Ahad, 31 Disember 2023

TAKWIL MIMPI JADI KENYATAAN

SMAHADZIR

 

TERSEBUTLAH bahawa pada ketika itu, hari sudah pagi, matahari telah mengembangkan sayapnya menyelubungi seluruh alam. Nabi Yusuf terbangun dari tidurnya sejak subuh tadi dengan muka yang berseri-seri, kerana kini selain udara pagi yang enak dan nyaman, cahaya matahari kini berkemilauan dan juga kerana dalam tidurnya semalam baginda bermimpi menarik sekali. Sambil tersenyum manis baginda pergi mendapatkan bapanya Nabi Yaakub bertanyakan kalau-kalau ada khabar baik dari mimpinya itu: ‘Ya bapau, aku sudah bermimpi malam tadi, sebuah mimpi yang sangat baik, lantaran itu aku sangat berbesar hati, senang perasaan. Dalam mimpi itu aku melihat sebelas bintang, matahari dan bulan kesemuanya sujud kepada aku. Cubalah bapa terangkan kepada aku akan takwil mimpi itu, kerana aku tidak tahu akan takwilnya.’ 

Mendengar mimpi anaknya yang sebaik itu, Nabi Yaakub tersenyum gembira lalu berkata: ‘Hai, anakku! Mimpimu itu adalah mimpi yang benar, menjadi kenyataan sekarang apa yang aku sangka-sangkakan selama ini terhadap dirimu, dan segala sesuatu yang aku harap-harapkan atasmu. Itulah dia khabar gembira dari Allah S.W.T yang akan mengistimewakan engkau dalam pengetahuan, akan memberi engkau nikmat-Nya yang banyak. Sebagaimana juga nenek-nenekmu Nabi Ibrahim dan Nabi Ishak sendiri dahulu sebelum kamu ini. Aku menasihatkan kepadamu, agar engkau jangan sekali-kali menceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, sebab aku tahu bahawa saudara-saudaramu itu telah menaruh hati yang buruk terhadap dirimu dan saudaramu, Bunyamin, lantaran aku mengistimewakan engkau berdua dalam asuhanku.’ 

‘Aku sudah mendengar sendiri pada hari ini bahawasanya saudara-saudaramu itu telah membicarakan hal kamu berdua dengan pembicaraan yang sungguh tidak enak didengar. Kalau engkau ceritakan pula mimpimu kepada mereka, pastilah akan bertambah kedengkian mereka, mungkin kebencian mereka akan bertambah-tambah kepadamu berdua, mungkin pula mereka akan memperdayakan engkau dengan berbagai-bagai jalan dan akal, maklumlah mereka itu sudah dipengaruhi oleh syaitan, sedang syaitan itu adalah musuh yang sebesar-besarnya bagi manusia.’ 

Nabi Yusuf adalah anak yang luar biasa di antara anak-anak Nabi Yaakub yang ramai itu, kerana bagus dan elok rupanya, baik perangainya, dalam pemikirannya dan luas pengetahuannya. Ibunya (Rahil) meninggal dunia ketika baginda dan Bunyamin Bunyamin masih kecil, masih berumur dua belas tahun saja. Kerana kematian ibunya inilah, maka bapanya Nabi Yaakub sangat cinta terhadap kedua-dua anaknya ini, iaitu Nabi Yusuf dan Bunyamin. Itulah yang menyebabkan saudara-saudaranya yang lain dengki dan iri hati terhadap kedua-dua saudara yang tidak beribu ini. Lebih-lebih lagi setelah Yaakub mendengar dan mengetahui akan mimpi Nabi Yusuf itu, semakin bertambahlah sayangnya kepada Nabi Yusuf dan semakin bertambah pula pengawasannya untuk keselamatan Nabi Yusuf bersama Bunyamin. Hal ini menyebabkan bertambah kebencian saudara-saudaranya terhadap Nabi Yusuf sendiri berserta Bunyamin itu. 

 

Kedengkian Tidak Dapat Ditutup

 

Walau bagaimanapun, kebencian dan kedengkian itu tidak dapat ditutup dan disembunyikan sama sekali. Begitu juga rasa cinta terhadap seseorang, sebagaimana rasa sayang Yaakub kepada Nabi Yusuf dan Bunyaminpun tidak dapat ditutup dan disembunyikan; pasti ketahuan dan kelihatan juga. Begitulah, saudara-saudara Nabi Yusuf itu semuanya sudah mengetahui betul akan sikap bapa mereka terhadap Nabi Yusuf dan Bunyamin. Nabi Yusuf dan Nabi Yaakub sendiri mengetahui benar akan perasaan saudara-saudara Nabi Yusuf terhadapnya. 

Pada suatu hari, mereka yang dengki dan benci kepada Nabi Yusuf itu berkumpul dan bermesyuarat. Sama-sama mengemukakan perasaan masing-masing atas peri laku bapa mereka yang dianggapkan tidak adil itu. Salah seorang di antara mereka berkata: ‘Sudah sama-sama kita lihat sendiri, bahawa Nabi Yusuf dan Bunyamin lebih disayangi oleh bapa kita berbanding dengan kita semua.’ 

‘Aku tidak mengerti, apakah yang telah menyebabkan bapa kita berperangai demikian, bukankah kita sekalian ini yang besar dan tua dari Yusuf dan Bunyamin, kitalah yang lebih kuat, bukankah kita sudah banyak berjasa menjaga dan memelihara Yusuf sendiri, tetapi kenapa dia yang lebih disayangi? Apakah kerana Yusuf lebih mulia daripada kita? dan tidak ada keterangan yang dapat aku percayai yang menyatakan bahawa Yusuf lebih mulia. Apakah kerana Rahil, ibunya lebih dekat di hati bapa daripada ibu-ibu kita sendiri? Kalau begitu apa kesalahan si anak meskipun berlainan kecintaan terhadap ibu-ibu kita? Kalau begitu bapa kita sungguh-sungguh keliru sekali.’ 

Berkata pula seorang yang lain: ‘Kelebihan bapa terhadap Yusuf sudah terang, seperti terangnya matahari tengah hari. Kesayangan itu timbul dalam hati dan sangat berkuasa. Kesayangan itu tidak dapat dihilangkan hanya dengan kata-kata dan pujukan, tidak dapat dengan kepintaran akal sebab cinta itu berdiri atas akal itu sendiri. Selama Yusuf masih berada dalam lingkungan keluarga kita, selama itulah cinta bapa kepadanya akan terus berlangsung, sebaliknya kita akan di ketepikan. Tidak ada jalan lain yang dapat melaksanakan niat kita, kecuali menghapuskan Yusuf dari pergaulan kita, dengan membunuhnya dan menghilangkan semua bukti atas pembunuhan itu, atau kita bawa dia ke tempat yang jauh, kita berikan kepada binatang buas atau kita kuburkan hidup-hidup di gurun pasir yang panas itu. Lama kelamaan sayang bapa kepada kita akan timbul dengan sendirinya, kerana Yusuf yang dicintainya sudah tidak ada lagi. Kemudian kita mohon ampun kepada Allah S.W.T atas semua dosa yang kita lakukan itu. Sesudah itu kita tidak akan berbuat jahat lagi.’ 

Lalu tampil pula ke depan untuk berbicara iaitu Yahuza, seorang yang paling baik hatinya di antara kesemua adik beradik itu, paling dalam pemikirannya dan tajam pula otaknya: ‘Kita sekalian adalah anak Nabi Yaakub, keturunan dari Nabi Ibrahim yang mulia. Kita mempunyai akal dan agama. Pembunuhan tidak dibenarkan oleh akal dan dilarang keras oleh agama. Sedang Yusuf tidak bersalah sedikit pun, tidak pernah berdosa, juga tidak pernah berbuat tidak baik terhadap kita. Bila kamu sekalian ingin menjauhkan Yusuf dari kita, bawa sajalah dia ke telaga Jub, yang letaknya jauh dari sini, tempat orang singgah mengambil air. Tinggalkan Yusuf di telaga itu, agar dia diambil orang-orang yang lalu lintas di sana sebagai anak angkatnya. Biar dibawa orang itu ke mana mereka pergi, sehingga Yusuf tidak dapat kembali ke tengah-tengah kita buat selama-lamanya. dengan jalan begini, kita terhindar dari dosa pembunuhan’ Pandangan Yahuza ini masuk akal mereka, mereka lalu sepakat akan menjalankannya selekas mungkin. 

Pagi-pagi lagi keesokan harinya, mereka pergi bersama-sama mengunjungi Nabi Yaakub, lalu berkata: ‘Ya, bapa kami! Percayalah bapa kepada kami tentang Yusuf. Dia adalah saudara kami sendiri, anak bapa semuanya. Kami cinta kepadanya sebagaimana sayang bapa sendiri terhadapnya. Biarkanlah besok pagi dia pergi bersama-sama kami ke bukit itu, di mana udara agak sejuk dan pemandangannya indah, dengan langit yang bersih tidak berawan, matahari yang bersinar. Kami ingin bermain-main dengan dia, bersama-sama memanjat memetik buah, menggembala kambing. Kalau bapa izinkan, kami sekalian akan bertanggungjawab atas keselamatannya, kekuatan dan keberanian kami akan menjaganya, jiwa kami sekalian menjadi pertaruhannya.’ 

Mendengar perkataan itu, Nabi Yaakub menjawab: ‘Aku bimbang akan terjadi sesuatu akibat yang kurang baik, yang tidak diinginkan. Aku tidak berkeberatan Yusuf jauh dari aku, yang aku bimbangkan takut kalau-kalau kamu pergi dengan dia kamu terlalai, lalu dia ditangkap serigala dan dimakannya; kamu kembali tanpa Yusuf, tentu aku berhati sedih.’ 

Mereka menjawab pula: ‘Apakah dia akan ditangkap serigala, sedang kami semua menjaganya? Tidak seorangpun di antara kami ini penakut dan berbadan lemah. Bila terjadi apa yang bapa bimbangkan itu, kami sekalian turut kehilangan saudara kami sendiri.’ 

Kendatipun tetap bimbang, tetapi Yaakub tidak dapat menjawab pembelaan mereka, selain hanya berkata: ‘Kalau begitu jagalah Yusuf baik-baik jangan dilalaikan sedikitpun dari penglihatan dan apa yang kamu kerjakan Allah S.W.T-lah yang mengetahuinya.’ 

Keesokan harinya, mereka membawa Nabi Yusuf bersama-sama ke tempat yang jauh sejauh-jauhnya, menuju ke telaga yang sudah ditentukan mereka. Sebelum sampai ke telaga, niat mereka yang buruk itu tidak dapat mereka bendung lagi, kerana desakan hati yang jahat, kedengkian yang memuncak. Setelah sampai di telaga, Nabi Yusuf ditelanjangi dan mereka masukkan ke dalamnya. Mereka lalu pulang sambil membawa bajunya, Yusuf ditinggalkan sendirian di dalam telaga yang dalam, menunggu nasib takdir Ilahi atas dirinya. 

dengan jalan begitu menurut sangka mereka, mereka telah dapat mengubati sakit hati selama ini; mereka menyangka bahawa lama kelamaan bapa mereka akan melupakan Nabi Yusuf dan tidak akan mengingatinya lagi, mereka lupa akan kekuasaan Allah S.W.T. Mereka lupa bahawa Allah S.W.T selalu dapat melepaskan hamba-Nya yang tidak bersalah, melindungi orang yang Dia kehendaki. 

Tatkala senja hari, mereka sudah kembali di rumah; lalu datang menemui bapa mereka dengan kata-kata dan kalimat yang sudah mereka susun, untuk membohongi orang tua tersebut. dengan bertangisan tersedu-sedu, sambil memegang baju Yusuf yang sudah dilumuri dengan darah yang mereka cari sendiri untuk berbohong, lalu berkata: ‘Ya, bapa kami! Rupanya terjadi juga apa yang bapa bimbangkan itu. Yusuf terlalai sebentar dari pandangan mata kami kerana kami berjalan dahulu. Tidak kami ketahui, bahawa tatkala itu seekor serigala telah menerkam Yusuf, lalu memakannya. Hanya tinggal bajunya yang sudah berlumuran darah saja. Inilah bajunya itu, sebagai bukti dari apa yang kami terangkan. Kami amat sedih. Barangkali juga bapa tidak percaya kepada kami, kendatipun kami berkata benar.’ 

Yaakub menjawab dengan sedihnya: ‘Nafsu kedengkian kamu telah menyebabkan kejadian yang mengerikan ini. Kejadian itu sudah terjadi. Tidak ada yang lebih baik bagiku selain bersabar, sampai datang saatnya nanti, di mana akan ternyata apa sebenarnya yang terjadi. Hanya kepada Allah S.W.T aku mohon pertolongan atas segala-galanya.’ 

 

Satu Ujian yang Berat

 

Di dalam telaga yang dalam, yang terletak jauh di tengah-tengah padang pasir, gelap dan sunyi pula, sungguh merupakan satu ujian yang berat bagi insan yang bernama Yusuf. Memang sudah menjadi kudrat dan iradat Allah S.W.T yang Maha Kuasa, untuk menguji hamba-Nya yang taat dan berbakti kepada-Nya dengan berbagai-bagai cubaan yang berat. Bukan dengan maksud menyeksa dan menyakitinya. dengan pengertian beginilah kita harus memahami akan segala nasib dan musibah yang menimpa diri berbagai-bagai Nabi, Rasul dan orang-orang suci lainnya. 

Dibandingkan dengan lain-lain ujian yang pernah diderita oleh para Nabi dan Rasul, mungkin cubaan yang dialami Nabi Yusuf ini agak ringan juga. Hanya yang paling berat dirasakan oleh Nabi Yusuf, adalah kerana yang melakukan pekerjaan ini terhadap dirinya bukanlah orang lain, tetapi adalah adik beradiknya sendiri dan sedarah dengan baginda yang menjadi musuhnya. Nabi Yusuf tetap tenang dalam telaga yang gelap dan dalam itu, sebagai seorang yang mulia, tahan uji serta tabah. 

Matanya mulai melihat keliling dinding telaga yang curam dan dalam. Tidak ada yang dapat dilihatnya kerana gelap, selain air yang tenang dan jernih dari telaga itu. Bagaimana perasaan Yusuf dan apakah gerangan yang menjadi pemikirannya ketika itu, susah kita menekanya. yang terang, ingatannya selalu pergi kepada bapanya yang begitu sayang dirinya. Terbayang dalam fikiran Nabi Yusuf bagaimana sedih bapa yang ditinggalkannya, sedih yang tidak dapat dibayangkan dengan pena atau lisan. 

Laparpun mulai menyerang perutnya. Tetapi di mana dia akan beroleh makanan? dan berapa lamakah dia akan dapat menahan lapar? Semuanya itu diserahkannya bulat-bulat kepada Allah S.W.T yang Maha Kuasa lagi Amat Bijaksana. Dalam menanggung rasa sedih dan lapar yang sedang memuncak itu, tiba-tiba terdengar jelas wahyu Ilahi menembusi jiwanya: ‘Sabar dan tabahlah engkau, hai Yusuf! Aku Tuhanmu akan memberi jalan lepas kepadamu, Aku pertemukan engkau dengan saudara-saudaramu itu, tetapi sesudah bertahun-tahun kemudian.’

Setelah menerima wahyu yang demikian bunyinya, hilanglah kesedihan dan kesengsaraan batin yang diderita Yusuf. Baginda menunggu bagaimana caranya bantuan Allah S.W.T itu datang kepadanya. Sejurus kemudian, telinganya mulai mendengar detak-detik, gerak dan geri di atas padang pasir sekitar telaga itu. Telinganya dipasangnya sebaik-baiknya 

Terbukti bahawa suara itu semakin dekat dan semakin terang. Akhirnya ternyata bahawa suara itu adalah suara tapak kaki manusia yang sedang berjalan. Ternyata akhirnya, bahawa dekat tempat itu sedang lalu satu kafilah, iaitu rombongan musafir unta di padang pasir. Bibir Nabi Yusuf mulai memperlihatkan senyuman, kembang harapan mulai merekah dan terbuka dalam kalbunya. Saat terlepas rupanya sudah dekat waktunya. 

Terdengar jelas, para musafir itu melepaskan tongkat mereka di tepi telaga itu, tanda bahawa mereka mengambil tempat itu sebagai tempat istirahat. Terdengar pula suara pemimpin kafilah memerintahkan seseorang untuk mengambil air dari telaga itu untuk melepaskan dahaga mereka serta dahaga unta-untanya. 

Sebuah gayung air yang besar meluncur dari atas ke dalam telaga itu, tepat jatuhnya di hadapan Nabi Yusuf; dengan segera Nabi Yusuf merangkul gayung itu serta berpegang dengan kedua tangannya pada tali gayung. Tali ditarik orang ke atas, akhirnya tiba di permukaan bumi. Baru saja orang yang menarik gayung itu melihat wajah Nabi Yusuf yang sedang berpegang pada tali gayung itu, dia menjerit sekuat hatinya kerana gembira: ‘Nah, alangkah untungnya, ini adalah seorang anak, anak yang cantik molek.’ Segera Nabi Yusuf dikerumuni oleh semua manusia yang turut dalam rombongan kafilah itu. dengan riang gembira dan penuh kehairanan, dari mana datangnya anak ini. 

Akhirnya mereka sepakat akan menjual Nabi Yusuf, bila sudah tiba di kota yang mereka tuju; kerana begitu kehendak sebahagian mereka yang ingin mendapatkan keuntungan untuk diri sendiri, kendatipun ada pula di antaranya yang berperikemanusiaan, ingin mengembalikan Nabi Yusuf kepada orang tuanya, atau ingin menjadikan Nabi Yusuf sebagai anak angkat. 

Kafilah itu lalu meneruskan perjalanan menuju ke negeri Mesir. Nabi Yusuf dibawa ke pasar hamba untuk dijual. Akhirnya Nabi Yusuf dijual dengan tidak banyak tawar menawar, hanya dengan beberapa dirham saja. Mereka jual dengan murah, ada yang kerana kasihan dan keikhlasan hati, ada pula yang kerana takut kalau-kalau menjadi perkara yang berpanjangan. yang sebenarnya seluruh kekayaan yang ada di permukaan bumi ini, belum tentu cukup untuk harga diri Nabi Yusuf yang mulia dan suci itu. Nabi Yusuf dibeli oleh seorang pembesar negara Mesir, yang memegang tampuk kekuasaan dalam negara itu, Futifar namanya. dan juga menjadi salah seorang menteri yang terbesar. 

dengan gembira dan rasa beruntung, pembesar itupun segera membawa Nabi Yusuf pulang ke rumahnya, lalu ditunjukkan kepada isterinya sambil berkata: ‘Anak ini menurut tanda-tanda yang aku lihat pada dirinya dari keterangan tabiat dan wajahnya, adalah seorang anak yang berasal dari orang yang mulia dan terhormat. Terimalah dia dalam kekeluargaan kita, beri tempat yang terhormat kepadanya, jangan diperlakukan sebagai khadam, jangan dianggap sebagai hamba belian, kendatipun dia memang kita beli sebagai hamba. Aku yakin, bila anak ini sudah dewasa, menjadi orang yang berumur, akan memberi manfaat kepada kita, atau mari kita ambil dia sebagai anak angkat kita sendiri.’

Isteri pembesar itupun turut senang dan gembira dengan adanya Nabi Yusuf di kalangannya, seperti anaknya sendiri yang berkebetulan dia sendiri tidak punya anak. 

Begitulah Nabi Yusuf tinggal di rumah itu seperti rumahnya sendiri. Baginda turut mengerjakan segala sesuatu yang wajar dikerjakannya, dengan rajin dan penuh dipercayai sebagai keluarga, bukan sebagai hamba atau khadam. Baik lakunya terhadap anggota rumah tangganya, begitu juga terhadap tetangga dan orang-orang yang berdekatan dengan baginda.

 

Nabi Yusuf Dalam Penjara

 

Nabi Yusuf masuk penjara bukanlah kerana mencuri atau membunuh, tetapi kerana desakan dari isteri pembesar yang memeliharanya dan kerana doanya sendiri kepada Allah S.W.T, kerana tidak tahan baginda di tengah-tengah masyarakat yang selalu menggodanya. Sungguhpun begitu dalam penjara baginda sebilik dengan perompak dan pembunuh, penjahat-penjahat besar yang kasar dan tidak berbudi. Disebabkan pergaulan dengan mereka, makin kuatlah imannya, makin tabah hati dan jiwanya, makin banyak rahsia masyarakat dapat diketahuinya, makin besar keagungan Ilahi dapat dirasakannya. 

Selama tinggal di dalam penjara itu, waktunya selalu digunakan untuk merawat orang-orang yang sakit, memberi nasihat kepada yang bersalah dan berdosa, mengajar berbagai ilmu dan hikmat yang suci kepada penjahat-penjahat itu, lalu pada suatu hari datanglah kepadanya wahyu yang pertama, menyatakan baginda diangkat Allah S.W.T menjadi Nabi dan Rasul-Nya. 

Seterima wahyu yang pertama itu segera Nabi Yusuf menjalankan tugas kerasulannya di dalam masyarakat penjara itu dengan menyeru mereka kepada menyembah Allah S.W.T, menjauhkan kesyirikan dan kejahatan. Dinyatakannya kepada mereka, bahawa baginda adalah Nabi dan Rasul Allah S.W.T yang diberi perintah untuk membawa mereka ke jalan yang benar. Tiba-tiba masuklah pula ke dalam penjara itu dua orang pemuda. yang pertama bekas tukang kebun raja, sedang yang kedua-dua bendahara raja. Setelah lama hidup dalam masyarakat penjara dan merasa sengsara dan kesusahan, tiba-tiba pada suatu malam kedua-dua-dua pemuda itu bermimpi, mimpi yang aneh dan ajaib, sehingga mereka jadi gelisah sebelum dapat mengetahui akan takwil mimpi masing-masing. 

Tidak lain yang mereka harapkan untuk mentakwilkannya, selain dari Nabi Yusuf, kerana hanya Nabi Yusuf yang paling mereka percayai, juga sudah mereka ketahui, bahawa Nabi Yusuf adalah Nabi dan Rasul Allah S.W.T. dengan kenabian dan kerasulannya itu, tentu baginda mengetahui banyak rahsia yang ajaib, begitu juga berkenaan dengan takwil mimpi. Pagi-pagi lagi pemuda itu telah datang menghadap Nabi Yusuf.

Mula-mula berkata tukang kebun raja menceritakan mimpinya: ‘Aku bermimpi bahawa aku sedang berada dalam sebuah kebun kurma yang sangat lebat buahnya, menghijau warnanya dan seakan-akan di tangan aku ini ada sebiji gelas kepunyaan raja; dengan gelas itulah aku memeras buah-buah kurma untuk dijadikan air anggur.’ 

Berkata pula orang yang kedua-dua, iaitu bendahara raja: ‘Aku bermimpi bahawa aku membawa sebuah keranjang di atas kepala aku yang penuh dengan bermacam-macam roti dan makanan. Tiba-tiba terbang melayang di atas kepala aku burung-burung helang, lalu menyambar akan semua roti dan makanan itu, dibawanya terbang ke tempat yang sangat jauh.’

Sebelum menerangkan akan takwil mimpi kedua-dua-dua pemuda itu, Nabi Yusuf mengambil kesempatan dahulu untuk menjalankan dakwahnya terhadap orang ramai dengan berkata: ‘Aku ini adalah Nabi dan Rasul Allah S.W.T. Aku akan kemukakan takwil mimpi kedua-dua pemuda ini dengan apa yang diwahyukan Allah S.W.T kepada aku, wahyu yang sudah barang tentu akan kebenarannya. Bukan seperti tukang-tukang tenung dan nujum yang hanya menggunakan pertolongan syaitan yang menjadi musuh Allah S.W.T, dan belum tentu kebenaran terkaan terhadap tenungannya itu. Sekarang akan aku terangkan takwil mimpi kedua-dua pemuda ini menurut apa yang diwahyukan Allah S.W.T kepada aku, yang boleh kamu jadikan bukti atas kebenaran apa yang aku kata dan ajarkan kepadamu...’ 

‘Takwil mimpi pemuda pertama, ialah bahawa dia segera akan keluar dari penjara ini dan kembali bekerja seperti sebelum masuk penjara iaitu menjadi tukang kebun raja. Adapun takwil pemuda yang kedua, ialah bahawa dia akan dihukum salib, bangkainya akan dimakan oleh burung-burung.’ 

Kemudian kepada pemuda yang akan keluar dari penjara itu, Nabi Yusuf berpesan, agar disampaikan kepada raja, bahawa di dalam penjara ini ramai orang yang tidak bersalah yang dihukum, hanya dengan tuduhan-tuduhan yang tidak benar belaka, agar hal ini mendapat perhatian raja sepenuhnya. Kebenaran takwil mimpi yang diterangkan Nabi Yusuf ini ternyata kemudian dan Nabi Yusuf bertahun-tahun lamanya masih tetap merengkuk dalam penjara.

 

Cubaan yang Jauh Lebih Hebat

 

Penghidupan tenang di rumah pembesar itu, Nabi Yusuf telah dapat melupakan akibat susah hati selama dalam telaga, ataupun kesedihan bercerai dengan bapanya yang disayangi. Baginda semakin besar dan usia remaja dengan tampan mukanya yang manis, sifat perangainya yang baik, hidup yang teratur. Ditambah pula dengan hiasan yang dipakaikan kepadanya semakin menarik dan kacak. Kerana kekacakan wajah inilah menyebabkan baginda kembali merasakan cubaan yang jauh lebih hebat dari yang sudah sudah. 

Setelah Nabi Yusuf melewati zaman kanak-kanak dan memasuki usia remaja, dengan kekacakan rupanya itu telah menyebabkan timbul rasa yang tidak dapat dihalang dalam kalbu isteri pembesar yang memelihara Nabi Yusuf. Menjadi impian baginya segala gerak-geri Nabi Yusuf, cara datang dan pergi, cara berdiri dan duduk, lebih-lebih lagi cara berkata-kata, ditambah dengan halus budi dan akhlaknya. Bahkan menarik hati cara tidur dan jaga, gerak-geri pada waktu makan dan pada waktu minum, pendek kata segala gerak dan diamnya. 

Kasihnya selama ini terhadap Nabi Yusuf menjadi semacam tumbuhnya cinta asmara. dan cinta itu bila telah tumbuh, walau macam mana penghalangpun namun ia tidak dapat dihalang. Berbeza dengan tumbuh-tumbuhan bumi, makin dihalang makin subur tumbuhnya, makin kuat tunasnya dan makin dalam jalan urat dan akarnya. Dia tahu yang dia tidak sepatutnya menaruh cinta terhadap Nabi Yusuf, anak angkatnya. Lebih-lebih lagi dia seorang isteri pembesar yang paling tinggi di negara Mesir. 

Bagaimanakah cara dia akan menyalurkan cintanya ini? Inilah masalah yang besar yang dihadapinya, dan inilah masalah yang sukar yang perlu dia pecahkan segera. Cintanya semakin mendalam hari demi hari. Kerana hebatnya, kadang-kadang pada suatu waktu cintanya itu telah mendesak mahu memecah benteng hawa dan nafsu. dengan seluruh kekuatan jiwa dan raga yang ada padanya, dicubanya menahan cinta, mengekang hawa. Inilah perjuangan yang dihadapi dalam rumah tangga dan dalam dirinya sendiri saban hari dan malam dengan tidak henti-henti. Kerana kerasnya mengerahkan seluruh kekuatan dalam perjuangan ini, kelihatanlah badannya semakin kurus dan warnanya semakin pucat. Tetapi terus memeras kekuatan jiwanya menahan serangan cinta dan hawa nafsu tersebut. 

Malang baginya, dia rupanya tidak menang dalam perjuangan ini, tetapi kalah dan terpaksa menyerah kepada hawa nafsunya. Ingat dia akan kedudukannya, tetapi diketepikan saja kedudukannya itu. Tahu pula yang kerjanya itu nanti akan menggegarkan mahligai dan istana yang dia diami itu, bahkan akan menggoyangkan seluruh tanah air Mesir yang dipimpin suaminya. Tetapi, dia terpaksa menyerah kalah. 

Mulai dia mengajak Nabi Yusuf berbicara memujuk rayu. Tetapi Nabi Yusuf seorang yang terhormat. Akhirnya si isteri itu penat dan bosan hanya dengan pujuk rayu, dia ingin berterus-terang kepada Nabi Yusuf. Setelah dia memakai sebaik-baik pakaian yang ada padanya, berwangi-wangian dengan minyak wangi yang paling tersohor harumnya, tatkala di rumahnya itu hanya dia bersama Nabi Yusuf saja, lalu ditutuplah semua pintu dan jendela, terus datang mendekati Nabi Yusuf dan berkata: ‘Marilah Yusuf dekati aku!’ 

Kendatipun Nabi Yusuf dalam usia remaja, tetapi kerana dadanya sudah dipenuhi Allah S.W.T dengan hikmat, jiwanya sudah dikuasai oleh wahyu Ilahi sebagai seorang bakal diangkat Allah S.W.T menjadi Nabi, dapatlah baginda mengatasi suasana genting dan berbahaya itu. 

Nabi Yusuf menjawab ajakan itu: ‘Aku berlindung diri kepada Allah S.W.T dari apa yang engkau kehendaki itu. Jauhkan aku akan berbuat khianat terhadap tuanku yang telah memelihara diriku ini, tidak akan kucemarkan dia yang kuhormati ini.’ Sungguh hebat cubaan yang dihadapi dan perlu diatasi Nabi Yusuf 

Mendengar jawapan Nabi Yusuf itu dan setelah ternyata segala daya upayanya untuk menyampaikan niatnya dengan Nabi Yusuf tidak tercapai, timbullah marah dalam dadanya, marah yang membakar seperti cintanya yang berkobar-kobar juga. 

Timbul niat jahat dalam hatinya terhadap Nabi Yusuf, ingin membalas dendam, kendatipun dengan cara yang jahat. Dalam berfikir-fikir tindakan apa yang harus dilakukan Nabi Yusuf menghadapi kejadian itu, tiba-tiba datanglah wahyu Ilahi kepadanya, di mana dinyatakan, bahawa Nabi Yusuf lebih baik lari saja dari tempat kejadian itu. Nabi Yusuf segera menjalankan apa yang tercatat dalam wahyu itu. Baginda lari menuju ke pintu. Tetapi bajunya dapat dipegang oleh perempuan itu dari belakang sampai koyak! 

Tepat ketika itu tuan rumah (pembesar) datang dan membuka pintu dari luar, kelihatan dengan dua mata kepalanya sendiri apa yang sedang terjadi dalam rumahnya, antara Nabi Yusuf dan isterinya. Keadaan sungguh meragukan terhadap si suami, siapakah yang menjadi pokok pangkal segala kejadian ini? Di situlah keluar sifat-sifat kejahatan seorang perempuan, ada saja akal untuk menutup kejahatan dirinya, untuk menyalahkan orang yang sebenarnya tidak bersalah. 

Perempuan itu lalu berkata kepada suaminya: ‘Yusuf sudah merosakkan kehormatan dirimu, tidak menjaga akan kedudukanmu. Dia akan mengotori aku, memaksa mendatangi aku. Maka apakah gerangan balasan yang setimpal bagi orang yang ingin mencemarkan kehormatanmu dan isterimu sendiri, selain penjara dan seksaan yang sepedih-pedihnya.’ 

Nabi Yusuf terpaksa berterus-terang menerangkan apa yang sebenarnya sudah terjadi dan berkata: ‘Bahawa dialah yang mendatangi diriku!’ Sejurus kemudian masuklah ke situ anak bapa saudara perempuan itu sendiri; seorang yang bijaksana lagi lurus, dapat menghukum dengan adil. Setelah dia mendengar berbagai-bagai keterangan yang bertentangan itu, dia lalu berkata: ‘Bila baju Yusuf itu koyak bahagian depan, maka benarlah perempuan itu dan Yusuflah yang berbohong; tetapi bila baju Yusuf itu koyak bahagian belakangnya, maka Yusuflah yang benar, perempuan itulah yang bohong.’ 

Setelah dilihat bahawa yang koyak itu adalah baju Nabi Yusuf bahagian belakang, maka teranglah sudah bahawa Nabi Yusuf tidak bersalah, hanya perempuan itulah yang mendatanginya. Pembesar itu lalu berpaling kepada isterinya dan berkata: ‘Memang ini adalah tipu daya perempuan dan kecemarannya, minta ampunlah engkau atas dosamu itu, kerana sudah terang engkaulah yang bersalah.’ Kepada Nabi Yusuf pembesar itupun berkata: ‘Engkau sendiri, hai Yusuf, hendaklah menahan lidahmu dari bercakap tentang kejadian ini, jangan kejadian ini sampai diketahui orang ramai.’ 

Tetapi walau bagaimana juga, kejadian itu ditutup tutup, namun lambat-laun diketahui orang ramai juga. Memang sepandai-pandai orang membungkus yang busuk, akhirnya berbau juga. Khabar ini telah tersiar luas di dalam kota, setiap hari menjadi buah bibir setiap perempuan, bahkan telah menjadi pembicaraan setiap raja dan keluarga istana di mana-mana: ‘Isteri Aziz (Pembesar) itu terpedaya oleh anak peliharaannya yang berbangsa Ibrani, jatuh cinta kepadanya kerana kacaknya anak itu, cinta yang telah membawa dia mencemarkan kehormatan istana dan kedudukannya, menurutkan nafsu. Sedang anak itu bukan main baik dan zuhudnya, tidak tertarik kepada kecantikan perempuan pembesar itu kerana jiwanya yang suci, dapat menahan nafsu remajanya dengan keyakinannya yang tebal.’ 

Lama kelamaan khabar itu makin tersebar luas, malah banyak ditambah di sana sini dengan berbagai-bagai cerita, sehingga banyak pula yang sampai ke telinga isteri pembesar itu sendiri. Sedih dan marah dia mendengar tambahan-tambahan yang tidak benar itu. Tetapi apa yang dapat dia lakukan? Semua senjata akan tumpul kalau berhadapan dengan suara orang ramai, suara perempuan-perempuan pula. 

Lama dia berfikir untuk mencari jalan yang sebaik-baiknya untuk membalas kata-kata yang tidak benar itu, tetapi jalan itu tidak kelihatan sedikit pun. Dia terus mencari dan berfikir. Akhirnya dia mendapat akal dan jalannya. Dia mengundang semua perempuan kota datang ke rumahnya menghadiri satu pesta besar yang diadakannya berhubung dengan hari besar. Tempat diatur sebagus-bagusnya, makanan disediakan seenakenaknya, minum-minuman berbagai rupa, buah-buahan yang ranum manis. 

Undangan ini mendapat sambutan yang hangat sekali dari perempuan-perempuan yang tinggal dalam kota, lebih-lebih lagi perempuan-perempuan yang menaruh perhatian terhadap kejadian yang sudah menjadi percakapan orang ramai selama ini. Selain ingin menjadi tetamu pembesar, juga ingin mengetahui keadaan isteri yang tergoda dan juga untuk mengetahui anak muda yang bernama Yusuf itu sendiri. 

Bukan main meriahnya pertemuan itu, perbualan dan ketawa silih berganti. Bermacam-macam makanan dan minuman tidak putus-putus dihidangkan untuk di santap bersama-sama. Di akhir sekali dihidangkan pula buah-buahan yang manis manis rasanya. Kepada masing-masing yang hadir itu diserahkan sebilah pisau untuk memotong dan mengupas sendiri akan buah-buahan yang disajikan itu. 

Ketika masing-masing yang hadir itu asyik mengupas buah dengan pisau, isteri pembesar yang menjadi tuan rumah, memerintahkan kepada Nabi Yusuf untuk keluar ke tengah-tengah pertemuan perempuan itu untuk memperkenalkan dirinya. Nabi Yusuf keluar, berjalan di antara barisan perempuan yang ramai itu. 

Baru saja perempuan-perempuan itu melihat wajah Nabi Yusuf yang seperti bulan penuh, rambutnya yang ikal licin, alisnya seperti semut seiring, matanya seperti kejora pagi, pipinya yang seperti pauh dilayang, bibirnya seperti limau se ulas, kekacakan terletak pada semua bahagian badannya, terletak pada tiap gerak-gerinya, maka kagumlah mereka memandangnya, bahkan lupa akan diri masing-masing, bercampur-aduk akal dan fikiran. dengan tidak sedar pisau yang ada di tangan masing-masing itu bukan mereka potongkan buah-buahan yang ada di tangan, tetapi mereka potongkan tangan dan jari mereka sendiri dan tidak pula mereka merasa sakit perihnya. 

Bukanlah ini manusia, kata mereka dengan kagum. Tetapi adalah Malaikat yang mulia. Melihat kejadian itu, isteri pembesar itupun bertepuk tangan kegembiraan, kerana usahanya telah berjaya. Lalu berkata dengan megahnya: ‘Inilah dianya Yusuf yang selalu kamu cakapkan itu, dan selalu kamu sekalian mencaci maki aku dengan kata-kata berhubung kejadian antara aku dengan dia baru-baru ini. Sekarang kamu sekalianpun setengah gila memandangnya, hanya pandangan yang sekejap saja. Sedang aku setiap hari dan malam melihatnya, memandang duduk dan berdirinya, datang dan perginya. dengan pandangan yang selintas lalu ini saja kamu telah lupa akan diri masing-masing. Lihatlah kamu sudah memotong jari jarimu sendiri dengan pisau. Tidakkah kamu sekalian merasa pedih dan perih dilukai oleh pisau itu?’ 

‘Aku akui di hadapanmu sekalian, memang akulah yang telah jatuh cinta kepadanya dan mendatanginya, tetapi dia tetap enggan dan berlindung diri kepada Tuhannya, dia berpaling dan menjauhkan diri. dengan terus terang aku akui di hadapanmu sekalian, bahawa aku memang tidak begitu kuat untuk menahan hatiku sendiri terhadap dirinya.’ 

Berbagai-bagailah ucapan hadirin perempuan itu terhadap Nabi Yusuf sekarang. Ada yang berkata bahawa Nabi Yusuf itu Malaikat, sudah sewajarnya kalau isteri pembesar itu terpedaya olehnya. Ada pula yang kagum melihat ketabahan jiwa Nabi Yusuf menghadapi isteri pembesar yang kaya dan cantik itu, sehingga baginda tidak tersesat dan tetap enggan, kendatipun baginda tahu yang isteri pembesar itu selain cantik dan kaya, besar pula kekuasaannya. Bila Nabi Yusuf dapat menurutkan kehendaknya, tentu seluruh kekayaan dan kehebatan isi istana itu dapat pula dikuasai Nabi Yusuf. Kenapa baginda tidak mahu dan tetap enggan? dan sekiranya Nabi Yusuf menolak kehendak perempuan itu, baginda dapat melakukan apa yang dikehendakinya terhadap Nabi Yusuf, mungkin akan dibunuh atau dibuang jauh. Apakah Nabi Yusuf tidak takut kepada semua itu? 

Mendengar semua itu, Nabi Yusuf hanya berlindung diri kepada Allah S.W.T, bertunduk kepala berdoa agar baginda dijauhkan Allah S.W.T dari tipu daya perempuan: ‘Ya, Tuhanku! Penjara yang gelap lagi sempit itu lebih baik bagiku daripada dalam istana tetapi menghadapi perempuan-perempuan cantik yang selalu menggoda itu. Mudah-mudahan dalam penjara itu nanti dapatlah aku bertambah sabar, dapat menghitung nikmat dan pemberian Engkau, dapat menyelami rahsia kebesaran Engkau, ya Allah. Kalau aku di sini, ya Allah, selalu berhadapan dengan perempuan-perempuan yang menggoda aku, aku takut dan bimbang kalau-kalau semangatku lemah, imanku luntur, syaitan menang dalam menggodaku sehingga aku terperosok masuk ke lembah kehinaan dengan mereka. Ya Allah, penjara lebih baik bagiku daripada tergoda seperti ini, jauhkan juga aku dari penggodaan itu, dan aku adalah hamba-Mu yang bodoh.’ 

Isteri dari pembesar sendiripun kerana tidak tahan berhadapan dengan Nabi Yusuf, minta kepada suaminya, supaya Nabi Yusuf dikurung saja dalam penjara. Permintaan ini dikemukakan dengan tidak boleh ditawar-tawar lagi. 

untuk melepaskan perempuan itu dari kesengsaraan batinnya, juga untuk mengabulkan doa Nabi Yusuf kepada Tuhannya, tidak lama kemudian Nabi Yusufpun dimasukkan ke dalam penjara, ditutup seperti orang-orang jahat, kendatipun baginda sendiri tidak pernah berbuat jahat. Dalam penjara itu baginda bekerja sebagaimana banduan-banduan penjara lainnya. Semua dilakukannya dengan penuh kesabaran. Dalam penjara itulah Nabi Yusuf menghabiskan hari muda remajanya yang kacak itu dan di dalam penjara itu jugalah mula-mula sekali datang kepadanya wahyu Allah S.W.T yang pertama, dengan wahyu mana baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul Allah S.W.T. Penjara dan telaga Jub yang sebelumnya itulah rupanya menjadi tempat latihan untuk menerima risalahnya, sebagaimana Gua Hira bagi Nabi Muhammad S.A.W., sengsara dalam pengembaraan bagi Nabi Ibrahim dan lain-lain.

 

Menakwil Mimpi Raja

 

Raja sendiri akhirnya bermimpi yang sangat aneh pada suatu malam, sehingga beliau berasa gelisah, takwil apakah gerangan dari mimpinya yang aneh itu. Lalu dipanggilnya semua orang cerdik pandai, tukang telek dan pembesar-pembesar kerajaan. Ditanyakan kepada mereka itu kalau ada yang tahu akan takwilnya dengan berkata: ‘Aku bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus. Aku lihat pula tujuh tangkai gandum yang subur dan tujuh tangkai pula yang kurus kering.’ 

Tidak seorangpun di antara yang dapat mentakwilkan mimpi raja. Mereka mengatakan bahawa itu adalah mimpi perintang tidur saja dan ada pula yang mengatakan pengaruh angan-angan sebelum tertidur. Masing-masing tidak mengetahui akan takwil mimpi tersebut. 

Sungguhpun begitu, raja belum juga senang hatinya, tetap gelisah. Lebih-lebih lagi setelah dikaji dan diselidiki dalam sejarah hidupnya sendiri, belum pernah baginda bermimpi seperti itu, tidak pernah pula baginda mendengar orang lain bermimpi demikian. Keinginannya untuk mengetahui takwil mimpi tersebut bukan berkurangan. Setelah tukang kebun raja mendengar khabar ini, dia segera teringat akan Nabi Yusuf yang sedang merengkuk dalam penjara yang pernah mentakwilkan mimpinya sendiri dengan tepat. Dia dengan cepat datang menghadap raja dan berkata: ‘Ya tuanku, di dalam penjara ada seorang pemuda yang mulia, mempunyai fikiran yang dalam, pemandangan yang luas, dapat membukakan keajaiban-keajaiban alam dengan akalnya, dapat mentakwilkan mimpi dengan tepat. Tuanku utuslah aku ke sana pasti aku kembali dengan membawa takwil mimpi tuanku itu dengan yakin kebenarannya.’ 

Raja gembira mendengar pendapat tukang kebunnya itu. Baginda lalu mengutus tukang kebunnya itu menemui Nabi Yusuf di dalam penjara. Sesampainya di penjara utusan itu berkata: ‘Ya Nabi Yusuf, saudaraku yang mulia, aku datang mengganggu akan ketenanganmu. Aku minta fatwa tentang mimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, lantas melihat tujuh tangkai gandum yang rimbun dan tujuh tangkai pula yang hampa serta kering. Mudah-mudahan dengan takwil yang akan engkau berikan itu dapatlah engkau diketahui oleh umum kaumku dan berterima kasih kepada engkau atas segala kelebihan dan kebaikan engkau itu.’ 

Nabi Yusuf menjawab dan menerangkan, bahawa takwil mimpi itu adalah bahawa negara kita menghadapi masa tujuh tahun yang penuh dengan segala kemakmuran dan keselamatan, berkembang biaknya segala ternakan, tumbuh subur semua tanaman, semua orang akan merasa senang dan bahagia. Tetapi sebaik habis tujuh tahun itu, akan menyusul pula tujuh tahun masa yang penuh dengan kesengsaraan dan kesusahan hidup, ternakan tidak berkembang biak, tanaman tidak berbuah, udara panas dan kering, air kurang dan manusia menderita kelaparan yang hebat. Tetapi sesudah habis kedua-dua masa itu, akan datang pula masa selanjutnya yang makmur dan tenteram, masa suburnya tumbuh-tumbuhan dan ternakan, masa memperbaiki segala kerosakan negeri. Pada masa itu setiap rakyat akan dapat merasakan lazatnya berbagai buah-buahan. Itulah takwil mimpi tersebut menurut apa yang diwahyukan Allah S.W.T kepada aku. Oleh kerana itu, bila apa yang aku nyatakan ini terbukti nanti, maka hendaklah pada masa tujuh tahun yang makmur dan damai itu, digunakan sebaik-baiknya untuk menyimpan segala gandum yang masih bertangkai, untuk digunakan bagi mengurangi kesengsaraan dan kelaparan umat pada tujuh tahun berikutnya. Keperluan makan selama tujuh tahun pertama, baiknya hanya dipakai sekadar perlu saja.’ 

Setelah raja diberitahu tentang takwil mimpinya itu, raja mengakui bahawa takwil itu memang terbit dari pemandangan dan fikiran yang dalam dan jauh ke hadapan. Raja memerintahkan agar Nabi Yusuf dibawa ke hadapannya, dengan harapan mudah-mudahan baginda mempunyai pandangan-pandangan yang lain yang berguna dan ilmu-ilmunya yang perlu untuk keselamatan bersama. Utusan raja kembali mendatangi Nabi Yusuf dan mengkhabarkan akan keputusan dan panggilan raja terhadap dirinya: ‘Raja memanggil engkau, ya Yusuf, kerana raja memerlukankan nasihat-nasihatmu dan akan mengangkat engkau ke darjat yang tinggi,’ demikian kata utusan itu mengajak Nabi Yusuf. 

dengan tenang Nabi Yusuf memenuhi panggilan tersebut. Baginda keluar dari penjara gelap, sudah bertahun-tahun lamanya hidup di situ dengan tidak pernah melihat wajah bulan purnama. Sekian lama baginda hanya memakan makanan penjara yang kering, kurang garam. Sekian lama juga hanya tidur di atas tikar yang terhampar di atas tanah yang terdiri dari gurun pasir. Tetapi sebelum keluar baginda minta lebih dahulu kepada raja, untuk memanggil semua perempuan yang sudah memotong tangan mereka sendiri dengan pisau, untuk diterangkan kepada mereka bahawa baginda sendiri tidak bersalah apa-apa dalam hal itu, hanya merekalah yang bersalah dan berdosa. Rajapun segera memanggil semua perempuan yang memotong jarinya itu dan berkata: ‘Bagaimanakah pandangan kamu sekalian terhadap Yusuf, kerana beliau akan aku lepaskan dari penjara.’ 

Mereka menjawab, bahawa Nabi Yusuf seorang pemuda yang suci murni, tidak pernah bersalah dan berbuat yang tidak baik. Berkata pula isteri pembesar yang telah tergoda dan yang memelihara Nabi Yusuf pada waktu itu: ‘Memang sudah terlalu lama Nabi Yusuf di dalam penjara tanpa kesalahan apa-apa. Akulah yang bersalah kerana tidak dapat menahan hawa nafsu terhadap dirinya. Aku tahu bahawa beliau selalu menjaga kehormatanku dan kehormatan suamiku, tetap memegang teguh ajaran Tuhannya. Akulah yang menyebabkan dia masuk penjara, Akulah yang menyebabkan dia menanggung sengsara demikian rupa. dengan pengakuan ini aku akui bahawa akulah yang mengajak dia menghampiri aku dan dia segan akan ajakan aku itu.’

Dilantik Menjadi Menteri

 

dengan pengakuan para perempuan dan isteri pembesar itu sendiri bersihlah Nabi Yusuf dari segala sangka dan tuduhan selama ini. Bukan bersih semata-mata, malah bertambah baik namanya di kalangan masyarakat ramai, setelah setiap orang yang keluar dari penjara itu menerangkan dalam masyarakat akan sifat dan perangai Nabi Yusuf di dalam penjara.

Atas segala keterangan ini, raja menjadi tertarik hatinya untuk melantik Nabi Yusuf menjadi ajudan raja, lalu raja berkata kepadanya: ‘Berdasarkan apa yang aku ketahui tentang dirimu, budi-pekertimu, pandangan dan pengetahuanmu, maka mulai hari ini engkau kuangkat menjadi aminku, menjadi orang kepercayaan tempat aku bertanya meminta nasihat-nasihat. Maka engkau mulai hari ini berkuasa atas kerajaan kita ini, engkau berkewajiban memperbaiki yang kurang baik dalam negara dan memajukannya menurut apa yang engkau rasa baik. Semuanya aku serahkan kepadamu untuk memutuskan dan mengendalikan-nya.’ 

Kerana Nabi Yusuf sudah tahu apa yang akan terjadi sebagaimana bunyi takwil mimpi yang sudah ditakwilkannya itu, di mana akan datang masa makmur, maka Nabi Yusuf minta supaya kepadanya diserahkan kementerian kemakmuran, ekonomi dan kewangan, kerana Nabi Yusuf tahu bahawa makanan dan wanglah yang menjadi pokok pangkal keselamatan dan kesengsaraan sesebuah negara di atas dunia ini. Baginda minta kedudukan-kedudukan itu kepada raja dengan keyakinan, bahawa baginda dapat menghindarkan umat dari kesengsaraan dan kelaparan yang akan datang tersebut.

Permintaan Nabi Yusuf dipenuhi raja. Baginda menjadi seorang menteri yang berkuasa penuh. Demikianlah caranya Allah S.W.T telah menempatkan Nabi Yusuf di tempat yang selayaknya, sesudah bertahun-tahun lamanya di dalam latihan dan penjara. Kendatipun baginda bekas penghuni penjara tetapi semua perkataannya didengar dan diturut orang, segala aturan yang dibuatnya dapat dijalankan rakyat dengan patuhnya; baginda menjadi buah bibir dan kecintaan rakyat yang diperintahnya, juga dicintai oleh raja-raja lain yang menjadi jiran negaranya. Kendatipun sebelum ini baginda pernah dipenjarakan, dibuang ke dalam telaga, diperjualbelikan dan sebagainya. 

Sudah tujuh tahun Nabi Yusuf memegang tampuk kekuasaan, menjalankan rencana politik dan kemakmuran. Negeri Mesir menjadi bertambah makmur, rakyatnya semakin bersatu-padu, taat dan berdisiplin. Masa tujuh tahun itu digunakan sebaik-baiknya untuk memperbanyakkan gandum simpanan, untuk menghadapi masa tujuh tahun yang panas dan terik, yang sengsara dan lapar itu. 

Masa tujuh tahun berikutnya itupun datanglah. Kerana terik dan panasnya, tidak terdapat air mengalir, sehingga matilah semua binatang dan tanaman, maka melaratlah semua penduduk negeri. Tetapi kerana persediaan yang cukup yang telah diselenggarakan oleh Nabi Yusuf selama tujuh tahun berturut-turut, maka tidak seorangpun di antara rakyat Mesir yang mati kelaparan musim tersebut. Kesengsaraan dan kelaparan tatkala itu bukan hanya menimpa negeri Mesir saja, tetapi menimpa juga negeri-negeri yang berdekatan dan berjiran dengan Mesir sampai ke Kanan, di mana bertempat tinggal Nabi Yaakub dengan anak-anaknya yang dinamakan Asbat itu.

Kebaikan perekonomian Mesir ketika yang genting itu dikenal oleh negara-negara yang berjiran dengan Mesir. Orang ramaipun sudah mengerti bahawa Mesir dipimpin oleh seorang menteri yang amat pintar, yang adil dan berbudi tinggi. Kerana itu, bangsa-bangsa dan Negara-negara yang terletak di sekitar Mesir itu kendatipun berlainan bangsa dan warna kulit, tidak malu-malu datang minta pertolongan di Mesir untuk mengatasi kesengsaraan rakyat di negara masing-masing. 

 

Saudara Datang Mengadap

 

Pada suatu hari Nabi Yaakub yang sudah sangat tua dan buta matanya itu berkata kepada anak-anaknya: ‘Hai anak-anakku, kesengsaraan ini akan menimpa diri kita juga. Sebab itu cubalah kamu pergi, beri pelanalah unta-untamu itu, pergilah menuju ke negeri Mesir, di mana sekarang ini berkuasa seorang yang paling adil dan baik, namanya masyhur ke mana-mana. Kerana kebijaksanaannya, Mesir tetap tidak kelaparan dan tetap makmur. Cubalah minta pertolongan kepada pembesar yang adil berbudi itu. Tetapi janganlah kamu pergi dengan membawa Bunyamin. Biarlah dia tinggal bersamaku di rumah. Kalau tidak begitu dengan siapakah aku akan berhibur sedih sepeninggalan kamu sekalian, menjelang kamu kembali. Aku doakan mudah-mudahan kamu selamat dalam perjalanan, dilindungi oleh Allah S.W.T dan ditunjukkan-Nya pula jalan yang lurus.’ 

Pada suatu hari, penjaga pintu kamar kerja Nabi Yusuf mengetuk pintu, lalu masuk dan berkata kepada Nabi Yusuf: ‘Di luar ada sepuluh orang lelaki, yang kelihatan persamaan keadaan mereka dan kelihatan dari wajah mereka bahawa kedatangan itu bukan dengan niat yang kurang baik. Mereka kelihatannya asing di negeri kita ini, berlaku sebagai tetamu dari jauh. Itu terbayang dari bahasa dan gerak-gerinya sebagai orang baru yang agak kehairanan. Mereka minta izin masuk, ingin bertemu dengan engkau, hendak mengemukakan hal-hal yang mereka bawa berhadapan mata dengan engkau.’

Setelah Nabi Yusuf memberi izin, merekapun masuk. Semuanya adalah saudara-saudara Nabi Yusuf sendiri, anak-anak Nabi Yaakub yang diperintahkan bapanya datang ke Mesir, untuk minta bantuan bahan makanan. Sebagai seorang yang kuat ingatannya, bijaksana dan pintar, Nabi Yusuf tidak lupa kepada mereka. untuk kebaikan dan kelancaran urusan yang menyebabkan kedatangan mereka itu, Nabi Yusuf mendiamkan apa-apa yang sudah diketahuinya itu terhadap mereka. Sedang mereka rupanya tidak sedikitpun menyangka, bahawa yang mereka hadapi itu adalah saudara mereka, yang dahulu pernah mereka buang ke dalam telaga Jub. 

Nabi Yusuf menyambut mereka dengan sebaik-baik sambutan dan diperlakukannya sebagai tetamu yang istimewa dan terhormat. Mereka dipersilakan duduk di tempat yang ditentukan, kerana Nabi Yusuf ingin mendengar berita-berita penting dari mereka, mahu mengetahui keadaan mereka sekarang ini. 

Sekarang mereka sudah duduk bersama di sekitar Nabi Yusuf, Nabi Yusuf mulai bertanyakan ini dan itu: ‘Kamu sekalian sudah aku sambut sebagai tetamu yang harus kuhormati dan menjadi haklah bagiku terlebih dahulu untuk bertanyakan sesuatu hal tentang keadaanmu dan maksud kedatanganmu ke mari. Aku ingin tahu lebih dahulu siapakah sebenarnya saudara-saudara ini semua?’ 

Salah seorang di antaranya menjawab: ‘Ya, Tuanku yang budiman! Kami ini semuanya bersaudara. yang sebenarnya saudara-saudara kami berjumlah dua belas orang, semuanya keturunan Nabi yang mulia, Rasul yang besar. Sepuluh orang di antaranya kami yang dua belas bersaudara itu, diutus oleh Nabi mulia iaitu bapa kami, untuk menghadap tuan ke mari. Cita-cita kami semuanya bergantung pada diri tuan seorang. Adapun saudara kami yang kesebelas, kami tinggalkan bersama orang tua kami, untuk mengurus keperluan bapa kami yang sudah tua dan mengurus rakyat yang kami tinggalkan. Mengenai saudara kami yang kedua belas, sudah lama tidak lagi di samping kami. Kami tidak mengetahui, apakah dia sudah diangkat Allah S.W.T ke rahmat-Nya, ataukah dia masih melayarkan bahtera hidupnya di bumi luas ini, semua itu tidaklah kami ketahui. Demikianlah keadaan kami yang sebenarnya.’ 

Berkata pula Nabi Yusuf: ‘Aku percaya segala yang kamu kemukakan itu benar semuanya. Sungguhpun begitu, kebenaran sesuatu keterangan itu kurang jelas bila tidak ada bukti yang nyata dan dapat dilihat oleh mata. untuk menenangkan hati aku, aku minta dari kamu sekalian saksi dan bukti kebenaran dari apa yang kamu ceritakan itu. Bukankah kamu mengatakan tadi bahawa kamu bersaudara sebelas orang ramainya. Cubalah bawa ke hadapan aku yang seorang lagi, kerana yang ada sekarang ini hanya sepuluh orang saja.’ 

Jawab mereka: ‘Ya, Tuanku! Kami di sini jauh sekali dari kampung halaman kami, jauh dari keluarga dan kawan-kawan kami. Tidak begitu mudah kami membawa seseorang saksi dari kampung kami, lebih-lebih lagi kami sudah kekurangan perbekalan untuk pulang dan kembalinya.’ 

Jawab Nabi Yusuf: ‘Aku akan menyediakan perlengkapan dan perbekalan bagimu secukupnya. Agar kamu kembali ke kampungmu selekas mungkin, bawalah ke mari saudaramu yang masih tinggal itu, cukuplah dia seorang untuk menjadi saksi dan bukti atas kebenaran apa yang kamu katakan tadi. Bila kamu kembali bersama dia ke mari, aku akan menyambutmu lebih gembira dari sekarang ini dan akan aku lipat-gandakan barang perlengkapan dan perlengkapan kamu. Hanya inilah syarat dan permintaanku dan hanya ini jugalah janjiku kepada kamu. Tetapi bila kamu tidak membawa dia ke mari, jangan diharapkan bahawa permintaanmu akan aku kabulkan dan tidak ada gunanya kedatanganmu kembali nanti.’ 

Mereka menjawab pula: ‘Kami sangsi bahawa bapa kami tidak dapat mengizinkan saudara kami yang seorang itu dibawa ke mari, kami sangsi juga apakah dia cukup bersabar hati berpisah dengan adik kami itu. Tetapi baiklah akan kami cuba membawanya dengan keterangan-keterangan yang dapat dia percayai dan semua itu akan kami jalankan, insya-Allah.’

Nabi Yusuf lalu memerintahkan kepada orang-orang bawahannya untuk menyediakan perbekalan dan perlengkapan mereka. Diberinya bekalan yang jauh lebih banyak dan bekalan tersebut bukan saja merupakan bahan makanan seperti yang diminta mereka, tetapi ditambah dengan emas perak untuk mereka perjualbelikan, agar mereka benar-benar kembali ke tempat ini lagi dengan harapan yang tidak kosong. Mereka segera bertolak kembali ke negeri mereka dengan perasaan lega, disebabkan sambutan Nabi Yusuf yang sangat memuaskan yang menjadikan kenang-kenanganan mereka, dengan memperoleh buah tangan dan tandamata yang sangat berharga. 

Sebaik tiba di negeri mereka, segera mereka menemui Nabi Yaakub, menceritakan pengalaman dan apa yang sudah berlaku antara mereka dengan pembesar Mesir itu sambil berkata: ‘Kami sudah menemui pembesar itu, ya bapa, rupanya dia adalah seorang yang sangat baik, seorang menteri yang murah hati, dimuliakannya kedatangan kami, ditanyakannya hal ehwal kami, diberinya kami tempat sebaik-baiknya, dilengkapinya kami dengan perbekalan-perbekalan yang banyak dan hadiah yang berharga. Hanya saja ada sebuah syarat yang dimintanya dari kami, iaitu bahawa dia tidak akan memberi bahagian apa-apa lagi kepada kami dan tidak akan mempercayai kami, sebelum kami datang kembali kepadanya sambil membawa saudara kami kesebelas yang ditinggalkan bersama bapa. Sebab katanya kalau bukti itu ternyata tidak dapat kami tunjukkan kepadanya, dia tidak percaya akan kebenaran kata-kata kami itu. Oleh kerana itu izinkanlah adik Bunyamin dibawa oleh kami esok hari ke Mesir dan akan kami jamin keselamatannya, tidak akan kami sia-siakan lagi. dengan kedatangan kami bersama dia nanti, akan menambah berhasilnya atas kedatangan kami itu. Percayalah bapa kepada kami.’

Sambil mengeluh Nabi Yaakub berkata kepada mereka: ‘Tidak sanggup lagi aku mengizinkan dia pergi bersamamu. Aku tidak sanggup berpisah dengan dia. Masih ingatkah kamu sekalian, apa yang terjadi pada Yusuf dahulu? Janganlah kamu cuba memperdayakanku yang kedua kalinya lagi, cukuplah sudah sekali itu saja aku ditipu olehmu.’ 

Mendengar jawapan itu, lalu mereka membuka semua bungkusan pembawaan mereka. Dikeluarkan dari bungkusan-bungkusan itu emas dan perak. Kesemuanya mereka serahkan kepada Nabi Yaakub sambil berkata: ‘Bapa, kami tidak berbohong, inilah buktinya atas perkataan kami yang sesungguhnya, kami benar-benar telah bertemu dengan Pembesar Mesir yang ternama itu. Bagaimana benarnya ucapan kami tentang hal ini, begitu juga besarnya tentang syarat yang diminta oleh pembesar itu. Percayalah bapa, izinkanlah dia bersama kami besok. Kalau kami tidak kembali lagi bersamanya, kami akan tebusi dengan jiwa kami sekalian.’ 

Setelah Yaakub melihat bukti-bukti kebenaran yang mereka katakan itu, baginda mulai percaya kepada mereka dan merasakan sendiri akan syarat yang diberikan oleh Pembesar Mesir itu. Akhirnya baginda mengabulkan permintaan itu dengan mengizinkan Bunyamin turut serta dalam penjalanan tersebut, tetapi dengan penjanjian dan ikrar yang keras: ‘Dia harus kembali dengan sihat walafiat, kalau tidak, kamu akan menerima takdir yang tidak dapat direkakan hebatnya dan kamu tidak akan diakui sebagai anakku lagi.’ 

Setelah mereka menerima baik segala janji dan ikrar itu dengan bersumpah dan mempertaruhkan keimanan mereka, lalu berkata: ‘Allah S.W.T menjadi saksi atas segala yang kami katakan itu.’ 

Mereka berangkat bersama Bunyamin yang diminta oleh Nabi Yusuf supaya dibawa. Setelah berjalan jauh, menurun dan mendaki berhari dan bermalam, akhirnya sampailah mereka di tempat yang dituju, lalu minta izin masuk untuk bertemu dengan Nabi Yusuf. Baru saja Nabi Yusuf melihat akan saudaranya sendiri turut serta, bukan main gembiranya baginda untuk memeluk dan menciumi saudaranya itu, tetapi seluruh perasaannya disembunyikan saja. Mereka dipanggil untuk dijamu bersama-sama dan diaturnya duduk berdua-dua. Kerana mereka berjumlah sebelas orang, maka tinggallah Bunyamin duduk menyendiri. Melihat dia duduk sendiri itu, Bunyamin lalu mengenangkan nasibnya yang malang itu, seraya menangis tersedu-sedu dan berkata dengan suara yang gugup-sayup terdengar: ‘Kalau Yusuf masih ada, tentu dialah yang duduk di sampingku sekarang ini.’ 

Melihat itu Nabi Yusuf lalu tampil dan menjadi teman Bunyamin. Rumah tempat tinggalpun disediakan untuk dua orang dan Nabi Yusuf jugalah yang tinggal bersama Bunyamin. Nabi Yusuf serumah dan bermalam dengan Bunyamin. Nabi Yusuf lalu bercakap-cakap dengan Bunyamin yang dicintainya itu: ‘Sukakah engkau menjadikan aku sebagai ganti saudaramu yang telah meninggal itu?’ 

Bunyamin menjawab: ‘Memang tidak ada orang yang lebih baik dari tuan sendiri. Namun sayang, tuan bukan dianakkan oleh Yaakub dan bonda Rahil.’ 

Mendengar jawaban Bunyamin itu, Nabi Yusuf tidak dapat menahan air matanya, lalu menangis tersedu-sedu sambil berdiri dan mencium Bunyamin, baginda berkata membukakan rahsianya: ‘Aku ini adalah saudaramu yang selama ini engkau sebut-sebut dan kau rindukan. Akulah Yusuf saudaramu itu. Aku sudah mengalami banyak pengalaman kerana buah perbuatan saudara-saudara kita. Banyak pengalamanku yang sedih dan pahit. Aku pernah ditimpa fitnah yang paling berat. Tetapi itu semua kulawan dengan kesabaran dan ketetapan hati, sambil berjuang mengatasinya atas cubaan-cubaan itu. Akhirnya Allah menunjukkan jalan bagiku, sehingga yang sengsara kini menjadi kaya, yang pernah difitnah sekarang menjadi orang yang berkuasa. Tetapi hal ini sekali-kali janganlah engkau ceritakan kepada saudara-saudara kita untuk sementara waktu. Tutuplah dahulu rahsia ini serapat-rapatnya terhadap mereka.’ 

Tidak dapat diterangkan bagaimana perasaan Biunyamin pada waktu itu setelah mengetahui bahawa yang bercerita itu adalah Yusuf saudaranya. Begitu juga perasaan Nabi Yusuf sendiri! 

Beberapa hari sudah berlalu dengan tenang. Maka sudah sampai waktu untuk pulang. Tetapi Nabi Yusuf ingin membuat sesuatu yang agak menggemparkan terhadap mereka. Setelah semua perbekalan dan alat-alat yang diperlukan dalam penjalanan itu disediakan, begitu juga buah tangan untuk dibawa pulang, lalu Nabi Yusuf memerintahkan kepada seorang suruhannya, agar ke dalam barang-barang yang akan dibawa oleh Bunyamin, dimasukkan dengan diam-diam sebuah timbangan kepunyaan negara. Baru saja mereka berangkat keluar dari Kota Mesir, tiba-tiba mereka ditahan orang sambil berkata: ‘Berhenti dan turun semua, kamu ini adalah pencuri.’ Alangkah terkejut dan gemparnya mereka mendengar tuduhan seberat itu: ‘Apakah maksudmu menuduh kami, kami ini bukan pencuri seperti yang kamu tuduh itu. Barang apakah yang sudah kami curi dari kamu?’ 

Orang itu menjawab: ‘Kami kehilangan timbangan (cupak) kepunyaan raja, dan kami mempunyai persangkaan, bahawa kamulah yang telah mengambilnya. Sebab itu kalian kami tahan dan kami berkuasa untuk menahanmu.’ 

‘Demi Allah S.W.T kami datang ke mari bukan untuk merosak dan mencuri,’ jawab saudara-saudana Nabi Yusuf. 

‘Kita tidak usah bertengkar panjang-panjang, izinkan saja kami memeriksa segala bungkusan yang kamu bawa ini. Hukuman apakah yang akan kamu jalankan nanti, bila mana barang itu terdapat dalam bungkusanmu?’ kata orang itu lagi. Jawab saudara-saudara Nabi Yusuf: ‘Kami ini adalah orang-orang yang mempunyai undang-undang, mempunyai agama pula. Menurut undang-undang dan agama kami, bila seseorang kedapatan mencuri, dia harus ditawan dan boleh dijadikan hamba oleh orang yang mempunyai barang itu. Inilah undang-undang negeri kami yang selalu kami patuhi dan tunduk kepadanya. Tetapi kami yakin bahawa kami tidak mencuri apa-apa.’ 

 

Sebagai Orang Terdakwa

 

Akhirnya perkara tersebut dibawa ke hadapan Nabi Yusuf, untuk mempersaksikan janji-janji yang telah dikemukakan mereka sebagai orang-orang terdakwa. Tiap bungkusan diperiksa dengan teliti, seorang demi seorang. Tidak seorangpun di antara sepuluh orang pertama yang membawa barang curian itu. Sekarang tibalah giliran Bunyamin untuk diperiksa segala bungkusannya, iaitu pemeriksaan yang penghabisan. Baru saja bungkusan Bunyamin dibuka, terdapatlah di situ cupak (timbangan) yang dikatakan hilang itu. Cupak itupun segera dipertontonkan kepada mereka. Alangkah terkejut dan terperanjat mereka, malu yang tidak terkatakan besarnya. 

Nabi Yusuf lalu berkata kepada mereka: ‘Sekarang kita tinggal menjalankan undang-undang dan memenuhi janji yang sudah kamu ucapkan tadi. Orang yang bersalah kami tahan dan memang sudah menjadi hak bagi kami untuk menahannya.’

‘Ya, Tuanku,’ keluh mereka. ‘Bapanya sudah sangat tua, sudah melewati dua usia (lapan puluh tahun lebih), bapanya sungguh berat berpisah dengannya. Dia diizinkan dibawa oleh kami ke mari hanya untuk kali ini saja, bagi memenuhi permintaan tuanku atas kebenaran kami, namun dengan perjanjian bahawa dia harus bersama kami bila mana kami pulang kembali. Kami ini semuanya berjumlah sepuluh orang. Ambillah oleh tuanku salah seorang di antara kami untuk menggantikannya dan kami percaya bahawa tuanku adalah orang yang sangat baik hati.’ 

Berkata pula Nabi Yusuf: ‘Kami berlindung kepada Allah S.W.T, bahawa kami tidak akan menahan orang yang tidak mengambil barang kami, sebab kalau demikian halnya, bererti kami orang aniaya.’ 

Sambil menitiskan air mata, mereka meminta agar Bunyamin dapat dibawa pulang akan tetapi permintaan tidak dapat dikabulkan. Akhirnya mereka berputus asa untuk memperoleh Binyamin kembali. Berkatalah ketika itu seorang yang terbesar di antara mereka, iaitu Yahuza: ‘Kita sekalian sudah bersumpah kepada bapa kita, bahawa Bunyamin pasti pulang dengan selamat, tetapi sekarang ternyata Bunyamin tertinggal, apakah daya kita? Apakah kita dahulu sudah menghilangkan Yusuf dari bapa dan ketika itupun kita sama-sama bersumpah juga. Hati bapa yang luka dan sedih kerana hilangnya Yusuf belum sembuh, air mata bapa setiap hari masih terus mengalir. Kita telah berdosa besar kepada Yusuf dan dosa itu kita ulangi lagi terhadap Bunyamin. Aku benjanji bahawa aku tidak akan meninggalkan negeri ini, hingga bapa aku memberi izin untuk kembali atau Allah S.W.T menjatuhkan hukuman atas diri aku, kerana Allah S.W.T adalah sebaik-baik pemberi hukum. Sebab itu pulanglah engkau sekalian, tinggalkan aku dan katakan kepada bapa nanti, bahawa Bunyamin telah mencuri, tetapi kita sendiri tidak melihat bahawa dia mencuri dan apa yang sebenarnya tersembunyi dalam hal ini kita tidak mengetahuinya. Baliklah bapa supaya menanyakan kepada orang-orang di bumi tempat kita berpijak di situ dan orang-orang di kafilah yang berada di hadapan kita ketika itu, semuanya akan menjadi saksi bahawa perkataan kita itu benar.’ 

Mereka sembilan orangpun pulang menuju kampung halaman, sedang Yahuza tinggal di Mesir, begitu juga dengan Bunyamin ditawan oleh pembesar Nabi Yusuf. Baru saja Yaakub melihat bahawa Bunyamin tidak pulang bersama mereka, hatinya rasa disayat untuk kedua kalinya, bercampur geram yang tidak dapat dibayangkan. Lalu baginda bertanya: ‘Apa pula yang kamu telah lakukan atas diri saudaramu? Mana sumpah dan janji yang sudah kamu ucapkan itu? Cuba ceritakan apa kejadian yang sebenarnya!’ 

Semua kejadian itu mereka ceritakan. Yaakub lalu memalingkan muka menyisihkan diri menuju ke dalam kamarnya bersembunyi diri dan berkata: ‘Hal itu sudah terjadi juga, maka sabar jugalah yang lebih baik, kerana hanya Allah-lah yang dapat menolong atas semua apa yang diceritakan itu. Mula-mula aku kehilangan Yusuf, sekarang kehilangan Bunyamin dan Yahuza pula. Mudah-mudahan Allah S.W.T akan mendatangkan mereka yang telah hilang itu bersama-sama, kerana Allah S.W.T Allah S.W.T Maha Mengetahui, Maha Kuasa dan Maha Pintar.’

Nabi Yaakub lenyap ke dalam gelombang dan gelora sedih. Gelombang dan gelora sedih yang datang silih berganti. Segenap tulang temulang dan urat sarafnya kini penuh dengan kesedihan, sejak dari hujung rambut hingga ke hujung tumit; lubang kecil sebuahpun tidak ada yang dapat ditembus angin untuk mengurangkan kepedihan yang menyeksa batinnya. Hanya ada dua ketika saja yang boleh menggembirakannya dalam keadaan sekarang ini. Pertama ialah ketika baginda menyembah dan bersujud kepada Allah S.W.T, baginda bermunajat dan berserah diri kepada Allah S.W.T dalam sembahyangnya, menuang jiwanya dengan iman, sabar dan yakin. Kedua ialah ketika baginda mengingatkan wajah Nabi Yusuf dan Bunyamin. Ketika mengingat dan membayangkan wajah kedua-dua orang anaknya itu timbul rasa gembira dalam kalbunya, seakan-akan baginda benar-benar bertemu dengan kedua-dua anaknya itu, kendatipun hanya sedetik, sesaat belaka yang segera diringi pula oleh air mata dan sedu tangis yang tidak ada hentinya, air mata panas yang membakar jantung, bukan air mata dingin yang dapat mengurangkan kesedihan. 

‘Akan sia-sia sajakah air mata dan sedu sedanku sebanyak itu?’ tanya Yaakub kepada dirinya, sebaik habis baginda mencurahkan air mata dan menangis tersedu-sedu itu. ‘Air mataku ini dijadikan Allah S.W.T tentu bukan untuk disia-siakan belaka,’ katanya pula yang diperintah oleh rasa keimanan dan kesabaran. 

Sungguhpun keimanan dan kesabarannya sentiasa memujuk hatinya yang duka, namun badan Yaakub bertambah kurus, matanya semakin putih, akhirnya baginda tidak dapat bergerak lagi kerana lemah, matanya sudah tidak dapat melihat lagi disebabkan terlalu banyak mengeluarkan air mata. 

 

Tidak Akan Berputus Asa

 

Pada suatu pagi sebaik habis baginda sembahyang dan berdoa ke hadrat Tuhannya kembali badannya menjadi gementar, lalu baginda menangis dan air matanyapun tercurah pula; baginda mengeluh panjang: ‘Ya Asafa ala Yusuf,’ katanya dengan suara yang putus, seakan-akan baginda melihat sendiri akan Nabi Yusuf yang berada jauh di sana. 

Melihat keadaan bapanya yang demikian itu, salah seorang di antaranya memanggil saudara-saudara yang lain untuk memeriksa bagaimanakah keadaan bapanya kini dengan cara bagaimana untuk dapat membantu dan meringankan kesedihan hatinya yang tidak terhingga itu. Salah seorang di antaranya lalu berkata kepada Yaakub: ‘Hai, bapa kami. Engkau adalah Rasul yang benar, Nabi yang mulia. Wahyu Allah S.W.T turun kepada engkau, ya bapa, dari engkaulah keluarnya nasihat dan petunjuk. Tetapi mengapa bapa sampai demikian rupa? Sudah cukup rasanya air mata yang bapa keluarkan, sehingga sudah kurus kering badan bapa lantaran itu Demi Allah, sentiasa bapa teringat kepada Yusuf, sehingga keadaan bapa menjadi sakit atau mungkin meninggal dunia.’ 

Berkatalah Yaakub: ‘Semua usahamu akan sia-sia belaka, takkan ada yang dapat menyembuhkan penyakitku ini, sebelum aku dapat bertemu dengan Yusuf dan dapat melihat wajahnya. Kendatipun Yusuf sudah mati dimakan serigala sebagaimana ucapanmu, tetapi selama aku masih dapat menghirup udara dan masih berada di bawah lindungan langit yang biru, aku dapat merasakan suatu perasaan yang berada dalam jiwa dan lubuk jantungku, wahyu Allah S.W.T telah berhembus dalam hatiku, sehingga aku masih mempunyai kepercayaan bahawa Yusuf masih menghirup udara yang kuhirup, masih bernaung di bawah langit biru yang melindungiku ini. Hanya saja aku tidak mengetahui padang pasir manakah yang sedang dijalaninya sekarang ini, entah ke timur atau ke barat tujuan perjalanannya. Inilah yang menyebabkan kesedihan dan kepiluan hatiku. Bila kamu sekalian ingin menyembuhkan aku dari penyakitku dan menghilangkan segala kesedihan hatiku, pergilah kamu menjelajahi bumi Allah S.W.T yang luas ini, carilah di mana Yusuf sekarang berada, walaupun kamu sudah mengatakan bahawa dia sudah binasa. Carilah dia dengan segala kesungguhan dan kesabaranmu dan janganlah kamu sampai berputus asa, kerana tidak akan berputus asa selain mereka orang-orang yang kafir.’ 

Kata-kata yang keluar dari mulut Yaakub yang sudah tua itu, sungguh menusuk lubuk hati mereka, dicucukkanlah tiap-tiap kata yang diucapkan oleh Yaakub itu dengan rahsia-rahsia yang mereka simpan selama ini. Teringatlah mereka, bukankah Nabi Yusuf tidak jelas matinya, kerana mereka hanya melemparkannya hidup-hidup ke dalam telaga Jub itu? Mungkin dia dapat keluar dari telaga itu dan setelah dia dapat keluar terus mengembara ke sana ke mari. Tetapi di manakah gerangan Yusuf sekarang ini? 

Sungguhpun tentang Nabi Yusuf masih meragukan hati mereka, tetapi mengenai Bunyamin, jelas masih ada, sedang dalam tawanan raja dan tempatnyapun sudah dikenalinya pula. Timbullah gerak dalam hati mereka untuk cuba mendapatkan Bunyamin lebih dahulu, kemudian baru berikhtiar mencari Nabi Yusuf, sebab mereka beranggapan, dengan kembalinya Bunyamin lebih dahulu, sedikitnya dapat juga mengurangi kesedihan hati bapa mereka. 

Mereka lalu minta izin untuk berangkat kembali ke tanah Mesir, mengadap pembesarnya yang masyhur itu, dengan maksud untuk meminta saudaranya yang ditawan itu dengan permohonan setinggi-tingginya, harapan yang sebesar-besarnya, lebih tinggi dari langit dan lebih besar dari bumi. 

Setibanya di negeri Mesir, segera mereka mendapatkan pembesar (Nabi Yusuf) serta menyampaikan permohonan: ‘Ya Tuanku Pembesar, keadaan memaksa kami untuk kembali ke mari mengadap tuan. Kehendak kami akan menetap di sini mendatangkan sembah dan sujud kepada tuan. Hari yang selalu berubah. Bahan-bahan yang telah tuan serahkan kepada kami semuanya telah habis, sedang keadaan di tempat kami masih tetap susah, sedang bahaya kelaparan masih tetap mengancam kami. Kami sengaja datang kembali untuk minta atas segala kemurahan hati tuan, agar tuan suka memberi sedekah lagi kepada kami, untuk dapat menahan hidup kami. Begitu juga bila tuan masih menyukai dan berbuat baik terhadap kami, sudilah kiranya tuan melepaskan saudara kami yang sedang tuan tahan itu, agar dengan cara demikian dapatlah air mata bapa kami yang selalu bercucuran itu ditahannya, begitu juga jantung dia dapat diringankan.’ 

Ketika itu Nabi Yusuf berpendapat, bahawa sudah datanglah waktunya kini untuk membukakan rahsianya yang selalu ditutupnya, bagi memaklumkan kepada saudara-saudaranya, bahawa dialah Yusuf, agar mereka mengakui atas kebenaran dan kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan. 

Berkatalah Nabi Yusuf kepada saudara-saudaranya itu: ‘Ingatkah kamu sekalian akan awal cerita pada waktu kamu masih kecil-kecil? Kamu diperkudakan oleh hawa nafsu dan dengki, menurutkan pengaruh buruk dari syaitan, sehingga Yusuf kamu buang ke dalam telaga, kemudian saudaranya yang tinggal selalu kamu goda dan kamu hinakan. Masih teringatkah kamu, ketika salah seorang di antaranya yang terkuat dengan kedua-dua belah tangannya yang kuat itu memaksa Yusuf membuka semua pakaiannya? Sedang Yusuf ketika itu menangis terisak-isak minta dikasihani, tetapi tidak ada seorangpun di antaramu yang merasa kasihan kepadanya dan dengan kasar kamu lemparkan dia ke dalam telaga yang jauh terpencil di tengah-tengah gurun Sahara yang panas, dan di sanalah juga kamu tinggalkan Yusuf sendirian menunggu nasib dan takdir Tuhannya.’ 

Mendengar cerita Nabi Yusuf itu, mulailah mereka tercengang-cengang, kehairanan. dari siapakah pembesar itu tahu akan riwayat itu semua? Apakah dari Bunyamin? Tetapi Bunyamin sendiri tidak turut serta ketika itu, tidak pula mengetahui sedikitpun tentang kejadian itu dan tidak seorang manusiapun yang tahu. 

Setelah menyimpulkan pendapat bahawa tidak seorangpun manusia yang mengetahui akan kejadian itu, mereka memerhatikan benar-benar akan gerak-geri orang yang berkata-kata di hadapan mereka, diingat-ingatkan akan bentuk dan keadaan diri Nabi Yusuf, akhirnya yakinlah mereka bahawa semua tanda yang dapat mereka ingat, memang bersamaan dengan orang yang berada di hadapan mereka itu, lalu berkatalah mereka: ‘Sesungguhnya engkau inilah kiranya Yusuf.’ 

dengan segera Nabi Yusuf menjawab: ‘Betul aku adalah Nabi Yusuf, dan ini Bunyamin adalah saudaraku sendiri. Allah S.W.T telah mempertemukan kami, kerana dia adalah hamba Allah S.W.T yang takwa dan penyabar, sedang Allah S.W.T tidak akan menyia-nyiakan jasa hamba-Nya yang sabar itu.’ 

Mendengan kisah itu, berubahlah warna muka mereka, terkejut dan lebih terperanjat, dari mendengar petir yang dahsyat. Mulut mereka menjadi tertutup tidak dapat berkata-kata, badan mereka menjadi kaku tidak dapat bergerak rasanya. Kalau bumi mempunyai mulut dan mengangakan mulutnya itu, rupanya mereka rela masuk ke dalamnya, agar ditelannya habis ketika itu juga. 

Tetapi Nabi Yusuf dengan segera menyabarkan mereka, dijelaskannya bahawa mereka tidak akan menerima pembalasan apa-apa, kerana mereka itu saudaranya sendiri, saudara sebapa, kendatipun dahulu mereka pernah berbuat kejahatan terhadap dirinya. Nabi Yusuf berkata kepada mereka: ‘Aku tidak akan bertindak apa-apa atas dirimu sekalian. Allah S.W.T telah mengampuni segala dosamu. Allah S.W.T Maha Pengampun dan Maha Pengasih.’ 

 

Bertemu Anak yang Dirindui

 

Kembali kita kepada Nabi Yaakub yang sedang ditimpa cubaan besar silih berganti, sebagaimana halnya yang dialami oleh Nabi Yusuf sendiri. Memang kedua-dua orang itu adalah orang-orang suci yang lurus dalam menerima cubaan yang bagaimanapun juga hebat dan dahsyatnya, cubaan yang tidak mungkin dapat di atasi oleh sebarang manusia. 

Demikianlah, pada suatu pagi setelah Nabi Yaakub selesai mengerjakan sembahyang, sebaik habis berdoa dan mengingat akan Allah S.W.T, baginda kembali menangis tersedu-sedu, baginda seorang diri kerana tidak ada orang yang menemaninya. Tiba-tiba tangisnya terhenti, dadanya berasa lapang, air matanya tidak mengalir, hatinya sangat nyaman. Bagindapun hairan, dari manakah gerangan datangnya perasaan yang demikian lega dan senang itu? Ketika itu teringatlah baginda akan Nabi Yusuf, terbayang pula dalam ingatannya akan wajah Nabi Yusuf. Ketika itu keluarlah senyuman dari kedua-dua belah bibirnya. 

Tiba-tiba Yaakub menjerit dengan sekuat suaranya: ‘Sungguh, aku mencium baunya Yusuf.’ 

Tepat ketika itu sampailah unta yang ditunggangi anak-anaknya dari Mesir, selain membawa buah tangan, mereka juga membawa sehelai baju kepunyaan Nabi Yusuf. Baju itulah rupanya yang tercium oleh hidung Yaakub sehingga baginda merasakan nikmat, hilang segala kedukaannya. 

Anak-anaknya yang sembilan orang itupun segera turun dari unta, lalu melemparkan baju Nabi Yusuf yang sengaja mereka bawa itu ke hadapan Yaakub, tepat mengenai hidungnya. Seketika itu juga mata Yaakub yang selama ini buta dan kering, kini terbuka serta dapat melihat dengan terangnya. 

Di dalam keadaan yang serba nikmat bahagia itu, mereka ceritakan kepada Yaakub segala sesuatu yang telah terjadi dalam perjalanannya ke Mesir yang ketiga kalinya ini, di mana mereka telah menemui pula pembesar yang budiman itu, serta diterangkannya juga agar mereka sekalian berangkat kembali ke Mesir, untuk menemui serta dapat hidup bersama-sama dengan Nabi Yusuf. 

Berkatalah Yaakub dengan sangat girang: ‘Apa-apa yang sudah terjadi, marilah kita lupakan, kendatipun aku tidak dapat menghindarkan seseorang dari seksaan Allah S.W.T, namun aku mendoakan serta memintakan keampunan kepada Allah S.W.T, mudah-mudahan Allah S.W.T mengampuni segala dosa-dosamu sekalian begitu juga dosaku sendiri, kerana Allah S.W.T pemberi ampun dan pengasih. Sekarang marilah kita berangkat bersama-sama menuju Mesir.’ 

Setelah Nabi Yusuf melihat bapanya datang dan sedang dikelilingi oleh saudara-saudaranya yang berjumlah 11 orang itu, saudara-saudaranya itu sujud bersimpuh di hadapan Nabi Yusuf sebagai tanda membesarkannya, lalu berdiri di hadapan Nabi Yusuf dengan hormatnya. Seketika itu juga Nabi Yusuf menengadahkan kedua-dua belah tangannya ke langit, baginda bersyukur atas nikmat dan kurnia Allah S.W.T yang dianugerahkan pada dirinya, sambil berkata: ‘Tuhanku, Engkau sudah memberi kekuasaan padaku dan Engkau telah mengajarkan akan takwil mimpiku, Engkaulah yang menciptakan semuanya langit dan bumi. Engkaulah Waliku di atas dunia dan di akhirat nanti, hendaknya Engkau mewafatkan aku dalam keadaan aku beragama Islam dan masukkanlah aku dalam golongan orang-orang yang berbahagia.’ 

Demikianlah riwayat kedua-dua-dua orang Nabi Besar yang mulia ini, iaitu Nabi Yaakub dengan anaknya (Nabi Yusuf as.), yang tidak kurang juga hebat serta mendalam pembawaannya, dibandingkan dengan riwayat Nabi Ibrahim dengan anaknya (Nabi Ismail). Begitu juga riwayat para Nabi dan Rasul lainnya. Hanya dengan kesucian dan keimanan mereka kepada Allah S.W.T sajalah yang dapat membawa mereka dengan kejayaan dalam menghadapi perjuangan suci. dengan itu jugalah mereka dapat mengatasi segala rintangan dan bahaya yang mereka hadapi, rintangan dan bahaya yang jauh lebih hebat dan sukar dari rintangan serta bahaya yang dihadapi oleh manusia pada zaman sekarang. dengan berpedoman kepada perjuangan mereka, insya-Allah kita akan berjaya pula mengatasi segala kesukaran yang terdapat sekarang ini dalam menghadapi perjuangan kita.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan