Sabtu, 26 Februari 2011

Penjagaan Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama

SMAHADZIR

Kini, manusia dan alam semula jadi dikatakan sedang menuju pertembungan. Kegiatan manusia yang teruk telah memudaratkannya dan sering berlaku kerosakan yang sukar dipulihkan terhadap alam sekitar dan sumber kritikal. Jika tidak dihentikan dan dibiarkan berterusan, kebanyakan amalan kita kini akan meletakkan risiko yang serius terhadap masa depan yang indah bagi manusia, alam tumbuh-tumbuhan, serta haiwan, dan hal ini mungkin mengubah dunia hidup kita sehingga tidak mampu untuk menampung kehidupan yang sebenarnya.

Perubahan asas diperlukan segera sekiranya kita mahu mengelakkan pertembungan yang bakal dihadapi. Alam sekitar kita sedang mengalami tekanan kritikal. Jadi, di sinilah letaknya tanggungjawab kita bersama dalam menjaga alam sekitar. Tidak kira apa pun bangsa dan kepercayaan agama, tanggungjawab ini harus dilihat secara menyeluruh dan rasional demi kelestarian dan kesejahteraan hidup makhluk sejagat.

Kita perlu menjaga alam sebagai anugerah Tuhan yang diamanahkan kepada manusia. Bukan hanya sebagai sumber ekonomi untuk dieksploitasi bagi mengaut keuntungan. Kita hendaklah menghindari diri dari menjadi robot yang hanya didorong oleh desakan dan kuasa ekonomi serta konsumpsi. Undang-udang dan teknologi tidak akan dapat mengatasi masalah-masalah alam sekitar yang kita alami sekarang ini. Apa yang kita perlukan ialah perubahan radikal dalam pandangan hidup, nilai, sikap dan hubungan manusia dengan alam serta hubungan sesama manusia.

Hakikat menjelaskan bahawa pencemaran alam sekitar berlaku kerana peningkatan jumlah manusia dan kegiatan ekonomi yang tidak terhingga yang berlaku dalam tempoh 50 tahun kebelakangan ini. Bilangan manusia dalam masa tersebut telah meningkat daripada 2.5 bilion kepada melebihi 6 bilion. Pengeluaran barangan dan perkhidmatan juga bertambah lebih lima kali ganda. Peningkatan kegiatan ekonomi dan teknologi yang digunakan lebih memudaratkan alam sekitar.

Antara teknologi dahsyat yang sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar ialah teknologi keganasan, sama ada yang bersifat struktural, melalui kecuaian terhadap perkhidmatan asas yang mengakibatkan kesengsaraan dan maut, atau jenis teknologi yang melahirkan keluaran, proses, dan sisa yang boleh memudaratkan mahupun membunuh. Misalnya, penggunaan tidak bertanggungjawab pestisida yang bukan sahaja mencemarkan sistem perairan, malah mengakibatkan lebih satu juta kematian manusia di dunia.

Selain itu terdapat juga teknologi manipulasi, sama ada melalui propaganda birokrasi mahupun pengiklanan yang mengakibatkan penggunaan yang tidak lestari yang sudah tentunya akan mempercepatkan proses kerosakan alam sekitar. Di tambah pula satu lagi teknologi iaitu teknologi pembaziran yang menghasilkan berjuta-juta tan sampah dan sisa buangan. Sebanyak 3.2 juta tan sisa buangan dieksport ke negara membangun yang sanggup menjadi padang sampah global. Kira-kira 1.2 bilion penghuni bumi boleh dilabelkan sebagai ‘pengguna gelojoh’ atau menggayakan hidup yang tidak lestari dan bertanggungjawab terhadap 70% kemusnahan alam sekitar kita.

Kalau dulu kita sering mendengar hujan asid, kini ada kabus asid pula. Sebanyak 16 jenis racun ditemukan dalam kabus asid. Kabus ini mengandungi 100 kali ketinggian asid berbanding dengan hujan. Ketinggian asid ini mampu memusnahkan tumbuh-tumbuhan, termasuk hutan, serta memberi kesan buruk terhadap kesihatan.

Penipisan lapisan ozon terus mengancam manusia. Dianggarkan antara lima hingga 20% lebih banyak sinaran radioaktif ultraviolet masuk ke bumi. Situasi ini boleh mengakibatkan rantai makanan, sama ada di dalam laut atau di darat, terjejas. Kesihatan manusia juga akan terganggu kerana mengalami penyakit barah kulit, penyakit bular dan penekanan sistem imuniti.

Dalam keadaan biasa, reaksi bahan kimia yang dihasilkan oleh cahaya matahari akan memusnahkan dan memulihkan lapisan ozon dalam satu edaran yang berterusan. Tetapi kegiatan manusia memburukkan lagi keadaan dengan memperkenalkan bahan baru iaitu klorin dan bromin, yang mengandungi bahan kimia yang kekal di atmosfera berabad-abad lamanya. Setiap atom klorin dan bromin akan memusnahkan beribu-ribu molekul ozon.

Keadaan bertambah buruk apabila penggunaan tin penyembur aerosol, penyaman udara, kusyen, cip komputer, dan insulasi buih membenarkan lebih banyak sinaran radioaktif ultraviolet ke atmosfera. Bahan kimia ini turut menghalang radioaktif infra daripada keluar. Radioaktif infra ialah gas yang terbebas daripada kesan rumah hijau dan berperanan untuk memanaskan suhu bumi antara 15 hingga 20%.

Oleh itu, lapisan ozon penting kerana dapat menghadkan jumlah sinaran solar radioaktif ultraviolet ke bumi. Tanpanya, kehidupan di bumi tidak mungkin wujud. Selain itu, penggunaan air secara rakus serta pencemaran alam sekitar turut membahayakan bekalannya untuk kegunaan manusia. Tuntutan tinggi terhadap air permukaan mengakibatkan kekurangan air yang serius di 80 buah negara yang mengandungi 40 peratus penduduk bumi. Pencemaran air sungai, tasik dan air bawah tanah turut menghadkan bekalan air, yang pasti menjejaskan kehidupan lain di bumi.

Kini tekanan yang merosakkan laut kian teruk, khasnya di kawasan pantai yang menghasilkan tangkapan ikan yang tinggi. Beberapa buah kawasan penangkapan ikan menunjukkan tanda kepupusan. Sungai yang dahulunya hanya membawa tanah terhakis ke laut kini turut mengangkut sisa industri, pertanian, dan sebagainya yang sebilangannya beracun. Beberapa buah tasik besar dan laut kini mengalami masalah pengasidan. Kini kian banyak laut diserang oleh kesan algal blooms atau air pasang merah yang membahayakan kehidupan laut dan hasilnya. Algal blooms meningkat kerana bertambahnya pencemaran. Sebilangannya mengeluarkan toksin yang membahayakan hidupan laut yang lain. Toksin ini mungkin membiak di dalam badan hidupan laut dan membawa padah kepada manusia yang memakannya. Sebenarnya, kebanyakan algal blooms tidak mengandungi racun, tetapi membahayakan hidupan lain kerana memerlukan kandungan oksigen yang tinggi.

Yang semakin membimbangkan ialah kenaikan paras laut kerana kenaikan suhu dunia. Kesan rumah kaca atau rumah hijau boleh mengakibatkan peningkatan paras laut sebanyak satu meter lagi bagi 50 hingga 60 tahun yang akan datang. Kesan yang diduga kerana peningkatan paras laut ialah hakisan pantai yang lebih cepat, kemusnahan sistem parit dan tali air serta pertambahan tahap kemasinan air bawah tanah, muara sungai, dan tanah pertanian. Kemusnahan tanah pertanian dan salinatasi air tawar akan berleluasa. Gelombang dan ribut taufan akan menghayutkan tebing pantai dan membuatkan kawasan pantai sukar dipertahankan. Hidupan laut mungkin pupus.

Di samping itu, hutan juga semakin kurang. Keadaan ini tambah kritikal kerana hutan pendukung kehidupan sebilangan besar makhluk bumi. Hutan hujan tropika serta hutan kering tropika dan hutan iklim sederhana dimusnahkan dengan pesatnya. Pada kadar kini, beberapa jenis hutan yang kritikal akan lenyap dalam masa beberapa tahun. Kebanyakan hutan hujan tropika akan pupus. Yang turut pupus ialah sebilangan besar spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Setiap tahun sejak tahun 1988, bumi kehilangan lebih banyak hutan tropika berbanding dengan tempoh kewujudan bumi selama 4.6 bilion tahun. Menjelang tahun 2100, sepertiga spesies yang kini hidup akan pupus. Walaupun hujan tropika cuma meliputi 7% jumlah keluasan bumi, kepentingannya terhadap biosfera adalah kritikal. Dengan keadaan yang panas lembap hampir sepanjang tahun, musim tumbesarnya berterusan. Hutan tropika mengandungi simpanan karbon yang tinggi. Apabila hutan berkurangan, karbon dibebaskan sebagai karbon monoksida di atmosfera. Situasi ini akan menyebabkan haba terperangkap di atmosfera lalu meningkatkan pemanasan dunia. Pemusnahan hutan tropika memberi sumbangan antara tujuh hingga 31% karbon dioksida yang dibebaskan setiap tahun.

Hutan tropika merupakan habitat separuh daripada jumlah spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan di muka bumi ini. Banyak spesies masih belum ditemui, dikaji atau diberi nama. Tiada sesiapa yang tahu akan jumlah spesies yang hidup atau yang telah pupus. Menurut Edward Wilson dari Universiti Harvard, 10 ribu spesies mungkin pupus setiap tahun, lebih kurang satu dalam sejam.

Kehilangan baka dapat memberi kesan kepada ekologi. Manusia menyebabkannya kerana banyak spesies di hutan tropika merupakan sumber penting bagi ubat-ubatan. Satu dalam empat jenis ubat berpunca dari hutan tropika, termasuklah ubat untuk rawatan leukemia kanak-kanak. Walaupun kepentingan hutan kepada manusia dan makhluk darat lain jelas, kedudukannya masih diselubungi kekaburan. Maka manusia perlu bertanggungjawab bagi menjamin kesejahteraan hutan yang masih wujud demi kewujudan manusia dan lain-lain makhluk bernyawa.

Kesimpulannya, penjagaan alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Banyak usaha yang boleh kita lakukan untuk merealisasikan perkara ini. Antaranya, kita mesti mengawal semua kegiatan yang merosakkan alam sekitar bagi memulihkan dan melindungi integriti sistem planet ini. Misalnya, beralih daripada menggunakan bahan tenaga fosil kepada sumber tenaga mesra alam yang lestari bagi mengurangkan pengeluaran gas rumah kaca dan pencemaran udara dan air. Keutamaan mesti diberi kepada pembangunan sumber tenaga menurut keperluan dunia ketiga – bersifat kecil dan secara relatif mudah dilaksanakan.

Selain itu, kita mesti menghentikan aktiviti penebangan hutan, kerosakan dan kehilangan tanah pertanian, dan kepupusan spesies haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Kita mesti mengurus sumber secara lebih berkesan. Kita harus memberi keutamaan kepada penggunaan tenaga, air, dan bahan lain secara cekap, termasuk pengembangan pemuliharaan dan pengitaran. Kita mesti menstabilkan jumlah penduduk. Hal ini hanya akan dicapai apabila semua negara mengaku memerlukan pemajuan ekonomi dan sosial, dan penerimaan sukarela perancangan keluarga yang efektif.

Di samping itu, kita sebagai manusia juga mesti mengurangkan dan akhirnya menghapuskan kemiskinan. Kita mesti mempastikan kesaksamaan jantina, dan menjamin kawalan wanita terhadap keputusan melahirkan anak. Kita harus sedar bahawa kerosakan alam sekitar adalah antara ancaman dahsyat yang dihadapi dan usaha untuk mengurangkannya tidak berjaya sekiranya kadar penduduk tidak dikawal. Bencana paling teruk ialah terperangkap dalam lingkaran kemelesetan alam sekitar, kemiskinan, dan keresahan, yang membawa kepada keruntuhan sosial, ekonomi, dan alam sekitar.

Kejayaan dalam usaha semesta ini memerlukan pengurangan yang besar dalam keganasan dan peperangan. Sumber yang digunakan bagi penyediaan dan perilaku peperangan, yang berjumlah melebihi USD1 trilion setahun, diperlukan bagi tugas baru ini. Etika baru diperlukan, termasuk sikap baru terhadap melaksanakan tanggungjawab memelihara diri dan bumi. Keupayaan bumi ini terhad rapuh. Manusia tidak boleh terus membenarkannya dibinasakan. Kata pepatah Melayu, dunia ini hanya pinjaman. Dalam hal ini, agama Islam menuntut manusia bertindak sebagai khalifah di bumi ini dan memastikan bahawa dunia ciptaan Allah SWT ini terus kekal dalam keindahannya dan kegunaannya. Jika tidak, masanya akan tiba untuk seluruh dunia dan spesies manusia sendiri akan musnah disebabkan oleh tangan mereka sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan