SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM
PERUBAHAN iklim, sebagai suatu fenomena alam, muncul menjadi persoalan yang serius ketika cuaca bumi berubah sedemikian cepat seiring dengan meningkatnya intensiti aktiviti manusia. Pertumbuhan penduduk dunia yang mendorong peningkatan berbagai aktiviti konsumsi dan penghasilan tenaga untuk pembangunan ekonomi telah mempengaruhi kapasiti bumi untuk menyesuaikan dan memenuhi segala keperluan tersebut. Revolusi Industri di Eropah misalnya, yang menyebabkan meningkatnya intensiti pembakaran kayu, arang batu, minyak dan gas, telah mengakibatkan peningkatan konsentrasi karbondioksida di atmosfera. Akibatnya permukaan bumi menjadi semakin panas dan suhu meningkat tinggi. Dalam laporan State of World Population 2009 oleh United Nations Population Fund (UNFPA), perubahan iklim akibat berbagai aktiviti ekonomi tersebut akan menyebabkan suhu bumi dijangkakan terus meningkat hingga 6.4 darjah pada tahun 2100 dari hanya sebesar 0.74 darjah di akhir tahun 1800-an.
Perubahan iklim akibat kenaikan suhu bumi tersebut pada akhirnya akan
menimbulkan kesan rumah kaca (green-house effect) dan pemanasan global (global
warming) di berbagai wilayah dan mengancam kelangsungan hidup manusia. Oleh
kerana itu, perubahan iklim menjadi suatu isu global yang signifikan dalam
beberapa perkara. Pertama, kenaikan permukaan air laut akibat pemanasan global
akan mengancam kelangsungan hidup komuniti masyarakat pesisir pantai dan
masyarakat yang tinggal di pulau-pulau kecil.
Selain itu, perubahan iklim akan meningkatkan potensi dan intensiti
terjadinya bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, kemarau dan banjir besar
di berbagai wilayah. Negara-negara di wilayah Asia Selatan dan gurun Sahara
misalnya, merupakan daerah yang paling menderita akibat dari pemanasan global,
kendati daerah tersebut sebelumnya terkenal dengan tingginya angka kemiskinan
dan kelaparan.
Perubahan iklim juga menjadi signifikan kerana memiliki dampak kesihatan
dan sosial bagi masyarakat luas. Berbagai bencana alam yang terjadi tidak hanya
menyebabkan kematian, tetapi juga meningkatkan potensi penyebaran berbagai
penyakit bagi masyarakat sekitar. Diare, malaria dan kolera adalah jenis-jenis
penyakit yang sering menyerang negara-negara yang terkena bencana alam akibat
kenaikan air laut dan curahan hujan. Hal ini disebabkan dalam keadaan bencana,
masyarakat sukar untuk mendapatkan air bersih dan fasiliti sanitasi serta
kesihatan yang memadai. Dampak kesihatan ini kemudian berkait erat dengan munculnya
berbagai masalah sosial.
Menurut The Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), dampak
sosial tersebut bervariasi bergantung kepada faktor usia, kelas sosial ekonomi,
pekerjaan dan gender. Dengan kata lain, perubahan iklim tidak hanya mengancam
jiwa dan menyebabkan kematian, tetapi juga memperluaskan dispariti antara
golongan kaya dan miskin, menyebabkan perpindahan penduduk dan mempengaruhi
pola relasi lelaki dan perempuan yang menyebabkan ketidaksetaraan gender.
Perempuan sebagai kelompok masyarakat yang rentan, seringkali menjadi korban
terbanyak dalam berbagai bencana besar, seperti tsunami Aceh, ribut di Honduras
dan katrina di Amerika Syarikat.
Tidak Hanya Mengancam Jiwa
Tidak dapat dinafikan bahawa salah satu keadaan yang mempengaruhi gaya hidup, budaya, perangai, makanan, sikap, cara berfikir, cara bertindak, tahap kesihatan, ekonomi, politik dan lain-lain lagi adalah iklim. Bagaimanakah keadaan iklim sangat mempengaruhi kehidupan manusia? Pengaruh yang mudah dilihat ialah cara berpakaian. Di negara-negara yang berbeza iklim kita dapati manusianya juga memakai pakaian yang berbeza. Di negara yang beriklim panas, kebanyakan manusianya berpakaian nipis dan longgar. Sementara di negara yang beriklim sejuk, kebanyakan manusianya berpakaian tebal dan ketat.
Begitu juga dalam
aspek budaya dan gaya hidup. Manusia yang tinggal di negara sejuk akan
berkurung di dalam rumah di samping pendiang menunggu musim sejuk berakhir
manakala manusia di negara yang beriklim panas akan bersantai di luar rumah
sambil membiarkan diri disimbahi cahaya matahari atau melakukan pelbagai
aktiviti supaya badan berpeluh.
Cuba kita
bayangkan... adakah mudah untuk mendapatkan bekalan air di tengah-tengah padang
pasir? Bayangkan seorang perantau yang merentasi padang pasir yang hanya
berbekalkan sebotol air mineral, adakah perjalanan ia akan menjadi mudah?
Bukankah jika kehabisan air boleh menyebabkan perantau padang pasir menghadapi
risiko maut? Bagaimana pula di negara kita Malaysia, adakah kita risau jikalau
hanya membawa sebotol air mineral ketika bermusafir? Andai tiada sebotol air
pun di dalam kenderaan, kita langsung tidak pernah risau dan berasa tertekan.
Ini adalah kerana di Malaysia tidak terlalu sukar untuk mendapatkan bekalan
air. Tidak pernah kita mendengar orang mati kehausan di Malaysia ketika
bermusafir dan kekurangan air. Ini juga merupakan satu contoh yang mudah untuk
memahami bagaimana iklim mempengaruhi gaya hidup makhluk yang bernama manusia.
Begitu juga dalam
aspek kesihatan. Dijelaskan oleh HL Blum (1974) dalam Planning For
Health, Development And Application Of Social Change Theory, bahawa faktor
perubahan iklim secara langsung dan tidak langsung akan memberikan kesan yang
besar kepada kesihatan masyarakat. Hubungan antara perubahan iklim dengan
kesihatan manusia sangatlah kompleks. Kesan secara langsung dan sering ditemui
antara lain ialah penyakit atau kematian yang berhubungan dengan suhu yang ekstrem
dan kesan pencemaran udara oleh spora dan kulat.
Sementara itu kesan
secara tidak langsung yang terjadi adalah penyebaran penyakit yang ditularkan
melalui udara (air borne disease), penyakit yang ditularkan melalui
vektor serangga dan rodent (vector borne disease), penyakit yang
ditularkan melalui air dan makanan (food and water borne disease), atau
penyakit kerana kekurangan air dan makanan.
Perubahan iklim
yang menyebabkan berlakunya bencana alam seperti banjir, ribut, angin puting
beliung, kemarau, kebakaran hutan dan sebagainya, juga boleh mempengaruhi gaya
hidup kita dan komuniti sekitar. Jika sebelum bencana alam berlaku, kehidupan
tentulah harmoni, bahagia dan riang gembira tetapi selepas dilanda bencana
alam, kehidupan tentulah berubah kepada duka dan nestapa. Banyak harta benda,
hasil tanaman dan ternakan akan musnah. Kehidupan juga akan menjadi bertambah
sukar dan menyesakkan.
Bencana-bencana alam
ini juga memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental masyarakat. Sebagai
contohnya, banjir boleh menyebabkan peningkatan kejadian penyakit perut kerana
kesannya kepada sumber air dan penyediaan air bersih, dan penyakit ditularkan
oleh nyamuk seperti malaria, demam denggi berdarah, chikungunya, malaria,
diare, demam tifoid dan pelbagai penyakit lain yang ditularkan melalui haiwan
pengerat seperti leptospirosis.
Perubahan iklim
juga menyebabkan manusia berusaha untuk menyesuaikan diri dengan keadaan untuk
meneruskan kehidupan. Contohnya perubahan cuaca di iklim empat musim yang
berubah daripada musim panas ke musim sejuk. Musim sejuk kebiasaannya akan
membawa masalah bekalan makanan. Jadi sudah menjadi kebiasaan setiap tahun bagi
manusia yang duduk di iklim ini sentiasa bersedia untuk menyimpan makanan bagi
persediaan musim sejuk. Andai mereka lalai, akibatnya mereka akan kelaparan
pada musim sejuk.
Di padang pasir
pula, apabila sudah menjadi persepsi asas bahawa air sukar diperolehi, maka
orang akan sentiasa bersedia dengan bekalan air. Andai putus bekalan air dalam
bermusafir, ia mungkin boleh menyebabkan maut. Orang yang tinggal di tundra pula
sentiasa mempastikan mereka mempunyai pakaian yang sesuai dengan kesejukan.
Jika hilang pakaian tebal, maka mereka akan menghadapi risiko kesejukan yang
boleh menyebabkan kematian.
Tidak kurang juga
mereka yang tinggal di negara beriklim ini sering menghadapi bencana alam.
Tidakkah anda melihat mereka tiada pilihan melainkan mencari jalan bagaimana
membuat petempatan yang bersesuaian untuk menghadapi bencana-bencana alam seperti
ini?
Apabila kita memiliki
terlalu banyak pilihan, manusia biasanya banyak menghabiskan masa berfikir
untuk memilih. Berbeza dengan mereka yang tiada pilihan, mereka akan
menghabiskan masa dengan bertindak. Inilah yang secara tidak langsung menjadi
latihan semulajadi yang membentuk sikap seseorang mengikut keadaan iklim
masing-masing. Manusia di negara empat musim amat terbuka pemikiran mereka
terhadap idea kehidupan. Ini adalah kerana idea yang bernas akan memudahkan
kehidupan. Lantaran itu orang Barat kebanyakannya sangat terbuka pemikiran
mereka. Ini adalah kerana pada setiap perubahan musim, mereka perlu melakukan
sesuatu sebagai persediaan.
Bagi negara yang
kerap mengalami bencana alam pula, rakyatnya sentiasa mempunyai inovasi untuk
mencipta sesuatu bagi survival kehidupan. Bagi negara yang sering dilanda gempa
bumi, rekabentuk dan kejuruteraan rumah, bangunan, jalan raya, dan lebuhraya di
negara mereka contohnya adalah berteknologi tinggi.
Kesan Terhadap Pola Gaya Hidup
Sedar atau tidak, setiap hari manusia menghasilkan gas rumah kaca seperti gas karbon monoksida (CO), karbon dioksida (CO2), ozone (O3), metana (CH4) dan gas-gas lain ke dalam udara. Semakin hari, konsentrasi gas rumah kaca tersebut semakin meningkat di atmosfera bumi. Gas rumah kaca ini menghalang pantulan radiasi matahari dari permukaan bumi dan memancarkannya kembali ke bumi. Hasilnya suhu di permukaan bumi akan meningkat.
Sesungguhnya perubahan
iklim memberi kesan yang besar terhadap kehidupan manusia baik yang negatif
mahupun positif. Dengan adanya perubahan iklim ini, pola fikir manusia kepada
alam ikut berubah. Kini manusia semakin lebih mencintai alamnya. Contohnya
kesedaran tidak membuang sampah sesuka hati, banyak program menanam pokok,
program penghijauan halaman rumah, pembinaan taman-taman, dan pelbagai lagi
telah dilaksanakan oleh masyarakat.
Selain itu
perubahan pola gaya hidup manusia juga mulai ditunjukkan. Ketika ini gaya hidup
sihat lebih dipilih, mungkin kerana ekstremmya perubahan cuaca yang pastinya
akan mempengaruhi keadaan kesihatan. Pola hidup berjimat cermat juga menjadi
pilihan berbagai lapisan masyarakat. Perubahan iklim yang ekstrem ini
mengakibatkan manusia harus lebih menjimatkan air, tenaga, bahan bakar bahkan
kewangan sebab perubahan iklim mempengaruhi harga bahan asas.
Banyaknya bencana
yang terjadi akibat perubahan iklim juga telah menyebabkan manusia lebih
berintrospeksi diri dan lebih meningkatkan rasa syukur dan keimanan kepada Pencipta-Nya.
Kesan yang cukup besar dari perubahan iklim ini juga telah membuatkan
negara-negara di seluruh dunia merapatkan lagi barisan dan bersatupadu untuk
mengatasi permasalahan perubahan iklim. Hakikat ini ditunjukkan dengan terbentuknya
UNFCCC atau United Nations Framework Convention on Climate Change (Konvensyen
Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Perubahan Iklim).
Yang paling
menakutkan ialah perubahan iklim juga telah menyebabkan merebaknya pelbagai
penyakit berbahaya kepada manusia. Selain pola cuaca yang tidak menentu,
penyakit disebabkan oleh kualiti lingkungan seperti kualiti air, udara, dan
makanan yang semakin menurun kerana perubahan iklim ini. Yang paling meresahkan
masyarakat ialah peningkatan harga bahan keperluan harian seperti sayur-mayur,
ikan, dan lain-lain lagi.
Akibat perubahan
iklim seperti banjir, kemarau, tanah runtuh, dan sebagainya boleh mengakibatkan
pelbagai aktiviti kehidupan manusia terganggu dan produktiviti juga akan
menurun. Mencairnya ais di kutub juga akan meningkatkan suhu laut yang
kemudiannya akan menyebabkan pemutihan karang. Akibatnya pembiakan beberapa
makhluk laut penghuni karang juga akan terganggu dan tentu saja akan memberi
kesan kepada sektor perikanan.
Mempengaruhi Kesihatan
Perubahan iklim boleh mempengaruhi kesihatan manusia dengan dua cara iaitu secara langsung dan secara tidak langsung. Secara langsung, manusia terkena kesannya seiring dengan perubahan pola cuaca (suhu, curahan hujan, kenaikan air laut, dan peningkatan frekuensi cuaca ekstrem). Kejadian cuaca ekstrem boleh mengancam kesihatan manusia. Sedangkan secara tidak langsung, perubahan iklim mempengaruhi kualiti lingkungan seperti air, udara, dan makanan, penipisan lapisan ozon, penurunan sumber daya air, fungsi ekosistem, dan degradasi lahan. Yang akhirnya faktor-faktor tersebut akan mempengaruhi kesihatan.
Jika terjadi
banjir, pencemaran rumahtangga melebar ke mana-mana dan memberi kesan kepada
kesihatan. Jika kering, pencemaran tersebut, baik kimia mahupun bakteria,
virus, terkonsentrasi ke dalam air yang digunakan, sehingga semakin banyak
penyakit yang menular melalui udara, air, dan makanan.
Perubahan iklim
juga cenderung mengakibatkan bencana. Hal tersebut secara klinikal juga akan
mengakibatkan gangguan kesihatan. Selain itu, bencana-bencana tersebut juga
boleh melumpuhkan kegiatan perekonomian manusia. Bencana yang merosakkan fizikal
bangunan, melumpuhkan sumber daya manusia melalui penyakit, boleh juga
mengancam iklim pelaburan. Hal tersebut boleh mengganggu keadaan sosial dan
ekonomi manusia.
Mempercepatkan Siklus Hidrologi
Kenaikan suhu juga telah mempercepatkan siklus hidrologi. Atmosfera yang lebih hangat akan menyimpan lebih banyak wap air, sehingga menjadi kurang stabil dan menghasilkan lebih banyak presipitasi, terutama dalam bentuk hujan lebat. Panas yang membahang juga akan mempercepatkan proses evaporasi. Kesan dari perubahan-perubahan tersebut dalam siklus air adalah menurunnya kuantiti dan kualiti air bersih di dunia. Sementara itu, pola angin dan kesan ribut juga akan berubah. Intensiti siklon tropika akan semakin meningkat (namun tidak mempengaruhi frekuensi siklon tropika), dengan kecepatan angin maksima yang bertambah dan hujan yang semakin lebat.
Salah satu contoh
akibat perubahan iklim adalah banjir. Banjir adalah bencana yang dahsyat,
merosakkan fizikal bangunan, pelbagai infrastruktur, pelbagai prasarana, pelbagai
organisasi sosial dan kegembiraan manusia. Secara teori, banjir adalah hasil
interaksi dari curahan hujan, runoff permukaan, evaporasi, angin, tinggi
permukaan air laut, dan topografi tempatan. Banjir yang menenggelamkan tempat
tinggal manusia membuatkan manusia terpaksa berpindah. Dalam keadaan darurat
seperti itu, akan timbul pelbagai perasaan seperti resah, gelisah, bimbang,
takut, panik dan sebagainya.
Selain itu, dalam
keadaan darurat manusia tidak lagi memikirkan orang lain. Yang menjadi keutamaan
adalah bagaimana caranya agar diri, keluarga dan hartanya dapat diselamatkan. Sering
manusia menginjak hak orang lain asal keperluan keluarganya boleh dipenuhi,
walaupun hak orang yang diinjak tersebut adalah hak jirannya. Banjir juga mengakibatkan
kesihatan manusia terancam, berbagai penyakit menular dan penyakit mental boleh
berlaku akibat bencana alam ini. Leptospirosis, diare, gangguan saluran
pernafasan, scabies, dan pelbagai lagi penyakit mengancam warga pasca
banjir. Lebih-lebih lagi untuk mereka yang tinggal di tempat perpindahan.
Mengubah Kualiti Lingkungan
Perubahan iklim boleh mengubah kualiti air, udara, makanan; ekologi vektor; ekosistem, pertanian, industri, dan perumahan. Semua aspek tersebut memiliki peranan yang sangat besar dalam menentukan kualiti hidup manusia. Perubahan iklim telah menciptakan suatu rangkaian kausaliti kompleks yang berhujung pada kesan kesihatan. Contohnya, kualiti dan bekalan makanan. Variabel ini sangat dipengaruhi oleh iklim.
Bagaimana
keteraturan iklim telah membuatkan petani tahu bila waktu yang tepat untuk
menabur benih, membaja, dan mengubah tanamannya. Sewaktu iklim berubah, cuaca
juga turut berubah. Kekeringan dan banjir boleh datang bila-bila masa saja.
Mungkin petani masih boleh memanfaatkan air tanah. Akan tetapi, aktiviti
antropogenik manusia telah merubah wajah vegetasi bumi. Kualiti dan kuantiti
air tanah dan permukaan kini juga berada dalam ancaman. Perubahan cuaca,
kelembaban, suhu udara, arah dan kekuatan angin juga mempengaruhi perilaku
hama.
Kesan lainnya
adalah pengaruh perubahan iklim terhadap perilaku vektor penyebab penyakit. Vector
borne disease (VBD) adalah penyakit menular yang ditransmisikan oleh
gigitan infeksi spesies-spesies arthropod seperti nyamuk, lalat, kutu,
kepinding, dan sebagainya. Di timur laut Amerika, ditemui bukti respons genetik
(mikro evolusioner) dari nyamuk spesies Wyeomia smithii untuk
meningkatkan jumlah mereka dan dalam dua dekad ini muncul pada musim semi lebih
awal. Walaupun spesies itu bukan merupakan vektor yang boleh menyebarkan
penyakit kepada manusia, tetapi spesies ini memiliki hubungan yang rapat dengan
spesies vektor arbovirus lainnya yang dimungkinkan mengalami perubahan atau
evolusi genetik juga. Selain itu perubahan peredaran geografi vektor sandfly
dilaporkan terjadi di Eropah selatan. Akan tetapi, belum ada kajian yang
spesifik meneliti kausa perubahan peredaran tersebut.
Virus berasas
vektor lain yang menjadi pusat perhatian seluruh dunia adalah denggi. Beberapa kajian
melaporkan bahawa curahan hujan yang tinggi serta suhu yang hangat boleh
meningkatkan transmisi virus ini. Akan tetapi, diketahui juga bahawa kes boleh
terjadi dalam jumlah yang sama pada musim kemarau asal terdapat cukup bekas
penyimpanan air yang menjadi tempat pembiakan nyamuk.
Kesimpulan
Sesungguhnya perubahan iklim boleh mempengaruhi pelbagai bentuk gaya hidup manusia. Bermula dari wujudnya kesan rumah kaca (green-house effect), pemanasan global (global warming) yang mengancam kelangsungan hidup komuniti masyarakat pesisir pantai dan masyarakat yang tinggal di pulau-pulau kecil; perubahan gaya hidup, perangai, sikap, cara berfikir, bertindak manusia, tahap kesihatan, ekonomi dan politik; meningkatnya potensi dan intensiti terjadinya bencana alam seperti gempa bumi, tsunami, kemarau dan banjir besar; dampak kesihatan dan sosial bagi masyarakat luas; meningkatnya potensi penyebaran berbagai penyakit bagi masyarakat seperti penyebaran penyakit yang ditularkan melalui udara, penyakit yang ditularkan melalui vektor serangga dan rodent, penyakit yang ditularkan melalui air dan makanan, atau penyakit kerana kekurangan air dan makanan; merosakkan fizikal bangunan, pelbagai infrastruktur, pelbagai prasarana, organisasi sosial dan kegembiraan manusia; mengubah kualiti air, udara, makanan; ekologi vektor; ekosistem, pertanian, industri, dan perumahan; memperluaskan dispariti antara golongan kaya dan miskin, menyebabkan perpindahan penduduk dan mempengaruhi pola relasi lelaki dan perempuan yang menyebabkan ketidaksetaraan gender; mempercepatkan siklus hidrologi sehinggalah kepada mengubah pola fikir manusia. Justeru itu manusia harus meningkatkan usaha agar menghindarkan diri dari melakukan aktiviti yang boleh mempercepatkan cuaca bumi berubah yang pada akhirnya akan menimbulkan kesan rumah kaca dan pemanasan global dan mengancam kelangsungan hidup manusia itu sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan