Selasa, 13 November 2012

Dari Dunia Dan Dari Akhirat


Syed Mahadzir Syed Ibrahim

Sufyan Ats-Tsaury memberi nasihat kepada seorang pemuda ahli ibadah: ‘Wahai pemuda, ambillah sesuatu dari dunia untuk badanmu dalam hal yang memang kamu harus mengambilnya, dan ambillah akhiratmu untuk hatimu.’ Yakni sibukkanlah dirimu mengingati akhirat.
Betapa mudahnya konsep Islam dan betapa adil perlakuannya. Sesungguhnya seorang mukmin mengambil kenikmatan dunia sekadar mencukupi keperluannya yang mendesak, menyibukkan hatinya untuk memikirkan tempatnya di akhirat, melihat kehidupan hakikinya di negeri abadi dan tiada menyibukkan hatinya dengan harapan-harapan dunia dan rakus terhadapnya, kerana dia tahu bahawa dunia adalah fana dan akan sirna.
Namun ternyata kebanyakan manusia lebih mengutamakan dunianya dan lupa akan akhiratnya, sebagaimana yang difirmankan Allah s.w.t: ‘Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedangkan kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.’ (Al-A’la: 16-17)
Ada juga segelintir manusia yang tenggelam dalam memikirkan akhirat belaka, zuhud terhadap dunia, berpaling dari dunia secara total hingga tidak mahu bekerja dan meninggalkan urusannya. Kedua kelompok ini sama-sama jauh dari manhaj pertengahan yang diserukan oleh Islam.
Dari sini maka harus senantiasa diingatkan tentang bahaya ghuluw baik dalam memandang aspek dunia ataupun aspek akhirat, kerana wasathiyah adalah ciri khas Islam, sebagaimana difirmankan Allah s.w.t: ‘Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah s.w.t kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari dunia.’ (Al-Qashash: 77)
Adapun ajaran yang dianggap zuhud namun ekstrim hanyalah warisan para pengikut tasawuf yang radikal, jauh dari manhaj Al-Kitab dan As-Sunnah. Pada abad ketiga hijriyah, muncul Muhammad bin As-Sammak, penasihat terkenal pada zaman pemerintahan Harun Ar-Rasyid yang mewarisi Dawud bin Nushair Ath-Tha’i yang tingkat kezuhudannya sampai pada menjauhi kehidupan dunia, bersikap keras dalam memperlakukan dirinya sendiri.
Penasihat tersebut mengucapkan pujiannya: ‘Wahai Dawud, kamu telah memenjarakan diri di rumahmu seorang diri, tiada yang kamu ajak bicara dan duduk bersamamu. Aku tidak tahu manakah dua perkara yang lebih berat bagi kamu? Apakah menyendiri di rumah hingga bertahun-tahun dan berbulan-bulan, ataukah meninggalkan makan dan minum, kamu tidak minum dan merasakan kesegarannya? Tidak ada pintu di rumahmu, tidak ada tempat tidur di bawahmu, tidak tersedia sedikit pun air sejuk di dalamnya dan tidak ada sesuap makan pun untuk dimakan tatkala pagi dan petang. Apakah kamu tidak menyukai air yang sejuk, makanan yang enak dan baju yang halus? Benar, sebenarnya kamu menyukainya, akan tetapi kamu berzuhud terhadapnya kerana seruan yang di hadapanmu dan kamu mengharapkannya.’
Kita mungkin hairan dengan kekuatan iradahnya dan tingkat kezuhudannya, akan tetapi kita tidak mengamalkan kezaliman tersebut terhadap diri kita sendiri, kerana hal itu termasuk melewati batas dalam menghindari dunia dan meninggalkan kenikmatan yang baik-baik, hingga tidak mahu dengan air yang sejuk atau tempat tidur yang nyaman. Akan tetapi yang dilakukan oleh orang yang tawasuth, maka dia akan mengambil dunia bagi badannya dan mengambil akhirat bagi hatinya.
Itulah yang difahami Islam dan konsep yang diajarkannya, yang memberikan kelapangan bagi manusia dan tidak mempersempitkan sesuatu yang longgar. Itulah timbangan yang teliti, memerlukan keluasan pemahaman, kepekaan bashirah serta kekuatan iradah dan istiqamah di jalan yang benar.
Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan