SMAHADZIR
IBRAHIM AL-KHAWAS ialah seorang wali Allah yang terkenal
keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan
suatu peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya, “Menurut kebiasaanku, aku
keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah. Pada suatu kali, tibatiba aku
tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang rahib Nasrani
(Pendita Kristian).”
Bila dia melihat aku dia pun berkata, “Wahai rahib
Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?” Ibrahim segera menjawab, “Ya,
tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu.”
Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga
hari tanpa meminta makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya
kepadaku, katanya, “Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahawa aku telah
menderita kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu.”
Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun
bermohon kepada Allah s.w.t. dengan berkata, “Wahai Tuhanku, Pemimpinku,
Pemerintahku, janganlah engkau memalukan aku di hadapan seteru engkau ini.”
Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari langit
berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka mereka pun
makan dan minum bersama dengan seronok sekali.
“Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah
tiga hari tiada makanan dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada
rahib itu, “Hai rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada
kamu. Rahib itu menghadap kepada Allah s.w.t., tiba-tiba turun setalam hidangan
dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dulu.” Sambung Ibrahim lagi,
“Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun berkata kepada rahib itu -
Demi kemuliaan dan ketinggian Allah s.w.t., tiadalah aku makan sehingga engkau
memberitahukan (hal ini) kepadaku.”
Jawab rahib itu, “Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat
denganmu, maka jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku
memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam
kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah s.w.t. dan berpegang kepada-
-Nya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah
kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu
(kalimah syahadah).”
“Maka sucitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu.
Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia.
Setelah kami mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah
suci itu. Suatu ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya
di masjidil haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi
Kaabah.”
Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun
berkata, “Hai Ibrahim, sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah
s.w.t., maka peliharalah kamu akan persahabatan dan persausaraanku denganmu.” Sebaik
sahaja dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir
iaitu pulang ke rahmatullah.
Seterusnya Ibrahim menceritakan, “Maka aku berasa amat
dukacita di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan hAl-hal pemandian,
kapan dan pengebumiannya. Apabila malam aku bermimpi melihat rahib itu dalam
keadaan yang begitu cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang
indah.”
Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, “Bukankah
engkau ini sahabat aku kelmarin, apakah yang telah dilakukan oleh Allah s.w.t.
terhadap engkau?”
Dia menjawab, “Aku berjumpa dengan Allah s.w.t. dengan
dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana aku
bersangka baik (zanku) kepada-Nya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat
dengan engkau di dunia dan berhampiran dengan engkau di akhirat.”
Begitulah persahabatan di antara dua orang yang
berpengetahuan dan beragama itu akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan.
Walaupun salah seorang dahulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan
kebaktian kepada Allah s.w.t., maka dia ditarik kepada Islam dan mengalami
ajaran-ajarannya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan