Ahad, 7 November 2010

Bersyair, Bernazam Dan Bergurindam Di Panggung Percubaan, UPM

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Beberapa hari yang lalu saya telah menerima undangan untuk menyampaikan syair, gurindam dan nazam di Panggung Percubaan, UPM. Acaranya dinamakan Malam Citra Puisi Tradisi - kerjasama antara Dewan Bahasa Pustaka (DBP), dan Pelajar Program Bacelor Komunikasi (Eksekutif) Semester 4, Universiti Putra Malaysia (UPM). Khabarnya, idea asal datang daripada pihak UPM sendiri.

Secara kebetulan, pada sebelah siangnya saya dijemput memberi ceramah Penghayatan Puisi Tradisional kepada mahasiswa/mahasiswi Program Bacelor Komunikasi (Eksekutif) Semester 4, Universiti Putra Malaysia (UPM). Sebenarnya saya jarang menyertai acara baca puisi moden ataupun deklamasi kerana bagi saya, persembahan demikian agak mendatar. Apatah lagi, apabila deklamasi untuk disampaikan dengan cara ‘terjerit-jerit’ atas nama seni. Namun, ada sesuatu yang berbeza dengan Malam Citra Puisi Tradisi ini. Persembahan ini menggabungkan bukan sahaja penyampaian puisi moden, malah tidak meninggalkan puisi-puisi tradisional. Saya sendiri membuat tiga persembahan iaitu bersyair (Syair Siti Zubaidah), bernazam (Nazam Nasihat) dan bergurindam (Gurindam Pelihara Lidah).

Syair merupakan puisi tradisional, terdiri daripada empat baris serangkap seperti pantun tetapi semua rangkap tersebut merupakan maksud. Selain itu rima akhir syair pada tiap-tiap bait pula ialah ‘aaaa’. Secara keseluruhannya pula, isi dan persoalan yang ingin disampaikan dalam syair berbentuk cerita. Setiap rangkap syair mempunyai cerita yang bersambungan antara satu sama lain sehinggalah rangkap syair yang terakhir. Syair yang saya dendangkan adalah seperti berikut:

Syair Siti Zubaidah

Mulutnya manis bijak laksana
Barang lakunya semuanya kena
Putih kuning usul sederhana
Memberi hati gundah gulana

Dapatlah nama Puteri Zubaidah
Awal dan akhir tidak sudah
Sebarang lakunya memberi faedah
Menundukkan orang terlalu mudah

Semuanya sudah di bawah perintahnya
Tunduk dan kasih akan dianya
Terkena di dalam lemah lembutnya
Lemahlah hati segala seterunya

Itulah akal orang sempurna
Bijak bestari arif laksana
Ditanggung dahulu hina dan dina
Kemudian kebesaran juga terkena

Di mana kita dapat mencari
Seperti akal Zubaidah puteri
Takluk dan tunduk segala puteri
Patutlah jadi mahkota negeri

Zubaidah itu orang berakal
Mengadap seteru sangat tawakal
Jalan bermadu hatinya tawakal
Mengaji sembahyang tidak tertinggal

Nazam pula merupakan satu genre puisi klasik Melayu yang berasal daripada puisi Arab. Menurut Mohd Ali Bachik, ‘Pada awal abad kedua puluh, nazam amat popular sebagai nyanyian masyarakat kampung dalam majlis-majlis tertentu. Pada masa ini nazam sudah hampir luput dari alam puisi Melayu, alam tradisi lisan bahkan dari alam budaya Melayu. Pahadal nazam amat mudah difaham, amat sedap didengar apabila dinyanyikan, dan tidak sukar pula untuk mengarangnya.

Ciri-ciri nazam adalah seperti berikut:

  1. serangkap nazam terdiri daripada dua baris berangkap
  2. baris nazam terdiri daripada enam patah perkataan ataupun lebih kurang dua belas suku kata.
  3. nazam dibaca dengan irama lagunya yang tertentu

Nazam bertemakan agama iaitu menceritakan hal-hal syurga, neraka, ajal maut, amal ibadat, Nabi, malaikat dan seruan memuji kebesaran Tuhan. Kadang-kadang ada juga nazam bertemakan nasihat, menuntut ilmu, akhlak dan sebagainya. Nazam yang saya alunkan adalah seperti berikut:

Nazam Nasihat

Elok kata murni jiwa harum budi - (syarat)
Hidup kita penuh makna orang sudi - (jawab)

Elok paras banyak harta jika keji - (syarat)
Tiada siapa ingin dekat kita rugi - (jawab)

Hai saudara jangan sombong tinggi diri - (syarat)
Hidup jadi sia-sia tak bererti - (jawab)

Elok tingkah perbuatan hati mulia - (syarat)
Itulah tanda orang budiman semua suka - (jawab)

Elok perangai tidak dengki iri hati - (syarat)
Hidup damai sana sini orang rai - (jawab)

Hai saudara insaf diri buat kebaikan - (syarat)
Jangan lalai sampai lupa pada Tuhan - (jawab)

Ingat pesan ayah bonda penuh harapan - (syarat)
Anaknya jadi insan mulia masa depan - (jawab)

Harapan guru muridnya jadi orang budiman - (syarat)
Capai jaya cekal usaha berkekalan - (jawab)

Hai saudara jangan mudah putus asa - (syarat)
Tuhan berserta hamba yang tabah dan berusaha - (jawab)

Atau dalam lain-lain perkataan, sesuatu ‘jawapan’ pasti akan dihasilkan dengan ‘syarat’ sesuatu perkara yang tidak diingini terjadi atau berlaku. Keunikan syair, nazam dan gurindam sebagai manifestasi budaya masyarakat Melayu Islam, terletak pada bentuk puisi dan juga isinya. Apabila disebut syair, ada banyak syair yang terdapat dalam puisi tradisional Melayu seperti Syair Selendang Delima, Syair Dandan Setia, Syair Ken Tambuhan dan lain-lain lagi. Apabila disebut nazam pula, ada banyak nazam yang terdapat dalam puisi Melayu. Antara yang terkenal ialah Nazam Kasih Ayah Dan Ibu. Manakala apabila disebut gurindam pula, mungkin ramai yang akan mengaitkannya dengan Gurindam Semantan atau Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji. Ya, betul. Itu juga satu daripada gurindam yang amat terkenal. Daripada situ, wujud beberapa variasi gurindam.

Menurut Mohd Ali Bachik (Iladam) dalam bukunya Khazanah Puisi Klasik Melayu (2003), ciri-ciri gurindam terdiri daripada:

  1. anak kalimat (subordinate clause) ataupun (clause of reason)
  2. kalimat utama ataupun kalimat induk (main clause)
  3. kedua-duanya akan membentuk sebuah ayat kompleks yang berangkap. Rangkap gurindam tidak semestinya dua baris, ia boleh terjadi dalam bentuk yang lebih; misalnya gurindam berlapis (3 baris, 4 baris, 5 baris dan seterusnya)

Gurindam berima, iaitu bunyi di hujung kalimat-kalimatnya seragam
Gurindam membawa motif pengajaran atau nasihat yang dalam maksudnya.
Gurindam membawa erti sesuatu perkara itu berlaku kerana sesuatu ‘sebab’ dan dari sebab-sebab itulah terjadi ‘akibat’. Gurindam yang saya alunkan pada malam tersebut ialah Gurindam Pelihara Lidah.

Pelihara Lidah

Jika kamu banyak berkata
Di situ banyak membuat dusta

Jika kamu banyak bercakap
Tanda fikiran kuranglah lengkap

Jika kamu banyak berkata
Kejahilan kamu terang dan nyata

Jika kamu banyak bercakap
Kekurangan kamu mudah tersingkap

Jika kamu banyak berkata
Di situ banyak silang sengketa

Jika kamu banyak bercakap
Kamu sendiri masuk perangkap

Jika kamu banyak berkata
Janji palsu senang tercipta

Jika kamu banyak bercakap
Kata mengata banyak diungkap

Jika kamu anyak berkata
Banyak janji tidak dikota

Jika kamu banyak bercakap
Rahsia kamu dapat ditangkap

Sesungguhnya, nazam mestilah dimulakan dengan salam, selawat dan basmalah. Zaman dahulu, nazam menjadi satu cara untuk menghidupkan surau dan madarasah. Kuliah yang disampaikan dalam bentuk ceramah mungkin akan menarik satu pihak sahaja tetapi, apabila disampaikan dalam bentuk nazam (perbandingan sekarang nasyid) kesannya berbeza kepada pihak yang lain. Lihat sahaja bagaimana anak-anak yang didedahkan dengan nasyid ‘Raihan’ begitu mudah menghafal nama-nama Rasul, mudah selawat dan mengucap. Ungkapan yang amat fasih pada lidahnya. Demikian halnya dengan nazam. Nazam Sifat 20 misalnya, memudahkan seseorang menghafal makna Sifat-Sifat Allah; ataupun Nazam Rukun Islam.

Gurindam pula bentuknya pada kebiasaannya mengandungi dua kerat atau dua baris. Baris rima akhirnya biasanya sama iaitu ‘aa’. Namun, terdapat juga gurindam yang rima akhirnya tidak sama ataupun bebas seperti seloka sehingga kadang-kadang sukar untuk membezakan antara bentuk gurindam dan seloka. Pada kebiasaannya, bahasa gurindam lebih bernas dan padat daripada seloka. Isi dan persoalan gurindam pula berbentuk nasihat, moral, pengajaran dan juga kebenaran. Bahasa yang dipilih dalam gurindam biasanya memberikan pengertian yang tepat dan mendalam.

Perbezaan antara puisi tradisional dengan puisi moden bukan saja terletak pada bentuknya tetapi juga pada sifatnya. Puisi tradisional bersifat kolektif sementara puisi moden pula bersifat individualistik dan ada hak milik individunya. Pada peringkat awal penciptaannya, puisi Melayu moden memang jelas bentuknya mempunyai pengaruh puisi Melayu tradisional seperti pantun dan syair. Namun, dengan perubahan masa, pengaruh puisi tradisional dalam puisi moden beransur-ansur hilang.

Puisi Melayu moden yang terawal dikesan ialah puisi Angan-angan Dengan Gurindam karya Omar Mustaffa yang tersiar dalam Utusan Melayu pada 18 Januari 1913 dan puisi ini menjadi batu tanda kepada sejarah perkembangan puisi Melayu moden selanjutnya. Antologi puisi ini telah menghimpunkan puisi-puisi dalam dua bentuk iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Puisi moden yang dihimpunkan bermula dari awal tahun 1940-an sehingga tahun 2007. Walaupun negara kita mempunyai ramai penyair, namun antologi ini hanya memuatkan karya 34 penyair sahaja. Selain memperlihatkan bentuk puisi Melayu moden yang berubah daripada pengaruh bentuk puisi Melayu tradisional kepada bentuk puisi Melayu moden sepenuhnya, antologi ini juga telah memperlihatkan gaya pengucapan puisi yang agak berbeza daripada dahulu sehingga sekarang.

Bentuk-bentuk puisi tradisional walaupun nampak mudah tetapi memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak, khasnya. Di kampung-kampung, perkara-perkara kecil seperti nazam, pantun, syair, gurindam inilah yang telah menjadi benteng akidah anak-anak satu ketika dahulu. Ia menjadi sebahagian daripada budaya tidak langsung yang membentuk peribadi anak-anak tadi. Anak-anak pada zaman itu (pada zaman saya dahulu) banyak dididik melalui suasana tidak langsung ini. Sekarang saya telah mempraktikkan kaedah tersebut dalam mendidik anak-anak saya. Saya akan marah kalau anak-anak saya lambat mengaji, lalu saya akan berpantun:

Sorong papan tarik papan,
Buah keranji dalam perahu;
Suruh makan engkau makan,
Suruh mengaji engkau tak mahu.

Kesan pantun itu lebih dalam daripada suruhan yang berbentuk langsung. Saya jadi teringat kepada pantun yang saya pelajari bersama-sama arwah ayah yang disampaikan dalam bentuk yang santai. Dalam diam, anak-anak saya akan ‘terpukul’ oleh kata-kata itu dan dengan senang hati terus ambil Quran dan mengaji.

Keistimewaan beginilah yang semakin luput dalam zaman hari ini. Namun, saya tidak berputus asa. Selagi ada hayat, saya akan terus memperjuangkannya. Saya juga masih belajar dan akan terus belajar mendalami dan mahu mewarisinya daripada generasi yang lebih lama. Mungkin saya tidak terdaya mempelajarinya sendirian, jadi saya menyeru kepada semua yang masih sayang akan identiti Melayu-Islam, marilah kita buktikan bahawa Islam itu syumul - meliputi segala aspek kehidupan. Ia ada di mana-mana. Setiap seorang ada peranan masing-masing. Usahlah kita berperanan ‘membunuh’ bangsa sendiri dengan racun-racun budaya asing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan