Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Penyakit mabuk cinta (al isyq) akan menimpa
orang-orang yang hatinya kosong dari rasa mahabbah (cinta) kepada Allah s.w.t,
selalu berpaling dari-Nya dan dipenuhi kecintaan kepada selain-Nya. Hati yang
penuh cinta kepada Allah s.w.t dan rindu bertemu dengan-Nya pasti akan kebal
terhadap serangan virus ini, sebagaimana yang terjadi terhadap Nabi Yusuf ‘a.s,
‘Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan
Yusuf, dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andai kata
dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, agar Kami memalingkan
daripadanya kemungkaran dan kekejian. Sesungguhnya Yusuf pun termasuk
hamba-hamba Kami yang terpilih.’ (surah Yusuf: 24).
Nyatalah bahawa ikhlas merupakan imunisasi
ampuh atau mujarab yang dapat menolak virus ini dengan berbagai kesan
negatifnya, berupa perbuatan buruk dan keji. Ertinya, memalingkan seseorang
dari kemaksiatan harus dengan menjauhkan berbagai sarana yang menjurus ke arah
itu.
Berkata ulama salaf, ‘Penyakit cinta adalah
getaran hati yang kosong dari segala sesuatu selain apa yang yang dicinta dan
dipujanya. Allah s.w.t berfirman mengenai bonda Nabi Musa a.s, ‘Dan menjadi
kosonglah hati ibu Musa. Sesungguhnya hampir saja ia menyatakan rahsia tentang
Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, supaya ia termasuk orang-orang
yang percaya (kepada janji Allah s.w.t).’ (surah Al Qashash: 10).
Yakni kosong dari segala sesuatu, kecuali
Musa; kerana sangat cintanya kepada Musa dan bergantung hatinya kepada Musa.
Bagaimana Virus Ini Boleh Berjangkit?
Penyakit al isyq terjadi kerana dua sebab iaitu:
Pertama:
Kerana menganggap indah apa yang dicintainya.
Kedua:
Perasaan ingin memiliki apa yang dicintainya.
Jika salah satu dari dua faktor ini tidak
ada, nescaya virus tidak akan berjangkit. Walaupun penyakit kronik ini telah
membingungkan ramai orang dan sebahagian pakar berusaha memberikan terapinya,
namun solusi yang diberikan belum bgitu ampuh.
Makhluk Diciptakan Saling Mencari Yang Sesuai Dengannya
Berkata Ibnu Al Qayyim, ketetapan Allah s.w.t dengan
hikmah-Nya menciptakan makhluk-Nya dalam keadaan saling mencari yang sesuai
dengannya. Secara fitrah saling tertarik dengan jenisnya, dan sebaliknya akan
menjauh dari yang berbeza dengannya.
Rahsia adanya pencampuran dan kesesuaian di
alam roh, menyebabkan adanya keserasian serta kesamaan, sebagaimana adanya
perbezaan di alam roh akan berakibat tidak adanya keserasian dan kesesuaian.
Dengan cara inilah tegaknya urusan manusia.
Allah s.w.t berfirman, ‘Dialah Yang
menciptakan kamu dari diri yang satu dan daripadanya Dia menciptakan isterinya,
agar dia merasa senang kepadanya.’ (surah Al A’raf: 189).
Dalam ayat ini Allah s.w.t menjadikan sebab
perasaan tenteram dan senang seorang lelaki dan bentuknya. Jelaslah faktor
pendorong cinta tidak bergantung dengan kecantikan rupa. Tidak juga kerana
adanya kesamaan dalam tujuan dan keinginan, ataupun kesamaan bentuk dan dalam
mendapat petunjuk. Pun demikian tidak dinafikan, bahawa hal-hal ini merupakan
salah satu penyebab ketenangan dan timbulnya cinta.
Rasulullah s.a.w pernah mengatakan dalam
sebuah hadis, ‘Roh-roh itu ibarat tentera yang saling berpasangan, yang saling
mengenali sebelumnya akan bersatu dan yang saling mengingkari akan berselisih.’
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam Musnad Imam Ahmad diceritakan, bahawa asbabul
wurud hadis ini iaitu ketika seorang wanita penduduk Mekah yang selalu
membuat orang hijrah ke Madinah tertawa, ternyata dia tinggal dan bergaul
dengan wanita yang sifatnya sama sepertinya. Iaitu senang membuat orang
tertawa. Lantaran itulah Rasulullah s.a.w mengucapkan hadis ini.
Lantaran itulah syariat Allah s.w.t menghukum
sesuatu sesuai jenisnya. Mustahil syariat menghukumi dua hal yang sama dengan
perlakuan yang berbeza atau mengumpulkan dua hal yang kontradiktif. Barang
siapa yang berpendapat lain, maka jelaslah minimanya ilmu pengetahuannya
terhadap syariat ini atau kurang memahami kaedah persamaan dan sebaliknya.
Penerapan kaedah ini tidak saja berlaku di dunia.
Lebih dari itu akan diterapkan juga di akhirat. Allah s.w.t berfirman, ‘(Kepada
malaikat diperintahkan), ‘Kumpulkanlah orang-orang yang zalim bersama teman
sejawat mereka dan sembahan-sembahan yang selalu mereka sembah.’’ (surah Ash
Shaffat: 22).
Khalifah Umar Ibnu Khattab dan selepasnya
Imam Ahmad pernah berkata mengenai tafsiran azwajahum yakni yang sesuai
dan mirip dengannya. Allah s.w.t juga berfirman, ‘... dan apabila jiwa
(roh-roh) dipertemukan.’ (surah At Takwir: 7). Yakni setiap orang akan digiring
beserta dengan orang-orang yang sama perilakunya. Allah s.w.t akan menggiring
sesama orang-orang yang saling mencintai kerana-Nya ke dalam syurga, dan
orang-orang yang saling berkasih-kasihan di atas jalan syaitan digiring ke
neraka jahim.
Mahu tidak mahu, maka setiap orang akan
digiring dengan siapa yang dicintainya. Di dalam Mustadrak Al-Isyq Hakim
disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Tidaklah seseorang mencintai
suatu kaum, kecuali akan digiring bersama mereka kelak.’ (Hadis riwayat Ahmad)
Cinta Dan Jenis-Jenisnya
Cinta memiliki berbagai jenis dan tingkatan. Yang
tertinggi dan paling mulia ialah mahabbatu fillah wa lillah (cinta
kerana Allah dan di dalam agama Allah). Iaitu cinta yang mengharuskan mencintai
apa-apa yang dicintai Allah s.w.t, dilakukan berlandaskan cinta kepada Allah s.w.t
dan Rasul-Nya.
Cinta berikutnya adalah cinta yang kerana
adanya kesamaan dalam cara hidup, agama, madzhab, ideologi, hubungan
kekeluargaan, profesion dan kesamaan dalam hal-hal lainnya. Di antara jenis
cinta lainnya, yakni cinta yang motifnya kerana ingin mendapatkan sesuatu dari
yang dicintainya, baik kerana kedudukan, harta, pengajaran dan bimbingan,
ataupun keperluan biologi.
Cinta yang didasari hal-hal seperti tadi -
iaitu al mahabbah al ‘ardiyah - akan hilang bersama hilangnya apa yang
ingin diperolehi dari orang yang dicintainya. Yakinlah, bahawa orang yang
mencintaimu kerana sesuatu, akan meninggalkanmu ketika telah memperolehi apa
yang diinginkan darimu.
Adapun cinta lainnya, iaitu cinta kerana
adanya kesamaan dan kesesuaian antara yang menyinta dan yang dicinta. Mahabbah
al isyq termasuk cinta jenis ini. Tidak akan sirna kecuali jika ada sesuatu
yang menghilangkannya. Cinta jenis ini, iaitu berpadunya roh dan jiwa. kerana itu tidak terdapat pengaruh yang
begitu besar baik berupa rasa was-was, hati yang gundah-gulana mahupun
kehancuran kecuali pada cinta jenis ini.
Timbul pertanyaan, bahawa cinta ini merupakan
bertemunya ikatan batin dan roh, tetapi mengapa ada cinta yang bertepuk sebelah
tangan? Bahkan kebanyakan cinta seperti ini hanya sepihak dari orang yang
sedang kasmaran saja? Jika cinta ini perpaduan antara jiwa dan roh, maka
tentulah cinta itu akan terjadi antara kedua belah pihak dan bukan sepihak
saja?
Jawabnya ialah, bahawa tidak terpenuhinya
hasrat disebabkan kurangnya syarat tertentu. Atau adanya penghalang sehingga
tidak terealisasikan cinta antara keduanya. Hal ini disebabkan oleh tiga faktor
iaitu:
Pertama:
Cinta ini sebatas cinta kerana adanya kepentingan. kerana itu tidak mesti keduanya saling
mencintai. Kadang-kadang yang dicintai lari darinya.
Kedua:
Adanya penghalang sehingga seseorang tidak dapat
mencintai orang yang dicintainya, sama ada kerana adanya cela dalam akhlak,
bentuk rupa, sikap dan faktor lainnya.
Ketiga:
Adanya penghalang dari pihak orang yang dicintai. Jika
penghalang ini dapat disingkirkan, maka akan terjalin benang-benang cinta
antara keduanya. Kalau bukan kerana kesombongan, hasad, cinta kekuasaan dan
permusuhan dari orang-orang kafir, nescaya para rasul-rasul akan menjadi orang
yang paling mereka cintai lebih dari cinta mereka kepada diri, keluarga dan
harta.
Terapi Penyakit Al-Isyq
Sebagai salah satu jenis penyakit, tentulah al-isyq
boleh disembuhkan dengan terapi-terapi tertentu. Di antara terapi tersebut
ialah:
Pertama:
Jika terdapat peluang bagi orang yang sedang kasmaran
tersebut untuk meraih cinta orang yang dikasihinya dengan ketentuan syariat dan
surahan takdirnya, maka inilah terapi yang paling utama. Sebagaimana terdapat
dalam hadis riwayat Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Hai
sekalian pemuda, barangsiapa yang mampu untuk menikah, maka hendaklah dia
menikah. Barangsiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa. Kerana puasa
dapat menahan dirinya dari ketergelinciran (kepada perbuatan zina).’
Hadis ini memberikan dua solusi, utama dan
pengganti. Solusi utama dalah menikah. Jika solusi ini boleh dilakukan, maka
tidak boleh mencari solusi lain. Ibnu Majah meriwayatkan dari Ibnu Abbas,
bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, ‘Aku tidak pernah melihat ada dua orang yang
saling mengasihi selain melalui jalur pernikahan.’
Inilah tujuan dan anjuran Allah s.w.t untuk
menikahi wanita, baik yang merdeka ataupun hamba dalam firman-Nya, ‘Allah s.w.t
hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah.’
(surah An Nisa: 28).
Allah s.w.t menyebutkan dalam ayat ini
keringanan yang diberikan terhadap hamba-Nya. Dan Allah s.w.t mengetahui
kelemahan manusia dalam menahan syahwatnya, sehingga memperbolehkan para wanita
yang baik-baik dua, tiga, ataupun empat. Sebagaimana Allah s.w.t memperbolehkan
mendatangi hamba-hamba wanita mereka. Sehingga Allah s.w.t membuka bagi mereka
pintu untuk menikahi hamba-hamba wanita jika mereka memerlukannya sebagai
peredam syahwat. Demikianlah keringanan dan rahmat-Nya terhadap makhluk yang
lemah ini.
Kedua:
Jika terapi pertama tidak dapat dilakukan akibat
tertutupnya peluang menuju orang yang dikasihinya kerana ketentuan syar’i dan
takdir, maka penyakit ini boleh semakin ganas. Adapun terapinya harus dengan
meyakinkan pada dirinya, bahawa apa-apa yang diimpikannya mustahil terjadi.
Lebih baik baginya untuk segera melupakannya.
Jiwa yang telah memutus harapan untuk mendapatkan sesuatu, nescaya akan tenang
dan tidak lagi mengingatnya. Jika ternyata belum dapat dilupakan, boleh
mempengaruhi keadaan jiwanya hingga semakin menyimpang jauh. Dalam keadaan
seperti ini wajib baginya untuk mencari terapi lain.
Ketiga:
Dengan mengajak akalnya berfikir, bahawa menggantungkan
hatinya kepada sesuatu yang mustahil dijangkaunya itu ibarat perbuatan gila.
Ibarat pungguk merindukan bulan. Bukankah orang akan menganggapnya termasuk ke
dalam kumpulan orang-orang yang tidak waras?
Apabila kemungkinan untuk mendapatkan apa
yang dicintainya terhalang kerana larangan syariat, maka terapinya ialah dengan
menganggap bahawa yang dicintainya itu bukan ditakdirkan menjadi miliknya.
Jalan keselamatan iaitu dengan menjauhkan dirinya dari orang yang dicintainya.
Dia harus merasa bahawa pintu ke arah yang diinginkannya tertutup, dan mustahil
tercapai.
Jika ternyata jiwanya yang selalu menyuruhnya
kepada kemungkaran masih tetap menuntut, handaklah dia mahu meninggalkannya
kerana dua perkara iaitu, pertama, kerana takut (kepada Allah s.w.t). Iaitu
dengan menumbuhkan perasaan bahawa ada hal yang lebih layak dicintai, lebih
bermanfaat, lebih baik dan lebih kekal.
Seseorang yang berakal jika menimbang-nimbang
antara mencintai sesuatu yang cepat sirna dengan sesuatu yang lebih layak untuk
dicintai, lebih bermanfaat, lebih kekal dan lebih nikmat, tentu akan memilih
yang lebih tinggi darjatnya. Jangan sampai kamu menggadaikan kenikmatan abadi
yang tidak terlintas dalam fikiran kamu dan menggantikannya dengan kenikmatan
sesaat yang segera berbalik menjadi sumber penyakit.
Ibarat orang yang sedang bermimpi indah,
ataupun berkhayal terbang melayang jauh, maka ketika tersedar ternyata hanyalah
mimpi dan khayalan. Akhirnya sirnalah segala keindahan semu. Yang tertinggal
hanyalah keletihan, hilang nafsu dan kebinasaan menunggu.
Kedua, keyakinan bahawa risiko yang sangat
menyakitkan akan ditemuinya jika gagal melupakan yang dikasihinya. Dia akan
mengalami dua hal yang menyakitkan sekaligus. Iaitu gagal mendapatkan kekasih
yang diinginkannya, serta bencana menyakitkan dan siksa yang pasti akan menimpanya.
Jika yakin bakal mendapatkan dua hal
menyakitkan ini, nescaya akan mudah baginya meninggalkan perasaan ingin
memiliki yang dicinta. Dia akan berfikir, bahawa sabar menahan diri itu lebih
baik. Akal, agama, harga diri dan kemanusiaannya akan memerintahkannya untuk
bersabar, demi mendapatkan kebahagiaan abadi. Sementara kebodohan, hawa nafsu,
kezalimannya akan memerintahkannya untuk mengalah mendapatkan apa yang
dikasihinya. Sungguh, orang yang terhindar ialah orang-orang yang dipelihara
oleh Allah s.w.t.
Keempat:
Jika hawa nafsunya masih tetap degil dan tidak menerima
terapi tadi, maka hendaklah berfikir mengenai kesan negatif dan kerosakan yang
akan ditimbulkannya segera, dan kemaslahatan yang akan gagal diraihnya. Sebab
mengikuti hawa nafsu boleh menimbulkan kerosakan dunia dan menepis kebaikan
yang bakal diterimanya. Lebih parah lagi, dengan memperturuntukan hawa nafsu
ini akan menghalangnya untuk mendapat petunjuk yang merupakan kunci kejayaan
dan kemaslahatannya.
Kelima:
Jika terapi ini tidak mempan juga untuknya, hendaklah dia
selalu mengingat aspek-aspek keburukan kekasihnya dan hal-hal yang dapat
membuatkannya menjauh darinya. Jika dia mahu mencari-cari keburukan yang ada
pada kekasihnya, nescaya dia akan mendapatkannya lebih dominan daripada keindahannya.
Hendaklah dia banyak bertanya kepada
orang-orang yang berada di sekeliling kekasihnya tentang berbagai keburukan
yang belum diketahuinya. Sebab, sebagaimana kecantikan sebagai faktor pendorong
seseorang untuk mencintai kekasihnya, maka demikian juga keburukan merupakan
pendorong kuat agar dapat membenci dan menjauhinya.
Hendaklah dia mempertimbangkan dua aspek ini
dan memilih yang terbaik baginya. Jangan terpedaya kerana kecantikan kulit, dan
membandingkannya dengan orang yang terkena penyakit sopak atau kusta. Tetapi
hendaklah dia memalingkan pandangannya kepada kejelekan sikap dan perilakunya.
Hendaklah dia mentutup matanya dair kencantikan fizikal dan melihat kepada
kejelekan yang diceritakan mengenai hatinya.
Keenam:
Jika terapi ini masih saja tidak mempan baginya, maka
terapi terakhir iaitu mengadu dan memohon dengan jujur kepada Allah s.w.t
penolong orang-orang yang ditimpa musibah jika memohon kepada-Nya. Hendaklah
dia menyerahkan jiwa sepenuhnya di hadapan kebesaran-Nya sambil memohon, merendahkan
dan menghinakan diri.
Jika dia dapat melaksanakan terapi akhir ini,
maka sesungguhnya dia telah membuka pintu taufik (pertolongan Allah s.w.t).
Hendaklah dia berbuat iffah (menjaga diri) dan menyembunyikan
perasaannya. Jangan menjelek-jelekkan kekasihnya dan mempermalukannya di
hadapan manusia ataupun menyakitinya. Sebab hal tersebut merupakan kezaliman
dan melampaui batas.
Demikianlah kiat-kiat khusus untuk
menyembuhkan penyakit ini. Namun ibarat kata pepatah, mencegah lebih baik
daripada mengubati. Sebelum terkena virus ini, maka lebih baik menghindar.
Bagaimana cara mengindarinya? Tidak lain, iaitu dengan tazkiyatun nafs
(pembersihan jiwa).
Wallhualam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan