Budi bahasa dan
nilai-nilai murni adalah sesuatu yang amat perlu dalam kehidupan
manusia. Budi bahasa dan nilai-nilai murni ini perlu diperkenalkan sejak
di bangku sekolah lagi. Jika dilihat fenomena melata pada hari ini,
kelunturan budi bahasa dan nilai-nilai murni begitu ketara
sekali. Fenomena ’murid buli murid’ dan ’murid pukul guru’ adalah petunjuk
kepada fenomena tersebut.
Setiap warga
sekolah perlulah menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni sebagai budaya
atau trade mark sekolah mereka. Dalam
melaksanakan budi bahasa dan nilai-nilai murni di sekolah, imej diri yang
positif dalam cara berfikir dan bertindak, melahirkan perasaan dan pertuturan
yang menunjukkan kemurnian budi bahasa dan nilai-nilai murni. Setiap warga
sekolah hendaklah berusaha untuk melahirkan sekolah berwatakkan budi bahasa dan
nilai-nilai murni. Budi bahasa dan nilai-nilai murni yang dijelmakan di
sekolah akan memberi manfaat dan faedah kepada semua pihak.
Dalam menentukan kecapaian
misi dan visi sesebuah sekolah, budi bahasa dan nilai-nilai murni seharusnya
menjadi asas dan tunjangnya. Berbagai program dan aktiviti boleh dirancang
untuk menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni berakar umbi dan menjadi
budaya di sekolah. Kempen-kempen, seminar, kem-kem boleh diberi imej dan
pengolahan baru dalam menjayakan hasrat melahirkan pelajar yang berbudi bahasa
dan hidup berdasarkan nilai-nilai murni yang disepakati. Disamping itu
juga, sokongan dan dokongan yang kuat seluruh warga sekolah akan mempercepatkan
usaha-usaha murni yang diidamkan dan dicita-citakan ini.
Pengenalan
Dalam era pelbagai
pembangunan yang begitu hebat dirancang, seperti pembangunan ekonomi,
infrastruktur dan kualiti hidup, seharusnya merancang pembangunan budi bahasa
dan nilai-nilai murni juga perlu diselarikan. Budi bahasa dan nilai-nilai
murni amat dititikberatkan dalam masyarakat Malaysia dan Melayu khususnya,
Kata-kata puitis yang begitu kaya dalam masyarakat kita sudah cukup membuktikan
hasrat dan cita-cita masyarakat dan pemimpin kita, antaranya:
Yang kurik itu
kendi,
Yang merah itu
saga,
Yang baik it budi,
Yang indah itu
bahasa.
Ianya diperkuatkan
lagi dengan kata-kata puitis di bawah, yang cukup jelas menggambar budaya hidup
masyarakat kita yang begitu halus akal budinya.
Tegak rumah kerana
sendi,
Runtuh sendi rumah
binasa,
Send bangsa ialah
budi,
Runtuh budi,
runtuhlah bangsa.
Dalam memenuhi
hasrat negara melahirkan warga negara minda kelas pertama yang berteraskan
modal insan, aspek budi bahasa dan nilai-nilai murni tidak boleh
dikesampingkan. Institut integriti Malaysia (IIM) telah melancarkan Pelan
Integriti Nasional (PIN) dalam memenuhi cabaran keempat, wawasan 2020 iaitu .’....membentuk
sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya dengan para warganya
mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi
pekerti yang luhur...’ sebagai usaha sokongan untuk melahirkan masyarakat
maju yang berintegriti dengan bertunjangkan budi bahasa dan nilai-nilai murni.
Mantan Perdana
Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, ketika
melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni pada 11 Januari 2005
menegaskan, ’Pada hemat saya, dalam kesibukan kita sehari-hari, kita mungkin
semakin lupa memupuk ciri-ciri keperibadian luhur, baik untuk diri kita sendiri
ataupun untuk anak-anak kita. Sebelum budaya masyarakat kita merosot lagi,
kita harus sedar dan mempelajari serta mempraktikkan semula budi bahasa dan
nilai-nilai murni warisan kita. Usaha ini harus dimulakan pada peringkat
diri sendiri, peringkat keluarga dan pada peringkat masyarakat amnya..’
menggambarkan kebimbangan beliau terhadap fenomena baru yang negatif ini.
Datuk Seri Utama
Dr. Rais Yatim, Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dalam ucapan
aluan di Majlis Pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni,
menjelaskan sasaran kempen tersebut yang meliputi institusi pendidikan formal
antaranya: ’Kempen ini akan memberi tumpuan kepada pemupukan dan penghayatan
budi bahasa dan nilai-nilai murni di semua lapisan masyarakat, dari murid
hingga ke pensyarah, dari petani hingga ke pegawai daerah.’ Ini menunjukkan
usaha-usaha membina jati diri bangsa berasaskan budi bahasa dan nilai-nilai
murni diberi perhatian oleh semua golongan, termasuk pimpinan tertinggi negara.
Lagipun, Islam
adalah agama yang sangat mementingkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Lihat
sahaja kepada ayat 148, surah An-Nisa' yang membawa maksud: ‘Allah tidak suka
kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk
mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan
(ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.’
Manakala sebuah
hadis dari Aisyah r.a. pula membawa maksud: ’Sesungguhnya Rasulullah s.a.w
bersabda: Wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut, Dia suka akan
kelembutan. Allah akan memberikan balasan dari kelembutan yang tidak diberikan
ke atas sikap keras dan kasar serta selainnya.’ (Sahih Muslim).
Definisi Budi Bahasa Dan Nilai-Nilai Murni
Mengikut Kamus
Dewan Edisi Keempat, budi ditakrifkan sebagai kebajikan, bahasa sebagai sistem
lambang yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok
manusia. Berkenaan dengan budi Dato Dr Hassan Ahmad ada berkata: ‘Makna
perkataan budi ini luas, tidak terhad pada makna yang berkaitan dengan tingkah
laku atau pekerti manusia sahaja, tetapi mencakup seluruh aspek tindakan,
perbuatan dan pemikiran manusia yang melahirkan, mengaturkan dan menentukan
peradaban atau tamadun manusia. Istilah lain yang boleh kita samakan maknanya
dengan perkataan budi adalah adab atau budaya.’
Menurut Clyde
Kluckhohn, nilai adalah suatu standard yang agak berkekalan dari segi masa,
atau dalam pengertian yang luas, suatu standard yang mengaturkan satu sistem
perlakuan. Beliau juga menaktifkan nilai sebagai satu preference, iaitu sesuatu yang lebih disukai, baik mengenai
hubungan sosial, mahupun mengenai matlamat-matlamat serta ikhtiar untuk
mencapainya.
Wan Mohd.
Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai: ’Nilai-nilai murni merupakan
tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga
menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya
diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk
kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia.’ (Wan Mohd.
Zahid, 1988)
Budi bahasa dan
nilai-nilai murni boleh disimpulkan sebagai budi pekerti, tingkahlaku, perangai
atau perlakuan yang diamalkan seseorang semasa berinteraksi dengan orang lain
berdasarkan neraca atau nilai baik yang disepakati bersama. Budi bahasa juga
menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi seseorang atau
sesuatu bangsa.
Kenapa Perlunya Budi Bahasa dan Nila-Nilai Murni Dibudayakan
Di Peringkat Sekolah
Budi bahasa dan
nilai-nilai murni perlu ditekankan di peringkat sekolah atau peringkat kecil
lagi kerana pada peringkat ini adalah peringkat peniruan tingkahlaku.Pada
peringkat kecil atau persekolahan, pelajar amat mudah dibentuk kerana merujuk
kepada apa yang pernah diungkapkan oleh ulamak terkenal Nusantara, Dr.
Hamka, ’Hendaklah adab sopan anak-anak dibentuk sejak kecil kerana ketika kecil
mudah membentuk dan mengasuhnya. Belum dirosakkan oleh adat kebiasaan yang
sukar ditinggalkan.’ Imam Al-Ghazali pula menegaskan, ‘Anak-anak
bagaikan permata yang boleh dibentuk mengikut kehendak pengukirnya.’
Sekolah adalah
kilang yang sesuai untuk memproses dan menghasilkan pelajar yang berbudi bahasa
dan mempunyai nilai-nilai murni. Institusi pendidikan seperti sekolah adalah
sebaik-baik tempat untuk mendidik dan membentuk budi bahasa dan nilai-nilai
murni.
Merealisasikan Hasrat Melahirkan Pelajar Berakhlak Mulia
Di Sekolah
Tanggungjawab Siapa
Dalam usaha
merealisasikan hasrat melahirkan pelajar berakhlak mulia di sekolah, seluruh
warga sekolah dan institusi yang berkaitan dengan sekolah perlu digerakkan dan
diselaraskan gerak kerjanya. Di antara pihak yang perlu digembeling tenaga
ialah:
i. Guru-guru
ii. Murid-murid
iii. Kakitangan
sekolah
iv. Persatuan
Ibu bapa dan Guru (PIBG)
i) Guru
Guru-guru adalah
komponan penting dalam merealisasikan hasrat ini. Guru-guru perlu menjadi
contoh dan teladan kepada pelajar-pelajar mereka. Guru sebagai nukleus
perubah akhlak dan budi bahasa pelajar telah ditegaskan oleh Ketua Pengarah Pelajaran
Malaysia dalam perutusan Perayaan Hari Guru 2007 yang bertemakan ’Guru Penjana
Modal Insan Gemilang’ dengan katanya: ’Dalam usaha menyuntik nilai murni kepada
murid, guru perlu terlebih dahulu menjadi contoh pengamal dan pemelihara
nilai-nilai tersebut. Ini adalah kerana tutur kata dan tindak tanduk guru
menjadi perhatian dan rujukan murid, ibu bapa dan masyarakat. Oleh itu, guru
harus memiliki peribadi yang cemerlang dan menjadi teladan atau role
model terbaik kepada anak didik dan masyarakatnya. Guru sebagai ibu
bapa kedua berperanan mencorak masa depan murid. Sikap proaktif, berdaya
saing, bersemangat kental, berakhlak mulia dan ketrampilan diri perlu menjadi
amalan dan budaya kerja. Hanya guru yang versatile dapat menghasilkan
generasi murid yang berkualiti iaitu murid yang mampu mencipta kelainan, mampu
memberi sumbangan bermakna kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara serta
mampu menjadi modal insan yang gemilang...’
Kakitangan Sekolah
Satu lagi golongan
penting dalam membantu merealisasikan hasrat melahirkan pelajar berakhlak mulia
ialah kakitangan sekolah bukan guru. Mereka juga perlu memahami dan menghayati
misi dan visi sekolah serta hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia untuk
melahirkan pelajar berakhlak mulia. Mereka juga menjadi cermin dan rujukan
pelajar selama berada di sekolah. Oleh itu amat penting kakitangan sekolah
juga mempastikan mereka berakhlak mulia dengan berbudi bahasa dan menghayati
nilai-nilai murni yang dihayati bersama.
Pelajar-Pelajar
Golongan pelajar
adalah golongan sasar dalam merealisasi hasrat ini. Kesediaan pelajar
perlu ada untuk merubah akhlak mereka. Mereka perlu difahamkan kepentingan
perubahan ini dengan perkongsian misi dan visi sekolah serta hasrat Kementerian
Pelajaran Malaysia. Halangan yang berlaku perlu dihadapi demi
merealisasikan usaha murni ini.
Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG)
PIBG adalah ases
yang cukup baik antara guru dengan ibu bapa. Ibu bapa perlu membantu
hasrat sekolah demi masa depan anak-anak mereka. Ibu bapa adalah cerminan
pelajar sewaktu di rumah. Visi dan misi sekolah dalam melahirkan pelajar
berakhlak mulia perlu dikongsi bersama antara sekolah dan ibu bapa melalui
PIBG.Tindakan seiring sejalan antara sekolah dan PIBG perlu
dipereratkan. Tindakan sederap cukup penting supaya tiada pihak yang
memandang rendah dan mengabaikan aspek yang penting ini. Penglibatan ibu
bapa dalam semua program sekolah perlu diberi perhatian oleh PIBG.
Asas Dalam Merealisasikan Hasrat Melahirkan Pelajar Berakhlak
Mulia Di Sekolah
Pelajar yang
berakhlak mulia boleh dilahirkan dengan melihat kepada asas-asas
pembinaannya. Secara umumnya, seorang cendikiawan, Ibnu Maskawaih
dalam penulisannya Tahdzub Al-Akhlaq menyenaraikan
perkara-perkara yang menjadi asas kepada perubahan seseorang, iaitu:
i) Mencari teman yang baik
ii) Selalu muhasabah diri
iii) Tidak mengikut dorongan hawa nafsu
iv) Berterusan melakukan kebaikan
v) Berusaha meningkatkan diri melalui
kelemahan diri
Budaya kemesraan
dan sayang-menyayangi adalah dua teras utama yang perlu dalam membina akhlak
mulia pelajar. Hubungan yang mesra antara guru dan murid, guru dan ibubapa
serta sayang-menyayangi antara satu sama lain ádalah mekanisme penting dalam
pembinaan akhlak dan budi bahasa. Dua teras ini perlu dilihat secara
bertanggungjawab dan serius, jika ingin melihat palajar yang dilahirkan
berakhlak mulia.
Sikap ambil tahu
merupakan satu lagi budaya yang perlu wujud untuk menjayakan hasrat melahirkan
pelajar berakhlak mulia. Kadangkala berlaku ibubapa yang menyerahkan
sepenuhnya anak kepada sekolah tanpa mengambil tahu perkembangan akademik
anak-anak mereka. Bagi mereka, apabila yuran sekolah telah dibayar dan
kelengkapan persekolahan mencukupi, maka terlepaslah tugas menghantar anak ke
sekolah. Kadangkala terdapat juga ibubapa yang tidak mengetahui bilakah
Mesyuarat Agung PIBG, Hari Anugerah, Hari Penyerahan Rekod Prestasi anak-anak
mereka. Budaya ambil tahu patut terus dipromosikan supaya pelajar-pelajar
berakhlak mulia dapat dijelmakan walaupun menghadapi berbagai cabaran.
Jawatankuasa Pendidikan
Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang
terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara kita, tidak hanya
memfokuskan kepada agama Islam sahaja. Berasaskan kepada pandangan dan
maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil
pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada
semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan
menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak. Di antara 16
nilai yang boleh diajar ialah baik hati, berdikari, hemah tinggi, hormat
menghormati, kasih sayang, keadilan, kebebasan, keberanian, kebersihan fizikal
dan mental, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesedaran, kesyukuran,
rasional dan semangat bermasyarakat.
Di sekolah
penerapan nilai murni boleh disepadukan melalui:
a. Secara
pertuturan
b. Secara perlakuan
c. Secara teladan
d. Secara isyarat
e. Secara kefahaman
f. Secara
interpretasi
g. Secara
konteksual
Program dan Aktiviti Dalam Merealisasikan
Hasrat Melahirkan Pelajar Berakhlak Mulia Di Sekolah
Penekanan Akhlak Mulia Merentasi Kurikulum Dan
Kokurikulum
Setiap guru mata
pelajaran perlu difahamkan bahawa akhlak mulia yang dihasratkan perlulah
merentasi kurikulum.Semua guru perlu sedar bahawa akhlak mulia perlu ditekankan
semasa pengajaran dan pembelajaran. Dalam semua pelajaran yang diajar,
akhlak mulia tidak boleh diketepikan. Jika boleh apa saja bahan yang
dibekalkan kepada pelajar berasaskan kepada unsur-unsur pemurnian akhlak. Pangajaran
dan pembelajaran tidak dapat berjalan sejajar dan ouput pengajarannya akan
minimum hasilnya, jika dinafikan persoalan pemurnian akhlak ini. Aktiviti
kokurikulum juga perlu menjadikan pembinaan pelajar berakhlak mulia sebagai
teras aktivitinya di samping kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai oleh
pelajar.
Sehubungan
itu Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein ketika majlis Pelancaran
Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni peringkat kebangsaan pada 21 Jun 2005
yang baru berlalu menegaskan, ’Dalam alam pendidikan, ilmu pengetahuan tanpa
budi belum tentu dapat menjamin kemajuan bangsa terutamanya dari segi ketahanan
budaya dan moralnya. Oleh itu, saya menyeru kepada warga pendidikan terutamanya
guru-guru untuk sama-sama melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam
memperkasa budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam kehidupan...’
Persekitaran Sekolah
Persekitaran
sekolah yang kondusif dan mendorong kepada penyempurnaan akhlak pelajar perlu
dititiberatkan. Kata-kata, poster, banner
dan mural yang menekankan kebaikan budi bahasa, nilai murni dan kesan
akhlak yang mulia perlu diperbanyakkan. Untuk menghiasi sekolah dengan
perkara di atas, ibu bapa dan pelajar perlu dilibatkan. Ibubapa dan
pelajar boleh menjadi bapa angkat dan rakan angkat kepada sudut-sudut dan kawasan
yang meletakkan kata-kata, banner,
poster dan mural tadi.
Mereka boleh
dilibatkan untuk menjaga kebersihan dan keselamatannya. Perasaan milik
bersama dan bertanggungjawab menjaganya adalah antara akhlak yang mulia perlu
disemai. Dalam membina persekitaran yang ceria, kegiatan 8R yang pernah
diperkenalkan oleh SRJKC Chi Hwa, Sandakan, Sabah boleh dijadikan asas. ’Lapan
R’ yang dimaksudkan itu ialah reduce
(mengurangkan), reuse (guna semula), recycle (kitar semula), repair (membaiki), rethink (pertimbang semula), reject
(buang), repaint (cat semula) dan replace (ganti). Aktiviti 8R ini
boleh melibatkan guru, kakitangan sekolah, pelajar dan ibubapa.
Budaya Sapa-Menyapa
Budaya ini sudah
mula luntur di kalangan pelajar. Mereka terasa berat untuk melafazkan: ‘Assalaamualaikum,
selamat pagi, terima kasih, cikgu, boleh saya bantu, cikgu, maafkan saya’ cikgu dan
lain-lain lagi. Budaya ini perlu dibajai semula dalam membina akhlak mulia di
kalangan pelajar. Kadang-kadang guru boleh memulakan budaya sapa-menyapa
ini. Mungkin contoh guru ingin dilihat oleh pelajar.
Rasanya, bukan satu
yang mengaibkan jika guru yang memulakannya. Guru dan pelajar boleh
berlumba-lumba memberi salam antara mereka. Kad dan hadiah juga
adalah cara sapaan yang boleh menimbulkan kemesraan dan sayang-menyayangi
antara guru dan pelajar. Kad hari lahir, kad dan hadiah untuk kejayaan
dalam ujian dan peperiksaan adalah satu cara untuk guru menghargai murid dan
murid akan menyayangi dan menghormati guru. Apabila unsur sayang dan
hormati tersemai, akhlak mulia mula bertunas.
Pengukuhan Positif
Membudayakan kita
dengan pengukuhan positif adalah satu lagi cara untuk merealisasikan
hasrat melahirkan pelajar berakhlak mulia. Semua orang suka dipuji dan menerima
hadiah. Oleh itu budaya pengukuhan positif adalah resepi penting dalam
membina pelajar berakhlak mulia, berbudi bahasa dan memiliki nilai-nilai
murni.
Namun begitu,
kadangkala unsur yang kecil ini menatijahkan kesan yang besar dalam
membina pelajar yang diingini. Pujian juga boleh diberikan kepada para
pelajar di atas jasa dan kejayaan mereka. Kadangkala cara menepuk bahu
pelajar dengan sesuatu kebaikan yang dilakukan akan menimbulkan rasa seronok
dan merasa dihormati.Seharusnya mencela dan mengejek mereka di atas kesalahan
yang dilakukan patut dielakkan. Cuba terangkan kesalahan yang dilakukan
dan kenapa patut dijauhi.
Ini akan menjadikan
mereka mengetahui baik dan buruk sesuatu perkara. Lawatan secara percuma
untuk pelajar yang berakhlak mulia juga merupakan satu contoh pengukuhan positif
yang boleh disediakan oleh sekolah dengan bantuan PIBG. A. Waty
M.Noor dalam penulisannya,Disiplin Pelajar (Pendidik: Julai 2006)
mengatakan, ’Beberapa kajian telah membuktikan bahawa ganjaran sosial seperti
senyuman, pujian, hadiah, pengiktirafan, dan sebagainya adalah berkesan untuk
meningkatkan tingkah laku positif yang diharapkan.’
Perhimpunan Pagi
Melalui perhimpunan
ini yang mengambil masa 5 hingga 10 minit, guru atau murid sendiri berbincang
tentang kepentingan budi bahasa, akhlak mulia dan nilai-nilai murni samada di
rumah mahupun di sekolah. Dalam perhimpunan pagi ini, guru boleh
menyelaraskan banyak perkara dengan pelajar berkaitan pembinaan akhlak mulia.
Pelajar akan berasa dirinya dihargai dan disayangi apabila guru mengambil berat
tentang mereka. Slot ini boleh diambil pada perhimpunan hari Isnin atau
mengadakannya pada hari Jumaat sebagai Hari Pemurnian Akhlak.
Perkongsian Misi dan Visi Sekolah dan Dasar Kerajaan
Misi dan visi
sekolah mestilah memasukkan unsur-unsur pembinaan akhlak mulia
pelajar. Setelah itu, para pelajar dikongsikan bersama dengan misi ini
melalui ceramah, kuiz, pertandingan bahas, pertandingan poster, pertandingan
kebersihan kelas dan menghiasi sudut-sudut kelas, tingkatan maupun sudut- sudut
yang terdapat di sekitar sekolah yang bertemakan budi bahasa, nilai-nilai murni
dan akhlak yang mulia. Pertandingan kelas terbersih terus dikekalkan untuk
membina akhlak mulia seperti bekerjasama, tolong-menolong dan menjaga
kebersihan.
Ada baiknya jika
pelajar juga dikongsi bersama dalam menghasilkan misi dan visi sekolah
untuk menimbulkan perasaan sayang kepada sekolah sendiri dan menjaga nama
sekolah. Di samping itu beberapa dasar dan program kerajaan yang menjurus
kepada pemurnian akhlak ini perlu dikongsikan dengan pelajar dan ibu bapa
seperti rukun negara kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan dan
prinsip kelima dalam pelaksanaan Islam Hadahari iaitu keutuhan budaya dan
moral.
Kempen
Kempen ‘Minggu
Budi Bahasa’, ‘Sifar Buli’, ‘Datang Sekolah Dengan Hormat Balik Sekolah Dengan
Selamat’, ‘Sekolah Kita Rumah Kita’, ‘Kutip Sehari Satu Sampah’ dan
lain-lain lagi boleh dibuat untuk membina akhlak
pelajar. Kempen Memberi Salam dan Senyum juga boleh
dijalankan menjurus ke arah itu. Kempen ini perlu disusun dengan baik dan
terancang supaya dapat memberi kesan yang mendalam dalam pembinaan akhlak mulia
yang bertunjangkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Kempen-kempen ini
boleh dijalankan dalam bentuk pidato, perbahasan, kuiz, berbalas pantun dan
penulisan kreatif.
Anugerah Tokoh Pelajar Berakhlak
Biasanya sekolah
menyediakan hadiah dan piala untuk kategori pelajar terbaik mata pelajaran,
pelajar kedatangan terbaik, pelajar harapan kokurikulum setiap tahun pada hari
anugerah kecemerlangan sekolah. Antara perkara yang boleh dicadangkan
ialah memperkenalkan anugerah Tokoh Pelajar Berakhlak Sekolah yang diadakan
setiap tahun untuk menggalakkan pelajar menghiasi diri mereka dengan akhlak
yang terpuji. Pelajar Berakhlak Mulia bulanan juga boleh diperkenalkan
untuk mendorong minat pelajar membaiki akhlak mereka.
Program Mentor-mantee
Pelajar yang
mempunyai akhlak mulia dan dihormati boleh dipilih untuk menjadi mentor
manakala yang kurang akhlaknya akan menjadi manteenya. Mereka diberikan
tugasan untuk membimbing rakan-rakan supaya berlaku perubahan positif diri
mereka. Semangat tolong-menolong dan pesan memesan kepada kebaikan dan
pemurnian akhlak akan berlaku dan mantee akan menyayangi mentornya yang
bersedia memberikan bimbingan kepada mereka.. Dalam setengah situasi,
pelajar lebih mudah menguasai lebih mudah berubah melalui rakan sebaya
berbanding dengan gurunya. Badan pengawas boleh dilibatkan dalam program
mentor-mantee ini.
Program Anak Kita
Ibubapa boleh
dilibatkan sepenuhnya dalam merealisasikan hasrat melahirkan pelajar berakhlak mulia. Ibubapa
boleh dilibatkan dalam perbincangan mengenai anak-anak mereka yang
bermasalah. Ibubapa ini boleh dikumpulkan bersama-sama untuk membantu
pihak sekolah menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh anak-anak
mereka. Mereka yang lebih kenal pelajar-pelajar ini dan sudah tentu boleh
berkongsi tips yang berfaedah untuk membina pelajar berakhlak mulia.
Perkongsian
maklumat dan pengalaman antara ibu bapa dan guru akan memudahkan usaha
tersebut. Menurut Rita Sommers dan John Sommers
Flanagan dalam buku mereka Counseling
and Psychotheraphy Theories in Context and Practice, pembinaan sahsiah,
perwatakan, sikap atau keperibadian anak-anak bermula di rumah dan berterusan
pula di sekolah. Ini membuktikan ibu bapa tidak boleh sekali-kali melepas
tangan kepada pihak sekolah semata-mata untuk membentuk akhlak dan tingkah laku
anak-anak mereka. Tindakan awal di rumah dalam menangani isu ini amat
diharapkan.
Penglibatan Swasta Dengan Sekolah
Pihak-pihak swasta
boleh dilibatkan dengan program pemurnian akhlak ini kerana mereka mempunyai
banyak infrastruktur yang boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah. Pihak
swasta dan korporat biasanya mempunyai peruntukan kewangan untuk program
pendidikan dan kebajikan, di samping kepakaran dalam motivasi, pembangunan sumber
manusia dan kaunseling yang mampu dimanfaatkan untuk membina generasi pelajar
yang berakhlak mulia. Program motivasi, kemahiran belajar, TOT
penyayang untuk pelajar bermasalah boleh diadakan dengan bantuan pihak swasta.
Persatuan Murid-Murid Tua (Alumni Sekolah)
Persatuan Murid Tua
atau alumni sekolah boleh digandingkan dengan warga sekolah dalam
merancang dan melaksanakan program pembinaan pelajar yang berakhlak
mulia. Apabila alumni sekolah boleh digerakkan seaktif mungkin dalam
merancang dan menjayakan program-program seperti seminar jati diri, kem
pemurnian akhlak dan lain-lain manakala warga sekolah yang lain, khususnya para
pendidik boleh menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran. Persatuan
Alumni ini juga boleh menaja poster, banting dan banner yang mengandungi
perkataan-perkataan yang merangsang perubahan tingkahlaku dan akhlak pelajar
kepada lebih positif, misalnya, ‘Selamat Datang Pelajar Berakhlak Mulia’, ‘Akhlak
Mulia Semua Orang Suka’, ‘Pelajar Berakhlak Mulia Aset Kecemerlangan Sekolah.’
Perkongsian Pintar (Smart Partnership)
Melahirkan pelajar
yang berbudi bahasa, berakhlak mulia dan menghayati nilai-nilai murni satu
tugas yang amat berat, lebih-lebih lagi cabaran di hadapan yang bertali arus
dan menggila. Perkongsian pintar yang dilakukan antara warga sekolah
dengan badan-badan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) seperti JPA3, tentera
akan membantu membentuk pelajar yang kita idami bersama. Dalam setengah
perkara, pihak-pihak luar boleh memainkan peranan untuk menjayakan misi dan visi
sekolah.
Jika sekiranya
pihak sekolah ingin mengindahkan landskap persekitaran sekolah untuk melahirkan
rasa selesa, selamat, kondusif dan menanamkan rasa tanggungjawab pelajar kepada
sekolah, Majlis Perbandaran dan Jabatan Pertanian boleh memberikan khidmat
nasihat mereka. Pihak masjid dan Pejabat Agama Islam Daerah pula boleh
menurunkan ilmu dan pengalaman bagaimana membentuk pelajar berakhlak dalam
konteks pelajar sebagai hamba dan khalifah Allah di atas muka bumi
ini. Organisasi ini boleh dilibatkan dalam menjayakan misi dan visi
sekolah. Untuk menangani masalah dadah pula, pihak PEMADAM dan AADK boleh
dilibatkan untuk majlis penerangan dan aktiviti-aktiviti yang dapat menjauhi
para pelajar dari gejala ini.
Banyakkan Aktiviti Tidak Formal
Salah satu faktor
yang membantu membina perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan bertolak
ansur ialah apabila kekerapan aktiviti tidak formal dijalankan. Kadangkala
program yang tidak formal sepertimajlis as-syura, perarakan keputeraan
Rasulullah peringkat sekolah, sambutan hari-hari kebesaran Islam dan
program-program lain yang melibatkan warga sekolah, para pelajar dan pihak
ibubapa akan mewujudkan perasaan kebersamaan, kasih sayang dan saling
hormat-menghormati.
Apabila kebersamaan
yang didasarkan atas hormat menghormati dan kasih sayang ini diikat erat, maka
mudahlah usaha-usaha untuk membina akhlak mulia dilakukan kerana mendapat
sokongan dan dokongan padu dari semua pihak. Pihak Jawatankuasa Kemajuan
Kampung (JKKK), Jawatankuasa Kemajuan Rancangan (JKKR) atau Rukun Tetangga
boleh dilibatkan untuk menjayakan hasrat murni ini.
Melalui aktiviti
tidak formal juga dapat membantu pelajar mengenalpasti perlakuan dan tingkah
laku yang sepatutnya mereka lakukan.Menurut Black dan Downs (1992), masalah
tingkah laku juga berlaku kerana pelajar tidak tahu perlakuan yang bagaimana
yang seharusnya diamalkan.
Faktor Kejayaan Dalam Merealisasikan Hasrat Melahirkan
Pelajar Berakhlak Mulia Di Sekolah
Semua warga sekolah
yang terlibat dengan usaha-usaha pemurnian akhlak pelajar ini mengharapkan
natijah yang positif hasil daripada pengorbanan mereka. Tidak ada satu
kerja yang dilakukan tanpa mengharapkan kesan dan hasil yang baik. Pelajar
yang berakhlak mulia, berbudi bahasa dan menghayati nilai-nilai murni adalah
aset negara masa depan. Namun begitu, kita melihat terdapat beberapa
perkara yang kecil, jika diabaikan akan menggagalkan usaha murni ini. Antara
perkara berikut ialah:
Bersungguh-sungguh dan Tanggungjawab
Dua unsur ini amat
perlu dalam menjayakan usaha pembentukan pelajar yang berbudi bahasa dan
berakhlak mulia. Komited dan rasa bertanggungjawab yang tinggi jika ada para
warga sekolah, pelajar, ibubapa dan PIBG tidak mustahil masalah vandalisme,
buli dan gejala negatif lain lenyap di arena pendidikan tanah air
kita. Sifat enau dalam belukar, melepaskan pucuk
masing-masing perlu dihumbankan sejauh-jauhnya dari kamus kehidupan kita
demi melihat kejayaan apa yang kita sama-sama perjuangkan.
Doa
Hasrat yang ingin
direalisasikan ini adalah urusan yang berkaitan dengan akal dan jiwa manusia.
Kita menyedari bahawa manusia ini terdiri daripada intelek, jasmani, emosi dan
rohaninya. Hubungan spiritual antara semua pihak yang terlibat dengan
usaha ini dengan Allah adalah perlu kerana manusia dicipta oleh-Nya.
Oleh itu amalan doa
mendoakan antara satu sama lain dan sentiasa memohon agar segala usaha murni
ini diberkati dan berjaya adalah satu amalan yang baik. Kadangkala kita
memberikan penumpuan yang lebih dari aspek jasmani dan mengabaikan aspek
rohani.Apabila aspek ini diabaikan, maka ramailah yang mudah kecewa, merajuk,
tidak dapat bersabar dengan kerenah dan kepayahan sewaktu menjayakan hasrat
ini. Sesungguhnya tanggungjawab kita adalah merancang dan berusaha
menjayakannya, tetapi Allahlah yang menentukan segala-galanya.
Menjadi Pendengar Yang Baik
Pelajar berakhlak
mulia dapat terhasil apabila ianya dirancang dengan teliti dan dijayakan
sepenuh hati. Perancangan ini mestilah melalui beberapa siri perbincangan
dan ’brainstorming.’ Sesi ini memerlukan kita menyuarakan pandangan
dan mendengar pandangan orang lain. Banyak kegagalan berlaku disebabkan
kita lebih suka menjadi pencadang daripada pendengar yang baik.
Sebenarnya
pendengar yang baik adalah kunci kepada perpaduan dan kemantapan tindakan yang
diambil. Semua pihak yang terlibat perlulah membuka dada dan pemikiran
mereka untuk menerima cadangan dan saranan daripada orang lain. Semua
cadangan adalah baik dan kita memilih hanya yang terbaik untuk
dilaksanakan. Berdasarkan pengalaman, ramai yang sanggup memberi cadangan
yang bernas dan sedikit yang sanggup melaksanakan cadangan itu sebaik mungkin.
Menjadi pendengar
yang baik tidak menghalang kita memberi cadangan yang dirasakan
bernas. Apabila cadangan-cadangan itu dilihat dari segi keutamaan dan
kesan maksimum ke atas matlamat yang hendak dicapai, kemungkinan ada cadangan
kita yang disisihkan. Seharusnya, ia tidak sedikit pun mengguris perasaan
kita tetapi kita menyatukan hati kita untuk melaksanakan apa yang terbaik yang
telah dipilih itu.
Kesimpulan
Institusi
pendidikan seperti sekolah adalah takungan yang penting untuk memproses dan
melahirkan pelajar berakhlak mulia yang menghayati nilai-nilai murni dan
berbudi bahasa. Kejayaannya juga amat bergantung kepada kerjasama guru,
kakitangan sekolah, pelajar dan ibu bapa. Jika empat unsur penting ini
digembeling secara mantap, kita akan mampu melahirkan generasi baru
pelajar. Usaha-usaha menjadikan budi bahasa, nilai-nilai murni dan akhlak
ini perlu ditumpukan supaya kebaikan yang terhasil darinya bukan mesti
disuruh-suruh tetapi dijadikan tabiat dan tercerna dalam kehidupannya.
Budi bahasa dan
nila-nilai murni bukanlah seperti tumbuhan dan haiwan yang akan bercambah dan
beranak tanpa dijaga dan dibajai. Oleh itu ianya perlu dipupuk dan
diperkukuhkan dari masa ke masa. Kecemerlangan dan kegemilangan sesuatu
bangsa tidak akan tercapai jika bangsanya tidak memiliki akhlak mulia, berbudi
bahasa dan mempunyai nilai-nilai murni yang boleh menjadi tempat berteduh orang
lain. Budi bahasa dan akhlak mulia perlu diperkayakan supaya ianya terus
bersambung dari satu generasi ke generasi yang lain.
Hasrat murni untuk
melihat warga pelajar yang berakhlak mulia yang digagaskan berdasarkan Rukun
Negara, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Wawasan 2020 dan Konsep Islam Hadhari
serta diperincikan melalui surat-surat pekeliling ikhtisas Kementerian
Pelajaran Malaysia akan berjaya apabila ianya dikongsikan bersama.Kunci kepada
budi bahasa dan akhlak yang mulia ialah diri itu sendiri yang ingin berubah.
Kita sedang
berusaha untuk membina satu masyarakat yang ditunjangi oleh para belia yang
menghayati budi bahasa dan akhlak mulia. Kehebatan bangsa kita tidak hanya
dinilai dengan kemajuan material tetapi juga budi bahasanya. Inilah
generasi baru yang bakal kita lahirkan. Merenungi beberapa rangkap pantun
di bawah sudah menggambar kehebatan budi bahasa dalam masyarakat Melayu kita.
Tingkap papan kayu
bersegi,
Sampan sakat di
Pulau Angsa,
Indah tampan
kerana budi,
Tinggi bangsa
kerana bahasa.
Kalau ribut
runduklah padi,
Padi cupak Datuk
Temenggung,
Kalau hidup tidak
berbudi,
Duduk tegak
berdiri canggung.
Anak teruna
menanam betik,
Buah cempedak di
dalam raga,
Apa guna berwajah
cantik,
Kalau kurang budi
bahasa.
Rujukan:
- Abdullah Hassan & Ainon Mohd (2002). ‘Komunikasi
Untuk Pemimpin.’ Bentong: PTS Publications & Distributor Sdn.
Bhd.
- Arieff Salleh Rosman dan Wardah Mokhtar
(2005). ’Remaja Sukses.’ Bentong: PTS Millennia Sdn. Bhd.
- Hassan Hj Mohd Ali, Dato’ Dr (2001). ‘Mendidik
Anak Berakhlak Mulia.’ Kuala Lumpur: Akademi Keluarga Bahagia Malaysia
(AKRAB).
- Hassan Hj Mohd Ali, Dato’ Dr (2001). ‘Teknik
Mendidik Anak Bermasalah.’ Kuala Lumpur: Akademi Keluarga Bahagia
Malaysia (AKRAB).
- Md Hashim bin Hj. Yahaya (1987). ’Tanggungjawab
Ibubapa dan Anak Menurut Islam.’ Kuala Lumpur: Dewan Pustaka Fajar.
- Mohamed Jamli Hj. Awang Lirai (1991). ’Nasihat
dan Teladan’ Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana
Menteri.
- Mohd Yusoff bin Haji Othman (1998). ’Perkongsian
Bijak Komuniti Dan Sekolah: Harapan Dan Cabaran Bagi Merealisasikan
Sekolah Berkesan.’ dalam Jurnal Dakwah Bil.1 Jilid 1. Kuala Lumpur
:Bahagian Dakwah dan Kepimpinan JAPIM.
- Tajul Ariffin Nordin & Dr. Nor Aini Dan,
Dr.(1992). ’Pendidikan dan Wawasan 2020.’ Kuala Lumpur : Arena Ilmu
Sdn. Bhd,.
- Wan Mohd Nor Wan Daud, (Jan-Mac
1996). Insan Baik Teras Kewarganegaraan.Pemikir.
- Yaakub Isa (1994). ’Guru Yang Efektif.’ Kuantan: Jawatankuasa
Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang.
- Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (1998). ’Pentadbiran
Pendidikan.’ Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
- ‘Jejak-Jejak Kecemerlangan Dalam Pengurusan
Pendidikan Sekolah’ (2002). Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.
- Prosiding Kolokium Pendidikan Islam Peringkat
Kebangsaan, ‘Manhaj Rabbani Generasi Qur’ani.’ Anjuran Pusat
Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH).
- Jurnal Dakwah Bil.1.Jilid.1. Disember 1998,
Kuala Lumpur: Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan