Isnin, 30 Julai 2012

Apakah Yang Kita Perlu Lakukan Untuk Mencapai Matlamat Pengurangan Gas Rumah Hijau Menjelang Tahun 2020?


KESAN rumah hijau merupakan fenomena yang sangat berkait rapat dengan pemanasan global. Pemanasan global sendiri sebenarnya merupakan fenomena pemanasan bumi secara makro akibat pelbagai faktor terutamanya akibat pencemaran udara yang begitu hebat. Dengan kata lain suhu dunia semakin meningkat dan memberi kesan terhadap benua di seluruh dunia termasuklah benua Artik yang mengalami kesusutan ketebalan ais yang semakin ketara. Pencemaran dengan terbebasnya gas karbon dioksida dikatakan sebagai punca utama berlakunya kesan rumah hijau. Cahaya matahari membawa sinaran ultraunggu ke bumi tetapi haba yang sampai ke permukaan bumi tidak dapat dibebaskan akibat disekat oleh gas karbon dioksida yang melitupi atmosfera. Akibatnya suhu bumi semakin panas.
Kesan rumah hijau berpunca sama ada secara semulajadi atau buatan manusia. Secara semulajadi, kesan rumah hijau berpunca daripada letusan gunung berapi yang membebaskan gas-gas sulfur dan karbon. Selain itu pembakaran hutan akibat petir juga memberi kesan. Secara buatan manusia, kesan rumah hijau kebanyakannya berpunca daripada pembebasan bahan pencemaran udara seperti asap daripada kenderaan dan kilang. Penggunaan penyembur aerosol, sesetengah peti sejuk dan penghawa dingin yang membebaskan cloroflorokarbon (CFC) juga menyumbang kepada kesan pemanasan global ini.
Lantaran itu, beberapa tahun kebelakangan ini satu kejadian yang pelik telah berlaku di seluruh belahan dunia. Pelik dengan bahang panas melampau di Amerika Syarikat dan Eropah tetapi keadaan sebaliknya di negara panas, Afrika Selatan yang disimbahi salji. Tidak ketinggalan beberapa siri taufan yang semakin kerap dan ganas, termasuk berstatus taufan raksasa menggegarkan China manakala banjir terus menelan korbannya dari Pakistan, Habsyah, Korea sehinggalah ke India.
Keadaan cuaca tidak menentu itu menyaksikan beratus-ratus kematian dalam sekelip mata manakala lebih sejuta lain hilang tempat tinggal. Nilai kerugian akibat kehilangan jiwa dan kemusnahan harta benda mencecah berbilion dolar. Inilah senario terkini keadaan cuaca dunia yang lebih banyak pelik daripada kebiasaannya. Catatan rekod daripada panas dan sejuk melampau selain rentetan satu demi satu taufan ganas yang seakan-akan tidak memberi ruang bagi negara mangsa untuk bernafas.
Keadaan diburukkan lagi dengan ancaman gempa bumi kian kerap dengan catatan skala Richter lebih daripada sederhana sehingga menyebabkan amaran ombak besar atau tsunami yang amat asing bagi rantau Asia Pasifik, kini berlaku hampir setiap bulan. Pendek kata, bukan saja perkembangan politik dunia diselubungi pelbagai kekacauan, tetapi rekod alam sekitar juga tidak terkecuali kelam-kabutnya sebagaimana yang ketara di beberapa buah negara.
Namun, antara contoh ketara adalah membabitkan kejutan perbezaan cuaca ketara benua Eropah dan Amerika dengan Afrika. Apa tidaknya, Eropah dan Amerika yang lebih diketahui menikmati cuaca sejuk sebaliknya diselubungi panas melampau dengan paparan rakyatnya kepanasan terpampang di kebanyakan media utama dunia baru-baru ini. Keadaan sebaliknya berlaku di bahagian selatan dua benua itu apabila Afrika Selatan yang sudah sinonim dengan cuaca panas, menyaksikan kehadiran salji buat kali pertama sejak  tahun 1981.
Ramai kalangan saintis mengaitkan keadaan pelik itu sebagai kesan pemanasan global - satu keadaan yang dijangka berlarutan akibat pencemaran gas rumah hijau hasil pembakaran bahan fosil yang terperangkap dalam atmosfera. Biarpun sukar membuktikannya, seperti diakui Asher Timms, pegawai Pusat Penyelidikan Perubahan Cuaca Tyndall di Britain, corak cuaca bumi kini berubah. Akibatnya paras air laut semakin meningkat yang berkait rapat dengan salji yang semakin berkurangan atau cair di kebanyakan kawasan pergunungan serta bungkah ais Greenland yang mencair. Ini menyebabkan air laut semakin panas dan menyebabkan taufan makin ganas berlaku dengan kerap.
Malah antara bukti taufan yang mengganas adalah di China yang menyaksikan kemusnahan akibat serangan tiga taufan dalam tempoh sebulan. Dimulai taufan Bilis, Prapiroon dan terbaru taufan raksasa Saomai dengan angin selaju 216 kilometer sejam. Serangan taufan itu menyaksikan banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan hampir 1,000 orang terbunuh termasuk 600 akibat taufan Bilis saja. Keadaan banjir itu turut meragut nyawa di pojok lain dunia seperti di Korea Utara, India dan di Habsyah. Malah di Habsyah selain 254 kematian, seramai 250 orang masih hilang sehingga hari ini.
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, istilah pemanasan global atau global warming dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem-sistem bumi khususnya sistem atmosfera. Daripada sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba yang diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding dengan outputnya.
Oleh sebab itulah berlakunya kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro. Menurut Professor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: ‘Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah celcius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah celcius.’
Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai ialah cuaca panas yang melampau. Selain itu, kejadian bencana alam seperti ribut taufan, kecairan ais di Kutub Utara dan Selatan, kenaikan paras dan suhu air laut, kepupusan spesies flora dan fauna dan sebagainya juga merupakan kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang prominen pada masa sekarang. Oleh yang demikian, mitigasi fenomena perubahan cuaca dunia telah menjadi antara prioriti dalam masyarakat dunia pada masa kini.

Langkah Yang Perlu Dilakukan

Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui Kesan Rumah Hijau dan juga Penipisan Lapisan Ozon. Walaupun terdapat punca-punca semulajadi tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Antaranya ialah aktiviti perindustrian, penyahutanan untuk pelbagai tujuan, pembebasan cloroflorokarbon, punca kenderaan, pembakaran terbuka dan yang paling dashyat adalah melalui ujian nuklear. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.
Lantaran itu penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau tersebut. Ia juga selaras dengan agenda utama kerajaan di seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu-isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca dunia. Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in.
Sebagaimana yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif akitiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semulajadi, pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.
Teknologi hijau merujuk kepada produk, peralatan, atau sistem yang mampu meminimumkan degrasi kualiti persekitaran; ia mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar; ia selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan; menjimatkan tenaga dan sumber asli; dan menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Terdapat empat tonggak Dasar Teknologi Hijau Negara iaitu:

1.     Tenaga - mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga
2.     Alam sekitar - memulihara dan meminimumkan kesan kepada alam sekitar
3.     Ekonomi - meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi; dan
4.     Sosial - meningkatkan kualiti hidup untuk semua.

Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan (sustainable development) di mana pembangunan yang dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air, dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Produk itu selamat digunakan dan menyediakan persekitaran yang sihat dan lebih baik untuk semua hidupan. Ia juga menjimatkan tenaga dan sumber asli serta menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Antara kebaikannya yang lain termasuklah mengurangkan kadar penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi.
Selain itu, teknologi hijau juga memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi hijau dan meluaskan teknologi hijau tersebut. Teknologi hijau juga mampu mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan fenomena perubahan cuaca dunia.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, Dasar Teknologi Hijau Negara yang telah dilancarkan berasaskan kepada empat tonggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga, teknologi hijau akan mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara. Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara. Manakala dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.
Sesungguhnya, proses perubahan cuaca global sememangnya tidak dapat dihalang. Walau bagaimanapun, usaha-usaha boleh dilakukan untuk melambatkan proses tersebut. Lantaran itu, aplikasi teknologi hijau merupakan salah satu alternatif bagi melambatkan proses perubahan cuaca dunia. Kita sebagai pengguna merupakan salah satu daripada penyumbang terbesar dalam pelepasan gas rumah hijau melalui aktiviti harian. Antara contoh aktiviti harian kita yang banyak menyumbang ke arah perubahan cuaca global ialah penggunaan kereta, tenaga elektrik, penggunaan bahan-bahan kimia seperti racun serangga dan sebagainya.
Hakikatnya, bumi ini sudah tidak lagi mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran yang dilakukan oleh manusia. Tenaga berperanan penting dalam semua aktiviti. Sumber tenaga di negara kita dibahagikan kepada 2 jenis iaitu sumber tenaga konvensional (tidak boleh diperbaharui) dan tidak konvensional (boleh diperbaharui). Sumber tenaga konvensional yang terbesar di Malaysia adalah petroleum dan jenis sumber ini akan semakin berkurangan serta habis jika digunakan secara berterusan. Contoh sumber tenaga bukan konvensional yang tidak terhad digunakan ialah biojisim dan solar.
Ketika Revolusi Perindustrian yang bermula di Britain sejak abad ke-18 hinggalah hari ini, tenaga yang menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan dunia ialah bahan api fosil yang terdiri daripada minyak, gas dan arang yang merupakan sumber tenaga konvensional. Bahan api fosil banyak membantu dalam pembangunan tetapi ramai orang tidak sedar akan kesan penggunaan bahan fosil terhadap bumi ini. Penggunaan bahan bakar fosil yang semakin meningkat telah berperanan besar dalam fenomena pemanasan global dengan melepaskan karbon dioksida (CO2) ke udara bebas dan seterusnya mempengaruhi perubahan iklim dunia. Untuk mengurangkan bilangan manusia yang hanya memikirkan keuntungannya tanpa melindungi bumi, pemimpin dunia telah memperkenalkan pemakaian tenaga alternatif yang menggantikan bahan bakar fosil yang membahayakan.
Terdapat pelbagai bahan boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil seperti tenaga solar (matahari), tenaga air, tenaga angin, hidrogen, dan biojisim kelapa sawit. Malaysia merupakan negara yang beriklim panas dan lembap sepanjang tahun. Kita boleh memanfaatkan cahaya matahari pada waktu siang sebagai sumber tenaga untuk menggantikan tenaga elektrik. Walaupun kos untuk sistem solar tinggi dan sesetengah kawasan tidak mendapat cahaya matahari untuk jangka masa yang panjang kerana keadaan cuaca tidak menentu, tetapi kebaikannya tidak boleh diabaikan juga. Tenaga matahari dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah kaca serta tenaganya boleh disimpan untuk penggunaan elektrik pada waktu malam. Tenaga ini boleh dimanfaatkan untuk tiang lampu yang banyak di negara kita.
Tenaga hidro berasal daripada air yang mengalir mengandungi tenaga yang boleh diubah menjadi tenaga elektrik. Tenaga hidro menampung keperluan pertanian. Tanah bumi Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna telah menjadikan negara kita sebagai kawasan yang mempunyai bekalan air yang berterusan. Hampir 90% daripada sumber tenaga yang diperbaharui datang daripada kuasa hidro. Empangan telah digunakan sebagai sebuah stesen janakuasa hidro untuk menakung air sungai. Tenaga ini adalah percuma. Air juga boleh disimpan di dalam empangan dan sedia digunakan pada masa yang diperlukan serta tidak ada sisa buangan yang menyumbang kepada pencemaran. Tenaga ini juga lebih diyakini berbanding dengan tenaga angin, matahari dan gelombang.
Hidrogen juga merupakan bahan gantian untuk bahan bakar fosil. Hidrogen boleh digunakan sebagai sejenis bahan api yang menggerakkan kenderaan. Hidrogen dibakar dalam enjin melalui kaedah yang serupa dengan kereta petrol tradisional. Dalam penukaran sel bahan api, hidrogen bertindak balas dengan oksigen untuk menghasilkan air dan elektrik untuk menjana motor tarikan elektrik. Kenderaan yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar dapat mengurangkan penggunaan gas rumah tanaman dan perosak lapisan ozon. Tetapi untuk mendapatkan bahan ini adalah sukar kerana hidrogen diperoleh melalui kaedah termokimia yang menggunakan gas asli, arang, gas petroleum cecair, biojisim, melalui proses termolisis atau dihasilkan dari air melalui elektrolisis. Oleh itu, hidrogen dikenali sebagai kaedah yang paling kurang cekap dan paling mahal untuk mengurangkan gas rumah hijau.
Biofuel juga merupakan bahan bakar alternatif untuk bahan bakar fosil yang dihasilkan dari bahan-bahan organik. Biofuel boleh dihasilkan secara langsung dari tanaman atau limbah industri, komersial, domestik, atau pertanian. Ada tiga cara untuk menghasilkan boifuel iaitu limbah organik kering (buangan rumah tangga), fermentasi limbah basah (kotoran haiwan) atau fermentasi tebu atau jagung dan tenaga dari hutan. Biofuel menghasilkan karbon dioksida yang jauh lebih sedikit daripada bahan bakar fosil yang mencemarkan udara. Biofuel boleh terurai dan sumber bahan buatan biofuel adalah terjamin serta mampu mengelakkan daripada rumah kaca.
Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan jaminan kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.
Kita harus mengamalkan amalan hijau sebanyak yang boleh, bermula dengan perkara-perkara mudah yang boleh kita laksanakan. Contohnya, kita boleh membawa air minum dalam bekas tanpa keperluan membeli botol-botol air. Kalau kita membeli makanan untuk dibawa balik ke rumah, eloklah kita menggunakan bekas makanan sendiri daripada menggunakan bekas styrofoam atau plastik yang tidak mesra alam. Bawalah beg sendiri ketika membeli-belah.
Kita sebagai pengguna juga harus mengutamakan pembelian peralatan elektrik jenis cekap tenaga. Utamakan penggunaan lampu cekap tenaga. Tindakan sedemikian akan menghasilkan penjimatan tenaga. Walaupun harga peralatan cekap tenaga lebih mahal sedikit berbanding peralatan biasa, namun penjimatan tenaga adalah banyak dan kurang menjejaskan alam sekitar. Yang penting adalah supaya kita mulakan dengan langkah-langkah yang mudah dan murah dahulu. Jadikan amalan hijau budaya hidup kita. Ibubapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak supaya mereka akan turut terdorong untuk mengamalkan budaya hijau.
Sebenarnya perubahan gaya hidup dan perubahan minda akan mengorak langkah ke arah penghayatan dan pengamalan teknologi hijau. Perubahan kecil yang kita buat pada hari ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan. Yang penting, kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini a better place to live in. Dalam mengaplikasi teknologi hijau, faedah terbesar ialah dari segi peningkatan kualiti hidup rakyat dengan menjamin kualiti alam sekitar yang lebih mapan. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat sekiranya masalah tersebut dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minima.Teknologi hijau juga mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang-peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk ‘hijau’ yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharu atau renewable energy. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenalpasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk negara kita.
Sebagai kesimpulannya, penekanan terhadap ‘teknologi hijau’ adalah altenatif yang tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau menjelang tahun 2020. Satu sistem pengurusan sumber yang berkesan perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan dan penggunaan yang berterusan bagi kegunaan manusia pada masa hadapan. Untuk mencapai matlamat pengurangan gas rumah hijau menjelang tahun 2020, pemakaian tenaga alternatif adalah amat digalakkan. Sesungguhnya, teknologi hijau akan dapat membantu dalam memuliharakan alam sekitar dan meningkatkan kualiti hidup makhluk sejagat. Sama-samalah kita merealisasikannya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan