SMAHADZIR
TERSEBUTLAH kisah bahawa Nabi Daud menjadi Raja Bani
Israel hingga baginda mencapai usia lanjut. Berkat cara pemerintahan yang adil
dan bijaksana, maka wujudlah keamanan, kemakmuran serta kemajuan di dalam
segala lapangan di seluruh daerah kerajaan dan dirasai setiap warga
kerajaan.
Kalau ada kejadian kecil saja yang
menimpa rakyat, maka rakyat selalu memberitahu kepada raja yang adil itu.
Kejadian itu dapat diurus dengan segera oleh raja. Begitu juga kalau ada
perselisihan antara rakyat dengan rakyat, tidak ada satu perselisihan pun yang
terjadi yang tidak dapat diselesaikan oleh Nabi Daud, dengan cara yang
sebaik-baiknya dan seadil-adilnya pula. Nabi Daud dalam hidupnya diberkati oleh
Allah s.w.t dengan beberapa orang anak. Sulaimanlah yang paling pintar di
antara anak-anak Nabi Daud itu. Kerana melihat akan kemajuan fikiran Sulaiman
itu, Nabi Daud mempunyai kepercayaan penuh akan mulianya hari depan Sulaiman;
sebab itu pendidikan kepadanya agak diistimewakan pula.
Setiap hari, Nabi Daud menyelesaikan
beberapa perkara dan perselisihan antara rakyatnya, Sulaiman selalu berada di
sampingnya, agar Sulaiman bertambah akal dan fikirannya dengan melihat sebab
perselisihan dan cara-cara penyelesaiannya yang ditetapkan oleh Raja Nabi Daud.
Kendatipun Sulaiman takala itu boleh dikatakan masih kecil, tetapi kerana
kemajuan fikirannya yang luar biasa, baginda telah dapat menangkap pelajaran
dari apa yang disaksikannya itu, sehingga bertambah ilmu pengetahuan dan hikmat
akalnya.
Ketetapan Fikiran
Melihat kecekapan dan keluarbiasaannya itu, maka
Nabi Daud telah menetapkan dalam hatinya, bahawa bila baginda meninggal dunia
nanti, maka Sulaimanlah yang akan menggantikannya menjadi Raja Bani Israel.
Kerana ketetapan fikiran inilah maka Sulaiman dididik demikian rupa, setiap
hari melihat dan menyaksikan berbagai-bagai perkara dan perselisihan yang
diselesaikan oleh Nabi Daud.
Pada suatu hari, ketika Nabi Daud dan
Sulaiman sedang duduk berdua, tiba-tiba datang dua orang lelaki yang bermasalah
untuk minta penyelesaian atas permasalahan mereka. Dengan segera Nabi Daud
memeriksa perkara kedua-dua orang itu dengan disaksikan oleh Sulaiman.
Seorang dari kedua-dua orang itu lalu berkata:
‘Aku mempunyai sebidang kebun yang sedang menghijau warnanya. Kerana suburnya
tanaman yang aku tanam di dalamnya, sehingga setiap orang yang melihat, akan
gembira riang memandangnya. Tiba-tiba pada suatu hari, kebun itu dimasuki oleh
kambing kepunyaan orang ini, sehingga semua tanaman yang sedang menghijau itu
habis dimakan atau dirosakkan kambing itu.’
Setelah ditanyakan kepada orang yang
empunya kambing yang didakwa itu, baginda pun membenarkan semua keterangan itu
dengan tidak membantah sedikit pun. Hanya sekarang kedua-dua orang yang
bermasalah itu meminta ditetapkan hukum apa yang harus dijalankan. Nabi Daud
menetapkan penyelesaian perkara ini, dengan mengambil kambing itu sendiri dari
tangan orang yang empunya, lalu diserahkan kepada orang yang empunya kebun,
sebagai ganti kerosakan tanaman yang disebabkan oleh kambing itu.
Tetapi Sulaiman yang baru berumur sebelas
tahun itu dengan segera berkata: ‘Penyelesaian cara begitu kurang tepat, ada
cara yang lebih baik dan lebih adil.’
Nabi Daud, kedua-dua orang yang
bermasalah dan semua yang turut hadir menyaksikan perkara itu, tercengang
menyaksikan keberanian Sulaiman dan menunggu-nunggu dengan sabar, cara
bagaimana penyelesaian yang dianggap lebih baik oleh Sulaiman itu.
Sulaiman lalu berkata: ‘Lebih baik
kambing itu dipinjamkan kepada orang yang punya kebun, dengan membolehkannya
mengambil susunya, anak-anaknya dan bulunya. Adapun kebun itu dipinjamkan
kepada orang yang punya kambing, dia diwajibkan menanaminya dengan tanaman yang
dirosaki kambingnya, sehingga kembali sebagaimana sebelum dirosaki; setelah itu
kambing dikembalikan pula kepada yang empunya dan kebun pun dikembalikan pula
kepada yang punya kebun. Inilah penyelesaian yang lebih dekat kepada keadilan
dan yang lebih sah keputusannya dalam menghukum,’
Semua orang yang hadir dan juga orang
yang bermasalah dan Nabi Daud sendiri, sama mengakui akan adilnya keputusan
secara demikian ini. Mereka mengagumi kebijaksanaan Sulaiman. Inilah tanda yang
pertama diperlihatkan Allah s.w.t pada diri Sulaiman, bahawa baginda seorang
yang akan jadi Nabi dan Rasul sebagaimana bapanya dan baginda jugalah yang
paling layak menjadi raja, menggantikan bapanya yang sudah tua itu.
Menyerahkan Mahkotanya
Kendatipun masih dalam keadaan terlalu muda, tetapi
kerana bakat dan kebijaksanaannya, kerana akal dan budi pekertinya, maka Nabi
Daud sebelum meninggal dunia, telah menetapkan akan menyerahkan mahkotanya
kepada Sulaiman. Penyerahan ini pun terjadilah, sehingga Sulaiman sekarang ini
menjadi Raja Bani Israel, menggantikan bapanya yang sudah tua dan ingin bersara
itu.
Dengan pengangkatan ini, anak-anak Nabi
Daud yang lain merasa tidak senang, kerana merekalah yang lebih tua, lebih wajar
kata mereka. Perasaan ketidakpuasan ini, lebih hebat lagi pada Absyalum, anak
Nabi Daud yang tua. Selain tertua dia banyak pengalaman, berbadan kuat dan
tangkas, dia tahu pula akan selok-belok pemerintahan; tetapi mengapa tidak dia
yang diangkat, padahal dialah sebenarnya yang lebih berhak? Dia tidak senang, dan
tidak tinggal diam. Dengan terang-terangan dia menyatakan, bahawa dirinya tidak
tunduk kepada keputusan bapanya itu dan dia tidak akan mengakui atas penobatan
Sulaiman menjadi Raja Bani Israel.
Absyalum bekerja segiat-giatnya mendekati
bangsanya Bani Israel, beliau bergaul dengan mereka dengan pergaulan yang
sebaik-baiknya, untuk menarik hati mereka. Ditolongnya mereka dan
dikumpulkannya dalam sebuah organisasi yang dipimpin sendiri. Dengan segala
daya-upayanya, dia berikhtiar agar supaya rakyat yang dipimpinnya itu hanya tunduk
kepadanya dan mencegah mereka mengakui Sulaiman sebagai raja.
Kepada para pengikutnya itu dicubanya
menanamkan kepercayaan, bahawa dialah yang lebih pintar, lebih berhak menjadi
raja, sedangkan Sulaiman dan bapanya sendiri adalah orang yang salah, kesalahan
yang harus segera diperbaikinya.
Usahanya yang dengan sungguh-sungguh ini
berhasil juga. Ramai orang Israel telah dapat diperkudakannya. Mereka tunduk
serta patuh terhadap semua anjuran dan perintahnya, dengan tidak menghiraukan
lagi akan perintah Raja Sulaiman.
Absyalum sekarang menuju kepada rencana
yang terakhir, iaitu akan mengadakan perebutan kuasa dengan cara kekerasan.
Segala cara sudah direncanakan, segala persiapan sudah tersedia, sedang
pengikut-pengikutnya hanya tinggal menunggu arahannya saja. Pada waktu semua
pengikutnya siap sedia itu, dia meminta izin kepada bapanya untuk pergi ke desa
Jidwan, untuk beristirahat menyampaikan nazar hatinya. Tetapi sebelum beliau
berangkat, kepada semua pengikutnya dia tinggalkan amanat, bahawa bila terdengar
bunyi trompet, mereka semua hendaklah berlarian kepadanya dan lalu bersama-sama
mengangkatnya jadi raja.
Kerana amanatnya itu diberikan kepada
orang banyak, maka berita ini tersiar hampir ke seluruh rakyat. Keadaan ketika
itu menjadi genting sekali. Kota Ursyalim ketika itu menjadi ribut, kegelisahan
memuncak dengan tiba-tiba, orang ramai bimbang, kalau-kalau akan terjadi
kekecohan hebat.
Melihat suasana dan mengetahui akan niat
Absyalum itu, bukan main marah dan sedihnya hati Nabi Daud. Tetapi kesemuanya
itu ditahannya sekuat-kuat jiwanya. Dengan tenang Nabi Daud berkata kepada
pengikutnya: ‘Marilah kita lari saja dari sini, memang tidak ada cara yang
lebih baik menghadapi Absyalum yang telah ganas itu, selain menghindarkan diri.’
Begitulah keesokan harinya, Nabi Daud
diiringi oleh semua pengikut serta keluarganya, bertolak meninggalkan kota
Ursyalim, menghindarkan diri dari keganasan pemberontak yang menginginkan
kekuasaan. Akhirnya mereka tiba di pinggir Sungai Ardun dan sungai itu terpaksa
mereka seberangi. Di seberang sungai itu mereka berhadapan dengan gunung yang
tinggi, iaitu Gunung Zaitun; gunung itu terpaksa mereka daki dan ketika itu
keluarlah air mata Nabi Daud kerana terlalu sedih.
Ketika itu mulailah didengar oleh Nabi
Daud, ada golongan yang menghina baginda, mencaci-maki serta mengeluarkan
kata-kata yang pedas terhadap dirinya; kendatipun sebelumnya mereka menyanjung
serta memujinya, membesarkan dan menghormatinya. Begitulah umumnya rakyat bodoh
yang tidak berpendirian; bila seseorang sedang berkuasa, dia dipuja-puja,
sebaliknya bila sudah tidak berkuasa lagi, kendatipun tidak mempunyai kesalahan
apa-apa, dia lalu dicaci-maki dan dihina-dinakan.
Penghinaan itu didengar oleh Nabi Daud
dengan sabar, kerana baginda merasa sudah tua sekali, tidak dapat berbuat
apa-apa lagi, malah kepada dirinya sendiri Nabi Daud berkata: ‘Kalau anakku
sendiri sudah berani mahu membunuhku, apalagi orang lain, tentu akan lebih dari
itu lagi.’
Dengan rasa hina diri dan tunduk, Nabi
Daud berdoa kepada Allah s.w.t., agar Allah s.w.t menyelamatkan dirinya
berserta keluarganya dari segala malapetaka dan agar Allah s.w.t dengan segera
memadamkan pemberontakan yang tidak diinginkan ini. Baru saja Nabi Daud
sekeluarga serta pengikutnya meninggalkan Ursyalim, Absyalum dengan tenteranya
segera menduduki ibu kota itu dengan aman dan tenteram. Segera diumumkannya,
bahawa dialah yang menjadi raja yang sah di negeri dan bangsa Israel.
Tidak Diam Dengan Berpangku
Tangan
Dalam pada itu Nabi Daud pun tidak tinggal diam dengan
berpangku tangan dan berdoa saja, tetapi segera pula menyusun kekuatan yang ada
padanya, untuk bertindak memadamkan api pemberontakan tersebut. Beberapa orang
pemimpin perang yang taat kepadanya, selalu dibawanya bermusyawarah, akhirnya
semua pemimpin perang Nabi Daud mendapat kata sepakat akan menyerang kota
Ursyalim yang sudah diduduki Absyalum dan tenteranya itu.
Sebelum tentera Nabi Daud berangkat
menyerang, Nabi Daud menasihatkan kepada mereka, agar mereka memasuki kota
dengan memberikan penerangan dan kebijaksanaan, tidak dengan kekuatan senjata
dan dinasihatkan pula supaya mereka seboleh mungkin jangan membunuh
Absyalum.
Tetapi setelah mereka tiba di kota
Ursyalim, penerangan dan kebijaksanaan yang diperintahkan Nabi Daud itu tidak
berguna sama sekali. Terpaksalah mereka mengangkat senjata untuk mencapai
penyelesaian dengan Absyalum, kerana hanya itulah satu satunya jalan, yang
dapat mereka lakukan.
Pertempuran segera berkobar dengan
dahsyatnya. Tentera Absyalum hancur seluruhnya, Absyalum mati di hujung mata
pedang bersama tenteranya. Kota Ursyalim diduduki tentera Nabi Daud kembali,
keadaan segera menjadi aman dan tenteram semula.
Sesudah kejadian itu, maka Sulaiman tetap
menjadi raja dengan aman dan tenteram bertahun-tahun, sehingga bangsa dan
negeri itu semakin maju dan makmur, tidak kurang bahkan telah melebihi daripada
zaman pemerintahan bapanya Nabi Daud a.s. Daerah kerajaannya semakin luas juga,
serta rakyatnya pun hidup dengan penuh bahagia, patuh dan taat kepada perintah
rajanya.
Ketika itulah, setelah Sulaiman cukup
umur, Allah s.w.t mengangkat Sulaiman menjadi Nabi dan Rasul-Nya, untuk mengisi
negara dan bangsa yang merdeka dan makmur itu dengan semangat agama dan
ketuhanan, menjadi bangsa dan negara yang diredhai Allah s.w.t, agar keamanan
dan kemakmuran itu tetap dan abadi, bukan hanya aman dan makmur di dunia ini
saja, juga menjadi aman dan makmur sampai di akhirat nanti.
Sebagai mukjizat besar bagi Nabi
Sulaiman, baginda dapat memahami segala percakapan burung-burung dan dengan menggunakan
bahasa (bunyi) bermacam-macam burung dan binatang itu, Nabi Sulaiman dapat
bercakap-cakap dengan burung-burung dan binatang-binatang tersebut. Dengan
jalan begitu juga, segala burung dan binatang itu pun tunduk dan taat kepada
Nabi Sulaiman.
Diberikan Allah s.w.t pula mukjizat yang
lebih hebat lagi kepada Nabi Sulaiman, baginda dapat melihat segala kekayaan
alam yang ada di perut bumi, baik yang merupakan emas, perak, besi dan tembaga,
begitu juga harta kekayaan yang berada di dalam laut, seperti intan, mutiara
dan berbagai-bagai pualam yang mahal-mahal harganya.
Segala jin dan syaitan pun dapat dikuasai
oleh Nabi Sulaiman, sehingga kekuatan jin dan syaitan itu dapat digunakan oleh
Nabi Sulaiman untuk menjadi kuli, kaum pekerja yang harus mengeluarkan semua
kekayaan dan perhiasan melimpah-ruah, bagi mendirikan rumah-rumah dan
gedung-gedung yang besar dan cantik. Nabi Sulaiman malah dapat pula
menguasai angin, sehingga angin dapat digunakan oleh Sulaiman sebagai
kenderaannya, bila Sulaiman akan berpergian ke tempat yang jauh atau tinggi.
Rakyat Sulaiman bukan hanya makhluk yang
bernama manusia saja tetapi juga segala burung, binatang, jin, syaitan,
semut-semut dan segala yang melata di muka bumi ini, menjadi rakyatnya yang
patuh dan tunduk di bawah kekuasaannya. Dengan kenderaannya yang bernama
angin itulah Nabi Sulaiman dapat pergi ke sana ke mari memeriksa kerajaan serta
rakyatnya, bahkan sampai ke negeri Askalan, baginda sampai pula di sebuah
lapangan luas yang penuh dengan semut.
Terperanjat Besar
Ketika Nabi Sulaiman dan tenteranya sampai di
lapangan itu, dari jauh Nabi Sulaiman telah melihat semua semut itu terperanjat
besar atas kedatangannya itu. Semut-semut itu berkumpul, di mana mereka
bermusyawarah bersama-sama, bagaimana menghindarkan diri dari bahaya injakan
kaki tentera Sulaiman. Semua itu dapat dilihat, didengar dan difahami oleh Nabi
Sulaiman.
Dengan terang dapat didengar oleh
Sulaiman, ketua semut itu memberikan perintah kepada rakyatnya: ‘Masuklah kamu
dengan segera ke dalam rumahmu masing-masing, agar jangan menjadi mangsa
injakan kaki tentera Sulaiman, sedang mereka sendiri tidak merasakannya.’
Mendengar kata-kata semut itu, Nabi
Sulaiman tersenyum simpul dan merasa gembira atas kesanggupan yang diberikan Allah
s.w.t kepadanya, untuk mengerti kata-kata semut itu. Terasalah oleh Sulaiman,
bahawa baginda Nabi sebagaimana juga Nabi-nabi lainnya dan baginda merasa wajib
memerintahkan kepada manusia, agar manusia mengasihi akan semua binatang yang
melata di bumi ini, jangan sampai menganiaya dengan sengaja atau dengan tidak
diketahui.
Ketika itu Nabi Sulaiman menyembah dan
sujud kepada Allah s.w.t, bersyukur atas segala nikmat dan pemberian Allah
s.w.t, serta mendoa agar baginda dan kaumnya dimasukkan Allah s.w.t dalam
golongan hamba Allah s.w.t yang baik. ‘Semua ini adalah kurnia Allah s.w.t
atas diriku untuk menguji, apakah aku dapat bersyukur atau akan berkufur,’ kata
Sulaiman a.s.
Tempat Ibadah Menyembah
Allah
Nabi Sulaiman bercita-cita ingin mendirikan sebuah
rumah suci di Syam, untuk dapat digunakan sebagai tempat ibadat menyembah Allah
s.w.t dan juga sebagai pengorbanan dari baginda sendiri kepada Allah s.w.t.
Tiang-tiang yang tinggi dan besar lalu didirikan, dinding-dinding tembok yang
besar dan agung pun berdiri dan tidak lama kemudian Rumah Suci (Baitul Maqdis),
yang dicita-citakan Nabi Sulaiman itu pun jadi kenyataan, yang sehingga
sekarang masih ada dan tetap ada dan masih tetap bernama Rumah Suci (Baitul
Maqdis atau Jerusalem).
Kepada semua manusia yang beriman kepada Allah
s.w.t, diperintahkan Allah s.w.t, untuk datang berhaji ke tempat suci itu
setiap tahun. Tetapi kemudian, oleh bangsa Israel tempat itu dijadikan tempat
menyimpang dari ajaran Allah s.w.t, maka kepada Nabi Muhammad diperintahkan Allah
s.w.t untuk memindahkan tempat suci tersebut ke Mekah. Ke sanalah umat Islam
menghadapkan muka dalam sembahyang dan ke sana jugalah umat Islam setiap tahun
datang berkumpul melaksanakan ibadat haji mereka.
Baru saja Nabi Sulaiman selesai
mengerjakan Rumah Suci itu, Nabi Sulaiman berangkat meninggalkan tempat itu
memenuhi nazarnya sebelum mendirikan Rumah Suci tersebut. Nazar (janji) akan
mengembara di sekitar muka bumi untuk melihat dan mengetahui kebesaran Allah
s.w.t yang mencipta bumi ini juga maksudnya.
Mula-mula Nabi Sulaiman menuju ke tanah
Yaman, lalu memasuki daerah Sanak. Di daerah ini baginda mengalami kekurangan
air. Ke mana juga dicarinya, tidak ada air yang dijumpai. Ke puncak bukit yang
tinggi, di bawah jurang yang dalam, kadang-kadang digalinya sumur yang dalam,
namun air tidak ditemuinya. Ketika hampir menemui jalan buntu untuk mendapatkan
air, tiba-tiba terbang melintas di atas kepalanya seekor burung Hud Hud. Burung
itu segera dipanggil oleh Sulaiman dan kepada burung itu diperintahkannya untuk
mencari tempat yang ada air dan menunjukkan jalan kepadanya menuju ke tempat
itu.
Kerana burung Hud Hud yang diutus itu
lama tidak kembali, maka Nabi Sulaiman menjadi marah dan mengucapkan sumpahnya,
akan menghukum burung itu dengan menyembelihnya, bila tidak segera datang dan
bila burung itu tidak dapat menerangkan sebab-sebab kelewatannya itu. Baru
saja Nabi Sulaiman mengucapkan sumpahnya, burung Hud Hud yang
ditunggu-tunggunya itu pun datanglah dengan merendahkan kepala dan
menggerak-gerakkan ekornya, tanda minta maaf dan minta ampun kepada Nabi
Sulaiman atas kelewatannya itu.
Akhirnya Hud Hud bercerita kepadanya: ‘Aku
sudah dapat melihat di tempat yang jauh di sana, sesuatu yang belum pernah
engkau ketahui, sebuah tempat yang belum pernah tunduk di bawah kekuasaanmu dan
engkau sendiri tidak mengetahui tentangnya.’
Alangkah terkejutnya Nabi Sulaiman
mendengar khabar ini, sebab belum pernah baginda mendengar khabar yang
demikian. Kepada burung Hud Hud diperintahkannya untuk meneruskan ceritanya itu
dan alasan apakah yang menyebabkan kelambatannya.
Hud Hud melanjutkan ceritanya: ‘Adapun
negeri itu bernama Saba dan yang menjadi rajanya adalah seorang perempuan. Dia
sangat berkuasa atas rakyatnya serta istananya pun besar sekali. Tetapi sayang,
penduduk dalam negeri itu rupanya dipengaruhi syaitan dan iblis, kerana
ternyata mereka sudah tidak dapat membezakan antara yang halal dan haram,
antara darah dan daging, begitu juga antara kebenaran dan kepalsuan. Penduduk
negeri itu umumnya buta dan bodoh-bodoh, tidak mempunyai pemikiran dan kemajuan
sama sekali. Mereka menyembah matahari, bukan menyembah Allah s.w.t. Aku merasa
sedih melihat keadaan mereka yang demikian tetapi apa dayaku, kerana penduduk
negeri itu kuat-kuat dan besar-besar badannya. Pada pendapatku, alangkah
baiknya bila mereka diperintahkan untuk menyembah Allah, iaitu Allah s.w.t yang
sebenarnya yang mempunyai kerajaan yang Maha Agung dan Maha Besar.’
Nabi Sulaiman sungguh terkejut mendengar
berita ini, tetapi baginda tidak mahu mengejutkan Hud Hud yang telah bercerita
itu. Baginda hanya berkata: ‘Akan kuselidiki dahulu khabar yang kau bawa ini.
Aku ingin mengetahui apakah engkau berkata benar atau berkata bohong dalam hal
ini. Kalau memang benar apa yang telah kau katakan tadi, maka inilah sepucuk
surat dariku, segera kau sampaikan surat ini kepada raja dan bangsa yang telah
kau ceritakan itu. Aku akan menunggu khabar jawapannya selekas mungkin!’
Surat Untuk Ratu Balqis
Surat itu segera diambilnya dari tangan Nabi
Sulaiman, lalu burung itu terbang melayang, menyampaikan surat itu ke alamat
yang sudah ditentukan, iaitu raja (ratu) dan rakyat Balqis di negeri
Saba. Hud Hud terbang menyusup ke atas mahligai istana Ratu Balqis. Dengan
melalui sebuah jendela, surat itu dijatuhkannya dalam istana itu tepat di hadapan
Ratu Balqis sendiri.
Surat tersebut jatuh, lalu diambil dan
dibaca oleh Ratu Balqis: ‘Surat ini dari Sulaiman. Dengan nama Allah s.w.t Yang
Maha Pengasih lagi Penyayang. Janganlah kamu meninggikan diri terhadapku dan
hendaklah kamu mendatangiku dengan menganut agama Islam.’
Baru saja melihat dan membaca surat yang
ajaib serta isinya yang mengejutkan itu, Ratu Balqis segera mengumpulkan semua
menteri kerajaan, pembesar-pembesar dan ahli-ahli cerdik pandai, untuk
bermesyuarat, bagi meminta pertimbangan mereka tentang isi surat yang baru diterimanya
itu; apakah akan menyerah dan tunduk kepada apa yang dimaksudkan oleh Raja
Sulaiman, atau tidak akan mempedulikan sama sekali isi surat itu.
Mereka sama berkata: ‘Kita ini adalah
suatu bangsa yang berani dan ahli perang, bukan suatu bangsa yang hanya pandai
berunding dan mengalah saja. Kami sudah menetapkan dirimu, ya Balqis, untuk
memutuskan segala sesuatu dan memerintah kami. Tetapkanlah apa yang hendak kau
putuskan, kami akan menjalankannya dengan penuh rasa taat dan tunduk kepadamu.
Bila engkau perintah ke langit, kami mahu terbang, ke laut kami menyelam, ke
lurah kami menurun dan ke bukit pun kami akan mendakinya.’
Setelah Balqis mengetahui tanda-tanda
dari para menteri dan pembesar-pembesar yang menghendaki perang itu, segera beliau
mengemukakan pendapatnya, yang bertentangan dengan kehendak mereka; dengan
tenang berkatalah Ratu Balqis: ‘Fikiran yang menghendaki perang itu, adalah
fikiran yang salah, selama jalan damai belum ditempuh sedapat-dapatnya, kerana
perdamaian lebih baik dari berperang. Begitulah menurut fikiran orang waras.
Bila tentera telah dapat mengalahkan musuhnya di medan perang, negeri yang
dikalahkannya itu pasti mereka rosak dan mereka hancurkan, segala harta
kekayaannya mereka rampas, orang-orang yang mulia mereka hinakan sebaliknya
orang-orang hina dimuliakannya. Akhirnya mereka memperhambakan, lalu
menjalankan tangan besi, kalau dapat berabad-abad lamanya, atau untuk
selama-lamanya.’
‘Aku,’ kata Ratu Balqis selanjutnya, ‘Ingin
mengutus sebuah delegasi yang terdiri dari orang-orang yang terhormat dari
bangsa kita sendiri, untuk menghadap Raja Sulaiman dan juga untuk memberikan
hadiah yang paling berharga.’
Khabar ini sebagai jawapan terhadap surat
Sulaiman itu, dituliskan dalam sepucuk surat, lalu diserahkan kepada burung Hud
Hud itu, untuk disampaikan kepada Sulaiman. Untuk menyambut kedatangan
delegasi Balqis itu, Sulaiman mengadakan persiapan seperlunya. Sulaiman ingin
memperlihatkan kegagahan dan keluarbiasaannya. Semua jin dipanggilnya dan
diperintahkan untuk mendirikan sebuah istana dari segala macam batu dan
perhiasan yang berada di perut bumi di dalam laut.
Istana Yang Terindah
Dalam waktu yang singkat saja, bangunan besar, iaitu
istana yang terindah yang belum pernah ada tandingannya di muka bumi Allah
s.w.t ini, sekarang menjelma. Dindingnya terbuat dari kaca yang beraneka warna,
lantainya daripada emas dan perak, serta pasirnya dari intan dan berlian dan
berbagai-bagai batu berharga lainnya, Semua itu dikemukakan dan didirikan oleh
segala jin dengan petunjuk Nabi Sulaiman sendiri.
Delegasi yang ditunggu-tunggu itu pun
datanglah. Kedatangan mereka disambut dengan sambutan yang hormat dan
meriah. Alangkah terkejut dan kagumnya mereka melihat kemewahan yang tidak
dapat dibayangkan dengan kata-kata itu. Dengan rasa malu, mereka menyerahkan
hadiah besar yang dianugerahkan Ratu Balqis kepada Raja Sulaiman.
Melihat hadiah itu, Nabi Sulaiman hanya
minta maaf dan berkata: ‘Maaf saja, kuharap agar hadiah ini dikembalikan saja
kepada Ratu Balqis, kerana pada diriku telah cukup segala-galanya dianugerahi Allah
s.w.t, baik berupa kekayaan mahupun perhiasan, bahkan Allah s.w.t telah
menganugerahkannya dengan cukup, kekuasaan yang besar dan pangkat kenabian yang
mulia yang belum pernah dipunyai oleh seorang manusia pun di atas dunia ini.
Aku tidak memerlukan emas perak, kendatipun sebesar bumi ini. Kulihat engkau
sekalian ini hanya mengenali hidup yang lahir (nyata) di dunia ini saja dan
dengan penghidupan dunia yang begini saja, kamu telah dapat bergembira diri.
Kembalilah kamu ke negeri dan rajamu. Katakan kepadanya, bahawa aku tidak
memerlukan harta kekayaan, tidak perlu kekuasaan dan segala-galanya. Yang perlu
agar kamu sekalian tunduk dan menyembah akan Allah s.w.t, yang telah menjadikan
semuanya ini. Kuharap agar kamu sekalian patuh menjalankan perintah Allah s.w.t
itu, janganlah kamu menyembah selain daripada Allah s.w.t, serta katakan juga
kepada mereka, bahawa kami akan segera mengirimkan tentera kami, untuk
menggempurmu, bila ternyata kamu tidak mahu tunduk kepada kebenaran ini dan
yang hanya mempercayai kepada kekuatan tenteramu saja!’
Delegasi itu pun segera kembali
mendapatkan raja dan bangsanya, lalu disampaikannya hasil pertemuan dengan Raja
Sulaiman itu. Mendengar semua itu, dengan perasaan yang tenang Ratu Balqis
berkata: ‘Tidak ada daya dan usaha lain lagi, kecuali kita hanya tunduk dan
taat menurut ajaran Sulaiman itu.’
Ratu Balqis ingin menghadap sendiri Raja
Sulaiman, serta beliau bermaksud mahu mengucapkan kalimat iman di hadapan
Sulaiman. Ratu itu pun berangkatlah diiringkan oleh semua pengiring dan
pengawalnya. Setelah Nabi Sulaiman mengetahui akan keberangkatannya itu. maka baginda
berkata kepada semua jin: ‘Siapakah di antaramu yang sanggup mengambil istana
Ratu Balqis dan membawanya ke mari, sebelum Ratu Balqis sendiri sampai di sini
untuk menyatakan Islamnya di hadapanku?’
Raja dari segala jin lalu menjawab: ‘Aku
sanggup membawa mahligai Ratu Balqis ke mari dengan segera dan mahligai itu
akan berada di sini, sebelum pertemuan ini berakhir kerana aku mempunyai
kekuatan yang luar biasa hebatnya. Dengan kekuatan itu aku jamin, bahawa segala
yang ada dalam mahligai itu akan selamat.’
Tiba-tiba muncul dan berdiri seorang
manusia beriman, yang kepadanya oleh Allah s.w.t telah dianugerahi pengetahuan
yang cukup dan kekuatan ghaib, lalu beliau berkata kepada Raja Sulaiman: ‘Insya-Allah,
aku sanggup mendatangkan mahligai itu ke mari dan mahligai itu akan berada di
sini, sebelum engkau menggerakkan pelupuk matamu, ya Raja Sulaiman.’
Mahligai Balqis Dibawa Jin
Ya, dalam sekelip mata saja, mahligai ratu itu pun
sudah berdiri dengan megahnya di hadapan Nabi Sulaiman. Di situ Nabi Sulaiman
lalu bersujud dan bersyukur pula kepada Tuhannya, atas kekuasaan Allah s.w.t
yang telah diperlihatkan kepadanya. Baginda bersujud dan bersyukur kembali
berulang-ulang, serta terus-menerus untuk menyembah Allah s.w.t Yang Maha
Bijaksana, Maha Besar dan Maha Kuasa itu.
Akhirnya Ratu Balqis pun datanglah.
Kepada Ratu Balqis, Sulaiman berkata: ‘Beginikah istanamu?’ Setelah
diperhatikannya dengan sungguh-sungguh, Ratu Balqis berkata: ‘Agaknya itulah.’
Alangkah terkejut dan kagumnya Ratu
Balqis setelah melihat kejadian itu, iaitu istananya sendiri sudah berada di
hadapan istana Sulaiman, sebelum baginda sendiri sampai di tempat
itu. Dalam pada itu Nabi Sulaiman sudah memerintahkan pula untuk membina
sebuah mahligai yang terbuat dari kaca yang putih bersih; kemudian Ratu Balqis
dipersilakan masuk ke dalamnya. Ratu Balqis menyangka bahawa mahligai kaca itu
air yang sedang mengalir berombak, lalu baginda membukakan betisnya untuk
memasukinya, tetapi kemudian ternyata bahawa itu bukanlah air.
Dengan kekhilafannya ini, maka terbukalah
hati Ratu Balqis yang selama ini tersesat di dalam gelombang kekayaan dan
kekuasaan itu. Dia telah tersesat dan terkhilaf, sebagaimana kekhilafannya
terhadap kaca yang disangkanya air. Dia insaf dan terbukalah hijabnya, sehingga
dengan kejadian itu, kini baginda merasakan akan kesesatannya, kerana baginda menyangka
bahawa kekayaan itu dapat membahagiakannya, begitu juga kekuasaannya di dunia
ini adalah kekuasaannya yang paling besar; baru sekarang baginda mengetahui,
bahawa ada yang mempunyai kekuasaan yang melebihi kekuasaannya.
Dia menjadi insaf dan bertaubat kepada Allah
s.w.t: ‘Ya Allah, Tuhanku! Sudah lama aku tersesat sehingga aku tidak mengenal-Mu
dan tidak pernah menyembah-Mu. Aku sudah tersesat dalam masa yang panjang,
kerana kelobaan aku atas harta kekayaan pemberian-Mu itu, sehingga aku sudah
aniaya terhadap diriku sendiri dengan melupakan Engkau, ya Allah. Aku kira
hanya harta dan kekuasaan itu saja bahagia dan rahmat dari Engkau, rupanya itu
sama sekali belum bererti apa-apa, bila dibandingkan dengan rahmat dan nikmat-Mu
yang lainnya. Ampunilah aku ini, ya Allah! Sekarang aku insaf dan taubat, aku
akan menerima pelajaran Sulaiman dengan menganut agama Islam, iaitu agama
Engkau, ya Allah. Aku akan tunduk dan taat kepada-Mu, ya Allah, ampunilah aku,
kerana Engkau suka memberi ampun dan penerima taubat.’
Hukuman Terhadap Bani
Israel
Berkumpul dan datang silih berganti nikmat dan
rahmat Allah s.w.t atas bangsa Israel. Mereka dilepaskan Allah s.w.t dari
berbagai-bagai azab dan seksa. Diutus-Nya kepada mereka beberapa Nabi dan
Rasul, untuk melepaskan mereka dari berbagai azab dan seksa itu, bagi
membimbing mereka ke jalan yang benar, sehingga mereka dengan pimpinan para
Nabi dan Rasul itu, mendapat kemakmuran dan kemajuan yang luar biasa, penuh
dengan kehidupan yang bahagia dan senang, menjadi pemimpin di atas dunia ini.
Sungguhpun begitu mereka senantiasa berpaling juga dari jalan yang benar dan
baik tersebut.
Setiap kali mereka mendapat kecelakaan
dan kesengsaraan yang luar biasa, mereka menginginkan pimpinan dan Nabi.
Setelah mereka aman dan bahagia kembali dengan pertolongan pemimpin dari Nabi
itu, kembali mereka tidak mengakui akan Nabi tersebut, mereka lupakan segala
nikmat dan rahmat Allah s.w.t, bahkan para pemimpin dan Nabi itu banyak pula
yang mereka bunuh, lalu mereka kembali kepada kesesatan dan berbagai-bagai
kejahatan.
Kalau mereka telah tersesat dan derhaka,
mereka tidak dapat lagi dibelokkan ke arah kebenaran hanya dengan
peringatan-peringatan dan ajaran-ajaran dari Allah s.w.t saja, bagaimana pun
benarnya peringatan dan ajaran itu, mereka tetap menolaknya, bahkan mereka
ludahi. Hanya dengan seksaan jualah yang dapat membetulkan kembali tindakan
mereka. Oleh sebab itu Allah s.w.t mengirimkan berbagai-bagai seksaan, untuk
membetulkan tindakan mereka yang salah tersebut.
Sejak dahulu kala Allah s.w.t menurunkan
berbagai-bagai seksa dan azab terhadap Bani Israel. Tetapi kini mereka telah
melupakan pula akan semua azab dan seksaan Allah s.w.t itu, mereka bertindak
dengan berbagai-bagai kejahatan lagi. Kesesatan dan kejahatan itu telah
demikian rupa pula hebatnya, sehingga tidak dapat dibiarkan begitu saja. Allah
s.w.t mengutus pula kepada mereka seorang Nabi, Armiya namanya.
Nabi ini dengan seluruh tenaga dan daya
yang ada padanya, berusaha keras untuk mengembalikan segala kesesatan.
Diperingatkan oleh Nabi ini, akan ajaran-ajaran para Nabi dan Rasul yang telah
meninggal dunia. Diperingatkan kepada mereka akan ajaran-ajaran Kitab Suci yang
telah diturunkan Allah s.w.t dengan perantaraan Nabi-nabi dan Rasul-rasul itu.
Diperingatkan juga akan azab dan seksa bagi bangsa yang telah menderhaka
ajaran-ajaran yang benar itu.
‘Ingatlah kepada seksaan yang menimpa
Raja Namrud dan Firaun, ingatlah akan seksaan yang ditimbulkan oleh tentera
Sanharib yang telah menghancur leburkan negeri Babilon dan rakyatnya! Ingatlah
akan berbagai-bagai azab yang berupakan angin taufan dan hujan batu, yang
berupakan berbagai-bagai penyakit menular dan taun, yang berupakan udara yang
panas terik dan lain-lainnya!’
Demikianlah Nabi Armiya memperingatkan
kepada mereka; tetapi mereka tidak mahu mendengar dan menurutinya. Allah
s.w.t tidak akan henti-hentinya pula menurunkan seksa dan azab-Nya, selama
manusia tidak bosan-bosan berbuat kejahatan dan kesesatan. Terhadap bangsa
Israel yang sudah tidak mahu dinasihati itu, tidak ada gunanya nasihat lagi,
lalu Allah s.w.t utus kepada bangsa itu tentera yang paling kejam, yang
dipimpin oleh seorang raja dan jeneral yang hebat dan bengis, iaitu tentera
Nebukadnezar (Bakhtanassar) yang termasyhur itu.
Dari arah Timur, tentera ini menyerbu
dengan jumlah yang sangat besar, belum pernah ada tentera di dunia ini yang
lebih besar jumlahnya dari tentera Nebukadnezar ini, seakan-akan gelombang demi
gelombang, banjir demi banjir, mereka menyerbu dan terus menyerbu. Tidak ada
sebuah kekuatan pun di atas dunia ini yang dapat menghalanginya, sesiapa saja
yang melawan dibunuh mati, rumah-rumah, bangunan dan kota-kota dihancurkannya
sampai rata dengan tanah. Bangsa Israel yang masih tetap tinggal hidup, sebagai
sisa pembunuhan dan penyembelihan, semuanya dikumpulkan menjadi tawanan, lalu
dibuang jauh dari negeri mereka sendiri. Kota Baitul Maqdis dan Rumah Suci pun
disapu bersih, sehingga hilang kehormatannya sama sekali. Semua Kitab Suci
mereka bakar sampai habis.
Lama pula konon masanya Nebukadnezar
menguasai negeri Bani Israel, sampai kepada beberapa keturunan, dengan segala
kekejamannya yang tidak ada tolok bandingannya. Akhirnya kerajaan kejam ini
menjadi semakin lemah, hilang kekuatannya, sehingga tidak mampu berdiri
lagi.
Kekuasaan di seluruh Babilon dan bangsa
Israel, akhirnya dipegang oleh seorang raja yang baik hati, lemah-lembut dan
suka bergaul dengan rakyat. Dengan tenang raja ini mendidik dan mengumpulkan
serta memerintah bangsa Israel yang sudah hancur-lebur dan cerai-berai itu
menjadi suatu bangsa yang berpadu satu.
Bangsa Lupa Daratan
Kita ini adalah bangsa yang terhormat, keturunan
Nabi Yaakub dan anak cucu Nabi Daud yang maha besar. Tanah air kita adalah
Syam, yang penuh dengan sumber-sumber kekayaan. Kita adalah bangsa yang merdeka
dan kuat dahulunya. Tetapi kerana kesalahan-kesalahan kita sendiri, kita dapat
diusir musuh dari tanah air kita itu, kerana kita tidak mahu tunduk kepada
peraturan, ingin menurutkan kemahuan diri sendiri saja. Sekarang marilah kita
bersatu, mengumpulkan tenaga dan kekuatan kembali ke tanah air kita yang sudah
lama kita tinggalkan itu!
Kerana sudah mengalami benar-benar
bagaimana pahit dan getirnya terusir dari tanah air sendiri, menjadi tawanan
dan hamba belian, dengan kerja paksa yang berat dan hina-dina, maka apa yang
diucapkan oleh pemimpin itu, sangat meresap dalam kalbu dan jiwa mereka.
Dengan keinsafan inilah mereka kembali
bersama-sama ke tanah airnya sendiri, tanah Syam (Palestin). Dengan kegiatan
bekerja dan persatuan yang teguh, bangsa dan Kerajaan Israel berdirilah
meliputi tanah Syam. Mereka hidup dengan baik dan berketurunan yang banyak,
sehingga berdirilah pula kebun-kebun yang luas, kota-kota yang besar, desa-desa
yang aman dan penuh dengan kebahagiaan. Seharusnya mereka bersyukur atas semua
nikmat dan rahmat Allah s.w.t itu. Tetapi setelah hidup senang dan bahagia,
mereka kembali melupakan Allah s.w.t. Kembali menurutkan kehendak diri sendiri.
Mereka lupa akan segala pengalaman dan penderitaan mereka selama terusir; malah
masing-masing diri yang sudah senang dan kaya itu merasa sudah berkuasa dan
takkan mahu tunduk pula kepada kebenaran lagi.
Begitulah jiwa bangsa Israel itu. Dengan
senang mereka naik sesudah jatuh, tetapi dengan mudah pula mereka lupa daratan,
sehingga berbuat jahat dengan sewenang-wenang lagi. Kini mereka sudah menjadi
jahat kembali, maka tidak ada kata-kata dan ajaran yang dapat menginsafkannya
semula. Mereka hanya insaf kembali kalau sudah dikutuk dengan seksaan yang
sehebat-hebatnya.
Masyarakat mereka yang sudah mulai aman
dan bahagia, sekarang mulai kacau kembali. Penuh sesak dengan berbagai-bagai
kejahatan dan kemaksiatan. Orang-orang suci dan para Nabi yang diutus Allah
s.w.t untuk memimpin mereka, bukan hanya mereka tolak dan hinakan, bahkan
banyak pula mereka bunuh. Dua Nabi Suci yang paling mulia, iaitu Nabi Zakaria
dan Nabi Yahya menjadi korban kebiadaban mereka.
Bangsa Israel kembali menjadi bangsa yang
hauskan darah. Riwayat berulang, bukan sekali ulang, tetapi berkali-kali.
Terhadap mereka dikirim Allah s.w.t tentera kejam yang jauh lebih kejam dari
tentera Nebukadnezar, iaitu tentera Judarz. Tentera itu tanpa sebab peringatan
sama sekali, lalu menyerang seluruh negeri dan bangsa Israel dari segala
jurusan. Dengan kekuatan tentera yang jauh lebih banyak, dengan kekejaman yang jauh
lebih hebat, tanah Syam yang didiami bangsa Israel itu mereka hancur-leburkan
menjadi abu. Rakyatnya mereka sembelih dan koyak-koyak seperti harimau menerkam
mangsanya.
Bangsa dan negara Israel kembali
hancur-lebur. Sebahagian besar mereka musnah dan sebahagian kecil saja dapat
meloloskan diri dari maut, lari ke mana saja ke timur dan ke barat, tidak
keruan sama sekali. Begitulah nasibnya negara dan bangsa yang telah
mendapat cap kemarahan dari Allah s.w.t. Itu disebabkan kerana engkar akan ajaran-ajaran
Allah s.w.t, membunuh dan membinasakan para Nabi dan Rasul Allah s.w.t; dan
semua itu kerana kemaksiatan mereka yang melampaui batas, sehingga seksaan
Allah s.w.t datang melampaui batas juga hebatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan