Isnin, 17 Oktober 2011

Tidak Perlu Risau Di Beijing

SMAHADZIR

PELANCONG Muslim yang bertandang ke Beijing tidak perlu risau untuk bersolat dan mendapatkan makanan halal kerana ada 68 masjid serta kira-kira 20 restoran Muslim sedia melayan. Suatu ketika dulu saya sempat melawat dan bersolat di tiga masjid di ibu negara China ini dan mencatatkan kenangan kembara yang sukar untuk dilupakan di bumi ini.

Tidak sukar untuk bersolat di sini

Apa lagi yang ada di China selain Tembok Besar? Itu pertanyaan bagi mereka yang berpeluang ke Beijing. Jangan khuatir kerana anda pasti akan tertarik dengan pemandangan dan sejarah pelbagai lokasi menarik di sana, antaranya Dataran Tiananmen dan Kota Larangan atau Forbidden City, selain tembok raksasa yang menjadi antara satu daripada tujuh keajaiban dunia.

Tidak lengkap kunjungan ke Beijing jika tidak melawat Dataran Tiananmen kerana lokasi ini lambang kebudayaan dan tapak pelbagai peristiwa terpenting dalam sejarah China terutama peristiwa Bantahan Dataran Tiananmen 1989 oleh kumpulan pelajar, cendekiawan dan aktivis buruh pada 15 April hingga 4 Jun 1989. Menurut pemandu pelancong kami, Han Su Mao atau Johan yang fasih berbahasa Indonesia, dataran bersejarah yang mempunyai keluasan 100 hektar itu dibina pada 1420-an ketika Dinasti Ming dan kini menjadi dataran bandar terbuka terbesar di dunia.

Pintu masuk sebuah masjid di Beijing

Ia turut dijadikan lokasi perhimpunan besar-besaran sejak mula dibina dan mempunyai Tugu Wira Rakyat dengan ketinggian 38 meter yang siap dibina pada 1958. Dataran yang diambil sempena nama Tiananmen yang bermaksud pintu damai syurga itu terletak di antara dua pintu gergasi yang dibina pada zaman silam iaitu Tiananmen di utara dan Zhengyangmen atau Qianmen di selatan.

Pelancong pasti tidak mahu melepaskan peluang mengambil gambar kenangan berlatar belakang Menara Tiananmen yang menempatkan gambar Mao Zedong, presiden pertama China. Lokasi strategik dataran itu juga menjadikannya lokasi pilihan pelancong yang bertandang ke bumi Beijing, apatah lagi di sebelah barat terdapat Dewan Besar Rakyat manakala Muzium Kebangsaan China yang dikhususkan untuk menempatkan barangan sejarah negara ini sehingga 1919 terletak di sebelah Timur.


Sebuah restoren makanan Islam menyajikan makanan yang halal

Sejarah dan lokasi dataran itu turut mengundang rasa teruja 40 ahli rombongan dari Malaysia, termasuk penulis yang berpeluang meneroka keindahan ibu negara China itu selama tujuh hari enam malam melalui pakej pelancongan Andalusia Holidays, menaiki pesawat Cathay Pacific. Kami turut dibawa ke Kota Larangan iaitu istana rasmi Maharaja China yang bermula sejak zaman Dinasti Ming hingga akhir Dinasti Qing. Dalam kota yang penuh sejuta keunikan ini, ada Muzium Istana yang menjadi kediaman maharaja dan keluarganya pada zaman silam.

Kompleks istana bersejarah itu dibina pada 1406 hingga 1420 dengan keluasan 7.8 juta kaki persegi menempatkan 8,707 bilik dan diisytihar Tapak Warisan Dunia pada 1987. Kota Larangan yang mempunyai binaan kayu kukuh itu juga disenaraikan sebagai himpunan struktur kayu terbesar yang terpelihara di dunia oleh UNESCO. Pelancong Muslim yang bertandang ke Beijing tidak perlu risau jika ingin menunaikan solat dan mendapatkan makanan halal kerana terdapat 68 masjid serta kira-kira 20 restoran Muslim yang menjanjikan keselesaan dengan hidangan masakan China seimbang dengan hidangan wajib telur dadar dan kubis goreng.

Penulis dan peserta rombongan berpeluang melawat dan bersolat di tiga masjid sepanjang tujuh hari di Beijing iaitu Masjid Niujie yang juga masjid tertua di sana, selain Masjid Nan Dou Ya dan Masjid Madian yang dibina lebih 300 tahun lalu pada zaman Dinasti Qing, selain mempunyai ciri istana kuno China dengan gaya hiasan bercorak Arab. Kami juga dibawa ke pusat jed terbesar yang mempamerkan pelbagai koleksi barangan jed berkualiti tinggi hingga memukau mata. Wakil pusat berkenaan turut memberikan penerangan mengenai jenis batu Jed, kegunaannya serta proses membuat perhiasan dan kualiti setiap jenis jed.


Sebuah masjid yang penulis tandangi di Beijing

Penulis terpukau melihat pesona ukiran jed berbentuk kubis yang dipamerkan kerana menurut kepercayaan masyarakat Cina, sayur berkenaan adalah kunci rezeki dan kekayaan. Masyarakat Cina juga percaya jed boleh membawa tuah dan berfungsi bagi meningkatkan kesihatan si pemakai terutama pada buah pinggang, jantung dan hati.

Kunjungan ke Beijing tidak lengkap jika tidak melawat beberapa lagi lokasi menarik antaranya Istana Musim Panas, Zoo Panda, Tembok Besar China, Kilang Sutera, Kilang Mutiara, Pusat Perubatan Herba, Stadium Olimpik Sarang Burung dan menonton persembahan akrobatik serta kung fu. Kami juga ke pusat beli-belah menawarkan harga 50 peratus kurang daripada harga asal iaitu Sunny Gold Market, Tanya Market dan Silk Market menjual cenderahati, beg dan pakaian. Perlu waspada kerana peniaga di kebanyakan pasar sangat agresif, menggunakan perkataan kasar sekiranya pelancong menawar tetapi kemudian tidak bersetuju membeli.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan