Isnin, 15 Mac 2010

Selagi Darah Masih Mengalir

(Cerpen ini telah memenangi hadiah saguhati dalam Pertandingan Menulis Cerpen Sejarah anjuran Persatuan Sejarah Kedah dan telah diantologikan dalam antologi Di Sinikah Langkasuka terbitan Majlis Kebudayaan Negeri Kedah)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

KOTA ARUNG-ARUNGAN diapung sepi dan tenang. Angin malam bulan April 1657 berhimpang galak dan dingin menjerba melalui tingkap dan menyapa lunak tiga batang tubuh di anjung sebuah rumah, namun kedinginan malam tersebut tidak berupaya menurunkan takah didih dalam dada salah seorang daripada mereka. Marahnya semakin menyala, menggelodar seluruh juzuk tubuh. Lebih-lebih lagi kala mengenangkan baginda Sultan Rijaluddin Muhammad Shah yang begitu lembut sehingga sanggup mengadakan perjanjian perdagangan dengan Belanda.

“Sudah aku katakan, seperti aku tak percaya kepada Acheh, aku juga tak percaya kepada Belanda!” tiba-tiba dia membentak keras dengan jerau wajah serlah.

“Mereka ada muslihat jahat terhadap kita. Negeri Kedah ni akan dirampas kalau kita masih berdiam diri!”

Hening, cuma kedengaran desir angin menggesel dedaun pokok sekitar rumah. Awang Melan diam dengan bentakan bapanya. Deramang juga tidak bersuara. Akur benar dia dengan kata-kata bernada gerah Tok Awang Deli itu.

Dia sedar, apa yang diluahkan bapa Awang Melan itu jarang menyimpang dari hakikat. Lebih dari itu, bukan dia saja malah seluruh warga Kota Arung-Arungan juga sedar, semangat bencikan orang luar dan darah perjuangan Tok Awang Deli itu sukar digoyah, kental dan bersemarak terutama jika menyentuh soal tanah air. Darah pahlawan yang mengalir dalam batang tubuhnya tetap seperti dulu. Tidak pernah pudar sejak tahun 1619 lagi.

Masih basah dalam ingatan Deramang, malah ingatan seluruh penduduk Kota Arung-Arungan juga, Tok Awang Deli bersemangat sekali mengumpulkan orang-orang kampung kala copeng telinga dicagun khabar Acheh mahu menyerang Kedah tahun 1619 dulu.

Semua orang-orang kampung Kota Arung-Arungan diserapkan semangat bangun mempertahankan tanah air. Tidak cukup di kampung sendiri, Tok Awang Deli ke Sidim, Bandar Bukit Meriam, Kota Ok dan juga Kota Bandar. Orang Pegu, Burma, Ligor, Cina dan Siam turut diserapkan semangat yang sama.

Biar waktu itu amat tersohor ke seluruh juzuk nusantara bahawa Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam punya angkatan perang yang kuat, menggeletarkan tubuh kerajaan lain yang cuba mahu berdepan dengan mereka namun tidak sedikit pun menggugah api perjuangan dalam tubuh Tok Awang Deli.

Tidak nyedar tidur dia menunggu dengan dada menggelecak untuk menyahut seruan Sultan Sulaiman Shah II supaya memerangi angkatan perang Acheh itu tetapi segalanya tidak menjadi kenyataan kerana baginda sultan lebih mementingkan keselamatan rakyat Kedah dan sanggup menerima kedatangan angkatan perang Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam dengan mesra sehinggalah terjalin hubungan baik antara Kedah dan Acheh.

Betapa kecewanya Tok Awang Deli dengan kelembutan baginda itu. Baginya, kenapa baginda takut untuk berperang. Semua rakyat sudah bersiaga di belakang baginda untuk mempertahankan Negeri Kedah. Sungguh-sungguh dia kecewa. Sungguh-sungguh dia kesal.

Bagi Tok Awang Deli, tidak seharusnya baginda takut untuk berdepan dengan angkatan perang Acheh. Rakyat Kedah tidak pernah gentar untuk berperang.
Mereka semua sanggup mati di medan perang demi mempertahankan Negeri Kedah ini dari mati di rumah sebagai pengecut. Mereka sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir asalkan Negeri Kedah selamat dari pencerobohan.

Namun, jauh di dasar hatinya, Tok Awang Deli terpaksa akur juga dengan keputusan sultan. Dia sedar, sebagai seorang rakyat yang setia di bawah duli baginda, dia terpaksa taat dengan apa juga yang sudah diputuskan biarpun rasa curiga terhadap kejujuran Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam tetap bertunas dan subur merimbun di lipatan hati.

“Mahad, kau jangan ikut baginda ke Acheh!”

Begitu tegahan Tok Awang Deli kepada Mahad tatkala cucu penakannya itu bersama 7,000 rakyat Kedah yang lain mahu mengiringi Sultan Sulaiman Shah II ke Acheh sebagai menunaikan jemputan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.
Semuanya masih belum pamit lagi dari ingatan Deramang, basah dan segar hingga kini.

“Apa salahnya, tok? Bukankah aku ini pengawal sultan?” balas Mahad, kurang senang ditegah begitu.

“Aku memang tahu kau tu pengawal sultan dan tak salah iring baginda ke Acheh!” ujar Tok Awang Deli. “Tapi, aku rasa ada muslihat tak baik dari pelawaan sultan Acheh tu. Aku amat bimbangkan keselamatan kau!”

“Merepeklah tok ni!” jengkel Mahad, sungguh kurang senang, “Apa yang tok nak bimbangkan? Bukankah Acheh dan Kedah dah menjalin hubungan baik. Tak mungkin sultan Acheh nak apa-apakan kami semua!”

“Kau masih mentah, Mahad!” tukas Tok Awang Deli, mulai gerah. “Aku dah tua. Orang tua kaya dengan firasat dan firasat aku selalunya tak pernah meleset!”

“Ahhh, tok jangan cuba nak menakut-nakutkan aku. Aku tahu apa yang aku buat dan aku juga tahu nak jaga diri sendiri!” Mahad sungguh kurang senang.

Kala itu Deramang melihat wajah Tok Awang Deli merah menyala kerana tegahannya dipandang lewa dan akibatnya, sehinggalah sekarang wajah Mahad dan baginda Sultan Sulaiman Shah II tidak lagi muncul di Kedah ini. Benar seperti firasat Tok Awang Deli, mereka telah dijadikan tawanan oleh Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam di Acheh.

Sebab itulah, bila Tok Awang Deli mencurigai Belanda, Deramang berasa wajar untuk meyakini.

Sebenarnya, ini bukan pertama kali Tok Awang Deli mahu melancarkan penentangan terhadap Belanda. Pernah dikumpulkan ramai orang-orang kampung dari Kota Bandar, Sidim, Bandar Bukit Meriam, Kota Ok dan Kota Arung-Arungan sendiri untuk menyerang Belanda pada tahun 1652 dulu tetapi terpaksa dibatalkan kerana kemangkatan baginda Sultan Rijaluddin.

Malap sekejap bahang kebencian terhadap Belanda disulam oleh rasa sedih di atas kemangkatan tersebut dan kini murup kembali lebih-lebih lagi pengganti almarhum pula seolah-olah telah memberi lampu hijau.

Setahu Deramang, semangat penentangan Tok Awang Deli terhadap Belanda kembali menggelojak apabila Tengku Muhyiddin yang bergelar Sultan Muhyiddin Mansur Shah sebagai Sultan Kedah yang ke-14 ini tidak lagi mematuhi perjanjian perdagangan yang telah ditandatangani oleh ayahanda baginda dengan Belanda dulu.

“Kita akan serang dan hapuskan orang Belanda dari tanah Kedah ini!” suara Tok Awang Deli yang cagun tiba-tiba itu gesit membubarkan segala ngeluyur fikiran Deramang. Dia kelinglungan berjenak-jenak namun berupaya juga mencerlung tunak wajah Tok Awang Deli di hadapannya sejurus kemudian.

“Tumpuan kita kepada kapal-kapal dagang milik mereka!” ujar Tok Awang Deli lagi. “Aku yakin, dengan cara ini saja dapat menghalau mereka dari negeri kita!”

“Maksud tok, kita bertiga akan membuat serangan tu?” soal Deramang, mata mengesip-ngesip seraya menelan air liur. Nampak benar dia gelisar dengan pertanyaan tersebut.

Tok Awang Deli tersenyum nipis. “Kalau kita bertiga bermakna menyerah nyawa kepada mereka bulat-bulat! Itu tindakan bodoh namanya!” balasnya bersahaja.

“Habis tu?” Deramang agak terlunga.

“Bukan kita bertiga, Deramang! Orang-orang aku ramai yang masih setia dan mereka menunggu masa saja untuk melancarkan serangan terhadap Belanda!”

Deramang menarik nafas lega. Mata gesit melirik Awang Melan di sisi. Pemuda lewat 20-an itu sekadar mengangkat pundak namun dapat dibaca semangat juang dalam dada persis bapanya juga. “Jadi, tok nak bertindak sekarang juga?” soalnya setagal kemudian.

“Tidak!” Tok Awang Deli menggeleng kasar. “Sekarang bukan waktu yang sesuai dan aku juga tak mahu orang-orang aku jadi korban sia-sia tanpa persiapan yang cukup!”

“Maksud bapak?” Awang Melan yang sedari tadi bungkam tiba-tiba bersuara, tercolek ingin tahu.

“Bapa bukan bodoh, Melan! Orang-orang Belanda punya senjata api yang boleh membunuh kita dari jarak jauh. Kita perlu berhati-hati, perlu mengatur strategi yang sempurna dan bertindak dengan akal!”

Awang Melan kembali diam. Deramang mengeluh panjang. Suasana jadi khali sejenak.

“Kau orang berdua dah bersedia pikul tanggungjawab yang berat ni?” tanya Tok Awang Deli. Wajah Deramang dan Awang Melan direnung silih berganti.

“Errr, tanggungjawab apa, pak?” soal Awang Melan gesit.

“Tanggungjawab terhadap tanah ibunda ini - Negeri Kedah!” waras Tok Awang Deli menjawab.

Awang Melan tersenyum lebar. “Bapa tak perlu risau dengan semangat juang yang ada dalam dada saya!” ujarnya penuh bersemangat. “Darah yang mengalir dalam tubuh saya adalah darah bapak. Macam mana merahnya darah bapak, begitulah merahnya darah saya. Macam mana panasnya darah bapa, begitulah juga darah saya!” tokoknya lagi membuatkan Tok Awang Deli tersenyum bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan anaknya itu.

Deramang turut mengangguk-angguk. “Saya juga begitu, tok!” ujarnya polos. “Sebagai anak murid, saya tidak sekali-kali akan menin-ggalkan gurunya. Di mana guru bergelanggang, di situ saya berpencak silat. Di mana gurunya memalu gendang, di situ saya akan menari!”

Semakin lebar senyum Tok Awang Deli memurup di bibir tua berkedutrnya. “Kalau begitu, kita perlu buat persiapan dari sekarang,” ujarnya bernada tegas. “Besok, kau berdua akan ikut aku ke Sidim. Lepas tu kita akan ke Kota Ok, Bukit Meriam dan akhir sekali ke Kota Bandar.”

“Errr, nak buat apa ke sana tok?” Deramang tercolek ingin tahu.

“Jumpa dengan orang-orang aku!” jawab Tok Awang Deli.

Deramang dan Awang Melan mengangguk faham.

“Malam ni kau pulang dulu. Tidur puas-puas dan besok tunggu aku dan Melan di hujung kampung. Kita akan bertolak lepas subuh!” ujar Tok Awang Deli lagi.

* * *

Suatu malam pada tahun 1658.

Selepas maghrib, gelanggang silat pinggir kampung Kota Arung-Arungan bingar dengan suara pengikut-pengikut Tok Awang Deli. Hari ini mereka semua berkumpul setelah hampir setahun membuat segala persiapan diri sebelum berdepan dengan Belanda dan malam ini mereka akan mendengar amanat terakhir dari pemimpin mereka.

Jamung yang dicacakkan di sekeliling gelanggang, mencerahi kawasan sekitar, menyuluh juga tubuh-tubuh yang bagaikan tidak sabar lagi hendak berjuang.
Sejurus kemudian, laungan ‘Allah Huakbar’ berkesipongang, menggegar suasana sekitar tatkala mereka menancap Tok Awang Deli, Deramang dan Awang Melan melangkah penuh bersemangat masuk ke dalam gelanggang.

Ketiga-tiga mereka kelihatan cukup gagah dan tampan dengan berpakaian lengkap pahlawan Melayu. Amanat penting akan menerjah keluar dari mulut Tok Awang Deli bila-bila masa saja membuatkan keadaan di situ sunyi dan sepi. Telinga masing-masing menanti dengan penuh sabar akan amanat yang bakal diluahkan.

“Assalamualaikum saudara-saudaraku semua!” suara Tok Awang Deli mencerlus sejurus kemudian. Nadanya agak garau dan keras tetapi jelas kedengaran kepada semua yang hadir di situ.

Suasana terus khali. Tiada siapa pun yang bersuara. Masing-masing tunak mencerlung wajah ketua pejuang mereka di hadapan.

“Ingat saudara-saudara semua! Besok kita akan membuat serangan ke atas Belanda. Macam mana mereka menghalau Portugis keluar dari Pahang, begitulah kita akan halau mereka keluar dari Negeri Kedah ini!”

Ucapan Tok Awang Deli itu disambut dengan laungan ‘Allah Huakbar’ lagi sekali. Menggerutup dan bersemangat sekali seraya senjata di tangan masing-masing dijulang ke atas.

“Sedar dan insaflah saudara-saudara semua!” Tok Awang Deli meneruskan ucapannya sebaik suara pengikutnya mereda. “Negeri Kedah ini bumi pusaka kita, tanah beradat warisan bangsa kita. Ini tanah yang berolak dan berombak dengan semangat juang anak bangsanya. Tanah untuk kita mencanai kasih. Perjuangan kita tidak tahu apa keputusannya. Kalau kita gugur, gugur kita adalah gugur seorang pejuang dan kalau kita pulang, pulang kita juga sebagai seorang pejuang!”
Tok Awang Deli berhenti sejenak sambil mata melirik ke wajah para pengikut di hadapannya. Agak lama juga dia membisu. Sejurus kemudian barulah dia menyambung. Nadanya lebih keras dan lepas lantang serta penuh semangat.
“Saudara semua tentu tidak mahu tanah Kedah ini diinjak-injak di bawah tapak kaki penjajah dan kita semua jadi abdi di tanah air sendiri!!!”

“Tidak!!!! Kami tidak rela Negeri Kedah dipijak oleh kaki penjajah!”

“Kami akan hancurkan mereka!!”

“Allah Huakbar!!!”

Laungan demi laungan disambut berkesi-pongang meruap panas dalam kedinginan bayu malam yang galak berkesiuran. Tubuh masing-masing sudah disimbahi peluh walaupun dingin mencokot mengapung suasana. Api jamung yang semakin lama semakin malap tiba-tiba murup semula ketika batang-batangnya dijulang ke udara. Serentak juga mereka melaung kalimah ‘Allah Huakbar’.

Dalam kegamatan itu, keris, tombak, lembing, sundang, parang, dan golok di tangan masing-masing turut dilonjak ke atas dan mereka memekik lagi, “Belanda penjajah!! Nyahkan mereka dari negeri ini!!!!”

Tok Awang Deli, Deramang dan Awang Melan menghela nafas panjang. Pandangan masing-masing tertumpu kepada senjata-senjata yang bersilau dipanah cahaya api jamung.

Suasana menjadi hening sejenak kala Tok Awang Deli mengangkat tangan mengarahkan para pengikutnya bertenang. Dalam keheningan itu dia terus bersuara semula.

“Aku sayangkan Negeri Kedah ini! Aku tak akan izinkan penjajah bermaharajalela di sini, memeras keringat dan air mata anak pribumi. Aku sungguh bangga dengan saudara-saudara semua yang sanggup berjuang bersama-sama aku!”

Hening lagi.

Tok Awang Deli mengangguk perlahan sambil terus menyeluruhi para pengikutnya. Pada wajah-wajah itu dilihat ada api perjuangan yang bergemercikan, berkobar-kobar dan tak mampu dipadamkan walau dijerba angin taufan sekalipun.

“Jangan berundur selagi berdaya. Selagi darah merah masih mengalir di dalam tubuh, kita akan teruskan perjuangan ini!” suara Tok Awang Deli mencerlus lagi.

“Pantang anak Kedah menyerah tanpa melawan. Pemuda-pemuda Kedah akan mencatat nama dalam sejarah. Kita usir Belanda dari bumi Kedah!!”

Sekali lagi kata-katanya disambut dengan laungan ‘Allah Huakbar’. Semangat mereka meluap-luap. Kebencian terhadap Belanda tidak dapat ditahan-tahan lagi. Menggelodar nubari.


* * *

Serangan telah bermula. Sebuah kapal milik Belanda menjadi sasaran. Suasana cabuh dan tegang. Pihak Belanda sama sekali tidak menyangka bahawa orang-orang Melayu akan bertindak begitu nekad. Dalam keadaan tidak bersedia itu menyebabkan ramai orang-orang mereka terbunuh.

Walaupun begitu, dengan kelebihan senjata api, mereka berjaya juga meredakan keadaan. Serangan dari Tok Awang Deli dan pengikutnya dapat dipatahkan. Menyedari orang-orangnya tidak mampu menahan peluru-peluru senjata api yang menghujan, Tok Awang Deli terpaksa mengarahkan pengikutnya beredar sekejap sebelum memulakan serangan baru.

Ketika itulah beberapa das tembakan yang diletuskan oleh Belanda telah menembusi dada Tok Awang Deli menyebabkan dia tersungkur ke tanah. Awang Melan yang melihat kejadian tersebut gesit menerpa.

“Bapa!” jeritnya tak dapat ditahan-tahan.

“Melan…!” rintih Tok Awang Deli lirih.

Awang Melan segera mengangkat kepala bapanya dan diletakkan di atas ribaan. Mendadak dia jelu melihat mata dan wajah Tok Awang Deli jelas pudar, mengerang rengsa sambil mengurut-ngurut dada yang semakin mencurah-curah dengan darah.
Sementara itu Deramang dan para pengikut Tok Awang Deli yang lain terus mencari tempat perlindungan kerana peluru-peluru yang dimuntahkan dari mulut senjata api milik Belanda bersimpang siur di atas kepala.

“Bapa! Mengucap bapa! Ingat Allah banyak-banyak!” Awang Melan mencium pipi Tok Awang Deli yang kian lemah.

“Melan, teruskan perjuangan ini!” bisik Tok Awang Deli tertahan-tahan dengan suara yang semakin lirih dan mendatar. Darah terus membuak-buak menerjah keluar dari rongga dada. “Melan, sampaikan salam terakhir bapa pada emak kau di rumah! Katakan pada dia, jangan bersedih dengan kehilangan bapa. Pergi bapa sebagai seorang pahlawan!”

Jelu dan keharuan tidak dapat ditahan-tahan lagi. Airmata Awang Melan gesit menjujuh dari kelopak mata. Mukanya perlahan-lahan didekatkan ke muka Tok Awang Deli, rapat-rapat.

“Ingat pesan bapa! Jangan kau lemah semangat, Melan! Kau adalah pemuda harapan bangsa. Anak Kedah yang tak pernah gentar mati! Allahhhh…,” ujar Tok Awang Deli lagi dengan suara yang kian jauh di kerongkongan. Sebaik sahaja mengeluarkan kata-kata terakhirnya, Tok Awang Deli pun menghembuskan nafasnya yang penghabisan.

Awang Melan terkejur setagal. Jagat raya dirasakan gelemat. Namun, tiba-tiba dia merasakan persis ada gerak halus yang menyala membahang di dadanya. Dengan tangkas, dia menghambur ke arah tiga askar Belanda yang kebetulan berada tidak jauh dari situ.

Kerana tergamam jola dengan ketangka-san Awang Melan, mereka tidak sempat berbuat apa-apa. Akas ditusuk keris gemulah Tok Awang Deli ke rusuk, dada dan perut penjajah tersebut dengan penuh geram dan bersemarak dendam – bertubi-tubi, berpuluh kali seraya menggeru:

“Mampus kau, Belanda bangsat!!!!”


* * *

Suatu pagi pada tahun 1668 yang ceria, namun kesiur angin agak membahang. Awan gemawan di pundak langit bertompok-tompok dan kian berkumpul.
Tatkala itu Awang Melan termangu di beranda rumah seraya melemparkan pandangan sayu jauh ke hujung halaman.

Sudah sepuluh tahun berlalu Tok Awang Deli kembali ke rahmatullah. Ingatan Awang Melan terhadap bapanya tidak pernah pudar. Darah pahlawan gemulah yang mengalir dalam tubuhnya sentiasa panas dan membahang kendati baginda Sultan Dhiauddin Mukarram Shah I yang menjadi Sultan Kedah ke-15 telah membuat perdamaian dengan Belanda.

Kehidupan rakyat juga sudah kembali senang kerana sekatan Belanda di kuala-kuala sungai telah ditarik balik. Perahu-perahu dagang tidak lagi dihalang untuk keluar masuk ke dalam negeri menjalankan perniagaan.

Selesai melayan ngeluyur benak di beranda, perlahan-lahan Awang Melan turun ke tanah. Sudah terpasang dalam cepu kepala, pusara gemulah bapa mahu ditandangi. Sudah seminggu tidak dijengah tentu sekali galak meliar rumput dan semalu.

Namun, tatkala dua tiga langkah meninggalkan tangga rumah, dia tertancap Deramang tergesa-gesa menghala ke arahnya. Mendadak langkahnya terhenti.
“Melan! Melan!” laung Deramang sebaik kaki mencecah hujung halaman dengan suara yang tercungap-cungap.

“Ha, apa ada Mang?” Awang Melan terhimbau ingin tahu. “Aku nampak kau terkocoh-kocoh sangat, macam dikejar dek harimau!” tokoknya berseloroh seraya tersenyum nipis.

“Dah cabuh, Melan! Dah cabuh!” ujar Deramang kala tiba di hadapan Awang Melan. Nafas masih tercungap-cungap.

“Bertenang Mang! Ambil nafas dulu!” Awang Melan cuba mententeramkan keadaan. “Dibuatnya kau sesak nafas di sini, aku juga yang susah!”

Deramang tersengih sambil mengurut-ngurut dadanya berkali-kali menahan cangip yang menghenyak sebentar tadi. Sejurus kemudian, barulah dia bersuara agak tenang. “Sempadan Kedah dah diceroboh angkatan perang Siam, Melan! Kita tak boleh berdiam diri lagi,” ujarnya sambil meneguk liur berkali-kali.

“Apa??” Awang Melan gesit terlunga dan terjeda. “Dah diceroboh angkatan perang Siam?” Dia terus melopong bagaikan tidak percaya.

Deramang mengangguk cepat. “Raja Siam keparat tu dah mengarahkan tenteranya menyerang Kedah kerana baginda sultan tak lagi menghantar bunga emas kepada mereka!” jelasnya dengan riak wajah yang mulai menyinga.

“Jadi, tujuan mereka serang kita kerana nak memaksa baginda sultan menghantar bunga emas seperti dulu?” tukas Awang Melan sungguh kurang senang. Dia mendengus keras kemudiannya.

“Agaknya begitulah!” balas Deramang, turut jengkel.

“Barangkali Raja Siam tu dah nyanyuk gamaknya!” ujar Awang Melan. “Sultan Kedah hantar bunga emas kepadanya bukan bermakna kita tunduk tapi sebagai tanda persahabatan!

“Memang Raja Siam tu tamak, Melan!” Deramang menokok lebih gerah. “Dia ingat rakyat Kedah takut nak berdepan dengan tenteranya!”

Hening sejenak.

“Apa fikiran kau sekarang?” soal Awang Melan sejurus kemudian.

“Nampaknya Negeri Kedah memerlukan tenaga kita lagi!” ujar Deramang.

“Bila-bila masa saja aku rela, Mang! Ini tanah tumpah darah aku. Aku sanggup mati kerana negeri ni!” balas Awang Melan polos.

“Jadi, kita harus segera ke sempadan. Orang-orang kita sedang menunggu kau di sana, Melan!” begitu bersemangat sekali suara Deramang mencerlus, wajar dan tegas.

Ungkapan Deramang itu membuatkan Awang Melan merasa darah gemulah Tok Awang Deli yang mengalir dalam tubuhnya, membahang dan menggelecak. Mendidih dan buar menggelodak.

Tidak semena-mena dia gesit melompat ke atas beranda. Di dalam bilik, keris pusaka gemulah bapanya disentak rakus. Sebaik melompat semula ke tanah, mulut garang mencerlus:

“Ayuh, Mang!!! Kita anak Kedah yang tak pernah gentar dengan mati. Aku rela bergalang nyawa selagi darah merah Tok Awang Deli masih mengalir panas dalam tubuhku!”

Kesiur wayu tetap membahang, melengas tubuh kedua pejuang muda Kedah itu yang terus mengatur langkah menuju ke sempadan nusa.

1 ulasan: