Selasa, 18 Oktober 2011

Misteri Gempa

SMAHADZIR

HAMPIR setiap bulan kita dikejutkan dengan pelbagai kejadian gempa bumi yang sekali gus mencetuskan persoalan dan kebimbangan - mengapakah kejadian itu kian kerap sehinggakan negara seperti Malaysia yang suatu ketika dulu asing dengan gegaran gempa, kini turut berasakan tempiasnya? Jika keadaan makin kerap, mungkinkah gempa paling kuat bermagnitud 9 ke atas atau ‘ibu’ gempa belum berlaku dan bilakah agaknya?

Kebimbangan itu ada asasnya kerana Agensi Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menganggarkan kira-kira 1.5 juta gempa bumi dengan magnitud 2.0 pada skala Richter dicatatkan setiap tahun. Berdasarkan andaian itu, bererti purata 134 gempa bumi magnitud antara 6 dan 6.9 berlaku setiap tahun. Tahun ini saja menyaksikan banyak gempa bumi yang di luar jangkaan dan besar berlaku termasuk kejadian di Fukushima, Jepun pada Mac lalu, berukuran 9.0 pada skala Richter yang mengorbankan 20,000 orang, serta mencetuskan bencana nuklear yang terbesar sejak Chernobyl.

Satu lagi gempa besar berlaku di Christchurch, New Zealand pada September lalu dengan 6.3 skala Richter yang membunuh hampir 200 manakala 6 September lalu gempa bumi 6.6 melanda pulau Sumatera, Indonesia, membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang jatuh katil dan seorang lelaki yang terkena serangan jantung ketika melarikan diri waktu kejadian.

Baru-baru ini pula, negara yang sudah lama tidak dilanda bencana alam itu seperti Amerika Syarikat, Cuba, India dan Nepal turut merasai gegaran walaupun ukuran gempa dilabelkan sebagai sederhana masih menyebabkan banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda yang bukan sedikit. Ini tidak termasuk negara yang terletak di Lingkaran Api Pasifik seperti Indonesia, Filipina, China, Taiwan dan Jepun yang mana setiap tahun pasti merasai gegaran gempa sama ada bersifat lemah hingga yang paling kuat.

Bulan lalu, beberapa daerah di Amerika Syarikat yang sudah lama tidak dilanda gempa bumi kembali bergegar dengan menyaksikan Virginia paling teruk menerima kesannya dengan ukuran 5.8 pada skala Richter. Virginia sering bergegar tetapi kesan gempa kali ini paling kuat selepas lebih satu abad! Penganalisis bencana menganggap gempa di Amerika Syarikat kali ini sebagai satu amaran bahawa akan berlaku bencana lebih besar bakal berlaku di negara berkenaan lebih-lebih lagi negara dalam satu benua seperti Cuba dan Guatemala turut dilanda gempa bumi.

Kes di Amerika Syarikat, Cuba dan Guatemala pula berlaku serentak dan berselang hari yang meningkatkan keyakinan saintis dan pakar geologi bahawa akan berlaku bencana lebih besar dalam tahun ini atau awal tahun depan. Saintis Institut Penyelidikan Gempa Bumi Tokyo melaporkan bahawa gempa bumi 9.0 skala Richter yang menggegarkan Jepun pada bulan Mac lalu, mengubah hubungan antara plat tektonik di bawah tanah dan secara drastik meningkatkan ruang untuk berlaku satu lagi gempa besar bakal melanda Tokyo pada masa terdekat. Ini diburukkan lagi dengan faktor pembangunan pesat di kawasan berkenaan.

“Apa yang kita boleh katakan bahawa semua pihak perlu bersedia,” katanya.

Tokyo umumnya mempunyai dua gempa kecil sebulan, tetapi sejak Mac, jumlah itu telah meningkat kepada purata enam kali sebulan. Jepun, kini mengalami kira-kira 500 gempa bumi sejak bencana Fukushima.

Sementara itu, gempa bumi 6.9 magnitud di wilayah terpencil Himalaya yang merentangi India, Nepal dan Tibet yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 54 orang yang berpusat di Sikkim, India Ahad lalu dianggap luar biasa jika dilihat kepada ukuran magnitud dan sifat asal gempa di kawasan berkenaan kerana wilayah itu terletak di plat tektonik Tibet dengan catatan gegaran sederhana.

Beberapa ahli geologi India berpendapat tahap gegarannya sangat berbeza dengan ukuran yang pernah dicatatkan di kawasan itu sebelum ini. Ahli geologi Institut Sains India, CP Rajendran berkata, gempa di Sikkim berbeza kerana “magnitud yang luar biasa besar”. USGS menyatakan, gegaran dirasai hingga ke Bhutan selepas ia menggegarkan sempadan Sikkim dan Nepal kira-kira jam 6.10 petang Ahad waktu tempatan. Pusat gempa terletak 60 kilometer di barat laut Gangtok, dengan kedalaman 19.7 kilometer. Gempa bumi itu diikuti dengan dua gegaran susulan yang kuat.

Institut itu meramalkan perubahan dalam tekanan plat menyebabkan fokus sempadan plat boleh beralih dan pada masa sama menyebabkan wujud satu gempa bumi 7.3 skala Richter. Kesannya gempa itu dijangka tidak seteruk kes gegaran pada Mac lalu namun Tokyo tetap akan mengalami kemusnahan yang besar.

“Kami menganggarkan 10,000 orang akan mati dan kerugian ekonomi yang akan sekitar AS $ 1 trilion (RM3.6 trilion). Malah, sebelum Mac kami menganggarkan ada kemungkinan 70 peratus gempa bumi utama akan mempengaruhi Tokyo pada bila-bila masa dalam tempoh 30 tahun akan datang,” Naoshi Hirata, penyelidik dan ahli Jawatankuasa Penyelidikan Gempa Bumi Jepun, dipetik The Daily Telegraph.

Hirata menyatakan jangkaan itu satu kebarangkalian yang sukar dinafikan kerana memang akan berlaku satu bencana besar di Jepun, walaupun mereka tidak boleh meramal bila akan berlaku.

Beliau juga berpendapat, gempa di wilayah itu berbeza dengan kejadian gegaran yang selalu berlaku di jajaran Himalaya kerana ia di berlaku secara melintang akibat pelanggaran plat Eurasia dengan plat Eurasia. Pakar geologi Institut Penyelidikan Geofizikal Kebangsaan India di Hyderabad, Vineet Gahaulat berkata, gempa bumi di Sikkim berlaku secara melintang merentasi Himalaya dan beliau percaya akan berlaku gempa susulan yang lebih besar selepas ini

“Kejadian ini pernah dijangkakan akan berlaku dan kita percaya ia akan sebesar kejadian gempa bumi sekuat seperti kejadian di Chamoli pada 1999 dan Uttarkashi pada 1991,” katanya.

Kehadiran ribuan ekor katak sebelum gempa bumi di China pada 2008.

Petanda Gempa

Benarkan petanda gempa bumi itu boleh dikesan awal sebelum berlakunya bencana itu? Inilah yang ditegaskan beberapa saintis dunia, termasuk Dr Neil Whitehead yang mengkaji gempa bumi di Darfield, New Zealand pada 4 September 2010 yang turut menyenaraikan tindakan spontan haiwan sebelum gempa di New Zealand serta kejadian sama di Kobe, Jepun dan di Turki.

Berikut hasil kajiannya:


1. Deria unik haiwan

Beberapa pemilik kucing dan anjing berkata, mereka dikejutkan haiwan peliharaan masing-masing yang bising beberapa minit sebelum kejadian. Malah di Kobe, Jepun, sebelum berlakunya gempa bumi, anjing peliharaan itu bising dan seolah-olah memaksa tuan mereka supaya keluar rumah. Malah ada laporan menyatakan kucing menggigit dan mencakar tuan mereka supaya keluar rumah.

Sehari sebelum gempa di New Zealand, seorang penduduk melaporkan kelakuan aneh 40 bebiri yang membentuk bulatan mengelilingi pokok, seolah-olah berlindung daripada ribut. Kawanan bebiri ni pula membisu seolah-olah takut dengan apa yang bakal berlaku. Laporan lain mengenai kuda yang tiba-tiba mengamuk dan enggan diikat.

Pemantauan di Christchurch, New Zealand, melaporkan pemilik burung mengadu binatang itu secara berterusan bising dan seolah-olah mengamuk dalam sangkar. Seorang penduduk pula berasa pelik melihatkan itik peliharaannya bertenggek di bumbung rumah dua tingkatnya, sehari sebelum gempa bumi.

Di Canterbury, mamalia peliharaan - arnab dilaporkan memijakkan kaki dan melompat seolah-olah memberi amaran sesuatu buruk bakal berlaku, kira-kira 90 minit sebelum kejadian.

Laporan lain memetik petugas National Zoo di Washington, Amerika Syarikat, menyenaraikan pelbagai kelakuan aneh haiwan di situ seperti Orang Utan, gorila dan burung flamingo pada 19 Ogos lalu iaitu sehari sebelum kejadian gempa bumi di kawasan itu. Orang Utan dan gorila secara tiba-tiba mengamuk dan membuat bising dalam kandang mereka manakala burung flamingo berkumpul dan dalam keadaan gelisah, juga dilaporkan beberapa minit sebelum gempa bumi berlaku.

Laporan pada 2009 mendakwa, katak melarikan diri ke kawasan tinggi beberapa hari sebelum berlakunya gempa bumi di LAquila, Itali.

Pada 1975, laporan paling popular menyenaraikan ular dan katak keluar daripada tempat persembunyian masing-masing, beberapa minggu sebelum gempa bumi bermagnitud 7.3 di Haicheng, China. Malah, kelakuan aneh haiwan itu yang menggerakkan pegawai tempatan mengarahkan orang ramai meninggalkan kawasan itu dan mengelak lebih banyak kematian.

Pakar gempa Amerika Syarikat, Susan Hough, mengaitkan perubahan kelakuan haiwan itu disebabkan gempa menghasilkan dua gelombang iaitu jenis lemah dan kuat. Gelombang lemah bergerak secara mendatar manakala gelombang kuat atau lebih bertenaga, yang bergerak dari hala atas ke bawah atau dari udara ke darat dan gelombang inilah dirasai haiwan.

2. Perubahan di darat/air

Beberapa hari sebelum gempa bumi di New Zealand, September tahun lalu, penduduk yang berkelah di sekitar sungai Hagley Park, melaporkan fenomena getaran di situ.

Pasangan suami isteri yang berada di hilir Sungai Waimakariri melaporkan aliran sungai itu menongkah ke belakang. Ia mengulangi fenomena sama yang pernah berlaku di Sungai Seta, Jepun dan gempa bumi 1812 di Madrid, Sepanyol yang mana petandanya turut berlaku di Amerika Syarikat apabila aliran Sungai Mississippi di Amerika, mengalir ke arah berlawanan untuk beberapa ketika.

3. Langit/awan

Wujudnya pembentukan aneh awan yang dilabelkan sebagai cuaca gempa bumi seperti dicatatkan pada petang, kira-kira seminggu sebelum gempa bumi New Zealand. Beliau mendakwa melihat dua kepulan awan dengan warna menyamai pelangi.

4. Elektronik

Petanda paling kerap dilaporkan adalah gangguan siaran televisyen yang berlaku pada malam sebelum gempa bumi New Zealand berkenaan. Laporan gambar menjadi kaku dan cubaan bertukar ke siaran lain juga gagal.

Seorang penduduk pula mendakwa jam tangan dan jam radionya berhenti secara tiba-tiba, tepat jam 3.17 pagi.

Petugas kedai buku melaporkan kejadian aneh berlakunya elektrik statik iaitu apabila rambut pengunjung berdiri serta helaian muka surat terpisah daripada buku.

Misteri Etnik: Berjanji Dengan Buaya

SMAHADZIR

TIADA perjanjian bertulis. Tiada saksi atau si penulis butiran perjanjian. Yang ada hanyalah perjanjian lisan yang tidak dimeterai dengan tandatangan antara pihak yang berjanji. Kandungan perjanjian itu cukup jelas. Anak cucu masyarakat etnik Orang Sungai yang mendambakan kehidupan mereka di sepanjang sungai, tidak kira walau di mana jua, tidak boleh diganggu apatah lagi dibaham oleh sang bedal.

Etnik Orang Sungai akur ‘Gegejanji Gunai Boya’

Adat orang berbudi lazimnya menuntut pihak yang menerima budi yang ditabur itu supaya akur kepada permintaan pihak yang menabur budi. Apatah lagi jika budi yang ditabur itu membabitkan nyawa. Bantuan yang dihulurkan si penabur budi membolehkan si penerima bantuan mampu terus menyaksikan generasinya kekal menikmati kehidupan zaman berzaman.

Meskipun tidak seratus peratus dipegang sebagai azimat kehidupan kini, berjanji dengan buaya atau dalam bahasa masyarakat etnik Orang Sungai disebut sebagai ‘gegejanji gunai boya’ (berjanji dengan buaya) tetap tersemat sebagai khazanah kisah nenek moyang Orang Sungai yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain.

Walaupun sedar hakikat perjalanan hidup ditentukan oleh Allah SWT, kebanyakan masyarakat etnik Orang Sungai di Sabah, terutama di Kinabatangan, Segama dan Beluran pada dasarnya tetap mempercayai perjanjian antara nenek moyang mereka dengan sang bedal yang membolehkan mereka menikmati kehidupan di tebing Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama secara berkongsi dengan buaya yang jumlahnya bukan sedikit.

Bukan mudah untuk meneruskan kehidupan sebagai nelayan di Sungai Kinabatangan selebar kira-kira 300 meter dan sepanjang kira-kira 550 kilometer (km) jika sang bedal kerap mengganggu atau membaham mereka. Mahu tidak mahu, kehidupan di sepanjang sungai itu harus diteruskan dengan sentiasa berhati-hati kerana malang sememangnya tidak mampu dihidu.

Bukan mitos dan bukan juga legenda. ‘Gegejanji gunai boya’ walaupun sekadar cerita yang diwarisi dari satu generasi ke generasi yang lain tetap memberi kesan dalam kehidupan masyarakat etnik Orang Sungai. Tidak hairanlah jika cerita itu ada yang diyakini mereka walaupun tidak kurang juga yang menganggapnya sekadar cerita khayalan.

Dengan berlandaskan penceritaan oleh beberapa warga emas di Kampung Sukau dan Program Penempatan Masyarakat Sukau, iaitu dua daripada beberapa kampung di tebing Sungai Kinabatangan, ‘gegejanji gunai boya’ disimpulkan sebagai naratif yang tetap segar dalam sanubari dan budaya masyarakat etnik Orang Sungai, terutama mereka yang sudah lanjut usia.

Bagi Mak Andam Bahima Sapiudin, 65, ‘gegejanji’ yang dilafazkan raja buaya Aki Turonggari dengan seorang wanita tua yang lebih dikenali sebagai dukun Aduk Sibulig-bulig adalah kisah dikatakan membolehkan masyarakat etnik Orang Sungai tidak diganggu, apatah lagi dibaham oleh sang bedal. Selagi pantang larang ketika mandi, membasuh pakaian atau mencari rezeki di sungai dipatuhi oleh anak cucu Aduk Sibulig-bulig, maka selagi itulah anak cucu Aki Turonggari akan mematuhi perjanjian itu.

Musibah Langgar Pantang

DENGAN tidak menafikan sama sekali ketentuan nasib insan yang sememangnya adalah hak Allah SWT, ‘gegejanji ganai boya’ seolah-olah terpakai pada kehidupan masyarakat etnik Orang Sungai.Ketika mereka masih berpegang kukuh kepada pantang larang yang dipersetujui antara Aduk Sibulig-bulig dengan Aki Turonggari, seingat anggota masyarakat generasi tua di sepanjang Sungai Kinabatangan, belum ada antara mereka atau anak cucu mereka dibaham buaya.

“Bagaimanapun, akidah kita jangan mudah terpesong dengan cerita ‘gegejanji’ itu. Segala perjalanan hidup kita ditentukan oleh Allah. Bagaimanapun, kita harus menghormati kehidupan makhluk lain di daratan atau dalam sungai atau lautan. Sepanjang usia saya, belum pernah saya dengar ada orang kami dibaham buaya. Kalau ada pun, mereka bukan Orang Sungai. Mungkin ada pantang larang yang tak dipatuhi,” kata Bahima.

Kisah kempunan itu tidak pernah lekang daripada kotak fikir nelayan di Kampung Sukau. Bagi Sumanto Selamat, 52, Aris Mail, 38, Kamsa Ahmad, 29 dan Riduan Takasi, 45, serta Ramli Juair, 41, ‘gegejanji gunai boya’ meskipun sentiasa dijadikan pedoman, langkah berjaga-jaga setiap kali menebar jala, menarik bubu dan memasang pukat tidak pernah terabai. Setiap kali sebelum turun mencari rezeki di Sungai Kinabatangan dan beberapa cabang sungai itu seperti Sungai Tenigang, Sungai Menanggol dan Sungai Danau, mereka akan menjamah makanan atau minuman disediakan isteri masing-masing. Bukan niat untuk menafikan ketentuan Allah atas nasib yang bakal ditempuhi, cuma ia sekadar petua orang tua-tua yang tidak rugi jika diamalkan.

“Memang selalu kami terserempak dengan sang bedal. Ada yang besar. Ada yang kecil. Pernah baru-baru ini, sedang saya menarik bubu udang galah, tiba-tiba dia muncul di hujung perahu. Saya terus beristighfar. Ya Allah, punya besar badan dia. Kurang sikit daripada perahu saya. Panjangnya hampir sama dengan perahu saya kira-kira 15 kaki (4.57 meter). Saya minta dia pergi sebab tujuan saya turun ke sungai hanya untuk mencari rezeki. Bukan untuk mengganggu dia. Perlahan-lahan dia tenggelam semula. Dia macam faham apa yang saya kata,” ujar Riduan.

Namun demikian, bukan tidak pernah sang bedal menyambar manusia di tebing sungai sebagai santapannya. Kira-kira empat bulan lalu, seorang pekerja ladang sebuah syarikat perladangan kelapa sawit menjadi habuan sang bedal. Pekerja lelaki warga Indonesia berusia awal 20-an itu dikatakan menjala ikan di hulu Sungai Kinabatangan hingga lewat petang.

Tanpa mengendahkan papan tanda melarang kegiatan memancing atau menjala di kawasan berkenaan, pekerja terbabit dan rakannya menjala dengan kaedah melangkah masuk ke dalam sungai hingga ke paras pinggang. Baung dan sepat yang terperangkap dalam jala membuatkan mereka kian leka menjala.

Agak aneh, setengah jam kemudian, pekerja yang disambar sang bedal timbul tidak jauh dari tempat dia dikejutkan dengan gigitan sang bedal. Tiada siapa yang berani turun ke sungai untuk menarik tubuh si mangsa. Kayu panjang digunakan untuk menarik mangsa. Sebaik saja tubuhnya dinaikkan ke tebing sungai, beberapa pekerja terus meraung. Ada yang turut muntah menyaksikan keadaan mayat mangsanya dengan perut dan paha kanan si mangsa sudah terburai. Sang bedal sudah menemukan mangsanya tetapi tidak sempat melarikannya ke lubuk tempat dia mengunyah rakus tubuh si mangsa.

Antara realiti dan cerita gegejanji gunai boya mungkin ada kebenarannya. Ketika masyarakat etnik Orang Sungai anak cucu Aduk Sibulig-bulig masih berpegang teguh kepada pantang larang ketika mencuci pakaian atau mandi atau mencari rezeki di sungai, anak cucu Aki Turonggari pula tidak pernah lupa akan syarat yang dikenakan oleh raja mereka.

Yang pasti, masyarakat etnik Orang Sungai di Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama atau di mana saja di Sabah tetap tabah meneruskan kehidupan di tebing sungai. Meskipun masih teguh berpegang pada janji itu, mereka cukup pasti, sang bedal bukanlah penghuni sungai yang boleh diberikan kepercayaan sebagai teman.

Serangga - Menu Masa Depan?

SMAHADZIR

SEWAKTU saya masih kanak-kanak dulu selalu juga saya makan belalang kunyit goreng. Kalau tak sempat goreng, saya dan rakan-rakan akan membakarnya. Oleh kerana bangkai belalang tidak dianggap najis dan solat juga tidak terbatal dengan kehadirannya maka saya menganggap belalang boleh dimakan. Halal dan tidak dilarang dalam agama. Sebab itulah serangga tersebut sering menjadi sajian lazat saya dan rakan-rakan sewaktu kecil dulu.

Sekarang ini saya tak sanggup lagi nak menjamah belalang walaupun digoreng dan diadun dengan pelbagai rencah yang menyelerakan. Anda bagaimana pula? Sanggupkah anda makan serangga, ulat, kumbang ataupun kala jengking? Atau pernahkah anda bayangkan masak lemak serangga, sambal tumis kala jengking dan cengkerik goreng kunyit? Meloyakan bukan? Malah pasti ramai beranggapan tindakan itu jelik dan menjijikkan serta hanya sesuai untuk golongan yang tidak bertamadun atau tinggal dalam hutan. Namun, hakikatnya, amalan memakan serangga yang turut diamalkan di negara seperti Thailand, China dan Amerika Selatan, kini diiktiraf sebagai satu gaya hidup era baru, malah Barat yang satu masa dulu menganggapnya menjijikkan sebaliknya kini mengiktirafnya.

Sajian eksotik ideal: Ulat, serangga kaya khasiat berbanding ikan dan ayam kini dilabel Barat menu pilihan

Itulah keputusan pihak Kesatuan Eropah (EU) minggu lalu yang mengumumkan peruntukkan €3 juta (RM12.9 juta) bagi kempen dan misi penting - menggalakkan orang ramai makan serangga serta penyediaan makanan berasaskan ulat dan serangga. Pegawai pemantau piawaian makanan di 27 negara anggotanya juga digesa menyelidik dan menyelongkar lebih banyak lagi keistimewaan serangga yang berpotensi diperkenalkan dalam menu utama makanan. Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan ‘ternakan mikro’ itu menjadi sumber pemakanan baru jika stok makanan sedia ada atau konvensional mula berkurangan atau akibat bencana alam.

Selain diperkenalkan dalam pelbagai resepi baru, menjadi gantian kudapan untuk minum pagi dan petang, beberapa restoran dibuka khusus menyajikan makanan eksotik berkenaan, begitu juga hotel dan restoran bertaraf lima bintang menyediakan menu khas berasaskan serangga. Sajian serangga juga kini dianggap makanan alaf baru sesuai dengan gaya hidup masa kini dunia yang mementingkan aspek kesihatan dan diet yang seimbang serta persekitaran lestari.

Berselarakan anda menjamah lipas goreng?

Bagi penggemar sajian serangga, mereka berasakan serangga bukan saja enak malah mengatasi udang, sotong dan ketam kerana ia rendah lemak, rendah kolesterol serta tinggi mineral, serta dua kali lebih protein berbanding daging dan ikan. Penternak serangga seperti cengkerik, kala jengking, kumbang, labah-labah Tarantula di Thailand dan Australia dikatakan kini sedang giat mengembangkan perniagaan mereka berikutan permintaan yang meningkat daripada penggemar makanan eksotik ini.

Diakui sesetengah serangga mungkin boleh menyebabkan jangkitan penyakit dan merosakkan tanaman, namun penternakan atau industri serangga ini sebenarnya mesra alam, selain ruang ternakan yang terhad, tiada pencemaran alam (kumbahan dan najis haiwan kurang), makanannya juga sedikit dan tiada kesan gas ke atas rumah hijau.

Laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB menyatakan lebih daripada 1,400 spesies serangga dimakan oleh lebih 300 kumpulan etnik di 113 buah negara yang berkemungkinan boleh mewujudkan peluang perdagangan dan industri makanan, terutama di negara Dunia Ketiga.

Di Vietnam, serangga pelbagai jenis masakan dijual di pinggir jalan

Pakar di Brussels percaya serangga dan haiwan merayap yang ‘menyeramkan’ boleh menjadi satu sumber pemakanan yang bukan saja menyelesaikan masalah kekurangan makanan tetapi juga membantu menyelamatkan alam sekitar. Malah, Profesor Marcel Dicke, yang mengetuai pasukan pakar Belanda itu dari Universiti Wageningen, dengan nada optimis meramalkan serangga, kumbang, cengkerik dan ulat ini bakal dijual di pasar raya utama.

“Menjelang 2020, anda dapat membeli serangga dipasar raya. Mungkin pada 2011 anda tidak akan terfikir mengenainya. Kita pernah melihat bagaimana satu masa dulu diperkenalkan terung, sushi, yang tidak pernah orang makan di sini. Saya fikir ia (serangga) akan mula diterima dan menjadi bahan dalam sos dan burger. Kisarkan saja serangga dan campur dalam makanan bagi membolehkan sajian menjadi lebih sedap,” katanya.

Beliau berkata, serangga secara biologinya boleh dianggap seperti kerang-kerangan dan serangga yang berterbangan ini ibarat ‘udang kara dari langit.’ “Sumber protein sedia ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan penduduk dunia yang semakin berkembang. Harga daging tetap akan melambung tinggi. Justeru, EU mesti memikirkan sesuatu dan melabur dalam keselamatan makanan termasuk menjadi alternatif seperti penternakan serangga ini.”

Namun, lain pula pandangan pakar entomologi kanan di Muzium Sejarah Semulajadi United Kingdom, Stuart Hine. Baginya, serangga masih tidak boleh menyelesaikan semua masalah kerana ia lebih mahal kerana kos gudang selain penyakit serangga boleh merebak dengan cepat.

“Ya, serangga hebat tetapi ia bukan penyelesaian muktamad bagi memenuhi keperluan makanan dunia,” katanya yang turut mengingatkan penggemar serangga supaya memasak serangga daripada makan mentah kerana lebih selamat.

Dipercayai ada enam juta spesis serangga yang wujud di bumi dan kira-kira 1,000 hingga 1,600 yang boleh dimakan dan berpotensi untuk dijadikan makanan. Namun, jangan mudah mengutip semut atau kumbang di taman dan terus memakannya kerana tidak semua serangga selamat untuk dimakan kerana awas, ia boleh menjadi toksik.

Juadah Serangga Serata Dunia

Ghana

Ketika musim hujan, sejenis anai-anai bersayap digoreng, dipanggang atau dijadikan sebahagian ramuan pembuatan roti.

Afrika Selatan

Serangga dimakan dengan bubur jagung, sesetengah ulat larva dan cengkerik menjadi ramuan dalam pembuatan roti.

Croatia

Sebuah restoran mesra alam, menjadikan cacing tanah sebagai bahan utama dalam menunya. Restoran terletak di wilayah Zadar itu mendakwa cacing itu mengandungi protein yang tinggi dan rendah lemak menjadikan makanan lebih bernutrisi. Antara sajian yang ditawarkan termasuk sup diperkayakan dengan cacing, cacing goreng dan kek keju cacing.

China

Kebanyakan serangga atau makanan eksotik lain digunakan sebagai ubat alternatif yang dikaitkan dengan kesuburan dan tenaga batin. Namun, cengkerik goreng banyak dijual sebagai snek di pasar malam dan gerai kaki lima kerana rasanya seperti udang bakar.

Jepun

Larva lalat akuatik ditumis bersama gula dan kicap manakala belalang dimasak bersama buah pala, dikenali sebagai inago, dijadikan snek koktail kegemaran ramai. Sementara itu, warga tua kawasan tanah tinggi Jepun percaya menikmati keropok tebuan dapat memanjang usia mereka.

Bali, Indonesia

Pepatung direbus di dalam santan dengan halia dan bawang putih sebagai makanan istimewa di Bali.

New Guinea dan Australia

Ulat pokok menjadi hidangan istimewa di New Guinea dan makanan kegemaran orang asli Australia.

Amerika Selatan

Masyarakat India di Amerika Latin menggemari riang-riang dan labah-labah Tarantula panggang manakala semut menjadi bahan untuk makanan tradisional mereka. Satu lagi makanan kegemaran ramai adalah cacing AGAVE dimakan bersama roti tortilla dan di Mexico ia diletakkan dalam minuman keras.

Britain

Sebuah restoran terkemuka Selfridges, Fortnum & Mason menyajikan serangga seperti lebah, cengkerik dan kumbang kini sebagai makanan ringan. Malah selebriti Heston Blumenthal menjadikan serangga sebagai bahan dalam masakan gaya Victoria.

New Zealand

Masyarakat orang asli Maori makan ulat larva yang dipanggang atau digoreng dan rasanya dikatakan menyamai ayam masak bersama keju.

Amerika Syarikat

Sebuah restoran di Bristol dikenali sebagai Zulu Restoran menjadikan cengkerik dan lebah sebagai menu untuk kudapan. ada satu persatuan dikenali sebagai Bay Area Bug Eating Society, (BABES) yang mempromosikan makanan berasaskan serangga. Selain menggalakkan orang ramai makan serangga, persatuan ini menyediakan pelbagai resipi juadah yang berasaskan serangga seperti sandwich riang-riang, sup anak lebah dan spaghetti bersama ulat. Persatauan ini turut menerbitkan buku dan VCD cara meamsak serangga.

Vietnam, Kemboja dan Thailand

Belalang, labah-labah Tarantula, cengkerik, lipas dan kala jengking, menu biasa boleh dijumpa di kaki lima. Biasanya serangga itu digoreng sama ada dengan tepung, goreng cili, masak halia, disira dengan gula, cili atau madu. Menjadi kudapan dan makanan ringan yang boleh diperoleh setiap hari.

Menara Kubur

SMAHADZIR

TANAH perkuburan Islam, Hindu dan Kristian di satu tempat? Ia mungkin tidak terjangkau dengan akal fikiran tetapi dengan wujudnya Menara Moksha di tengah bandar raya Mumbai, India, membuktikan apa saja boleh dibuat atas nama ‘keperluan semasa’ biarpun pasti mengundang kontroversi. Lebih pelik, kawasan perkuburan yang lazimnya dibina secara melebar, sebaliknya menjadi menegak atau vertikal menerusi idea pembinaan konsep Menara Moksha ini.

Biarpun diulit kontroversi, rancangan mewujudkan Menara Moksha yang turut digelar Pusara Menegak ini dibuat atas alasan masalah kesesakan penduduk yang amat ketara di bandar raya itu yang menyebabkan tiada lagi ruang untuk yang hidup, apatah lagi yang sudah mati.

Pencakar langit Mumbai papar konsep pusara menegak, pelbagai agama bawah satu bumbung

Jika dilihat, projek itu bukanlah yang pertama di dunia kerana bangunan setinggi 13 tingkat di atas bukit di Santos, Brazil, sudah pun mempunyai penghuni kakunya manakala seorang arkitek Korea Selatan turut melontarkan idea sama bagi mengatasi masalah kekurangan tanah perkuburan berikutan harga tanah yang tinggi di kawasan bandar utama.

Bagi kebanyakan kita, idea pembangunan seperti Menara Moksha itu mungkin tidak masuk akal, tetapi disifatkan praktikal bagi perancangnya. Alasannya - masalah kesesakan penduduk dan kekurangan tanah memaksa kerajaan India perlu memikirkan strategi bagi mengatasi masalah kronik kekurangan kawasan tanah perkuburan. Mumbai, kota kewangan India adalah yang terpadat di negara itu dengan jumlah penduduknya mencecah 20.5 juta orang. Malah, Mumbai atau sebelum ini dikenali sebagai Bombay, turut tersenarai 10 bandar raya paling padat di dunia.

Semakin padat penduduk, kian ramai pula yang meninggal dunia. Tidak hairanlah, idea mewujudkan Menara Maut ini menarik perhatian ramai walaupun pembinaannya belum dapat dipastikan kerana ia membabitkan banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan. Namun idea serta konsep kubur mega itu sudah mendapat perhatian ramai. Apatah lagi projek Menara Moksha itu dikemukakan pihak Council on Tall Buildings and Urban Habitat - satu pertubuhan antarabangsa berpejabat di Amerika Syarikat yang juga pihak berkuasa bagi pembangunan bangunan tinggi, termasuk mengeluarkan senarai bangunan tertinggi dunia.

Biarpun mengetengahkan konsep kubur metropolitan, ia tidak meminggirkan kaedah pengebumian tradisi empat agama utama di Mumbai iaitu Islam, Hindu, Buddha dan Parsi. Secara statistik, penganut Hindu paling ramai di sini iaitu 67 peratus, Islam (18 peratus), Buddha (5.2 peratus) dan Kristian (4.2 peratus).

Bagi mereka yang beragama Islam, tingkat bawah diperuntukkan berikutan syarat bahawa jenazah dikebumikan. Bagi penganut Hindu dan Kristian di tingkat atas berikutan pengurusan mayat mereka secara dibakar. Penganut Parsi yang membiarkan mayat untuk dijamah burung nasar, ditempatkan di bumbung. Tidak ketinggalan ruang ibadat, meditasi dan tempat letak kereta, turut disediakan.

Konsep Menara Moksha dibangunkan sebagai tema mesra alam dengan perekanya, Yalin Fu dan Ihsuan Lin memastikan terdapat ruang hijau yang mencukupi merangkumi ketinggian menara itu. Selain kehijauan di seluruh bangunan, rekaannya juga dilengkapi dengan tumbuhan-tumbuhan, lapisan pelbagai mengandungi lapisan luar, tumbuhan, material tenunan dan bingkai besi yang melapik bangunan berkenaan, berfungsi sebagai menyerap haba dan pencemaran. Ia juga mensasarkan untuk mengguna pakai teknologi baru yang mengelakkan pembakaran terbuka dalam usaha mengurangkan pencemaran yang semakin meruncing di bandar raya berkenaan.

Menara berkenaan digambarkan sebagai menegak untuk menguruskan mayat yang menyediakan tempat untuk tempoh waktu lima hingga 10 tahun bagi memastikan kemampuan bangunan berkenaan digunakan untuk tempoh panjang. Walau apapun, perancangan meletakkan tanah perkuburan pelbagai penganut agama mungkin relevan pada sesetengah pihak tetapi masih ada baik buruknya di sisi agama itu sendiri. Mungkin bagi sesetengah golongan, ia melambangkan perpaduan dan keharmonian pelbagai kepercayaan tetapi agama sendiri sudah pun menetapkan sempadan sejauh mana untuk kita saling bercampur.

Apa yang pasti menempatkan mayat pelbagai agama di satu tempat walaupun terasing dengan lingkungan tembok dan sebagainya bukanlah sesuatu yang boleh dikaitkan sebagai konsep toleransi bagi satu-satu pegangan. Buat masa ini, konsep pembinaan Menara Moksha tinggal di atas kertas, tetapi tidak mustahil ideanya pasti diangkat mereka yang beranggapan ia penyelesaian masalah kekurangan tanah perkuburan di kota metroplitan.

Kubur Langit Di Tibet

SELAIN mengebumikan dan membakar mayat, terdapat pelbagai lagi kaedah lain digunakan untuk menghantar si mati ke alam satu lagi sama ada mengikut ajaran agama atau sekadar meneruskan tradisi. Antara kaedah unik yang diamalkan termasuk apa yang dikenali sebagai Sky Burial atau pusara langit di Tibet. Amalan yang sudah dilakukan sejak beribu tahun itu membabitkan upacara yang dilakukan golongan tertentu Tibet. Mayat dipotong dan dibiarkan di kawasan pengebumian untuk santapan burung nasar, yang dipuja penduduk tempatan sebagai haiwan suci. Ada lebih 1,100 kawasan Sky Burial dan yang terbesar terletak di Perkuburan Drigung Til yang menerima secara purata 10 mayat sehari.

Sementara di Australia, kawasan perkuburan di Victoria memulakan cara inovatif mengebumikan mayat dengan kaedah mesra alam dan mahal, alternatif kepada kaedah pembakaran. Terdapat cuma bilik berdiri untuk sesiapa yang memilih untuk dikebumikan di kawasan perkuburan unik itu. Mayat diletakkan dalam beg khas berbanding keranda dan dikebumikan secara menegak di tanah yang pernah digunakan sebagai padang ragut. Menurut pengendali upacara pengebumian pelik itu, kaedah itu tidak menjejaskan alam sekitar.

Di Korea Selatan pula, pembakaran sebagai alternatif kepada pengebumian semakin popular. Menurut akhbar JoongAng Daily, undang-undang lama di Korea mengenai kaedah pengebumian dipinda pada tahun 2001, mengehadkan tempoh 60 tahun untuk dikebumi, dan selepas itu mayat dibakar.

Di Sweden, sebuah syarikat memperkenalkan teknik Promession yang menyaksikan mayat tidak diawet tetapi disejukkan sehingga di bawah paras -64 darjah Fahrenheit dengan peti sejuk biasa dan terus dibekukan sehingga -385 darjah Fahrenheit dengan meletakkan ia dalam cecair nitrogen. Mayat beku menjalani proses yang menyaksikannya menjadi serbuk organik yang bersih dan tidak berbau, yang kemudian dimasukkan ke dalam ruang sedutan yang menyedut semua cecair dalam mayat itu.

Masjid Chao Phraya

SMAHADZIR

DI BUMI Bangkok yang majoriti rakyatnya penganut Buddha, tersergam sebuah rumah Allah berstatus masjid diraja, pengiktirafan tertinggi dianugerahkan pemerintah negara. Berdiri megah Masjid Ansari Sunnah dan tidak jauh dari situ, ada pula Masjid Ton Son yang juga masjid tertua di pusat kota.

Sungai Chao Phraya di Thailand ada pelbagai tarikan, sesuai dengan maknanya sebagai ‘Sungai Raja-Raja’. Ia menjalar sepanjang 370 kilometer, lebarnya pula 150 meter lebar dan kedalaman mencecah 15 meter, bermula dari Nakhon Sawan dan melingkari empat sungai iaitu Ping, Wang, Yom dan Nan. Pengunjung pasti tertawan dengan kepelbagaian pemandangan meliputi struktur dan warna warni bangunan termasuk masjid, kuil, gereja, hotel dan kediaman penduduk di tepian sungai itu.

Masjid Ansari Sunnah, Ton Son khazanah Islam Bangkok

Dari Nakhon Sawan hingga ke laut, Chao Phraya juga melintasi tiga ibu kota lama iaitu Ayutthaya (1351 hingga 1767), Thonburi (1767 hingga 1782) dan Bangkok (1782 hingga sekarang). Ramai daripada kita mungkin tidak sedar bahawa ada kira-kira 3,500 masjid di Thailand, hampir 180 daripadanya ada di kota Bangkok. Kebanyakan warga Muslim Thailand, majoritinya tinggal di selatan Thai, berketurunan Melayu dan mempunyai banyak persamaan budaya dengan orang Melayu di Malaysia.

Bagi penulis dan 13 lagi penggiat budaya yang dijemput melawat Thailand, baru-baru ini, rasa sungguh teruja dapat mengunjungi Masjid Ansari Sunnah di tepian Chao Phraya. Apa yang menarik ialah masjid ini satu-satunya ‘masjid diraja’ di Bangkok, berusia 103 tahun. Imam masjid, Abdullah Karimi yang pernah tinggal seketika di Pulau Pinang, memberitahu: “Masjid ini musnah ketika Perang Dunia Kedua sebelum dibina semula pada 1968. Ia diberi status diraja oleh Raja Rama Kelima. Pentadbir masjid juga membentuk persatuan, mengendalikan sekolah dan mewujudkan yayasan untuk menguruskan soal zakat serta menyelesaikan isu termasuk agihan tanah jemaah,” katanya.

Salah sebuah masjid yang terdapat di tepian Menam Chao Praya

Suasana agak nyaman dengan angin sepoi bahasa di luar masjid yang boleh menempatkan sekurang-kurangnya 300 jemaah itu. Ia terletak bertentangan Hospital Sirirat di seberang tebing. Pelawat yang mahu mengunjungi masjid ini atau tarikan lain di sepanjang Chao Phraya boleh menggunakan bot pelbagai saiz. Ada kira-kira 1,000 bot dan feri yang boleh disewa pada harga 600 hingga 800 baht (RM60 hingga RM80) sejam.

Selepas bersalam-salaman dengan Abdullah dan pegawai masjid lain, saya dan rakan menapak kira-kira 10 minit ke satu lagi masjid tidak jauh dari situ, iaitu Masjid Ton Son atau Tonsoon, masjid tertua di Bangkok yang terletak di Jalan Wang Doem. Tiada tarikh rasmi bila rumah suci ini dibina tetapi Masjid Ton Son yang asalnya dipanggil Kudai Yai dianggap didirikan pada zaman pemerintahan berpusat di Ayutthaya dari 1610 hingga 1628. Kawasan tanah perkuburannya pula adalah tempat bersemadi pemimpin Islam paling berpengaruh di Thailand.

Ketika era Raja Rama II pada 1954, warga Muslim sekitar mengubah suai masjid ini bagi memulihkan corak arkitek asal daripada batu bata. Ketika kami sampai di sini, saya dapat lihat masjid itu sekali lagi dalam proses pengubahsuaian. Imamnya, Datuk Fauzan Faisal atau nama rasmi, Dato Imam Patana Langputeh yang juga dua pupu Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra, berkata pengubahsuaian terbaru itu dilaksanakan dengan dana sumbangan orang ramai.

“Masjid ini membuktikan eratnya hubungan orang Islam dengan penduduk Thai lain termasuk dengan raja. Di sini ada tinggalan sejarah Buddha dan Kristian. Kami di sini berbangga kerana raja juga memberi sokongan kuat kepada kegiatan kemasyarakatan di kalangan jemaah termasuk dari segi pendidikan yang membolehkan orang Islam selesa dengan kehidupan sebagai warga Thai beridentiti Muslim,” katanya.

Antara kegiatan masjid itu termasuk menghantar qari untuk tilawah Al-Quran di luar negara. Selain itu, antara perkara yang mungkin tidak diketahui ramai ialah ada dalam kalangan anggota keluarga diraja Thailand yang beragama Islam. Perkara itu adalah antara faktor yang membantu mengeratkan hubungan di antara umat Islam di Thailand dengan warga beragama lain.

Selain dua masjid berkenaan, tarikan lain bagi pelawat yang menyusuri Chao Phraya ialah Wat Dawn atau Kuil Arun Ratchawararam yang juga struktur pagoda diperbuat daripada seramik dengan pelbagai hiasan bunga dan patung dongeng tempatan. Binaan kuil ini pada era Ayutthaya dan juga kuil diraja bagi Raja Rama II. Di pintu masuk, pelawat akan disambut dua patung ‘syaitan’, Sahasadecha dan Ravana. Mereka yang berminat boleh mendaki kuil ke ke puncaknya. Apa yang menarik ialah komen seorang rakan yang menyedari banyak ikan dengan saiznya yang besar berenang dekat pelantar bot yang berlabuh.

“Seronok kalau dapat memancing di sini,” katanya, namun hasrat itu pasti tidak akan kesampaian kerana mengikut seorang pegawai tempatan yang mengiringi kami, tiada siapa memancing di situ yang dianggap tempat suci disebabkan kedudukannya berdekatan dengan kuil dan itu juga punca ikan di kawasan terbabit begitu banyak.

Kuil lain di sepanjang Chao Phraya termasuk Kanlayanamit, Wat Phra Kaeo, Wat Rakhang dan Wat Arun serta Istana Besar Diraja manakala gereja yang boleh dilihat termasuk Gereja Calvary atau Holy Rosary dan Gereja Santa Cruz. Tidak jauh dari Wat Dawn ialah Muzium Kebangsaan Perahu Diraja Thailand yang menempatkan beberapa perahu diraja termasuk Supannahong, Anantanakaraj dan Narai Songsubun. Perahu diraja biasanya digunakan untuk majlis rasmi sejak era pemerintahan Sukhothai pada abad ke-12.

Pada masa lalu, raja era Ayutthaya akan menggunakan perahu itu untuk memberi sumbangan kepada sami pada penghujung musim hujan dan sekali dalam setahun untuk ke Wilayah Saraburi bagi memperingati sejarah Buddha. Muzium ini terjaga atas inisiatif Raja Rama I, raja pertama dari Dinasti Chakri yang mula memerintah pada 1782 dan memutuskan untuk memulihkan semula tinggalan tradisi kebangsaan termasuk seni dan kraftangan.

Mabuhay Manila

SMAHADZIR

PENGUNJUNG ibu negara Filipina ini tidak hanya disambut bunyi hon pengangkutan awam popularnya - jeepney, tetapi tarikan monumen bersejarah serta lokasi pelancongan mewah Roxas Boulevard, Manila Bay, Jalan Mabini dan Plaza Manila. Namun ada syurga beli-belah wajib dikunjungi iaitu Quiapo yang dipenuhi deretan ratusan gerai hasil kraftangan, terutama berasaskan cangkerang siput di bawah jejambat lebuh raya.

Mabuhay atau selamat datang - ucapan yang sinonim dan sentiasa melekat di mulut rakyat Filipina apabila menyambut ketibaan tetamu atau bertemu orang baru dikenali - ramah dan mesra. Kemesraan itu dirasai penulis apabila berada di Manila, ibu negara Filipina yang boleh dikelaskan antara kota metropolitan yang sibuk, padat dan sesak di rantau ini. Sikap ramah penduduk adalah antara ciri kota ini selain kesesakan lalu lintas, jenayah domestik, pencemaran, kemiskinan, gelandangan dan peniaga kecil di simpang jalan yang mewarnai kanvas kehidupan warganya.

Pengangkutan di Manila yang tersohor di kalangan pelancong

Menyusur hiruk pikuk kota Manila agak merimaskan pada mulanya. Apa tidaknya, lalu lintas ala Amerika Syarikat (AS) dengan pemanduan di sebelah kiri, agak memeningkan. Bagi yang teringin memandu tetapi tidak biasa dengan sistem pemanduan di sini, perlulah mahir kerana jalannya sentiasa dibanjiri kenderaan pelbagai guna (MPV), terutama jenama Korea dan Jepun. Jika sekadar penumpang atau menggunakan pengangkutan awam, nikmati saja keletah masyarakatnya atau pemandangan bandar yang dipenuhi monumen sejarah tinggalan penjajah.

Sistem pengangkutan di Manila juga unik kerana jalan raya dipenuhi ‘jeepney,’ bekas trak kegunaan tentera AS yang diubah suai, dibaik pulih dan dihias menjadi pengangkutan awam paling popular di sini. Penumpang masuk dan keluar mengikut pintu belakang kenderaan ini yang boleh memuatkan sehingga 20 orang. Konsepnya sama seperti Angkutan Kota di bandar utama Indonesia. Kelebihan jeepney ialah tambangnya yang murah sekitar 30 peso atau RM2.40 sekali perjalanan selain penampilannya yang berwarna warni dan dilapisi besi aluminium yang menonjolkan sifat garang dan ganasnya di atas jalan.

Majestic Manila

Berada di Manila, tidak sah jika tidak ke lokasi pelancongan mewah Roxas Boulevard, Manila Bay, Jalan Mabini dan Plaza Manila. Di sinilah `syurga dunia’, sama ada membeli-belah, ‘mencuci mata,’ memanjakan diri dengan diurut atau sekadar bersantai melapangkan minda. Roxas Boulevard terletak berhampiran barisan hotel bertaraf satu hingga lima bintang, hanya mengambil masa sekitar 15 hingga 30 minit dari pusat bandar jika menggunakan pengangkutan awam khasnya teksi dan jeepney.

Manila Bay pula tempat nyaman untuk menghabiskan masa petang. Laluan pejalan kaki dipenuhi orang berjoging, bermain kasut roda atau sekadar duduk bersantai di atas tembok sambil menikmati pemandangan teluk, menyaksikan matahari terbenam.

Manila Chinatown

Mungkin kisah ibu negara Filipina sudah banyak diceritakan sebelum ini, namun penulis pasti tidak ramai yang tahu mengenai Quiapo, pinggir bandar Manila yang dikatakan pusat utama komuniti Islam di kota ini. Di sini juga terletaknya pusat beli-belah Plaza Miranda dan Jalan Hidalgo, iaitu syurga jualan kelengkapan dan alat fotografi. Apa yang menarik di Quiapo ialah kewujudan ratusan gerai menjual hasil kraftangan, terutama berasaskan cangkerang siput di bawah jejambat lebuh raya atau dalam bahasa tempatan dipanggil ‘sa ilalim ng tulay’.

Namun, kedudukan barisan gerai terbabit yang terletak berhampiran pasar basah dan `tempat tinggal’ golongan gelandangan, mencipta persekitaran yang tidak begitu menyenangkan, berbau busuk, kotor dan hanyir, tetapi di sinilah tempatnya jika anda mahu membeli cenderahati pada harga murah. Pelbagai produk dihasilkan dan dijual di sini, antaranya jam dinding, lampu bilik tidur, set kelengkapan meja makan seperti alas pinggan dan gelas, lampu siling, rantai dan mutiara, kapal mini dalam botol, rantai kunci, langsir pintu dan bermacam lagi. Rata-rata peniaga di sini menjual produk yang sama, namun harganya berbeza antara satu gerai dengan gerai lain. Terserah kepada pembeli untuk tawar menawar bagi mendapatkan harga terbaik. Perlu diingat, harga pembukaan yang ditawarkan kepada pelancong asing selalunya lebih tinggi.

Di sini, peniaganya begitu ramah dan apa yang membuat penulis tertarik ialah apa mendengar mereka menuturkan perkataan `murah’ untuk menarik perhatian pelanggan. Sebenarnya, `murah’ adalah sebahagian daripada bahasa Tagalog yang sama maksudnya dengan murah di negara kita.

Bagi pengunjung Islam, tidak perlu gusar mencari makanan halal kerana ada restoran Muslim di kawasan perkampungan Islam atau Muslim Town yang turut menempatkan Masjid Hijau, namun agak malang kerana komuniti Islam di sini tidak begitu ramah dengan pelancong asing, mungkin kerana tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik.

Penulis dimaklumkan oleh peniaga setempat bahawa kanak-kanak Islam di situ tidak dihantar belajar ke sekolah kerajaan yang didakwa mereka menerapkan ajaran Kristian dan dibimbangi merosakkan akidah.

Satu lagi tarikan Quiapo ialah kebanjiran perisian komputer, CD, VCD dan DVD cetak rompak pelbagai hasil karya muzik dan filem, termasuk juga filem ‘dewasa’. Jika ke sini, pasti rambang mata membuat pilihan, tambahan pula harga sekeping produk itu hanya sekitar 15 peso atau RM1.20.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

ASMAUL HUSNA