Hari ini hati saya ‘panas sedikit’. Sebenarnya telah
lama melihatkan keadaan ini berlaku. Semenjak ada golongan yang mengatakan
ingin mentajdid agama, dan mengatakan diri mereka sahaja yang mengikut Al-Quran
dan Sunnah. Sedih melihatkan sesama saudara Islam bertelagah darihal perkara
khilaf antara ulama. Yang seorang sibuk datangkan dalil mengatakan amalan itu
bida’ah, dan kononnya disertakan dengan takhrij hadis seolah-olah pendapatnya
sudah betul-betul benar.
Apatah lagi mempertikaikan akidah sesama umat Islam.
Saya selalu melihatkan beberapa nickname di
dalam beberapa forum yang sering mengadakan perbalahan dan ‘tidak reti bahasa’
di dalam mencari keharmonian. Perkara khilaf ulama sepatutnya kita sama-sama hormati
dan berlapang dada.
Jika tidak bersetuju dengan hujah ulama yang
membolehkan amalan bacaan Yasin 3 kali di dalam Nisfu Sya’ban terpulanglah dan
tidak perlu membida’ahkan pendapat ulama lain. Sekiranya tidak bersetuju dengan
mereka yang menerima bida’ah hasanah terpulanglah, maka kerana itu tidak perlu
berlagak juga dengan kalam ulama lain untuk menghukum sesama Islam dengan
gelaran sesat, duduk dalam neraka.
Seolah-olah hujah sudah menjadi qot’ie (secara
pasti) bahawa hujah yang dibawakan orang lain (disertakan dengan dalil dan hujah)
adalah tertolak. Hebat bila ada yang mengatakan ulama tersilap, tersalah.
Dengan kalam siapa katakan ia tersilap dan salah? Adakah dengan ilmu kita yang
tidak sampai pun sejengkal kaki ulama yang direndah-rendahkan tersebut.
Sedangkan bila dikaji semula antara para muhaddith
pun mereka ada berkhilaf tentang kekuatan darjat sesuatu hadis sebagaimana juga
ahli ilmuwan hadis seperti Albani yang ada kalanya dahulu dia mendhoiefkan hadis
yang sahih dan mensahihkan hadis yang dhoief
(ini juga telah ditegur sendiri oleh Dr Yusof al Qardhawi di dalam Feqh Muassaroh-nya).
Menghukum Saudara Islam
Masuk Neraka Dengan Khilaf Ulama
Yang hanya pandai menghukum amalan orang lain sesat,
masuk neraka. Adakah sudah pasti kita berada di mana? Adakah amalan kita
sendiri tidak sesat apabila menyesatkan sesama umat Islam yang jelas sudah
mengadakan dalil dan hujah. Tak perlu nak bicara tentang latarbelakang ilmu
orang lain. Tetapi belajar dulu akhlak di dalam berbicara.
Yang rajin benar membawakan perbahasan ulama dengan
kata ini batil, ini salah. Adakah sudah faham tentang feqh waqi’? Sedar
atau tidak siapa yang membaca di dalam artikel, yang mendengar, melihat? Ada di
antara mereka yang ingin belajar, mahu mengenal Islam, mahu melihat keindahan
ukhuwah antara sesama Islam. Tetapi apa yang telah tunjukkan dengan perasaan emosi.
Di mana diletakkan akhlak yang sudah ditunjukkan di
dalam Al-Quran dan hadis sahih? Atau letakkan di hujung-hujung kaki sahaja
kerana kononnya ilmu lebih utama? Apa dahulu tidak diajar Rasulullah bagaimana
berakhlak sesama saudara seIslam?
Memahami Perbezaan Dari
Petunjuk Sirah
Apakah tidak belajar sirah bagaimana Rasulullah
menanggapi khilaf antara sahabat? Tunjukkan bukti bahawa Rasulullah berwenang
mengatakan sesat kepada para sahabat yang berselisih faham dalam ijtihad
terutamanya ketika ada sahabat yang solat Asar sebelum bertolak dan ada yang
solat asar selepas bertolak ketika hendak menghadapi kaum Yahudi yang melanggar
perjanjian Piagam Madinah.
Sedangkan dalil-dalil sudah diberi, dan sibuk pula
mempertikaikan ulama lain. Tidak belajarkah ijtihad yang benar akan diberi 2
pahala, dan ijtihad yang yang silap diberikan 1 pahala. Lihat bagaimana ketika
ada 2 pendapat antara Saiyidina Abu Bakar dan Saiyidina Umar mengenai tebusan
Badar. Kita nak perlekehkan yang mana satu? Banyak lagi perselisihan ijtihad
dan amalan baru yang tiada pada zaman Rasulullah tetapi ada pada zaman sahabat,
tabi’ien dan tabi’ut tabi’en. Sedangkan mereka semua mengikut Al-Quran dan
Sunnah jua!! Ada sesiapa nak pertikaikan? Allahu Allah.
Bila mereka yang hebat-hebat ini mengatakan ulama
itu tersalah, tak betul, kemudian pada masa yang lain pula telah menggunakan
kalam mereka kerana ada pendapatnya yang sama dengan pendapat sendiri. Maka
adakah ini bermakna kita sedang menggunakan hawa nafsu untung menang? Maka
pendapat saya - dari belajar feqah dan hadis yang tinggi dan mendalam tetapi akhlak
tiada. Baiklah belajar akhlak dahulu. Syaitan sudah ketawa lagi. Orang yang
memusuhi Islam bergelak ketawa lagi. Sila rujuk link ini agar
sama-sama kita dapat belajar akhlak - bagaimana beradab dengan khilaf ulama.
Peringatan Ulama Islam
Tentang Golongan Pemecah-Belah
Pada sebahagian golongan, tuduhan-tuduhan ‘kafir’
dan menuduh orang lain masuk neraka lantaran tidak sealiran dengan kumpulan
mereka digembar-gemburkan sebagai perkara qot’ie yang
tidak boleh ada perbezaan pendapat di dalamnya. Mereka ini berkeyakinan
pendapat yang benar hanyalah pendapat mereka sahaja.
Sementara orang yang berpendapat di luar apa yang
mereka katakan adalah orang yang keluar dari agama, fasiq, menyimpang atau
sekurang-kurangnya tidak komitmen (taat) serta cenderung kepada memudahkan
masalah. Ramai yang dituduh tidak mencintai Rasulullah s.a.w, menghina
Islam, menghina Allah, kafir dan masuk neraka, berhati keras dan kepala batu
seperti orang-orang Arab Badwi pada masa lalu yang keras dan kasar. Malahan
lebih daripada itu banyak yang dituduh kafir, munafik, zindiq, dan musyrik.
Akhirnya kaum Muslimin pun memeraskan seluruh tenaga
dan pemikirannya dengan persoalan-persoalan ini; walaupun pada hakikatnya ia
termasuk dalam lingkungan perbezaan pendapat serta setiap mazhab dan aliran
mempunyai dalilnya masing-masing. Walau bagaimanapun jumlah masalah-masalah
yang disepakati jauh lebih banyak daripada yang diperselisihkan.
Jika dihitung masalah-masalah fekah yang berasal
dari ulama terdahulu dengan segala bentuknya, terdapat lebih daripada sejuta
masalah. Apabila dihitung peratusan perbezaan pendapat maka rasionalnya tidak
lebih daripada satu masalah pada setiap 10,000 masalah. Jadi apakah logik
(masuk akal) dan dapat diterima bahawa kita sepakat di dalam 10,000 masalah,
lalu apabila kita berbeza pendapat, setiap daripada kalangan kita menyerang
dengan ungkapan yang tajam terhadap rakannya yang seagama? Sehingga hal itu
menjadi suatu jihad tanpa peperangan. Hal seperti ini jelas hanya menggambarkan
kekosongan fikiran, malahan rendahnya penguasaan ilmu fekah dan pemahaman
terhadap agama secara keseluruhan.
Sesungguhnya benarlah apa yang pernah diungkapkan
oleh ahli hikmah bahawa penawar boleh menjadi racun jika disalahgunakan atau
jatuh ke tangan orang yang tidak ahli dalam menggunakannya. Demikianlah halnya
apa yang berlaku ada hadis yang menyeru berpegang dengan sunnah dan menjauhkan bida’ah.
Pada hakikatnya bertujuan memelihara kemurnian
ajaran Islam dan mengukuhkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam. Namun
terdapat pihak yang mengunakannya untuk membidaahkan amalan sebahagian besar
umat Islam yang sebahagiannya merupakan pendapat jumhur ulama dan yang lainnya
adalah masalah khilafiyyah di
kalangan para fuqaha’. Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan fitnah di
kalangan masyarakat Islam di mana sahaja penyakit ini merebak.
Sheikh Muhammad Zaki Ibrahim ketika menggambarkan
kesan yang ditinggalkan oleh kegiatan golongan ini terhadap keharmonian
masyarakat Islam di Mesir dalam bukunya al-Salafiyyah al-Mu’assarah, menulis: “Kita sekarang berhadapan
dengan satu gelombang taufan melanda secara membuta tuli, dengan pelbagai
dakwaan dan dakyah yang memaklumkan sebahagian besar umat Islam terkeluar
daripada agama Allah kerana mereka tidak mengikut dan berpegang dengan pendapat
yang dipegang oleh golongan berkenaan hingga memporak-perandakan keluarga, anak
menuduh bapanya kafir dan syirik, anak perempuan menderhaka kepada bapa dan
menganggapnya ahli bida’ah dan fasik. Ada juga berlaku wanita kahwin dengan
lelaki lain tanpa penceraian yang sah dengan suaminya berasaskan anggapan
bahawa perkahwinan dengan suami pertamanya tidak sah kerana dia seorang yang
kafir.’
Demikian besarnya fitnah yang ditimbulkan oleh
penyalahgunaan tafsir nas-nas syarak tanpa berpandukan huraian oleh ulama
muktabar. Hal ini memang telah diberikan peringatan oleh Rasulullah s.a.w di
dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi maksudnya: “Sesiapa
yang mentafsir Al-Quran tanpa ilmu maka bersedialah menduduki tempatnya di
dalam neraka.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan