Bumi Malaysia pernah dikuasai
oleh tulisan Jawi suatu ketika dulu. Ini bermakna rakyat Malaysia menggunakan
tulisan Jawi sepenuhnya ketika itu dan tulisan Jawi juga pernah menjadi wadah
perpaduan rakyat sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.
Kalau kita
selak majalah, akhbar atau buku pada zaman dahulu, hampir semuanya ditulis
dalam tulisan Jawi. Namun kini tulisan Jawi telah dihapuskan dalam kehidupan
kita seharian kendati ada usaha segelintir warga yang masih menggunakan tulisan
ini tetapi tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Kemegahan jatidiri dan
maruah Jawi yang malang itu, yang pernah menguasai zaman akhir 60-an, membawa
ke zaman 70-an kini telah lenyap dimamah cabaran. Sekarang, generasi
kanak-kanak terutamanya tidak kenal lagi tulisan Jawi malah mereka berasa amat
pelik dengan tulisan tersebut.
Akhbar Utusan Melayu edisi Jawi yang berusaha
mengembangkan kudupnya juga seperti hidup segan mati tak mahu dan akhirnya
dihentikan edarannya. Sungguh jelu dan menyedihkan. Khabarnya, apabila akhbar Utusan Melayu edisi Jawi ini dihentikan,
ia bukanlah kematian yang diratap oleh 10 juta bangsa Melayu (Buku Statistik
Tahun 2000), apa lagi generasi sekarang yang 90% buta Jawi. Ia hanya ditangisi
oleh sebahagian orang Melayu yang asas belajar dan membacanya adalah tulisan
Jawi pada tahun-tahun 40-an, 50-an dan 60-an dan tahun-tahun sebelumnya sahaja.
Yang selebihnya langsung tidak peduli terhadap nasib tulisan Jawi tersebut.
Justeru tulisan
Jawi mesti diperkasakan semula. Ia adalah khazanah yang sangat bernilai untuk negara
kita. Kita tidak boleh menjadikan alasan globalisasi, langit terbuka, dan kedominanan
bahasa Inggeris sebagai sebab untuk tidak mempelajari tulisan Jawi. Tidak salah
sekiranya tulisan Jawi digunakan secara bersama dalam sebuah negara majmuk di
Malaysia. Akuilah hakikat bahawa tulisan Jawi sudah lama digunakan di negara
ini. Sebelum merdeka dulu, semua akhbar dan majalah menggunakan tulisan Jawi
malah semangat perjuangan menuntut kemerdekaan juga dicagunkan melalui tulisan
Jawi. Justeru, untuk mengembalikan semula martabat dan generasi celik Jawi,
kita mestilah bermula dengan pengajaran Jawi seperti dahulu.
Contohilah
Korea Selatan, mereka menterjemahkan banyak buku kerana mereka mahu rakyat mereka
menguasai bahasa Korea dan mempunyai skrip yang lebih banyak daripada bahasa
lain. Bagi mereka, bahasa Korea dan skrip Korea adalah identiti orang-orang Korea.
Justeru di Malaysia juga tulisan Jawi perlu diperkasakan dengan cara yang sama
seperti di Korea kerana tulisan Jawi adalah identiti rakyat Malaysia. Lantaran
itu, rakyat Malaysia perlu belajar Jawi untuk memastikan mereka mempunyai
identiti Malaysia yang sebenar. Untuk menarik lebih ramai rakyat Malaysia
terutamanya golongan muda menggunakan skrip Jawi, sistem ejaan Jawi perlu
kembali kepada sistem ejaan Jawi Zaaba, yang ringkas dan mudah untuk
dipelajari.
Tulisan Jawi juga
perlu diperluaskan dalam semua penerbitan seperti risalah, brosur, akhbar,
majalah dan sebagainya dan tidak lagi dilihat sebagai suatu khazanah klasik
yang hampir lenyap ditelan zaman. Pembelajaran Jawi di peringkat sekolah
rendah wajar dilanjutkan ke peringkat sekolah menengah dan seterusnya
pengajian tinggi supaya tulisan Jawi dapat diangkat tarafnya sebagai aksara
Melayu yang tinggi nilainya.
Sekarang
sudah tiba masanya kita menghidangkan satu resipi asli tulisan Melayu kepada
penuturnya. Kita harus mengembalikan semula kecemerlangan sejarah tulisan Jawi
di negara kita seperti dahulu agar ia tidak terus langka dan akhirnya pupus
ditelan zaman.
Untuk
mengembalikan kedudukan tinggi tulisan Jawi yang menjadi tulisan asli bahasa
Melayu sejak hampir 1,000 tahun, maka langkah-langkah yang berkaitan
dengan pengayaan penggunaan tulisan Jawi dalam persuratan ilmiah, awam dan
bahan-bahan pendidikan perlu dicari oleh badan-badan pelaksana pengajaran dan
pengguna tulisan Jawi. Papan-papan tanda di seluruh negara harus ada tulisan
Jawi sebagai bahasa kedua selain dari bahasa Inggeris atau bahasa Malaysia.
Langkah
menggalakkan semula pengguna tulisan Jawi, tidak harus dilihat dengan kaca mata
songsang oleh masyarakat pelbagai etnik negara ini. Ia bukan satu usaha untuk
mengislamkan orang bukan Islam dengan tulisan tetapi sebagai satu usaha untuk
memantapkan jati diri orang Melayu Islam di negara ini seterusnya sebagai wadah
perpaduan pelbagai etnik di negara ini. Sejarah telah mencatatkan bahawa suatu
ketika dulu tatkala masyarakat negara ini menggunakan tulisan Jawi, perpaduan
antara kaum telah berjaya direalisasikan dengan megahnya. Tidak pernah berlaku
sebarang bantahan terhadap penggunaan tulisan Jawi malah ramai pula orang yang
bukan dari etnik Melayu boleh membaca dan menulis dalam tulisan Jawi.
Justeru, demi
mengukuhkan kembali perpaduan seperti suatu ketika dulu, selain daripada
penggunaan di dalam penerbitan tempatan, langkah mempopularkan tulisan Jawi ini
harus lebih menyeluruh termasuk penggunaan di dalam laman-laman web tempatan,
kerajaan (ada versi Jawi), perisian Microsoft Office Jawi, telefon bimbit dan
lain-lain. Perisian komputer di dalam tulisan Jawi amat kurang malah susah
untuk ditemui. Sekiranya, ia dilakukan secara bersungguh-sungguh dengan
gembelingan pihak kerajaan dan swasta matlamat ini pasti boleh dicapai dengan
jayanya.
Tulisan juga Jawi
amat berpontesi untuk dimajukan dan dipopularkan. Antara kebaikan lain tulisan
Jawi ialah apabila ditulis, penulis boleh menulis dengan lebih cepat kerana
bentuk kalimat atau perkataan yang bersambung. Suatu masa dulu, pelajar-pelajar
sekolah diajar bagaimana menulis huruf roman
cursive atau bersambung untuk membolehkan mereka menulis atau menyalin nota
dengan cepat. Satu usaha yang mencabar sekarang ialah untuk memupuk perasaan
cinta dan sayang kepada tulisan Jawi ini. Tulisan bangsa sendiri ini, bukan
hanya dengan mengangguk kepala setuju tetapi hati juga harus turut sama
memahami akan kepentingan membudayakan kembali tulisan ini.
Langkah Kementerian
Kebudayaan dan Warisan menggalakkan penggunaan semula tulisan Jawi dilihat
sebagai satu langkah positif untuk memartabatkan maruah bahasa Melayu di negara
ini yang dilihat semakin hari semakin tercabar dengan pengaruh globalisasi.
Langkah menanggung kos untuk menerbitkan semula Utusan Melayu dalam tulisan Jawi setiap hari Ahad merupakan satu
langkah yang amat dialu-alukan.
Punca hakisan
kepada adab susila, sopan santun dan budi bahasa orang Melayu harus dilihat
secara menyeluruh. Ia boleh bermula dengan susunan huruf dan akhirnya
diterjemahkan kepada susunan kata-kata dalam percakapan harian. Maksudnya
kedominan pengaruh luar yang memasuki tetingkap atau skrin monitor, komputer,
PDA, telefon mobile dan apa sahaja bukan penghalang kepada usaha untuk
memantapkan jati diri dan tamadun orang Melayu Islam di negara ini.
Media harus memainkan
peranannya dalam memastikan penggunaan yang luas tulisan Jawi dan berharap
akhbar-akhbar yang menggunakan skrip Jawi seperti Utusan Melayu, akan diberi rangsangan dan galakan untuk menarik
lebih ramai pembaca. Institut Terjemahan Malaysia dan Buku serta Dewan Bahasa
dan Pustaka perlu banyak menterjemahkan buku-buku ke dalam tulisan Jawi.
Ada yang
berpendapat bahawa memperkasakan tulisan Jawi adalah antara usaha kita
mengukuhkan agama. Tanggapan ini mungkin benar kerana tulisan Jawi juga
dikenali sebagai tulisan Melayu huruf Arab dan telah digunakan sejak kedatangan
agama Islam di Nusantara. Program j-Qaf yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak
tahun 2005, memuatkan tulisan Jawi bagi memperkasakan Pendidikan Islam walaupun
program tersebut setakat di sekolah rendah sahaja.
Demi
melestarikan warisan bangsa yang tercinta ini, semua pihak terutamanya kerajaan
perlu memainkan peranan. Dewan Bahasa dan Pustaka yang dahulu pernah bangkit
dengan inisiatif yang besar memertabatkan tulisan Jawi, perlu bangun kembali
dengan langkah yang lebih gagah dan tegap. Semarakkan usaha-usaha seperti
dahulu dengan mengadakan pelbagai bengkel, seminar dan sistemnya telah pernah diterima
sebagai yang baik, yang berasaskan roh Pendeta Zaaba.
Dewan Bahasa
dan Pustaka juga harus memainkan peranan dari segi penerbitan. Seminar dan
pameran tentang tulisan Jawi juga boleh membantu memperkasakan tulisan Jawi, seperti
suatu konvensyen yang pernah diadakan suatu ketika dahulu, iaitu Konvensyen
Tulisan Jawi pada tahun 1980-an yang telah memperkenalkan Sistem Ejaan Jawi
Yang Disempurnakan.
Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran pula perlu
menghidupkan semula tulisan jawi di sekolah-sekolah bermula dari sekolah
tadika, rendah, menengah dan seterusnya universiti. Meniadakan Jawi di
sekolah-sekolah bererti menafikan pelajaran Jawi untuk dipelajari oleh
murid-murid, sedangkan murid-murid adalah generasi masa depan. Di sinilah impak
yang cukup ketara dan lupusnya generasi berkemampuan membaca Jawi sudah tidak
wujud lagi kerana mereka tidak pernah diperkenalkan secara asas. Bukan itu
saja, mereka ditanam fahaman bahawa Jawi tidak mampu bersaing bersama bahasa
dunia.
Sejarah telah
mencatatkan bahawa sesuatu bahasa dan bentuk tulisannya akan terus hidup dan
berkembang bila terdapat satu masyarakat bahasa yang menggunakannya secara
aktif dan terdapat sehimpunan persuratan yang mencatat khazanah
ilmu pengetahuan dan kesusasteraannya untuk digunakan, disebar luas,
dinikmati dan diwariskan kepada generasi seterusnya.
Lantaran itu
tulisan Jawi perlu disemarakkan semula bagi mengimbangi dominasi tulisan Rumi
yang digunakan dalam semua bentuk persuratannya, iaitu sejak tahun 1963 apabila
diisytiharkan sebagai tulisan rasmi bahasa Melayu, dan sekali gus meminggirkan
tulisan Jawi. Sejak itu tulisan Jawi tidak lagi menjadi bahan pendidikan
di sekolah, kecuali untuk segelintir pelajar di sekolah Arab atau agama Islam
sahaja.
Kesimpulannya,
tulisan Jawi perlu diperkasakan semula seperti suatu ketika dulu. Inilah
jatidiri bangsa Malaysia dan inilah citra bangsa Malaysia yang pernah
bersenandung mersik di angkasaraya bumi Malaysia dan yang pernah pula padam
dihubub ganas api zaman. Tulisan Jawi bak lantera yang nyalaannya pernah
menerangi seluruh ceruk pelosok dan juzuk bumi Malaysia. Jawi pernah menjadi
wadah perpaduan bangsa Malaysia sehingga negara mencapai kemerdekaan. Justeru
kembalikanlah kecemerlangannya, suburilah semula perdunya yang pernah berdaun
lebat dengan bunga-bunga yang menggerbak mengharum agar menjadi warisan
generasi anak bangsa sehingga akhir zaman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan