Isnin, 15 November 2010

Wahabi

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


ORANG biasa menuduh ‘wahabi’ kepada setiap orang yang melanggar tradisi, kepercayaan dan bida’ah mereka, sekalipun kepercayaan-kepercayaan mereka itu rosak, bertentangan dengan Al-Quranul Karim dan hadis-hadis sahih. Mereka menentang dakwah kepada tauhid dan enggan berdoa (memohon) hanya kepada Allah s.w.t semata.


Suatu kali, di hadapan seorang syeikh penulis membacakan hadis riwayat Ibnu Abbas yang terdapat dalam kitab Al-Arba’in An-Nawawiyah. Hadis ini berbunyi: ‘Jika engkau memohon maka mohonlah kepada Allah s.w.t, dan jika engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan kepada Allah s.w.t.’ (hadis riwayat At-Tirmidzi, dia berkata hadis hasan sahih)


Penulis sungguh kagum terhadap keterangan Imam Nawawi ketika beliau mengatakan, ‘Kemudian jika keperluan yang dimintanya - menurut tradisi - di luar batas kemampuan manusia, seperti meminta hidayah (petunjuk), ilmu, kesembuhan dari sakit dan kesihatan, maka perkara-perkara itu (mesti) memintanya hanya kepada Allah s.w.t semata. Dan jika perkara-perkara di atas dimintanya kepada makhluk maka itu amat tercela.’


Lalu kepada syeikh tersebut penulis katakan, ‘Hadis ini berikut keterangannya menegaskan tidak dibolehkannya meminta pertolongan kepada selain Allah s.w.t.’ Syeikh segera menyergah, ‘Malah sebaliknya, perkara itu dibolehkan.’


Penulis bertanya, ‘Apa dalil syeikh?’


Syeikh itu ternyata marah sambil berkata dengan suara tinggi, ‘Sesungguhnya makcikku berkata dan aku bertanya padanya, ‘Wahai makcikku, apakah Syeikh Sa’d dapat memberi manfaat kepadamu?!’ Beliau menjawab, ‘Aku berdoa (meminta) kepadanya, sehingga beliau menyampaikannya kepada Allah s.w.t, lalu Allah s.w.t menyembuhkanku.’


Lalu penulis berkata, ‘Sesungguhnya syeikh adalah seorang alim. Syeikh banyak habiskan umur untuk membaca kitab-kitab. Tetapi sungguh menghairankan, syeikh mengambil akidah dari perempuan yang bodoh itu.’ Beliau lalu berkata, ‘Pola fikirmu adalah pola fikir wahabi. Engkau pergi berumrah lalu pulang dengan membawa kitab-kitab wahabi.’


Padahal penulis tidak mengenal sedikit pun tentang wahabi, kecuali sekadar yang penulis dengar dari para syeikh. Mereka berkata tentang wahabi, ‘Orang-orang wahabi adalah mereka yang melanggar tradisi orang kebanyakan. Mereka tidak percaya kepada wali dan karamah-karamahnya, tidak mencintai Rasul dan berbagai tuduhan dusta lainnya.’


Jika orang-orang wahabi adalah mereka yang percaya hanya kepada pertolongan Allah s.w.t semata, dan percaya yang menyembuhkan hanyalah Allah s.w.t, maka aku wajib mengenali wahabi lebih jauh. Kemudian penulis tanyakan jemaahnya, sehingga penulis mendapat maklumat bahawa pada setiap petang Khamis mereka menyelenggarakan pertemuan untuk mengkaji pelajaran tafsir, hadis, dan fiqah. Bersama anak-anak penulis dan sebahagian pemuda intelektual, penulis mendatangi majlis mereka, kami masuk ke sebuah ruangan yang besar.


Sejenak kami menanti, tiada berapa lama seorang Syeikh yang sudah berusia masuk ruangan. Beliau memberi salam kepada kami dan menjabat tangan semua hadirin dimulai dari sebelah kanan, lalu duduk di kerusi tanpa seorang pun berdiri untuknya. Penulis berkata dalam hati, ‘Ini adalah seorang Syeikh yang tawadhu’ (rendah hati), tidak suka orang berdiri untuknya (dihormati).’


Lalu Syeikh membuka pelajaran-pelajaran dengan ucapan, ‘Sesungguhnya segala puji adalah untuk Allah s.w.t. Kepada Allah s.w.t kami memuji, memohon pertolongan dan keampunan...’, dan seterusnya hingga selesai, sebagaimana Rasulullah s.a.w. biasa membuka khutbah dan pelajarannnya.


Kemudian Syeikh itu memulai bicara dengan menggunakan bahasa Arab. Beliau menyampaikan hadis-hadis seraya menjelaskan darjat sahihnya dan para perawinya. Setiap kali menyebut nama Nabi, beliau mengucapkan selawat atasnya. Di akhir pelajaran, beberapa soalan bertulis diajukan kepadanya. Beliau menjawab soalan-soalan itu dengan dalil dari Al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Beliau berdiskusi dengan hadirin dan tidak menolak setiap penanya. Di akhir pelajaran, beliau berkata, ‘Segala puji bagi Allah s.w.t bahawa kita termasuk orang-orang Islam dan salaf. Sebahagian orang menuduh kita orang-orang wahabi. Ini termasuk tanaabuzun bil alqab (memanggil dengan panggilan-panggilan yang buruk). Allah s.w.t melarang kita dari perkara itu dengan firman-Nya, ‘Dan janganlah kamu panggil-memanggil dengan gelar-gelaran yang buruk.’ (al-Hujurat: 11)


Dahulu, mereka menuduh Imam Syafie dengan rafidhah. Beliau membantah mereka dengan mengatakan, ‘Jika rafidhah (bermakna) mencintai keluarga Muhammad. Maka hendaknya jin dan manusia menyaksikan bahawa sesungguhnya aku adalah rafidhah.’


Maka, kita juga membantah orang-orang yang menuduh kita wahabi, dengan ucapan salah seorang penyair, ‘Jika pengikut Ahmad adalah wahabi. Maka aku berikrar bahawa sesungguhnya aku wahabi.’


Ketika pelajaran selesai, kami keluar bersama-sama sebahagian para pemuda. Kami benar-benar dibuat kagum oleh ilmu dan kerendahan hatinya. Bahkan aku mendengar salah seorang mereka berkata, ‘Inilah Syeikh yang sesungguhnya!’


A. Pengertian Wahabi


Musuh-musuh tauhid memberi gelaran wahabi kepada setiap muwahhid (yang mengesakan Allah s.w.t), nisbat kepada Muhammad bin Abdul Wahab. Jika mereka jujur, mestinya mereka mengatakan Muhammadi nisbat kepada namanya, iaitu Muhammad. Betapa pun begitu, ternyata Allah s.w.t menghendaki nama wahabi sebagai nisbat kepada al-Wahhaab (Yang Maha Pemberi), iaitu salah satu dari nama-nama Allah s.w.t yang baik (Asmaa’ul Husnaa).


B. Muhammad bin Abdul Wahab


Beliau dilahirkan di kota ‘Uyainah, Nejed pada tahun 1115 H. Hafal-Al-Quran sebelum berusia sepuluh tahun. Belajar daripada ayahandanya tentang fiqah Hanbali, belajar hadis dan tafsir daripada para Syeikh dari berbagai negeri, terutama di kota Madinah. Beliau memahami tauhid dari al-Kitab dan As-Sunnah. Memelihara kemurnian tauhid dari syirik, khurafat dan bida’ah, sebagaimana banyak beliau saksikan di Nejed dan negeri-negeri lainnya.


Demikian juga soal menyucikan dan penyembahan kubur, suatu perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang benar. Beliau mendengar ramai wanita di negerinya ber-tawassul dengan pohon kurma yang besar. Mereka berkata, ‘Wahai pohon kurma yang paling agung dan besar, aku menginginkan suami sebelum setahun ini.’


Di Hejaz, beliau melihat penyembahan kuburan para sahabat, keluarga Nabi, (ahlul bait), serta kuburan Rasulullah s.a.w, perkara yang sesungguhnya tidak boleh dilakukan, kecuali kepada Allah s.w.t semata. Di Madinah, beliau mendengar permohonan tolong (istighaatsah) kepada Rasulullah s.a.w, serta berdoa (memohon) kepada selain Allah s.w.t, perkara yang sungguh bertentangan dengan Al-Quran dan sabda Rasulullah s.a.w. Al-Quran menegaskan, ‘Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah s.w.t, sebab jika berbuat (yang demikian itu), sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk orang-orang yang zalim.’ (surah Yunus: 106)


Zalim dalam ayat ini bermakna syirik. Suatu kali, Rasulullah s.a.w. berkata kepada anak bapa saudaranya, Abdullah bin Abbas: ‘Jika engkau memohon, mohonlah kepada Allah s.w.t, dan jika engkau meminta pertolongan mintalah pertolongan kepada Allah s.w.t.’ (hadis riwayat At-Tirmidzi, beliau berkata hasan sahih)


Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab menyeru kaummnya kepada tauhid dan berdoa (memohon) kepada Allah s.w.t semata, sebab Dialah Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Menciptakan, sedangkan selain-Nya adalah lemah dan tidak kuasa menolak bahaya dari dirinya dan dari orang lain. Adapun mahabbah (cinta kepada orang-orang soleh), adalah dengan mengikuti amal solehnya, tidak dengan menjadikannya perantara antara manusia dengan Allah s.w.t, dan juga tidak menjadikannya sebagai tempat bermohon selain daripada Allah s.w.t.


Pertama:


Penentangan orang-orang batil terhadapnya. Para ahli bida’ah menentang keras dakwah tauhid yang dibina oleh Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Ini tidak menghairankan, sebab musuh-musuh tauhid telah ada sejak zaman Rasulullah s.a.w. Bahkan mereka merasa hairan terhadap dakwah kepada tauhid. Allah s.w.t berfirman: ‘Mengapa ia menjadikan tuhan-tuhan itu Tuhan Yang Satu saja? Sesungguhnya ini benar-benar suatu perkara yang sangat menghairankan.’ (surah Shaad: 5)


Musuh-musuh Syeikh memulai perbuatan keji dengan memerangi dan menyebarluaskan berita-berita bohong tentangnya. Bahkan mereka bersekongkol untuk membunuhnya dengan maksud agar dakwahnya terputus dan tidak berkelanjutan. Tetapi Allah s.w.t menjaganya dan memberinya penolong sehingga dakwah tauhid tersebar luas di Hejaz, dan di negara-negara Islam lainnya.


Meskipun demikian, hingga kini, masih ada pula sebahagian manusia yang menyebarluaskan berita-berita bohong. Misalnya, mereka mengatakan dia (Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab) adalah pembuat madzhab yang kelima, padahal dia adalah seorang penganut madzhab Hanbali. Sebahagian mereka mengatakan, orang-orang wahabi tidak mencintai Rasulullah s.a.w. serta tidak berselawat ke atasnya. Mereka anti bacaan selawat.


Padahal kenyataannya, Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab - telah menulis kitab Mukhtasar Siiratur Rasul s.a.w. Kitab ini bukti sejarah atas kecintaan Syeikh kepada Rasulullah s.a.w.. Mereka mengada-adakan berbagai cerita dusta tentang Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, suatu perkara yang kerananya mereka bakal dihisab pada hari Kiamat.


Seandainya mereka mahu mempelajari kitab-kitab beliau dengan penuh kesedaran, nescaya mereka akan mencari Al-Quran, hadis dan ucapan sahabat sebagai rujukannya. Seseorang yang boleh dipercaya memberitahu kepada penulis, bahawa ada salah seorang ulama yang memperingatkan dalam pengajian-pengajiannya dari ajaran wahabi.


Suatu hari, salah seorang dari hadirin memberinya sebuah kitab karangan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab. Sebelum diberikan, beliau hilangkan terlebih dahulu nama pengarangnya. Ulama itu membaca kitab tersebut dan amat kagum dengan kandungannya. Setelah mengetahui siapa penulis buku yang dibaca, mulailah beliau memuji Muhammad bin Abdul Wahab.


Kedua:


Dalam sebuah hadis disebutkan: ‘Ya Allah s.w.t, berilah keberkahan kepada kami di negeri Syam, dan di negeri Yaman. Mereka berkata, ‘Dan di negeri Nejed.’ Rasulullah berkata, ‘Di sana banyak terjadi berbagai kegegaran dan fitnah, dan di sana (tempat) munculnya para pengikut syaitan.’ (hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Ibnu Hajar al-’Asqalani dan ulama lainnya menyebutkan, yang dimaksudkan Nejed dalam hadis di atas adalah Nejed Iraq. Perkara itu terbukti dengan banyaknya fitnah yang terjadi di sana. Kota yang juga di situ al-Husain bin Ali dibunuh.


Perkara ini berbeza dengan anggapan sebahagian orang, bahawa yang dimaksudkan dengan Nejed adalah Hejaz, kota yang tidak pernah jelas di dalamnya fitnah sebagaimana yang terjadi di Iraq. Bahkan sebaliknya, yang jelas di Nejed Hejaz adalah tauhid, yang kerananya Allah s.w.t menciptakan alam, dan kerananya juga Allah s.w.t mengutus para rasul.


Ketiga:


Sebahagian ulama yang adil sesungguhnya menyebutkan bahawa Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab adalah salah seorang mujaddid (pembaharu) abad dua belas Hijriyah. Mereka menulis buku-buku tentang beliau. Di antara para pengarang yang menulis buku tentang Syeikh adalah Syeikh Ali Thanthawi. Beliau menulis buku tentang Salasilah Tokoh-Tokoh Sejarah, di antara mereka terdapat Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab dan Ahmad bin ‘Irfan.


Dalam buku tersebut beliau menyebutkan, akidah tauhid sampai ke India dan negeri-negeri lainnya melalui jemaah haji dari kaum muslimin yang terpengaruh dakwah tauhid di kota Mekah. Lantaran itu, kompeni Britain yang menjajah India ketika itu, bersama-sama dengan musuh-musuh Islam memerangi akidah tauhid tersebut. Perkara itu dilakukan, kerana mereka mengetahui bahawa akidah tauhid akan menyatukan umat Islam dalam melawan mereka.


Selanjutnya mereka mengarahkan kaum Murtaziqah (orang-orang bayaran) agar mencemarkan nama baik dakwah kepada tauhid. Maka mereka pun menuduh setiap muwahhid yang menyeru kepada tauhid dengan kata wahabi. Kata itu mereka maksudkan sebagai padanan dari tukang bida’ah sehingga memalingkan umat Islam dari akidah tauhid yang menyeru agar umat manusia berdoa hanya semata-mata kepada Allah s.w.t. Orang-orang bodoh itu tidak mengetahui bahawa kata wahabi adalah nisbat kepada al-Wahhaab (Yang Maha Pemberi), iaitu salah satu dari nama-nama Allah s.w.t yang paling baik (Asma’ul Husna) yang memberikan kepadanya tauhid dan menjanjikananya masuk syurga.


Wahabi didirikan oleh Muhammad bin Abdul Wahhab. Pendiri Wahabi ini merupakan murid Ibn Qayyimal Jauziyah. Ibn Qayyim sendiri merupakan murid Ibn Taimiyah. Ibn Taimiyah adalah pemuka mazhab Hanbali. Dari salasilah seperti itu, kita tahu bahawa sebenarnya pendapat ataupun kalau boleh disebut ajaran Wahabi itu sebenarnya bersumber dari mazhab Hanbali.


Imam Ahmad bin Hanbal terkenal sebagai imam mazhab yang cukup ketat berpegang pada nash. Jarang sekali beliau memainkan unsur logik dalam membahaskan suatu nash. Tidak hairan banyak kalangan yang mempersoalkan kedudukan Imam Ahmad. Beliau dianggap bukan ahli fiqah. Beliau hanya menyusun kitab hadis yang sistematik babnya, disusun menurut bab dalam ilmu fiqah.


Meskipun beliau dianggap ahli hadis, ternyata kitab Musnad-nya tidaklah termasuk dalam ‘kutubus sittah’ (enam kitab hadis terkemuka). Jadi, sebagai ahli fiqah beliau diragukan, dan sebagai ahli hadis pun juga layak dipersoalkan. Akan tetapi, terlepas dari kontroversi akan ketokohan Imam Ahmad, yang jelas dari aspek penganut fahaman Ahlus Sunnah Wal-Jemaah beliau berjasa besar dalam mempertahankan akidah islamiyah. Imam Ahmad dalam ilmu kalam dikelompokkan sebagai penganut fahaman salafiyah; sebuah fahaman yang sebenarnya banyak berbeza dengan fahaman Asy’ariyah.


Dari sini kita sudah mampu menangkap bahawa Muhammad bin Abdul Wahhab, pendiri Wahabi itu, sudah punya beban sejarah yang kontroversial, kerana guru dari gurunya sendiri juga dianggap kontroversial. Dari sini pula kita mampu mengerti mengapa Muhammadiyah dan Nahdatul Ulama kelihatan sangat susah untuk ‘bertemu.’ Nahdatul Ulama mengambil fahaman Asy’ariyah sedangkan Muhammadiyah, yang terpengaruh Wahabi, lebih cenderung pada fahaman Salaf.


Dari sini kita mampu pula memahami mengapa pondok-pondok pengajian agama tradisional tidak mengajar kitab Ibn Taimiyah (pemuka mazhab Hanbali), bahkan ramai yang masih mengkafirkan Ibn Taimiyah. Wahabi hanyalah kelompok (harakah) biasa atau sebut saja sejenis pertubuhan. Wahabi tidak memiliki pendapat sendiri, kerana ia sepenuhnya mengikuti mazhab Hanbali. Sama dengan Nahdatul Ulama yang tidak boleh kita anggap sebagai mazhab tersendiri, kerana Nahdatul Ulama merupakan pertubuhan yang pada hakikatnya banyak berpegang pada mazhab Syafie. Sayangnya, Wahabi juga memasuki wilayah politik sehingga perbezaan kelompok ini dengan para ulama lainnya cukup diwarnai ‘perseteruan politik.’ Kalimat terakhir ini juga merupakan alasan ‘kontroversial’-nya Wahabi.

1 ulasan:

  1. tidak boleh meminta pertolongan manusia? apa saya yang keliru atau tersalah faham? minta sedikit pencerahan.

    BalasPadam