Sabtu, 6 November 2010

JEJAK BUDAYA BANGSA – PERMAINAN TRADISONAL

SMAHADZIR

1. Permainan Kelereng

PERMAINAN kelereng tergolong dalam jenis permainan laman. Tujuan permainan ini ialah untuk mendorong kelereng ke ‘padan’ atau ke garisan penamat. Permainan kelereng boleh dimainkan oleh beberapa pasukan dan setiap pasukan terdiri daripada satu orang. Peralatan yang digunakan ialah rim basikal dan patok sangga sepanjang 50 cm. Gelanggang yang digunakan untuk permainan kelereng mestilah berpermukaan rata dengan dibuat lorong larian berlebar 1 meter dan jauh 40 meter.

Selepas diberi aba-aba, peserta hendaklah mendorong rim dengan menggunakan patok sangga mengikut lorong masing-masing dari paduk ke padan. Peserta boleh menangkap rim apabila rim menuju ke arah lorong lawan. Jika rim tersebut jatuh, peserta hendaklah mendorong semula rim tersebut dari tempat jatuh.

Kemenangan dikira berdasarkan kepada peserta yang tiba dahulu di padan atau apabila pihak lawan diisytiharkan batal atau mati atau dibuang dari gelanggang kerana melakukan sesuatu kesalahan yang boleh menyebabkan batal, mati atau dibuang gelanggang.

Peserta akan dikira mati sekiranya mendepani aba-aba atau paduk sebanyak tiga kali. Peserta juga akan dikira mati sekiranya memasuki lorong pihak lawan sewaktu perlumbaan. Bagi kesalahan batal, berlaku apabila peserta tidak menyangga rim ke padan. Buang gelanggang berlaku apabila terdapat mana-mana peserta atau pemain yang melakukan sesuatu perbuatan yang kurang sopan sebanyak tiga kali. Buang gelanggang juga akan berlaku sekiranya terdapat mana-mana pemain berbuat sesuatu yang bukan dalam permainan.

2. Permainan Jengkek Kapal Terbang

MATLAMAT utama bagi apa jua permainan tentunya tidak lari daripada memberi hiburan dan kegembiraan. Di samping itu, secara tidak langsung wawasan riadah ialah untuk mengeluarkan peluh agar tubuh sentiasa dalam tahap kesihatan yang memuaskan. Namun, untuk menghayati dan menghidupkan sesuatu permainan, kemahiran diperlukan untuk menyesuaikan permainan. Konsep ini cukup terserlah dalam satu permainan laman yang dimainkan di kampung-kampung terutamanya sejak dahulu hingga hari ini. Permainan ini popular dengan nama ‘Jengkek Kapal Terbang’.

Permainan ini boleh dikatakan sudah sebati kepada kanak-kanak perempuan memandangkan sebahagian besar pemain yang mengambil bahagian ialah kanak-kanak perempuan. Namun begitu, tidaklah terlalu janggal sekiranya kanak-kanak lelaki pun turut bermain sama. Namun, ‘kapal terbang’ itu diperolehi daripada petak atau gelanggang itu yang khusus dibina untuk bermain.

Gelanggangnya terdiri daripada petak-petak empat persegi yang disusun sedemikian rupa yang menampakkan imej sebuah ‘kapal terbang’. Terdapat lima petak empat segi yang dilakarkan sebaris. Pada petak ke empat terdapat tambahan satu petak lagi di kiri dan satu lagi di kanan yang menimbulkan rupa sekali imbas seperti sayap kapal terbang. Di sebelah kanan pada petak pertama pula terdapat tambahan petak yang berukuran separuh petak yang dipanggil ‘tangga’ yang kelihatan seperti ekor kapal terbang.

Kawasan bermain jengkek ini tidak perlu luas. Memadai jika kawasan itu dapat menampung 8 buah petak. Kanak-kanak perempuan terutamanya tetap menunjukkan kewibawaan mereka. Sedar dan tahu pentingnya keselamatan, mereka memberikan perhatian yang sewajarnya ke atas tapak permainan. Jika terdapat tunggul atau kayu, maka dibersihkan dahulu. Keselamatan tapak perlu dititikberatkan kerana tapak tidak mudah dipindah-pindahkan. Paling kurang, permainan ini dimainkan oleh 2 orang. Jika lebih ramai yang terlibat, tentu lebih seronok.

Sebelum itu ‘buah’ untuk permainan mesti disediakan, ianya diperbuat daripada sesuatu objek yang agak sesuai contohnya kepingan papan, penutup botol dan apa sahaja asalkan berat agar hasil lemparan nanti lebih mantap. Bagi menentukan siapa yang layak mula dahulu, satu undian yang unik dijalankan. Masing-masing berdiri bahu-membahu membelakangi garisan tadi. Kemudian masing-masing melempar ‘buah’ secara membelakang, sejauh yang mungkin. Siapa yang jauh mendapat hak bermain yang pertama.

Permainan ini nampak mudah tetapi akan menyusul pelbagai halangan yang semakin lama semakin sukar. Dalam pusingan pertama pemain disyaratkan membawa ‘buah’ dengan cara menatangnya di atas belakang tapak tangan. Jika ‘buah’ terjatuh, pemain dikira ‘mati’. Ini bermakna pemain seterusnya mendapat peluang berjengkek. Jika pemain berjaya menamatkan 9 ‘ting’ dan 2 ‘brak’ tanpa menjatuhkan ‘buah’, dia perlu melambung ‘buah’ dan menyambutnya secara kaut dengan kedudukan tapak tangan menghala ke bawah.

Kemudian barulah dia berhak mendapatkan ‘rumah’. ‘Buah’ mestilah mendarat di mana-mana petak iaitu dengan melempar membelakangi gelanggang untuk mendapatkan rumah. Dengan itu, pemain lain tidak boleh bertingting lagi dalam petak ‘rumah’ orang. Pemain lain boleh bertingting di petak ‘rumah’ orang dengan kebenaran tuannya.

Nilai juara dalam permainan tingting kapal terbang terletak pada ‘kemewahan’ iaitu banyaknya ‘rumah’ yang berjaya dimiliki seseorang pemain. Malah permainan itu terpaksa ditamatkan apabila semua petak sudah bertukar menjadi ‘rumah’. Namun bukanlah secepat dan semudah itu menukarkan semua petak menjadi ‘rumah’. Seandainya ‘buah’ yang dilemparkan mendarat di ‘rumah’ sendiri, maka rumah itu dikira ‘hangus’ iaitu bertukar menjadi petak semula dan pemain dikira ‘mati’.

Sebenarnya, permainan ini juga ada pengajaran nilai-nilai moral iaitu semangat kerjasama, timbang rasa, tolak ansur, saling menghormati dan kesabaran.

3. Permainan Tuju Para

TUJU PARA yang biasanya untuk mengikat bungkusan, dijadikan satu alat istimewa dalam permainan kanak-kanak. Ternyata ilham kanak-kanak begitu kreatif dan memungkinkan apa sahaja objek dijadikan permainan. Mungkin setelah meneliti sifat-sifat gelang getah yang menganjal dan memberi (elastik), tercetuslah ilham untuk mewujudkan sejenis permainan dalam bentuk melastik atau membidas.

Permainan tuju para adalah bukti bahawa kanak-kanak memang kreatif dalam mempelbagaikan permainan. Dalam permainan ini, peralatan yang diperlukan ialah sejumlah getah dan dua batang kayu lurus kira-kira 30 cm. Jika tidak ranting atau batang anak kayu sudah memadai. Gelang mudah didapati. Biasanya kedai-kedai runcit memang ada gelang getah. Harganya pun murah. Ini memberi peluang kanak-kanak terbabit bermain dengan selesa tanpa kekangan masalah kewangan.

Dua orang pemain sudah memadai bagi memainkan permainan ‘tuju para’. Namun, apalah seronoknya bermain dalam bilangan sekecil itu. Jika bermain beramai-ramai barulah ada semangat hendak bersaing. Permainan ini hanya memerlukan satu kawasan kecil kerana tidak ada pergerakan aktif seperti berlari atau melompat. Bahkan keseluruhan aktiviti agak pasif. Sebelum permainan dimulai, kedua-dua kayu itu dipacak ke tanah dalam keadaan selari. Kayu-kayu itu disebut tiang. Jarak di antara tiang ke tiang bergantung kepada keadaan. Kalau ramai pemain dan banyak getah yang hendak dipasang, jaraknya agak jauh.

Gelang getah yang disidai pada alang hendaklah dipasang pada kedudukan hampir mencecah tanah. Seelok-eloknya 1 inci dari tanah. Bagi membidas gelang-gelang getah yang disangkut di alang, satu alat khas yang dipanggil ‘getah ibu’ diperlukan. ‘Getah ibu’ ini daripada gelang getah juga. ‘Getah ibu’ mempunyai struktur kelapa yang terdiri daripada satu atau beberapa urat gelang getah, bergantung kepada saiz getah ibu. Fungsi kepala ialah untuk menghasilkan anjalan dalam proses membidas.

Menentukan siapa memulakan permainan Tuju Para agak mudah. Para pemain akan berbaris di belakang satu garisan panjang dalam kedudukan selari, bahu-membahu dan menghadap getah-getah yang disidai di alang. Maka pemain yang berbaris di kanan sekali berhak memulakan permainan. Pemain akan menunjukkan ibunya ke arah ratusan getah yang disidai di alang di hadapannya. Misinya ialah membidas gelang-gelang getah itu sehingga bertaburan di atas tanah. Dia perlu memastikan gelang-gelang getah yang jatuh dari alang itu tidak bersentuhan atau berhubung dengan tiang, alang atau mana-mana getah yang masih tersidai di alang.

Biasanya bidasan yang kuat akan membuatkan gelang-gelang getah itu terpelanting atau terlantun dan jatuh berselerak di tanah dalam lingkungan yang luas. Jika bidasan menyipi atau getah ibu terbelit atau terlekat di getah alang, peluang bermain akan tertutup serta merta. Bertuahlah pula peluang pemain yang berjaya menceriakan gelang-gelang getah itu dari alang atau tiang ‘berkaran’. Dia akan mengutip gelang-gelang getah itu dan membilang jumlah gelang getah yang diperolehi adalah jumlah mata diperolehi. Setelah semua gelang getah disatukan pemain pun ditamatkan. Masing-masing pun membilang mata yang dipungut.

4. Permainan Rebut Tiang

ADA waktunya permainan di halaman rumah tidak dapat dijalankan kerana hujan lebat. Jadi sementara menunggu hujan reda, kanak-kanak desa suka berkumpul di bawah rumah (kolong rumah) daripada membuang masa tidak berbuat sesuatu, mereka akan menjalankan permainan yang sesuai bagi menghilangkan jemu atau memanaskan badan.

Sekiranya tidak terdapat tiang rumah atau rumah terlalu rendah sehingga sukar untuk berlari dan memeluk tiang, batang pokok juga boleh digunakan. Kanak-kanak masyarakat Orang Asli selalunya memacakkan bulu sebagai pengganti tiang. Malah, dalam permainan ‘rebut tiang’, tiang-tiang buluh yang dipacakkan itulah yang menjadi alat utama.

Permainan ini boleh dilangsungkan dengan jumlah pemain yang sedikit atau ramai. Kesemua pemain mesti berkumpul di tengah-tengah permainan iaitu pada kedudukan sama jauh dengan semua tiang. Masing-masing mencangkung dalam satu bulatan dengan kedudukan menghadap ke dalam bulatan. Apabila dikira 1, 2, 3 dengan cara berjalan itik, masing-masing berlumba-lumba menuju ke mana-mana tiang pilihan. Siapa lambat dia tidak dapat tiang untuk dibuat ‘rumah’. Maka bermulalah kemelut merebut tiang dalam permainan merebut tiang ini.

Pergerakkan pertukaran ‘rumah’ mesti cepat dan lancar. Persetujuan bertukar tiang perlu dibuat secara senyap dan bahasa isyarat supaya tidak disedari oleh perebut tiang. Sekiranya pertukaran tiang dibuat dengan tiang yang agak jauh (supaya lebih hebat) pemain mestilah lebih pantas. Namun risiko ini jarang diambil oleh pemain kerana masing-masing tahu pahitnya menjadi perebut tiang. Malang tak berbau. Ada pemain yang tergesa-gesa dan terlanggar antara satu sama lain lalu terjatuh, tertiarap, terlentang dan sebagainya. Kecemasan seperti ini adalah peluang keemasan bagi si perebut tiang kerana ada 1 atau 2 tiang yang kosong untuk diambilnya.

Dalam permainan rebut tiang, pemain, gelaran juara pastinya mencerminkan kehebatan pemain. Juara ialah pemain yang tidak pernah kehilangan ‘rumah’ iaitu tidak pernah menjadi perebut tiang. Pemain ini tentu tangkas pergerakkannya untuk berlari merebut tiang dan tajam penglihatannya untuk mengintai peluang yang sesuai.

Sesungguhnya permainan merebut tiang ini hanya berdasarkan ketangkasan dan tiada sebarang mata dipungut. Tiada juga denda kecuali kebosanan berlari ke sana ke mari untuk merebut tiang. Permainan hanya berakhir apabila masing-masing sudah keletihan.

5. Permainan Tating Lawi

SATU lagi permainan waktu saya kecil dulu ialah permainan tating lawi. Permainan ini tergolong dalam jenis permainan laman. Tujuannya ialah untuk menating lawi. Permainan tating lawi mestilah dimainkan oleh beberapa pasukan iaitu tiga orang seregu bagi satu pasukan. Peralatan yang digunakan ialah lawi. Gelanggang untuk permainan tating lawi mestilah berpermukaan rata. Selalunya lawi diperbuat dari bulu ayam (bahagian ekor ayam jantan) yang dicucukkan pada gabus dan diikat pula dengan tali getah.

Permainan tating lawi akan dimulakan dan ditamatkan apabila aba-aba diberikan oleh seorang rakan yang dilantik sebagai pengadil bertugas. Sewaktu bermain, setiap orang pemain akan diberikan tiga peluang tating mula dalam masa tiga minit atau mana-mana yang terdahulu. Selepas tamat tiga minit atau berlaku tiga kali jatuhan, tating mula hendaklah diberikan kepada rakan pemain yang berikutnya.

Tatingan mula hendahlah menggunakan kaki sendiri. Pemain juga boleh menggunakan mana-mana anggota badan selain daripada tangan namun begitu tatingan lawi yang melepasi paras pinggang sahaja yang akan dikira mata. Kemenangan dikira berdasarkan kepada pasukan yang paling banyak sekali membuat tatingan. Jika jumlah tatingan yang dibuat oleh pasukan yang bertanding sama atau seri, setiap pasukan akan memilih seorang rakan dari pasukan mereka untuk menating sehingga berlaku jatuhan selama satu minit. Jika berlaku seri juga, seorang peserta lagi akan menating selama satu minit. Jika masih juga seri, undian akan dijalankan.

Jatuhan berlaku sekiranya lawi jatuh ke lantai. Jatuhan juga berlaku sekiranya lawi terkena tangan. Satu jatuhan akan dikira sekiranya lawi terkena tangan. Buang gelanggang berlaku apabila terdapat mana-mana peserta atau pemain yang melakukan sesuatu perbuatan yang kurang sopan sebanyak tiga kali. Buang gelanggang juga akan berlaku sekiranya terdapat mana-mana pemain berbuat sesuatu yang bukan dalam permainan.

6. Permainan Perik Mata

SATU lagi permainan masa lapang sewaktu saya kecil dulu ialah permainan perik mata. Perik mata juga dikenali sebagai konda-kondi memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang. Peralatan yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, 15cm dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu. Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang.

Undian secara ‘wan to som’ dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang harus memainkan terlebih dahulu.

Permainan Pertama

Pemain pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang, kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara, setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan diambilalih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya, mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun mengena kayu panjang.

Jika kayu itu masuk ke dalam lubang ataupun terkena kayu panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu mata.

Permainan Kedua

Pemain tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan pertama atau keduanya tidak kuat. Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.

Permainan Ketiga

Seterusnya, pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan melentik ke udara.

Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi memenangi perlawanan ini.

7. Permainan Laga Biji Getah

ZAMAN saya kecil-kecil dulu banyak permainan yang tidak payah mengeluarkan wang untuk dimainkan pada masa terluang. Bagi saya dan rakan-rakan saya yang lain, waktu itu bermain tidak kira apa jenis dan caranya tetap mengisi masa dan menggembirakan. Ada permainan yang tidak memerlukan tempat dan waktu yang khusus. Ada satu objek di ladang getah yang mencetuskan idea untuk dijadikan permainan iaitu biji getah. Tidak sukar untuk mendapatkannya, lebih-lebih lagi jika bertepatan musim biji getah luruh.

Dalam permainan laga biji getah ini, kekuatan dan ketahanan tempurung dan ketahanan biji getah inilah yang hendak diuji. Permainan laga biji getah ini hanya sesuai untuk kanak-kanak lelaki sahaja. Ini kerana untuk memecahkan biji getah itu memerlukan tenaga yang banyak dan tapak tangan yang kuat. Dari segi teknik, permainan ini agak pasif tetapi mendedahkan kepada kecederaan tapak tangan sekiranya kurang berhati-hati. Permainan ini hanya memerlukan kekuatan tapak tangan semata-mata. Berdua pun sudah memadai untuk menyempurnakan permainan ini. Namun penglibatan lebih ramai pemain pastinya lebih menyeronokkan.

Para pemain masing-masing menyediakan buah getah, yang terbaik di antara semua buah getahnya dipanggil ‘jaguh’. Biasanya biji getah yang kuat adalah padat isinya, bersaiz kecil dan bersudut atau berbucu sedikit. Bucu ini nanti akan menjadi ‘penukul’ untuk membinasakan biji-biji getah pencabar. Bagi menentukan siapa dahulu bermain, ‘jaguh’ masing-masing akan dicabar dalam ujian ke atas 10 biji getah yang diberi secara rawak oleh pengadil. Pemilik ‘jaguh’ yang berjaya menewaskan banyak biji getah adalah layak menduduki tempat terawal bermain.

Pemain yang berhajat untuk berlawan hendaklah menyediakan seberapa banyak biji getah yang mungkin. Mata diperolehi apabila ‘jaguh’ masing-masing berjaya memecahkan satu biji getah yang diberi oleh pengadil. Pengadil akan memberi mata cara menghadiahi 1 biji getah. Biji getah yang ini bukan untuk diuji tetapi hendaklah disimpan sebagai bukti pungutan mata. Jika ‘jaguh’ tewas kepada biji getah pencabar, peluang bermain terpaksa diserahkan kepada pemain lain.

Bagi mengelakkan penipuan, pengadil akan mengenalpasti yang mana biji getah pencabar. Biasanya pengadil menanda biji getah pencabar dengan cara mengikisnya sedikit. Ada juga pemain yang nakal dan cuba menipu untuk menang. Penipuan dibuat dengan cara melagakan biji getah pencabar dengan ketul batu yang disembunyikan dalam genggaman. Ini menjadi tanggungjawab pengadil untuk mengelakkannya. Begitulah seronoknya permainan ini. Ibubapa tentunya tidak keberatan mengizinkan anak-anak menghabiskan masa dengan permainan ini. Dan selalunya saya dan rakan-rakan akan bermain di mana-mana saja terutama di bawah rumah kerana teduh dan sejuk.

8. Main Tarik Upih

DALAM suasana akan pulang berhariraya di kampung, entah mengapa fikiran ini tiba-tiba saja teringatkan waktu kecil-kecil dahulu. Sementara menunggu masa berbuka puasa, saya dan beberapa orang rakan akan bermain tarik upih. Tatkala itu permainan tersebut merupakan satu permainan yang amat menyeronokkan kami. Halaman rumah yang rata kendati berdebu adalah tempat yang terbaik untuk kami bermain. Menarik upih selalunya diberi kepada rakan-rakan lelaki yang berbadan sasa dan kuat sementara penunggang upih merupakan rakan-rakan yang berbadan kurus, ringan ataupun perempuan.

Sebagai pengkaji budaya Melayu, saya dapati permainan tarik upih tergolong dalam jenis permainan laman. Tujuannya ialah untuk menyangga rakan ke ’padan’. Permainan tarik upih mestilah dimainkan oleh beberapa pasukan yang mengandungi seramai dua orang seregu untuk satu pasukan. Permainan ini mestilah dimainkan di atas permukaan yang rata melalui sebuah lorong selebar satu meter dan berjarak empat puluh meter. Jika tidak ada lorong, keliling halaman rumah boleh dijadikan gelanggang permainan.

Sewaktu permainan akan berlangsung, peserta hendaklah dalam keadaan menyangga kaki rakan. Selepas ’aba-aba’ diberikan oleh seseorang yang dilantik menjadi pengadil, permainan hendaklah dimulakan dengan peserta menarik upih mengikut lorong masing-masing dari ’paduk’ menuju ke ’padan’. Jika sekiranya sanggaan terjatuh, peserta yang terlibat hendaklah membina semula sanggaan tersebut di tempat jatuh tadi. Peserta tidak dibenarkan menukarkan penarik upih sewaktu di dalam perlumbaan.

Kemenangan dikira berdasarkan kepada peserta yang tiba dahulu di ’padan’ atau apabila pihak lawan diisytiharkan batal atau mati atau dibuang dari gelanggang kerana melakukan sesuatu kesalahan yang boleh menyebabkan batal, mati atau dibuang gelanggang. Peserta akan dikira mati sekiranya mendepani ’aba-aba’ atau ’paduk’ sebanyak tiga kali. Peserta juga akan dikira mati sekiranya memasuki lorong pihak lawan sewaktu perlumbaan. Bagi kesalahan batal, berlaku apabila perlumbaan yang tidak di dalam sanggaan atau berlaku pertukaran penarik upih sewaktu dalam perlumbaan.

Buang gelanggang berlaku apabila terdapat mana-mana peserta atau pemain yang melakukan sesuatu perbuatan yang kurang sopan sebanyak tiga kali. Buang gelanggang juga akan berlaku sekiranya terdapat mana-mana pemain berbuat sesuatu yang bukan dalam permainan.

Namun begitu, sewaktu saya kecil dahulu tidak ada undang-undang dalam permainan ini. Kami akan bermain mengikut suka hati kami sendiri. Sesiapa saja boleh menjadi penarik upih atau penunggang dan tidak pernah ada istilah mati atau buang gelanggang dalam kamus permainan ini.

9. Permainan Capelong

BILA duduk bersendirian sambil melihat kanak-kanak zaman sekarang bermain play station, saya terkenang permainan saya waktu kecil dulu iaitu permainan capelong. Walaupun permainan capelong ini tidak sehebat play station tetapi capelong mempunyai falsafahnya yang tersendiri. Selain dari dapat membentuk kerjasama yang baik, persahabatan yang erat dan usaha yang bersungguh-sungguh kerana segala peralatan dibuat sendiri, ia juga dapat membina daya kreativiti seseorang kanak-kanak.

Untuk membuat capelong, pagi-pagi lagi saya telah menyelitkan parang milik bapa saya di pinggang dan mulai meredah belukar untuk mencari batang buluh yang sesuai. Setelah siap, terpaksa pula saya memanjat pokok cenerai untuk mendapatkan buah putiknya sebagai peluru capelong. Selalunya dalam soal ini saya tidak keseorangan, ramai lagi rakan saya termasuk juga rakan perempuan akan bersama-sama. Di situlah letaknya keseronokkan dan keakraban persahabatan yang sehingga kini masih melekat erat dalam sanubari saya.

Permainan capelong juga dikenali dengan nama senapang buluh terutama oleh kanak-kanak di kampung saya. Senapang buluh merupakan alat permainan yang ringkas. Seperti namanya, ianya diperbuat dari seruas buluh yang panjangnya dipotong mengikut keperluan si pembuat. Namun panjang laras senapang yang biasa adalah lebih kurang sekaki. Terdapat tiga komponen peralatan capelong atau senapang buluh iaitu laras, gandar pengepam (dipanggil gucuh atau gocoh) dan hulu. Buluh temiang paling baik untuk tujuan ini. Boleh dikatakan ia merupakan sejenis ‘pump-gun’ tradisional yang berkuasa rendah. Gucuh atau gocoh biasanya juga diperbuat dari buluh (buluh biasa yang lebih tebal kulitnya) diraut kerana ia lurus dan boleh dibentuk bulat dengan senang. Sekali imbas ia kelihatan seperti pam tangan basikal.

Hulu senapang panjangnya lebih tiga inci atau kurang. Dan biasanya melibatkan bahagian yang mengandungi ruas untuk berfungsi menopang gucuh dengan baik selain dari senang untuk digenggam. Selain dari untuk digenggam, hulu ini penting untuk membolehkan peluru senapang dipupuh terlebih dahulu sebelum diasak jauh ke dalam laras.

Mudah untuk senapang yang telah siap dioperasikan. Sebiji peluru diasak terlebih dahulu. Ia dipupuh rata-rata supaya muat-muat memenuhi lubang laras sehingga ia menjadi separa kedap ruang udara. Peluru kedua juga diisi menggunakan metod yang sama. Oleh kerana ia dipupuh rata-rata, kedua-dua peluru berkenaan akan memenuhi ruang laras. Udara terperangkap di antara peluru pertama dan kedua. Peluru capelong atau senapang buluh yang sering digunakan ialah buah cenerai muda atau kertas yang telah direndam di dalam air. Buah cenerai akan dimasukkan sebiji-sebiji sementara kertas yang telah direndam hendaklah digintil terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam lubang capelong sebelum ditolak dengan gucuh.

Sewaktu melepaskan peluru buah cenerai harus berhati-hati kerana jika terkena mata kawan boleh menjadi buta. Selalunya, untuk menjaga mata dari terkena peluru capelong, kami akan menggunakan lekar sebagai perisai. Lekar yang kami ambil di dapur milik emak yang sering meletakkan periuk panas selepas memasak begitu berkesan dalam aspek penjagaan mata dan tidak ada sesiapa pun antara kami yang buta akibat tembakan peluru capelong. Lekar tersebut dibubuh tali getah di dua bahagian tepinya kemudian diikatkan di belakang kepala. Di sini wujud satu kreativiti minda yang wajar dipuji kerana penggunaan lekar tercipta secara spontan.

Begitulah. Sewaktu bertemu kembali rakan-rakan sepermainan waktu kecil dulu setelah lebih 30 tahun berpisah, segala kenangan silam gesit terbayang kembali. Datangnya begitu lunak, meresap ke dalam nubari, menerobos wilayah sukma dengan satu kesyahduan perasaan yang tersendiri dan tanpa sedar ada air mata yang mengalir lesu. Betapa kenangan silam sewaktu kecil itu amat menusuk perasaan kerana di dalamnya terselit seribu nilai persahabatan, erti kasih sayang, kesepaduan, kerjasama, tolak ansur, gembira bersama, menangis bersama dan yang lebih penting tidak pernah secuit pun tercetus bibit-bibit kebencian dan persengketaan antara kami. Segalanya mesra, dalam senyum dan gurau senda.

Kadang-kadang saya impikan dunia ini kembali berputar ke zaman silam, zaman waktu saya kecil dulu agar saya dapat menikmati lagi hidup dalam suasana penuh keriangan tanpa sebarang nestapa dan lara. Tapi, sudah tercatat sebagai sunan al-khaun, masa yang lepas tak mungkin akan kembali lagi. Hanya tersimpan dalam arkib memorabilia yang tak mungkin dapat dilupakan sepanjang hayat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan