekanya dengan jejariku.
Sejurus kemudian, Nek Piah senyum. Aku membalas senyumannya. Serasa bagaikan
tidak sabar-sabar lagi mahu mendapatkan Amir. Tunanganku itu tentu gembira
kerana hati Nek Piah sudah berubah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan