Sabtu, 17 Februari 2024

KE DIAMOND BEACH

 

Selepas makan tengah hari di Nusa Penida, kami terus ke Pantai Permata atau Diamond Beach. Pantai Permata ini adalah objek wisata bahari yang terletak di Kampung Pejukutan, Kecamatan Nusa Penida, Kabupaten Klungkung. Menurut Mas Arif, pantai ini dinamakan Diamond Beach kerana di sini terdapat tebing-tebing batu karst yang mengelilingi sekitar pantai. Tebing batu karst yang runcing tersebut kelihatan seperti hamparan permata, lebih-lebih lagi jika terkena pancaran sinar matahari, tebing-tebing itu bersinar dan menyilaukan bak permata. Oleh kerana itu pantai ini dinamakan Diamond Beach atau Pantai Permata.

Ada banyak kegiatan menarik yang boleh dilakukan oleh para pelancong ketika mengunjungi pantai ini. Pengunjung boleh menikmati suasana Diamond Beach sambil melihat keindahan alam di sana. Selain itu, pelancong tentu juga boleh bergambar ria di Diamond Beach kerana di pantai ini terdapat spot-spot foto yang amat menarik. Lebih-lebih lagi, perpaduan antaran warna lautan, pasir, dan tebing akan menambah kesan yang sangat bagus.

Diamond Beach Nusa Penida dapat diakses buat pertama kalinya sejak akhir 2018, ketika jalan setapak yang menuju ke bawah diukir dan dibentuk agar para pelancong boleh menuju ke bawah di sisi tebing. Di mana sebelumnya para pelancong hanya boleh menikmati keindahan pantai dari atas saja sebelum akses jalan dibina. Walaupun jalanan masih setapak dengan pagar keselamatan tetapi kita dapat sampai ke dasarnya dengan selamat jika kita berjalan dengan berhati-hati. Di bahagian bawah Diamond Beach Nusa Penida ada hamparan pasir putih yang sempurna, dan airnya berwarna pirus cerah sehingga hampir kelihatan seperti ‘listerine’. Tetapi batu besar berbentuk berlian adalah ikon yang benar-benar membezakan pantai ini dan menjadikannya salah sebuah pantai paling luar biasa di dunia, menurut pengamatan saya.

Seperti pantai-pantai pada umumnya, terdapat daya tarik Diamond Beach yang membuatkan saya dan para para pelancong yang lain betah berada lama-lama di sini. Beberapa perkara yang sangat memikat hati saya ialah pantai ini masih terasa sangat semulajadi dengan warna air lautnya yang biru dan indah.  Terletak pada deretan pantai-pantai lainnya dan harus dikunjungi sewaktu kita datang bercuti ke Nusa Penida.

Daya tarik kedua adalah pasir pantainya sangat putih dan bersih membuatkan para pengunjung semakin betah. Kita boleh bermain pasir di pantai ini bersama keluarga dan anak-anak sehingga suasana akan terasa sangat menyenangkan. Menariknya, pantai ini dikelilingi oleh tebing batu karst. Batu karst adalah bentuk permukaan bumi yang ‘closed depression’ atau depresi tertutup, ‘drainase’ permukaan, serta gua. Untuk pantai yang dikelilingi dengan tebing batu karst ini akan terasa sangat semulajadi.

Tebing batu karst tersebut menjulang tinggi bahkan boleh dijadikan sebagai ‘spot foto’ yang sangat baik. Akan tetapi, kerana bebatuan tersebut cukup terjal dan curam maka untuk melakukan aktiviti tersebut harus penuh waspada dan mengutamakan keselamatan. Selain pemandangan tebing batu karst, ternyata masih ada ‘spot foto’ yang amat memukau iaitu pemandangan bukit hijau yang jika dipadukan dengan tebing batu karst, laut, serta awan dan langit akan membuat hasil gambar semakin menakjubkan. Lebih-lebih lagi jika kita mengambil gambar dari arah atas menggunakan ‘drone’ maka seluruhnya akan kelihatan sangat sempurna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan