SMAHADZIR
RATUSAN tahun sebelum pakar
biologi Barat mencetuskan berbagai teori seperti evolusi, pilihan alam,
perjuangan untuk hidup (struggle for existence), serta rantai makanan,
Al-Jahiz pada abad ke 9 Masehi telah mengungkapkannya. Al-Jahiz atau nama
sebenarnya Abu Uthman Amr Ibn Bahr Al-Kinani Al-Fuqaimi Al-Basri adalah seorang
ilmuan Islam termasyhur pada abad ke 9 Masehi. Al-Jahiz merupakan sarjana Islam
tersohor serba boleh yang menguasai sastera Arab, ilmu-ilmu keislaman, biologi,
tata bahasa, sejarah, psikologi, retorika serta zoologi.
‘Al-Jahiz adalah seorang ilmuan
terhebat dan pengarang dengan gaya bahasa menakjubkan di abad ke 9 Masehi,’
puji ilmuan Barat, Christopher Dawson. Kehebatannya sebagai sasterawan agung
telah membuatkan dunia Barat mengaguminya. ‘Dia adalah salah seorang penulis
prosa terhebat dalam dunia sastera Arab klasik,’ ujar Bernard Lewis. Pujian
serupa juga diungkapkan oleh H A R Gibb dan Philip K Hitti.
Philip K Hitti yang termasyhur
dengan bukunya berjudul History of Arabs mengatakan, ‘Al-Jahiz adalah
salah seorang penulis yang produktif dan kerap dikutip para sarjana dalam
literatur Arab.’ Gibb menjuluki Al-Jahiz sebagai sasterawan yang mencetuskan
gaya prosa Arab. Semua komentar dan pujian itu menunjukkan betapa Al-Jahiz
adalah sarjana Islam fenomenal yang karyanya mampu menembusi sekat waktu dan
geografi.
Selain dikenali sebagai
sasterawan besar sepanjang masa, Al-Jahiz juga telah berjasa mengembangkan ilmu
biologi. Ratusan tahun sebelum pakar biologi Barat mencetuskan berbagai teori
seperti evolusi, pilihan alam, perjuangan untuk hidup (struggle for
existence), serta rantai makanan, Al-Jahiz pada abad ke 9 Masehi telah
mengungkapkannya. Sayangnya, buah fikirannya itu telah didakwa milik peradaban
Barat. Ironisnya, umat Islam di era moden tidak mengetahui pencapaian ilmuan
Islam di era keemasan.
Tidak hairanlah jika
sekolah-sekolah di negara Islam di dunia ini tidak mengajar tentang penemuan
penting itu kepada para pelajarnya. Para pelajar hanya diajar ilmu biologi
Barat yang telah ‘mencuri’ buah pemikiran ilmuan Islam. Akibatnya, mereka lebih
mengagumi Barat berbanding pencapaian ilmuan Islam di era kekhalifahan. Gagasan
tulen Al-Jahiz mengenai sederet teori penting dalam ilmu biologi itu,
dipaparkannya dalam buku Al-Hayawan (buku tentang binatang).
Buku Al-Hayawan
merupakan sebuah ensiklopedia zoologi yang terdiri atas tujuh jilid. Di
dalamnya, Al-Jahiz mengupas dan menguraikan lebih dari 350 jenis binatang. Buku
ini dipandang sejarawan sains sebagai karya besar dan terpenting yang telah
disumbangkan oleh Al-Jahiz bagi peradaban manusia moden. Secara khusus, Al-Jahiz
telah menguraikan teori evolusi dalam bukunya itu. Teori itu diasaskan pada
pengaruh lingkungan terhadap binatang.
Selain itu, beliau juga sudah
memikirkan kesan lingkungan terhadap keberlangsungan hidup binatang. Inilah
yang dikatakan sebagai teori struggle for existence. Dalam buku itu
juga, Al-Jahiz telah menguraikan idea pilihan alam dan rantai makanan.
‘Binatang terlibat dalam sebuah perjuangan untuk mempertahankan hidupnya;
mencari makanan, menghindar jadi mangsa, dan ber kembang biak. Faktor-faktor
lingkungan mempengaruhi organisme untuk mengembangkan karakteristik baru bagi
menjamin tetap bertahan hidup, kemudian bertransformasi menjadi spesies baru,’
demikian bunyi teori stuggle for existence yang tertulis dalam buku Al-Hayawan.
Teori-teorinya yang briliant
tentang ilmu haiwan itu membuatkan Al-Jahiz layak ditabalkan sebagai peletak
asas zoologi moden. Lalu, siapa sebenarnya Al-Jahiz itu? H A R Gibb telah
mengungkapkan bahawa Al-Jahiz adalah cucu seorang hamba berkulit hitam. Beliau
lahir di Basrah, Iraq, pada 781 Masehi. Hakikatnya, Al-Jahiz berasal dari
keluarga miskin yang kerap dililit masalah kewangan. Beliau sudah menjadi anak
yatim pada usia beberapa bulan. Kemiskinan tidak membuatkan keluarga Al-Jahiz
menyerah. Ibu mendorong puteranya untuk terus belajar. Al-Jahiz disekolahkan di
sekolah Al-Quran yang ada di tanah kelahirannya.
Kala itu, Al-Jahiz sering
berkumpul dengan sebuah perkumpulan pemuda di sebuah masjid di Basrah. Di
tempat itu, mereka mendiskusikan berbagai macam subjek ilmu pengetahuan.
Al-Jahiz kemudiannya berguru kepada sederet ilmuan. Beliau melanjutkan
pelajarannya hingga usia 25 tahun. Otaknya yang pintar dan briliant
membuatkannya mampu menguasai beragam ilmu pengetahuan. Kemahuannya yang keras
untuk menguasai beragam ilmu memicunya untuk lebih rajin membaca.
Semua tulisan dan karya-karya
penting dilahapnya, termasuk buku terjemahan Yunani dan falsafah Yunani,
khususnya buah pemikiran Aristoteles. Kemilau Baghdad sebagai metropolis
intelektual dunia juga telah menarik perhatian Al-Jahiz. Beliau lalu memutuskan
untuk berhijrah ke pusat pemerintahan Dinasti Abbasiyah itu. Salah satu tempat
pertama yang didatanginya di Baghdad adalah Bait Al-Hikmah atau House of Wisdom
- pusat kajian dan keilmuan terbesar di dunia. Beliau memanfaatkan peluang yang
diberikan para khalifah yang gemar dengan ilmu pengetahuan untuk mengembangkan
kemampuannya.
Ketika menetap di Basrah,
Al-Jahiz sudah dikenali sebagai seorang penulis. Sejak kecil, ibu beliau telah
menanamkan kecintaan terhadap buku. Alkisah, suatu hari ibu beliau telah
menawarkannya sebuah sampan penuh dengan buku-buku catatan. Ibunya lalu berkata
bahawa kelak dia akan mendapat kehidupan dari menulis. Menulis menjadi
sebahagian hidup yang tidak terpisahkan dalam kehidupan Al-Jahiz. Selama
hidupnya, dia telah mengarang lebih dari 450 judul buku. Itulah yang membuatkan
Philp K Hitti mendaulatnya sebagai salah seorang ilmuan Islam prolifik.
Sayangnya, yang masih tersisa dan bertahan menembusi ruang dan waktu hanyalah
30 judul.
Setelah 50 tahun menetap di
Baghdad, Al-Jahiz kemudian memutuskan untuk kembali ke tanah kelahirannya,
Basrah. Beliau meninggal dunia di kota itu pada Januari 869. Ada juga yang
meyakini, ilmuan ini dilahirkan pada Disember 868 Masehi. Namun, penyebab
kematiannya belum jelas. Ada sebuah riwayat yang mengatakan bahawa beliau
mengalami kemalangan, tertimbun buku di perpustakaan peribadinya. Namun, ada
sebuah versi lain mengatakan bahawa dia menderita sakit dan meninggal dunia
pada bulan Muharram.
Al-Jahiz telah mengarang banyak
buku. Buku Al-Hayawan merupakan salah sebuah karyanya yang paling
terkenal. Al-Jahiz merupakan lelaki hebat yang boleh membuktikan bahawa orang
dari keluarga miskin, bukan halangan untuk mendapat pendidikan tinggi, lebih
dari 12 abad yang lalu. Bukunya Al-Hayawan merupakan pengaruh yang hebat
dalam ilmuan Islam mahupun Eropah, seperti Lamark dan Darwin. Al-Hayawan
juga merupakan ensiklopedia tentang beragam jenis binatang yang terdiri atas
tujuh jilid. Dalam ensiklopedia itu, Al-Jahiz menulis sekitar 350 jenis haiwan.
Beliau mengungkapkan sederet teori penting dalam biologi seperti evolusi, struggle
for existence, rantai makanan, serta pilihan alam.
Buku Al-Bukhala - sebuah
kumpulan cerita tentang ketamakan. Dipaparkan dengan gaya penulisan yang humor
dan menyindir. Buku ini merupakan salah satu contoh gaya menulis prosa Al-Jahiz
yang hebat. Buku itu juga mengupas tentang psikologi manusia. Dalam buku itu,
Al-Jahiz cuba menyindir guru sekolah, pengemis, penyanyi, dan penulis yang
tamak. Buku itu dinilai sebagai karya sasteranya yang paling bagus.
Buku Al-Bayan wa Al-Tabyin pula
adalah buku tentang retorika yang ditulis Al-Jahiz. Dalam buku ini, beliau
memaparkan tentang teknik pidato, syair kepahlawanan, gaya berbicara, teknik
berdebat, serta tips-tips berkomunikasi lainnya. Manakala buku Moufakharat
al Jawari wal Ghilman - dalam bahasa Arab, kata jawari merupakan
bentuk jamak dari jariya yang bererti seorang pelayan wanita alias
gundik. Dalam buku itu, Al-Jahiz memaparkan ada dua jenis jariya. Buku
itu mengisahkan kehidupan dua jenis jariya. Sedangkan kata ghilman
merupakan bentuk jamak ghoulam atau seorang pelayan laki-laki muda. Buku
ini menarik perhatian kerana memaparkan cerita erotik masyarakat Arab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan