Isnin, 15 Mac 2010

Sateria Bumi Merdeka

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Sinar Rohani terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah diantologikan dalam antologi Jihad)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM


MERDEKA! Merdeka! Merdeka!!!

Gerapak gerutup merdangga dan gempita sorai merdeka menyuar mengiring derap ladam kuda aswad melantun kejat semangat gaseng Lubalang Wira meninggalkan Kota Melaka bersama Kitab Strategi Agung pemberian Bendahara. Dalam kitar silir, dalam simbahan tajam bahang mentari, hulu sundang teras jati pusaka gemulah bapa digenggam kemas sekemas pacakan keyakinan diri mengotakan segala amanat Bendahara berjiwa besar dengan turus jaya. Kota Melaka sudah cabuh. Warga seluruh juzuk sudah gempar dan gelisar. Kubu pertahanan di pantai Selat Melaka sudah digigir mesiu perang dingin hamburan Sang Nila Utama. Ini tugasnya.

Jihat mana harus dituju? Lubalang Wira mendongak ke langit terang. Destar panglima anugerah Bendahara disimpul kejat, pelana menggelisar melonjak diri ke pusar silir. Dengan gagah Sang Hanuman memokah gemunung Lubalang Wira menghunjam kaki ke petala bumi. Anak mata gesit mengerlat ke jihat masyhrik. Bukit Siguntang dipeluk hijau legam belantara tembun.

Itu jihatnya? Belantara persilatan Tok Gajah Imam Perang Rasu, Datuk Bahaman Orang Kaya Semantan, Mat Kilau, Tok Janggut, Datuk Mingkong Bujur Legeh, Datuk Maharaja Lela, Datuk Sagor, Laksamana Tuah lima bersaudara, srikandi Tun Fatimah, Tun Teja, Hang Li Po dan Laksamana Cheng Ho. Lubalang Wira bermeditasi, menelek makna pada rengat cangip rentak nafas, menduga-duga lalu meyakini jihat itu sengoti diredahi, lantas menunjal diri, berpusar melayang dan kembali pinggul mencatuk muka pelana.

Hubub silir ligat terpelanting ditojah pacuan kuda aswad. Julai destar mengedit. Lubalang Wira tidak berpaling lagi. Dengan gaya tidak tergugah seorang perwira, rentak lonjakan kuda dikawal cekap, kejap dakapan Kitab Strategi Agung digaring tubuh. Recik keringat membuar pemeleh muka kian dibaur kabut debu berpasir yang melantun dari tanah belantara.

“Pulang cepat Wira! Pulang bersama sateria-sateria itu untuk menjaga Kota Melaka dari hentakan muslihat Sang Nila Utama yang sudah berkelun berpusar menyuar di celah gumpalan kecemburuan upaya saing kita dalam semua gelanggang!”

Merdeka! Merdeka! Merdeka!!!

Usus belantara semakin jauh ditelusur kendati juring hari telah condong ke jihat mentari gurub. Sulur semangat berselerak dalam cangip nafas. Jagat Bukit Siguntang tidak mungkin tercapai tanpa teguh perjuangan. Perjuangan yang luhur adalah perjuangan yang polos sepertimana menjinjing amanat Bendahara meredah belantara untuk mencari mereka. Mereka adalah pahlawan dan srikandi terbilang yang meruah semangat juang. Ribuan tahun menyisih diri menyarat jagat ilmu persilatan baru dalam dada. Mereka adalah sateria-sateria tangkas pencak pendidikan, pintar pencak teknologi dan bijak pencak ekonomi. Harapan Bendahara sebagai benteng pertahanan Kota Melaka menghadapi serangan egosentrik Sang Nila Utama. Hanya pencak baru dan canggih saja mampu menggerunkan hamburan mesiu perang dingin Maharaja Temasik itu.

Akhir-akhir ini ledakan mesiu hamburan Sang Nila Utama semakin kumuh berbaur debu-debu egosentrik. Memperlekehkan Bendahara dan kerajaan Melaka dengan label dan konotasi pedih serta frasa cupar telah mengheret hujah-hujah emosional dalam hubungan dua hala. Menyentak rasa patriotik meluap dada Lubalang Wira, gesit terhela tali kekang mematikan lonjakan kuda aswad. Dia bingkas berdiri, melibas kaki kanan ke bumantara. Destar panglima diramas kejat geram, simbol jiwa pejuang dijaga polos seperti menjaga maruah Kota Melaka. Titik peluh menggelincir terhimpun di lurah dada. Peluh itu refleksi peluh usaha jitu Bendahara mengawal selia bumi Melaka. Bendahara berjiwa besar, menjulang pemikiran strategik dan kreatif dalam pentadbiran, kepimpinan serta menjayakan persaingan antarabangsa. Dasar luar Melaka paling realistik berbanding Temasik, tidak gentar sesiapa, disegani malah jadi suara katalis kepada tuntutan keadilan dan reformasi orde antarabangsa ‘kawalan’ kuasa unipolar Clinton.

“Hamba terlalu kesal, Wira!”Bendahara berwajah sebal. “Tubuh kecil kepala besar. Egosentrik tersembunyi di dasar Selat Teberau sesekali cagun di riak alun!”
Lubalang Wira mengkacip gigi. Bibir terketip. Mata diseligikan gesit pada watas bergelora Selat melaka. Gigir menyekang buar geram menyuar. “Kita berkongsi satu warisan sejarah yang mengguris perasaan sejak tiga dekad silam. Mereka geman sebetulnya. Kiasu Confucianisme terlalu, mendorong pendekatan super realist, geman kelih kita meningkat lalu menjurus slogan ‘proaktif ke arah negatif!”

Bendahara tunduk, gesit memaras percikan gusar pada permukaan gelora selat. Busa alun terbenam di selasar laut. Gumpal tangan menggusur menyuar sulur semangat. “Sebab itu hamba menterjemahkan gusar membuar itu kepada percernaan budaya dan pemikiran strategik. Hamba hasilkan Kitab Strategi Agung untuk laras jihad sateria-sateria tanah Melaka!”

Merdeka! Merdeka! Merdeka!!!

Kuda aswad terus membelah juring silir, bergerutup membenam ladam di tanah belantara. Ngiang suara Bendahara terus meligan kian memurup jihad polos, semangat cekal. Lubalang Wira tidak bisa berpaling dari mendokong jihad polos Bendahara waris mujahid kurasani. Membebat cekal semangat Bendahara seteguh Bilal. Bendahara pemikir strategik, perencana arif, pencetus idea baru, perancang dan pelaksana berkesan juga penyemarak revolusi aqliah. Bendahara tabah dan berani meredah cabaran, punya ciri pemikir Sun Tzu, Miyamoto Musashi, Napoleon juga Machievilli. ‘Hidup ini satu peperangan…’

Sekonyong-konyong Lubalang Wira melayah ke udara. Sundang pusaka gemulah bapa berpusar renik. Secekat Sang Arjuna memanah bulan, Lubalang Wira menyambar dahan raksamala. Kelih mata menujam peletok ladam kuda aswad di celah rekah bumi. Cepat ditunjal diri ke lantai tanah belantara. Pamur keperwiraan suar menyerlah kewajiban belas kepada yang berbudi. Belas satu kemuliaan. Tubuh berbudi diangkat dari tersungkur menyembah, jujuh airmata mengelih kehel leweh sendi lutut kuda pembantu jihad suci meredah belantara ribuan marhalah. Bibir gesit mengamit-ngumat kalam Ilahi penyuluh nurani. “Sebetulnya tiada payah bagi manusia yang payah menyerah.”

Di kejauhan ada merlip-merlip cahaya pada tancap. Lubalang Wira bingkas cepat. Menghela tali kekang menyusur redah sebam tanah belantara. Sepelaung melantun tingkah meningkah gerutup merdangga semangat dan pencak tarian pahlawan. Tulang temulang jasad segera diteguhkan. Hulu sundang pusaka teras jati gemulah bapa diawas nyalar. Siapa gerangan serang menyerang, elak mengelak, tangkis menangkis, tepis menepis, kemas berpencak dalam sebam juring hari. Kiranya bukan petualang berjiwa derhaka kerana gerapak merdangga bernada perwira nusa tercinta.

Lubalang Wira gesit melonjak ke pusat gelanggang menguji upaya diri mendepani sateria-sateria idaman hati, melasak bunga pencak, menyusun mahir gerak satu persatu. Namun disambut huluran tangan kematu Tok Gajah Imam Perang Rasu. “Gerangan siapa datang ke mari tanpa undangan terus meluru dengan serangan, mana salam tuntutan Junjungan? Kami di sini bukan musuh mahu berlengan!”
Utusan Bendahara tertunduk malu dengan kelancangan diri. “Maafkan hamba kiranya tersalah sangka. Dalam Melaka digelogok cemburu musuh celaka menghimbau diri untuk bersiaga. Tidak salah kiranya hamba terlajak langkah kerana waspada!”

“Siapa tuan hamba sebenarnya?” Datuk Maharaja Lela menyambung bicara.
“Hamba Lubalang Wira dari Kota Melaka!”

“Leweh bahu sudah diduga ada beban warita tidak disangka!” dalam debar Datuk Mingkong Bujur Legeh mengungkap kata.

“Ya, hamba membawa warita dari Bendahara!”

“Warita dari Bendahara?” lunga Datuk Bahaman Orang Kaya Semantan dengan beliak biji mata.

Lubalang Wira mengangguk iya.

“Warita apa? Lekas beritahu hamba!” Tok Janggut bagai tidak sabar mahu menjulang senjata.

“Warita angkara Sang Nila Utama!”

“Apa??” gerah Datuk Sagor serlah nyata. “Tidak jenuh-jenuh lagi Maharaja Temasik itu mahu bersengketa…”

“Sabar pahlawan berhati waja!” tenang Mat Kilau bukan gelentar namanya. “Biar Lubalang Wira jelas segala. Lepas itu barulah kita menyusun kata!”

“Benar kata panglima itu!” Laksamana Tuah lunak bersuara. “Wahai Lubalang Wira! Sila jelaskan apa sebenarnya angkara Sang Nila Utama?”

Sebelum berperi, Lubalang Wira menyangit peluh melepas cangip, membetul tanjak mendohok di kepala. Sejak malam 20 Ogos 2020 berkuda meninggalkan Kota Melaka. Lebih sepuluh belantara diredah dalam gelisar cabuh jiwa dibeban amanat Bendahara: menjelang detik 31 Ogos 2020, semua sateria mesti dibawa pulang ke Kota Melaka. Tidak terlalu lama untuk memurup segala warita, mengundang gelodar dada, gelecak jiwa mahu menuntut bela.

“Apa bukti tuan hamba utusan dari Bendahara?” tiba-tiba Tun Teja menggelincir rasa curiga. Srikandi lembut wanita berhati waja tidak mudah tergoda pada renjana kata.

“Ini buktinya! Kitab Strategi Agung dari Bendahara untuk semua!”

Laksamana Cheng Ho gesit menelek tinta Cina tulisan tangan Bendahara. “Hamba pernah membawa misi dagang Negeri China ke Melaka. Benar, tuan hamba tidak ber-dusta! Hamba kenal tulisan tangan dan cop mohor kerajaan Bendahara!”
Masing-masing menghela nafas lega. Namun Jebat, Kasturi, Lekir, Lekiu dan Tun Fatimah bingkas cepat menghantau silir, menghunjam perut tumit ke dada bumi. “Melaka itu maruah kami. Nusa kami. Kami tidak rela maruah kami diinjak-injak!”Jujuh peluh terkucar dadak menggelongsor dalam suar semangat pahlawan membuar.

Hang Li Po cepat melingkar rapat kerudung bunga kemboja pemberian baginda Sultan Mansur Shah ke leher dan mendekat. Cerlungan tunak memusar wajah gerah Tun Fatimah. “Warga Melaka masih ramai berdarah hamba. Kami juga tidak sekali-kali rela nama Bendahara dicemar cemburu buta Sang Nila Utama!”Meluah tekad dada terpelanting ke bumantara.

Lubalang Wira segera membuka Kitab Strategi Agung pemberian Bendahara. Menyelak satu-satu, 2020 helaian semuanya. Setiap helaian hanya terukir tinta bolong ungkapan yang sama: ‘Strategi Agung adalah gagasan merangkumi pencapaian cemerlang semua komponen national power bagi memastikan matlamat keunggulan bentala Melaka tercapai untuk membawa kesejahteraan kepada semua dan menjamin survival serta kedaulatan - merangkumi komponen ekonomi, pendidikan, teknologi, kestabilan politik, sosial dan ketenteraan. Itu formula terbaik melenyapkan terus segala kecemburuannya!’. 

Cuma pada helaian terakhir ada amanat berbeza: ‘Kecemburuan Sang Nila Utama berpaksi pada bangunan tertinggi, tarikan pelancungan, kemudahan pelabuhan moden, lapangan terbang tercanggih, kemampuan warga Melaka menawan mercu Everest, keliling dunia secara solo, reputasi tinggi anggota pengaman, pembangunan multimedia, kemampuan ekonomi juga kestabilan politik. Segalanya lahir kerana keupayaan kita. Kita telah berjaya mentranformasikan Melaka, menandingi Temasik dalam semua gelanggang. Pulang segera! Pulang semua sateria-sateria tangkas pendidikan, pintar ilmu teknologi, pulang untuk mencerna kesejahteraan bentala Melaka dengan kualiti, produktiviti, kecemerlangan ekonomi, politik, sosial dan realisasikan gagasan Strategi Agung dengan warna jaya!’

Merdeka! Merdeka! Merdeka!!!

31 Ogos 2020 menyaksi semua sateria Bendahara dari belantara Bukit Siguntang berlajur mengarak menjulang menyuar Kitab Strategi Agung di pusat Kota Melaka. Di hujung alun pantai Temasik, Sang Nila Utama menggelinyang menahan gelombang cemburu meluap-luap membalun dada. Besar kepalanya kian menjadi-jadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan