Isnin, 30 Julai 2012

Sejauh Manakah Tanggungjawab Sosial Korporat Memberikan Manfaat Kepada Masyarakat?



TANGGUNGJAWAB Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) semakin hari semakin menjadi harapan pihak kerajaan dan juga masyarakat supaya badan-badan korporat akan memainkan peranan dalam pembangunan kesejahteraan hidup masyarakat. Ini adalah kerana badan-badan korporat sebagai sebahagian daripada sektor swasta telah memperolehi mandat dan kuasa mereka dari masyarakat di bawah prinsip ‘kontrak sosial.’
Secara umumnya, tanggungjawab sosial korporat membawa maksud sebarang komitmen atau pernyertaan oleh sesebuah syarikat korporat mengikut pertimbangan peniagaan dan sumbangan dari sumber korporat dalam komuniti atau masyarakat yang bertujuan ke arah meningkatkan kesejahteraan masyarakat di sekitar perniagaan atau perusahaan. Antara tanggungjawab sosial yang perlu dijalankan termasuklah menitikberatkan kesihatan masyarakat, keselamatan, pendidikan, pekerjaan, alam sekitar, dan pembangunan ekonomi dan masyarakat.
Prinsip ‘kontrak sosial’ memerlukan pihak swasta seperti peniaga, pengilang, pengedar, pemborong, peruncit serta golongan profesional seperti doktor, peguam, arkitek dan lain-lain memberi perkhidmatan masing-masing dengan penuh beramanah, sempurna dan dengan meletakkan harga yang berpatutan. Mereka dipertanggungjawabkan untuk menyediakan produk dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan kemahuan masyarakat tercapai. Mereka tidak seharusnya mengeksploitasikan keadaan dan kejahilan masyarakat sebagai pengguna.
Tanggungjawab sosial korporat merupakan suatu komitmen bagi golongan korporat dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti melalui amalan perniagaannya dan sumbangan yang dapat diberikan. Tanggungjawab sosial korporat membawa maksud syarikat bertanggungjawab dengan mengambil kira minat pelanggan, para pekerja, pemegang-pemegang berkepentingan, komuniti dan pertimbangan ekologi dalam semua aspek operasi perniagaan.
Syarikat-syarikat yang ada di negara kita harus melihat tanggungjawab sosial korporat ini sebagai suatu peluang untuk maju bukannya sebagai suatu bebanan. Amalan urus tadbir korporat dan tanggungjawab korporat secara amnya akan memanfaatkan kedudukan syarikat dan membawa kepada peningkatan keuntungannya dengan lebih mantap. Sesetengah syarikat mungkin menganggap usaha untuk mengkanunkan Tanggungjawab Sosial  Korporat sebagai suatu halangan. Oleh itu ia akan diterima pakai hanya secara sukarela dan tidak akan dipaksa.
Ada beberapa sebab kenapa syarikat-syarikat harus berpegang kepada amalan urus tadbir korporat dan tanggungjawab korporat. Ia bukan saja mempunyai kaitan positif dengan harga saham syarikat di bursa tetapi juga berkesan terhadap penilaian prestasi syarikat itu oleh pengguna, pelanggan dan pembekalnya.
Sebuah syarikat yang mempunyai nilai jenama yang baik hasil dari program tanggungjawab sosialnya akan dipandang tinggi oleh masyarakat berbanding dengan pesaingnya. Mengamalkan urus tadbir korporat yang baik juga akan memberi keyakinan kepada pelabur asing bahawa syarikat itu bertanggungjawab, beretika dan telus dalam operasinya. 
Malaysia telah diiktiraf oleh CSR Asia (Corporate Social Responsibility in Asia) sebagai negara ketiga, selepas Korea Selatan dan India, dalam penilaiannya terhadap amalan Tanggungjawab Sosial  Korporat oleh syarikat-syarikat yang tersenarai di 10 buah negara Asia. Selepas Malaysia adalah Thailand, Singapura, Indonesia, Taiwan, Hong Kong, Filipina dan China. Syarikat-syarikat Malaysia mendapat penafaran tinggi, khasnya dalam bidang urus tadbir dan sosial.
Di bawah peraturan penyenaraian syarikat di Bursa Malaysia, syarikat diwajibkan mendedahkan amalan urus tadbir korporat mereka. Syarikat-syarikat yang tidak disenaraikan tidak perlu berbuat demikian. Bagaimanapun semakin banyak syarikat kecil dan sederhana juga telah menyerapkan elemen-elemen urus tadbir korporat dalam operasi harian mereka. Masyarakat kebelakangan ini telah menganggap urus tadbir korporat sebagai lebih penting daripada tujuan asas penubuhan sesebuah syarikat, iaitu memaksimumkan keuntungan untuk pemegang sahamnya.
Badan-badan korporat mempunyai kewajipan untuk menjalankan perniagaan mereka bukan sahaja untuk kebaikan pemegang saham mereka tetapi juga kepentingan lain dalam erti kata seluas-luasnya. Memandangkan perlakuan syarikat-syarikat akan membawa kesan kepada isu ekonomi, politik dan sosial, urus tadbir korporat bersama-sama dengan tanggungjawab sosial tentunya akan memberi kebaikan kepada orang ramai di mana syarikat itu beroperasi.
Kerajaan telah membuktikan kesungguhannya untuk menguatkan usaha urus tadbir korporat yang baik apabila meminda Akta Syarikat 1965 yang menekankan lapan prinsip penting iaitu ketulusan, penguatkuasaan undang-undang, penyertaan, tindak-balas, ekuiti, kecekapan dan keberkesanan, kelestarian dan kebertanggungjawaban. Penggabungan tanggungjawab korporat memberi petunjuk kepada syarikat untuk menimbang kepentingan berbagai pihak termasuk pemegang saham, pekerja, pengguna, pembekal dan masyarakat apabila menjalankan operasi mereka. Ini tidak memeranjatkan kerana masyarakat akan terlibat baik secara sengaja atau tidak oleh sebarang keputusan syarikat. Tanggungjawab sosial korporat adalah untuk kebaikan awam, selain daripada motif keuntungan.
Jika sesebuah syarikat korporat melaksanakan CSR dan mempromosikan tindakan mereka seluas-luasnya melalui media, maka imej mereka akan meningkat menjadi lebih baik. Masyarakat akan memandang tindakan mereka sebagai satu perbuatan ibadah yang mulia. Ini dengan sendirinya dapat meningkatkan perkhidmatan dan prestasi mereka bagi membantu melariskan perniagaan mereka. Sebagai contoh, tidak lama dahulu apabila berlaku bencana tsunami dan gempa bumi di Pakistan dan Indonesia ramai badan korporat menghulurkan derma kepada mangsa-mangsa bencana ini. Bagi menyampaikan bantuan ini ada antara mereka yang menganjurkan majlis besar-besaran dengan kehadiran ahli politik dan menteri ke upacara penyampaian cek. Usaha menghulurkan bantuan ini telah mendapat publisiti yang luas. Tindakan menganjurkan majlis sebegini akan memberikan publisiti dan tanggapan kepada masyarakat dan semua pihak bahawa mereka mengambil berat tentang isu masyarakat yang timbul.
Ada badan-badan korporat yang menunaikan CSR dengan niat ingin membantu masyarakat yang benar-benar memerlukan bantuan seperti masyarakat yang miskin dan daif.
Kebanyakkan badan korporat menyedari komitmennya kepada semua pemegang kepentingan dan terus beroperasi secara beretika, bukan sahaja dari segi kewangan, malahan juga dari segi tanggungjawab sosial. Dalam mengejar peluang yang ada, mereka turut mengambil kira obligasi sosial mereka. Mereka melihat tanggungjawab sosial korporat sebagai satu pelaburan dalam aset strategik jangka panjang dan lantaran itu, mereka berusaha untuk menggunakan pendekatan yang seimbang. Badan-badan korporat ini komited untuk memberi balik kepada komuniti dan pada masa yang sama mencapai objektif perniagaan mereka.
Dalam melaksanakan tanggungjawab sosial, ada sesetengah badan korporat yang turut bertanggungjawab di dalam memelihara persekitaran yang sihat. Mereka komited untuk menghasilkan produk terbaik yang berkualiti tinggi serta penuh khasiat demi kesihatan dan kesejahteraan masyarakat. Selain itu mereka juga komited dalam menyokong dan menggalakkan tanggungjawab sosial dalam diri setiap individu selain meningkatkan penjagaan alam sekitar, penjagaan pemakanan yang terbaik dan amalan cara hidup yang sihat. Komitmen yang sebegini menjadikan badan korporat tersebut sebagai badan korporat yang mengimpikan persekitaran terbaik yang berpanjangan demi penjanaan kehidupan yang sihat untuk komuniti serta perkembangan menyeluruh kanak-kanak.
Banyak badan korporat telah melaksanakan CSR kepada masyarakat yang mengalami kesusahan seperti apabila masyarakat mengalami musibah kebakaran dan banjir dengan menghulurkan pelbagai bantuan berbentuk makanan dan kewangan. Lazimnya, isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan masyarakat yang diutarakan dan diperjuangkan oleh badan swadaya serta masyarakat sering mendapat sokongan badan korporat.
Apabila badan korporat diminta untuk turut serta dalam perjuangan mereka (badan swadaya dan masyarakat), badan korporat tersebut dengan mudah menghulurkan tangan memberi bantuan. Pendek kata, dalam membantu badan amal, badan swadaya, dan masyarakat supaya berjaya keluar dari henyakan masalah, badan-badan korporat tidak pernah berdiam diri. Mereka sentiasa sahaja terlibat dalam memberi kesejahteraan kepada masyarakat.
Dalam soal tempat kerja misalnya, banyak badan korporat yang telah menyediakan persekitaran kerja yang sihat dan selamat untuk pekerja mereka. Mereka telah membangunkan kakitangan mereka agar mencapai potensi maksimum menerusi inisiatif pembangunan modal insan yang berterusan. Mereka juga telah memupuk komunikasi terbuka dan semangat kerja berpasukan, dan berusaha untuk mempromosi keseimbangan kerja-kehidupan, demi meningkatkan produktiviti kakitangan mereka. Mereka juga telah menilai dan mengganjarkan kakitangan mereka secara saksama.
Dalam aspek komuniti dan alam sekitar pula kita dapati banyak badan korporat yang memberi sumbangan kepada program komuniti dan alam sekitar terutama dalam bidang pendidikan atau pembangunan modal insan dalam konteks yang lebih luas. Mereka juga sentiasa berusaha mengurangkan kesan aktiviti perniagaan mereka ke atas persekitaran dengan meningkatkan kesedaran dan mengamalkan kitaran semula. Di samping itu usaha terus dibuat dalam menerapkan amalan yang meminimumkan penggunaan sumber alam semula jadi dan pembaziran bahan setakat yang boleh diamalkan dari segi ekonomi.
Hakikatnya, terdapat banyak badan korporat yang sentiasa memberikan bantuan dari segi kewangan dan fizikal kepada ibu tunggal, anak-anak yatim, orang kurang upaya dan golongan yang berpendapatan rendah selain memberikan sokongan pendidikan kepada pelajar-pelajar fakir miskin termasuk membantu siswazah-siswazah menyediakan diri mereka masuk ke alam pekerjaan dan keusahawanan. Ada badan korporat yang sanggup menyediakan kursus dan latihan yang strategik dan diteruskan dengan penyediaan latihan di tempat kerja (on-job training) dan membuat rekomendasi kepada majikan-majikan yang relevan bagi siswazah-siswazah yang telah menamatkan kursus. Dan bagi siswazah yang mengikuti kursus usahawan, insentif khas pula telah dihulurkan untuk membantu siswazah berkenaan memulakan perniagaan.
Ada badan-badan korporat yang telah banyak memberi sumbangan kepada masyarakat yang berada di sekitar organisasi mereka terutamanya kepada pelajar sekolah menengah dan pelajar sekolah rendah dari kawasan luar bandar. Antara program yang dijalankan oleh badan-badan korporat ini termasuklah Program Newspaper In Education dengan membekalkan ratusan naskhah setiap minggu dengan misi ‘satu artikel satu minggu’ dengan harapan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar dapat ditingkatkan. Fasa setiap program berlangsung dalam jangka masa enam bulan di setiap sekolah.
 Badan-badan korporat ini turut menggalakkan penglibatan pekerjanya dengan memperuntukkan masa sekurang-kurangnya dua jam bersama pelajar iaitu setiap hari Sabtu untuk mendapatkan tindakbalas positif daripada pelajar-pelajar hasil daripada pembacaan suratkhabar berbahasa Inggeris yang mereka telah bekalkan.
Hasil daripada tajaan suratkhabar berbahasa Inggeris ini, ia telah meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Badan korporat ini juga turut menggalakkan lawatan para pelajar sekolah ke kilang. Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai produk-produk yang dikeluarkan oleh kilang tersebut dan sebagainya. Selain itu mereka juga turut menganjurkan pertandingan sains dan teknologi. Memandangkan sains dan teknologi amat penting pada zaman sekarang, badan-badan korporat ini telah mengambil inisiatif dalam melahirkan minat dalam kalangan pelajar sekolah. Dalam pertandingan ini, para pelajar berpeluang untuk mempamerkan kreativiti mereka.
Di samping itu ada juga badan-badan korporat yang sering menganjurkan program ‘kesedaran alam sekitar’ yang mensasarkan golongan pelajar sekolah. Aktiviti begini sering berlangsung di hutan-hutan rimba rekreasi di seluruh negara. Dalam program ini pelajar dididik untuk menjaga alam sekitar dan mengelakkan sebarang bentuk pencemaran alam sekitar baik pencemaran udara, mahupun pencemaran air dan darat. Selain itu, mereka turut menganjurkan program pendidikan kesihatan di mana pelajar didedahkan dengan teknik-teknik penjagaan kesihatan berkaitan dengan pemakanan sihat ke arah mengelakkan masalah obesiti yang sering berlaku di kalangan kanak-kanak yang sememangnya terdiri daripada pelajar sekolah.
Ada juga badan-badan korporat yang turut peka dengan perkembangan institusi pengajian tinggi yang terdapat di negara ini. Kerjasama antara badan korporat dengan pihak universiti ini telah memberi peluang kepada para mahasiswa untuk mendedahkan diri mereka dengan dunia pekerjaan yang sebenar. Contohnya, ada badan korporat yang telah menaja Konvensyen Astronomi Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun berturut-turut. Ini menunjukkan badan korporat tersebur amat menyokong pendidikan tinggi di negara kita bagi menghasilkan graduan-graduan yang berkualiti.
Sesungguhnya, bantuan dan sumbangan yang diberikan oleh badan-badan korporat dalam usaha memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka bukan sahaja dalam bentuk kewangan sahaja, malah telah menyumbangkan keperluan kepada sekolah seperti makmal komputer terutamanya kepada sekolah yang tidak mempunyai keperluan yang mencukupi selain sumbangan pakaian dan beg sekolah kepada pelajar yang tidak berkemampuan.
Dengan adanya tanggungjawab sosial korporat seperti ini ia sebenarnya dapat membantu para pelajar dan juga pihak sekolah dari banyak sudut termasuklah meningkatkan ilmu pengetahuan pelajar berkaitan dengan isu semasa, mewujudkan tabiat membaca dan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
Terdapat juga badan-badan korporat yang telah mengadakan program ‘Industri Training’ bagi memberi peluang kepada para mahasiswa universiti yang berminat untuk bekerja di syarikat-syarikat yang berkaitan apabila tamat pengajian nanti. Pensyarah akan datang bersama para pelajar dan akan mempelajari skill serta menjalankan tugas mereka dengan sempurna dalam semua sektor termasuk sektor IT, pemprosesan, operasi dan sebagainya.
Tidak ketinggalan ada juga badan-badan korporat yang terlibat dalam program ‘Career Fair’ dan telah melibatkan universiti-universiti tempatan seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa. Program ini dilakukan bagi mendedahkan kepada mahasiswa dan mahasiswi mengenai kewujudan syarikat serta barangan keluaran mereka. Para pelajar universiti juga didedahkan dengan keperluan subjek kejuruteraan sebagai syarat jika berminat untuk bekerja di syarikat mereka.
Tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan dalam sektor pendidikan ini membolehkan graduan mempunyai pengalaman mengenai cara bekerja serta praktikal dalam bidang pengkhususan yang bakal mereka ceburi. Dengan kaedah ini, akan melahirkan lebih ramai pekerja tempatan yang berdaya saing serta mempunyai pengalaman dan kemahiran tentang selok-belok bidang pekerjaan. Program-program begini membolehkan pelajar mendapat pendedahan awal dan mewujudkan semangat ingin belajar bersungguh-sungguh dan berusaha untuk mendapat yang terbaik dalam peperiksaan terutamanya bagi pelajar yang akan menduduki SPM.
Hasil daripada tindakan serta tanggungjawab kepada masyarakat yang telah dilakukan oleh badan-badan korporat ini, lebih ramai graduan yang berpeluang dalam mendapatkan pengetahuan tentang dunia pekerjaan. Dengan pengalaman yang mereka perolehi ini, mereka akan mudah diterima masuk untuk bekerja dalam syarikat dan masalah pengangguran dalam kalangan graduan akan berkurangan.
Pelbagai yayasan masyarakat telah didirikan oleh pelbagai badan korporat. Tujuannya adalah untuk membantu masyarakat yang memerlukannya. Yayasan Al-Bukhari contohnya terlalu banyak sumbangannya kepada masyarakat. Selain dari membantu pembinaan dan pembiayaan pentadbiran pusat-pusat ibadah, yayasan ini juga turut membantu para pelajar miskin dengan tuisyen-tuisyen percuma, golongan fakir dan miskin, ibu-ibu tunggal, orang-orang kurang upaya, warga emas dan lain-lain lagi. Yayasan ini juga turut menghulurkan sumbangan yang besar ke arah kesejahteraan umat melalui pelbagai program kemasyarakatan yang difikirkan sesuai.
Pelbagai bentuk sumbangan untuk manfaat masyarakat telah disumbangkan melalui pelbagai saluran. Contohnya, di kawasan-kawasan taman rekreasi kita dapati banyak kerusi atau pondok rehat yang disumbangkan oleh badan-badan korporat tertentu untuk keselesaan masyarakat yang menggunakan taman rekreasi tersebut. Di sesetengah kawasan pula ada jalan-jalan atau lorong-lorong pejalan kaki hasil sumbangan badan-badan korporat untuk dimanfaatkan oleh masyarakat. Manakala ada juga di sesetengah tempat, badan-badan korporat menyumbangkan perigi untuk bekalan air, paip air, pusat-pusat ibadah seperti surau, dewan komuniti, pentas budaya, gelanggang permainan tradisi seperti gasing dan sepak raga bulatan, gelangggang futsal, gelanggang sepaktakraw, gelanggang badminton, dan macam-macam lagi. Semua ini adalah untuk kegunaan masyarakat. Inilah antara usaha badan-badan korporat dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat mereka kepada masyarakat.
Sesungguhnya, sebagai sebuah badan korporat atau organisasi yang menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi yang mempunyai orentasi ekonomi yang pelbagai, kesedaran pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat perlu dipertingkatkan lagi dari semasa ke semasa walaupun keuntungan yang bakal diperolehi atau faedah yang bakal dikecapi tidak datang dalam jangka masa yang pendek namun hal ini adalah penting bagi memastikan keuntungan itu tidak dibolot oleh satu-satu pihak sahaja.
Tambahan pula, menyedari bahawa aktiviti pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat ini telah mendatangkan faedah yang bukan sedikit dan bukan dinikmati oleh satu-satu pihak sahaja, maka adalah lebih bijak jika syarikat atau badan-badan korporat melibatkan diri dalam aktiviti sebegini secara berterusan. Walau bagaimanapun usaha-usaha sosial ini tidak mungkin akan berjalan lancar tanpa penglibatan dan komitmen semua pihak. Jadi wajarlah jika semua pihak termasuklah kerajaan, masyarakat, individu dan sebagainya melibatkan diri dalam program yang telah dianjurkan oleh badan-badan korporat yang terlibat.
Kesimpulannya, tanggungjawab sosial merupakan satu kewajipan pihak korporat mengurus perniagaan mereka secara tulus dan beretika, menguruskan perniagaan mengikut undang-undang serta budaya hidup tempatan, memberi keutamaan kepada kebajikan pekerja, menunaikan tanggungjawab mereka menjamin kepuasan serta keselamatan pelanggan serta pengguna dan berjasa kepada masyarakat termasuk menjamin kesejahteraan hidup masyarakat.
Badan-badan korporat perlu mengambil perhatian bahawa tanggungjawab sosial korporat bukan sekadar membantu dan berjasa kepada kakitangannya sahaja. Ia meliputi segala tanggungjawab dalam negara termasuk terhadap masyarakat sekitar. Hakikatnya, di sekeliling kita terlalu banyak sumbangan yang telah dihulurkan oleh badan-badan korporat untuk manfaat masyarakat. Sebagai warga negara yang rasional, kita harus bersyukur dengan keprihatinan badan-badan korporat ini dalam memenuhi tangungjawab sosial mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan