Isnin, 30 Julai 2012

Keselamatan Makanan Di Gerai Tepi Jalan



Di negara kita, banyak gerai didirikan di tepi jalan yang menjual aneka jenis makanan. Peniaga-peniaga menyedari bahawa industri makanan mempunyai prospek yang cerah berbanding bidang perniagaan yang lain. Ramai pelanggan akan datang ke gerai-gerai ini kerana harganya lebih murah jika dibandingkan dengan restoran. Namun begitu, aspek keselamatan makanan di gerai tepi jalan perlu diberi perhatian oleh pengguna.
Menurut satu kajian, gerai tepi jalan telah dikenalpasti mempunyai potensi penyebab penyakit yang berkaitan dengan makanan. Hakikatnya, abuk dan debu yang berterbangan yang dihasilkan oleh kenderaan yang lalu-lalang, tidak dapat dihalang kewujudannya. Begitu juga soal penjagaan kebersihan dan kemudahan sanitasi persekitaran yang kurang memuaskan.
Persoalan sanitasi amat penting bagi sesebuah kawasan perniagaan makanan. Ia ditakrifkan sebagai satu rekabentuk dan penyelenggaraan kebersihan dan persekitaran yang sihat. Kawasan pengendalian makanan dan pengendali makanan yang sihat boleh mengelakkan pencemaran makanan dari mikroorganisma yang boleh menyebabkan penyakit-penyakit yang berkaitan dengan makanan.
Manusia merupakan perantara kepada kejadian keracunan makanan. Keracunan makanan ialah penyakit yang berlaku selepas memakan makanan yang tercemar dengan kuman, bahan kimia dan fizikal. Kebanyakan kejadian keracunan makanan adalah berpunca daripada kehadiran kuman di dalam makanan yang dimakan. Tangan yang kotor, nafas dan perpeluhan manusia boleh mencemari makanan selain daripada binatang atau serangga. Tindakan manusia yang tidak terkawal seperti bersin dan batuk juga boleh memindahkan bakteria kepada makanan yang boleh menyebabkan penyakit.
Sebab itulah pihak berwajib khususnya Jabatan Kesihatan sering mengarahkan supaya pengusaha premis makanan mengambil berat soal kebersihan semasa proses penyediaan makanan, penyimpanan makanan dan persekitaran premis menjual makanan. Pengusaha premis makanan perlu menjalankan tanggungjawab sosial terhadap pengguna untuk memastikan produk makanan sentiasa bersih dan selamat.
Terdapat tiga sebab utama kenapa makanan atau minuman itu tercemar. Pertama, pengendali makanan tidak mengamalkan kebersihan termasuk kebersihan diri, kebersihan peralatan untuk mengambil makanan dan juga kebersihan makanan itu sendiri. Yang kedua makanan yang tidak dimasak dengan sempurna khususnya makanan laut, makanan-makanan yang berasaskan haiwan seperti telur, daging, ayam, susu dan hasil tenusu. Yang ketiga, penyimpanan makanan, bakteria boleh membiak dengan cepat dalam suhu bilik. Makanan yang telah dimasak mesti disimpan dalam peti sejuk untuk mengelakkan pertambahan bakteria dengan cepat. Manakala makanan yang panas mesti disimpan pada suhu yang tetap dan tidak boleh kurang daripada 60 darjah Celsius. Makanan sejuk yang boleh dimakan terus, mestilah disimpan pada suhu di bawah 4 darjah Celsius.
Di samping itu keracunan makanan juga boleh berpunca daripada penggunaan bahan awet yang tidak dibenarkan atau penggunaannya yang melebihi had yang dibenarkan. Bahan pengawet yang tidak mendapat pengesahan, penggunaannya boleh membahayakan kesihatan pengguna dalam jangkamasa pendek seperti menunjukkan simptom cirit-birit dan muntah. Manakala kesan jangkamasa panjang pula boleh menjadi faktor penyumbang kepada kejadian kecacatan atau barah.
Satu lagi isu yang perlu diberi perhatian oleh pengguna ialah masa dan suhu memanaskan makanan. Jika kita ikut standard keselamatan antarabangsa, makanan perlu dilupuskan selepas empat jam disediakan. Sekiranya kita memasak makanan, kita mesti menghidangkannya serta merta. Jika ada lebihan, makanan itu mesti disimpan dalam bekas yang tertutup di dalam peti sejuk. Sekiranya kita mahu makan lebihan itu pada keesokan harinya, kita perlu memanaskan makanan itu pada suhu yang betul. Pengguna juga harus mengambil berat soal penggunaan bahan pengawet yang berlebihan di samping bahan perasa, minyak dan sos yang murah oleh sesetengah penjaja makanan. Semua bahan itu adalah ‘sahabat baik untuk pencetus kanser’.
Di sesetengah gerai menjual nasi campur, makanan dibiarkan terdedah dan adakalanya berjam-jam. Jika dibiarkan makanan dalam suhu bilik, bakteria di dalam makanan itu akan membiak dengan cepat, justeru pengguna perlu berhati-hati apabila makan salad mentah atau ulam di gerai-gerai berkenaan.
Kadang-kadang kita dapati para pekerja di gerai tepi jalan memakai pakaian yang kotor dan berkuku panjang. Pekerja-pekerja itu juga tidak menutup kepala dengan topi yang sesuai dan menggunakan kain yang sama untuk mengelap meja dan pinggan.
Di sesetengah gerai makanan tepi jalan juga kita dapati kebersihan dan keselamatan peniaganya tidak diperiksa oleh pihak berwajib. Kebanyakan pekerja yang mengendalikannya juga tidak dilatih untuk mematuhi piawaian keselamatan. Justeru kurang penguatkuasaan ini menyebabkan mereka tidak mengendahkan soal kebersihan. 
Kesimpulannya, para pengguna harus berhati-hati apabila memilih untuk menjamu selera atau membeli makanan di gerai-gerai tepi jalan. Carilah makanan yang panas seperti nasi goreng atau mi goreng yang disediakan hanya selepas diminta. Elakkan hidangan yang mempunyai ramuan mentah. Buah dan sayur mentah sering menyebabkan keracunan makanan dan infeksi bawaan air, seperti hepatitis dan tifoid. Elakkan apa saja yang ada sos atau bahan perasa yang dibiarkan di luar peti ais sepanjang hari. Begitu juga dengan snek yang telah dimasak terlebih dahulu seperti pisang goreng yang selalunya diletakkan di tempat yang terdedah. Memang susah untuk menentukan sudah berapa lama makanan itu ditinggalkan di situ. Mahu tidak mahu, ia sudah pun terdedah kepada hinggapan lalat, asap diesel, petrol, jerebu atau asap rokok.
Di samping itu pengguna juga harus berhati-hatilah dengan minuman ais, contohnya sirap bandung, air tebu atau kacang soya. Bukan saja ais yang digunakan untuk menyejukkan minuman itu, tetapi mesin mengisar tebu itu juga mungkin merupakan sumber infeksi. Pengguna juga harus ambil berat tentang sesuatu gerai yang menjual bahan makanan terutama tentang kebersihan diri dan kesihatan pengendali makanan, kebersihan peralatan dan perkakasan makanan serta kemudahan mencuci, penyimpanan bahan makanan mentah, keselamatan bekalan air, sambungan bekalan air paip, sistem perlimbahan yang berfungsi dengan baik, pemasangan perangkap minyak yang sempurna, kemudahan tandas dan mencuci tangan yang bersih dan berfungsi dengan baik, pengurusan pembuangan sampah dan sisa dapur, bangunan (lantai, dinding dan siling), pencahayaan dan pengudaraan, kawalan serangga, rodensia (tikus), haiwan peliharaan dan lain-lain lagi.
Jadilah pengguna yang prihatin dan cerewet. Banyak kesalahan yang sering dilakukan oleh pemilik gerai makanan tepi jalan seperti tiada grease trap atau perangkap minyak atau pemasangan yang sempurna, tandas kotor dan kemudahan tandas tidak berfungsi dengan sempurna, tiada kawalan lalat, tikus dan lipas, lantai, dinding dan siling gerai kotor atau rosak, tidak memakai apron dan penutup kepala, tiada suntikan typhoid, peti ais kotor dan tidak tersusun, membasuh pinggan di atas lantai, gerai tidak mempunyai stor penyimpanan makanan, tong sampah tidak mencukupi dan bertutup dengan sempurna dan sebagainya. Ini semua perlu diperhatikan oleh pengguna sebelum membeli makanan di sesebuah gerai tepi jalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan