Isnin, 30 Julai 2012

Tun Dr Mahathir: Ikon Membaca Kebangsaan Penggerak Kemajuan Negara Bangsa


SMAHADZIR

SEJARAH telah mencatatkan bahawa peranan pemimpin dalam membawa masyarakat atau negara-bangsanya ke mercu gemilang sangatlah besar. Maju mundur sesuatu masyarakat atau negara-bangsa sangat bergantung kepada pemimpinnya. Seseorang pemimpin yang berjaya membawa negara-bangsanya ke persada cemerlang adalah pemimpin yang kaya gagasan, berwawasan jelas, berminda luas dan berani. Di negara kita, Tun Dr Mahathir terkenal sebagai pemimpin yang telah berjaya menjadi penggerak kemajuan negara-bangsa yang tidak dapat dinafikan lagi. Beliau merupakan Perdana Menteri keempat dan paling lama berkhidmat bermula dari 16 Julai 1981 sehingga 31 Oktober 2003.
Tun Dr Mahathir merupakan seorang pemimpin yang suka membaca dan ini dapat dilihat daripada gagasan yang beliau sering utarakan. Budaya membaca membolehkan pemikiran seseorang itu berkembang dan mempunyai imaginasi yang lebih tinggi untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat berbanding orang yang kurang membaca.
Amalan membaca juga boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana perbezaan ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki.
Banyak usaha yang telah dilakukan oleh Tun Dr Mahathir dalam menjana kemajuan negara-bangsa. Dasar Pandang Ke Timur diperkenalkan oleh beliau pada tahun 1982, untuk menjana pembangunan negara mengikut cara Jepun dan Korea Selatan setelah menilai kemajuan yang dicapai kedua-dua negara tersebut. Malaysia sebagai sebuah negara Asia adalah lebih baik mencontohi negara Asia Timur itu berbanding Barat yang mempunyai budaya yang kurang sihat. Melalui dasar tersebut, Tun Dr Mahathir menerapkan nilai-nilai dan amalan yang baik dari Jepun dan Korea Selatan yang diubahsuai melalui acuan Malaysia. Antara bidang-bidang yang boleh dicontohi Malaysia mengikut pandangan Tun Dr Mahathir ialah teknologi, etika kerja dan sistem pengurusan yang terancang. Dengan kata lain semua sifat positif yang diamalkan dua buah negara itu harus dijadikan pedoman.
Ekoran itu, Tun Dr Mahathir menggalakkan supaya lebih ramai pelajar dihantar ke Jepun dan Korea Selatan untuk mendapatkan pendidikan. Bahkan kedua-dua buah negara itu boleh membuka perniagaan kerana Malaysia menawarkan perniagaan yang cukup baik bagi membantu meningkatkan ekonomi negara.
Dasar Persyarikatan Malaysia pula telah diumumkan Tun Dr Mahathir pada 25 Februari 1983, untuk mengeratkan kerjasama antara sektor swasta dengan sektor awam dalam memajukan negara. Beliau telah mengubah persepsi rakyat dengan menjadikan Malaysia sebagai sebuah syarikat yang dimiliki semua pihak dalam usaha mencapai kemajuan. Beliau menyarankan supaya pihak awam perlu memberi peluang kepada pihak swasta menjalankan tugas tanpa ada birokrasi. Pihak swasta pula harus memahami dasar kerajaan dan berusaha meningkatkan pencapaian dalam perniagaan.
Bagi memastikan keadaan berjalan lancar, Tun Dr Mahathir mengarahkan supaya semua kementerian, jabatan dan badan berkanun, menubuhkan panel perundingan antara pihak swasta dengan kerajaan. Selain itu, beliau juga telah menubuhkan Jawatankuasa Persyarikatan Pegawai (JPMPP) untuk menguatkan lagi sektor tersebut.
Tun Dr Mahathir juga telah memperkenalkan Dasar Penswastaan, untuk memindahkan perkhidmatan atau perusahaan kerajaan kepada sektor wasta yang mempunyai daya saing yang tinggi. Beliau berpendapat bahawa pengenalan dasar ini mampu mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran kerajaan ekoran kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1980-an. Ini disebabkan sektor swasta mempunyai kecekapan dalam bidang pengurusan. Peranan sektor swasta diyakini akan mempercepatkan lagi pembangunan ekonomi kesan daripada pelaburan. Oleh itu Tun Dr Mahathir memasukkan program ini dalam Dasar Ekonomi Baru (kini Dasar Pembangunan Nasional) dalam usaha kerajaan mewujudkan masyarakat perniagaan di kalangan bumiputera.
Sebagai usaha untuk memastikan kejayaan tersebut, sebuah jawatankuasa penswastaan telah dibentuk dan dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi. Tun Dr Mahathir juga mengusulkan setiap jabatan dan badan berkanun boleh menswastakan sebahagian atau kesemua milik mereka. Selain itu, kerajaan juga memberi sokongan pemasaran, kredit subsidi dan penyelidikan. Dengan adanya kemudahan tersebut telah memberi keselesaan kepada golongan petani dan menepati impian Tun Dr Mahathir untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pertanian yang berdaya maju.
Tun Dr Mahathir juga telah memperkenalkan kempen Kepimpinan Melalui Teladan pada 19 Mac 1983, bermatlamat untuk menyemai ciri-ciri kepimpinan yang telus dan boleh dijadikan asas dalam pentadbiran negara. Ini sebagai usaha untuk memantapkan negara. Bahkan Tun Dr Mahathir menjadi pelopornya. Sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menunjukkan teladan yang boleh dicontohi semua pihak. Beliau telah menekankan tiga aspek utama dalam kepimpinan iaitu bersih, cekap dan amanah. Bersih yang disarankan ialah mencakupi aspek moral ketika menjalankan tugas, kebersihan tempat bekerja, dan sebagainya. Cekap adalah sifat-sifat tanggungjawab, mahir dan mempunyai tahap pencapaian yang baik dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan. Amanah pula meliputi keikhlasan dan rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas.
Selain itu Tun Dr Mahathir juga telah mengusul satu sistem kerja yang unik iaitu kad perakam waktu, pemakaian tanda nama, Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (QCC), pengisytiharan harta oleh kakitangan awam, kempen pencegahan rasuah dan sebagainya.
Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam juga telah dilancarkan Tun Dr Mahathir bertujuan menegakkan syiar Islam, membentuk sikap yang murni, melahirkan bangsa Malaysia yang bermaruah, disegani dan mewujudkan sistem pentadbiran yang cekap lagi berkesan berlandaskan Islam. Beliau percaya bahawa sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai kehidupan yang kukuh mudah dipengaruhi nilai-nilai bangsa lain terutama yang boleh merosakkan akidah.
Tun Dr Mahatir juga mengingatkan bahawa pengenalan dasar ini bukanlah untuk mengislamkan orang bukan Islam, tetapi untuk memastikan semua kaum menghayati ajaran Islam dan mengamalkan nilai-nilai murni yang terkandung dalam Islam. Beliau juga telah memastikan perlaksanaan dasar tersebut tidak menyinggung perasaan bukan Islam. Sejajar dengan pengenalan itu, Tun Dr Mahathir telah menubuhkan Bank Islam, Universiti Islam Antarabangsa, syarikat insurans Islam dan meningkatkan peranan Mahkamah Syariah.
Pelan Induk Perindustrian (PIP) pula ditubuhkan untuk pembangunan serta strategi-strategi bagi sektor perindustrian terutama yang berkaitan dengan sektor perkilangan untuk tempoh 1986 hingga 1995. Pengenalan pelan yang dicetuskan oleh Tun Dr Mahathir ini adalah untuk menekankan sektor perindustrian sebagai penjana pertumbuhan negara, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat secara seimbang. Antara sektor industri yang diberi tumpuan oleh beliau ialah barangan berasaskan getah, sawit, makanan yang diproses, kimia dan petrokimia, keluaran berasaskan kayu, barangan elektrik, keluaran logam bukan besi, peralatan pengangkutan, keluaran kejuruteraan, industri keluli besi dan tekstil.
Bagi menjayakan pelan tersebut, Tun Dr Mahathir telah merangka beberapa strategi. Antaranya menyusun struktur insentif perindustrian, menggalakkan sektor gantian import, menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia, mencari pasaran eksport, menggalakkan penyelidikan dan perusahaan kecil. Kesan daripada idea beliau itu, akhirnya sektor industri telah menyumbangkan sumber pendapatan negara yang terpenting bermula tahun 1987 sebanyak 22.5% berbanding sektor pertanian sebanyak 21.8% dari KDNK negara. Peratusan tersebut meningkat setiap tahun dan sehingga kini sektor perindustrian masih menjadi penyumbang ekonomi negara yang terpenting.
Wawasan 2020 adalah idea Tun Dr Mahathir yang diumumkan pada 28 Februari 1991 dalam Persidangan Majlis Perniagaan Malaysia. Wawasan ini mencakupi tempoh 30 tahun untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 menitikberatkan pembangunan secara menyeluruh terutama dalam aspek ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Terdapat sembilan cabaran yang perlu disahut oleh rakyat dalam usaha memastikan kemajuan tercapai. Antaranya bersatupadu, berjiwa bebas, tenteram dan maju, mengamalkan demokratik, bermoral dan beretika, liberal dan toleransi, saintifik dan progresif, berbudi dan berbudaya penyayang, adil ekonomi dan mempunyai daya tahan.
Tun Dr Mahathir telah menyatakan bahawa matlamat pembentukan sebuah masyarakat yang adil adalah pengagihan kekayaan yang adil dan saksama. Oleh itu terdapat dua strategi utama dalam pencapaian matlamat tersebut iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut ekonomi. Lantaran itu beliau telah menggariskan beberapa langkah untuk membebaskan rakyat daripada belenggu kemiskinan dengan menyediakan kemudahan asas yang secukupnya, memberi pendidikan sewajarnya, menyediakan peluang pekerjaan dan sebagainya. Hanya dengan pengenalan Wawasan 2020 itu diyakini Malaysia akan menjadi negara maju setanding dengan negara-negara barat yang lain.
Dasar Pembangunan Nasional (DPN) pula telah dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir pada 17 Jun 1991 di Parlimen. Dasar ini terkandung dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua (RRJP2) yang mensasarkan antara tahun 1991 hingga 2000. Pengenalan DPN adalah sebagai menggantikan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang tamat pada tahun 1990 namun Tun Dr Mahathir masih memasukkan beberapa aspek seperti yang terkandung dalam DEB.
Dalam DPN, Tun Dr Mahathir menggariskan langkah-langkah awal dalam pembentukan negara maju. Dalam erti kata lain, DPN adalah satu dasar untuk mewujudkan pembangunan seimbang dalam pelbagai aspek. DPN juga mengandungi pelbagai aspek seperti mewujudkan keseimbangan ekonomi, meningkatkan data saling melengkapi antara sektor, mengurangkan ketidaksamaan sosial dan ekonomi, menggalakkan kekukuhan integrasi di semua kawasan, membangunkan masyarakat progresif, memajukan sumber manusia dengan kemahiran, menjadikan teknologi sebagai asas kemajuan dan memberi perlindungan alam sekitar.
Tun Dr Mahathir menekankan pembangunan seimbang berlandaskan empat faktor iaitu pengagihan kekayaan secara seimbang, memastikan kestabilan politik dan sosial, menjadikan rakyat Malaysia sebagai rakyat yang berkualiti dan bernilai tinggi dan menguruskan sumber-sumber alam semulajadi secara berhati-hati. Kendati begitu, Tun Dr Mahathir juga tidak pernah lupa membasmi kemiskinan secara menyeluruh, menumpukan pembangunan bumiputera dalam bidang ekonomi, memberi penekanan sektor swasta supaya membantu menjana ekonomi negara dan membangunkan negara secara terancang dan berterusan.
Pada 1 September 1998, Tun Dr Mahathir dengan penuh keyakinan, telah mengambil keputusan melaksanakan rejim kawalan pertukaran asing terpilih (selective exchange control regime). Ini telah memberi kekuatan kepada Malaysia untuk terus mengharungi krisis ekonomi malah berjaya muncul sebagai negara yang semakin kuat dan mantap. Adalah tidak sukar untuk meramalkan apa agaknya yang akan terjadi kepada negara tercinta sekiranya langkah-langkah tersebut tidak dilaksanakan.
Kesimpulannya, amatlah wajar dan tepat meletakkan Tun Dr Mahathir sebagai Ikon Membaca Kebangsaan kerana kehebatan minda hasil dari pembacaan beliau telah terbukti berjaya menjadi penggerak kepada kemajuan negara-bangsa.



Bangsa Membaca Bangsa Berjaya




SEJARAH telah mencatatkan bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang memiliki budaya literasi. Begitu juga sebaliknya.
Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang mantap. Malah ia akan bergantung kepada bangsa lain yang lebih berilmu. Buktinya kita melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran.

Sejarah juga telah membuktikan bahawa masyarakat maju yang dapat menguasai pelbagai bidang dalam kehidupan mereka dan mencipta sejarah adalah masyarakat yang suka membaca. Disiplin membaca untuk mendapatkan ilmu merupakan suatu kuasa pembebasan daripada belenggu-belenggu kemiskinan dan kejahilan.

Budaya membaca membolehkan pemikiran seseorang itu berkembang dan mempunyai imaginasi yang lebih tinggi untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat berbanding dengan orang yang kurang membaca. Menurut Kenedy (1981) membaca adalah ‘keupayaan seseorang untuk menggarap bentuk visual (lambang-lambang grafik yang mewakili bahasa atau perkataan) yang menghubungkan bentuk intu, atau bunyi makna yang telah diketahui, dan seterusnya berasaskan pengalaman lalu, memahami dan mentafsir maksud’.

Amalan membaca boleh dikaitkan dengan pembinaan ilmu pengetahuan dalam diri seseorang. Ini kerana perbezaan yang ketara antara individu yang suka membaca berbanding individu yang tidak suka membaca adalah melalui ilmu pengetahuan yang dimiliki. Masyarakat yang suka membaca mampu melahirkan seorang manusia yang berguna dan mempunyai tahap pemikiran yang tinggi. Golongan ini juga merupakan salah satu golongan yang akan menjadi pemimpin di sesebuah negara kerana idea-idea bernas mereka dapat membangunkan negara tersebut.

Islam sendiri menggalakkan umatnya membaca sehingga terbukti kelahiran ramai tokoh ilmuan yang terunggul seperti Ibnu Sina, Al-Khawarizmi, Al-Razi, Al-Haitham, Al-Khindi, Ibnu Biruni dan pelbagai lagi. Kesemua tokoh tersebut memulakan penerokaan mereka daripada bacaan sama ada bacaan lisan mahupun bacaan alam sehingga mereka dapat menghasilkan penemuan baru. 

Ketika Barat berada di Zaman Kegelapan, perbezaan antara dunia Islam dan Barat boleh dikiaskan seperti langit dan bumi. Victor Robinson membuat perbandingan ini dalam The Story of Medicine (The New Home Library, New York, 1943) dengan berkata, ‘Eropah bergelap pada waktu malam sedangkan Cordova bercahaya dengan lampu. Eropah kotor sedangkan Cordova membina 1,000 tempat mandi. Eropah dipenuhi serangga sedangkan penduduk Cordova menukar pakaian dalam mereka setiap hari. Eropah dipenuhi selut sedangkan jalan-jalan di Cordova bertar. Istana di Eropah dipenuhi lubang asap di bumbung sedangkan bangunan-bangunan di Cordova tersergam indah. Tokoh-tokoh Eropah tidak tahu menandatangani nama sendiri sedangkan anak-anak di Cordova sudah ke sekolah. Tokoh-tokoh agama di Eropah tidak tahu membaca risalah Kristian sedangkan ulama Islam di Cordova membina kutub khanah yang besar.’ Inilah buktinya bangsa yang suka membaca tercegat menjadi bangsa yang berjaya.

Semua pemimpin negara juga menggalakkan masyarakatnya membaca supaya mereka tidak akan ketinggalan dalam menerima kecanggihan dan kemodenan dunia. Bagi masyarakat Jepun, membaca sudah menjadi tabiat dan amalan mereka kerana daripada budaya membaca mereka dapat meningkatkan taraf hidup dan juga bersaing dengan dunia luar.

Walau bagaimanapun, masyarakat yang menerima perubahan teknologi yang moden dan canggih hari ini telah menjadikan amalan membaca bahan-bahan yang tidak sepatutnya. Budaya ini telah menyebabkan masyarakat terutama golongan remaja menjadi rendah akhlak dan cetek ilmu pengetahuan. Jenis bahan bacaan yang boleh dikategorikan sebagai ‘lucah’ atau tidak sopan ialah yang mengeksploitasikan seks sebagai bahan utama. Bagi sesetengah bahan bacaan ini, memaparkan gambar wanita mendedahkan tubuh badan dan aksi menggoda untuk dijadikan sebagai pelaris jualan. Disebabkan remaja sering disogokkan dengan bahan sedemikian, golongan tersebut mudah terpengaruh sehingga menjadi seronok dan ketagih. Ini akan menyebabkan golongan ini tidak dapat berfikir secara matang dan akan ketinggalan dalam pelbagai aspek.

Sejarah telah mencatatkan bahawa negara Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Jerman adalah antara negara dan bangsa yang maju kerana masyarakatnya sudah membina budaya literasi. Kerana itu, amat wajar bila negara-negara tersebut maju dalam segala bidang, jauh mengalahkan negara-negara lain. Selain menguasai perekonomian dunia, negara-negara tersebut juga dikenali menguasai bidang teknologi. Geliat kehidupan masyarakatnya juga begitu dinamik, di samping memiliki tingkat kedispilinan yang tinggi. Dalam erti lain, budaya literasi memiliki peranan yang begitu penting dalam membangunkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara. 

Dengan membacalah kita menjadi tahu dan faham, sekaligus memperoleh wawasan mahupun pengetahuan baru tentang pelbagai perkara yang menyebabkan kita termotivasi untuk terus melakukan perubahan. Bukti tersebut dapat dilihat pada Jepun, sebuah negara yang hancur lebur dalam Perang Dunia Kedua akibat dibom atom oleh Tentera Sekutu. Jepun kemudiannya berupaya bangkit dan mengutamakan pendidikan bangsanya, dengan mengirim mereka ke negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah. Hasilnya Jepun berjaya membangunkan kembali negaranya dari kehancuran. 

Kini, pelbagai teknologi mampu dibuat oleh masyarakat Jepun. Bahkan, Amerika Syarikat yang selama ini menjadi adikuasa di segala bidang, dalam banyak hal mulai mengakui kehebatan Jepun. Dan kejayaan Jepun menguasai ‘dunia’ tidak lain kerana budaya literasi yang telah disuburkan sejak awal. Tidak mungkin Jepun mampu menghasilkan ramai ilmuwan dengan penemuan-penemuan mutakhirnya dalam berbagai bidang, jika budaya literasi di Negara Matahari Terbit itu tidak terbina. Justeru itu juga di Jepun kita tidak mungkin akan menemui ahli masyarakatnya yang buta huruf. Mereka bahkan dikenali sebagai masyarakat yang suka membaca, walau di mana mereka berada. 

Lantaran suka membaca juga, media cetak di sana tumbuh begitu pesat. Bahkan, jumlah pengedaran akhbar-akhbar di Jepun mengatasi jumlah pengedaran akhbar di seluruh dunia. Menurut Cakram Fokus edisi April 2006, dari 10 akhbar terbesar di dunia, dari urutan satu hingga lima dikuasai pengedaran akhbar-akhbar Jepun. Tempat pertama dipegang oleh akhbar Yomiuri Shimbun dengan jumlah pengedaran 14 juta naskhah sehari. Kedua, akhbar The Asahi Shimbun dengan jumlah pengedaran 12 juta naskhah sehari. Ketiga, akhbar Mainchi Shimbun dengan jumlah pengedaran 5.5 juta naskhah sehari. Keempat, akhbar Nihon Keizai Shimbun dengan jumlah pengedaran 4.6 juta naskhah sehari dan kelima, akhbar Chunichi Shimbun dengan 4.5 juta naskhah sehari. 

Di samping itu, umumnya akhbar di Jepun terbit dua kali sehari, pagi dan petang. Jika dikira, dalam sehari, satu orang di Jepun membaca empat akhbar yang berbeza. Bayangkan! Betapa tingginya daya baca orang-orang Jepun.
Singapura yang saiz negaranya jauh lebih kecil dari Malaysia juga memiliki semangat yang sama dengan Jepun. Perekonomian, pendidikan, mahupun budaya membaca masyarakatnya melebihi negara-negara di Asia Tenggara. Dengan jumlah penduduk sekitar 4.5 juta, terdapat tujuh suratkhabar dengan jumlah pengedaran mencapai 1 juta naskhah per hari. 

Kendatipun begitu, di negara kita, pada masa ini kita masih bergelut dengan kelembapan budaya membaca di kalangan masyarakat. Seharusnya amalan ini perlu dipupuk sejak kecil lagi bagi melahirkan masyarakat yang suka membaca. Untuk membudayakan amalan membaca, semua pihak termasuk kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing khususnya dalam mengaplikasikan ilmu yang telah dibaca dalam kehidupan seharian. Serapkanlah budaya membaca masyarakat Jepun dan Eropah ke dalam masyarakat kita agar kita mampu menjadi bangsa yang berjaya.

Konklusinya, ‘bangsa membaca bangsa berjaya’ adalah sebuah frasa yang jitu. Hakikatnya, pembentukan bangsa yang hebat bermula dengan ilmu serta kefahaman. Menggunakan ungkapan lain ia bermaksud kesemuanya bermula dengan minda cemerlang yang lahir dari budaya membaca. Dalam Al-Jamik li Ahkam Al-Quran, Imam Qartubi meriwayatkan, ‘Imam Sufyan bin Uyainah pernah ditanya tentang kelebihan ilmu dan beliau menjawab, ‘Apakah kamu tidak mendengar kalam Allah (iaitu ayat 19 surah Muhammad) yang bermula dengan; ‘Ketahuilah, sekali gus menunjukkan Allah mahu kita menguasai ilmu terlebih dahulu sebelum beramal? Olahan yang sama Allah s.w.t gunakan dalam surah al-Hadid ayat 20, dan surah al-Anfal ayat 28 dan 41.’ Justeru, membaca yang mampu melahirkan minda cemerlang merupakan pintu gerbang kepada segala kehebatan dan kejayaan.


Rujukan:

  1. Al-Jamik li Ahkam Al-Quran, Imam Qartubi
  2. Cakram Fokus edisi April 2006
  3. The Story of Medicine, Victor Robinson (The New Home Library, New York, 1943)

Keselamatan Makanan



The World Food Summit Plan of Action, FAO menggariskan maksud keselamatan makanan (food security) sebagai ‘when all people, at all times, have physical and economic access to sufficient, safe and nutritious food to meet their dietary needs and food preferences for an active and healthy life’. Berdasarkan definisi ini, kekurangan nutrisi adalah kunci kepada food insecurity.
Majoriti penduduk dunia yang kekurangan nutrisi (98%) berada di negara membangun, di mana dua per tiga daripadanya tertumpu di tujuh buah negara iaitu Bangladesh, China, Republik Demokratik Congo, Ethiopia, India, Indonesia dan Pakistan. Kebanyakan penduduk dunia yang kelaparan iaitu seramai 578 juta tinggal di Asia dan Pasifik dan 30% atau 239 juta orang berada di Afrika (sub-Sahara). Jumlah penduduk dunia yang berada dalam kelaparan meningkat sebanyak 10% dalam tempoh 1990 - 2010.
Kini kita menyaksikan kepesatan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan taraf hidup, berjuta manusia menjadi lebih kaya dan makanan yang diambil juga lebih pelbagai. Citarasa manusia juga sudah berubah, malah makanan luar daripada makana ruji hinggalah air minuman yang tiada pada generasi dulu kini mula mendapat tempat di kalangan kelas pertengahan di bandar. Namun, tahap keselamatan makanan masih sangat kurang memuaskan terutama di negara yang mempunyai lebih ramai orang miskin berbanding negara lain di dunia.
Kesedaran mengenai keselamatan makanan di kalangan berjuta penjaja dan peniaga kecil juga terlalu rendah. Kemiskinan menyebabkan peniaga menambah bahan pencair seperti air ke dalam produk mereka supaya ia menjadi lebih banyak. Minyak masak mahal dicampur dengan minyak masak murah, sisa teh digunakan kembali dan digaul dengan teh baru. Malah, mereka juga memasukkan apa saja bahan daripada urea hinggalah kertas pedap minyak untuk memekatkan makanan yang dijual kepada orang ramai.
Ramai penjual membeli buah-buahan mentah yang kemudian diperam dengan kalsium karbaid. Penggunaan serbuk putih kalsium karbaid ini akan mengurangkan proses kematangan yang biasanya mengambil masa beberapa minggu kepada beberapa jam saja. Bahkan penjual juga terdorong untuk menggilap atau mencelup buah dalam larutan pewarna supaya ia nampak segar ketika dijual. Buah yang nampak berkilat dan segar itulah yang busuk sebenarnya. Nampak cantik di mata, tetapi boleh menyebabkan penyakit apabila dimakan.
Pada tahun 2008, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak di China meninggal dunia dan hampir 300,000 jatuh sakit akibat meminum susu yang dicampur melamin iaitu bahan kimia industri yang digunakan untuk meninggikan bacaan dalam ujian protein.  Memang tahap keselamatan makanan biasanya rendah di kawasan miskin akibat kejahilan dan keinginan untuk mendapat untung yang lebih.
Justeru, semua pihak sama ada pengeluar, penjual, pengguna mahupun kerajaan mempunyai tanggungjawab yang tersendiri dalam mengekalkan keselamatan makanan. Tanggungjawab yang perlu diambil oleh kerajaan adalah mendorong industri makanan supaya membangunkan sistem pengurusan makanan yang komprehensif bagi mempertingkatkan keselamatan makanan, membentuk semula sistem pemeriksaan makanan dan berusaha mempertingkatkan penyampaian maklumat kepada pengguna bagi mendapat kepercayaan pengguna berhubung dengan kualiti makanan.
Sehubungan dengan itu, langkah yang harus diambil oleh para pengusaha makanan
dan pihak berwajib pula adalah memastikan sistem pengukuran prestasi kualiti makanan dijalankan dan diuruskan sebaik mungkin. Kegagalan produk makanan memberikan jaminan keselamatan kepada pengguna akan menyebabkan berkurangnya kepercayaan pengguna. Di samping itu, pengusaha juga perlu memastikan organisasinya memenuhi keperluan pengguna dengan mengambil berat setiap persepsi pengguna.
Selain itu, kerajaan juga perlu memastikan bahawa semua pengusaha mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai contoh, setiap produk daging yang telah melepasi piawaian di peringkat kelahiran, penyembelihan, pemotongan, pemprosesan, pengangkutan dan penyimpanan akan dilabelkan dengan ‘QS’ yang merujuk kepada ‘Kualiti dan Selamat’ (Quality and Safe). Pelabelan ini bertujuan untuk mendapatkan kepercayaan pelanggan bagi tempoh jangkamasa panjang.
Kesedaran pengguna terhadap keperluan akta dan peraturan keselamatan makanan perlu diterapkan sebagai salah satu pemangkin pelaksanaan sesuatu standard dalam pengeluaran makanan. Amalan dan pengetahuan dalam memastikan keselamatan makanan di kalangan penjaja juga perlu ditingkatkan melalui skim galakan oleh kerajaan. Galakan yang dimaksudkan adalah dalam bentuk pengagihan peraturan keselamatan makanan di tempat-tempat latihan penyediaan makanan, mewajibkan dalam syarat pengeluaran lesen perniagaan dan juga melalui penyeragaman (standardizing) polisi keselamatan makanan di semua negeri.
Pengguna perlu bijak memilih produk yang segar dan tidak rosak di samping harga yang berpatutan dengan kualiti barangan. Kualiti produk merujuk kepada rupa bentuk fizikal (appearance), kandungan dan tarikh luput. Ada dua jenis pengguna iaitu pengguna yang sensitif-harga dan pengguna yang sensitif-keselamatan. Pengguna yang sensitif-harga mempunyai hubungan negatif dengan faktor keselamatan, iaitu mereka lebih memfokuskan kepada harga dan rasa (taste) tanpa mementingkan aspek keselamatan.
Pengguna yang sensitif-keselamatan perlu menyampaikan maklumat berkaitan kualiti makanan kepada pengguna yang lain. Ini merupakan satu peluang kepada pengusaha makanan dalam inisiatif mereka menyampaikan maklumat keselamatan dan kualiti produk masing-masing sebagai langkah tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Di samping mampu menarik minat pelanggan baru dan mengekalkan pelanggan sedia ada serta menjadikan barangan mereka lebih kompetitif dalam pasaran.
Prosedur pemprosesan dan pengeluaran makanan perlu dilakukan dalam keadaan bersih bagi menjamin produk makanan berkualiti, iaitu bebas daripada sebarang risiko keracunan. Demi mengurangkan risiko penyakit yang berpunca daripada makanan, ketegasan tentang aspek kebersihan wajar diambil berat oleh semua pengeluar. Secara amnya, pengeluaran produk makanan yang memenuhi standard kualiti perlu mengutamakan perlaksanaan kebersihan yang lengkap seperti persekitaran kilang dan pengeluaran, bahaya pencemaran, sebarang bentuk punca pengurangan atau penurunan kualiti dan amalan peraturan dan undang-undang yang ketat.
Program-program kebersihan boleh dibahagikan kepada beberapa kategori yang utama antaranya ialah bangunan dan peralatan, prosedur pembersihan, kebersihan personel, pendidikan individu berkaitan keracunan makanan dan sebagainya yang berkaitan dengan kebersihan. Program-program ini perlu melibatkan semua peringkat kakitangan agar matlamat kebersihan secara menyeluruh boleh dicapai. Makanan merupakan produk yang tidak tahan lama dan pengeluarnya perlu mengambil langkah untuk mengelakkan kerosakan produk tersebut seterusnya melindungi hak pengguna, mengurangkan kerugian dan yang paling penting untuk menggalak keyakinan pengguna terhadap sesuatu produk dan jenama.
Sebagai kesimpulan, penumpuan terhadap aspek keselamatan sepanjang rantaian proses pengeluaran dan pemasaran produk makanan wajib diambilberat oleh semua pihak yang terlibat dalam industri makanan termasuk pengeluar, peniaga, pelanggan dan juga pihak berwajib. Ini diperlukan bagi memberi jaminan pengeluaran produk makanan yang bersih, selamat, halal dan sesuai untuk digunakan. Selain itu, pematuhan, pemantapan pengetahuan, dan perlaksanaan menyeluruh amalan standard-standard tertentu yang bersesuaian perlu dilaksanakan sepanjang masa.

Belia Dan Wang



GOLONGAN belia merupakan golongan utama yang menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang tua akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal. Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit. Apabila lebih 30% daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan. Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan belia dengan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk. Kajian menunjukkan bahawa seramai 41 belia Malaysia yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan.
Walaupun aspek ekonomi merupakan komponen penting dalam kehidupan yang memberi peluang kepada setiap belia meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih selesa, golongan ini perlu mengawal diri ketika berbelanja. Golongan belia perlu bijak mengawal kewangan supaya tidak terperangkap dalam beban hutang yang dicipta sendiri dengan cara mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini penting supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang benar-benar berkualiti. Belia yang terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh bangkrap atau muflis sebenarnya telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri.
Bajet merupakan antara perancangan yang penting dalam kehidupan seseorang. Ini kerana, perancangan yang teratur ketika menguruskan perbelanjaan mampu membantu seseorang untuk mengelakkan diri dari menghadapi masalah kewangan seperti berbelanja melebihi kemampuan dan seterusnya mengelakkan berhutang.
Hutang merupakan sesuatu yang harus dielakkan sekiranya tiada keperluan mendesak. Walau bagaimanapun, keadaan pada hari ini menyebabkan generasi belia banyak terbeban dengan masalah hutang. Bagi mereka yang terpaksa berhutang kerana memenuhi keperluan asas dan pelajaran, hal ini boleh dimaafkan. Tetapi janganlah wang yang dipinjam itu dianggap sebagai wang sendiri lalu digunakan untuk perkara yang tidak perlu.
Di kalangan belia yang bekerja, kemudahan kad kredit yang senang didapati digunakan untuk perkara dan keperluan yang tidak mendesak secara tidak terkawal sehingga akhirnya boleh membawa kepada status muflis. Begitu juga di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat, wang pinjaman pelajaran digunakan ke arah sesuatu yang tidak menyumbang kepada perkembangan dan kematangan minda pelajar.
Oleh yang demikian, sebagai langkah awal untuk merancang bajet, wang yang diperoleh dan yang dibelanjakan hendaklah mula direkodkan supaya seseorang itu boleh mengenali dan menganalisa pola perbelanjaan mereka. Kenal pasti di antara keperluan serta kehendak dan dahulukan yang penting seperti simpanan kecemasan dan sebagainya.
Dengan berbuat demikian, seseorang itu boleh mengenal pasti sebarang perubahan yang perlu dilakukan ke arah pengurusan wang yang lebih baik. Hal ini penting kerana sebagai seorang manusia yang rasional, kita hendaklah memastikan bahawa nikmat yang diperoleh itu diuruskan dan diagihkan dengan baik kerana harta yang diperoleh merupakan satu amanah dari Allah s.w.t.
Disiplin dan mujahadah yang tinggi juga amat diperlukan untuk memastikan bajet yang telah dirancang dapat dituruti. Walau bagaimanapun, bajet boleh diubahsuai mengikut perkembangan semasa seperti pertambahan pendapatan dan perubahan harga barang.
Hakikatnya, kejayaan dalam pengurusan kewangan bergantung kepada usaha kita sendiri. Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak tidak kira sama ada gaji kita besar ataupun kecil. Di antara kesilapan yang sering dilakukan berkaitan wang ialah terlalu banyak berhutang, lambat membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Kita boleh mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang sama dengan mengawasi tabiat berbelanja kita.
Kenaikan harga barang keperluan seperti gula, beras, minyak masak dan tepung serta harga gas dan petroleum menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna semakin meningkat. Hal ini menyebabkan nilai ringgit yang diterima daripada pendapatan bulanan semakin mengecil sedangkan kos yang terpaksa ditanggung semakin banyak dan terus meningkat.
Bagi mengatasi masalah ini dan seterusnya mengurangkan beban yang harus ditanggung, golongan belia perlu menjadi pengguna yang bijak dalam mengurus kewangan. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka. Untuk itu, mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang dapat membantu menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan.
Antara yang perlu dilakukan termasuklah merubah corak perbelanjaan harian dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik. Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu golongan belia ini berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan.
Sehubungan dengan hal itu, mereka perlu menetapkan sasaran dalam menentukan belanjawan bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Mereka perlu sentiasa menyediakan senarai barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan dari membeli barangan yang tidak diperlukan. Untuk itu, mereka perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan. 
Golongan belia juga boleh merangka sistem pendapatan dengan mencampurkan pendapatan suami dan isteri, dan pendapatan lain yang diterima dan kemudiannya memasukkan pendapatan tersebut dalam satu akaun khas setelah ditolak perbelanjaan lain yang perlu diselesaikan. Misalnya bayaran untuk pinjaman rumah, kereta, bil air dan elektrik, yuran persekolahan anak, perbelanjaan keperluan rumah atau minyak kenderaan supaya dapat mengawal perbelanjaan. Kemudian catatkanlah jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan supaya mereka tahu ke manakah wang tersebut telah dibelanjakan. Mereka juga perlu menetapkan sasaran kewangan, seperti penetapan sasaran jangka pendek dan sasaran jangka panjang.
Penetapan sasaran kewangan ini penting kerana dapat membantu mereka menentukan belanjawan diri atau keluarga dengan lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, mengurangkan perbelanjaan menonton wayang dengan menonton cakera video digital (DVD) di rumah sebagai sasaran jangka pendek. Menetapkan sasaran jangka panjang pula, sebagai contoh, melangsaikan hutang yang sedia ada terlebih dahulu atau menyimpan wang secara bulanan untuk membeli barangan yang diinginkan secara tunai dan bukan secara hutang. 
Belilah barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Misalnya ketika musim perayaan yang menawarkan pelbagai potongan harga yang menarik bagi mendapatkan lebih penjimatan. Selain itu, golongan belia juga perlu sentiasa membuat pemantauan harga dan membandingkan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengeluar atau penjual yang berbeza. Dengan cara ini mereka dapat membeli barangan yang sama dengan harga yang lebih murah.
Selain itu, elakkan membeli-belah dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika berada dalam keadaan yang tidak tenteram. Ini kerana berbelanja dalam suasana begini akan mendorong kita membeli barangan yang tidak diperlukan dan seterusnya akan merugikan.
Pemantauan terhadap setiap perbelanjaan perlu dilakukan supaya dapat mengawal diri kita daripada berbelanja barangan yang tidak perlu. Oleh itu, golongan belia perlulah menjadi pengguna yang bijak bagi mengurus kewangan dengan lebih baik dan berkesan.
Kesimpulannya, golongan belia haruslah merancang dalam pengurusan kewangan untuk memastikan setiap pendapatan yang dibelanjakan sesuai dengan kemampuan. 

Apakah Yang Kita Perlu Lakukan Untuk Mencapai Matlamat Pengurangan Gas Rumah Hijau Menjelang Tahun 2020?




Kesan rumah hijau ialah pemanasan yang berlaku apabila kepekatan gas-gas rumah hijau di dalam sesuatu ruang tertutup meningkat dan menyekat haba daripada mudah dibebaskan. Kesan ini tidak tertakluk pada pemanasan global sahaja, tetapi juga di dalam mana-mana ruang. Ia berlaku apabila komposisi gas-gas rumah hijau seperti karbon dioksida, karbon monoksida dan nitrogen dioksida meningkat melebihi tahap normal. Apabila komposisinya meningkat, molekul-molekul gas ini yang bersifat penyimpan haba, akan memerangkap haba lalu melambatkan proses pembebasan haba.
Kesan rumah hijau global pula berlaku apabila sinaran inframerah matahari yang memasuki ruang atmosfera bumi tidak terpantul secukupnya secara normal disebabkan kesan rumah hijau. Ini akan menyebabkan pemanasan global secara berperingkat, dan kawasan yang mengalami pencemaran teruk akan mengalami kesan itu dengan lebih teruk lagi. Implikasi daripada pemanasan global akan menyebabkan lapisan ais di kedua-dua kutub bumi akan mengalami pencairan dan menyebabkan peningkatan aras laut.
Bumi bersuhu purata 15 darjah Celcius walaupun matahari bersuhu purata 6,000 darjah Celcius. Imbangan di antara sinaran yang diterima dan dipantulkan oleh bumi bergantung kepada atmosfera. Awan dan permukaan bumi akan memantulkan kembali sinaran matahari ke angkasa lepas menjadikan bumi sedikit dingin.
Kehadiran ‘gas rumah hijau’ iaitu karbon dioksida, wap air, metana, nitrat, dan lain-lain lagi akan menyebabkan penyerapan cahaya yang tinggi dalam atmosfera menjadikan bumi bertambah panas. Komponen gas rumah hijau yang paling banyak dalam atmosfera ialah karbon dioksida.
Karbon dioksida (CO2) memasuki atmosfera melalui pembakaran bahan api berfosil (HC) seperti petroleum, gas asli dan arang batu, sisa pepejal, hutan, sisa-sisa kimia yang aktif seperti pembuatan simen. CO2 dikitarkan semula di dalam atmosfera sebagai salah satu komponen dalam Kitaran Biologi Karbon. Metana (CH4) pula dibebaskan semasa penjanaan, produksi dan penghasilan arang batu, gas asli dan minyak HC, juga daripada aktiviti pertanian serta emisi gas daripada haiwan perternakan seperti kambing biri-biri dan sebagainya.
Manakala nitrat oksida (N2O) dibebaskan ke atmosfera melalui emisi gas daripada aktiviti pertanian, perternakan, industri serta pereputan sisa pepejal. Sementara itu gas berfluorin iaitu hidrofluorokarbon, perfluorokarbon dan sulfur hexafluorida adalah sintetik, merupakan gas-gas rumah hijau yang teremisi daripada pelbagai proses industri. Gas-gas berfluorin dibebaskan ke atmosfera dan menjadi punca penipisan lapisan ozon. Gas-gas ini umumnya teremisi dalam kuantiti yang kecil, namun kemudaratan gas-gas ini kadangkala diklasifikasikan sebagai high global warming potential gases (high GWP gases).
Impak rumah hijau ialah kenaikan suhu bumi, perubahan cuaca yang melampau seperti taufan, banjir, tanah runtuh, dan lain-lain lagi, peningkatan aras laut akibat pencairan glasier, akibat pemanasan global, kemarau, kandungan CO2 yang tinggi dalam atmosfera, peningkatan emisi gas-gas rumah hijau di negara-negara yang sedang membangun dan penipisan lapisan ozon.
Bagi tempoh 1997 hingga 2008, pengeluaran karbon dioksida di dunia berikutan penggunaan bahan bakar fosil telah meningkat 31%. Warga dunia mahu agar ‘kelajuan’ pemanasan global dapat dikurangkan. Ini bermakna jumlah gas karbon dioksida harus dikurangkan, kerana jika tidak kita akan menghadapi tekanan lebih berat lagi. Kehidupan yang dilalui bertambah sulit ketika malapetaka itu berlaku dan juga ketika tempoh pasca-malapetaka. Berbilion-bilion dolar kerugian akan dialami akibat kemusnahan harta benda dan nyawa. Banyak program pertanian dan perikanan akan terjejas kerana berlakunya perubahan musim yang dramatik selain mengancam banyak spesies.
Semua lautan di dunia naik 1.5 inci. Suhu dunia akan meningkat, lantas menimbulkan ketidakserasian kepada warga dunia. Beratus-ratus bongkah ais dari kedua-dua kutub bumi akan cair dan menjejaskan cuaca dunia. Lihat betapa fenomena musim panas dan kebakaran hutan semakin parah di seluruh dunia, dari Amerika Syarikat bahagian barat hingga Australia. Suhu dunia 12 tahun terakhir ini didapati lebih panas 0.4 darjah celsius berbanding 12 tahun sebelum 1997. Senario alam sekitar ini menakutkan warga dunia. Sepuluh tahun dulu, ilmuwan metereologi tidak menyangka perubahan iklim akan berlaku seteruk yang terjadi kini, jika tiada lagi tindakan drastik diambil, pasti lebih banyak berita buruk berkaitan alam sekitar akan menyusuli nanti.
Di Malaysia pula, iklim di sesetengah kawasan akan terganggu dan tidak menentu. Ramalan saintis menunjukkan peningkatan 7.0 meter paras laut, yang menyebabkan kawasan rendah seperti Kuala Muda di Kedah dan Kelantan akan ditenggelami air. Banjir dan ribut yang tidak menentu akan melanda di kebanyakan tempat dan penduduk di sekitar kawasan pantai dan kawasan rendah akan mengalami kesan yang paling buruk. 
Selain itu pemanasan global akan turut menjejaskan penghasilan makanan dan rantai makanan. Ini akan menyebabkan berlakunya masalah kekurangan bekalan makanan seperti gula dan beras. Pada tahun 2009, Malaysia telah mengalami masalah kekurangan gula kerana pengeluar gula terbesar di dunia iaitu Brazil dan India telah mengalami musim kemarau dan banjir yang menyebabkan tanaman mereka rosak. Keadaan ini telah menyebabkan kekurangan bekalan dan harga yang melambung tinggi.
Kanak-kanak akan lebih cenderung untuk risiko kesihatan kerana mereka akan terdedah kepada cuaca panas yang melampau, pencemaran air, udara dan infeksi. Ini disebabkan oleh tahap keimunan mereka adalah lebih rendah daripada orang dewasa.

Kaedah Mengurangkan Kesan

Sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab, kita perlu mengambil langkah dalam mengurangkan kesan karbon. Secara kolektifnya, kita mampu melakukan perubahan. Mendidik anak-anak kecil dan generasi seterusnya tentang bagaimana mengurangkan kesan karbon adalah sangat penting, untuk itu mereka akan dapat memelihara dan seterusnya melindungi bumi selama yang boleh. Kita sebagai individu pasti dapat melakukan perubahan ini.
Terdapat beberapa kaedah mudah yang dapat membantu dalam menurunkan kesan karbon iaitu:

1. Kurangkan Aktiviti Pembalakan

Aktiviti pembalakan perlu dikurangkan untuk mengelakkan peningkatan suhu bumi dan angin kencang. Penghutanan semula kawasan pembalakan perlu dilaksanakan di semua kawasan yang telah diterokai.
2. Kurangkan, Guna Kembali Dan Kitar Semula 

Pilihlah barangan yang boleh digunakan semula berbanding yang dipakai buang. Beli dan gunalah produk yang mempunyai pembungkusan yang minimal atau pek guna semula yang dapat membantu mengurangkan pembaziran. Tanamkan tabiat mengitar semula kertas, plastik, surat khabar, gelas dan tin aluminium. Sebagai ibubapa, mungkin kita dapat mengambil peranan kecil seperti menggunakan kain tuala napkin berbanding pakai buang.
Ini mungkin agak sukar pada awalnya, namun tidak salah untuk mencubanya walaupun hanya sekali. Memang benar, penggunaan pakai buang amat mudah, namun kita boleh menggunakannya ketika keluar berjalan-jalan atau pada waktu malam sahaja. Semasa di rumah terutama waktu siang kita boleh menggunakan napkin guna-semula. Dengan mengitar semula separuh dari barangan keperluan rumah, kita dapat menjimatkan sebanyak 2,400 paun karbon dioksida setahun.
Kini, kebanyakkan pasar raya menggalakkan pembelian dengan menggunakan beg guna-semula milik persendirian, berbanding beg pakai buang. Ianya dapat menjimatkan tenaga dan pembaziran berbanding penggunaan beg pakai buang di setiap kedai. Hasil sisa pembuangan bukan sahaja membebaskan karbon dioksida dan metana kepada atmosfera, malahan ianya juga akan mencemarkan udara, tanah dan air di dalam tanah.

3. Laksana Dan Kuatkuasakan Undang-undang

Kerajaan di seluruh dunia perlu melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang Mutu Kawalan Alam Sekitar. Persidangan antarabangsa seperti Persidangan Bumi Rio untuk mengatasi Kesan Rumah Hijau dan Persidangan Viena untuk mengatasi penipisan lapisan ozon perlu diadakan sekerap mungkin dan hasil deklarasinya perlu diakuri oleh semua negara di seluruh dunia.
4. Kurangkan Penggunaan Penyaman Udara 

Adalah sukar bagi kita untuk menghadapi cuasa yang panas, namun adalah baik untuk cuba mengurangkan penggunaan penyaman udara dan mengekalkan suhu pada kadar sederhana. Tidak terlalu sejuk, iaitu dengan menetapkan thermostat kepada 2 darjah celcius lebih tinggi akan dapat menyelamatkan 2,000 paun karbon dioksida pada setiap tahun.
Sistem pendingin hawa berpusat di sebahagian besar bangunan bukanlah satu idea yang baik. Pendingin hawa dibuka sepanjang masa di seluruh tempat, tetapi banyak tempat yang tiada orang. Jadi, sistem pendingin hawa berpusat ini tidak memenuhi tujuannya dan sekadar memboroskan tenaga. 

5. Tukarkan Lampu Mentol

Tukarlah lampu mentol yang biasa kepada mentol compact fluorescent light (CFL). Mentol CFL juga tahan 10 kali lebih lama berbanding mentol pijar. Jika digunakannya ianya akan mengambil kurang dua per tiga tenaga, dan memberikan 70% kurang haba. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa setiap keluarga di Amerika Syarikat menukar sebiji mentol pijar biasa dengan sebiji mentol CFL, ianya dapat menyingkirkan 90 bilion paun kesan gas rumah hijau, iaitu bersamaan dengan 7.5 juta buah kereta di atas jalan raya.

6. Hapuskan Ujian Nuklear Dan Kapal Supersonik

Kerajaan di seluruh dunia perlu sepakat dalam usaha yang murni ini. Hapuskan ujian atau penggunaan senjata nuklear atau kapal supersonik. Ini merupakan antara usaha-usaha besar untuk mengeIakkan penipisan lapisan ozon yang boleh meningkatkan suhu.
7. Kurangkan Pembaziran Makanan

Di seluruh dunia termasuk di negara kita, kita dapati banyak program yang melibatkan pembaziran makanan seperti kenduri dilaksanakan sepanjang masa. Kita sering mendapati banyak makanan dibuang begitu sahaja ke dalam tong sampah. Jadi kurangkan pembaziran dalam setiap program yang diadakan. Sisa makanan ini juga merupakan punca untuk penghasilan tenaga biojisim.
Sebenarnya, pembebasan gas rumah hijau boleh dikurangkan dengan mengurangkan permintaan kita kepada keperluan harian. Perkara ini mudah, senang dan ringkas seperti menukar mentol lampu di rumah kita. Pengguna juga harus makan makanan secara sederhana dan tidak melebihi keperluan bagi mengelakkan pembaziran makanan.

8. Penggunaan Tenaga Yang Efisyen

Sementara itu syarikat-syarikat yang banyak menghasilkan penceramaran alam perlu mencontohi syarikat Petronas. Petronas telah berjaya mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau dari loji pemprosesan minyaknya sebanyak 9% setiap tahun bermula dari tahun 2008 ekoran pelaksanaan program Pengurusan, Pengurangan dan Penggunaan Tenaga (ELM) yang dilakukan oleh syarikat tersebut. Program Pengurusan, Pengurangan dan Penggunaan Tenaga (ELM) ini telah dijalankan melalui tiga cara iaitu menggunakan tenaga secara lebih berkesan, mengurangkan pengeluaran lebihan gas di loji utama dan mengekalkan kebolehpercayaan aset dan liabiliti supaya tiada pembaziran tenaga berlaku.

9. Kurangkan Memandu Dan Pandu Dengan Selamat 

Semua kenderaan yang mengeluarkan asap dan gas beracun yang menyebabkan kenaikan suhu perlu dikurangkan penggunaannya di jalan raya. Kurangkan juga penggunaan kenderaan yang menggunakan bahan api dan fosil. Caranya ialah dengan menggunakan petrol tanpa plumbum atau gas asli. Kenderaan berkuasa elektrik dan kuasa solar perlu dijadikan keutamaan untuk menjaga kelestarian alam dan kesan rumah hijau.
          Kurang memandu akan dapat mengurangkan pembebasan gas. Selain menjimatkan petrol, berjalan serta berbasikal merupakan sejenis senaman yang baik. Cubalah menggunakan pengangkutan awam seperti kereta api (KTM), LRT, komuter dan bas serta menggunakan peluang dengan berkongsi kenderaan ketika ke tempat kerja atau sekolah.
Sentiasa pastikan kereta kita dapat bergerak dengan lancar. Pastikan tayar kenderaan kita telah dipam dengan baik kerana ianya akan dapat membaiki perjalanan gas kita sebanyak 3%. Memandulah dengan kelajuan yang tetap, elakkan dari memberhentikan kenderaan secara mendesak dan melakukan pemecutan. Selain dari setiap jumlah liter petrol akan dapat menjimatkan jumlah perbelanjaan bulanan kita, ianya juga dapat memastikan bahawa hanya 20 paun karbon dioksida yang dibebaskan ke udara. Selain memastikan atmosfera kita bersih, kita juga dapat berusaha agar kekal sihat.

10. Beli Dan Guna Produk Jimat Tenaga 

Pertimbangkan untuk membeli kereta baru yang mempunyai perjalanan gas yang lebih baik. Beli dan gunalah barangan peralatan rumah yang menyediakan model jimat-tenaga serta mentol floresen yang kompak di mana dapat membantu memberikan pencahayaan semulajadi walaupun menggunakan tenaga jauh lebih rendah daripada mentol lambu biasa. Sebagai contoh, kini terdapat di pasaran kereta yang menggunakan petrol dan gas semulajadi. Gas semulajadi mempunyai kos yang lebih rendah daripada petrol selain hanya membebaskan sedikit gas berbahaya.

11. Kurangkan Penggunaan Air Panas

Mulakan dengan menggunakan air sejuk ketika mandi. Ianya tidaklah terlalu teruk, malahan dapat membantu keanjalan kulit kita. Gunakan kepala semburan yang mempunyai aluran rendah serta menjimatkan air panas. Ianya juga dapat menjimatkan 350 paun karbon dioksida setahun.
Cuci pakaian kita di dalam air yang suam dan sejuk bagi mengurangkan penggunaan tenaga yang dihasilkan. Selain itu, kita juga boleh menggunakan set jimat-tenaga pada mesin basuh pinggan mangkuk dan biarkan ianya kering dengan menggunakan udara. Perubahan ini sahaja mampu menjimatkan sebanyak 500 paun karbon dioksida dalam setahun bagi kebanyakkan rumah.

12. Tutup Suis

Jimatkan elektrik dan kurangkan pemanasan global dengan menutup suis alatan elektrik apabila kita tidak menggunakannya ataupun sekiranya kelengkapan berkenaan berada dalam keadaan ‘siap sedia’.

13. Banyakkan Tanam Pokok

Mulakan dengan menanam apa saja pokok. Pokok dan tanaman akan menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen semasa proses fotosintesis. Sebatang pokok dapat menyerap satu tan karbon dioksida sepanjang hayatnya. Dahan pokok juga memberikan kesan redup dan nyaman di mana turut dapat menjimatkan bil penyaman udara kita sebanyak 10 hingga 15%.

14. Tukar Kepada Kuasa Hijau 

Di kebanyakkan kawasan, kita boleh menukar tenaga yang dihasilkan dari sumber yang bersih, boleh diperbaharui seperti angin dan solar. Malahan, kita juga mendapat bayaran balik dari pihak kerajaan sekiranya kita menukar kepada penghasilan tenaga yang bersih ini. Di samping itu, kita juga dapat menjana kewangan dengan menjual tenaga yang kita hasilkan sungguhpun kita tidak menggunakan untuk diri kita sendiri. Kita mungkin belum berada di peringkat di mana kita menghasilkan tenaga kita sendiri, namun ianya merupakan eksperimen yang berharga.

15. Banyakkan Program Pendidikan Alam Sekitar

Kesedaran kepada masyarakat seperti pendidikan alam sekitar di sekolah, kolej, universiti dan sebagainya perlu diadakan selalu melalui pelbagai program seperti seminar, aktiviti sayangi alam sekitar, pertandingan menulis bertemakan alam sekitar, program bacaan bahan-bahan yang berkaitan dengan pencemaran dan kerosakan alam dan sebagainya.
16. Galakkan Aktiviti Memulihara

Berkongsilah maklumat mengenai program kitar semula dan memulihara tenaga bersama anak kita, rakan-rakan, jiran tetangga serta rakan sekerja. Kita juga boleh mengambil peluang ini untuk menggalakkan pihak berkuasa awam mewujudkan program dan solusi yang baik untuk kelestarian alam sekitar.

17. Ajar Anak Kecil

Kita juga boleh mengajar anak-anak kecil supaya menyemai tabiat yang baik berkenaan hijaunya dunia. Adalah baik bagi mereka untuk mengambil peranan secara proaktif dari awal. Hanya dengan cara itu, mereka dapat mewarisi dunia yang lebih baik demi masa depan untuk generasi seterusnya.

18. Kurangkan Penyelidikan Antartika

Pihak-pihak yang berkepentingan juga harus mengurangkan penyelidikan di Antartika.
19. Hapuskan Penggunaan CFC

Kita perlu menghapuskan penggunaan kloroflorokarbon (CFC) dan diganti dengan helium dalam penyembur aresol dan alat pendingin hawa untuk mengelakkan lapisan ozon menjadi nipis, yang mana ini boleh menyebabkan kenaikan suhu.
20. Tapis Asap Kilang

Semua pengusaha atau pemilik kilang perlu menapis asap yang menyebabkan berlakunya kenaikan suhu atau hujan asid dari kilang mereka dengan menggunakan alat penapis asap.
21. Laksanakan Pertanian Terkawal

Sektor pertanian atau urbanisasi perlu dilaksanakan secara terkawal seperti menggunakan plastik atau menanam tanaman penutup bumi untuk mengelakkan peningkatan suhu atau jerebu.
22. Elakkan Penggunaan Barangan Polisteren Dan Plastik

Elakkan penggunaan barangan seperti polisteren dan plastik. Ini kerana polisteren dan plastik tidak akan terurai dengan mudah dan mengambil masa yang sangat lama. Penimbunan sisa polisteren dan plastik akan membawa kepada pencemaran.

23. Gunakan Barangan Cekap Tenaga

Gunalah barangan seperti peti sejuk, televisyen dan penghawa dingin yang mempunyai label kecekapan tenaga. Apabila penggunaan tenaga dapat dikurangkan, sumber asli yang digunakan untuk menjana tenaga dapat dikurangkan. Pengurangan penggunaan sumber asli akan membantu dalam pengurangan gas rumah hijau dan sumber asli ini juga akan dapat dijimatkan.

24. Hadkan Penggunaan Sumber Tenaga Yang Tidak Boleh Diperbaharui

Menurut pakar alam sekitar, mengurangkan penggunaan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui seperti arang batu, petrol dan juga gas asli adalah lebih penting. Sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui ini tidak boleh dihasilkan semula dan kesannya kepada alam sekitar adalah memudaratkan. Pada masa yang sama, sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar, hidro, ombak dan juga angin merupakan sumber yang boleh diguna semula dan mesra alam.

Kesimpulan

Sesungguhnya, kesedaran masih rendah dan kita masih jauh ketinggalan dalam usaha mengendali perubahan iklim dan kesan rumah hijau. Apa yang diharapkan ialah seluruh umat manusia di muka bumi ini dapat memainkan peranan masing-masing, walau sekecil hama sekali pun demi memastikan dunia tidak terus ‘tenggelam’. Jadi, kita mesti bertindak sekarang dalam melaksanakan penggunaan lestari demi mengurangkan kesan sosial dan ekologi, serta matlamat pengurangan gas rumah hijau menjelang tahun 2020 dapat direalisasikan.

Pekerja Muda Dan Muflis




APA perasaan anda apabila menyandang status muflis pada usia yang masih muda? Tambahan lagi apabila silapnya adalah anda tidak mampu lagi membayar hutang kad kredit yang mencecah ribuan ringgit. Atau mungkin kerana menjadi mangsa kepada ketaksuban untuk bertukar-tukar kereta pada hal kewangan belum benar-benar layak untuk berbuat demikian.
Dalam mengharungi kehidupan seharian, seseorang itu tidak dapat lari daripada hutang sama ada bagi pembiayaan rumah, kereta, kad kredit, pinjaman peribadi, pendidikan dan sebagainya. Malah, ada juga yang sanggup berhutang semata-mata mahu membeli kelengkapan rumah seperti perabot, peralatan memasak, barangan elektronik dan sebagainya agar dilihat mewah serta eksklusif. Tidak kurang juga ada yang lebih berani berhutang untuk membeli barang kemas, telefon bimbit, barangan aksesori serta pelbagai produk kegunaan peribadi lain yang tidak perlu seiring dengan trend semasa. 
Hari ini kehidupan masyarakat amat jarang terlepas dari masalah hutang. Sekurang-kurangnya ketika membeli rumah dan kereta. Antara lain disebabkan kedua-dua keperluan itu agak mahal harganya dan jarang anda dapat membelinya secara tunai.
Kendati begitu, akhbar Berita Harian bertarikh 24 Julai 2010 telah menyiarkan sebuah artikel bertajuk ‘Muflis Muda’ yang memberikan satu gambaran yang cukup menakutkan. Dalam tempoh antara tahun 2005 sehingga Mei 2010, seramai 87,583 kes muflis telah direkodkan dengan 4,651 orang atau 5.1% daripada jumlah itu berpunca daripada hutang kad kredit dan majoritinya adalah generasi muda iaitu kira-kira 23% diisytiharkan bankrap kerana gagal membayar hutang ekoran kadar faedah tinggi iaitu antara 12 hingga 18%.
Apa yang lebih membimbangkan ialah daripada jumlah keseluruhan yang diisytiharkan muflis, lebih 16% atau 13,128 individu berusia antara 25 hingga 34 tahun. Mengikut laporan itu lagi, kebanyakan pemegang kad kredit adalah kalangan golongan muda yang menggunakan kemudahan itu untuk berbelanja barangan tidak perlu dan mewah.
Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi menjelaskan kebanyakan kes muflis membabitkan golongan muda adalah berkaitan penggunaan kad kredit tidak terkawal dan gagal membayar balik hutang dalam tempoh ditetapkan berbanding kes golongan lebih berusia yang majoritinya berkaitan soal pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan.
Statistik menunjukkan hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi di negara ini telah meningkat pada kadar 17.6% dalam tempoh enam bulan kepada RM98.8 bilion pada akhir 2009. Peratus hutang kad kredit yang tidak dibayar telah meningkat 5.4%, iaitu RM26.7 bilion terutamanya akibat pembelian barangan pengguna di bawah skim ansuran. 
Bagi memastikan masalah hutang dan kebankrapan membelenggu pekerja muda kakitangan awam dan swasta maka satu modul khas pengurusan kewangan persendirian telah diperkenalkan kepada semua pekerja dan modul itu perlu dimasukkan ke dalam kursus induksi misalnya dan menerapkan prinsip berhemah dengan berjimat cermat serta bijak mengurus pendapatan bulanan mereka. Ini penting untuk mendidik golongan pekerja muda ini dengan kemahiran pengurusan kewangan supaya mereka dapat mengelakkan hutang yang membebankan.
Jika perkara ini tidak diendahkan, ia akan menjejaskan keberkesanan dan integriti perkhidmatan kerajaan dan swasta kerana mereka tidak mampu memberikan tumpuan kepada tugas mereka. Hutang juga boleh membawa kepada gejala rasuah dan ini akan menjejaskan sistem penyampaian sektor kerajaan dan perkhidmatan swasta di negara kita. 
Di samping kempen dan modul pengurusan kewangan diperkenalkan kepada golongan pekerja, Bank Negara Malaysia (BNM) juga perlu melaksanakan beberapa langkah pencegahan bagi membendung peningkatan hutang isi rumah dan kes kebankrapan di kalangan generasi muda terutamanya agar ia tidak terus berlarutan dan menjadi lebih serius. Langkah itu juga perlu bagi memastikan masalah berkenaan tidak menjadi penyumbang kepada faktor ketidakstabilan ekonomi negara dan akan mewujudkan masalah sosial lain pula akibat masalah hutang yang kronik. 
Bank pusat juga perlu menjalankan usaha mempertingkatkan kadar celik kewangan masyarakat di negara kita, terutamanya di kalangan generasi muda agar mereka tidak menjadi mangsa keadaan sehingga dibelenggu oleh masalah hutang keliling pinggang yang mana ini boleh merosakkan masa depan mereka sendiri. 
Hakikatnya, golongan pekerja muda ini perlu mempelajari kaedah membuat pengurusan kewangan dan berbelanja bersesuaian dengan pendapatan mereka. Jika mereka boleh mengurangkan perbelanjaan sebanyak 5% seminggu, mereka boleh menjimatkan 20% menjelang akhir bulan. Cara ini dapat membantu untuk membina asas kewangan yang kukuh. Ramai individu gagal menjelaskan pembayaran hutang kerana pengurusan kewangan yang lemah dan tiada kawalan dalam penggunaan kad kredit. Mereka yang mempunyai masalah untuk menyelesaikan hutang-hutang perlu mencari bantuan awal sebelum sebarang faedah dikenakan ke atas mereka.
Apabila mereka diisytiharkan muflis, kehidupan akan menjadi lebih sukar kerana nama mereka akan disenaraihitamkan di dalam data Sistem Rujukan Maklumat Kredit Pusat (CCRIS). Keadaan itu akan menggagalkan permohonan pembiayaan mereka secara automatik.
Kebanyakan golongan pekerja muda ini terperangkap dengan hutang kerana mereka hidup melebihi cara yang sepatutnya. Permulaannya, mereka begitu mudah terpengaruh terutama gaya hidup rakan-rakan. Namun mereka tidak tahu bagaimana untuk menguruskan perbelanjaan dengan teratur sehingga menyebabkan kredit berlaku berterusan. Sikap mementingkan jenama di kalangan generasi muda ini juga menyebabkan mereka tidak mengambil peduli soal kemampuan dalam perbelanjaan. Mereka tidak mendapat kesannya ketika menggunakan kad kredit, tetapi ‘sakitnya’ akan dirasai pada akhir bulan.
Pekerja atau generasi muda di negara ini dikenal pasti sebagai golongan yang boros berbelanja jauh daripada kemampuan kewangan sebenar mereka. Trend yang membimbangkan itu berpunca daripada gaya hidup yang tidak sihat, berbelanja terhadap barangan yang tidak perlu dan pengaruh rakan sehingga mendorong mereka berbelanja lebih daripada yang sepatutnya.
Sesetengah golongan pekerja muda yang terjerat dengan masalah muflis ini berbangga dengan penggunaan kad kredit yang seringnya akan menimbulkan masalah, khasnya apabila penggunaannya tidak dikawal. Mereka yang memiliki kad kredit tentulah mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi, jika tidak pihak bank tidak akan membenarkan penggunaannya. Namun kad plastik ini boleh menyebabkan muflis berleluasa di kalangan masyarakat, khasnya apabila pengguna atau pemilik kad itu membuat pembayaran minimum sahaja pada setiap bil yang dihantar oleh pihak bank.
Apabila ini terjadi, baki yang masih tinggal dalam akaun seseorang itu akan dikenakan caj dalam kadar tertentu, biasanya 1.5% sebulan atau 18% setahun. Lama kelamaan hutang pemilik kad akan semakin meningkat dan akhirnya akan menimbulkan masalah bila pemilik tidak lagi mampu membayar hutang yang kian bertompok itu. Di sinilah kemungkinan diisytiharkan muflis itu timbul.
Namun jika seseorang pemegang kad membayar semua jumlah yang tertera dalam bil bulanannya, pihak bank tidak akan mengenakan apa-apa caj kecuali pada proses pembelian pertama sahaja. Maka di sini seseorang itu tidak akan dikenakan caj oleh pihak bank.
Sebab itulah, dalam akhbar Kosmo yang bertarikh 19 Mac 2011, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah menyarankan penggunaan kad debit. Kad debit boleh mengawal keseimbangan tunai dan mengelakkan dari berhutang kerana pemiliknya harus membayar kesemua jumlah transaksi pada setiap bil yang diterima. Hal ini dapat mengelakkan dari gejala hutang.
Jadi, bagaimanakah pekerja muda ini perlu bertindak agar mereka tidak dijerat oleh gejala hutang dan henyakkan muflis? Jawapan yang tepat ialah anda perlulah mengubah gaya hidup dan cara berbelanja anda mengikut kaedah-kaedah yang sudah diakui oleh pakar kewangan sebagai yang efektif dan bermanfaat.
Jika dahulu, anda kerap memperuntukkan gaji bulanan untuk membayar bil, hutang, membeli barang dan sebagainya terlebih dahulu, mulai sekarang berikan keutamaan kepada menyimpan wang untuk diri sendiri dahulu. Tidak kira dalam jumlah yang kecil atau besar, pastikan anda menyimpan dan melaburkan duit untuk diri (dan keluarga) secara konsisten. Anda boleh bermula dengan RM50 sebulan (lebih banyak lebih bagus), kemudian tambahkan jumlah simpanan anda pada tahun-tahun berikutnya.
Anda juga perlu elakkan pembaziran. Bezakan antara barang-barang keperluan dan kehendak. Sebagai contoh, anda tidak perlu membeli baju atau seluar yang berjenama mahal jika jenama yang sederhana atau murah mampu memenuhi keperluan anda. Tambahan pula, kebanyakan pasar raya besar sekarang menyediakan ‘house brand’ yang berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan.
Matlamat kewangan anda seharusnya menggambarkan perkara yang anda ingin kecapi dengan wang anda dalam jangka masa tertentu. Penetapan matlamat ini akan membantu anda memahami nilai sebenar wang dan menggalakkan anda berbelanja dengan lebih bijak. Tetapkan jangka masa untuk merancang dan melaksanakan setiap matlamat anda, sama ada matlamat itu berjangka masa pendek, sederhana ataupun panjang.
Selepas anda menentukan matlamat anda, mulakan dengan membuat perancangan untuk berbelanja dengan lebih baik agar matlamat anda mudah dicapai. Ingat bahawa matlamat anda buat masa yang terdekat ini bukanlah untuk mengurangkan perbelanjaan tetapi mengenal pasti tabiat berbelanja anda. Melalui pemerhatian ini, anda akan dapat mengetahui ke mana dan bagaimana anda membelanjakan wang anda, berapa banyak hutang anda setiap bulan dan berapa baki wang anda yang masih tinggal di penghujung bulan.
Anda juga perlu buat bajet, tulis dan patuhinya. Sesetengah individu gemar membuat bajet secara kasar atau ‘dalam kepala’ sahaja, terutamanya semasa hendak membeli barang. Ini cara yang tidak berapa tepat. Sebaik-baiknya, tulis apa yang ingin dibelanjakan dan lebih penting lagi, patuhi bajet yang telah dibuat tersebut. Anda perlu berdisiplin dalam berbelanja dan membuat bajet adalah langkah yang sangat penting. Jika tidak membuat bajet, besar kemungkinan anda akan mengalami kesukaran menguruskan kewangan sendiri dan keluarga.
Selain itu anda juga perlu elakkan dari dipengaruhi emosi semasa membuat keputusan berkaitan dengan kewangan. Perkara ini tidak dapat dinafikan terutamanya apabila anda mempunyai wang lebihan contohnya sewaktu mendapat bonus. Macam-macam perkara yang akan terlintas difikiran anda - kereta baru, perabot baru, bercuti dan sebagainya. Sekiranya anda mendapat wang lebih, pastikan anda menyimpan sebahagian daripadanya dan selebihnya digunakan untuk melangsaikan hutang sedia ada. Inilah masa terbaik untuk anda melangsaikan segala hutang kad kredit anda sekaligus. Jangan berlengah lagi dan bayar segala hutang-piutang yang ada. Percaya atau tidak, hidup anda akan menjadi lebih tenang jika anda sudah melangsaikan hutang.
Mungkin anda sudah tahu yang melabur adalah cara terbaik untuk mengembangkan wang sedia ada. Melaburlah dengan pihak-pihak yang berlesen dan berwaspada dengan pelbagai skim cepat kaya atau skim pelaburan tidak sah yang terdapat di pasaran. Sekiranya sesuatu syarikat menawarkan untung berlipat kali ganda dan mendakwa tiada risiko yang terlibat jika anda melabur dengan mereka, mungkin itu adalah syarikat yang tidak sah. Pastikan anda memeriksa sama ada sesuatu syarikat itu berlesen ataupun tidak dengan menghubungi pihak berkuasa. Ingat, dapatkan sebanyak mungkin maklumat sebelum menyerahkan wang titik peluh anda kepada mana-mana pihak.
Anda juga perlu menyediakan dana kecemasan. Dana kecemasan merujuk kepada sejumlah wang yang anda peruntukkan untuk digunakan sekiranya berlaku apa-apa musibah yang tidak diingini. Biasanya, anda dinasihatkan supaya mempunyai dana kecemasan sebanyak tiga hingga enam bulan perbelanjaan bulanan anda. Dengan wujudnya dana kecemasan, anda akan berupaya mengharungi segala masalah berkaitan kewangan dengan tenang dan terkawal. Dana kecemasan yang mencukupi juga akan memastikan cara hidup anda tidak terganggu sewaktu menghadapi masalah kewangan.
Sekiranya anda tidak mempunyai lebihan wang tunai untuk disimpan, anda mungkin perlu menyemak semula tabiat berbelanja anda dan mengurangkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Perhatikan sama ada anda menggunakan simpanan untuk membayar bil semasa, anda memohon pinjaman baru untuk melangsaikan hutang pinjaman lama, hutang anda lebih besar daripada pendapatan dan anda membeli sesuatu tanpa memikirkan sama ada anda mampu atau tidak.
Sesungguhnya, pelan perbelanjaan dapat membantu anda merancang kewangan. Mulakan pelan perbelanjaan anda dengan panduan mudah seperti tentukan jumlah pendapat bulanan anda, tambah jumlah perbelanjaan termasuklah bil bulanan, bayaran balik pinjaman, sewa, perbelanjaan seharian dan lain-lain, ketepikan sejumlah wang untuk kecemasan dan perbelanjaan bermusim seperti yuran sekolah, musim perayaan, cukai jalan, pembaharuan insurans dan sebagainya.
Jadilah seorang manusia yang bijak dalam berbelanja. Apabila anda ingin membeli sesuatu, tanyalah diri anda terlebih dahulu: Adakah saya benar-benar memerlukannya? Adakah saya mampu membelinya?  Bajet peribadi dan aliran tunai anda boleh membantu menjawab soalan ini. Semak terlebih dahulu sekiranya anda telah membuat peruntukan bagi perbelanjaan ini ataupun anda telah berbelanja lebih bagi bulan tersebut.   
Jangan jadikan membeli belah sebagai satu tabiat untuk melepaskan tekanan. Sekiranya anda hendak membeli sesuatu barang yang khusus pastikan anda tidak membawa anak-anak yang sering mendesak untuk membeli sesuatu yang kurang perlu atau keluar dengan rakan-rakan yang memang suka membeli belah. Juga jangan membawa wang yang banyak. Bawalah yang mencukupi sahaja
Jangan membeli belah untuk menunjuk-nunjuk kepada pesaing, rakan ataupun jiran. Kurangkan tabiat mendapatkan maklumat mengenai barangan yang anda minat di laman web jualan lelong. Ini kerana anda mungkin terjumpa dengan barangan yang diminati dalam harga yang murah walaupun sebenarnya anda belum memerlukan barangan berkenaan pada waktu itu.
Jangan amalkan singgah di pasar raya apabila pulang ke rumah dari tempat kerja. Rancang tempat untuk membeli belah bagi menjimatkan penggunaan bahan api dan masa. Belilah barang keperluan dengan sekali pergi sahaja.
Semasa anda membeli-belah, bersederhanalah dalam perbelanjaan. Kualiti produk mungkin sama dengan jenama yang lebih mahal. Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran harga istimewa. Buat perbandingan harga. Sentiasa memeriksa resit pembelian barangan untuk mengelakkan terlebih bayar atau berlaku kesilapan semasa pengiraan pembelian. Untuk jualan murah, sila teliti kualiti barangan yang dipamerkan dan pastikan barangan yang dipamerkan itu benar-benar di bawah promosi.
Ketahui dan dapatkan maklumat mengenai hak-hak pembeli seperti polisi pemulangan, kos penghantaran dan sebagainya. Berani mengatakan ‘tidak’ sekiranya tidak memerlukan barangan yang ditawarkan. Belilah produk keluaran tempatan (Buatan Malaysia). Ia menjimatkan bahan api dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida yang keluar semasa proses penghantaran. Beralihlah kepada barangan yang boleh digunakan semula. Ini akan mengurangkan barang buangan dan menjimatkan sumber tenaga.
Dalam menguruskan kehidupan anda, anda bukanlah tidak dibenarkan meminjam langsung. Anda boleh meminjam tetapi meminjamlah secara berhemat. Apabila anda ingin meminjam, anda dinasihatkan supaya meminjam mengikut kemampuan anda untuk membayarnya semula. Elakkan dari membuat pinjaman melebihi kemampuan atau gaji bagi mengelakkan anda dibebankan dengan hutang yang melebihi pendapatan. Contohnya, jika anda membeli sebuah kereta, semasa menentukan bayaran ansuran bulanan sewa beli, anda perlulah mengambil kira sebarang kos tambahan yang akan ditanggung secara berkala iaitu perbelanjaan untuk minyak, tol, pembaikan dan kos penyelenggaraan.
Anda juga boleh mempunyai kad kredit tetapi uruslah kad kredit itu dengan bijak. Pastikan anda membayar kesemua hutang kad kredit anda pada setiap bulan bagi mengelakkan daripada dikenakan kadar faedah. Kadar faedah yang dikenakan ke atas baki kad kredit terkumpul biasanya lebih tinggi daripada pinjaman. Jika anda tidak mampu untuk membayar kesemua baki tersebut, anda boleh sasarkan untuk membayar lebih daripada bayaran minimum kerana dengan cara ini dapat mengurangkan baki hutang terkumpul dengan lebih cepat. Namun, jika anda hanya mampu membayar dengan jumlah minimum, pastikan ia hanyalah untuk satu tempoh masa pendek sahaja.
Jika anda membuat pembayaran bagi sesuatu barangan yang mahal, anda boleh memilih untuk membayar melalui skim bayaran mudah yang disediakan oleh pengeluar kad kredit anda. Skim tersebut membantu anda untuk membahagikan kos belian dalam satu jangka masa, contohnya 6-12 bulan tanpa dikenakan sebarang kos kewangan jika anda membayar mengikut jadual. Selain itu, elakkan juga daripada mengambil wang tunai pendahuluan melalui kad kredit kecuali jika keadaan terdesak. Hadkan juga bilangan kad kredit yang anda miliki dan jika perlu, batalkan sahaja penggunaan kad kredit tersebut.
Anda disarankan supaya menggunakan kaedah pembayaran bil secara automatik. Anda boleh membuat arahan tetap untuk pembayaran nominal dengan institusi perbankan anda untuk mendebit dana daripada akaun deposit bagi membayar ansuran bulanan anda (setiap bulan bayaran ansuran anda akan ditolak secara automatik). Selalu menangguhkan pembayaran bil bulanan boleh menyebabkan hutang yang tertunggak. Membayar bil lewat akan menyebabkan anda dikenakan caj penalti dan sebagainya. Ini akan menambahkan lagi beban kewangan anda.
Kesimpulannya, bagi mereka yang baru bekerja, anda perlu sentiasa mengira ke mana wang anda dibelanjakan. Hidup dengan duit yang sedikit tidak bermakna kehidupan anda serba kekurangan. Ia lebih kepada hidup dengan lebih bermakna dan bersyukur, dan bukan hidup untuk orang lain. Berjimat cermat dalam semua aspek kehidupan adalah asas membina kekayaan. Jika anda berimpian untuk mendapat kebebasan kewangan pada suatu hari nanti, tidak kira tahap atau status pendapatan anda, anda perlu jadikan pengurusan kewangan yang berhemah sebagai cara hidup.
Beringatlah sebelum anda terjebak dalam hutang. Berbelanjalah mengikut kemampuan bukan kemahuan. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA