Selasa, 26 Disember 2023

TANAH YANG DICIUM

SMAHADZIR

SEHELAI daun kemboja lepas dari tangkainya, melayang dibawa angin, lalu jatuh di pangkuan Pak Said. Lelaki tua yang bersimpuh di sisi sebuah batu nisan itu gesit memungutnya, kemudian memasukkan daun tersebut ke tempat sampah di sisinya. Selepas itu, Pak Said kembali meneruskan tugasannya. Menggerakkan tangannya yang keriput, menggosok nisan batu marmar di hadapannya, membersihkan debu dan segala noda yang menebal di permukaan nisan. Selesai membersihkan satu nisan, dia berpindah ke nisan lainnya pula.

Tidak pernah dia pilih kasih. Sama ada nisan itu hanya berupa selonggok tanah hitam dengan sebongkah batu sungai tertancap di hujungnya, atau sudah diperindahkan dengan batu marmar, pualam dan seramik. Dia akan menjaga dan membersihkannya hingga benar-benar kelihatan berkilat. Setiap hari Pak Said melakukan pekerjaannya itu dengan hati yang ikhlas.

Tetapi, sudah berapa lamakah dia menghabiskan waktu dan usianya untuk tugas rutin itu? Awalnya, Pak Said hanya membantu rakannya. Namun, sejak rakannya itu meninggal dunia dua puluh tahun yang silam, dia yang hidup sebatang kara, tanpa seorang pun anak di sisinya, menjalani rutin itu sendirian. Rumahnya juga terletak hampir di hadapan lokasi kubur, membuatnya dengan mudah meluangkan waktu, bila-bila saja dia mahu melaksanakan tugas rutin itu.

Setiap hari. Ya, setiap hari!

Sejak kedua-dua pipinya masih mekar dan tegang. Sejak kedua-dua biji matanya selalu membuatkan hati Mak Besah isterinya, terpesona. Hingga kini! Tanpa dia sedari, mulai bila dan bagaimana prosesnya, pipi dan seluruh kulit tubuhnya telah mengeriput, membentuk lipatan seperti kertas kusut. Satu persatu gigi putihnya - yang menurut pujian almarhumah isterinya bak biji mentimun - mulai keropos dan ompong. Juga rambut ikalnya yang hitam dan lebat kini berubah warna keperak-perakan.

Tidak hanya itu. Kawasan kubur yang dulu lengang dan lapang, kini sudah semakin sesak, berhimpitan seperti komplek perumahan. Entah berapa puluh orang yang saban hari datang ke kubur untuk berziarah dengan pakaian yang bagus-bagus sambil memandu kereta mewah, dengan motor atau berjalan kaki saja. Malah ada yang datang setelah dibungkus oleh kain kafan, datang untuk tinggal selama-lamanya di tanah perkuburan itu.

“Oh! Sudah berapa banyak hari telah aku habiskan untuk menjaga dan membersihkan kubur-kubur ini?”

Pak Said menerawang ke langit senja. Dia beringsut sambil membetulkan pakaian ‘kebesarannya’: seluar hitam kusam panjang dan baju lengan panjang yang selalu digulung sampai ke siku.

Tiba-tiba dia tersenyum sendiri.

Setiap hari, dia selalu membuatkan batu-batu nisan di seluruh kawasan kubur itu berkilau, bersih dari debu dan noda. Tetapi, setiap hari pula, pakaian yang selalu dipakai dan dimilikinya adalah pakaian kusam, tanpa kilau cahaya, tetap bersih dari debu dan noda.

“Biarkan saja! Bukankah pakaian kusam tidak menunjukkan bahawa jiwa pemakainya juga kusam? Bukankah begitu, ya Tuhan?”

Pak Said selalu mententeramkan hati, bertanya tentang segala hal kepada-Nya, setiap kali sujud tahajud pada malam-malam heningnya, bertemankan kerlip cahaya lampu minyak di sudut ruang tidurnya.

Buat Pak Said, hidup adalah sebatas melewati hari demi hari, merunduk ke bumi. Menciumi bau tanah yang bakal menguburkan jasadnya sambil memperlebarkan titian siratholmustaqim agar dia mampu dengan mudah bertemu dengan-Nya.

Kerana itu, Pak Said tidak pernah membiarkan mimpi dan khayalan merajah fikirannya. Dia jalani hidup apa adanya dengan seteko air di atas dapur minyak satu-satunya yang dia miliki. Dia hirup dengan nikmat secangkir teh atau kopi hangat setiap pagi dan petang, di anjung rumahnya yang bersih. Dia lahap kelazatan sebungkus nasi yang selalu dibelinya di warung hujung jalan dekat kawasan kubur.

Lelaki tua itu tidak pernah mengeluh. Berapa pun rezeki yang menghampiri: selembar, tiga lembar, atau empat lembar wang kertas yang diberikan oleh pengunjung kubur, dia terima dengan senang hati. Yang penting, selalu ada seteko air di atas dapur minyaknya yang menyala. Selalu ada secangkir teh atau kopi hangat pada pagi dan petang, juga sebungkus nasi agar perutnya tidak merengek minta diisi.

Dan, lebih-lebih lagi, Pak Said akan tersenyum sendiri. Senyum renta dengan gelayut kerut pada kantung mata. Dia usap lembut nisan batu marmar yang baru saja selesai dibersihkannya. Lalu, dia berpindah ke segunduk tanah dengan nisan berupa bulatan batu sungai yang tertancap di kedua-dua hujungnya. Dia cabut dengan hentakan lembut beberapa helai rumput yang mulai tumbuh, seperti mencabut pakaian kusam dari tubuhnya.

“Pakaian yang kusam memang bukan bererti membungkus jiwa yang kusam. Pakaian yang halus, licin dan berkilau, juga tidak selalu menunjukkan jiwa pemakainya yang bening bercahaya. Bukankah begitu, ya Tuhan?”

Lelaki renta itu menggumam. Sendirian.

Dia mengenali lebih dari sepertiga penghuni kubur itu semasa hidup mereka. Dia juga mengenali dan hafal dengan sikap dan tingkah laku para pengunjung ketika mereka berada di dalam kawasan kubur. Dia ingat, dan selalu berusaha menguburkan luka hati, setiap kali muncul bayangan perlakuan kasar dari satu-dua orang di antara mereka.

Satu-dua orang yang mengaku dan tampil sebagai orang berilmu atau orang terpelajar, tetapi selalu bersikap kasar dan meremehkan usaha-usaha yang dilakukan oleh Pak Said.

Pak Said, lelaki tua penjaga kubur, sering terpana melihat tuan-tuan dan puan-puan orang terpelajar yang senang bercekak pinggang, memerintahnya dengan kasar, seperti para mandor di ladang getah tempat ayahnya bekerja dulu. Hujung-hujungnya, dua atau tiga lembar wang kertas RM1.00 saja yang dijatuhkan ke telapak tangan Pak Said.

Oh, tidak! Bukan dua atau tiga lembar wang kertas RM1.00 itu yang membuatkan Pak Said berulang kali merinding dan menelungkupkan wajahnya ke balutan tuala nipis di lehernya, pada malam-malam gelap ketika dia duduk merenung sendirian di dalam kubur. Bukan juga kerana kewujudannya sebagai makhluk-Nya telah diinjak-injak dan dilumatkan oleh sesama manusia yang memandang hina kepada dia yang bekerja sebagai penjaga kubur di kawasan itu menggantikan arwah rakannya.

Tidak! Hati lelaki tua itu merinding dan bergetar hebat, kerana pada malam-malam yang gelap gelita, dia selalu mencium aroma wangi yang menebar, dan mendengar suara zikir dari dalam kubur. Suara dalam zikir itu seperti suara yang selalu menyapanya dengan ramah, lembut dan hormat. Suara seorang ahli agama, seorang ustaz yang alim, terpelajar, yang benar-benar seorang yang berilmu agama dan mengamalkan ilmunya ke jalan yang diredhai-Nya.

Ya! Meski hanya seorang lelaki tua, duda miskin, berpakaian kusam dan bekerja sebagai penjaga kubur, sapaan pemilik suara dalam zikir itu telah membuatkan Pak Said merasa berharga sebagai makhluk-Nya, merasa benar-benar sebagai seorang manusia. Bukan seekor semut yang mampu dengan mudah dipijak bila-bila saja dan oleh sesiapa saja. Bukan juga seekor ayam, kambing atau kerbau yang boleh dipenggal lehernya, bila-bila saja dan oleh sesiapa saja.

“Apakah salah, jika aku tetap ingin dihargai sebagai manusia, jasad yang mempunyai roh? Apakah salah, ya Tuhan? Jasad dan roh ini adalah ciptaan-Mu, dan milik-Mu. Jadi, tidak seorang pun makhluk-Mu yang lain yang berhak melecehkan, meludahi, dan melumatkan maruahku sekehendak hati mereka. Betul tidak, ya Tuhanku?”

Pak Said kembali sujud mencium sejadah yang juga kusam, pada malam-malam hening yang membuat gemerincing kegundahan dan kesedihannya semakin terasa nyaring. Kegundahan dan kesedihan yang selalu ingin segera dia buang jauh-jauh. Terbang melayang, dan ghaib ditelan ufuk. Seperti keinginannya membuang jauh-jauah ingatan tentang percikan-percikan ludah milik seorang kaya yang pernah meluncur ke wajahnya!

Jasad orang kaya itu, kini telah hancur lebur dimakan belatung, kala jengking raksasa, ribuan ular berbisa, cacing tanah gabai dan anai-anai. Juga, barangkali tulang belulangnya telah berkeping-puing, kerana dentuman dahsyat yang sering didengar Pak Said pada malam-malam pekat gelintin ketika dia duduk merenung sendirian di kubur. Dentuman dahsyat itu, berasal dari sebalik batu nisan marmar berkilau yang selalu dijaga oleh Pak Said!

* * *

Tidak seperti senja-senja kelmarin, kali ini nampak murung dan redup. Tetapi, selembar daun kemboja kembali lepas dari tangkainya, melayang lembut di udara, dan jatuh ke rambut perak di kepala Pak Said.

Harum aroma kopi masih menebar dari rongga mulut lelaki tua itu, ketika mendesiskan suara sambil mengusap nisan marmar di hadapannya.

“Seharusnya aku benci, marah dan dendam kepadamu. Nasib baik, itu bukan kilau jiwa Pak Said, lelaki tua penjaga kubur yang bersembunyi di sebalik seluar hitam panjang dan kemeja kusam ini.”

Pak Said duduk menggeromok, memungut daun-daun kemboja yang kembali berjatuhan di pangkuannya.

“Tetapi, kenapa kamu wariskan tanah berdebu dan berjelaga itu kepada penerusmu? Akibatnya, wajahku kembali basah oleh luncuran-luncuran ludahnya yang busuk, siang tadi. Tetapi tenanglah, aku tetap akan menguburkan perasaan benci, marah dan dendamku. Kepadamu, juga kepada sesiapa pun. Kau lihat buktinya? Aku bersihkan nisanmu hingga berkilau seperti nisan-nisan yang lain. Kulafazkan zikir dan doa keampunan ketika dari dalam kuburmu terdengar ledakan seribu halilintar, desisan seribu ular berbisa dan pesta pora seribu kala jengking gabai yang menyemburkan api hingga setinggi pokok kemboja ini.”

Suara lelaki tua itu lirih, serak, hampir berbisik, tetapi mengalir deras seperti aliran sungai pada musim tengkujuh. Dielusnya nisan di hadapannya dengan tangannya yang semakin renta dan keriput. Kemudian dia bangkit dan berpindah duduk dengan kaki berselonjor dan belakang bersandar pada pokok kemboja.

Matanya terpejam.

Telah berapa hitungan harikah dia habiskan waktu dan usianya untuk menjaga kubur, membersihkan nisan-nisan dari debu, noda dan jelaga hingga berkilauan?

Pak Said, lelaki tua penjaga kubur itu, tidak pernah tahu dan tidak pernah menghitung apakah jumlah hitungan hari yang dia habiskan sendiri, telah sama dengan jumlah hitungan rambut perak di kepalanya.

Yang dia tahu, dia cuma menjalani hidup apa adanya. Dengan seteko air di atas dapur minyak yang selalu menyala. Dengan secangkir teh atau kopi hangat, juga dengan sebungkus nasi yang membuatkan perut dan ususnya tidak pernah meraung minta diisi.

Pak Said menyapu pandang ke nisan-nisan yang mengelilinginya. Semua terasa dingin dan bisu. Ceridau burung pipit dan teriakan parau helang yang biasanya gemar melintas di sekitar kubur, seolah-olah mati terhimpit bumi. Bahkan, dengung nyamuk pun enggan menggoda relung telinga Pak Said.

Ada rasa nyeri yang tiba-tiba menusuk jantung Pak Said. Ada kesedihan, kesepian, dan kehampaan yang memagut hati Pak Said, dan kali ini tidak mampu dia buang jauh-jauh agar ghaib ditelan ufuk.

Air mata lelaki tua itu meleleh, tanpa dia tahu untuk apa dan siapa dia harus sedih dan menangis. Apakah untuk penderitaan panjang penghuni kubur di bawah nisan marmar itu? Atau untuk bau ludah busuk yang entah berapa kali meluncur ke wajahnya, melumatkan harga dirinya sebagai makhluk-Nya? Atau untuk apa?

Pak Said kembali memejamkan mata, hingga seseorang yang entah dari mana datangnya, berpakaian putih dan memancarkan cahaya putih berkilauan seperti cahaya lampu neon berkekuatan ribuan watt, datang mendekatinya. Orang itu menghulurkan tangannya, menggamit tangan Pak Said, mengganding dan membawanya pergi, dan, oh!

Lelaki tua itu merasakan dirinya melayang, tinggi, dan tinggi. Ringan sekali. Dia bingung dan terpana ketika tangannya mendakap dada, tetapi tidak terasa menyentuh apa pun. Cuma udara kosong. Dan, dia semakin bingung dan terpana, di bawah sana, nampak tubuhnya duduk terkulai berselonjor kaki dengan belakang bersandar pada pokok kemboja.

Habis, lelaki tua itu!? Siapakah lelaki tua berseluar hitam kusam panjang dan berkemeja yang berjalan perlahan-lahan memasuki kubur, kemudian duduk berteleku membersihkan nisan yang satu dan berpindah ke nisan yang lain? Oh, tidak! Bukan cuma seorang lelaki tua, tetapi dua, sepuluh. Seribu!

Seribu?

Ya, ribuan fatamorgana dari jelmaan ribuan hari yang telah dijalani dengan ikhlas oleh Pak Said, lelaki tua penjaga kubur yang tidak pernah menghitung hari yang dia habiskan untuk menjaga nisan-nisan dari segala noda, debu dan jelaga, muncul satu persatu. Berjalan perlahan-lahan, lalu duduk bersimpuh di sisi nisan yang satu ke nisan yang lainnya.

Persis sama seperti yang dilakukan oleh Pak Said. Menjalani hidup dengan apa adanya. Merunduk ke bumi. Menciumi bau tanah yang bakal menguburkan jasadnya yang akan dibungkus oleh kain kafan.

Selama bertahun-tahun. Ya, selama bertahun-tahun, sebagai lelaki tua penjaga kubur!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan