Isnin, 12 November 2012

Demi Kegemilangan Negara




Mari kita genggam kata sepakat,
teguh pelihara perpaduan 1Malaysia biar hebat,
akuilah hakikat sejarah yang telah lama tercatat,
perpaduan semua bangsa adalah lambang kudrat,
bangsa berjaya yang pernah tercegat.

Dalam kenangan kegemilangan masa lalu,
jangan biarkan perpaduan berkecai dek gejolak nafsu,
di dada generasi belia 1Malaysia terpancang amanat jitu,
teguhkan muafakat seikat berkas hasrat yang satu,
julang pokok perpaduan di mercu,
sisihkan segala seteru,
yang cuba mengganggu.

Globalisasi adalah sebuah hakiki,
bukan alasan untuk perpaduan dilupai,
di mana lagi harus dicari ganti?
kesejahteraan tanah ini bukan ukiran mainan,
tetapi anugerah indah ciptaan Tuhan,
perpaduan yang pernah dibebat adalah selembar sejarah dalam peradaban,
yang wajar didokumentasikan menjadi kamus ingatan,
berdosa jika terpadam dalam kenangan.

Perpaduan 1Malaysia ini perlu kita semarakkan,
beriring pecutan langkah ke medan wawasan,
memecah pintu prahara yang kini terkuak lebar,
selebar ruang maya jangkauan siber,
belia 1Malaysia adalah pemangkin segala sumber.

Negara sudah sampai ke puncak transformasi,
alaf baru adalah satu titik pembaharuan yang perlu dilalui,
pelbagai budaya bukan lagi kemelut persoalan,
mencuar kegemilangan negara dan bangsa,
bukan tugas pemimpin cuma,
generasi belia 1Malaysia adalah penyumbang saksama.

Gelombang globalisasi ini akan terus berlari,
generasi belia 1Malaysia perlu siap berlengkap diri,
untuk bekalan meredah zaman berduri,
kepada generasi belia 1Malaysia tergantung harapan murni,
penegak kegemilangan nusa dengan gerbak setanggi.

Negara ini, mandala semua bangsa berpadu,
duduk dan berdiri dalam kasih yang satu,
ini bentala sejahtera tinggalan leluhur dahulu,
di sini tersimpan segala pusaka nusa,
hitam dan putih warna sejarah bangsa.

Bersatulah atas nama sepakat!
agar kecemerlangan nusa akan tercegat di puncak hebat,
jadikanlah perpaduan astaka paling mulia,
unik negara pelbagai bangsa menyanjung jata nusa,
darah milik kita sama merah,
mimpi tidur kita sama indah,
biar kemelut datang menerjah,
perpaduan nusa kita tetap tertegak megah.

Hulurkan tanganmu semua wahai generasi belia 1Malaysia,
kita berpimpin erat ke mercu indah terukir,
semarakkan pohon perpaduan,
lenyapkan segala khuatir,
demi kegemilangan negara,
pertahankanlah hingga hayat berakhir.

SMAHADZIR

Tiada ulasan:

Catat Ulasan