Isnin, 30 Julai 2012

Belia Dan Wang



GOLONGAN belia merupakan golongan utama yang menghadapi masalah kewangan dan menjadi muflis berbanding orang tua akibat daripada perbelanjaan yang tidak terkawal. Antara punca utama adalah kerana urusan sewa beli seperti kereta, rumah dan penggunaan kad kredit. Apabila lebih 30% daripada gaji bulanan digunakan untuk membayar hutang, seseorang itu sudah dikira mempunyai masalah kewangan. Ini menunjukkan betapa kurangnya kesedaran golongan belia dengan pengurusan kewangan mereka dan jika perkara ini dibiarkan, ia akan menjadi lebih teruk. Kajian menunjukkan bahawa seramai 41 belia Malaysia yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 40 tahun dianggarkan menjadi muflis setiap hari akibat kurangnya pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan.
Walaupun aspek ekonomi merupakan komponen penting dalam kehidupan yang memberi peluang kepada setiap belia meningkatkan kualiti hidup masing-masing supaya lebih selesa, golongan ini perlu mengawal diri ketika berbelanja. Golongan belia perlu bijak mengawal kewangan supaya tidak terperangkap dalam beban hutang yang dicipta sendiri dengan cara mendisiplinkan diri ketika berbelanja. Hal ini penting supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang benar-benar berkualiti. Belia yang terjerat dengan masalah hutang sehingga jatuh bangkrap atau muflis sebenarnya telah menjejaskan kualiti kehidupan mereka sendiri.
Bajet merupakan antara perancangan yang penting dalam kehidupan seseorang. Ini kerana, perancangan yang teratur ketika menguruskan perbelanjaan mampu membantu seseorang untuk mengelakkan diri dari menghadapi masalah kewangan seperti berbelanja melebihi kemampuan dan seterusnya mengelakkan berhutang.
Hutang merupakan sesuatu yang harus dielakkan sekiranya tiada keperluan mendesak. Walau bagaimanapun, keadaan pada hari ini menyebabkan generasi belia banyak terbeban dengan masalah hutang. Bagi mereka yang terpaksa berhutang kerana memenuhi keperluan asas dan pelajaran, hal ini boleh dimaafkan. Tetapi janganlah wang yang dipinjam itu dianggap sebagai wang sendiri lalu digunakan untuk perkara yang tidak perlu.
Di kalangan belia yang bekerja, kemudahan kad kredit yang senang didapati digunakan untuk perkara dan keperluan yang tidak mendesak secara tidak terkawal sehingga akhirnya boleh membawa kepada status muflis. Begitu juga di kalangan mahasiswa dan mahasiswi yang terlibat, wang pinjaman pelajaran digunakan ke arah sesuatu yang tidak menyumbang kepada perkembangan dan kematangan minda pelajar.
Oleh yang demikian, sebagai langkah awal untuk merancang bajet, wang yang diperoleh dan yang dibelanjakan hendaklah mula direkodkan supaya seseorang itu boleh mengenali dan menganalisa pola perbelanjaan mereka. Kenal pasti di antara keperluan serta kehendak dan dahulukan yang penting seperti simpanan kecemasan dan sebagainya.
Dengan berbuat demikian, seseorang itu boleh mengenal pasti sebarang perubahan yang perlu dilakukan ke arah pengurusan wang yang lebih baik. Hal ini penting kerana sebagai seorang manusia yang rasional, kita hendaklah memastikan bahawa nikmat yang diperoleh itu diuruskan dan diagihkan dengan baik kerana harta yang diperoleh merupakan satu amanah dari Allah s.w.t.
Disiplin dan mujahadah yang tinggi juga amat diperlukan untuk memastikan bajet yang telah dirancang dapat dituruti. Walau bagaimanapun, bajet boleh diubahsuai mengikut perkembangan semasa seperti pertambahan pendapatan dan perubahan harga barang.
Hakikatnya, kejayaan dalam pengurusan kewangan bergantung kepada usaha kita sendiri. Merancang perbelanjaan adalah langkah pengurusan kewangan yang bijak tidak kira sama ada gaji kita besar ataupun kecil. Di antara kesilapan yang sering dilakukan berkaitan wang ialah terlalu banyak berhutang, lambat membayar bil dan tidak menyimpan wang untuk kegunaan masa depan. Kita boleh mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang sama dengan mengawasi tabiat berbelanja kita.
Kenaikan harga barang keperluan seperti gula, beras, minyak masak dan tepung serta harga gas dan petroleum menyebabkan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengguna semakin meningkat. Hal ini menyebabkan nilai ringgit yang diterima daripada pendapatan bulanan semakin mengecil sedangkan kos yang terpaksa ditanggung semakin banyak dan terus meningkat.
Bagi mengatasi masalah ini dan seterusnya mengurangkan beban yang harus ditanggung, golongan belia perlu menjadi pengguna yang bijak dalam mengurus kewangan. Pengguna yang bijak ialah pengguna yang tahu mengurus kewangan dengan berkesan dan seterusnya tahu mengawal perbelanjaan mereka. Untuk itu, mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu kewangan yang dapat membantu menguruskan kewangan peribadi mereka dengan baik dan berkesan.
Antara yang perlu dilakukan termasuklah merubah corak perbelanjaan harian dan merancang perbelanjaan demi masa depan yang baik. Perancangan kewangan yang baik dan pengurusan kewangan yang sistematik akan membantu golongan belia ini berbelanja mengikut keperluan dan tidak membebankan.
Sehubungan dengan hal itu, mereka perlu menetapkan sasaran dalam menentukan belanjawan bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak diperlukan. Mereka perlu sentiasa menyediakan senarai barangan keperluan sebelum keluar untuk berbelanja bagi mengelakkan dari membeli barangan yang tidak diperlukan. Untuk itu, mereka perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi setiap perancangan yang telah ditetapkan. 
Golongan belia juga boleh merangka sistem pendapatan dengan mencampurkan pendapatan suami dan isteri, dan pendapatan lain yang diterima dan kemudiannya memasukkan pendapatan tersebut dalam satu akaun khas setelah ditolak perbelanjaan lain yang perlu diselesaikan. Misalnya bayaran untuk pinjaman rumah, kereta, bil air dan elektrik, yuran persekolahan anak, perbelanjaan keperluan rumah atau minyak kenderaan supaya dapat mengawal perbelanjaan. Kemudian catatkanlah jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan supaya mereka tahu ke manakah wang tersebut telah dibelanjakan. Mereka juga perlu menetapkan sasaran kewangan, seperti penetapan sasaran jangka pendek dan sasaran jangka panjang.
Penetapan sasaran kewangan ini penting kerana dapat membantu mereka menentukan belanjawan diri atau keluarga dengan lebih baik dan berkesan. Sebagai contoh, mengurangkan perbelanjaan menonton wayang dengan menonton cakera video digital (DVD) di rumah sebagai sasaran jangka pendek. Menetapkan sasaran jangka panjang pula, sebagai contoh, melangsaikan hutang yang sedia ada terlebih dahulu atau menyimpan wang secara bulanan untuk membeli barangan yang diinginkan secara tunai dan bukan secara hutang. 
Belilah barangan atau perkhidmatan yang menawarkan harga jualan yang lebih murah. Misalnya ketika musim perayaan yang menawarkan pelbagai potongan harga yang menarik bagi mendapatkan lebih penjimatan. Selain itu, golongan belia juga perlu sentiasa membuat pemantauan harga dan membandingkan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengeluar atau penjual yang berbeza. Dengan cara ini mereka dapat membeli barangan yang sama dengan harga yang lebih murah.
Selain itu, elakkan membeli-belah dalam keadaan yang terburu-buru atau ketika berada dalam keadaan yang tidak tenteram. Ini kerana berbelanja dalam suasana begini akan mendorong kita membeli barangan yang tidak diperlukan dan seterusnya akan merugikan.
Pemantauan terhadap setiap perbelanjaan perlu dilakukan supaya dapat mengawal diri kita daripada berbelanja barangan yang tidak perlu. Oleh itu, golongan belia perlulah menjadi pengguna yang bijak bagi mengurus kewangan dengan lebih baik dan berkesan.
Kesimpulannya, golongan belia haruslah merancang dalam pengurusan kewangan untuk memastikan setiap pendapatan yang dibelanjakan sesuai dengan kemampuan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA