Khamis, 4 Julai 2013

Al-Quran Menjadi Syafaat Pada Hari Akhirat


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Dari Abu Umamah ra dia berkata: ‘Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Bacalah Al-Quran, sesungguhnya dia akan datang pada hari kiamat menjadi syafaat (penolong) bagi pembacanya.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Nawwas bin Sam’an ra telah berkata: ‘Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkannya, didahului dengan surah Al-Baqarah dan surah Ali ‘Imran, kedua-duanya menjadi hujah (pembela) orang yang membaca dan mengamalkannya.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Usman bin ‘Affan ra telah berkata: ‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sebaik-baik manusia di antara kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.’ (hadis riwayat Bukhari)
Dari Aisyah ra telah berkata: ‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Orang yang membaca Al-Quran dengan terbata-bata kerana susah, akan mendapat dua pahala.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Abu Musa Al Asy’ari ra telah berkata: ‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah utrujjah (sejenis limau), baunya harum dan rasanya sedap. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah kurma, tidak ada baunya tetapi rasanya manis. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Quran seperti raihanah (jenis tumbuhan), baunya wangi tetapi rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Quran seperti buah hanzhal (seperti buah peria), tidak berbau dan rasanya pahit.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Umar bin al Khatthab ra berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya Allah s.w.t mengangkat (martabat) sebahagian orang dan merendahkan sebahagian lainnya dengan sebab Al-Quran.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Ibnu Umar ra bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda, ‘Tidak boleh iri kecuali pada dua perkara: Laki-laki yang dianugerahi (kefahaman yang sahih tentang) Al-Quran sedang dia membaca dan mengamalkannya siang dan malam, dan laki-laki yang dianugerahi harta sedang dia menginfakkannya siang dan malam.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Barra’ bin ‘Azib ra telah berkata: Seorang laki-laki membaca surah Al-Kahfi dan di sisinya ada seekor kuda yang diikat dengan dua tali panjang, tiba-tiba ada awan melindunginya dan semakin mendekat dan kudanya menjauhinya. Pagi-paginya laki-laki itu mendatangi Rasulullah s.a.w dan menceritakan peristiwa tersebut, maka baginda bersabda, ‘Itu adalah ketenangan yang turun kerana Al-Quran.’ (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dari Ibnu ‘Abbas ra beliau berkata: ‘Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Sesungguhnya orang yang tidak ada dalam dirinya sesuatu pun dari Al-Quran laksana sebuah rumah yang runtuh.’ (hadis riwayat Tarmidzi, beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Dari Abdullah bin ‘Amru bin Al ‘Ash ra bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Baca, tingkatkan, dan perindahkan bacaanmu sebagaimana kamu memperindahkan urusan di dunia, sesungguhnya kedudukanmu pada akhir ayat yang kamu baca.’ (hadis riwayat Abu Daud dan Tarmidzi, beliau berkata: Hadis ini hasan sahih)
Dari ‘Uqbah Bin ‘Amir ra berkata; ‘Rasulullah s.a.w keluar dan kami berada di beranda masjid. Baginda bersabda: ‘Siapakah di antara kalian yang tiap hari ingin pergi ke Buthan atau ‘Aqiq dan kembali dengan membawa dua ekor unta yang gemuk sedang dia tidak melakukan dosa dan tidak memutuskan hubungan silaturahmi?’ Kami menjawab, ‘Kami ingin ya Rasulullah.’ Lantas baginda bersabda, ‘Mengapa tidak pergi saja ke masjid; belajar atau membaca dua ayat Al-Quran akan lebih baik baginya dari dua ekor unta, dan tiga ayat lebih baik dari tiga ekor unta, dan empat ayat lebih baik dari empat ekor unta, demikianlah seterusnya mengikuti hitungan unta.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Ibnu Mas’ud ra bahawasannya Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Yang paling layak mengimami kaum dalam solat adalah mereka yang paling fasih membaca Al-Quran.’ (hadis riwayat Muslim)
Dari Jabir bin Abdullah ra bahawasanya; ‘Ketika Rasulullah s.a.w mengumpulkan dua mayat laki-laki di antara korban perang Uhud kemudian baginda bersabda, ‘Siapa di antara keduanya yang lebih banyak menghafal Al-Quran?’ Dan ketika ditunjuk salah satunya baginda mendahulukannya untuk dimasukkan ke dalam liang lahad.’ (hadis riwayat Bukhari, Tarmidzi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Dari Imran bin Hushoin bahawa baginda melalui seseorang yang sedang membaca Al-Quran kemudian dia berdoa kepada Allah s.w.t lalu dia kembali membaca, lantas dia berkata aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Barangsiapa yang membaca Al-Quran maka berdoalah kepada Allah s.w.t dengan Al-Quran, kerana sesungguhnya akan datang beberapa kaum yang membaca Al-Quran dan orang-orang berdoa dengannya.’ (hadis riwayat Tarmidzi, beliau berkata: Hadis ini hasan)

Dari Ibnu Mas’ud ra, Rasulullah s.a.w bersabda: ‘Barangsiapa membaca satu huruf dari Al-Quran maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan sama dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud ‘Alif, Laam, Miim’ satu huruf, melainkan Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf. (hadis riwayat Ad Darami dan Tarmidzi, beliau berkata hadis ini hasan sahih)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan