Isnin, 15 Mac 2010

Membunuh Tuhan

(Cerpen ini telah disiarkan dalam majalah Sinar Rohani terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan telah diantologikan dalam Insyiqaq)

SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

SIAPA kata Tuhan tidak boleh mati! Tuhan boleh mati! Tuhan sering dibunuh oleh semua. Bukan saja aku, tetapi, kau, mereka dan kita! Ya, semua telah melakukan pembunuhan terhadap Tuhan. Bukan seorang kiai dan tok guru. Bukan seorang bhiksu dan pastor atau paderi. Bukan seorang suster, tok-tok guru agama, ulama, pemimpin, seorang birokrat dan para kaum jembel, semua juga melakukan pembunuhan Tuhan. Maka Tuhan pun mampu mati.
Kalau dulu Nietcshe mengumumkan kematian Tuhan, kini, aku mengatakan, Tuhan pun boleh mati.
Tuhan sering terbunuh oleh kita. Bahkan kita sengaja membunuhnya. Semalam, Ghazali teman karibku menceritakan bagaimana Tuhan telah tergadai oleh sepiring nasi kandar di sebuah restoran mamak Maidin. Lalu di tempat lain, Tuhan diperjualbelikan sebanding dengan harga seikat kangkung. Tuhan sudah mampu ditawar menawar. Tuhan dihargai dengan nilai yang terlalu murah, setanding nilai sepasang selipar Jepun. Tuhan diperdaya, dengan alasan mempertahankan hidup. Belum lagi puluhan pedagang lainnya, turut melakukan hal yang sama.
Mereka membuang, dan menginjak Tuhan di hadapan para pembeli secara terang-terangan. Di sebuah kelab malam, tempat berkerumunnya para wanita seksi dan lelaki miang, kembali Tuhan diperdaya. Tuhan dibutakan sama sekali. Dan proses pembunuhan Tuhan pun kembali terjadi. Tuhan benar-benar ditiadakan, sekalipun ketiadaan itu adalah Tuhan.
Tawa dan canda membawa mereka semakin menguburkan Tuhan. Larangan bukan lagi yang mesti ditakuti. Semua mereka jalani, tanpa lagi melihat Tuhan. Dan di dalam kamar remang, Tuhan pun terselip di sebalik bawah tilam. Terlibas oleh dengus nafas yang memburu hingga pagi tiba.
Dalam bangunan pemerintah, tempat berkumpulnya orang-orang yang mengaku mewakili rakyat, ada seribu lagi cara makhluk yang bernama manusia membunuh Tuhan. Ketika sebuah kilang dilaporkan melakukan pencemaran, maka, ratusan orang pun berduyun-duyun membawa nama Tuhan ke bangunan itu.
Katanya, demi melestarikan bumi Tuhan. Maka berteriaklah orang-orang tadi. Begitu juga orang-orang yang suka berkerumun di bangunan pemerintah itu. Mereka bicara lantang. Seakan Tuhan berada di samping kanan kiri mereka. Lalu mengatas-namakan pelestarian alam semula jadi, demi terjaganya sungai titipan Tuhan, mereka memperdebatkan, sampai tidak ada hujung pangkalnya. Esoknya, surat khabar bersuara, limbah kilang dianggap selesai. Bumi Tuhan kembali dinyatakan bersih dari pencemaran.
Mulut-mulut pun terbeli oleh helaian wang. Maka suara Tuhan pun tergadai lagi. Kerosakan dianggap pembaikan. Pembaikan dianggap mengganggu kestabilan kilang. Mereka lalu membuat Tuhan menjadi tuli. Makhluk yang bernama manusia itu telah membutakan Tuhan dari ketidakbutaan. Maka, mereka juga telah membuatkan Tuhan menjadi mati.
Tuhan telah mati dalam kedirian mereka. Mati dalam detak jantungnya, sehingga Tuhan mampu seenaknya dipanggil dan diusir bila saja. Tuhan tidak ubahnya seperti seorang pembantu. Dia dipanggil ketika diperlukan. Lalu diusir ketika tidak lagi diperlukan. Tuhan hanya sekadar barang pelengkap. Tidak ada yang bermakna apa-apa. Ternyata Tuhan benar-benar mati. Mereka telah membunuhnya.
Di sebuah mihrab masjid, atau di gereja dan vihara. Bukan saja para pak kiai, tok guru, pastor, dan bhiksu, mereka juga sama melakukan pembunuhan terhadap Tuhan. Kutemui orang-orang yang mengaku moralis itu, berjibaku dengan kediriannya manusia yang paling dekat dengan Tuhan. Kiai, tok guru, dengan ceramah dan fatwa-fatwanya menidurkan kaumnya menjadi kaum yang suka menghitung pahala. Tanpa usaha, membuang dunia sedang kalau tidak ada dunia mana datangnya akhirat!
Para pak kiai, tok guru sudah mengajari umatnya, mengukur ibadah dengan angka-angka. Ibadah ritual sudah mampu dihitung dengan material. Soal dosa boleh dikira di dunia. Soal neraka syurga juga letak di tangan mereka. Mereka seolah-olah tahu siapa yang bakal masuk syurga dan siapa yang bakal masuk neraka. Mereka seolah-olah Tuhan, menggantikan Tuhan yang sebenar-benar-Nya.
Demikian juga para pastor, dan bhiksu. Melakukan pendekatan diri kepada Tuhan, tanpa mempersoalkan di mana dia tinggal, dan berapa jumlah orang yang masih merasakan lapar dan haus. Bukan saja kiai, tok guru, pastor dan bhiksu, mereka semua membunuh Tuhan, sambil mereka asyik melakukan onani spiritual. Seolah-olah syurga telah menjadi milik mereka.
Tetapi, malam semalam, Malaikat memberitahuku. Katanya, “Pada ketikanya nanti, di hadapan Tuhan, ramai manusia yang terbalik. Ada ulama, kiai, tok guru, pastor dan bhiksu masuk neraka. Tetapi tidak sedikit para peniaga gerai dan penyamun masuk syurga.”
Ketika para kaum moralis itu bertanya, maka Tuhan pun menjawab, “Kamu semua adalah manusia-manusia egois. Kamu semua merasa, bahawa hanya kamu semua saja yang berhak atas syurga. Bukan! Bukan sama sekali. Sebab, ketaatan bukan saja memuji dan memujaku sepanjang hari. Hei, kamu semua, para pak kiai, tok-tok guru, bhiksu dan pastor, ternyata dalam ketataan, kamu semua telah meminggirkan semua keadaan yang namanya lapar, kehausan keterbelakangan, dan ketertindasan. Kenapa kamu semua hanya diam dengan keadaan seperti itu? Kenapa kamu semua tidak perjuangkan juga, sebagaimana kamu semua berjuang untuk mendapatkan syurga?”
Semua bengung. Semua bahlol. Semua tongong. Semua tolol. Dan semua tertunduk malu. Sebuah kekuatan asing tiba-tiba menarik mereka dengan kasar. Hanya lengkingan saja yang terdengar.
Kemudian suara gemuruh meningkahinya. Lalu, kematian Tuhan pun terjadi di berbagai pejabat pemerintah, swasta dan pejabat agama sekali pun.
Sekelompok orang berduyun-duyun melamar di pejabat agama. Katanya, mereka berniat untuk lebih dekat dengan Tuhan. Dengan berbagai cara, mereka lalu masuk ke dalamnya, setelah sebelumnya mereka juga harus menggadaikan Tuhan dalam diri mereka dengan nilai yang bernama ringgit. Di sebuah pejabat agama, tempat orang banyak bertanya tentang Tuhan. Tempat berkumpulnya orang-orang yang mengaku dekat dengan Tuhan. Di sana, masih juga ada pembunuhan Tuhan.
Tapi sebenarnya zat Tuhan takkan pernah mati. Dia akan tetap hidup. Soalnya, akankah Tuhan tetap hidup dalam diri kita? Mampukah kita terus mempertahankan Tuhan tetap bersemayam dalam kerohanian kita? Atau kita juga sebahagian dari manusia yang sering membunuh Tuhan?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA