Selasa, 26 Disember 2023

URGHHHH

SMAHADZIR

 

“URGHHHHH!!!!”

Itu yang nyalar terpacul. Tidak diketahui asal usul. Sekonyong-konyong saja Urghhhh wujud di sini, warawiri di sini, terkucil di sini, menggerumuk di sini, di tengah kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur ini, dengan urghhhhhnya yang tidak pernah lekang dari bibir. Tengok LRT - urghhhhh.., tengok KLCC – urghhhh.., dengar MSC - urghhhh.., dengar Stadium Bukit Jalil - urghhhh…

Pendek kata, apa saja tentang kemajuan dan kecanggihan negara yang beribu-kotakan Kuala Lumpur ini menyergap mata dan telinganya, bibirnya akan mencerlus dengan bunyi urghhhhhh…

Itulah sebabnya dia dipanggil Urghhhh. Dia amat membenci kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur. Kebencian itu dilahirkan dalam dengusan urghhhhh yang panjang. Semakin besar bencinya, semakin panjanglah urghhhhhhhhhhnya.

Setiap kali meluahkan urghhhhhhhhnya, diri seakan-akan terpelanting disepak oleh kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur. Itulah Urghhhh.

            Hari ini Urghhhh tidak seperti semalam atau dua hari yang lalu atau juga hari-hari sebelum hari ini dan semalam. Hari ini Urghhhh dijerba ketakjuban yang amat sangat. Dunia Kuala Lumpur yang dibenci dengan urghhhhhhhhnya sudah menjadi sebuah dunia kontradiksi yang sungguh-sungguh menakjubkan membuatkan Urghhhh tidak berdaya mengeluarkan urghhhhhhnya seperti selalu.

Hari ini urghhhhhhhhh milik Urghhhh telah hilang di kerongkongan. Urghhhh sendiri tidak tahu kenapa dia gagal melontarkan urghhhhhhhhnya, meluahkan kebenciannya terhadap Kuala Lumpur.

            Sungguh menakjubkan. Sungguh menghairankan. Urghhhh sungguh hairan dan takjub kerana suasana dan wajah Kuala Lumpur yang amat dibencinya itu tiba-tiba saja berubah. Dia sendiri tidak tahu bagaimana tiba-tiba saja tercampak ke situ. Urghhhh seperti tidak percaya!

Bermimpikah aku? Inilah yang sedang bermain di benak Urghhhh, galak, miang dan menggelinyau. Urghhhh jadi nano dan yongyat memikirkan ketakjuban ini. Cagunnya mendadak, seolah-olah sebuah mimpi yang tidak pernah wujud dalam diri.

            Urghhhh memejamkan matanya rapat-rapat. Terpisat-pisat. Terkesip-kesip. Tidak puas, digenyeh-genyeh pula setiap juzuk kelopak mata berkedut dengan telapak tangannya yang sudah kecut berut itu.

Sekejap dijegil-jegil pula untuk menyakinkan bahawa ini bukan sebuah mimpi namun Kuala Lumpur tetap begitu juga, tidak seperti semalam atau dua hari lalu atau hari-hari sebelum itu. Suasana tetap tidak berubah. Segalanya bukan sebuah ilusi tetapi realiti yang menjerba ruang lingkup diri.

            Kabus berjerubu seputih kapas. Onggok-onggok wap sejuk yang menyengat barangkali sisa-sisa molekul dari kesejukan malam masih melekat di seluruh tubuh Urghhhh, lalu menyentuh-nyentuh kulit ari yang hitam melegam bagaikan sumbu pelita ayam itu. Juga menyentuh-nyentuh ke serata juzuk liang roma yang berkematu bagaikan sisik tenggiling yang sedang tercacak, membuatkan Urghhh bersedakap dan menggeletar kecil menahan tusukan kedinginan hawa.

            Tubuh Urghhh benar-benar sejuk. Tidak ubah seperti terkurung di dalam bilik pejabat berhawa dingin diputar maksimum. Lapisan epidemis mula berkeriput, membentuk sisik-sisik kasar yang makin gabai di sesetengah juzuk.

            Urghhhh semakin yakin. Dirinya kini sedang terkujur di bawah satu lengkungan sebuah bilik empat persegi bersinar indah yang tinggi mencapai awan di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur yang lebih canggih dari Kuala Lumpur yang pernah dilewatinya dulu.

Walaupun malam tadi Urghhhh hanya terlelap di atas sebuah bangku simen di Changkat Pavilion yang beratapkan gumpalan awan bolong, bulan dan bintang yang malas. Dia juga bergebarkan jujuh kasar embun jantan yang deras dari langit yang membuatkannya berkerekot sepanjang malam santak dinihari menjelang. Begitulah nyalarnya.

            Nyedar tidur Urghhhh semalam juga dalam keadaan perut berkeleneng yang bukan kepalang, setelah seharian dalam kepanasan serta bergelandangan ke setiap cerok kecanggihan Kuala Lumpur.

Dari stesen kereta api, mengalir ke Masjid Negara, dari Masjid Negara merayap pula ke bangunan Daya Bumi, terus ke Dataran Merdeka, Dewan Bandaraya, menyelinap di antara lorong dan simpang menuju ke Menara Berkembar Petronas lalu bergegas pula ke Stesen LRT di pinggir Pasar Seni, segalanya itu membuatkan dirinya rengsa.

Sementelahan kala itu sebutir nasi pun tidak masuk ke dalam perut. Malah Urghhhh sungguh-sungguh letih, kerana terlalu banyak warawiri ke sana ke mari sambil menadah tempurung kepada orang-orang yang ditemui sepanjang perjalanan yang dilewatinya tadi.

            Memang menyedihkan, entah di mana silapnya hari itu, tiada seorang pun yang sudi mencampakkannya walau sekeping wang syiling. Barangkali juga kerana kegawatan ekonomi dan gejala Covid-19 membuatkan orang jadi kikir.

Hingga akhirnya, mahu tak mahu terpaksalah juga Urghhhh menadah mulut di paip awam tepi Jalan Raja Laut, buat mengalas perut dan menampung lapar yang amat menggelecak itu. Dan akhirnya Urghhhh tertidur di Changkat Pavilion dengan berbantalkan lengan sendiri sambil cuba berusaha mengusir derita yang menghenyak diri.

            Kesejukan di bilik empat persegi bersinar yang baru dijengah ini, Urghhhh berasa serupa saja. Kalau bangku simen di Changkat Pavilion yang dia tidur semalam dibuat dari campuran simen dan batu, kini tubuhnya juga terkujur di atas lapisan batu.

Cuma batu yang Urghhh perasan ini agak sedikit lunak dan gebu yang mengampu agak sopan tubuh tuanya. Dan sejuk yang menggerbak dari permukaan batu itu, tak ubah kesejukan batu-batu ubin dari Turki atau Langkawi, agak nyaman menampung tulang temulang yang nyalar saja menggerutup dan mengeliot itu.

            Tetapi, ini semua Urghhhh tidak kisah. Yang menghairankan benaknya, siapa yang telah membawanya ke sini? Ya, siapa? Siapakah yang begitu mengambil berat tentang dirinya sampai sanggup membawanya ke sini? Sehinggakan sedikit pun Urghhhh tidak sedar atau merasa tubuhnya diangkat atau ditandu orang.

Malah Urghhhh juga tidak mengalami apa-apa mimpi pun semalam. Tidur nyedar sekali, macam orang mati. Kepulesan tidak terganggu persis dipukau. Urghhh sungguh hairan! Urghhhh sungguh takjub dengan keadaan ini.

            Sejurus kemudian, Urghhh menggosok-gosok perut kempisnya. Eh, hairan lagi! Perut yang nyalar berkeroncongan minta diisi itu tiba-tiba sebu dan tepu pula. Rasa kenyang bagaikan baru menjamah makanan membuatkan Urghhh semakin dihenyak kehairanan dan ketakjuban menggila. Bila pula aku makan?

            Kelintar mata Urghhhh terpelanting warawiri seluruh pojok dan jihat - kiri, kanan, depan dan belakang. Namun jagat Kuala Lumpur tetap juga temaram dan sebam. Segalanya ilam-ilam pada pandangan mata tuanya.

Objek yang terkelih tidak jelas dan amat mengelirukan. Semuanya kelihatan berbalam-balam, berjerubu dan udam sekali. Aduh, kota Kuala Lumpur apa pula ini? Benak Urghhhh terus dihenyak kehairanan dan ketakjuban.

            Ah, barangkali pandanganku ini sudah terlalu renta! Mungkin sudah serenta tubuhku yang semakin rengsa! Sebab itu segalanya kabur dan suram, udam dan temaram juga ilam-ilam. Mungkin juga ini bukan Kuala Lumpur yang aku benci dan jelak itu.

Mungkin juga satu ilusi dalam sebuah jagat kontradiksi. Mungkin. Takkanlah seorang gelandangan renta hina dina dengan pakaian sebam cepuah campeng compang begini mahu dibawa ke bilik empat persegi bersinar indah begini! Begitu Urghhhh memutuskan.

            Tiba–tiba Urghhhh merasa ada sesuatu yang telah lenyap dari pendengarannya. Telinganya dipeluk sepi sejak di bilik ini. Khali bungkam kendati secuit suara dan bunyi. Kalau kota Kuala Lumpur tentulah bingar dengan lengking hon dan geru enjin kenderaan yang memualkan. Kuala Lumpur apa pula kalau segala tempat hanya dikelilingi gumpalan awan sebam dan ilam.

Lagipun, tak mungkin pula hanya aku seorang saja di sini? Mana pula perginya warga kota Kuala Lumpur yang berjuta-juta itu? Lalu copeng telinga dicapang gabai-gabai, cuba menangkap dan mengamati bunyi-bunyi atau suara-suara di sekitar. Kosong. Khali. Sunyi juga. Hanya desis sendalu bisu kejur yang membeku serata juzuk. Tidak ada satu apapun yang mencium deria dengarnya.

            Urghhhhhhhhhhhhhh!!!!!!

            Barulah urghhhhhhhhhhnya terpersil keluar tanpa dapat dibendung lalu dalam suasana khali bungkam itu Urghhhh cuba menguasai diri. Dihimpun sisa-sisa kekuatan yang masih melepa di dalam anggota. Disatu, dikuatkan dengan sepenuh hati lalu digumpalkan menjadi gemal semangat untuk mengetahui lebih jauh apa yang ada di sekitar bilik empat persegi bersinar indah itu.

            Urghhhh cuba bangun dari perbaringan. Terketar-ketar pada mulanya seperti pengidap parkinson. Dalam keadaan bergelentar, dibaur segala apa yang terdaya, Urghhhh cuba mencegatkan sedikit harapan yang masih bersinar.

Dijegilkan bundar-bundar dua kelopak mata, menyeluruhi seluruh pojok, dilontarkan busar mata itu berpusar-pusar, serentak ditunjal-tunjal ke kejauhan. Segalanya dilakukan untuk memberi keyakinan kepada diri sendiri apa benarkah dia tidak berilusi, apakah ini kota Kuala Lumpur yang selalu tercangip diwarawiri.

            Tiba-tiba dalam keadaan sebam, ilam, temaram dan udam itu dapatlah Urghhhh melihat sesuatu yang bercahaya beberapa kaki di hadapannya. Memerlip-merlip bagai buruj tujuh. Gesit Urghhh mengatur langkah gontai ke arah itu. Dengan harapan yang masih bersisa itulah dijamah pantas benda yang bercahaya itu dengan hujung jari.

            Sekonyong-konyong pula Urghhhh disentak gamam menjola-jola. Suatu perasaan lain pula cagun dalam diri. Kepalanya mendadak terasa bengang, yongyat, berpusing-pusing. Urghhhh terkejur bertagal-tagal. Beberapa jenak kemudian, seluruh penglihatannya mulai pulih kembali seperti semalam.

Semakin lama semakin jelas. Segala yang temaram, udam, sebam dan ilam-ilam tadi dapat dikelihnya dengan jelas. Barulah Urghhhh tahu bilik empat persegi bersinar indah ini ialah sebuah kotak aluminium terapung-apung di bumantara Kuala Lumpur.

Urghhhh dapat melihat bandar raya Kuala Lumpur dari bilik empat persegi itu jauh-jauh di bawah sana. Di sebalik gumpalan awan gemawan yang putih serlah, bangunan KLCC, Dayabumi, Stesen Keretapi Tanah Melayu, Masjid Negara, Menara Kuala Lumpur dan sebagainya dapat dilihat kendati berbalam-balam kerana terlalu jauh.

Pendengarannya juga menjadi lebih segar dan Urghhhh dapat mendengar segala apa yang berbunyi di sekitar tempat itu. Deruman kenderaan yang berjejal-jejal di jalan raya, lengking hon juga dengung suara manusia penghuni bandar raya itu mengasak-ngasak gegendang. Suasana baru ini membuatkan Urghhhh tersengih sendiri. Benarlah, aku masih berada di Kuala Lumpur yang aku benci itu!

            “Selamat datang, Tuan Urghhh! Selamat datang ke pelancaran sistem pengangkutan tercanggih alaf baru!” Tiba-tiba satu suara lunak seorang perempuan gemersik nadanya mencecah gegendang telinga Urghhhh. Mendadak dia dijerba kelinglungan dan kemamar.

            “Pengangkutan tercanggih alaf baru? Errr, apa maksudnya?” Urghhhh terkebil-kebil, Lopong dua ulas bibir kedut tidak berupaya dikacip.

            “Ya, pengangkutan tercanggih alaf baru!” suara itu  menjawab  tenang. “Tuan sekarang berada di atas sebuah sistem pengangkutan yang paling canggih di Kuala Lumpur ini. Pengangkutan ini dinamakan LRT Udara yakni satu sistem pengangkutan yang akan bergerak tanpa landasan. Seperti sebuah kapal terbang, sistem ini akan membawa tuan keluar dari Kuala Lumpur yang tuan benci ini. Tidak berpemandu…”

“Pergerakannya lancar, tidak terganggu. Tuan telah dipilih untuk merasmikan pelancaran sistem ini bagi pihak warga Kuala Lumpur yang terkucil oleh henyakan kemajuan dan kecanggihannya. Tuan boleh pilih destinasi yang tuan suka dan sistem pengangkutan ini akan membawa tuan ke situ!”

            “Ta… ta… tapi… tapi kau siapa? Hanya suara tanpa muka. Tampilkan diri untuk aku kenal kau siapa!” dalam kegamaman itu Urghhhh terus bertanya seraya biji mata berkelitar cergas menyeluruhi ruang.

Berjenak-jenak dia tercangak-cangak mencari arah suara yang datang. Tetapi hanya gumpalan awan gemawan saja yang mampu tertayang di matanya. Gumpalan-gumpalan awan gemawan itu seolah-olah berkitar-kitar di sekeliling, melontarkan silir dingin berkesiur-kesiur.

            “Tuan Urghhhh tidak perlu tanya soal itu. Yang penting tuan harus gembira kerana telah terpilih dari segelintir warga terkucil itu untuk perasmian sistem pengangkutan tercanggih ini!”

            “Ya… ya… aku memang gembira! Tetapi, berilah kesempatan untuk aku mengenali siapa kau sebelum aku memilih destinasi pilihanku!”

“Sabar dulu, Tuan! Jangan risau dan gusar. Akulah antara gadis tercantik yang telah diarahkan untuk mengiringi tuan sepanjang perjalanan di atas sistem pengangkutan tercanggih ini,” suara perempuan itu terus bergema mematikan segala persoalan singkat yang bertamu di hati Urghhhh.

“Errr… kenapa kau panggil aku tuan? Aku cuma seorang gelandangan cabuk, melarat dan keparat yang terkucil dihenyak kemajuan dan kecanggihan Kuala Lumpur. Tidak ada apa-apa keistimewaan pada diriku yang mewajarkan kau memanggil aku tuan!” Urghhhh mulai mencungkil. Benak semakin dijerba kehairanan dengan pelbagai persoalan yang belum berjawab. Segalanya membuncah-buncah saraf serebrum.

            “Seorang juru iring perlu memanggil orang yang diiringnya dengan panggilan tuan. Lagipun, tuan adalah antara yang terpilih dan aku juga antara yang terpilih untuk mengiringi tuan!”

Urghhhhhhhhhh!!!!

Terpacul lagi sebutan itu dari mulut merut Urghhhh. Urghhhhhhhhhnya yang kedua sejak berada di sini.

Khali sejenak.

“Apa yang harus aku buat sekarang?” tiba-tiba Urghhhh melampiaskan pertanyaan.

 “Baiklah Tuan Urghhhh! Ikut saja arahan aku. Di hadapan tuan sekarang ada berbagai punat. Tekan punat biru. Lawang bilik sistem pengangkutan tercanggih alaf baru ini akan terbuka,” suara itu bagaikan memberi perintah pula.

            “Untuk apa pula pintu itu nak dibuka?” Urghhhh bertanya lagi penuh kehairanan.

            “Ikut sajalah arahan aku. Sekejap nanti tuan akan dapat jawapan pasti!” cerlusan suara perempuan itu lunak, manja dan mesra.

            Dengan hati yang menggelugut dan fikiran yang kecut, tanpa memikirkan apa-apa lagi, Urghhhh terus menekan punat biru yang bercahaya di dinding aluminium bersinar itu. Tekadnya sudah bundar total, apa nak jadipun jadilah. Mungkin ada sesuatu yang dia perlukan apabila menekan punat itu nanti, bisik hati.

            Beberapa saat kemudian, berkeriot sebuah pintu di sisi kanan tempat Urghhhh berdiri. Pegun Urghhhh gesit terpantul. Lidah kejur mendadak. Sinar emas yang memancar dari jenang lawang itu amat memijarkan mata. Urghhhh dijerba gemuruh dada menggerutup kala seorang wanita yang amat cantik tiba-tiba kelihatan muncul melalui lawang tersebut.

Urghhhh sungguh tergamam jola, perempuan itu sejuta kali lebih cantik dari Tipah, si pelacur sambilan yang pernah dia jatuh cinta, tetapi tidak pernah pula mendapat layanan. Malah sejuta kali juga lebih muda dari Munah, si peminta sedekah yang ego itu, yang sering menjuihkan bibir kala diajak Urghhhh jalan-jalan sekitar Taman Tasik Titiwangsa.

            Bertegok-tegok Urghhhh menelan air liur terpegun dengan kecantikan perempuan tersebut. Urghhhh dapat rasakan, kecantikan perempuan itu tak ubah bintang-bintang filem Bollywood yang gah dipuja warga Kuala Lumpur kini. Alis mata lentik, berpantis. Bibir kecil mungil ghairah merah. Potongan badan bak kerengga ramping.

Dan Urghhhh semakin terpana kala perempuan muda jeita itu mulai melangkah mendekatinya. Biji mata Urghhhh terpaku pada jejari kaki putih serlah. Kuku bersinar gaseng. Betis bunting padi malinja. Semakin lama semakin rapat dan gesit pula merangkul lengannya.

“Ayuh Tuan Urghhhh! Ayuh ikut aku… errr… kita jalan-jalan!” Tidak terlalu lama untuk perempuan jelita itu menekan satu punat lain di hadapan Urghhhh. Sistem pengangkutan tercanggih alaf baru terus bergerak perlahan-lahan. Dari atas bumantara, Urghhhh dapat melihat bandar raya Kuala Lumpur yang semakin ditinggalkan.

“Tuan Urghhhh tentu suka kalau kita jalan-jalan makan angin sekitar KLCC!”

Urghhhhhhhh!!! Rasa benci dengan mercu tanda kemajuan dan kecanggihan itu gesit membuar namun gesit pula melenyap kala perempuan jelita tersebut merangkul lengannya buat kali kedua, penuh kemanjaan dan kasih sayang. Hati Urghhhh bagai dielus-elus dengan rasa riang yang terlalu sukar hendak digambarkan.

Inilah pertama kali dia berdua-duan dengan seorang perempuan cantik seperti bintang Bollywood itu. Kalau boleh biarlah kala ini ada mata empat orang saksi yang melihat supaya cepat ditangkap Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dinikahkan.

Urghhhh rela dan reda andai tangkapan itu terjadi. Biarlah dia didakwa di mahkamah syariah kerana berdua-duan dengan perempuan jelita itu. Sungguh-sungguh Urghhhh rela.

            Pergerakan terus lancar. Tidak terlalu laju persis Mercedez dipandu berhemah. Perempuan itu cuma memurup senyum memandang ke arah Urghhhh. Ada sedikit gigir kecil yang Urghhhh dapat rasai, bagaikan sedang membelah silir lunak dan awan-awan kemulus juga sitratus yang berketul-ketul di angkasaraya. Tetapi amat perlahan sekali derumannya.

            “Errr, apa kata kalau kita ke Putrajaya, Tuan Urghhh!” perempuan jelita tersebut tiba-tiba bertanya. Lehernya dilentukkan ke pundak Urghhhh.

            Urghhhhh lekas tersenyum. Air liurnya meleleh-leleh tidak dapat ditahan. “Aku ikut saja ke mana kau pergi!” ujarnya seraya turut melentukkan lehernya ke pundak perempuan jelita itu. 

            “Kebetulan, di sebuah hotel bertaraf sepuluh bintang di sana ada satu jamuan makan. Tuan boleh makan banyak-banyak!” Lagi sekali perempuan jelita itu tersenyum.

Kali ini lebih manis dan bersari untuk Urghhhh, seolah-olah sebilah pedang tajam meradak jantung hati lelaki tua renta itu. Aduh! Seribu kali lebih manis dari senyuman sumbing Tipah dan Munah. Alangkah seronoknya kalau senyuman itu berkekalan, tidaklah aku kesunyian dan kesepian dalam hidup, hati miang berbisik.

            “Hotel?” Urghhhh terlunga dan terjeda.

            “Ya, hotel! Aku tahu tuan lapar. Aku juga tahu tuan jarang dapat makan yang sedap-sedap. Kehidupan tuan yang terkucil di tengah kemajuan dan kecanggihan membuatkan tuan tidak berpeluang menjamah makanan yang lazat-lazat seperti orang lain. Betulkan?”

            Urghhhh tidak mampu menjawab kerana itu semua benar. Pendapatannya sebagai gelandangan cabuk sekadar mampu membeli sekeping roti canai, segelas sirap dan sepinggan nasi berlauk temenung goreng campur kuah kari semalam dari kedai mamak.

Kadang-kadang, jika rezeki murah, dapatlah Urghhhh menjamah dua keping capati dan segelas besar susu lembu. Itupun bukannya selalu. Rezeki murah begitu tidak lagi menjelma sejak era gawat Covid-19 ini.

            “Aku kasihan pada tuan! Sudahlah daif dan melarat, nak kahwin pun tak mampu!” Merdu sungguh suaranya, walaupun bernada sinis, menusuk lunak dan lembut ke telinga Urghhhh bagai suara nyanyian seorang puteri kayangan saja lagaknya.

Kepala Urghhhh dielus-elus bagaikan seorang ibu mengelus anak kecilnya. Oh, indahnya dunia ini jika setiap detik aku dibelai dan disenandungkan oleh suara perempuan semerdu ini. Aku rasa, aku ingin hidup seribu tahun lagi. Hati Urghhhh kian galak menggelinyau, dalam rasa keterpesonaan yang amat sangat.

            Lidahnya jadi kelu. Suaranya jadi bisu. Urghhhh sungguh-sungguh tidak tahu apa yang harus dilakukan. Fikirannya bagaikan kosong terawang-awang, teroleng-oleng diseligi kitar di bumantara, kecuali rasa harmoni, damai dan hanyut dalam gelodar asmara ciptaan perempuan jelita tersebut.

            “Sebentar saja lagi kita akan tiba di Putrajaya. Tuan Urghhh bolehlah menikmati apa saja yang tuan dambakan selama ini di hotel itu!” suara perempuan itu menerjah lagi gegendang telinga Urghhhh.

            “Eh, aku tak pernah dambakan apa-apa!” tukas Urghhh acuh tak acuh.

            “Bohong! Tuan usahlah berbohong dengan aku! Aku tahu apa yang tuan inginkan!” tingkah perempuan itu sambil tersenyum sinis.

            “Ya, ya! Aku berbohong! Maafkan aku!” Urghhhh tersengih-sengih. Terasa malu pula kerana berbohong tadi.

            “Ah! Lupakanlah itu semua tuan! Aku akan membawa tuan ke tempat yang tuan inginkan itu! Sekejap lagi kita akan sampai,” perempuan itu bagaikan faham apa yang sedang berlegar di benak Urghhhh. Kata-kata itu juga gesit melenyapkan rasa malu dan segan di hati orang tua itu.

            “Memang selama ini aku teringin dan bercita-cita untuk ke tempat yang banyak makanan. Di situ, aku boleh makan hingga perut buncit. Aku teringin nak makan sate, ayam tandoori, nasi beriani yang mahal, makanan yang tak pernah aku jumpa. Aku juga inginkan tempat yang enak untuk tidur. Ada tilam yang empuk, ada dayang-dayang yang menyanyikan aku lagu. Sesungguhnya, seumur hidup aku belum pernah lagi aku rasa itu semua,” Urghhhh berterus terang.

            “Usah tuan bimbang! Di situ segala-galanya ada. Sebut saja hajat tuan, semuanya akan tercapai,” jelas perempuan jelita tersebut, senyum manis masih murup di bibir mungil.

            “Wow, seronoknya!” Urghhhh bagaikan mahu menjerit mendengar penjelasan perempuan cantik itu. Aku nak makan puas-puas, aku nak tidur enak-enak, dia mula memahat harapan.

Akhirnya sistem pengangkutan tercanggih alaf baru itu berhenti. Bunyinya sedikit menggegarkan. Punggung Urghhhh serasa melekat. Malas sekali mahu turun dari pengangkutan itu. Dia lebih suka berdua-duaan dengan perempuan jelita pengiring itu biar lama mana sekalipun.

Urghhhh sungguh-sungguh rela dan sanggup. Selama inipun dia amat sukar untuk bermesra apalagi untuk bercinta dengan perempuan. Bukan kerana malu tetapi keadaan dan situasi diri yang tidak mengizinkan.

Sehinggakan rakan sejawat seperti Munah yang hodoh dan jelek itupun amat payah mahu menyerahkan cinta padanya. Inikan pula perempuan lain. Memikirkan itu, alangkah ruginya jika kesempatan berdua-duaan dengan perempuan cantik itu dibiarkan berlalu begitu cepat.

            “Kita dah sampai tuan!”

            “Urghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!”

Urghhhhhhh terpanjang yang pernah dicerluskan oleh Urghhhh. Urghhhh sungguh kesal kerana perjalanan masa terlalu pantas. Seboleh-bolehnya biarlah lama sikit. Biarlah berhari-hari atau berbulan-bulan bersama perempuan jelita itu. Setagal kemudian, Urghhhh segera dipimpin turun melalui sebuah tangga dengan sopan penuh beradat.

“Inilah Putrajaya!”

Urghhhh mengangguk kecil, terpegun dengan kecanggihannya. Urghhhhhhhh bersembunyi di balik kerongkong.

 Perempuan jelita tersebut terus membawa Urghhhh ke sebuah bangunan berupa hotel bertaraf sepuluh bintang di tengah-tengah kecanggihan Putrajaya itu.

Sampai di hadapan satu pintu, pintu itu gesit pula dikuakkan luas. Urghhhh di persilakan masuk dengan hormat ke dalam sebuah bilik. Dia menurut saja dengan akur.

Sebaik menjijakkan kaki ke dalam bilik tersebut, biji mata Urghhh segera berkelintar menyeluruhi suasana sekeliling. Urghhhh dapat rasakan satu keadaan yang terlalu asing sekali. Bilik itu tidak seperti bilik hotel bertaraf sepuluh bintang, berserabut, pontang-panting dan berselerak di sana sini.

Dalam keasingan itu, tiba-tiba menjelma satu perasaan baru dalam kotak fikirnya. Dia merasa amat mencurigai kata-kata perempuan jelita tadi kerana di depannya sekarang bukanlah makanan-makanan yang diinginkan sebaliknya larung-larung dan kain putih yang disusun bertingkat-tingkat.

Serata juzuk dinding tergantung kalimah-kalimah Allah Muhammad dan syahadah. Di satu pojok pula beberapa buah liang lahud sudah tergali dengan longgok-longgok tanah merah di sisi. Fikiran Urghhhh mula dihenyak tanda tanya.

            Urghhhhhhhhhhh… bilik apakah ini? Seolah-olah bilik menunggu detik dimasukkan ke dalam lahud saja rasanya! Urghhhh mulai menggelentar, beraduk rasa geman, nyeri dan entah apa lagi perasaan beragaman. Gigir tubuh kian menggelugut, lebih-lebih lagi kala mata tertancap beberapa orang lelaki hampir sebaya di sisi larung-larung tersebut. Ya Allah, bilik apakah ini sebenarnya? Perempuan jelita? Hoi puteri jelita, bilik apakah iniiiiiiii??????

            Urghhhhhhhhhhhh… Ya Tuhan! Di mana sebenarnya aku sekarang? Urghhh tergamam dan terkedu. Gesit dicari perempuan jelita itu tetapi sudah tiada lagi. Lenyap entah ke mana. Tiba-tiba terjangan silir sendalu bertukar garang menjadi langkisau dari arah pintu yang masih terkuak lebar, menjinjing bersama gerbak kemenyan yang memengitkan hidung. Bersama-sama langkisau itu juga bersipongang kalimah innalillahhiwainnaillahhirajiun merodok gegendang telinganya.

             Urghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh!!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan