Isnin, 17 Oktober 2011

Khazanah Siem Reap

SMAHADZIR

SIAPA tak kenal Angkor Wat - kuil lama yang dihebahkan kepada Barat oleh pengembara Perancis, Henri Mouhot pada pertengahan abad ke-19 yang akhirnya dijadikan ikon pelancongan moden. Susulan itu, berpusu-pusu pelancong bertumpu ke bandar kecil Siem Reap yang diibaratkan 'jambatan' ke kawasan keajaiban arkeologi di Kemboja ini.

Tidak hairanlah, deretan restoran, hotel dan pusat peranginan tumbuh bagai cendawan selepas hujan di pinggir bandar ini, khususnya di sepanjang Lebuh Raya Nasional 6 dan laluan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap. Bagi saya, pengalaman mengunjungi monumen bersejarah ini beberapa kali sebenarnya mendekatkan saya dengan tarikan lain Siem Reap yang tersimpan rapi.

Pasar Lama, Tasik Tonle Sap antara tarikan istimewa bandar Kemboja

Bandar Siem Reap sendiri, misalnya dilingkari nostalgia yang kini seakan dilupakan, namun keindahan seni bina Eropah dan Cina di kawasan penempatan Old French Quarter dan sekitar Pasar Lama atau Old Market tidak pernah pudar. Malah ia membangkitkan warisan kosmopolitan yang kaya dan bukti keunikan masa lampau bandar kecil ini.

Tempat kegemaran saya? Sudah pasti di sekitar Pasar Lama dengan suasana paling menarik dinikmati adalah sejurus selepas fajar menyinsing, diselubungi aroma sayur-sayuran segar, haruman bunga dan buah-buahan sambil disulami pula bau sarat rempah ratus dan herba. Tidak ketinggalan, aroma biji kopi baru dikisar dan hanyir ikan segar yang ditangkap dari tasik Tonle Sap serta sungai di sekitar bandar itu.

Dewasa ini, tarikan lain Pasar Lama Siem Reap adalah koleksi hasil kraf, cenderahati, barangan antik dan produk wajib buruan pelancong seperti baju T dan poskad, selain dari kedai batu pertama dan sutera yang melengkapkan lagi pusat perdagangan penuh hiruk-pikuk ini. Apa yang pasti, ketrampilan peniaganya turut menjadi tumpuan, kebanyakannya memakai sarung warna warni persis kain wanita, tetapi ia sebenarnya memaparkan kehilangan tragik generasi Kemboja apabila dianggarkan lebih sejuta kaum lelakinya lenyap dibunuh kejam secara beramai-ramai pada era kezaliman Khmer Rouge sekitar 1970-an.

Hari ini, parut penderitaan lampaunya seakan pudar dibaluti pertumbuhan pesat ekonomi dan sektor pelancongan yang kian subur. Generasi baru pemuda Siem Reap kini tidak menang tangan melayan kehadiran pelancong asing, sibuk tawar menawar tambang teksi dan harga patung Apsara yang dihias cantik.

Tarian Apsara

Tarikan Apsara sendiri tidak harus diketepikan. Ia merujuk kumpulan penari yang mempersembahkan seni itu kepada dewa seperti dipaparkan dalam mitos Hindu dan Buddha. Di Siem Reap, persembahan Apsara diadakan setiap malam di restoran besar yang sekali gus menghidupkan kehebatan yang melingkari Angkor Wat dengan begitu indah dan menarik. Berbanding tarian tradisional lain di Thailand dan pelusuk Indochina lainnya, setiap gerak geri dan lenggokan tarian Apsara begitu lembut bagai pelepah bulu burung yang melontarkan keasyikan mistik dan keindahan budaya yang tersendiri.

Malah, burung itu sendiri menjadi antara sebab kehadiran pelancong ke Siem Reap. Sebagai pemerhati burung tegar, penulis teruja melihat semakin ramai pelancong dan pelancong alam sekitar dari Eropah, Amerika Utara dan Asia bertumpu ke Prek Toal Bird Sanctuary atau Taman Perlindungan Burung Prek Toal. Terletak di tengah-tengah kawasan simpan Biosfera Tonle Sap, ia turut dikenali sebagai satu-satunya habitat terpenting kumpulan burung besar yang terancam di peringkat global. Syurga pemerhati burung seluas 31,000 hektar di hujung timur laut Tasik Tonle Sap itu boleh dikunjungi dengan perjalanan singkat dari bandar Siem Reap.

Saya terpukau melihat kawanan burung termasuk Egret yang memutih bagai salji, keanggunan Heron, Purple Gallinules yang cantik, Stork berkaki panjang dan Ibis yang eksotik. Paling menarik, kelibat burung helang berkepala kelabu menebarkan sayap sambil matanya tajam memburu habuan di Tasik Tonle Sap. Lebih 230 spesies burung direkodkan di kawasan itu, kebanyakannya mampu membiak kerana lambakan dan kepelbagaian ikan di tasik berkenaan.

Seperti burung, manusia juga berharap rezeki dari Tonle Sap. Dianggarkan 75 peratus hasil ikan di seluruh Kemboja berasal dari sini dan hampir tiga juta penduduk negara ini juga bergantung hidup dari industri perikanan di tasik berkenaan dan sungai utamanya, Sungai Mekong. Menyusuri sekitar Siem Reap, anda pasti tertawan dengan pesona bandar itu - kemesraan penduduknya yang meneruskan hidup dilatari tradisi serta arus pemodenan.

Penduduk Tonle Sap terpaksa berdepan dua fenomena unik, iaitu air tasik besar ini bertukar arah dua kali setahun akibat banjir dan perubahan fizikal kawasan sekitarnya, yang turut menyebabkan saiz dan kedalaman tasik berubah mendadak dengan peningkatan paras air antara satu hingga sembilan meter pada musim berbeza. Berikutan fenomena itu, lahirlah perkampungan air, rumah bot, penempatan terapung serta rumah unik yang boleh ditanggal pasang segera untuk berpindah jika paras air naik! Tidak ketinggalan, pekan terapung dengan kedai, klinik dan sekolah yang tersergam di atas pelantar.

Kumpulan bot kecil berkumpul dan membentuk pasar terapung, kanak-kanak pula berkayuh dalam besen aluminium, baldi plastik atau kotak polisterin tanpa menghiraukan keadaan sekeliling, lantas mencetuskan riak kebingungan pada wajah pelancong yang kali pertama berkunjung ke sini. Saya hanya tersenyum kepada pelancong di bot sebelah yang asyik melihat kembali foto rakaman mereka mengenai kehidupan ringkas nelayan, kawanan burung dan penari Apsara di sini. Terlintas dalam hati, sesungguhnya pelepah bulu burung, ikan dan kisah dongeng adalah antara khazanah tersembunyi bandar menarik bernama Siem Reap.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan