Ahad, 14 November 2010

Sultan Menjadi Kuli Di Pasar

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


SEORANG Sultan Mesir kononnya mengumpulkan orang orang terpelajar, dan seperti biasanya - timbullah pertengkaran. Asas masalahnya adalah Mikraj Nabi Muhammad. Dikatakan, pada kesempatan tersebut Nabi s.a.w diambil dari tempat tidurnya, dibawa ke langit. Selama waktu itu baginda menyaksikan syurga neraka, berbicara dengan Tuhan sembilan puluh ribu kali, mengalami pelbagai kejadian lain - dan dikembalikan ke biliknya sementara tempat tidurnya masih hangat. Kendi air yang terguling kerana tersentuh Nabi waktu berangkat, airnya masih belum habis ketika baginda turun kembali.


Beberapa orang berpendapat bahawa hal itu benar, sebab ukuran waktu di sini dan di sana berbeza. Namun Sultan menganggapnya tidak masuk akal. Para ulama semuanya mengatakan bahawa segala hal mampu saja terjadi kerana kehendak Tuhan. Hal itu tidak memuaskan raja.


Berita perbezaan pendapat itu akhirnya didengar oleh Sufi Syeh Shahabuddin, yang dengan segera menghadap sultan. Sultan menunjukkan kerendahan hati terhadap guru yang berkata, ‘Saya bermaksud segera saja mengadakan pembuktian. Ketahuilah bahawa kedua tafsiran itu keliru, dan bahawa ada faktor-faktor yang boleh ditunjukkan, yang menjelaskan cerita itu tanpa harus mendasarkan pada perkiraan berkata secara rambang atau akal, yang dangkal dan terbatas.’


Di ruang pertemuan itu terdapat empat jendela. Syeh Shahabuddin memerintahkan agar yang sebuah dibuka. Sultan melihat keluar melalui jendela itu. Di pergunungan nun jauh di sana terlihat olehnya sejumlah besar perajurit menyerang, bagaikan semut banyaknya, menuju ke istana. Sultan sangat ketakutan.

‘Lupakan saja, tidak ada apa-apa,’ kata Syeh Shahabuddin.


Baginda menutup jendela itu lalu membukanya kembali. Kali ini tidak ada seorang perajurit pun yang kelihatan. Ketika baginda membuka jendela yang lain, kota yang di luar kelihatan terbakar. Sultan menjerit ketakutan.

‘Jangan bingung, Sultan; tidak ada apa-apa,’ kata Syeh Shahabuddin.


Ketika pintu itu ditutup lalu dibuka kembali, tidak ada api sama sekali. Ketika jendela ketiga dibuka, terlihat banjir besar mendekati istana. Kemudian ternyata lagi bahawa banjir itu tidak ada. Jendela keempat dibuka, dan yang jelas bukan padang pasir seperti biasanya, tetapi sebuah taman firdaus. Dan setelah jendela tertutup, lalu dibuka, pemandangan itu tidak ada.


Kemudian Syeh Shahabuddin meminta sebaldi air, dan meminta Sultan memasukkan kepalanya dalam air sejenak saja. Segera setelah Sultan melakukan itu, baginda merasa berada di sebuah pantai yang sepi, di tempat yang sama sekali tidak dikenalinya, kerana kekuatan ghaib Syeh Shahabuddin itu. Sultan marah sekali dan ingin membalas dendam.


Di pantai tersebut Sultan bertemu beberapa orang penebang kayu yang menanyakan siapa dirinya. Kerana sukar menjelaskan siapa dia sebenarnya, Sultan mengatakan bahawa baginda terdampar di pantai itu kerana kapalnya pecah. Mereka memberinya pakaian, dan baginda pun berjalan ke sebuah kota. Di kota itu ada seorang tukang besi yang melihatnya gelandangan, dan bertanya siapa dia sebenarnya. Sultan menjawab bahawa baginda seorang pedagang yang terdampar, hidupnya bergantung pada kebaikan hati penebang kayu, dan tanpa mata pencarian.


Orang itu kemudiannya menjelaskan tentang kebiasaan kota tersebut. Semua pendatang baru boleh meminang wanita yang pertama ditemuinya, meninggalkan tempat mandi, dan dengan syarat si wanita itu harus menerimanya. Sultan itu pun lalu pergi ke tempat mandi umum, dan dilihatnya seorang gadis cantik keluar dari tempat tersebut. Baginda bertanya apakah gadis itu sudah kahwin: ternyata sudah. Jadi baginda harus menanyakan yang berikutnya, yang wajahnya sangat buruk. Dan yang berikutnya lagi. Yang ke empat sungguh-sungguh molek. Katanya dia belum berkahwin, tetapi lamaran Sultan ditolak kerana tubuh dan bajunya yang tidak karuan.


Tiba-tiba ada seorang lelaki berdiri di depan Sultan katanya, ‘Aku disuruh ke mari menjemput seorang yang kusut di sini. Ayuh, ikut aku.’


Sultan pun mengikuti pelayan itu, dan dibawa ke sebuah rumah yang sangat indah. Baginda pun duduk di salah satu ruangan yang megah berjam-jam lamanya. Akhirnya empat wanita cantik dan berpakaian indah masuk, membawa wanita kelima yang lebih cantik lagi. Sultan mengenali wanita itu sebagai wanita terakhir yang ditemuinya di rumah mandi umum tadi.


Wanita itu memberinya ucapan selamat datang dan mengatakan bahawa dia telah bergegas pulang untuk menyiapkan kedatangannya, dan bahawa penolakannya tadi itu sebenarnya sekadar merupakan basa-basi saja, yang dilakukan oleh setiap wanita apabila berada di jalan.


Kemudian menyusul makanan yang lazat. Jubah yang sangat indah disiapkan untuk Sultan, dan muzik yang merdu pun diperdengarkan. Sultan tinggal selama tujuh tahun bersama isterinya itu: sampai baginda menghabiskan habis warisan isterinya. Kemudian wanita itu mengatakan bahawa kini Sultanlah yang harus menanggung hidup mereka bersama tujuh anaknya.


Ingatan kepada sahabatnya yang pertama di kota itu, Sultan pun kembali menemui tukang besi untuk meminta nasihat. Kerana Sultan tidak memiliki apa-apa kemampuan untuk bekerja, baginda disarankan pergi ke pasar menjadi kuli. Dalam sehari, meskipun baginda telah mengangkat beban yang sangat berat, baginda hanya mampu mendapat sepersepuluh dari wang yang diperlukannya untuk menghidupkan keluarganya.


Hari berikutnya Sultan pergi ke pantai, dan baginda sampai di tempat pertama kali dulu baginda muncul iaitu tujuh tahun yang lalu. Baginda pun memutuskan untuk sembahyang, dan mengambil air wuduk: dan pada ketika itu juga mendadak baginda berada kembali ke istananya, bersama-sama dengan Syeh Shahabuddin dan semua pegawai istana.


‘Tujuh tahun dalam pengasingan, hai orang jahat!’ jerit Sultan. ‘Tujuh tahun, menghidupi keluarga, dan harus menjadi kuli: Apakah kau tidak takut kepada Tuhan, Sang Maha Kuasa, hingga berani melakukan hal itu terhadapku?’


‘Tetapi kejadian itu hanya seketika,’ kata Syeh Shahabuddin, ‘Yakin waktu tuanku mencelupkan wajah ke air itu.’

Para pegawai istana membenarkan hal tersebut.


Sultan sama sekali tidak mampu mempercayai sepatah kata pun. Baginda segera saja memerintahkan memenggal kepala Syeh Shahabuddin. Kerana merasa hal itu akan terjadi Syeh Shahabuddin pun menunjukkan kemampuannya dalam Ilmu Ghaib (Ilm el-Ghaibat). Dia pun segera lenyap dari istana dan tiba-tiba berada di Damaskus, yang jaraknya berhari-hari dari istana tersebut.


Dari kota itu beliau menulis surat kepada Sultan: ‘Tujuh tahun berlalu bagi tuanku, seperti yang telah tuanku rasakan sendiri; padahal hanya seketika saja wajah tuanku tercelup di air. Hal tersebut terjadi kerana adanya kekuatan-kekuatan tertentu, yang hanya dimaksudkan untuk membuktikan apa yang mampu terjadi. Bukankah menurut kisah itu, tempat tidur Nabi s.a.w. masih hangat dan kendi air itu belum habis isinya? Yang penting bukanlah terjadi atau tidaknya peristiwa tersebut. Segalanya mungkin terjadi. Namun, yang penting adalah makna kenyataan itu. Dalam hal tuanku, tidak ada makna sama sekali. Dalam hal Nabi s.a.w., peristiwa itu mengandungi makna.’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan