Syed Mahadzir Syed Ibrahim
Untuk
berhadapan dengan cabaran yang semakin kompleks sekali gus membina sebuah
tamadun baru sebagai masyarakat
pencipta, golongan belia harus menguasai ilmu dan kemahiran kerana negara kita
kini memasuki zaman k-ekonomi di mana kunci kepada kecemerlangan itu adalah
tenaga kerja yang mahir, berdaya cipta dan memiliki kemahiran kognitif tahap
tinggi bagi menyokong kemahiran asas. Kalau dulu golongan belia yang memasuki
universiti dianggap sudah berjaya tetapi kini mereka yang berkelulusan setakat
ijazah pertama belum tentu mempunyai masa depan yang cerah, apatah lagi jika
berkelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.
itu, golongan belia perlu menghayati konsep
pendidikan sepanjang hayat, manakala belia yang berkelulusan SPM perlu
mengikuti kursus kemahiran supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
Kita tidak mahu Malaysia tergolong dalam golongan pengguna kerana kita mahu
menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi iaitu mahu
meletakkan negara di saf hadapan sebagai negara pencipta yang inovatif.
Untuk
bersaing dalam zaman k-ekonomi, belia tidak mempunyai pilihan selain berusaha
melalui pendekatan latihan formal mahupun tidak formal untuk menguasai ilmu dan
kemahiran dalam bidang berkaitan. Golongan belia juga harus memiliki kekuatan
dan ketahanan diri bertunjangkan semangat patriotisme yang tinggi dan kekukuhan
jati diri.
Selain
itu golongan belia juga perlu tahu membuat persiapan untuk menghadapi cabaran
yang semakin kompleks seperti fasih dalam pelbagai bahasa. Bagi membolehkan
golongan belia bergerak daripada keadaan yang kurang baik kepada yang lebih
baik, mereka perlu mempunyai wawasan seperti Nur Amalina Che Bakri yang
mendapat 17 1A dalam SPM. Mereka perlu bangun dengan semangat baru berbekalkan
iltizam bagi mencapai kecemerlangan. Mereka perlu mahir dalam apa juga bidang
supaya mampu bersaing di peringkat global.
Selaras
dengan tumpuan terhadap belia yang diberikan oleh kepemimpinan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kerajaan telah memberi keutamaan terhadap
pembangunan manusia dalam merencanakan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Golongan belia harus menjadi golongan yang berkualiti iaitu suatu keadaan yang
cemerlang atau amat baik, tetapi kebaikan ini tidak terhad atau tetap pada
sesuatu tahap. Ianya tidak statik. Ianya bergerak sepanjang masa.
Justeru
itu, apabila sahaja kita mencapai kualiti yang kita kejar, kita mendapati ada
lagi kualiti yang lebih yang mesti kita kejar. Setelah kita mengejar dan
mencapai kualiti yang baru yang menjadi matlamat kita, sekali lagi kita mendapati
ada lagi kualiti yang lebih baik daripada itu yang perlu kita kejar. Dengan
itu, usaha kita berterusan dan tidak ada hadnya dan kita perlu mengejar kualiti
sepanjang masa. Aspek utama yang perlu ada untuk membina kualiti ini ialah ilmu
dan kemahiran. Hanya dengan ilmu dan kemahiran saja kualiti dapat dibina.
Dalam
era ledakan informasi dan ilmu pengetahuan, kita boleh dengan mudah dan tanpa
kita sedari menjadi tidak berkesan. Mereka yang complacent akan menjadi tidak relevan. Dalam hubungan ini, golongan
belia tidak terkecuali daripada sindrom tersebut. Golongan belia harus
mempunyai minda metropolitan yakni minda yang terbuka luas, yang mampu memahami
dan menangani perubahan serta sanggup berubah mengikut keadaan persekitaran.
Mereka
yang berminda metropolitan sentiasa berusaha mencipta kemahiran dan selalu
memikirkan langkah-langkah untuk memaju dan mempertingkatkan kecemerlangan
masyarakat dan negara dan bukan untuk diri sendiri semata-mata.
Golongan
belia hendaklah sentiasa mencintai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Usaha
penambahan ilmu pengetahuan dan kemahiran perlu dijadikan satu usaha
berterusan. Misalnya, ilmu pengetahuan membolehkan kita menganalisis data dan
maklumat ke arah usaha-usaha peningkatan kemahiran dan kualiti. Dengan kemahiran
ini, mereka boleh menggubal dan memperakukan dasar, strategi, program dan
projek yang pratikal yang tentunya dapat membantu kecemerlangan masyarakat dan
negara.
Kita
sudah 48 tahun merdeka, proses pembinaan negara-bangsa masih
dibangun-kembangkan. Generasi muda hari ini adalah penerus tamadun negara kita.
Dalam semua tamadun sebelum ini, kehancurannya bermula dengan keadaan politik
yang tidak stabil, kurang kemahiran, lemah sahsiah, etika hidup dan keruntuhan
akhlak serta moral.
itu, generasi belia harus menjadikan ini
sebagai iktibar. Insafilah sejarah keruntuhan tamadun lalu, berkecainya tamadun
Mesopotamia dan Sumeria di Sungai Tigris dan Euphrates misalnya. Kenangilah
sejarah kejatuhan Melaka dan Empayar Melayu terakhir kerajaan
Johor-Riau-Lingga. Semoga generasi belia mampu muncul sebagai satu generasi
pencipta dan membina sebuah tamadun baru sebagaimana yang dihasratkan oleh
Islam Hadhari gagasan negara.
Golongan
belia harus kembali kepada sejarah kegemilangan umat Islam yang bermula pada
era pemerintahan Islam di Madinah dan berkembang pesat pada zaman Khulafa’
al-Rasyidin, Bani Umayyah dan Bani Abasiyyah.
Kemudian
ia bertapak di benua Eropah yang menyumbang kepada kegemilangan tamadun Islam
di Andalusia. Ketamadunan Islam yang berbentuk universal membawa manfaat dan
rahmat kepada seluruh umat dan alam. Tamadun inilah yang perlu dicipta semula
dan tidak mustahil akan dicapai sekiranya ilmu dan kemahiran digandingkan
bersama secara mantap dan berterusan.
Generasi
belia juga harus sedar bahawa ilmu bukan sekadar mendapat maklumat tetapi
kemampuan untuk membudaya dan memanfaatkannya. Natijah daripada pembangunan
dimensi keilmuan ini akan membawa kepada peningkatan intelektualisme, pemikiran
kritis, pembangunan akhlak, kemantapan kemahiran dan budaya hidup yang akan
menjadi cerminan untuk melahirkan generasi yang mampu membina tamadun khyra ummah.
Tentang
kepentingan ilmu dalam pembinaan kualiti manusia Kung Fu Tze pernah berkata
bahawa ‘human-heartedness is the highest
virtue an individual can attain and this is the ultimate goal of knowledge and
education. The education of an Individual is a preparation for a peacefully
ordered society.’
Tidak
dapat dinafikan, persaingan dalam era teknologi maklumat dan pasaran global,
menjadikan cabaran yang bakal kita hadapi menjadi lebih hebat. Hanya yang mahir
dan terbaik akan terus kekal dan relevan pada masa kini dan akan datang.
Individu atau generasi yang tidak berusaha untuk berubah dan cuba memperbaiki
dan memantapkan kemahirannya selaras dengan peredaran zaman akan ketinggalan
dan pupus. Banyak contoh yang sering kita baca dan dengar mengenai
empayar-empayar yang besar dan tersohor sebelum ini, telah hilang dari ingatan
kita kerana mereka tidak cuba untuk berubah dan memenuhi kehendak semasa.
Dalam
usaha untuk terus kekal bersaing, cemerlang dan relevan pada setiap masa,
perubahan tidak dapat dielakkan. Hari ini kita lihat bagaimana setiap negara
melakukan pelbagai usaha untuk berada di barisan hadapan dalam bidang kepakaran
dan kekuatan masing-masing.
Sebagai
persediaan menghadapi cabaran globalisasi, generasi belia terutamanya perlu
mengetahui kedudukan terkini mereka berbanding dengan masyarakat negara lain.
Mereka perlu menganalisis kedudukan mereka terutama dengan mengambil kira
kekuatan dan kelemahan yang ada. Generasi belia juga perlu melakukan penanda
arasan (benchmarking) terhadap
pencapaian mereka dengan belia di negara lain yang telah berjaya, dan bukan
hanya membandingkan pencapaian mereka berdasarkan prestasi mereka yang lepas.
Sebagai
sebuah negara yang sedang berkembang maju dan telah menetapkan sasarannya untuk
menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kejayaannya sangat bergantung
kepada generasi belia. Generasi belia perlu sentiasa bersedia untuk bersaing.
Untuk sentiasa berada di hadapan dan berupaya menggarap kecemerlangan, generasi
belia hendaklah mendapat kepercayaan yang sepenuhnya daripada pihak yang
sentiasa berurusan dengan mereka. Dalam soal ini, aspek kemahiran merupakan
antara perkara yang perlu dimantapkan dalam setiap individu belia. Hanya dengan
kemahiran saja mereka berupaya mencipta
kecemerlangan yang sebenarnya.
Peter
F. Drucker, seorang personaliti yang terkemuka dalam dunia perniagaan dan
akademik berhubung aspek kecemerlangan, pernah menyatakan bahawa ‘tidak
terdapat pertalian yang banyak antara keberkesanan seseorang dengan
kecerdikannya, imaginasinya atau ilmu pengetahuannya. Seringkali orang yang
pintar dan bergeliga didapati amat tidak berkesan; mereka tidak sedar bahawa
kepintaran sahaja bukanlah suatu pencapaian. Ramai juga yang tidak sedar bahawa
kepintaran hanya akan menjadi berkesan apabila diiringi dengan kemahiran,
bekerja keras dan secara sistematik.’
Cabaran
pada masa kini adalah sangat hebat, dan ini tidak terkecuali berlaku kepada
semua. Kebelakangan ini negara menghadapi masalah pengangguran yang tinggi di
kalangan mereka yang berijazah. Tanggungjawab untuk mengatasi masalah ini tidak
harus dibebankan kepada kerajaan sahaja. Golongan yang terlibat juga harus
mencari jalan bagaimana dapat mengurangkan masalah ini sebelum ia menjadi lebih
serius. Mereka hendaklah belajar bagaimana hendak menjadi orang yang mahir
dalam salah satu bidang ilmu itu dengan lebih baik lagi. Ini bererti mereka
perlu meningkatkan kemahiran mereka.
Selain
mempunyai pengetahuan teknikal ataupun hard
skills yang mantap dalam bidang masing-masing seperti sains, teknologi
maklumat dan komunikasi (ICT), ekonomi, perniagaan, sumber manusia, dan
sebagainya, para graduan perlu memiliki kemahiran berbahasa Inggeris yang baik,
kemahiran berkomunikasi, kebolehan menyelesaikan masalah, kemahiran memimpin,
kemahiran bekerja secara kumpulan, bersikap positif terhadap kerja, serta
memahami persekitaran dan budaya kerja tempatan.
Selain
itu, sering kali juga kita mendengar dakwaan yang mengatakan bahawa graduan
IPTA tempatan kurang berdaya saing berbanding IPT dari luar negara. Walaupun
belum ada satu kajian yang menyeluruh bagi mengesahkan persepsi tersebut, namun
ianya merupakan satu cabaran yang perlu difikirkan oleh mereka yang terlibat.
Aspek
kemahiran perlu dijadikan asas perubahan agar tukasan tersebut tidak terus
bersipongang. Mantapkan diri dengan apa juga bidang kemahiran kerana hanya
dengan kemahiran saja yang mampu meletakkan seseorang itu di hadapan berbanding
orang lain yang hanya mempunyai segulung kertas yang dipanggil ijazah. Secara
tidak langsung, kemahiran tersebut adalah markah tambahan yang meletakkan kita
di tempat yang pertama dalam persaingan.
Sebagai
rumusan, frasa kemahiran teras kecemerlangan merupakan gabungan aksara yang jitu,
yang harus dijadikan pegangan hidup setiap individu belia di negara kita.
Manusia yang mahir umpama sebutir benih yang akan tumbuh subur di mana saja ia
diletakkan kendati di atas tanah yang gersang sekali pun.
Manakala
benih yang baik dan ditanam pula di atas tanah yang subur akan menghasilkan
pokok yang sihat, dahan yang tegap dan dedaun yang lebat. Itulah perumpamaan
kepada manusia yang kaya dengan kemahiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan