Kes 1:
Ada seorang pelajar baru memasuki kuliah ilmu, lalu
belajarlah dia dua, tiga hadis dari gurunya. Kemudian dia sudah menghafaz sedikit
sebanyak ayat Al-Quran. Gurunya itulah satu-satunya yang dijadikan sumber
rujukan. Segala-galanya yang betul datang dari gurunya. Pasti tiada salah. Lalu
dia mula bermain dengan persoalan hukum. Sebab dirasanya diri sudah cukup ilmu
untuk berfatwa. Mana-mana yang tidak berkenan atau bercanggah dengan
pendapatnya dia mengatakan itu adalah sesat barat.
Sehinggakan habis dihukum ulama yang muktabar,
mujtahid adalah tersilap pandangan mereka. Dengan memberi alasan yang dirasanya
paling kukuh - ulama tidak maksum, berhujah mestilah mengikut dalil yang paling
sahih dan terkuat.
Malangnya - yang betul baginya adalah ulama yang dia
ikut, tetapi ulama yang lain pasti salah. Pasti salah hadisnya, dan
berkemungkinan akidah ulama itu terkeluar dari ahlu sunnah wal jama’ah. Manakala dalil yang terkuat baginya - juga
sebenarnya adalah dari apa yang dia dapat sendiri dari kitab yang dia baca.
Tentunya dalil itu juga dari ulama yang dia taksubkan.
Bermulalah era baru yang dizikirkan di bibirnya
adalah - itu haram, ini bida’ah, engkau sesat! Engaku kafir, engkau hina Islam
dan lain-lain lagi.
Kes 2:
Seorang murid, sudah diajar akhlak oleh gurunya.
Tentang adab percakapan, adab menuntut ilmu. Adab berhadapan dengan guru. Entah
di mana silapnya, tetap sahaja murid itu lancang mulutnya bila berbual dengan
gurunya. Tidak ada perasaan hormat. Bengkeng, bidas, dan sebagainya untuk
menunjukkan dirinya yang jahil itu adalah benar.
Tahu dan Faham
Zaman ini ada golongan pelajar yang bersemangat
belajar ilmu hanya untuk tahu. Tetapi dia lupa - pengetahuan yang dia ada hanya
sedikit. Akhirnya tahunya itu menjadikan ia merasa hebat. Menjadikan dirinya
terasa betul. Dia tenggelam dalam tahu tapi jahil akhlak.
Tahu sahaja tidak cukup tanpa kefahaman. Orang yang
hanya tahu gula itu manis, tidak sama dengan orang yang sudah merasai kemanisan
gula apatah lagi di mana dia perlu digunakan kemanisan gula tersebut. Allah dan
Rasul-Nya mengajar kita agar mempunyai akhlak yang baik sesama manusia, sama ada
dari segi pertuturan, perbuatan, bahkan dalam hati sendiri. Apatah lagi dengan
sesama saudara Islam. Bukankah Rasulullah s.a.w diutuskan untuk menyempurnakan akhlak,
bahkan akhlak Rasulullah itu sendiri adalah Al-Quran?
Kita diajar untuk beradab kepada guru-guru,
ustaz-ustazah, alim ulama kerana keutamaan mereka. Firman Allah s.w.t
bermaksud: “Katakanlah lagi (kepadanya): Adakah sama orang-orang yang
mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang
yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal
sempurna.” (surah az-Zumar: 9)
Bahkan di dalam urusan solat jemaah sekalipun,
diutamakan adalah orang yang lebih yang mahir bacaannya di dalam Al-Quran.
Telah dicontohkan oleh Rasulullah di s.a.w dalam peperangan Uhud, sahabat yang
lebih banyak mengambil Al-Quran didahulukan untuk dimasukkan ke dalam liang
kubur.
Dari Jabir r.a: “Sesungguhnya Nabi s.a.w telah
menghimpunkan antara dua orang lelaki dari mereka yang terbunuh di dalam
peperangan Uhud iaitu di kubur, kemudian baginda bersabda: ”Yang manakah dari
keduanya yang lebih banyak mengambil Al-Quran?” Apabila ditunjukkan kepada
salah seorang dari keduanya, baginda mendahulukan (orang yang tersebut) ke
dalam liang lahad.” (hadis riwayat Bukhari)
Hakikat Ilmu Yang Kita Ada
Adab sebagai pelajar, jika ilmu masih sedikit
(hakikatnya ilmu manusia tiada yang banyak melainkan Allah yang empunya ilmu),
masih bertatih tahulah berakhlak. Sedangkan para ulama yang faqih, berkelana di
bumi Allah untuk mencari ribuan guru, bahkan menulis kitab-kitab yang menjadi
rujukan hingga kini amat menjaga akhlak sesama guru dan ulama yang lain.
Sehinggakan sifat yang tercerna dari diri mereka menjadi ikutan bagi ulama yang
takutkan Allah.
Firman Allah s.w.t, bemaksud: “Sebenarnya yang
menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya
hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.”
(surah al-Fatir: 28)
Oleh itu, jika para ulama yang hebat ilmunya itu
sendiri amat menjaga tutur katanya, tidak bermudah-mudah berhukum dengan apa
yang tidak mereka ketahui. Mengapa kita sendiri yang amat sedikit ilmu tidak
belajar untuk merendahkan diri? Adakah akhlak itu tidak termasuk di dalam halal
dan haram di dalam perhubungan sesama manusia? Sudah bolehkah kita berlaku
sombong dengan ilmu yang sedikit sedangkan kita lupa ilmu yang kita ada juga
boleh ditarik pada bila-bila masa?
Ilmu tanpa akhlak menunjukkan kita sendiri menghina
ilmu yang diberi oleh Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan