Isnin, 11 Disember 2023

DON MEMBUNUH BAHASA HENING

SMAHADZIR

KENAPA hari melangkah begitu gesit? Tanpa sempat Don menoleh ke belakang. Tanpa juga sedar hari ini sudah hari Sabtu dan besoknya hari Ahad atau hari minggu. Don kesal benar dengan dua hari tersebut. Kalau mampu meminta dari Yang Maha Berkuasa, dia ingin supaya hari Sabtu dan Ahad ditiadakan dari laman kalender. Dan semua orang harus bekerja terus menerus seumur hidup tanpa kenal hari Sabtu dan hujung minggu.

            Kebanyakan orang menunggu-nunggu hujung minggu atau hari Sabtu dan Ahad, terutama bagi yang sudah berkeluarga, tetapi tidak bagi Don. Bagi yang sudah berkeluarga, hari Sabtu dan Ahad adalah hari untuk bergembira bersama ahli keluarga, bersama anak-anak dan cucu. Tetapi hujung minggu bagi Don bagaikan neraka, waktu tiada akhir yang mesti dirasa. Pada dua hari yang membosankan itu dia akan berjalan seorang diri di lorong-lorong bandar raya Kuala Lumpur untuk membunuh bahasa hening yang berjalan begitu iseng. Demikian lambatnya hingga dua hari serasa seperti dua tahun yang penuh durjana.

            Pada malam Jumaat Don akan menekuni nombor-nombor telefon yang tercatat dalam iPhone-nya. Mencari-cari nama rakan, baru atau lama, yang boleh dihubungi. Selepas itu dia akan sibuk memicit nombor telefon menghubungi mereka seorang demi seorang.

            “Hello, assalamualaikum Wan...”

Waalaikumsalam, Don! Aku sekarang dah keluar dari Kuala Lumpur… menghala ke Cameron Highlands!”

“Errr, bila agaknya kamu pulang?”

“Petang Ahad, baliklah!”

Dipandangnya telefon bimbit di tangan dengan perasaan hampa. Dicari-cari pula nombor telefon Dani. Setelah ditemui, rakan lamanya itu segera dihubungi.

            “Hello, Dani? Besok ada hal tak?”

“Aku dah janji nak keluar dengan Milia!”

“Ala… aku cadang nak ajak kamu keluar,”

“Maaflah, Don! Lain kali ye!”

“Baiklah, tidak apa. Err, bila kamu tak ke mana-mana hubungilah aku,”

“Baik Don!”

Lagi sekali Don berasa sungguh kecewa. Firman pula dihubungi.

            Assalamualaikum Firman!

Waalaikumsalam, Don!”

“Esok ada hal tak?”

“Esok aku nak balik kampung la, Don! Kenapa?”

“Err, tak ada apa-apa…” Don semakin kecewa. Mail pula dihubungi.

            “Errr, assalamualaikum Mail!”

Waalaikumsalam, Don! Ada apa telefon aku malam-malam buta ni?”

“Err, tak ada apa-apa, Mail…”

“Eh, takkan tak ada apa-apa?”

“Errr, sebenarnya aku nak ajak kamu keluar esok!”

“Ala, maaflah Don! Esok aku dah janji nak keluar dengan rakan sekampung? Kami bercadang nak ke Ulu Yam…”

“Kalau begitu, baiklah!!” Don terus kecewa.

            Lama kelamaan dia putus asa dan dihempaskan iPhone-nya ke atas tilam. Semua rakannya, baik lama atau baru, sibuk dengan aktiviti masing-masing.

            Selalu begitu. Dan hujung minggu akan terasa seperti detik-detik darmawisata bagi Don.

            Kalau sudah begitu, lelaki yang hampir beruban di kepala itu akan tersungkur di bilik kecil sewaannya. Melayan bahasa hening yang mengapung seluruh juzuk. Sembari mendengar muzik sampai kantuk tiba. Sewaktu pagi menjelang dia akan terjaga untuk meratapi hari, mengapa hari ini hari Sabtu dan esok adalah hari minggu?

            Dengan kemalasan yang tiada tara dia melangkah ke bilik mandi. Tidak perlu sarapan sebab seharian bahkan dua hari ini dia ada banyak kesempatan untuk berlapar-lapar kemudian berkenyang-kenyang seorang diri. Satu per satu restoran dan kafe sudah dicuba. Ingin makan apa hujung minggu ini? Juga, pusat membeli belah dan plaza mana lagi yang harus dia kitari? Lorong bandar raya Kuala Lumpur mana lagi yang harus dia susuri? Semua dilakukan hanya untuk membunuh satu benda yang bernama bahasa hening.

 * * *

Don memakai seluar jeans paling mahal yang dia ada. Hujung jeans itu terlalu panjang dan dia potong dengan gunting secara semberono tanpa dirapikan oleh tukang jahit pandai. Hasilnya, hujung kainnya terburai liar. Berbulu-bulu dek benang yang berjurai keluar centang perenang. Dan Don tidak peduli itu semua.

            Kaki Don terbalut kasut kain hijau lusuh ala pemain bola kampung. Kasut yang selalu menemani tiap hujung minggu dia berjalan pojok-pojok bandar raya Kuala Lumpur. Tapaknya sudah mulai tipis tetapi dia suka. Belum berhasrat untuk membeli yang baru. Kasut itu membawanya ke sebuah kedai buku yang baru dibuka. Bahkan pemiliknya terkejut melihat sepagi ini sudah ada pelanggan tempatan datang.

            Sebenarnya kedai ini sudah puluhan, malah ratusan kali dia singgah. Tiap hujung minggu dia masuk ke kedai buku yang ada di bandar raya Kuala Lumpur ini. Tidak selalu membeli. Hanya membaca berjam-jam sampai kaki pegal seperti mahu patah. Kadang-kadang jurujual perempuan menjeling marah kerana majalah yang dibacanya hampir-hampir berkedut seribu kerana kerap sangat diselak helaian demi helaian.

            Beberapa buku terlaris sudah rampung dibaca hanya bermodalkan ‘baca percuma’. Don hanya mahu beli buku yang sungguh-sungguh baik dan berkualiti untuk dimiliki. Lain tidak. Selalunya buku yang dibelinya adalah buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Baginya buku-buku terbitan DBP itu amat berkualiti dan wajar dibeli dan dijadikan koleksi.

Biasanya setelah berpegal-pegal berdiri di kedai buku dia akan ke kafe atau restoran. Kadang-kadang dari kedai buku di Jalan Tuanku Abdul Rahman dia naik teksi ke Jalan Petaling untuk mencari chinnese food. Atau sebaliknya, dari Pasar Budaya lelaki itu rela bersendat-sendat naik kereta api ke Kuala Lumpur City Centre atau KLCC untuk mencari warung masakan Melayu. Gila? Sama sekali tidak. Lebih-lebih lagi apa yang diharap pada hujung minggu dari seorang lelaki bujang tua itu kalau bukan untuk membuang-buang waktu dengan percuma. Semuanya hanya kerana ingin membunuh bahasa hening yang melingkari hidupnya.

            Pada waktu yang sama, rakan-rakan Don yang lain sedang menghabiskan waktu bersama keluarga, isteri, kekasih atau sanak-saudara masing-masing. Mereka selayaknya lelaki-lelaki usia tua lain, sudah ada zuriat atau isteri. Mereka akan disibukkan oleh pelbagai kegiatan para suami: persatuan suami mithali, memenuhi undangan majlis pernikahan, rekreasi keluarga, dan pelbagai lagi aktiviti yang dapat membunuh bahasa hening seperti yang sering membalut hidup Don. Entah bila Don boleh tenggelam dalam aktiviti semacam itu. Rasanya tidak akan pernah, sebab hingga hari ini lelaki bujang berambut ketak-ketak itu tetap mengutuk hujung minggu seolah-olah kiamat mingguan dalam hidupnya. Hanya kerana bahasa hening yang menjadi gebar tebal menyelimuti sekujur tubuhnya itu.

            Proses pernikahan rakannya satu-satu dia sumpah serapah. Satu pernikahan, bererti satu rakan hilang sudah. Masih ada harapannya pada Hadi dan Zali, rakan seangkatannya yang belum direbut oleh institusi pernikahan. Tetapi Hadi sudah ada tunang dan Zali pula sibuk menjaga anak saudaranya. Walau sama-sama lelaki bujang tua, Zali model lelaki cinta keluarga. Dia lebih suka menghabiskan waktu dengan orang tua, anak saudara atau adik beradik daripada kawan seperti Don.

 * * *

Dulu, pernah sekali Don begitu memuja hujung minggu. Tidak pernah wujud bahasa hening dalam kamus hidupnya kerana gadis pujaan hatinya sering menemaninya pada hari Sabtu atau Ahad. Dia selalu disibukkan oleh berbagai acara hura-hura. Minggu ini ke Port Dickson, minggu depan ke Pantai Morib, minggu hadapan lagi ke Genting Highlands. Kadang-kadang ke Bukit Fraser atau ke Pusat Perkelahan Janda Baik. Dia ada gadis yang sedia bersamanya ke majlis-majlis hebat. Naik motor di lereng terjal Genting Highlands, berkelah di Taman Temple, di Tasik Titiwangsa atau di Tasik Putrajaya sembari bersuka ria atau makan angin sejuk di tanah tinggi Cameron Highlands.

            Hujung minggu adalah syurga bagi Don masa lalu. Sebuah momen yang selalu dinanti penuh harap. Suatu kesempatan untuk dia boleh bebas merdeka dari himpitan rutin kerja. Malam minggu tidak pernah dilalui seorang diri di bilik sewaan. Muzik keras bergegaran memekakkan gegendang telinga, gelak tawa dan asap rokok tidak pernah sunyi setiap hujung minggu Don bersama rakan-rakannya.

            Kemudian datanglah masa dewasa itu. Satu-satu rakannya mulai sibuk melorek arca hidup sendiri. Dia juga demikian. Masih sempat sekali dua kali dalam sebulan mereka habiskan hujung minggu bersama. Perlahan-lahan kebersamaan itu digerogoti kesibukan peribadi masing-masing. Don sendiri tenggelam dalam kisah kasihnya yang berkali-kali terkandas. Kerana dendam, dia tenggelamkan diri dalam karya seperti seorang penulis cerpen atau novel.

Kian tenggelam dan tenggelam. Tanpa sedar satu-satu rakannya sudah punya dunia sendiri. Don terhenyak sedar bahawa dia tertinggal jauh dari rakan-rakannya ketika beberapa kali hujung minggu terpaksa dia lalui seorang diri. Gigit jari. Sembari melayan bahasa hening yang khali, yang tidak pernah bersuara apa-apa dengannya.

            Lantas, hujung minggu yang dulunya adalah syurga telah berubah menjadi neraka. Dia selalu menyumpah seranah dua hari penuh jelak tersebut. Dua hari di mana dia harus mendepani simfoni bahasa hening dan harus juga mencari keriangan seorang diri. Dua hari di mana dia akan ditertawakan orang kalau masih cuba masuk pejabat. Dua hari di mana dia membawa kasut lusuhnya ke lorong-lorong bandar raya Kuala Lumpur tidak bertujuan.

* * *

Lelah penat Don rasakan setelah dua hari penuh keliling bandar raya Kuala Lumpur tanpa makna. Sebuah aktiviti menjemukan yang mahu tidak mahu harus dia lakukan daripada terbunuh oleh libasan lading bahasa hening dalam bilik. Gontai langkah Don menuju biliknya yang cuma sepetak. Sewaktu lelaki bujang tua seusianya menghabiskan waktu bersama keluarga di hujung minggu, dia harus terima kenyataan bahawa di bilik sewaannya itu tidak sesiapa pun datang menyambut kepulangannya. Hanya senyum hambar tuan rumah penuh basa-basi. Juga kerlingan bahasa hening yang sarat sinikal dan kadang-kadang Don berasa seringai bahasa hening itu begitu memualkan.

            Dalam dihenyak dan dilambung ombak keheningan, dia hidupkan punat radio. Putar volume besar-besar sembari melayan muzik rock paling keras. Tiga buah buku sudah menanti untuk dibaca. Tetapi hatinya tetap sepi. Bahasa hening tetap berlegar-legar mahu mendakapnya. Dari atas tilam, diangkatnya kepala. Kelihatan kalender meja. Ada harapan ceria menjelang. Ah, besok hari Isnin. Usai sudah penderitaan hujung minggu ini dihenyak, digodam dan dihiris bahasa hening.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan