Sabtu, 26 Februari 2011

Pengaruh Iklan Dan Pemasaran Terhadap Diet Dan Pemakanan Kanak-kanak

SMAHADZIR

ZAMAN ini kita tidak dapat lari dari iklan. Iklan merupakan salah satu strategi pemasaran yang terpenting dalam usaha melariskan sesuatu produk. Iklan juga amat penting untuk memberitahu masyarakat tentang sesuatu produk terbaru yang ada di pasaran. Dewasa ini, iklan melalui kaca televisyen merupakan satu saluran yang begitu efektif dan mampu mengumpul pembeli dalam waktu yang singkat. Pengaruh televisyen memang tidak dapat dinafikan lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak.

Kebijaksanaan tektik pemasaran dalam mempengaruhi kanak-kanak ialah dengan menggunakan elemen kartun dalam iklan produk. Setiap iklan yang menggunakan kartun sudah pasti akan menarik perhatian kanak-kanak dan kesannya akan melekat di hati kanak-kanak untuk jangkamasa yang panjang. Akibatnya, kanak-kanak akan ternanti-nanti saja saat untuk mendapatkan produk tersebut terutama sewaktu berada di pasaraya dengan ibu bapa mereka. Mereka akan menangis, menjerit, meronta-ronta, ada juga yang meraung-raung dan mengamuk jika ibu bapa tidak menunaikan permintaan mereka. Inilah kesan yang paling ketara akibat pengaruh iklan terhadap kanak-kanak dewasa ini.

Hakikatnya, kanak-kanak mudah terpengaruh dengan iklan terutama iklan produk makanan segera. Makanan segera pula adalah makanan yang mengandungi hanya sedikit khasiat pemakanan. Jika dijadikan hidangan sekali-sekala, makanan itu kurang memudaratkan. Tetapi jika terlalu kerap, ia boleh menimbulkan kesan buruk dari segi diet pemakanan terhadap kanak-kanak. Tanpa disedari, ia akan mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi, sembelit, tubuh menggeleber, kegemukan, tekanan darah tinggi, pembuluh darah tersumbat, penyakit jantung dan kanser usus besar.

Hasil kajian pakar-pakar kesihatan mendapati kesan negatif makanan segera berupa snek dan minuman ringan semakin menakutkan. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) telah melaporkan bahawa makanan segera telah menjejaskan kesihatan pengguna terutamanya rakyat negara-negara membangun, berdasarkan kematian 65,000 kanak-kanak di negara-negara Teluk Parsi yang berumur lima tahun ke bawah pada tahun 1985 akibat kaedah kelahiran anak yang tidak bersih, cirit-birit dan salah khasiat.

Di negara kita Malaysia, banyak makanan segera yang mengandungi bahan perasa yang tinggi dan ada juga keselamatannya masih dipersoalkan seperti monosodium glutamate yang dikaitkan dengan pelbagai penyakit. Kita mungkin menyangka bahawa sebiji burger hanyalah daging cincang semata-mata. Tetapi hakikatnya, tanpa mengambil kira bahagian lemak, daging itu tidak semestinya daging semata-mata. ‘Daging tanpa lemak’ termasuklah tulang, kulit, rawan dan urat, lidah, usus dan organ-organ lain serta ekor yang dikisar. Ia juga termasuk daging yang diperolehi dengan menggunakan mesin: diperbuat daripada sisa-sisa yang dipotong dan lemak yang dikikis daripada haiwan sembelihan oleh mesin. Bahan-bahan ini kemudiannya dikisar dan diadun menjadi adunan cair dengan menggunakan pengemulsi dan pemekat.

Pada tahun 1989, Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP telah menguji 9 contoh burger beku dari pasaraya dan mendapati sejumlah besar lemak dicampurkan. Jumlah ini dalam lingkungan 11 - 24% (iaitu 9 hingga 18 gram lemak tepu tulen di dalam sebiji burger sederhana saiznya kira-kira 75 gram), berbanding dengan protein yang terdiri daripada 12 - 18%. Yang lain merupakan isi bukan daging, biasanya roti yang sudah berkulat.

Banyak lagi makanan segera lain yang harus diawasi dan jangan sebegitu mudah dihulurkan kepada kanak-kanak tanpa ditelusuri secara mendalam kesannya terhadap kesihatan. Ini termasuklah coklat, snek pelbagai jenis, pelbagai jenis minuman dan lain-lain lagi. Ibu bapa yang prihatin dan bertanggungjawab harus melihat perkara ini secara serius kerana kesan makanan atau minuman tidak berkhasiat terhadap diet pemakanan kanak-kanak amat membimbangkan kerana ia bukan saja boleh mempengaruhi proses tumbesaran tetapi juga boleh memberi kesan negatif kepada kreativiti minda.

Jadi, janganlah mudah terpengaruh dengan iklan tentang vitamin dan zat galian dan apa juga gizi dalam makanan segera atau minuman yang terpampang di media-media massa. Memang benar bahan-bahan itu terdapat di dalamnya tetapi tidak mencukupi memandangkan sejumlah besar lemak, garam dan kalori yang kita makan pada masa yang sama. Contohnya, terdapat sedikit sahaja zat besi di dalam burger, kalsium di dalam keju dan milkshake, vitamin C di dalam kentang goreng. Namun dalam sehari, kita perlu mengunyah empat biji burger seberat suku paun tiap satu untuk mendapatkan cukup zat besi, 15 paket kentang goreng untuk mendapatkan cukup vitamin C dan menyedut 10 milkshake bagi mendapatkan kalsium secukupnya.

Kesimpulannya, berhati-hatilah dengan iklan yang tertayang di hadapan mata kita. Jangan mudah terpengaruh. Jadikanlah diri kita seorang pengguna yang bijak, dan ibu bapa yang bertanggungjawab dengan meneliti terlebih dahulu sesuatu produk itu sebelum digunakan kerana jika tersalah pilih akan mendatangkan kesan yang negatif kepada diet pemakanan kanak-kanak. Ingatlah, kanak-kanak adalah modal insan yang diharapkan akan menjadi pemimpin yang bakal mentadbir negara ini pada masa akan datang. Sekiranya proses tumbesaran mereka tidak diawasi dengan sebaik-baiknya, kita akan kehilangan tenaga manusia yang amat bermakna terhadap negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan